Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Mei 2006

Ada Apa di Shanghai?

leave a comment »


(Bergambar di Yuyuan Garden)

Saya percaya ramai yang tertunggu-tunggu entri saya kali ini. Maaflah, dua tiga hari badan masih terlalu letih dan streamyx pula buat hal. Maaf juga, banyak gambar dalam entri kali ini (atas permintaan ramai). Jadi harap bersabar menunggu ia dimuat turun dalam komputer anda. Insya-Allah, gambar yang ada ini senonoh dan bersifat informatif 🙂

*****

Soalan-soalan lazim tentang perjalanan ke Shanghai :

1. Bagaimana berkomunikasi? Ramaikah yang boleh berbahasa Inggeris?
Di hotel dan tepi-tepi jalan, sewaktu membeli-belah, kami bertutur seperti itik dengan katak (perhatikan perbandingannya, itik dengan ayam masih lagi spesis yang sama). Kami nak minta atau bertanya sama ada pihak hotel menyediakan seterika ataupun perkhidmatan menseterika pakaian pun payah.

Mula-mula tunjuk baju kemudian buat aksi menseterika. Dia ingatkan kami nak gantung baju, dia tunjukkan almari. Kami kata bukan. Lepas tu, buat lagi aksi seterika baju, dia tunjukkan bilik air – kononnya boleh basuh baju di situ. Akhir sekali, teman sebilik saya ambil sehelai baju dan bentang atas tilam, langsung buat aksi menggosok baju. Baru dia faham. Dia pergi dan kembali dengan seterika dan ironing board.

*phew* berpeluh juga nak berkomunikasi.

Sewaktu mendaftar masuk, kami juga dapati staf hotel yang paling cekap berbahasa Inggeris juga hampir tiada. Yang paling baik pun ayat Inggerisnya tunggang langgang dan sebagai pelancong, kami merasa sangat kecewa apabila banyak hasrat hati yang tidak kesampaian. Hendak bertengkar pun tak guna sebab dia bukannya faham.

2. Bagaimana kami mencari makan di Shanghai supaya tidak kebulur?

Secara dasarnya memang susah hendak mencari makanan halal. Maklumlah, saya bukannya ke sana untuk berumahtangga. Saya di sana mulai 23 – 27 Mei. Jadi masa untuk meneroka setiap tempat dalam bandar raya Shanghai itu memang agak terhad. Bagi aktiviti dalam kampus East China University of Politics and Law (ECUPL), makanan disediakan oleh tukang masak Cina Muslim. Pada mulanya kami tidak pasti dan tidak pula bertanya jadi kami ‘balun’ pisang 2 – 3 biji sewaktu sesi kudapan. *Erk* sungguh kenyang makan pisang. Maklumlah, pisangnya hampir separuh saiz pisang tanduk kita. Apabila kami dimaklumkan kemudian, barulah ramai delegasi Malaysia yang menjamah biskut-biskut dan kuih yang disediakan. Oleh sebab saya sudah was-was dari awal, jadi saya mematikan sahaja hasrat saya dan meneruskan dengan diet pisang sahaja.

Alhamdulillah, sewaktu merayau-rayau pada waktu luar persidangan, kami menemui restoran milik orang Melayu Malaysia yang joint-venture dengan Cina Muslim di Shanghai. Restoran ini pernah disiarkan dalam Majalah 3 tidak lama dahulu dan ketika mencari maklumat tentang restauran ini, saya tidak menemui sebarang maklumat dalam internet.

Namun ada 2 kebetulan yang manis: seorang pembaca saya yang baik – Sitie – telah meletakkan alamat restauran tersebut dalam ruangan respons. Saya sempat salin alamat tersebut. Kebetulan yang kedua pula dua daripada ahli ‘kumpulan kami’ (ada 4 orang delegasi Malaysia yang tinggal di hotel yang sama) yang mendapat bisnes kad restoran tersebut daripada orang Malaysia yang memang sudah biasa ke Shanghai. Jadi, saya pernah lihat restoran tersebut. Seorang lagi ada alamat restoran itu dalam tulisan Cina.

Jadi kami gabungkan maklumat kami. Naik keretapi bawah tanah (tube) – walaupun tak faham bahasa Cina. Kami redah saja. Mujur juga kami berempat ini agak adventurous, jadi banyak tempat yang dapat kami sampai atas ‘keberanian’ meredah sahaja. Bawa peta ke mana-mana, nampak orang yang agak-agak boleh membantu tanya saja.

Akhirnya, kami pun sampai ke restauran tersebut, seperti gambar di bawah :

Bergambar di hadapan restoran


Ini menu yang saya pesan. Nasi + kari daging. Bukanlah sedap sangat, tapi dah kebulur, semuanya ok.

Kami pun makan sepuas-puasnya. Maklumlah, dah sehari setengah tak makan nasi. Diet sebelum persidangan ialah roti, serunding, maggi, coklat dan telur masak 3/4. Restoran itu bukan sahaja didatangi orang Cina Muslim tetapi juga Cina bukan Muslim yang mahu makan masakan Malaysia. Kami pun makan nasi dengan kari ikan/daging. Kebetulan pada ketika itu, restoran juga penuh dengan rombongan dari unit jualan Karangkraf. (Khabarnya, jualan mereka tinggi, jadi dapat bonus – melawat Shanghai).

Pada hari lain, kami mencari restoran yang sama tetapi hal yang berbeza berlaku. Sewaktu kali pertama kami ke restoran Malaysia tersebut, kami naik keretapi bawah tanah dan turun di People’s Park, seperti gambar di bawah : (jauh juga kami perlu menapak untuk ke restoran itu)


(Gambar berlatar belakangkan pintu keluar dari stesen bawah tanah People’s Park, di belakangnya, Dr. Zaitun sedang bertanyakan arah daripada seorang yang kebetulan berada di situ)

Kali kedua, kami dinasihatkan oleh seorang pensyarah ECUPL memberi tahu, kami sepatutnya turun di Stesen Henan. Itu lebih dekat. Kami yang tak tahu menahu ini pun ikutlah cadangannya. Dia siap hantarkan kami hingga ke stesen terdekat, tolong belikan tiket dari Stesen Zhongshan Park untuk ke Stesen Henan.

Sampai di situ, kami tercengang-cengang. Setiap stesen mempunyai 4 jalan keluar (exits). Kami rasa kami keluar di pintu yang betul tetapi segalanya terasa asing. Dengan berbekalkan peta dan sepatah dua perkataan Mandarin yang pernah saya belajar sekitar tahun 1998, saya pun menunjukkan nama jalan lokasi restoran tersebut di Zhejiang Middle Road kepada seorang lelaki Cina. Dengan petahnya, dia memberi tahu sambil menunjuk-nunjuk jalan yang dimaksudkan. Dengan terlopongnya, saya tak faham apa yang dia perkatakan. Tapi saya menebak bahawa jalan yang saya cari itu ada pada hala yang ditunjukkan.

Itu sahaja yang kami ada, kami pun sekali lagi menjalankan aktiviti meredah.

Kami sesat. Tetapi tidak putus harapan. Macam-macam cara digunakan untuk mencari restoran tersebut. Termasuk menunjukkan gambar di hadapan restoran yang kami ambil sewaktu berada di situ dua hari sebelumnya. Tanya pada polis trafiknya juga dia tidak pasti. Jadi kami pun redah lagi.

Sedang kami meredah, seorang ahli kumpulan kami terpandang sebuah restoran kecil dengan tulisan “Bismillah…” di atas tulisan Cina. Kami pun yang memang sudah lebih dari kebulur (kerana meninggalkan acara makan tengah hari yang disediakan oleh penganjur – tak sanggup nak diet sayur dan cendawan lagi). Sebaik-baik sahaja kami melangkah masuk, tuan punya restoran kecil itu memberi salam. Tautan persaudaran sesama Islam segera berputik.


Daripada pertuturannya dengan pekerja restoran itu, kami dapati dia berbahasa Turki. Jadi, itu sahaja pilihan yang kami ada pada ketika itu. Menemui sebuah restoran yang dimiliki seorang Islam. Ataupun meneruskan pencarian restoran Malaysia yang kali ini entah di mana. Ada hikmahnya kami tersesat. Namun, kumpulan kami yang sangat adventurous ini. Tidak sempat hendak menyalahkan sesiapa atas kesesatan ini dan terus sahaja makan apa yang terhidang. Kami memesan kari (dua ekor ayam), nasi dan 2 pinggan salad. Ketika itu kumpulan kami jadi 6 orang kerana disertai 2 delegasi dari Malaysia juga.

Enak juga hidangan Turki ini. Karinya tidak guna santan. Saladnya memang sedap untuk diratah. Ditambah pula dengan teh Cina.


Nasi di sini semacam beras pulut sedikit. Jadi mudah untuk makan guna chopstick. Ia melekat dan tak mudah jatuh.

3. Bagaimana cuaca di Shanghai?

Sewaktu pesawat Boeing 777-200 penerbangan MH 388 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, kami disambut oleh suasana jerebu. Kawasan Pudong hingga ke bandar raya Shanghai (sejauh 45 minit menggunakan lebuh raya) merupakan kawasan industri. Lagipun Shanghai juga merupakan bandar metropolitan dan bandar terbesar di China.


Matahari mencarak dan bersinar garang. Namun hawanya sedikit dingin dengan 23 C. Angin yang memukul pipi juga terasa dingin.

Hari pertama persidangan, dinginnya bertambah. Cuaca mendung. Sekitar tengah hari, hujan turun – sekejap lebat sekejap gerimis. Kata orang di sana, sudah lama Shanghai tidak hujan. Hmm… hujan rahmat tiba bersama-sama kami, barangkali.

Pada hari lain pula, cuacanya panas seperti di Malaysia, tapi tidaklah sampai 33 C. Bolehlah berpakaian nipis.

4. Waktu Malaysia dengan Shanghai berapa jauh beza ?

Malaysia dan China berada dalam zon waktu yang sama. GMT+8. Jadi waktu kita sama tetapi terbit matahari berbeza. Lagipun, ketika ini awal musim panas.

Jadi, siangnya lebih panjang dari malam. Subuh seawal 3.40 pagi. Terbit matahari 4.55 pagi. Jadi selewat-lewatnya 4.30 mesti bangun untuk sembahyang subuh. Lepas tu boleh tidur semula hingga 6.30. Biasanya kami akan bersarapan dalam bilik sebelum jam tujuh dan bersedia untuk diangkut pergi oleh bas yang disediakan oleh penganjur di depan hotel sekitar jam 8.00 pagi.

Zuhur lebih kurang 11.30 pagi dan asar 3.30 petang. Maghrib masuk jam 6.45 malam. Isyak jam 8.00 malam.

Jadi sebagai musafir kami agak mudah juga bersolat jamak dan qasar. Di universiti juga disediakan 2 bilik khas untuk solat. Satu bilik untuk Muslim dan satu lagi untuk Muslimah. Pihak penganjur mengambil kira juga hal ini kerana delegasi dari Malaysia yang Muslim terdiri daripada wakil UKM (4 orang), UIA (dalam 10 orang), UiTM (10), UUM (2), UM (2 -3).

Saya fikir itu dulu cetusan kali ini. Masih ada banyak lagi yang nak disampaikan. Mungkin dalam entri selepas ini pula, ya.

Selamat membaca dan sudi-sudikanlah mengirim respons.

Written by Nisah Haron

Mei 31, 2006 at 8:23 am

Dikirim dalam Uncategorized

Menuju Shanghai

leave a comment »


Insya-Allah, esok sekitar jam 9.00 pagi, saya akan berlepas ke Shanghai, China.

Ya, ini pertama kali saya menjejakkan kaki ke negara itu. Pun, tak sangka sebenarnya saya mendapat tawaran tersebut. Saya akan membentangkan kertas kerja berjudul An Overview of the Malay Oral and Classical Poetry as Traditional Knowledge under Malaysian Copyright Law. (Suatu Tinjauan tentang Puisi Klasik dan Lisan sebagai ‘Ilmu Tradisi’ di bawah Undang-undang Hak Cipta di Malaysia)

Persidangan ini anjuran East China University of Political and Law di Shanghai dan kalau ingin tahu maklumat lanjut, boleh singgah ke laman web persidangan ini. (Klik pada ‘conference programme’ untuk dapatkan senarai pembentang kertas kerja).

Apa yang akan saya perkatakan? Tentang puisi klasik seperti pantun, syair, nazam, teromba dan lain-lain. Bagaimanakah kedudukan mereka jika karya ini diambil oleh orang luar Malaysia? Sebagai contoh, tentu ada yang tahu tentang lagu “Anak Ayam” versi asal. Kini diadunkan dalam lagu Too Phat. Jadi royaltinya tentulah kepada penyanyi dan syarikat rakaman. Penyanyi ataupun pencipta asal lagu “Anak Ayam” ini tentulah tidak dapat apa-apa kerana ia sudah dianggap milik orang ramai (public domain).

Sebagai lagu rakyat, ia tidak dimiliki oleh mana-mana individu, sedangkan hak cipta melindungi hak individu. Bayangkan pula jika Too Phat itu bukan orang Malaysia, ertinya dia penyanyi warganegara luar dengan syarikat rakamannya, misalnya di London – menyanyikan lagu yang sama. Apakah yang kita akan dapat sebagai rakyat Malaysia? Sekadar populariti – eh, eh itu lagu ‘anak ayam’ – lagu nenek moyang kita la! Selebihnya? Royalti dikutip penyanyi dan syarikat rakaman mengaut untung.

Apa yang mahu saya perjuangkan ialah hak cipta terhadap karya milik masyarakat Melayu Malaysia. Pantun, syair, seloka, gurindam, masnawi, rubaie, rangkait, rejang dan banyak lagi – semua itu sastera lisan yang tidak diketahui siapakah pencipta asalnya. Dalam masyarakat Melayu, kita selesa menurunkan sesuatu secara lisan. Kita juga percaya bahawa ilmu itu milik semua dan wajar dikongsi bersama. Ilham itu dari Allah dan kita hanya menyampaikan sahaja. Tetapi, konsep hak cipta dalam undang-undang hari ini datangnya dari Barat. Mereka mengiktiraf hak cipta individu sahaja. Jika penciptanya tidak dikenalpasti maka ia menjadi milik sesiapa sahaja. Harus ada satu bentuk mekanisme bagi melindungi harta intelektual orang Melayu ini sebelum diambil semudahnya oleh orang luar dan kita tidak mempunyai sebarang perlindungan untuk mengatakan bahawa ia milik kita.


Ada apa di Shanghai ya? Setahu saya ia sebuah kota perjudian yang besar. Selebihnya, ada juga saya dengar Shanghai sebagai kota ekonomi dan ramai juga Muslim di sana yang menjalankan aktiviti perniagaan. Apabila terdengar China, saya sudah bayangkan berapa kati mee segera yang perlu saya bawa ataupun makan buah sahajakah saya di sana? Tetapi pembacaan dan maklumat yang saya terima, terdapat banyak restauran yang dikendalikan oleh Cina Muslim.

Saya tidak pasti sama ada saya boleh berblog dari Shanghai. Mungkin, jika ada kesempatan saya akan menurunkan tinta. Jika tidak, seperti entri dari Palembang dua tahun dulu, saya akan menulisnya sebaik-baik sahaja pulang dan berkesempatan menulis.

Doakan saya selamat di rantau orang. Saya mohon untuk pergi membawa nama Malaysia, nama Melayu, sastera Melayu di peringkat antarabangsa.

Written by Nisah Haron

Mei 22, 2006 at 8:23 am

Dikirim dalam Uncategorized

Pusaka Cendana

leave a comment »

Alhamdulillah, cerpen saya berjudul Pusaka Cendana tersiar dalam Mingguan Malaysia 21 Mei 2006. Sayangnya, hari ini webmaster Utusan mungkin hendak kejar kenduri kahwin, jadi dia cuma upload dua rencana sastera tetapi tidak memasukkan cerpen dan juga sajak dalam Utusan Online. Saya percaya kena beli surat khabar hari ini. Ada puisi A. Samad Said lagi. Tidak boleh ketinggalan.

Written by Nisah Haron

Mei 21, 2006 at 10:20 am

Dikirim dalam Penulisan

Bengkel PEN di Kuala Klawang

leave a comment »


Awal pagi tadi berangkat ke Hotel Sri Klawang, Jelebu. PEN menganjurkan bengkel penulisan cerpen khas untuk warga daerah Jelebu dan sekitarnya. Alhamdulillah, kehadiran yang agak memberangsangkan. Kami dapat menghimpunkan sekitar 30 orang calon penulis, penulis baru dan penulis mapan di bawah satu bumbung.

Penghargaan yang tidak terhingga kepada adinda Syarifah Salha Syed Ahmad atas usaha gigih menguruskan program ini di Jelebu (boleh dikatakan sendirian juga, walaupun ada sedikit sebanyak bantuan dari jauh).

Kebanyakan peserta terdiri daripada pelajar sekolah dan guru pengiring tetapi rakaman terima kasih juga kepada Sdr Abdullah A.R. – penyair tersohor dari Negeri Sembilan yang turut sudi meluangkan masa menjadi peserta! Sokongan beliau amat besar ertinya bagi PEN.

Bengkel ini merupakan bengkel asas dan diisi oleh dua penceramah, iaitu saya sendiri dan Puan Kalsom Azid. Saya menyentuh aspek teknikal dalam penulisan sementara Puan Kalsom tentang gaya bahasa dalam penulisan kreatif.

Saya suka tentang rumusan Puan Kalsom tentang gaya bahasa :

Hari sudah petang. (gaya penulisan bukan kreatif) – sifatnya to tell (untuk memberitahu)

Matahari semakin condong ke ufuk barat. Hanya tinggal beberapa inci lagi sebelum menyentuh ubun-ubun horizon. (gaya bahasa penulisan kreatif) – sifatnya to show (untuk menunjukkan)

Ertinya, dalam penulisan kreatif, penulis bukanlah orang yang membuat tafsiran ataupun keputusan terhadap sesuatu perkara. Biarlah pembaca yang mengambil peranan tersebut. Penulis hanya perlu menggambarkan keadaan tersebut. Buat tugasnya untuk memberitahu pembaca apakah yang diperkatakan.

Sebagai contoh juga : Aminah budak yang rajin (gaya bahasa bukan kreatif – sifatnya memberitahu pembaca. Ini tidak membenarkan pembaca membuat tafsiran ataupun memutuskan sama ada benarkah si Aminah ini rajin).

Contoh 2 : Awal pagi lagi Aminah telah meninggalkan tempat tidurnya. Selepas solat Subuh, dia menghampiri katilnya. Cadar yang komot itu ditegangkan. Kemudian terdengar derauan air. Sebesen baju yang direndam semalam kini ditanganinya. Sedang mencuci, dia terkenang laman rumah yang pasti bertabur dengan daun-daun lembab kerana deraian hujan malam tadi. Selepas ini, laman itu bakal licin dikerjakan.

Jadi terpulanglah kepada pembaca untuk menafsirkan sifat si Aminah, adakah dia ini seorang yang rajin ataupun terpaksa melakukan kerja-kerja tersebut.

Berada di Kuala Klawang pada awal pagi, mengingatkan saya kepada Sri Menanti sewaktu Bengkel Novel diadakan. Tempat-tempat yang bersifat kekampungan ini amat menyegarkan minda. Jauh daripada hiruk pikuk bandar. Cuma pihak pengurusan hotel ini harus lebih bersikap profesional dalam tugas. Itu perbandingan yang dapat saya lakukan berbanding Sri Menanti Resort.

Written by Nisah Haron

Mei 20, 2006 at 11:38 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Sesuatu yang tidak dijangka

leave a comment »

Beberapa hari lepas saya mendapat panggilan telefon daripada pihak urus setia Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja (MBBY) menjemput saya untuk hadir ke Majlis Perasmian Seminar Buku Kanak-kanak & Remaja ke 2 di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam. Panggilan ringkas itu sekadar memaklumkan bahawa saya akan menerima hadiah penghargaan untuk novel kanak-kanak saya Farris Putera Yang Hilang. Pemanggilnya pun tidak memaklumkan dengan jelas apa sebenarnya yang saya menangi.

Petang semalam, saya terima panggilan daripada penerbit Farris, MEP Education menyatakan beliau juga mendapat jemputan melalui faksimile bahawa buku ini terpilih untuk menerima hadiah bagi kategori penulis. Menurut penerbit, surat itu juga tidak menyatakan secara terperinci tentang hadiah ini. Ya lah, saya pun ingin tahu juga saya menang tempat ke berapa. Tak mungkin tempat pertama. Saya pun menanggap ‘hadiah penghargaan’ ini bererti semacam hadiah saguhati (baca : hadiah kasihan).

Apa pun, saya pergi juga memenuhi undangan tersebut pagi tadi. Apabila sampai ke Perpustakaan Raja Tun Uda (tempat Seminar Pencinta Buku; tempat sambut hari lahir baru-baru ini), saya disambut oleh Datin Paduka Shahaneem yang tersenyum lebar ke arah saya. Kemudian ada petugas yang membawa saya hingga ke tingkat 3, di dewan tempat acara berlangsung. Dewan hampir penuh, ramai yang telah hadir.

Saya datang hampir jam 9 (dikira hampir lewat kerana majlis perasmian tidak lama selepas itu) kerana singgah di KLIA untuk mengambil tiket yang telah ditempah untuk ke luar negara.

Petugas tadi menunjukkan tempat duduk saya. Tu dia! Nun di baris paling hadapan sebelah kanan sekali. Pada kerusi siap tertampal nama saya. Pun, saya masih terpinga-pinga, saya sebenarnya menang apa?

Selepas acara perasmian (yang agak berjela) Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, selaku Ketua Juri bagi Anugerah Buku Bitara MBBY mengumumkan bahawa anugerah ini diwujudkan buat kali pertama. Anjuran bersama MBBY dan DBP.

Ada 3 kategori :

  • Penulis
  • Ilustrator
  • Penterjemah

Terdapat lebih daripada 100 judul buku yang dipertandingkan. Hanya ada 1 pemenang bagi setiap kategori dan 2 hadiah penghargaan di belakangnya. Pendek cerita, keputusannya – bagi kategori penulis :

Pemenang –
Heidi Munan – The Stories from Sarawak
(Utusan Publications & Distributors)

2 Hadiah Penghargaan –

Nisah Hj Haron – Farris Putera Yang Hilang
(MEP Education)

Jean Adnan – Zul’s Gang Adventure Series
(Utusan Publications & Distributors)

Pemenang dan bukunya akan ke Switzerland untuk buku itu dipertandingkan di peringkat antarabangsa di IBBY.

2 pemenang lain ini akan mendapat endorsmen – sama ada dalam bentuk emboss ataupun stiker pada buku tersebut mengatakan bahawa buku ini telah menerima hadiah sekian-sekian daripada pihak MBBY. Endorsmen ini boleh dilekatkan pada buku tersebut.

Menurut sumber, Farris hanya kurang 1 mata ketika undian untuk sampai ke Switzerland. Tetapi, bagi saya tidak mengapalah. Kalau dah bukan rezeki, begitulah. Saya tak pernah terfikir pun Farris akan sampai hingga ke peringkat ini. Ketika menulisnya, saya sekadar menjawab iklan yang dikeluarkan oleh pihak penerbit dan juga mengisi kekosongan novel untuk kanak-kanak lelaki. Pun, saya bangga kerana novel saya ialah satu-satunya novel berbahasa Melayu yang sampai ke peringkat inil. (Perhatikan pemenang lain merupakan novel berbahasa Inggeris.)

Apapun terima kasih kepada pihak penganjur atas anugerah ini.


Written by Nisah Haron

Mei 19, 2006 at 10:00 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Bahasa rancu, esemes & standard

leave a comment »


Terkesan dengan tulisan Zin Mahmud hari ini dalam Utusan Malaysia yang berjudul Tiga Dialek Melayu Akan Datang. (Juga boleh dibaca di blog Salina Ibrahim).

Bahasa rancu ataupun bahasa bercampur aduk (sila rujuk Kamus Dewan edisi 4) semakin berleluasa. Dalam pertuturan seharian juga sudah menjadi satu kebiasaan untuk mencampurkan pertuturan sekerat ikan sekerat belut ini. Jangan salah faham, saya tidak menghalang sesiapa pun yang mahu menggunakan bahasa Inggeris. Anak saya pun berbahasa Inggeris (dengan baik) di rumah pada kala tertentu. Namun, saya pastikan jika mahu berbahasa Inggeris, gunakan sepenuhnya. Kalau mahu berbahasa Melayu, gunakan bahasa Melayu yang betul.

Bahasa esemes – saya paling sakit hati dengan jenis tulisan begini. Apatah lagi apabila ia digunakan secara rasmi – dalam karya (kalau saya jumpa, memang saya bukan setakat pancung tulisannya, penulisnya pun saya pancung sekali!), ertinya dalam bentuk persuratan. Jika tujuan bahasa esemes ini ialah untuk meringkaskan tulisan yang panjang, ikutlah cara singkatan yang betul.

Bayangkan kalau hendak tulis perkataan berikut :

gila dieja “giler”
itu dieja “tue”
mana dieja “maner”

– bukankah itu sudah memanjangkan ejaan perkataan dan bukan sebaliknya. Itu belum masuk lagi singkatan yang dibuat sesuka hati.

saya menjadi sy
tidak menjadi x
insya-Allah menjadi IA

– itu belum campur no. 2 yang digunakan untuk menggantikan apa-apa ejaan “tu” seperti u2san (utusan) ataupun adakalanya digunakan dalam konteks bahasa Inggeris iaitu “to” ataupun “too”. Hingga adakalanya mesej yang dikirim itu benar-benar mengelirukan.

Pernah saya terima esemes daripada seorang tokoh bahasa dan sastera (ahli akademik lagi tu!) yang membalas, “jgn lupa bawa kk

Saya garu kepala, “kk?

kertas keje” dia membalas.

Ya Allah! Manalah nak tangkap maksud singkatan itu ialah untuk kertas kerja? Konteks perbualan esemes kami sebelum itu tidak memungkinkan saya meneka “kk” itu bermakna kertas kerja. “kk” boleh sahaja diterjemahkan menjadi banyak makna lain – kencing kucing, Kota Kinabalu, kertas kajang, dan apa-apa lagi mengikut kreativiti seseorang.

Benar, bahasa itu perlu dinamik tetapi dalam konteks yang bagaimana? Jadi, kalau ahli bahasa pun berbahasa selunaknya dalam konteks esemes ini, apatahlah lagi orang biasa seperti saya yang bukan ahli bahasa tetapi terhegeh-hegeh mahu mempertahankan bahasanya.

Dalam hal ini saya sangat menghormati pendirian Dr. Awang Sariyan yang berbahasa dengan sebaik mungkin sama ada dalam e-mel ataupun dalam menghantar pesanan ringkasnya melalui telefon. Tidak timbul salah faham yang tidak sepatutnya.

Alasan untuk orang yang suka meringkaskan segala bentuk ejaan : esemes mahal! OK. Apa beza kos penghantaran perkataan “tak payah” dengan “x pyh“? Setahu saya esemes dikenakan bayaran bergantung kepada had jumlah perkataan tertentu. Bukannya mengikut aksara.

Alahai… Nisah membebel lagi. Namun, dalam hal-hal sebegini, saya memang merasa terganggu dengan bahasa yang saya anggap kurang sopan, tidak menghormati bahasa dan mempermain-mainkan bahasa kebangsaan.

Frasa “Marilah kita berbahasa sebaik-baiknya” ini hendaklah berada dalam nadi dan salur darah setiap manusia yang mahu memartabatkan bahasa Melayu. Bukan sekadar memartabakkan. (Perhatikan ejaan sebenar bagi mereka yang suka mengejanya sebagai ‘murtabak’)

Sikap beginilah yang menjadikan manusia Melayu yang lupa hendak berbahasa Melayu hatta dalam acara rasmi seperti di Seminar Warisan Melayu yang pernah saya hadiri sedikit masa dahulu. Entri tentang itu boleh dibaca di sini.

Jadi, di mana anda berdiri?

Written by Nisah Haron

Mei 18, 2006 at 8:44 pm

Dikirim dalam Penulisan

Publisiti Sastera

leave a comment »


Peribadi saya merasa cemburu (envious) dengan aktiviti sastera yang dijalankan oleh pihak DBP Wilayah Selatan. Negeri Johor bertuah kerana menempatkan DBPWS di situ. Boleh dikatakan hampir setiap minggu ada sahaja aktiviti Bahasa dan Sastera yang dijalankan di sana. [cemburu di sini dalam konteks yang positif, bukannya iri hati. Walaupun Kamus Dewan Inggeris-Melayu menterjemahkan envy sebagai iri hati.]

Sila lihat blog-blog di bawah untuk aktiviti yang telah DBPWS jalankan.

Namun, saya juga melihat kepada dedikasi para pegawai di sana. Mereka tidak pernah berhenti membina publisiti sejauh mungkin supaya sastera dan bahasa secara tidak langsung sampai kepada khalayaknya. Biarlah aktiviti itu mungkin dihadiri tidak sampai 100 orang tetapi aktiviti tersebut mendapat liputan akhbar. Tidak kurang dengan itu, saya selalu menerima e-mel undangan daripada pihak DBPWS untuk menghadiri aktiviti-aktiviti tersebut. Terus terang, jika Larkin Perdana itu letaklah tidak sampai 2 marhalah – tentu saya tidak akan lepaskan peluang untuk hadir.

*Mengeluh* Saya hanya boleh mendengar dan membaca dari jauh sahaja.

Malang pula bagi Negeri Sembilan yang tersepit antara dua DBP. Tangan DBPWS hanya sampai setakat sempadan Tampin, Melaka. Itu diakui sendiri oleh seorang daripada pegawai atasannya. Katanya, dia lelah menguruskan dua buah sendiri serentak. DBPKL pula seringkali lupa melibatkan NS dalam senarai aktivitinya. Ini terbukti beberapa kali terutama sekali apabila meminta sumbangan ataupun penajaan daripada DBPKL. KL kata minta dari Selatan, Selatan kata NS itu bawah bidangkuasa pusat. Sudahnya NS ketengah ketepi. Sini tidak sana pun bukan.

Lantas, banyak aktiviti di NS hanyalah atas inisiatif dan kapasiti Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) yang kecil lagi daif ini. Sebagai NGO, kami tiada sumber kewangan sendiri. Nak mengharapkan bantuan memang adakalanya macam pengemis. Mujur juga pentadbiran kerajaan negeri yang baru ini amat prihatin dengan pembangunan bahasa dan sastera negeri. Namun, itu sahaja tidak cukup tanpa dokongan insititusi yang memartabatkan bahasa dan sastera.

Barangkali, hal yang sama juga turut dirasai oleh negeri-negeri tersepit yang lain seperti Perak dan Pahang. Perak tidak masuk DBP Wilayah Utara dan Pahang juga khabarnya semacam ‘terkeluar’ daripada DBP Wilayah Timur.

Mungkin juga ramai yang akan beri respon, apa yang perlu diharapkan kepada DBP lagi? Ya, saya adakalanya melihat DBP sebagai sebuah insititusi dan sesekali melihat DBP itu dalam sudut yang lebih mikro, iaitu hubungan dengan beberapa kakitangan tertentu yang memang ada dedikasi dalam membuat kerja. Banyak pihak menghentam DBP kiri kanan depan belakang tanpa mengenali manusia-manusia yang mengendalikannya. DBP mungkin dinakhodai oleh Dato’ Firdaus tetapi saya tidak bercakap tentang nakhodanya. Saya juga mengenali orang yang menarik sauh, mendayung, juragan, jurumalim hatta tukang jaga pintu kapal.

Saya suka mencari kemanusiaan dalam institusi ini. Dalam banyak hal saya menjumpainya. Lantas, bagaimanakah sebagai manusia Melayu yang bangga dengan bahasa Melayu, yang memiliki sebuah insitusi bahasa dan sastera membantu DBP sebelum ia jatuh tersungkur lagi dalam abad yang kian mencabar ini. Apakah kutukan demi kutukan itu dapat membina sebuah lagi DBP yang setaraf dan boleh membawa martabat Bahasa Melayu ke persada yang sewajarnya.

Siapa dia yang boleh melakukannya?

Ataukah semakin ramai yang mahu menjadi Sang Rajuna Tapa?

Written by Nisah Haron

Mei 18, 2006 at 9:42 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Salam Hari Guru

with one comment


Pernah saya catatan dalam entri terdahulu bahawa saya bercita-cita menjadi guru. Namun jalur kehidupan dan rencana Tuhan membawa saya ke tempat lain. Pun demikian, saya pernah menjadi guru sementara di SRK St Paul, sementara menunggu keputusan ke IPT. Pengalaman sekejap itu amat menyeronokkan. Tanpa sebarang kursus saya telah diminta menguruskan sekelas pelajar (yang semuanya lelaki) Tahun I. Aduhai… kelas pandai tetapi nakalnya pun boleh tahan juga.

Sewaktu sedang mengajar tiba-tiba ada seorang murid yang duduk berdekatan tingkap berteriak, “Helikopter!”

Sebuah kelas menyerbu ke pintu dan mahu melihat helikopter. (Macamlah tak pernah tengok helikopter terbang.) Tetapi itulah antara keletah yang pernah saya hadapi.

Dalam semua peringkat perguruan, saya paling hormat kepada mereka yang punya kesabaran menjadi guru tadika ataupun prasekolah. Merekalah guru yang paling hebat kerana mempunyai kekuatan dan daya pujuk bagi mendidik anak-anak kecil ini mengenal kalam dan kertas; warna dan nombor; huruf dan garis.

Saya sendiri pun adakalanya sukar untuk memastikan anak-anak saya boleh menulis, membaca dan mengira. Tetapi apa sahaja yang dikatakan oleh gurunya, mudah benar meresap ke benaknya.

Jadi kepada semua guru tadika, berbanggalah dengan kebolehan anda itu. Saya percaya, seorang profesor dari universiti pun belum tentu boleh melakukan apa yang anda boleh lakukan!

Di peringkat sekolah rendah dan menengah pula lain ceritanya. Guru-guru hari ini kian dibebani dengan tugas-tugas pentadbiran berbanding tugas mengajar dan berdamping dengan pelajar. Itu pemerhatian saya yang tidak rasmi. Tidak ramai guru yang boleh menjadi inspirasi pelajarnya.

Profesion perguruan juga menjadi semacam pilihan terakhir andainya tidak dapat menawan mana-mana kerjaya lain. Akhirnya, anak bangsalah yang menjadi mangsa para guru yang ‘mengamalkan’ sikap sambil lewa – bekerja kerana gaji. Tekanan demi tekanan daripada pihak atasan juga menyebabkan banyak nyala rasa dalam diri guru-guru ini terpadam begitu sahaja.

Malah tidak hairanlah, jika laporan berita malam tadi dan malam sebelumnya menyebut tentang lambakan graduan perguruan yang masih lagi menganggur. Salah siapa?

Para graduan menyalahkan kerajaan yang berjanji tetapi gagal menepati janji bahawa mereka bakal mempunyai pekerjaan terjamin. Kerajaan pula menyalahkan graduan kerana salah mengkhusus. Mengapa memilih subjek yang tidak kritikal. Permintaan sekarang ialah untuk subjek Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Lantas bagaimana? Ramai graduan TESL yang saya kenali meninggalkan terus profesion perguruan setelah ditaja oleh Kementerian. Dengan kepetahan berbahasa Inggeris mereka selesa berkerja di tempat lain dan mampu membayar balik wang kerajaan. Persoalannya, adakah kerajaan memerlukan wang ataupun memerlukan graduan yang boleh mendidik anak bangsa?

Mungkin hari ini Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains menjadi subjek kritikal. Jadi bakal graduan hari ini berlumba-lumba terjun masuk ke dalamnya. Setelah bergelar graduan, andaikata subjek Matematik dan Sains kembali ke persada Bahasa Melayu, sekali lagi bakal berlaku lambakan graduan yang mahir mengajar dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak lagi diperlukan pada ketika itu.

Sekali lagi yang rugi dan teraniaya ialah anak bangsa. Anak-anak kita. Anak-anak yang kita letakkan di bawah pada guru yang bijaksana (bukan bijaksini).

Pendidikan isu yang sangat penting dalam menentukan hala tuju sesebuah negara. Namun, masih banyak pihak yang tidak serius menimbangnya. Soal dasar boleh dijadikan permainan. Mengubah dasar sesedap rasa.

Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati, saya tetap berterima kasih kepada semua guru yang pernah berjasa, menjadikan saya seperti saya hari ini.

Selamat Hari Guru!

Written by Nisah Haron

Mei 16, 2006 at 8:00 am

Dikirim dalam Uncategorized

Sastera Boleh Tolak Tepi

leave a comment »

Rutin saya pada setiap pagi selepas mengurus diri ialah membaca akhbar. Selalunya baca versi atas talian. Saya kira ini juga rutin ramai pembaca di luar sana.

Paling penting, setiap hari Isnin, Khamis dan Ahad satu kemestian untuk menyemak apa yang berlaku dalam ruangan sastera Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia.

Tidak kurang penting setiap hari Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad semak ruangan sastera di Berita Harian/Berita Minggu.

Utusan Online sentiasa mengemaskini lamannya seawal 4 pagi ataupun 5 pagi hari berkenaan. Jadi, sekitar jam 6 – 7 pagi memang pembaca sudah boleh akses lamannya bagi mendapat berita terkini. Demikian juga bagi ruangan sastera pada hari berkenaan.

Webmaster Berita Harian barangkali selalu bangun lewat 🙂 dan jarang mengemaskini lamannya sehinggalah agak tengah hari. Demikian juga bagi laman sasteranya. Adakalanya, cerita minggu lepas masih lagi ada minggu ini.

Untuk itu, saya harus ke kedai untuk mendapatkan versi cetak.

Namun, adakalanya ruangan sastera ini harus dikesampingkan bagi memberi laluan kepada suatu yang dilihat lebih besar. Contohnya, hari ini Utusan Malaysia tidak menerbitkan ruangan sastera kerana terpaksa memberi laluan kepada keluaran khas ulangtahun UMNO. Mujur Berita Harian tidak membuat perkara yang sama walaupun terdapat keluaran khas yang sama dalam Berita Harian.

Dan demikianlah, dalam banyak hal sastera dengan begitu mudah sahaja dikesampingkan dengan alasan yang pelbagai:

  • alah, sastera itu sekadar cerita.
  • sastera itu melayan perkara-perkara yang jiwang

dan banyak lagi alasan klise yang malas untuk saya panjangkan di sini.

Perhatikan bahawa ruangan sukan tidak pernah tiada dalam mana-mana akhbar. Tidak akan kurang satu halaman pun. Sukan tempatan ada, sukan serantau, sukan antarabangsa semuanya lengkap.

Tetapi sastera hanya ada sastera tempatan. Nak tunggu berita sastera antarabangsa, baca di internet sahajalah gamaknya. Memang mimpi nak baca tentang sastera antarabangsa dalam akhbar tempatan. Apatah lagi ruang yang diperuntukkan amatlah sempit. Satu halaman untuk muat semua benda.

Berita Harian ada menyiarkan 3/4 halaman tentang Pramoedya yang saya anggap berita sastera bersifat serantau. Namun, itu saya kira atas keprihatinan wartawan dan editor sastera. Pun saya kira Berita Harian agak bertuah kerana mempunyai Nazmi Yaakob dan Shaidah Shafie – kedua-dua penulis dan orang yang celik sastera.

Kalau jawi yang terkubur boleh dibangkitkan dari kubur dan diterbitkan semula, mengapa ruangan sastera yang sempit ini tidak boleh dilebarkan? Sastera pernah menjadi wadah perjuangan nasionalisme dari dulu hingga kini, tetapi sayang kini kepentingan sastera hanya setakat untuk lulus peperiksaan Bahasa Melayu.

Written by Nisah Haron

Mei 11, 2006 at 11:55 am

Dikirim dalam Uncategorized

Tulisan tentang ketua satu dalam BH

leave a comment »

** Mutakhir : Tulisan “Dalam Kenangan” tentang Allahyarham Agus Salim tersiar dalam Berita Harian hari ini.

Written by Nisah Haron

Mei 9, 2006 at 12:49 pm

Dikirim dalam Uncategorized