Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Lukisan Hati Anak-anak

with 2 comments

Saya tidak berpeluang mendalami bidang seni lukis. Sejak kecil barangkali sudah diabsahkan bahawa saya tidak pandai melukis apatah lagi mewarna. Lantaran tiada sesiapa yang mendorong dan diri juga tidak terpanggil untuk mendorong diri sendiri, saya tidak pernah meneroka lebih lanjut akan potensi diri. Lalu, saya tidak akan menyatakan bahawa saya tidak pandai melukis, sehinggalah saya benar-benar mengeksploitasi kebolehan itu. Alasan yang lebih wajar ialah saya tidak mahir melukis, sebab saya tidak berusaha untuk memahirkan diri.

Gambar : Lukisan Alang, bakal menjejaki Siti Zainon Ismail yang menggemari unsur alam

Dengan anak-anak-anak saya tidak bercadang untuk berbuat perkara yang sama. Saya biarkan mereka meneroka apa-apa sahaja kemahiran seni yang dapat dikembangkan dengan cara yang positif. Hari ini ialah hujung minggu yang dijanjikan.

Gambar : Lukisan Along dengan objek haiwan laut yang dibayangkan selalu beratur walaupun hendak ke mana-mana. Ikan berwarna kuning dan rumpai laut di bawahnya adalah campur tangan ibunya

Walaupun melukis dengan cat warna air boleh mengotorkan lantai rumah jika tidak dipantau dengan baik, saya tetap mengambil risiko. Kebetulan, dua orang anak yang paling kecil sedang tidur petang; jadi saya dan tiga orang anak yang lebih besar memulakan aktiviti ini.

Gambar : Lukisan Angah dengan lobak merah gergasi serta cacing kekenyangan. Saya ajak teknik mewarna pokok dengan menekan-nekan berus seperti yang pernah ibu saya ajarkan.

Kami semua ke serambi rumah. Mereka mengambil surat khabar lama untuk dibuat alas. Masing-masing dengan sehelai kertas lukisan dan saya minta mereka fikirkan dahulu apa yang mahu dilukis. Temanya : bebas.

Along menerima cadangan saya supaya melukis haiwan-haiwan di dalam laut. Mula-mula saya ajarkan mewarna latar belakang menggunakan kapas yang dicelup dengan warna pilihan. Mewarna menggunakan air yang banyak supaya cepat selesai dan latar cepat kering.

Angah menggemari lobak merah gergasi. Cukup tiga batang lobak, kertas lukisan pun penuh. Tak jadi melukis sayur yang lain. Tak mengapa, yang penting dia belajar mengagak sebelum melukis. Pada sesi yang lain, barangkali dia sudah boleh mewajarkan.

Alang, yang belum bersekolah, memang calon pelukis dengan kebolehan tersendiri. Dia sudah tahu apa yang mahu dilukisnya. Cuma perlu dibantu dari aspek teknik sahaja. Pastinya mewarisi dari ibu saya yang juga pelukis yang tidak berpeluang mendalami bakat lukisannya. Saya masih menyimpan lakaran-lakaran lukisan ibu saya dalam buku-buku catatannya.

Selanjutnya, sebagai hadiah Hari Ibu yang tidak pernah saya minta, mereka membuat kad ucapan seorang satu (gambar di atas). Saya tahu mereka sedang merancang sesuatu sejak minggu lepas, tetapi saya tidak pernah dapat lihat apa yang mereka lakukan. Saya hargai setiap pemberian anak-anak. Ini bukanlah kali pertama mereka membuatkan kad untuk saya. Daripada Alang, boleh dikatakan hampir setiap hari saya akan terima kad ucapan “I Love You, Mama” berserta sekuntum ciuman dan rangkulan kejapnya.

Saya tahu saya tegas dengan mereka. Pada ketika saya tidak mahu diganggu, mereka cuba untuk tidak mengganggu kerana faham akan tugas saya. Tetapi, saya banyak kali mengingatkan diri bahawa masa saya dengan mereka mungkin tidak lama. Selepas ini, tumpuan mereka akan beralih kepada rakan-rakan sebaya setelah mereka meningkat remaja. Pun, saya cuba mencari masa duduk berbual-bual dan melayani soalan-soalan ‘canggih’ daripada mereka tentang apa-apa sahaja perkara yang mereka ingin tahu. Jika soalan itu di luar kemampuan saya, kami akan sama-sama mencari jawapannya sama ada di dalam buku ataupun sama-sama melayari internet.

Walaupun setiap hari ialah hari ibu, pastinya hari ini jadi lebih bermakna jika diisi dengan kenangan yang kekal seumur hayat!

.

.

About these ads

Written by annyss

Mei 10, 2009 at 2:35 am

Dikirim dalam Peribadi

2 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. selamat hari ibu, kak nisah!
    sama2 kita panjatkan doa banyak2 dan dalam2 untuk ibu kita semua walau di mana mereka berada..;D

    Nizam Arjuna

    Mei 10, 2009 at 3:27 am

  2. Ya, mereka ‘jadi’ bayi dan kanak-kanak sekali sahaja sepanjang hayat mereka. Jadinya, apa yang perlu kita buat bukan?

    Sangat terharu dengan catatan ini.

    bayan

    Mei 12, 2009 at 8:34 am


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: