Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for the ‘Bengkel Penulisan’ Category

Bengkel Puisi Intensif PEN

leave a comment »

Anda berminat untuk menyertai Bengkel Puisi bagi memperbaiki kualiti penulisan puisi? Silakan ke Bengkel Puisi Intensif anjuran Persatuan Penulis Negeri Sembilan dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan.

Maklumat lanjut di laman web PEN.

Written by annyss

April 4, 2009 at 12:33 pm

Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi

leave a comment »


Tarikh tutup dilanjutkan ke 31 Ogos 2009!

Borang penyertaan bengkel boleh dimuatturun di sini.

Bagi yang ingin menyertai sayembara ini pula, elok benarlah jika dapat hadir ke bengkel yang disediakan oleh pihak penganjur. Walaupun berbayar, tak rugi rasanya jika peserta (sama ada mahu ambil bahagian ataupun tidak, itu perkara kedua) mengambil tahu kehendak penganjur. Tidak banyak penganjur (selain Yayasan Warisan Johor, untuk Novel Sejarah Johor) yang mahu mengadakan bengkel seperti ini.

Berikut atur caranya :

BENGKEL PENULISAN FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI
UTM – KUMPULAN UTUSAN

Tarikh : 7 Februari 2009
Tempat : Hotel Quality, Kuala Lumpur
Masa : 8.00 PAGI – 4.30 PETANG
Yuran : RM50.00
(Termasuk makan tengah hari, minum pagi & petang serta bahan)

ATUR CARA

0800 – 0845 : Pendaftaran

0845 – 1000 : SESI I : DR. AMIDA@HAMIDAH BT. ABDULHAMID (ANIS)
“Mahu menulis novel sains & teknologi?”

1000 – 1015 : minum pagi

1015 – 1130 : SESI II : PROF. DR. AHMAD ZAKI BIN ABU BAKAR
“Memfiksyenkan sains & teknologi”

1130 – 1300 : SESI III : EN. MOHAMAD SALEEH BIN RAHAMAD
“Nilai, ideologi dan sarana sastera”

1300 – 1430 : makan tengah hari / solat

1430 – 1600 : SESI IV : PN. NOR AZAH BT. ABD. AZIZ
“Memecut di litar sayembara”

1600 – 1630 : minum petang / bersurai

Andai tidak berkesempatan ke majlis ini atas faktor masa ataupun lokasi, pihak penganjur mungkin datang ke tempat anda. Sila perhatikan jadual litar yang di bawah:

JADUAL DAN LOKASI
BENGKEL PENULISAN FIKSYEN SAINS DAN TEKNOLOGI
UTM – KUMPULAN UTUSAN

31 Januari 2009
Hotel Grand Bluewave, Johor Bahru
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN

7 Februari 2009

Hotel Quality, Kuala Lumpur

kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN

28 Februari 2009
Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN – UMS

7 Mac 2009
Dewan Bahasa & Pustaka (DBP), Wilayah Timur, Kota Bharu,
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN – DBP Wilayah Timur

14 MAC 2009
Holiday Villa, Alor Star
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN

21 MAC 2009
Kuching, Sarawak
kerjasama UTM – KUMPULAN UTUSAN

Maklumat dan Keterangan Lanjut Hubungi :

EN. YOSMAN MOHD. BAIN
PENERBIT UTM PRESS
07 – 5218166/019 – 7557760
yosman@utm.my

EN. MOHD. ROZLAN MOHD. NOOR
UTUSAN PUBLICATION SDN. BHD
012 – 3828353
editor@minister.com

Written by annyss

Januari 30, 2009 at 10:00 am

Dikirim dalam Bengkel Penulisan, sayembara

Menulis Untuk Sayembara

with one comment

Baru-baru ini saya sertai Bengkel Penulisan Novel Sejarah II yang diadakan di Hotel Straits Meridian, Bukit Baru, Melaka. Bengkel kali kedua ini merupakan suatu lanjutan kepada bengkel pertama yang diadakan pada tahun 2006 di Air Keroh. Saya masih ingat lagi, pada tahun 2006, Almarhum Pak Arena Wati juga sempat bersama-sama dengan peserta, malah turut sama memberikan pendapat serta berkongsi pengalamannya menulis novel sejarah.

Bengkel kali ini diadakan bagi memantapkan lagi bengkel yang pertama, sekaligus meningkatkan pemahaman peserta dengan konsep novel sejarah yang dikehendaki penganjur. Benar, kepada sesiapa yang ingin menyertai sayembara ini, anda disarankan supaya mendapatkan buku “Konsep dan Falsafah Novel Sejarah” – Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor (Hamzah Hamdani, Editor) terbitan Yayasan Warisan Johor (2006). Kalau dapatkan kertas kerja bagi Bengkel II ini juga lebih baik lagi.

Gambar : Sebahagian peserta Bengkel Penulisan Novel Sejarah Johor II

Ramai yang bertanya, beginikah cara yang sebenar menulis novel sejarah?

Terus terang, saya juga hilang semangat untuk mengambil bahagian dalam sayembara II yang lalu kerana saya tidak punya kekuatan untuk mengikut syarat-syarat yang disebutkan oleh penganjur dan panel. Antara syarat yang disebut dan mesti dipatuhi peserta sayembara ialah :

  • Novel sejarah merupakan satu bentuk pencerekaan yang mengandungi peristiwa sejarah yang dihidupkan oleh watak-watak sejarah atau yang boleh dikesan kewujudannya, latar waktu dan latar tempatnya boleh dibuktikan dalam sejarah atau bertepatan dengan peristiwanya yang sebenar.Novel yang memaparkan peristiwa sejarah dengan watak-watak rekaan mengambil alih peranan watak sejarah tidak dianggap sebagai novel sejarah.
  • Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Warisan Johor meneruskan penganjuran Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor berlatarbelakangkan peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di Johor seawal tahun 1528 (termasuk Kerajaan Johor – Riau) sehingga kini. Rentetan periswa boleh bermula seawal abad ke – 16 dengan terbentuknya Kerajaan Johor yang berpusat di Kota Tinggi, Johor Lama. Peristiwa-peristiwa dan tokoh-tokoh sejarah pada era Kerajaan Johor Lama dan Kerajaan Johor Moden, pemerintahan British, zaman Jepun, Darurat, penubuhan UMNO, penentangan orang Melayu terhadap gagasan Malayan Union, penubuhan Malaysia dan segala peristiwa bersejarah yang berlaku sehingga kini, boleh diungkapkan.
  • Antara subjek yang boleh diungkapkan dan diolah ialah :
  1. peristiwa bersejarah
  2. tokoh sejarah (novel biografi)
  3. institusi (pertubuhan, budaya, pergerakan)

Gambar : Dari kiri – Dr. Rosnah Baharuddin, Dato’ Zainal Abidin Borhan, Tuan Haji Hamzah Hamdani, Prof. Dr. Abdullah Zakaria, Encik Saleeh Rahamad & Encik Kassim Thukiman

Nah, ketat ataupun tidak syarat-syaratnya? Terpulanglah kepada para pengarang untuk mentafsirkannya. Seperti yang saya sebutkan di atas, saya tidak mempunyai semangat yang cukup untuk menulis novel tersebut pada tahun 2007. Pada saya, bagi menghasilkan novel sejarah yang baik, pengarang harus ada :

  • jati diri – tanpa jati diri yang kukuh, pengarang yang menghasilkan novel sejarah boleh sahaja menjadi penyusun cerita sejarah. Tiada ‘jiwa sejarah’ yang dapat dimasukkan ke dalam karya tersebut. Tidak mustahil, naskhah itu menjadi kaku-kejang. Seperti mana yang kita tahu, mata pelajaran sejarah di sekolah memang mudah menjadi subjek yang membosankan jika guru sejarah tidak pandai bercerita, menjelaskan sebab-akibat sesuatu peristiwa sejarah.
  • pendorong yang kuat (drive) – apabila Zaharah Nawawi berkongsi kisah bagaimana cetusan beliau menulis “Panglima Salleh Selempang Merah”, saya nampak perkara penting yang menggerakkan beliau menulis novel tersebut. Pertama, beliau saksikan sendiri kekejaman komunis membunuh dan menabrak keluarga jirannya sewaktu pengarang berusia 5 tahun. Sebagai saksi kepada peristiwa berdarah lagi ngeri itu, hal tersebut menjadi elemen pendorong yang cukup ampuh untuk menjadi pembakar semangat untuk beliau menulis. Kedua, beliau sebagai anak jati tempat berlakukan peristiwa Panglima Salleh menyembelih komunis (setelah komunis dengan wewenang menyembelih orang-orang kampung), berasa terpanggil untuk mendokumetasikan peristiwa tersebut.
Gambar : Sesi Bengkel

Kedua-dua faktor ini wujud dalam diri Zaharah Nawawi bagi membolehkan beliau memiliki stamina dan motivasi untuk terus menulis novel sejarahnya. Harus diingat bahawa, dalam menulis novel sejarah, andainya pengarang mengalami sekatan mental, pengarang tidak boleh mencipta ataupun mengada-adakan cerita. Pengarang boleh bermain dengan imaginasi tetapi ada batas-batas sejarah yang menghalangnya.

Ada juga suara-suara yang berkata, tidakkah faktor tarikh akhir (deadline) dan faktor RM35,000 sebagai hadiah pertama tidak mampu menjadi pendorong?

Ya, saya akui. Tetapi pada ketika itu, saya tidak melihat langsung kepada kedua-dua faktor tersebut. Pada saya, apabila menulis semata-mata untuk mendapatkan hadiah pertama ataupun mana-mana hadiah, bererti penulisan itu akan hilang berkatnya. Ya, mungkin pengarang itu boleh sahaja menang sayembara tersebut. Tetapi nanti, naskhahnya tidak kekal sepanjang zaman. Hanya diperkatakan seputar waktu kemenangan dan selepas itu langsung dilupakan. Walaupun saya harus menang, wang hasil sayembara itu biarlah berkat.

Ini prinsip saya. Saya tidak mengajak orang lain mengikutnya.

Sekali lagi, ada yang bertanya: beginikah cara untuk menulis novel sejarah?

Ada banyak cara untuk menulis novel sejarah, tetapi jika mahu mengungguli hadiah RM35,000 sekaligus, manuskrip anda diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor serta diundang ke majlis makan malam (yang selalunya gilang-gemilang), ikutlah syarat-syaratnya.

Demikianlah juga untuk menyertai mana-mana sayembara. Jika tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan penganjur, panel tiada pilihan, melainkan menolak naskhah tersebut walaupun dari aspek struktur sebuah karya sasteranya sangat sempurna!

Written by annyss

Januari 28, 2009 at 8:54 am

Laman Web PEN telah dikemaskini

leave a comment »


Baca laporan Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) 2008 anjuran DBP dan PEN di laman web PEN atau klik pada logo di bawah.

Written by annyss

Disember 18, 2008 at 7:24 pm

Dikirim dalam Bengkel Penulisan, DBP, PEN

Umbara Sastera 2

with 5 comments

Dari kiri : Amiza Khusyri, Rabiatul, Kak Halela, Atiqah, Nisah, Sharifah Salha, Nursyakirin & Fahd Razy.

Setelah sekian lama merancang, alhamdulillah, Umbara Sastera 2 dapat berlangsung dalam keadaan serba sederhana tetapi penuh makna. Lebih satu jam, peserta dan khalayak dapat mendengar dan berkongsi pandangan dengan panel yang didatangkan khas untuk program ini.

Terima kasih sekalung budi kepada Raihani Mohd Saaid, Adibah Abdullah, Amiza Khusyri, Salina Ibrahim dan Fahd Razy. Kecuali, Amiza Khusyri, yang lain semuanya datang dari luar Negeri Sembilan, sanggup pula meredah hujan pagi yang penuh rahmat di Bandar Senawang.

Puan Mahaya (Ketua Satu PEN) merasmikan Umbara Sastera 2

Fahd Razy berkongsi kisah penulisannya yang bermula sejak dari Tingkatan 2 dan beliau sebenarnya bermula dengan menulis cerpen. Fahd kini lebih menonjol sebagai penyair muda kerana didikan sewaktu Minggu Penulis Remaja banyak membentuk dirinya sebagai penyair. Kredit diberikan kepada Shamsudin Othman yang merupakan guru di sekolahnya dan juga mentornya. Tidak kurang menarik, Fahd percaya bahawa antara rakan-rakan sekuliahnya yang bakal menjadi doktor, dia mahu menjadi seseorang yang lebih daripada itu – dia mahu jadi doktor yang juga boleh menulis.

Fahd Razy (sedang doa tolak bala, atau senaman anak harimau? sambil diperhatikan oleh Amiza Khusyri


Salina Ibrahim
bercerita bahawa sebagai anak perempuan tunggal daripada 4 orang adik beradik, beliau banyak berterima kasih kepada sekolah menengah tempat dia belajar (Sekolah Raja Perempuan Taayah) yang sedikit sebanyak membentuk budaya membaca. Daripada pembacaan dan disiplin kerjaya yang dimiliki hari ini beliau dapat menjadi penulis yang prolifik, khususnya novel dan cerpen. Salina juga sempat berkongsi proses kreatif sebuah cerpennya yang berjudul Memaknakan Cinta.

Raihani Mohd Saaid (gambar di atas) berkongsi 2 perkara : pengalaman sebagai anak seorang penulis dan juga pengalaman melatih bakal guru Bahasa Melayu dan guru Sastera. Sebagai puteri sulung kepada penyair Zurinah Hassan, ramai yang prejudis terhadap karya beliau. Tidak kurang juga tohmahan bahawa karya Raihani ialah karya Zurinah Hassan sebenarnya. Tohmahan inilah yang harus ditangkis oleh penulis-penulis lain yang juga berada dalam situasi seperti Raihani – Hizairi (Othman Puteh); Shazmee Rizal Agus Salim (Mahaya Mohd Yassin), S.M. Zakir (S. Othman Kelantan) – sekadar menyebut beberapa nama. Menurut Raihani, daripada ibunya sibuk menulis untuknya, lebih baiklah Zurinah Hassan menulis karya-karya sendiri dan terus mengekalkan namanya sendiri di persada puisi tanah air.

Raihani juga menyatakan kebimbangannya terhadap bakal-bakal guru yang kurang maklumat dan kurang membaca karya-karya sastera hinggakan banyak perkara asas dalam penulisan juga tidak dapat dijawab dengan baik. Contoh soalan popular Raihani : Di antara berikut, yang manakah pengarang wanita?

a) Arena Wati b) Ria Asmira c) Kemala d) Nora

Ini juga soalan favourite sewaktu MPR!

Adibah Abdullah (gambar di atas) – pelajar perubatan tahun 2 di University of Manchester kini sedang bercuti musim panas (seperti juga Fahd Razy) sanggup datang dari Kuala Krai, Kelantan untuk menyertai Umbara Sastera. Penggemar karya-karya Abdullah Hussain, Faisal Tehrani dan Stephen King ini bercerita bahawa dia mendapatkan desakan idea untuk menulis daripada satu-satu emosi. Untuk itu, dia harus duduk 5 – 6 jam untuk menyelesaikan cerpennya. Jika dia beralih, emosi itu juga akan terganggu dan dia tidak boleh menyiapkan cerpennya kerana emosi yang sudah diganggu.

Amiza Khusyri Yusof seperti biasa dengan rasa rendah diri bercerita tentang pengalamannya berada di Mesir sebagai pemangkin kepada penulisannya yang bermula di KUSZA. Beliau juga antara ‘orang kuat’ Adabuna – perkumpulan penulis muda seperti Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) – nama-nama seperti Nazmi Yaakub dan Zaid Akhtar juga pernah menjadi ‘orang kuat’ dalam Adabuna.

Seperti GKLN, Adabuna juga menggunakan pendekatan menawan media ataupun “Jom Gempur Media” seperti seruan Fahd Razy dan rakan-rakannya di dalam GKLN. Apabila nama sudah kukuh, barulah mereka pun memilih media dan karya terbaik untuk diterbitkan serta menulis dengan penuh kesedaran.

Majlis berlangsung dengan lancar. Banyak soalan yang mahu dikemukakan tetapi masa begitu terhad. Paling menarik, guru-guru penulis-penulis ini turut hadir meraikan anak-anak didik mereka, seperti Puan Azizah (guru kepada Fahd Razy dan Adibah Abdullah sewaktu mereka di Kolej Mara Banting); Puan Aida Rahayu (guru kepada Amiza Khusyri sewaktu di SMA Dato’ Klana Petra, Seremban). Tentunya, sebagai guru mereka berbangga dengan kejayaan anak-anak didik mereka.

Oh ya, harus saya nyatakan di sini, bahawa selain daripada penyertaan Fahd Razy dari Dublin dan Adibah Abdullah dari Manchester, PEN turut berbangga menerima kunjungan daripada Puan Halela dari Okinawa (yang kebetulan berada di Malaysia dan Singapura sekitar 2 bulan kebelakangan ini).

Laporan tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen boleh dibaca di Laman Rasmi PEN (sedikit masa lagi).

Written by annyss

Julai 21, 2008 at 7:15 am

Aktiviti Terkini PEN

leave a comment »


Dapatkan maklumat lanjut tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen PEN dan Umbara Sastera 2 di Laman Rasmi PEN.

Peluang untuk menyertai Bengkel Penulisan Cerpen di Negeri Sembilan.

Terbuka kepada ahli PEN dan juga bukan ahli.

Terus ke Laman Rasmi PEN.

Written by annyss

Jun 30, 2008 at 6:48 am

Dikirim dalam Bengkel Penulisan, PEN

Beberapa Bengkel / Ceramah

leave a comment »

Seminggu dua yang lalu agak padat memenuhi undangan untuk memberikan ceramah penulisan kreatif dan juga hak cipta.

Mungkin tak dapat dicatatkan semuanya. Sekadar beberapa gambar yang sempat dikongsi di sini :

Ceramah Penulisan Kreatif untuk Staf Bank Negara Malaysia (BNM) dan penyumbang Buletin Kijang (terbitan BNM) :

Paling menarik ialah kafeteria Dinar Matahari yang cukup memanggil pengunjung untuk datang menikmati hidangan di situ. Saya fikir ini ialah satu cara untuk memastikan staf BNM dapat bekerja secara lebih efisien – kafe menarik, tak segan kalau mahu bawa tamu datang makan di sini, ada potongan harga istimewa untuk staf BNM (tak perlu bayar tunai, boleh bayar secara potongan gaji).


Sayang sekali, saya ralit berbual dengan seorang teman yang bertugas di BNM ini sehingga terlupa untuk mengambil gambar ruang kafeteria yang dimaksudkan.

Ceramah Penulisan Kreatif untuk Pensyarah-pensyarah Institut Perguruan Bahasa-bahasa Antarabangsa (IPBA), Jalan Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Ini antara kelompok yang agak tinggi kedudukannya berbanding diri saya sendiri sebagai pengarang. Pun, permintaan yang datang itu tidak saya hampakan. Apatah lagi, mereka mengakui bahawa penulisan yang mereka gulati ialah penulisan akademik. Malah, ada sesetengahnya telah siang-siang memaklumkan bahawa mereka tak mungkin menulis kreatif (dan harus belajar dari mula) kerana tidak mempunyai kekuatan laras bahasa kreatif.

Saya harus membetulkan persepsi tersebut. Tidak semestinya anda tidak boleh menulis hanya kerana anda berpendapat bahawa tidak mempunyai kekuatan gaya bahasa kreatif.

Ada juga yang berhujah bahawa bakat itu amat penting. Tanpa bakat penulisan, tak mungkin seseorang itu boleh menulis. Kata saya, ya, bakat itu memang tidak kurang penting. Tetapi bakat itu hanya 1% berbanding 99% lagi ialah usaha.

Ceramah Hak Cipta – Kursus Pemindahan Tesis ke Buku (anjuran Medium Books & Consultancy)

Bengkel ini turut dihadiri ahli-ahli akademik yang berminat untuk memindahkan tesis kepada buku. Ada yang datang sejauh dari Brunei Darussalam bagi mengikuti kursus ini. Ramai juga yang tidak pernah mendapat pendedahan mengenai hak cipta sebelum ini.

Written by annyss

Jun 30, 2008 at 5:00 am

Dikirim dalam Bengkel Penulisan

Sanubari Yang Dibuka Oleh-Nya

with one comment

Gambar : Bersama-sama Pengarah YWJ, Dr. Kamil & Isteri

Semakin jauh diri saya menginjak kedewasaan ini, saya memiliki keyakinan yang bertambah tentang cara Tuhan ‘bekerja’. Tuhan itu Maha Mengetahui. Ada berbagai-bagai cara untuk Dia menganugerahkan hidayah kepada sesiapa sahaja yang istimewa.

Pertemuan dengan Dr. Muhd Kamil (Pengarah UiTM Johor) di Muar sewaktu Bengkel Penulis Muda Johor 2008 membuka satu lagi lembaran dalam kehidupan saya. Beliau yang hanya saya kenali sebagai penulis buku Travelog Haji (PTS Publication), belum pernah bersua wajahnya. Itulah kali pertama kami bertemu. (Sewaktu menunggu majlis penutup majlis, beliau mengakui pernah singgah di laman ini. Begitu juga dengan saya ke lamannya).

Pihak penganjur memberikan beliau satu slot khusus sebelum bengkel berakhir dengan majlis penutupan. Kisah beliau mendapat hidayah Allah SWT benar-benar menyentuh nubari saya. Bukan mudah untuk mendapat keistimewaan daripada Allah. Bukan semua makhluknya dapat dilembutkan hati dengan sedemikian rupa.

Pengakuan Dr. Muhd Kamil sebagai ‘orang jahil’ agama itu terasa banyak kejujurannya. Bukan mudah orang yang mendapat pencerahan daripada Allah mampu mengakui bahawa dia pada suatu masa dahulu pernah jahil. Ramai orang yang malu mengakui hakikat tersebut. Kesungguhan beliau mahu berubah daripada hidup penuh kejahilan kepada hidup penuh hikmah dan dilindungi rahmah Allah terasa luar biasa. Saya terkasima dengan kerja Tuhan.

Selaku ketua di tempat kerja, beliau bersungguh-sungguh mengajak kakitangannya mengerjakan solat berjemaah di kampus. Digalakkannya pula untuk Solat Dhuha serta diperingatkan kakitangannya supaya tidak menggunakan alasan untuk Solat Dhuha itu sebagai satu bentuk penangguhan kerja. Dalam meninggalkan kualiti di tempat kerja, beliau tidak mahu kakitangannya mempunyai kualiti yang amat rendah di hadapan Allah SWT.

Ah, mungkin catatan ini tidak cukup untuk menggambarkan apa yang saya benar-benar rasa pada hari tersebut. Dalam menahan sebak dan sendu tatkala mendengar kisahnya, saya pun jadi malu di hadapan Tuhan. Didikan sepanjang berada di sekolah agama selama 5 tahun tidak pernah mendatangkan kesan sebegini hebat, berbanding apa yang diucapkan Dr. Mohd Kamil dalam tempoh tidak sampai satu jam.

Rasa tidak sabar mahu membaca karya beliau yang sedang diusahakan kini – Travelog Dakwah: Menggenggam Bara.

Inilah satu bentuk penulisan yang mampu menggugah rasa dan akal fikir. Jika ada kalangan penulis yang tidak mampu menulis karya sastera kerana dirasakan terlalu berat dan besar, nah, inilah alternatifnya. Tulislah sesuatu yang tidak melalaikan, malah mengingatkan pembaca tentang keagungan Tuhan dalam bahasa yang mudah dan mampu sampai kepada semua peringkat. Sudah-sudahlah menulis novel-novel cinta yang tidak berpijak di bumi nyata dan hanya bermain-main dengan emosi yang tidak berkesudahan. Bukankah air mata ini wajar ditumpahkan hanya untuk Dia…

Written by annyss

Jun 2, 2008 at 5:00 am

Dikirim dalam Bengkel Penulisan, Peribadi

Desaru yang mendung

leave a comment »


Atas undangan pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, saya sekeluarga meredah hujan ribut untuk pertama kali sampai ke Desaru Golden Beach Resort – tempat Bengkel Penulisan Novel diadakan. Selama ini hanya pernah dengar nama Desaru dan belum pernah dapat kesempatan untuk menjejakkan kaki. Perjalanan dari Seremban ke Desaru memakan masa hampir 5 jam. (Letih sungguh menjawab soalan anak-anak : “Are we there yet?”)

Harapan untuk sekali lagi melihat matahari terbit dari laut (kerana kedudukan Desaru di sebelah timur negeri Johor) tidak kesampaian walaupun kami berada selama 3 hari di sana. Mendung dan hujan lebat silih berganti. Matahari memancar hanya untuk beberapa minit.

Namun, semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang terdiri daripada gabungan penulis berusia muda dan ada juga yang sudah matang, sama sekali tidak terjejas. Malah, saya kagum dengan semangat seorang daripada peserta yang bercita-cita untuk menulis setelah bersara kelak. Beliau sanggup ambil cuti dan datang ke Desaru semata-mata untuk mempelajari teknik penulisan dan turut mengakui bahawa beliau memang tidak pernah ada sebarang bimbingan sebelum ini.

Apabila saya membaca teks awal manuskrip novelnya, kandungannya amat memberangsangkan. Kisah seorang remaja perempuan yang amat nakal dan membesar di persekitaran kampung itu amat mengesankan. Saya dorong supaya dia terus menulis kerana remaja hari ini memang ketandusan kisah-kisah sedemikian kerana dibesarkan oleh televisyen, komputer dan tidak berani untuk keluar rumah (atas sebab-sebab keselamatan). Kisah dan budaya kampung itu wajar didokumentasikan.

Tidak kurang juga dengan penulis-penulis muda yang mencari motivasi dan stamina untuk menyudahkan manuskrip masing-masing. Sesungguhnya memulakan penulisan novel itu boleh jadi mudah. Tetapi mencari kekuatan untuk menyudahkannya boleh jadi lebih hebat lagi dugaannya.

Seperti selalunya, saya tidak pernah mengharapkan bahawa akan lahir penulis daripada sebarang bengkel. Saya percaya bahawa penulis itu lahir kerana kekuatan yang ada di dalam dirinya. Bengkel-bengkel seperti ini sekadar merangsang pembentukan penulis.

Tidak ketinggalan, dua orang peserta dari Singapura yang turut sama berkongsi pengalaman. Katanya, di Singapura pengalaman berbengkel amat berlainan sekali. Ada juga penceramah yang menyampaikan bengkel penulisan kreatif ala-ala kuliah di universiti. Hmm… saya harap saya tidaklah begitu. Dan mereka berdua menafikannya dan berasa bahawa saya telah dapat sampai ke aras pemahaman mereka.

Ya, bukan mudah untuk menerangkan sesuatu kepada kelompok khalayak yang mempunyai aras penerimaan maklumat yang berbeza-beza. Puas juga ‘bersilat’ untuk memastikan tidak ada yang rasa tertinggal ataupun terasa seperti saya mengulang perkara yang sama. Pun, sejak awal saya sudah tegaskan bahawa kepada sesiapa yang pernah mendengar apa yang telah saya katakan, anggaplah itu sebagai suatu pengukuhan. Jika terasa perkara itu suatu ilmu baharu, anggaplah saya ini sekadar menyampaikan ilmu yang sesungguhnya milik Tuhan. Saya sekadar berkongsi apa yang saya tahu. Selebihnya, ialah kekuatan setiap peserta menanggapi dan menerima dengan pemahaman yang tersendiri.

p/s : anak-anak saya juga agak kecewa di kolam mandi kerana baru beberapa minit main air, hari pun hujan lagi… Tetapi itu sahajalah

Written by annyss

Mac 17, 2008 at 10:17 am

Musim Panas yang Dingin

with 2 comments

I

Hari Rabu (8.8.07) lepas saya diberi amanah menyampaikan ceramah / kuliah “Hak Cipta dan Etika Penulisan” kepada sekumpulan pelajar Malaysia yang pulang bercuti dari luar negara. Mereka ini lebih dikenali sebagai ahli Adabuna (pelajar Timur Tengah) dan juga GKLN (Grup Karyawan Luar Negara).

Menarik juga bertemu mereka. Ada antara mereka yang pernah ‘berbual’ dengan saya secara maya – sama ada di blog ini ataupun melalui YM. Alhamdulillah, mereka dilihat berkobar-kobar dan diharapkan juga dapat meneruskan kesinambungan pencarian bagi melahirkan penulis/penyair pelapis tanah air.

Doa saya – moga mereka dapat memanfaatkan latar luar negara (kerana mereka bergelumang di sana dalam tempoh yang tertentu) ketika menghasilkan satu pemikiran baharu dalam karya mereka. Saya dan beberapa orang teman penulis yang memantau perkembangan penulis-penulis muda – seringkali lelah membaca karya klise yang tidak habis menghasilkan karya ‘cinta-cintaan’ yang sarat emosi dengan garapan plot yang amat longgar.


Faisal Tehrani memberi ceramah tentang penghasilan novel

Hendaknya, selepas menghadiri bengkel serupa itu – apatah lagi setelah ‘disembur’ pembimbing – dapatlah mereka semua memperkukuh kedudukan dan memperbaiki karya masing-masing supaya segera mendapat tempat di media perdana.

Pun begitu, hendaklah juga segera menghantar karya. Andai menulis, tetapi selepas itu tidak dikirimkan, tidak berbaloi juga pergi walau berpuluh-puluh bengkel.

Pendek kata, setelah berbengkel. Terus menulis dan jangan lupa dapatkan keberanian untuk menghantar karya tersebut untuk diterbitkan.

Beberapa gambar Bengkel Penulisan Musim Panas Karyawan Muda Luar Negara ada dipaparkan di Laman Web  GKLN.

II

Hari Sabtu (8.8.2007), kedudukan saya pula berubah. Daripada seorang penceramah, kini saya pula menjadi peserta Wacana HSKU yang berlangsung seperti mana yang pernah saya uar-uarkan sebelum ini. Majlis berlangsung mengikut perancangan.

Dalam sesi 1 dan 2, Kak Anis (Dr. Amida Abd Hamid) yang telah sekian lama menjadi panel HSKU berkongsi ilmu tentang logik. Kupasannya sangat menarik sehingga sebahagian daripada peserta masih mengaplikasikan konsep falsafah dan logik di meja makan. Siapa kata kuliah falsafah membosankan? Kalau boleh, saya mahu sahaja mendaftar untuk kuliah falsafah kelolaan Kak Anis. Malah, sewaktu di fakulti undang-undang dahulu pun, saya amat menggemari kuliah Falsafah Undang-undang (Jurisprudens).

 
Cik Masliza menerangkan apa itu ‘kebahagian’ dalam kuliah falsafah bersama Kak Anis (Dr. Amida Abd. Hamid) Puan Siti Suhana (duduk) begitu tekun mendengar
 

Pada sebelah petang pula, kami sekali lagi pendapat pencerahan ilmu oleh Dr. Dzul Haimi (penulis buku Ragam Hias Al-Quran) ** Dr. Dzul menerangkan tentang seni tampak dan bagaimana kedua-dua cabang seni (tampak dan sastera) ini saling berkait.

Menurut beliau, sebuah karya yang baik tidak kiralah karya seni tampak ataupun seni sastera, mestilah memberi pencerahan kepada khalayaknya. Barulah karya tersebut mempunyai tingkat ataupun makam (ini istilah saya sendiri) yang tertentu. Ertinya, karya tersebut mempunyai muatan yang memberi ilmu (epistimologi) kepada penikmat seni / penikmat karya.

Kupasan beliau tentang ragam hias Al-Quran pula begitu menyeronokkan – tidak adil rasanya saya tulis di sini. Hanya mereka yang hadir sahaja dapat memahami dan menikmati ilmu tersebut.

Sesi terakhir disudahi Editor Kanan, UP&D, Puan Nor Azah Abd. Aziz yang memperkatakan tentang pencarian karya unggul, khususnya dalam HSKU.

Walaupun dalam suasana yang berbeza, situasi pertama saya menjadi penceramah dan dalam wacana ini saya sangat teruja menjadi peserta, kedua-duanya berlangsung dalam dewan yang sangat dingin.

Si kecil saya juga tidak terlalu banyak karenah mengikuti kedua-dua acara ini bersama-sama dengan saya ;-)


Ibnu Ahmad Al-Kurawi (kiri) dan Fahd Razy nampaknya sangat berpuas hati. Bukan sahaja dengan Wacana HSKU tetapi juga dengan jamuan ringan yang disediakan sebelum kami berpisah dan pulang ke destinasi masing-masing

Masih ramai yang membeli belah dari gerai UP&D sebelum pulang

** Buku ini sudah ada di Ujana Ilmu tetapi masih belum dimasukkan ke dalam sistem. Webmaster, harap ambil perhatian :-)

Written by annyss

Ogos 12, 2007 at 12:30 pm

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.