Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for the ‘MPR’ Category

Lintas Langsung Perhimpunan Penulis Muda

leave a comment »

Kecanggihan teknologi membenarkan banyak hal. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang tidak berpeluang menghadiri Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 kini dapat mengikutinya secara langsung (separa langsung) di laman Minggu Penulis Remaja

Written by Nisah Haron

Mei 23, 2009 at 9:29 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera, MPR

(Sekadar Menyebut Beberapa Nama)

with 8 comments


Ucapan Wakil MPR – Diskusi Karya Mantan MPR 2009

Basmalah, selawat & salam.

Salutasi :

Ybhg. Puan Zaiton Ajmain, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera, DBP
Yang dihormati barisan panel pembentang Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009
Alumni MPR, khususnya –

Selamat datang kepada adinda-adinda mantan peserta MPR 2008. Tahniah kerana adinda semua telah menjadi ahli terbaharu dalam keluarga yang semakin besar tetapi mesra ini!

Sesetengah pengarang ada menyatakan : saya menulis bukan kerana nama. Kedengaran begitu ideal sekali. Benar, sebagai pengarang (khususnya yang beragama Islam) kita wajar menulis kerana Allah Ta’ala. Namun, nama begitu penting kepada pengarang.

Yang mengikuti nama itu ialah reputasinya. Walaupun, editor seharusnya menilai karya dan bukannya nama pengarang, percaya ataupun tidak, nama pengarang itu besar pengaruhnya kepada kecenderungan memilih ataupun menilai karya kerana editor juga manusia.

Atas alasan yang sama, nama pengarang tidak dibenarkan wujud pada naskhah karya yang menyertai sayembara penulisan kerana nama itu kelak dikhuatiri akan mempengaruhi hakim dalam membuat keputusan.

Demikianlah peranan nama. Oh, ya, dan nama juga penting kerana pihak penerbit perlu membuat bayaran royalti atau honorarium kepada pengarang!

Kalau diperhatikan di dalam rencana ataupun artikel yang merujuk kepada mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR), biasanya akan ditulis begini : Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari, Hizairi Othman, Shamsudin Othman, Amaruszati Noor Rahim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Beberapa tahun kemudian, apabila sekali lagi artikel yang merujuk kepada mantan peserta MPR akan ditulis begini pula : Faisal Tehrani, Nisah Haron, Salina Ibrahim, Raihani Mohd Saaid, Shazmee Rizal Agus Salim dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Masa berlalu dan artikel tentang MPR terus ditulis, kali ini nama lain pula disenaraikan : Lutfi Ishak, Salman Sulaiman, Ghafirah Idris, Nasriah Abdul Salam, Nimoiz T.Y. dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Dan saya percaya tidak lama lagi, nama-nama ini akan menyenaraikan beberapa nama baharu yang mewakili mantan peserta MPR 2006, 2007 & 2008. Itu sudah pasti.

Namun, apakah syarat supaya nama-nama ini menjadi sebutan para pengkritik sastera. Saya percaya syarat yang paling utama ialah menulis dan menulislah karya yang berkualiti, jauh dari klise dan mencari kelainan dalam penghasilan karya tersebut.

Saya masih ingat lagi sewaktu menjadi pembimbing dan mentor bagi MPR 2006 di Port Dickson, saya dan Raihani Mohd Saaid sengaja tidak mengadakan sesi taaruf secara formal. Bukanlah kami tidak menyedari kepentingan taaruf ataupun sesi berkenalan itu, tetapi, kami membawa realiti dalam penulisan.

Apakah realiti itu? Apabila karya kita pertama kali membuat tembusan di media, siapa pun tidak akan kenal siapa kita. Namun, di kalangan masyarakat sastera akan ada yang bertanya : siapakah penulis baru ini? Dan jika selepas itu, karyanya tersiar lagi dan lagi dan lagi, namanya akan diingati kerana kerap kali melintas di media.

Seperti iklan yang harus diulang supaya pembeli ataupun calon pembeli dapat mengingati nama produk, demikianlah nama pengarang itu harus muncul (jika boleh) di mana-mana media supaya nama itu dapat diperhatikan. Dan di dalam kes alumni MPR, namanya akan dipilih bagi mewakili generasi berikutnya dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama.

Kembali kepada MPR 2006, walaupun tiada sesi taaruf yang formal, hari ini saya dapat mengingati nama-nama seperti Nissa’ Yusof, Zulfazlan Jumrah, Firdhaus Hassan, Ainunl Muaiyanah, MF Kencana dan Nabiha Mashut dan diikuti dengan ungkapan di dalam kurungan – sekadar menyebut beberapa nama – kerana nama mereka sudah semakin kerap melintasi media cetak. Mereka ini bukan sahaja prolifik dan tekal menulis (sekakat ini) tetapi karya mereka berpotensi untuk mencabar kedudukan para senior MPR dan juga penulis-penulis mapan.

Karya-karya mereka ini juga akan turut dibincangkan dalam kategori karya eceran dalam Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009 yang akan dimulakan sebentar lagi.

Saya juga sudah merisik-risik kepada mantan 2006 khususnya, mereka sudah ada karya yang mahu dihimpunkan di dalam sekurang-kurangnya 2 buah antologi. Insya-Allah, saya akan bantu penyelenggaraan antologi cerpen dan Sdr Shamsudin Othman juga pada dasarnya bersetuju untuk menyelenggarakan antologi puisi. Sebelum kami terbitkan antologi ini sendiri, sekali lagi saya mahu hulurkan manuskripnya kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Harapan saya ada tangan yang bakal menyambut dan seterusnya menerbitkan antologi tersebut.

Kepada mantan tahun-tahun yang lain, seperti 2007 & 2008, merujuklah kepada mentor/pembimbing masing-masing. Tangan saya cuma ada dua. Setakat ini belum terdaya untuk menyelenggara antologi-antologi yang lain. Kami yang dianggap lebih senior ini sedia membantu setakat mana yang termampu ibarat kata pantun melayu :

Sapu tangan jatuh ke laut,
      Jatuh dengan alas-alasnya;
Panjang tangan kami menyambut,
      Satu pun tidak mengharap balasnya.

Sekadar makluman, saya dan Dr. Mawar Shafei telah merintis satu projek penulisan baharu – iaitu sebuah buku yang menghimpunkan proses kreatif penulis-penulis dekad 90-an. Working titlenya, kami judulkan “Bagaimana Saya Menulis?” Untuk edisi pertama ini, kami akan menghubungi sekumpulan penulis yang aktif pada akhir tahun 80-an hingga 90-an. Tentunya nama yang bakal tersenerai merupakan mantan peserta MPR, kalau tidak semuanya pasti sebahagian besar daripadanya.

Jadi bersedialah, kita semua ingin tahu ‘bagaimana anda menulis’. Kongsi dengan kita semua. Dokumentasikan, supaya generasi akan datang dapat menatapnya sebagai panduan dan juga pembakar semangat. Saya percaya cara kita menulis pastinya tidak sama.

Doakan projek kecil ini berjaya. Harapan kami juga, pihak DBP dapat menyambut manuskrip ini kerana di Malaysia buku jenis ini kurang diterbitkan tetapi penerbitannya amat bermakna untuk warga penulis.

Pada kesempatan ini juga, saya mewakili Alumni MPR mengucapkan terima kasih sekalung budi kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka yang selama ini memberikan kerjasama kepada pihak kami dalam mengadakan projek-projek seperti ini.

Kami para senior mengiktiraf tugas menguruskan program seperti ini. Kami juga pernah melakukannya. Kami faham jerihnya. Kami akan sentiasa menyokong. Perkembangan MPR juga sentiasa diikuti melalui laman blog MPR : minggupenulisremaja.blogspot.com. Kepada para senior, kalau pun kita tidak dapat menyumbangkan tenaga, sekurang-kurangnya kita teruskan sokongan kepada usaha murni adik-adik kita ini.

Insya-Allah, pada masa hadapan pihak jawatankuasa kerja mungkin akan dapat mengadakan juga bengkel berterusan seperti kuliah kritikan sastera, penulisan skrip drama, puisi tradisional dan juga projek-projek lain yang boleh kita sama-sama fikirkan, selain meneruskan projek diskusi karya mantan MPR ini.

Lalu kepada siapa lagi yang wajar kami sandarkan harapan, selain ihsan dan sokongan daripada induk kami – Dewan Bahasa dan Pustaka yang lebih 2 dekad melahirkan penulis-penulis pelapis di pentas sastera Melayu.

Tanam legundi tumbuh kelapa,
      Terbit bunga pucuk mati;
Budi tuan kami tak lupa,
      Sudah terpaku di dalam hati.

Sekian, wabillahi taufiq walhidayah

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Written by Nisah Haron

Januari 19, 2009 at 9:40 am

Dikirim dalam MPR, Ucapan

Majlis Diskusi Karya Mantan MPR 2009

leave a comment »

Dengan sukacita memaklumkan, Alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) akan mengadakan satu majlis Diskusi Karya Mantan MPR, 2009. Anda dipelawa menghadiri majlis tersebut untuk memeriahkan lagi satu majlis wacana ilmiah dan sastera Melayu.

Butirannya seperti yang berikut:

17 Januari 2009 (Sabtu)
8.30 pagi – 12.30 tengah hari

Dewan Seminar, Dewan Bahasa dan Pustaka

Penganjur Bersama:
Alumni Minggu Penulis Remaja &
Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka

Sesi 1

  • Karya eceran puisi: dibicarakan oleh Professor Rahman Shaari
  • Karya eceran cerpen: dibicarakan oleh Dr Mawar Shafie
  • Antologi cerpen KACAK JELITA: dibicarakan oleh Encik S.M.Zakir

Sesi 2

  • Novel BUKAN YANG PERTAMA karya Salina Ibrahim:
    dibicarakan oleh Dr Rosnah Baharudin
  • Kumpulan cerpen ESPRIT DE CORPS karya Nimoiz T.Y:
    dibicarakan oleh Dr Amida Abd Hamid (Anis)
  • Kumpulan cerpen UJANA RINDU karya Mohd Ashadi Saiman & Siti Hajar Mohd Zaki:
    dibicarakan oleh Dr Kamariah Kamaruddin

Terbuka untuk semua khalayak – pembaca, penelaah, pemerhati, peminat dan pencinta ilmu dan sastera!

Written by Nisah Haron

Januari 7, 2009 at 11:35 am

Dikirim dalam MPR

Sekitar Diskusi Karya Mantan MPR

with 5 comments

Dari kiri : Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, Dr. Rahmah Ahmad H. Othman, Encik Saleeh Rahamad & Khairul Nizam (Pengerusi)

Saya kagum dengan usaha adik-adik (junior) mantan peserta MPR yang bertungkus-lumus bagi menjayakan diskusi kali ini. Tahniah kepada Nasriah dan kawan-kawan. Walaupun mereka bekerja keras sesama mereka, kami yang senior ini tetap tidak dilupakan. Banyak kali juga mereka merujuk dan bertanya itu dan ini. Alhamdulillah, moga-moga tradisi begini dapat diteruskan.

Pagi itu, majlis dimulakan dengan ucapan daripada Salina Ibrahim selaku wakil kepada mantan MPR dan diikuti oleh ucapan daripada Ketua Bahagian Sastera, Puan Hajah Zalila Sharif. Seterusnya, ada pertunjukan slaid mantan-mantan MPR. Banyak kenangan lama yang terusik kala itu.

Untuk sesi pertama, seperti yang dijadualkan pembentangan dimulakan dengan Dr. Faridah Jalil dari Fakulti Undang-undang UKM. Nama beliau saya cadangkan kepada pihak pengajur kerana minat dan kecenderungan untuk mengkaji hal-hal sastera & undang-undang. Minat membaca yang amat sebati dalam dirinya memungkinkan beliau menyudahkan pembacaan novel saya dan sekaligus melihat novel Puisi Untuk Esdyzuar dari kaca mata seorang pendidik undang-undang.

Malah, sebagai senior di Fakulti Undang-undang (Batch Pertama), beliau juga mengenali saya sejak saya berada di peringkat matrikulasi lagi. Beliau juga mengikuti perkembangan pengkaryaan saya. Saya juga melihat minat membaca tumbuh meliar dalam diri keluarganya juga.

Berikut petikan daripada kertas kerja beliau :

“Pertikaian yang berlaku dalam beberapa keadaan memerlukan penyelesaian di luar kerangka undang-undang atau pelanggaran kepada amalan perundangan. Proses undang-undang hanya bersifat mengaburi mata. Sidang mahkamah diadili oleh hakim (Arlandis) yang forumnya untuk mendapatkan natijah yang tertentu. Penyelesaian secara diplomatik dan perundingan adakalanya lebih berbaloi dan bermakna, terutamanya apabila ia membabitkan sentimen kebangsaan,

Diperlihatkan juga agen undang-undang diguna untuk tujuan tertentu, Zareth misalnya, Pendakwa Negara berperanan untuk membebaskan Esdyzuar tetapi mempunyai agenda tersendiri dalam menjayakan misi menakluk Cenma Detara.

Proses undang-undang untuk membuktikan kebenaran juga terlindung apabila tanggapan bahawa seorang itu adalah bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya lebih utuh berbanding prinsip seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Esdyzuar terpaksa hidup dibayangi dengan anggapan bersalah ketika di Cenma Detara, tapi tiada beza jika dia berada di Cosmo.”



Turut hadir, wakil daripada penerbit – Al-Ameen Serve Holdings, Puan Semiah dan Sdr Jonos (gambar di atas) serta tidak ketinggalan jualan buku oleh Ujana Ilmu dan “kedai buku Ummu Hani” yang memeriahkan suasana.

Kehadiran juga amat memuaskan. Selain daripada mantan-mantan yang hadir, majlis turut menerima ramai peminat sastera khususnya di kalangan mahasiswa/i universiti. Kemungkinan panel pembentang ‘mengarahkan’ pelajar untuk hadir. Pun, kehadiran mereka amat menghangatkan suasana.

Pelancaran Antologi Kacak Jelita pula disempurnakan oleh Kak Anis atau Dr. Amida Abdulhamid yang diundang khusus untuk tujuan ini – lihat gambar di atas: Kak Anis dibantu oleh Ummu Hani (kiri) dan Nasriah Abdul Salam.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan tahniah kepada penganjur. Semoga akan ada acara susulan selepas ini.

Written by Nisah Haron

Ogos 4, 2008 at 7:10 am

Umbara Sastera 2

with 5 comments

Dari kiri : Amiza Khusyri, Rabiatul, Kak Halela, Atiqah, Nisah, Sharifah Salha, Nursyakirin & Fahd Razy.

Setelah sekian lama merancang, alhamdulillah, Umbara Sastera 2 dapat berlangsung dalam keadaan serba sederhana tetapi penuh makna. Lebih satu jam, peserta dan khalayak dapat mendengar dan berkongsi pandangan dengan panel yang didatangkan khas untuk program ini.

Terima kasih sekalung budi kepada Raihani Mohd Saaid, Adibah Abdullah, Amiza Khusyri, Salina Ibrahim dan Fahd Razy. Kecuali, Amiza Khusyri, yang lain semuanya datang dari luar Negeri Sembilan, sanggup pula meredah hujan pagi yang penuh rahmat di Bandar Senawang.

Puan Mahaya (Ketua Satu PEN) merasmikan Umbara Sastera 2

Fahd Razy berkongsi kisah penulisannya yang bermula sejak dari Tingkatan 2 dan beliau sebenarnya bermula dengan menulis cerpen. Fahd kini lebih menonjol sebagai penyair muda kerana didikan sewaktu Minggu Penulis Remaja banyak membentuk dirinya sebagai penyair. Kredit diberikan kepada Shamsudin Othman yang merupakan guru di sekolahnya dan juga mentornya. Tidak kurang menarik, Fahd percaya bahawa antara rakan-rakan sekuliahnya yang bakal menjadi doktor, dia mahu menjadi seseorang yang lebih daripada itu – dia mahu jadi doktor yang juga boleh menulis.

Fahd Razy (sedang doa tolak bala, atau senaman anak harimau? sambil diperhatikan oleh Amiza Khusyri


Salina Ibrahim
bercerita bahawa sebagai anak perempuan tunggal daripada 4 orang adik beradik, beliau banyak berterima kasih kepada sekolah menengah tempat dia belajar (Sekolah Raja Perempuan Taayah) yang sedikit sebanyak membentuk budaya membaca. Daripada pembacaan dan disiplin kerjaya yang dimiliki hari ini beliau dapat menjadi penulis yang prolifik, khususnya novel dan cerpen. Salina juga sempat berkongsi proses kreatif sebuah cerpennya yang berjudul Memaknakan Cinta.

Raihani Mohd Saaid (gambar di atas) berkongsi 2 perkara : pengalaman sebagai anak seorang penulis dan juga pengalaman melatih bakal guru Bahasa Melayu dan guru Sastera. Sebagai puteri sulung kepada penyair Zurinah Hassan, ramai yang prejudis terhadap karya beliau. Tidak kurang juga tohmahan bahawa karya Raihani ialah karya Zurinah Hassan sebenarnya. Tohmahan inilah yang harus ditangkis oleh penulis-penulis lain yang juga berada dalam situasi seperti Raihani – Hizairi (Othman Puteh); Shazmee Rizal Agus Salim (Mahaya Mohd Yassin), S.M. Zakir (S. Othman Kelantan) – sekadar menyebut beberapa nama. Menurut Raihani, daripada ibunya sibuk menulis untuknya, lebih baiklah Zurinah Hassan menulis karya-karya sendiri dan terus mengekalkan namanya sendiri di persada puisi tanah air.

Raihani juga menyatakan kebimbangannya terhadap bakal-bakal guru yang kurang maklumat dan kurang membaca karya-karya sastera hinggakan banyak perkara asas dalam penulisan juga tidak dapat dijawab dengan baik. Contoh soalan popular Raihani : Di antara berikut, yang manakah pengarang wanita?

a) Arena Wati b) Ria Asmira c) Kemala d) Nora

Ini juga soalan favourite sewaktu MPR!

Adibah Abdullah (gambar di atas) – pelajar perubatan tahun 2 di University of Manchester kini sedang bercuti musim panas (seperti juga Fahd Razy) sanggup datang dari Kuala Krai, Kelantan untuk menyertai Umbara Sastera. Penggemar karya-karya Abdullah Hussain, Faisal Tehrani dan Stephen King ini bercerita bahawa dia mendapatkan desakan idea untuk menulis daripada satu-satu emosi. Untuk itu, dia harus duduk 5 – 6 jam untuk menyelesaikan cerpennya. Jika dia beralih, emosi itu juga akan terganggu dan dia tidak boleh menyiapkan cerpennya kerana emosi yang sudah diganggu.

Amiza Khusyri Yusof seperti biasa dengan rasa rendah diri bercerita tentang pengalamannya berada di Mesir sebagai pemangkin kepada penulisannya yang bermula di KUSZA. Beliau juga antara ‘orang kuat’ Adabuna – perkumpulan penulis muda seperti Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) – nama-nama seperti Nazmi Yaakub dan Zaid Akhtar juga pernah menjadi ‘orang kuat’ dalam Adabuna.

Seperti GKLN, Adabuna juga menggunakan pendekatan menawan media ataupun “Jom Gempur Media” seperti seruan Fahd Razy dan rakan-rakannya di dalam GKLN. Apabila nama sudah kukuh, barulah mereka pun memilih media dan karya terbaik untuk diterbitkan serta menulis dengan penuh kesedaran.

Majlis berlangsung dengan lancar. Banyak soalan yang mahu dikemukakan tetapi masa begitu terhad. Paling menarik, guru-guru penulis-penulis ini turut hadir meraikan anak-anak didik mereka, seperti Puan Azizah (guru kepada Fahd Razy dan Adibah Abdullah sewaktu mereka di Kolej Mara Banting); Puan Aida Rahayu (guru kepada Amiza Khusyri sewaktu di SMA Dato’ Klana Petra, Seremban). Tentunya, sebagai guru mereka berbangga dengan kejayaan anak-anak didik mereka.

Oh ya, harus saya nyatakan di sini, bahawa selain daripada penyertaan Fahd Razy dari Dublin dan Adibah Abdullah dari Manchester, PEN turut berbangga menerima kunjungan daripada Puan Halela dari Okinawa (yang kebetulan berada di Malaysia dan Singapura sekitar 2 bulan kebelakangan ini).

Laporan tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen boleh dibaca di Laman Rasmi PEN (sedikit masa lagi).

Written by Nisah Haron

Julai 21, 2008 at 7:15 am

Ahmad Zafran – Mantan Peserta MPR ’93 Pulang ke Rahmatullah

with 8 comments

Gambar : kiri sekali – Ahmad Zafran (Panah Arjuna) sewaktu Minggu Penulis Remaja 1993

Saya kenal Almarhum lama dulu – sewaktu sama-sama menjadi peserta MPR 1993. Kami juga sama-sama menang Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat 1992. Ketika itu, saya menerima hadiah untuk “Annyss Sophilea” dan Almarhum pula memenangi hadiah untuk cerpen “Cintaku Hanya Untuk-Nya”


Selepas itu, saya terputus hubungan dengannya dan hanya bertemu kembali setelah almarhum menghasilkan novel “Tegar” bersama-sama PTS.

Kami bertemu semula sewaktu “Sembang-sembang Penulis Melayu” di MPH Mid-Valley tahun 2006. Dia menegur saya dan menghadiahkan saya senaskhah novel “Tegar”nya itu.

Lalu, apabila almarhum kembali aktif menulis dengan PTS, khasnya, kami bertemu kembali di perhimpunan Alumni MPR pada Ogos tahun lalu.

SMS daripada Ridzuan (mantan MPR dan pensyarah ASWARA) petang tadi amat mengejutkan. Kemudian bertalu-talu datang dari teman-teman seangkatan.

Ya, dari Allah kita datang dan kepadan-Nya kita kembali.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Gambar : Belakang sekali (berdiri dari kiri) Azizul Ikhwan (Ode), Hafiz Noramli, Hafezin, Ahmad Zafran (Panaharjuna), Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin.

Tengah dari kiri : Firdhaus Hassan, Zulfazlan Jumrah MF Kencana, Amir Mukhriz (terlindung) Azree

Depan dari kiri : Ghafirah Idris, Raihani Mohd Saaid, Nisah Hj Haron, Hani Salwah, AinunL Muaiyannah, Atriza Omar

– Boleh juga baca mengenai berita almarhum di blog Zaid Akhtar, Puan Ainon Mohd (PTS) dan Jonos

Written by Nisah Haron

Februari 3, 2008 at 4:38 pm

Dikirim dalam Al-Fatihah, MPR

Puisi Untuk Esdyzuar – di Ujana Ilmu

with 16 comments


Sudah berada di www.ujanailmu.com.my


Pembeli boleh mendapatkan buku ini sahaja ataupun beli dengan harga pakej.

Bagi Pakej Esdyzuar, pembeli dapat membeli novel Puisi Untuk Esdyzuar dan Antologi 12! dengan harga yang lebih menjimatkan.

Written by Nisah Haron

Disember 12, 2007 at 7:00 am

MPR

with 3 comments

Mulai Ahad lepas, saya dan ‘si kecil’ sibuk di DBP, sama-sama menjadi fasilitator untuk Minggu Penulis Remaja 2007 (MPR). Memang mencabar menjadi fasilitator, penceramah dan juga meladeni anak kecil yang cukup kerap menyusu. Apatah lagi, si kecil enggan didukung orang lain selain saya.

Untuk itu, aktiviti ini amat meletihkan. Pun, saya gagahkan juga demi mahu melihat adanya generasi pelapis yang bakal menjadi sasterawan kelak. Saya gagahkan juga membawa buku-buku untuk dijual dan dikongsi dengan mereka kerana saya tahu sukarnya untuk mendapatkan buku-buku yang baik (hatta di kedai koperasi DBP juga). Walaupun getir dan memang menyukarkan, saya lalui juga.

Mujur juga sewaktu berceramah tentang hak cipta dan etika penerbitan, kebetulan suami saya singgah di Kuala Lumpur (pada masa lain, dia harus berada di rumah untuk memantau 3 orang anak kami yang lain), dan dapatlah dia membawa si kecil ‘pusing-pusing’ Kuala Lumpur sementara saya habiskan sesi ceramah. Terima kasih, Sayang !

Masih ada 2 hari berbaki.

Sabtu nanti baru boleh melepas rindu pada anak-anak lain di rumah.

Saya tidak mengharapkan pengorbanan kecil ini ada balasannya untuk diri saya. Tetapi, saya benar-benar berharap adik-adik MPR kali ini tidak akan mensia-siakan pengorbanan semua fasi dan penceramah yang meninggalkan keluarga demi MPR dan kelangsungan dunia sastera Melayu!

Written by Nisah Haron

November 29, 2007 at 3:59 pm

Dikirim dalam MPR

Menyertai MPR 2007

with 2 comments

Dewan Bahasa dan Pustaka sudah pun memulakan pencarian bakat baru penulisan kreatif. Minggu Penulis Remaja DBP 2007 telah pun dibuka.

Maklumat lanjut boleh baca di laman Mantan Minggu Penulis Remaja.

Borang penyertaan dan syarat penyertaan boleh ambil dari laman DBP.

Tarikh tutup penyertaan : 5 November 2007.

MPR akan berlangsung pada 25 November 2007 – 1 Disember 2007.
Tempat : DBP Kuala Lumpur

Saya telah diundang sebagai penceramah bagi slot hak cipta dan juga fasilitator.

Sekiranya anda berusia 17 – 21 tahun dan menepati syarat-syarat penyertaan, inilah masanya untuk mengambil peluang keemasan!

Written by Nisah Haron

Oktober 23, 2007 at 1:35 am

Dikirim dalam MPR

Blog Rasmi MPR

leave a comment »


Kepada semua mantan MPR, kini kita sudah tempat rasmi untuk berkumpul.

Sila klik : http://www.minggupenulisremaja.blogspot.com

Para mantan juga diharap dapat memberi sebarang maklumat terkini yang mahu dipaparkan di laman tersebut.

Written by Nisah Haron

Oktober 1, 2007 at 8:06 am

Dikirim dalam MPR