Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Sehelai Pua Kumbu Tanda Persahabatan

with 4 comments


Saya baru pulang dari Kuching, Sarawak Sabtu lepas. Berpergian tidak lama. Percaya ataupun tidak, saya mengambil penerbangan paling awal dan pulang dengan penerbangan paling akhir pada hari yang sama. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, disambut seorang sahabat blogger, Maslina.

Alhamdulillah. Akhirnya, saya sampai juga ke bumi Sarawak buat kali pertama. Ini merupakan singgahan kali ketiga ke tanah Borneo, setelah 2 kali ke Sabah.

Walaupun pemergian ini hanya dirancang pada saat-saat akhir, saya tidak sangka banyak yang manis yang Tuhan aturkan untuk saya. Hasrat untuk mengutip ilmu di DBP Cawangan Sarawak tercapai; hajat untuk membeli sedikit ole-oleh dari Kuching juga tercapai.

Setelah selesai urusan rasmi, Maslina membawa saya ke Muzium Kucing yang terletak di dalam bangunan Majlis Bandararaya Kuching Utara. Ada banyak maklumat tentang kucing yang dipamerkan. Saya seronok mendapati banyak perkara baharu tentang kucing dan betapa ramainya penulis-penulis di Barat yang memilih kucing sebagai teman sewaktu mereka menulis!

Sempat juga bersembang di Atmosfera bersama-sama penulis yang menggelarkan diri mereka Angkatan Penulis Indie (A.P.I.) yang sedang menggagahkan diri membina nama menerusi cara yang bukan konvensional. Maslina juga salah seorang ahli. “Cuma ada 2 bunga di dalam API,” kata Yusof Fansuri, yang memperkenalkan saya pada komuniti ini. Menarik juga perkembangan perkumpulan ini. Ternyata mereka berani dan punya visi tersendiri.

Kemudian, saya dibawa ke Pasar Satok. Saya ini bukan penggemar ikan terubuk, apatah lagi yang masin. Tapi, saya pernah dengar tentang keenakan telur terubuk. Di sini, harganya boleh mencecah beratus ringgit sekilo. Untuk menyampaikan hajat sendiri, saya beli sedikit tetapi bukan yang sudah dimasinkan.

Berkejar keluar meninggalkan Satok kerana langit sudah gelap bagai hendak runtuh! Saya dibawa pulang ke terataknya yang terletak di tebing sungai. Ah, menikmati suasana kampung yang tenang lagi mendamaikan. Suatu pengalaman unik. Belum pernah saya berada di dalam rumah seperti rumah air di Brunei, ataupun rumah panggung di tebing Sungai Musi di Palembang dulu.

Sebelum berpisah, sempat dia menghidangkan makan malam dan kemudian, sekeluarga mengiringi saya ke lapangan terbang semula. Paling tidak dilupakan sehelai pua kumbu yang tentunya menjadi kenangan seumur hidup dan sebagai tanda kami pernah bertemu dan bermesra dengan anak-anaknya yang comel.

Terima kasih, Mas. Semoga akan ada pertemuan lain – mungkin sahaja di Seremban, atau angin Santubong bakal menggamit saya kembali ke sana!

Terima kasih juga untuk puisi yang ditulis untuk saya. Semoga tekal menulis, Mas!


Gambar : Pua kumbu hadiah dari Maslina kini yang menjadi alas meja buku di sisi meja kerja saya

Written by annyss

Mac 23, 2009 pada 10:46 pm

Dikirim dalam Peribadi

4 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam Nisah.

    Terima kasih atas entri ini dan memperkenalkan Bumi Kenyalang dalam blog Nisah Harun yang gah ini adalah satu penghargaan yang tiada bandingan nilainya.

    Begitulah perjuangan kami para penulis dalam Angkatan Pengkarya Indie [A.P.I.]. Ternyata hampir 9 tahun kami ditubuhkan, silaturrahim adalah pengikat kasih antara kami yang memastikan masing-masing kerabat tekal menulis dan bergiat aktif dalam pelbagai bidang seni dan sastera yang lain.

    Kunjungan Nisah ke teratak saya juga satu penghargaan yang tinggi saya rasa dari seorang penulis kebangsaan saya sudah ada namanya.

    Syukur, Allah yang Maha Esa telah mempertemukan kita dari maya pada ke alam nyata.

    terima kasih daun keladi
    terluang masa jemputlah lagi

    Maslina Mahbu @ Armiza Nila

    Mac 24, 2009 at 7:53 am

  2. sy berharap dpt berkelana lagi ke kuching tahun ini.

    bluehikari.com/nikki

    rudy bluehikari

    Mac 26, 2009 at 9:36 pm

  3. Ayuh pejuang bahasa sekalian atur langkah berkesan. Kebanyakan barisan baru parti menyokong PPSMI. Anak bangsa menghampiri karam lautan

    D'Rimba

    Mac 26, 2009 at 11:26 pm

  4. Saya juga ada satu koleksi kain batik pua kumbu memang amat halus seninya tersendiri. Payah nak cari kat sini kebanyakan batik seberang, buatan sendiri makin tenggelam

    D'Rimba

    Mac 26, 2009 at 11:27 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: