Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Saya Penulis, Perempuan Bersuami

with 12 comments


Sejak saya meninggalkan profesion guaman, saya dengan tegas menyatakan bahawa saya kini penulis sepenuh masa. Dengan kenyataan itu, tidak bermakna saya kini penganggur kerana tugas sebagai penulis itu saya tangani seperti juga saya memegang jawatan-jawatan lain di dunia ini. Saya ada waktu khusus menulis dan tentunya jadual penulisan saya tidak sama seperti mereka yang harus lapor diri untuk bekerja mulai jam 8.00 pagi – 5.00 petang ataupun mereka yang bekerja mengikut syif.

Namun demikian, ini juga tidak bermakna, saya mempunyai masa yang sungguh luwes (sila lihat Kamus Dewan jika perkataan ini tidak pernah singgah di dalam hidup anda) sehingga saya boleh sahaja diundang ke sana ke mari semudahnya.

Ramai yang tidak sedar, apabila saya menerima undangan, ini bermakna saya harus menganjakkan waktu menulis saya yang amat singkat dalam sehari (lantaran harus juga meladeni tugas sebagai isteri dan ibu; saya juga membantu menguruskan pesanan-pesanan ke Ujana Ilmu). Setakat itulah keluwesan yang saya ada. Akibat kekhilafan ini, mereka yang yang tidak memahami sering berfikir bahawa mengundang kertas kerja daripada saya samalah seperti memesan teh tarik ataupun kopi dari warung. Mereka fikir dengan tutup mata, dan berilah saya beberapa hari pastinya saya akan menyelesaikan ‘pesanan’ mereka itu.

Lantas, sudah semakin ketara pihak yang mengundang saya tanpa surat undangan. Mengundang saya membentangkan kertas kerja yang saya tidak tahu hujung dan pangkalnya – kerana orang yang berkenaan berpapasan dengan saya sewaktu saya keluar dari lif dan dia pula masuk ke dalam lif yang sama. Ada juga pesanan supaya menyediakan kertas kerja ketika berpapasan di kafeteria lantaran waktu makan yang serupa.

Hendak ditegur, mereka ini bukan orang lain juga dalam dunia sastera. Sesungguhnya, dunia sastera ini sungguh kecil. Tetapi, saya percaya tradisi persuratan ini usahlah dinafikan seni menulis suratnya. Berapa ekar hutan yang akan ditebang kerana mahu menulis surat kepada para pembentang?

Terdahulu daripada ini, saya juga pernah berurusan dengan pihak yang mempunyai wibawa menguruskan sastera hanya melalui SMS. Undangan untuk terbang ke seberang laut juga menggunakan teknologi yang sama. Saya balas kembali menggunakan teknologi yang serupa menuntut surat undangan rasmi daripada pihaknya. Sehingga pada hari yang dijanjikan, saya masih lagi tidak menerimanya.

Dengan SMS yang sama juga saya letak jawatan dan tidak mahu lagi terlibat dalam aktiviti sastera yang sebegini.

Adakah saya angkuh setelah bergelar penulis sepenuh masa? Saya fikir bukan begitu maksud saya. Selain saya perlu ada prinsip tertentu yang harus saya kukuh memegangnya. Pihak lain juga perlu menghormati saya sebagai perempuan yang bersuami. Hakikat ini seringkali terabai dalam aktiviti sastera. Yang diundang cuma satu pihak. Seolah-olah pasangannya ternafi.

Ini bukan bermakna pasangan itu harus mendapat tempat yang serupa untuk membolehkan mereka tampil ke majlis sebagai pasangan yang romantis, tetapi tidakkah terfikir di fikiran mereka bahawa tanpa izin suami (seperti di dalam kes saya), tidak mungkin saya menghadiri apa-apa program sekali pun.

Usah terkhilaf lagi, bukan suami saya mengongkong aktiviti saya. Malah, saya sungguh bersyukur kerana dianugerahkan suami yang memahami minat saya dan menjadi penyokong senyap dan setia. Dialah yang bakal menguruskan rumahtangga ketika saya berpergian ataupun terpaksa mengejar deadline tertentu. Tidak mungkin kecekapannya itu harus saya balas dengan tindakan-tindakan seperti yang saya sebutkan di atas.

Pada saya, tanpa sekeping surat undangan itu boleh sahaja saya menebak bahawa pihak yang berkenaan tidak sungguh-sungguh ketika mengundang saya. Saya boleh sahaja menolak pada bila-bila masa.

Setiap kali menerima undangan, pastinya saya akan menerangkan kepada pihak yang mengundang. Undangan melalui telefon ataupun SMS hanyalah untuk memastikan tarikh yang dicadangkan itu bersesuaian dengan tarikh saya. Ini wajar kerana kita pun tidak mahu membazir kertas setelah mengundang menggunakan surat, nanti tarikh yang dipilih tidak sesuai, lalu harus diubah pada surat yang lain pula.

Setelah berbincang melalui telefon ataupun secara SMS, saya akan menunggu surat rasmi daripada pihak penganjur. Tanpa surat tersebut, saya tidak akan mengambil sebarang tindakan – sama ada menyediakan kertas kerja, ataupun menyediakan slaid pembentangan – melainkan ada bentuk-bentuk kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak penganjur. Di dalam surat juga biasanya akan dijelaskan objektif, keperluan dan apa yang diharapkan oleh pihak penganjur kepada saya. Di sini saya akan membuat keputusan tentang apa-apa makalah yang akan saya sediakan.

Keputusan ini saya ambil setelah saya pernah berhempas pulas menyediakan kertas kerja tetapi majlis yang dijadualkan itu dibatalkan. Jadi, saya tidak mahu perkara ini berulang lagi. Undangan haruslah bersurat. Tanpa surat, saya mungkin akan sediakan catatan sahaja ataupun slaid pembentangan (tanpa sebarang kertas kerja). Itu pun setelah saya sudah menyelesaikan perkara-perkara lain yang lebih penting.

Di dalam banyak hal juga, saya banyak kali mahu memberikan kerjasama saya kepada pihak penganjur. Apa yang saya minta hanyalah sekeping surat – hatta dibuat sebagai attachment melalui e-mel dan tidak bertandatangan pun saya terima; kerana mereka seringkali terlupa bahawa saya ini penulis sepenuh masa dan perempuan bersuami juga!

Written by annyss

Mac 31, 2009 pada 6:18 pm

Dikirim dalam Penulisan, Peribadi

12 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. kakak buat saya nak berhenti kerja.. tapi ayah kata jgn, aghhh! kan menulis pun dapat hidup, kan kan kan..

    fadz

    Mac 31, 2009 at 7:22 pm

  2. Pn. Nisah,
    1. Saya sering kunjung dan baca blog anda… boleh dikatakan agak konsisten juga.

    2. Entah mengapa tiba-tiba terasa ingin mengutus komen dalam blog ini buat julung kalinya kerana… tertarik dengan entri yang satu ini (bukan maknanya entri lain tidak menarik hati ini).

    3. Saya bersetuju dengan kata-kata dalam entri ini, ringkasnya dalam sastera @ persuratan segala urusan mengundang / menjemput pemnceramah / pembimbing WAJIB ADA NILAI PROFESIONALISME dalam bekerja oleh pihak yang ingin mengundang itu… apatah lagi mengambil berat serta menghormati ilmu seseorang pembentang itu, apatah lagi sedaya mampu menjaga kebajikan seseorang tetamu yang diundang.

    4. Surat ‘hitam-putih’ harus jelas sebagai tanda rasmi undangan / tempahan, walaupun sastera itu seni namun tindakan yang profesional dan rasional wajib dipandang utama oleh pihak yang mengundang (mengikut upaya yang ada).

    Sekian.

    Rusdi Abd Rahman

    Mac 31, 2009 at 10:39 pm

  3. Fadz,
    Pertama, sungguh-sungguh percaya bahawa DIAlah punca segala rezeki. Kemudian, barulah buat keputusan tersebut.

    Encik Rusdi,
    Terima kasih kerana sudi meninggalkan jejak di sini. Ya, DBP Wilayah Selatan ialah antara penganjur yang paling profesional. Saya seronok bekerjasama dengan pihak DBPWS. Err… dah lama juga saya tak ke sana, ya.🙂

    Nisah Haji Haron

    April 1, 2009 at 5:55 am

  4. Assalamualaikum w.r.b.

    Minta maaf mencelah walaupun duduk jauh.(Mesir)

    Dua tahun saya menjawat jawatan sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir, perkara yang saya tidak minat adalah menjemput seseorang tanpa surat.

    Beberapa kali kes ini berlaku di dalam kehidupan saya sebagai pentadbir mahasiswa.

    Mungkin ramai menganggap teknologi banyak memberi kelebihan sedangkan kerana teknologilah kita banyak kali kecewa dengan pentadbiran.

    Salam Kejauhan.
    Kaherah

    typeace

    April 1, 2009 at 6:21 am

  5. salam, nisah.
    zaman makin maju, kerja makin pantas, maka jadi susah agaknya menulis atas sehelai kertas. lebih pantas menekan butang hp.
    ini memang perkara tidak wajar dilakukan oleh mana-mana pihak sekalipun. apabila dilakukan oleh pihak yangb terlibat dengan dunia sastera juga. kerja kelihatan sepele dan tidak ada prosedur bila tidak bersurat. tapi kenyataannya begitulah, panggil mesyuarat pun melalui sms. melantik dan melucutkan jawatan juga melalui sms. semudah itu? selain masalah prosedur, ia juga melibatkan masalah adab berbahasa.
    betul, kita sebagai perempuan perlu izin suami untuk keluar. surat itulah bukti bahawa kita bukan pergi berpeleseran atau ada agenda lain. saya sendiri pun sebagai isteri, nak juga suami tunjuk surat sebagai bukti memang ada urusan rasmi kerja atau ngo

    amaruszati noor rahim

    April 1, 2009 at 7:41 am

  6. Paling tidak, salinan faks yang ditandatangani sudah cukup. Itulah yang saya dapat untuk berceramah di Sarawak baru-baru ini.

    Fadz; Bulatkan tekad untuk menjadi penulis sepenuh masa! =)

    Firdaus Ibnu Ariff

    April 1, 2009 at 11:46 am

  7. Assalamualaikum.

    Saya sangat tertarik dgn tulisan Pn. Nisah kali ini sebab saya pun dan terfikir rasional sehelai surat yang ditulis dan diutuskan kepada seseorang serta impaknya.

    Sepanjang pengalaman saya bekerja di Penerbit UKM, banyak surat yang telah saya sempurnakan. Di sini ada dua sebab penting saya dapat berikan:

    1. Surat adalah dokumen penting dan perlu direkodkan. Di kemudian hari, jika timbul masalah, surat yang ditulis akan disemak rekodnya. Jika tiada, masalah mungkin akan timbul. Mungkin surat juga boleh menyelamatkan seseorang. Siapa tahu?Apatah lagi jika undang2 dilibatkan dalam hal ini!

    2. Surat sangat penting bagi tujuan formaliti. Tanpa sebarang surat, seseorang boleh menolak sesuatu perkara. Sebagai contoh, surat panggilan ke mesyuarat. Jika seseorang dipanggil hadir ke mesyuarat, maka dia perlu menghadirinya. Jika tidak dapat hadir, perlulah memaklumkan kepada pihak yang menjemput.

    Diskusi Pn Nisah kali ini sangat, sangat bermakna kepada saya yang bekerja sebagai Pegawai Tadbir di sini.

    Assalamualaikum.

    Salle Sulieman

    April 1, 2009 at 12:06 pm

  8. assalamualaikum..
    salam kenal..🙂

    CAHAYA MATA

    April 1, 2009 at 12:34 pm

  9. Salam Kak Nis,

    Macam berjanji pula kita buat entri yang sama.Heheh!

    Benar, sekeping surat rasmi ialah lesen untuk kita ‘buat kerja’ di luar, supaya suami (atau mak ayah) yakin dengan kesungguhan pihak yang mengundang itu.

    Saya masih bengang dengan insiden pelajar saya selit surat jemputan bawah pintu saya. Mujur tak pakukan surat kat pintu. Macam saya ni berhutang dengan along pulak!

    Macam memesan kopi atau teh tarik?Haha, Kak Nisah…novel tarik kurang manis satu!

    rai

    April 2, 2009 at 9:39 am

  10. Salam,

    Saya fikir suami yang menyokong dibelakang isteri harus diberi setinggi-tinggi penghargaan! Sekurang-kurangnya, mereka harus dihormati dengan surat undangan terhormat buat isteri mereka itu…

    Saya hanya boleh berdo’a menemukan seorang yang dapat menyokong sepenuh spektrum kegiatan saya yang merangkumi dari dunia pendidikan, dunia akademik sehingga dunia penulisan…
    Bertahun-tahun dah bergerak sana sini dengan mudah, bila-bila masa saja, apa kegiatan saja; kekadang, dapat berita di saat-saat akhir, misalnya, dapat tahu pagi, malam perlu hadir…
    Jadi, saya sangat menghargai para suami penulis wanita yang menyokong kegiatan isteri mereka!

    Wassalam.

    S.K

    April 2, 2009 at 11:16 am

  11. Assalam alaikum wbt

    Puan Nisah yang dihormati dan dirahmati Allah,

    Saya melihat perkara ini disebabkan sikap terhadap profesion itu sendiri. Sangka mereka kerjaya sebagai seorang penulis itu satu kerjaya yang mempunyai banyak masa terluang sehinggakan boleh diselit aktiviti begitu sahaja.

    Kedua, sikap hormat terhadap kerjaya penulis sebagai satu kerjaya yang serius dan profesional.

    Sikap hormat ini masih tidak dibudayakan dengan bersungguh-sungguh dan secara betul oleh orang luar dan mereka yang berada dalam industri ini.

    Pada mereka kerjaya penulis ini satu kerjaya hobi. Kemudian, menjadi-jadi sindrom ‘tak apa’ dalam hal seperti ini.

    Mungkin perlu ada sedikit kegilaan selepas ini untuk lebih bersikap tegas agar bukan diri sahaja tetapi kerjaya penulis ini sebagai satu kerjaya yang mempunyai formaliti yang perlu dihormati.

    Blog Rasmi Motivasi Minda

    April 6, 2009 at 12:05 pm

  12. Salam,

    tumpang bicara dengan sdr.Rai, ya, puan…

    Sdri, saya sedikit terkejut dengan entri itu (dan sedikit naik darah dengan urus setia yang “over” suka-suka menyuruh suami jaga anak-anak!)

    Tapi, apa yang dapat saya katakan ialah di negara kecil ini, kami selalu juga menyebut tentang penulis wanita yang “syaheed” setelah berumahtangga…
    Sastera terkeluar dari radar terus kerana nak berkarya di balik kesibukan pekerjaan (24/7) yang tidak kena mengena dengan sastera, dahlah satu hal yang perit… kemudian, setelah berhempas pulas, karya tidak mendapat tempat kerana wadah penerbitan karya terlalu kecil, jadi, disimpan sahajalah (ramai pada waktu itu tak terfikir menghantar karya ke penerbitan di Malaysia)… Sastera menuntut perjuangan yang memerah segala di sini… jadi, tak hairan lah, penulis wanita yang mampu menjadi terbaik di sini, syaheed(ah) terus…
    (malah, tidak keterlaluan saya katakan, ia juga berlaku kepada para penulis lelaki! Ada seorang sobat saya, saya sedang pujuk bersungguh-sungguh untuk kembali menulis…)

    Tapi, tak mengapalah, itu generasi saya… mudah-mudahan, generasi lebih muda mempunyai peluang lebih luas (kerana dalam setahun dua ini, sastera semakin mendapat perhatian banyak pihak dan kumpulan-kumpulan sastera semakin giat bergerak, alhamdulillah) dan daya ketahanan lebih tinggi untuk meneruskan perjuangan, insyaAllah🙂
    Terima kasih, berkongsi entri tersebut…

    Wassalam.

    S.K

    April 7, 2009 at 3:48 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: