Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Bertemu Penulis "Panggil Aku Melaju"

with 7 comments

Pandangan daripada jendela pesawat yang dalam proses mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Padang Matsirat

Hasrat untuk bertemu dan berbincang-bincang dengan penulis sains fiksyen terunggul di Malaysia – Dr. Rahmat Haroun akhirnya terkabul juga. Kebetulan saya sedang memenuhi undangan pihak DBP supaya mengisi satu slot hak cipta untuk bengkel penulisan cerpen di sini. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini sudah mula ada kesedaran untuk memasukkan hak cipta di dalam slot-slot tertentu, walaupun slot yang harus menyelit sebagai selingan. Namun, slot kali ini agak panjang juga iaitu sekitar 2 jam.

Kembali kepada pertemuan dengan Dr. Rahmat Haroun. Bagi yang mengikuti perkembangan penulisan fiksyen sains di Malaysia, nama Rahmat Haroun ataupun, setelah diakui sendiri oleh pengarangnya, kini menggunakan nama Rahmat Haroun Hashim, tidak boleh ditinggalkan langsung. Kepada yang tidak pernah mendengar nama ini, anda ke mana selama ini?

Pertemuan tidak dirancang ini bermula apabila saya dibawa oleh pihak urus setia ke pekan Kuah. Saya tahu Dr. Rahmat Haroun memiliki kliniknya sendiri, cuma saya tidak tahu lokasinya. Apabila pemandu memberhentikan keretanya di Jalan Pandak Mayah 2, saya terpandang sebuah klinik yang dipanggil “Klinik Rahmat”. Hati saya terus berdetak, entah-entah inilah klinik beliau. Kata hati saya itu saya suarakan kepada pegawai DBP. Tanpa berfikir lanjut, beliau terus masuk dan bertanyakan sendiri di kaunter. Untuk lebih mengesahkan lagi, saya meninjau terus ke pintu bilik rawatan. Setahu saya, setiap doktor akan meletakkan nama penuhnya pada pintu bilik. Telahan saya tepat. Benarlah, inilah dia Klinik Dr. Rahmat Haroun. Namanya terpampang di situ.

Tidak dapat saya pastikan sama ada beliau terkejut dengan kunjungan yang tidak dirancang ini (walaupun saya sudah memaklumkan hasrat untuk bertemu selepas beliau tamat bertugas) tetapi, pertemuan yang tidak disengajakan ini membuat saya teruja. Ibarat bertemu dengan buku yang sukar didapati dalam sebuah kedai buku yang kita tak tahu buku apa yang dicari. Bolehkah anda bayangkan?

Setelah beliau tutup klinik sekitar jam 9.30 malam, Dr. Rahmat singgah ke hotel kami dan dapatlah duduk semeja dan berbincang-bincang dengan suasana coffee house yang lengang. Hanya kami dan beberapa pegawai DBP yang baru hendak makan malam. Dia menghadiahkan saya naskhah berautograf novelnya yang terkini – Panggil Aku Melaju – yang sudah saya khatam dan sebenarnya, tidak puas membacanya! Sebagai imbalannya, saya hadiahkan juga senaskhah Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus, yang jauh ketinggalan berbanding novelnya yang sarat membawa pengertian Melayu dalam dimensi yang berbeza.

Ikut arah jam : Dr. Rahmat Haroun (membelakangi kamera), Encik Mohamad Shahidan, Puan Nazmah, Puan Akibah dan saya

Kami terus berbincang, berhujah dan bertukar-tukar pandangan sambil SMS di telefon masing-masing bergantian dimasukki mesej tentang keputusan terkini pilihanraya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Saya lebih berminat dengan proses kreatif Panggil Aku Melaju, novelnya yang tidak berapa sai-fai tetapi ada kelas yang tersendiri. Saya sedang usahakan reviu untuk novel ini tetapi bimbang sekali jika saya tidak memberikan keadilan yang sewajarnya kepada novel ini.

Saya bersama-sama dengan Encik Mohamad Shahidan (DBP KL) dan Dr. Rahmat Haroun (bertali leher)

Dalam novel ini juga, dia menjelaskan mengapa PPSMI itu harus dibantah dengan hujahnya yang saintifik. Jadi, mereka yang menentang dan menyokong harus membaca novel ini dahulu. Belajarlah membaca sebuah novel yang kaya dengan lapis-lapis makna. Bukan sekadar cerita yang mahu disampaikan melalui karya ini. Ada sesuatu yang lebih besar daripada itu. Ada sejarah asal-usul bangsa Melayu dengan hujah yang tidak kurang menarik.

Dr. Rahmat Haroun, seorang pengarang yang peka dengan pemilihan diksi, apatah lagi pemilihan judul. Setiap perkataan yang ditulisnya itu sarat makna dan dia tahu mengapa dia sebagai pengarang memilih dan mahukan makna tersebut. Dia juga bukti hidup bahawa dikotomi sastera dan sains dalam pembelajaran sebenarnya tidak wujud tetapi sengaja diadakan atas tujuan yang kabur.

Sesungguhnya, jauh sebelum pertemuan ini, saya telah menelusuri karya-karyanya : Di.Ar.Ti, Manuklon, Terang Bulan, Sentuhan Oedipus hinggalah yang agak terkini Hikayat Neogenesis dan Fitrah Kimiawi. Novel Di.Ar.Ti juga menjadi inspirasi untuk saya menulis Mencari Locus Standi kerana dia menulis novel tentang pelajar perubatan dan saya yang sebaliknya.

Pertemuan singkat itu amat bermakna buat saya sebagai pengarang, betapa seorang doktor yang tidak meninggalkan profesionnya tetap menyanjung bahasanya, malah menjiwai ungkapan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan dalam masa yang sama tidak kalah menuturkan bahasa Inggeris. Kita perlukan lebih ramai lagi orang seperti beliau.

Peminat Dr. Rahmat boleh mengikuti perkembangan beliau melalui blognya : www.rahmatharounhashim.blogspot.com

Written by annyss

April 8, 2009 pada 10:49 am

7 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Wah, cemburunya lihat Kak Nisah dapat berjumpa Sifu Sai-Fai Malaysia.

    Firdaus Ibnu Ariff

    April 8, 2009 at 6:03 pm

  2. Rakan Penulis yang dihormati,

    Kunjungan anda amat dihargai, apa lagi memperkatakan karya saya di blog anda. Terima kasih.

    RahmatHarounHashim

    April 8, 2009 at 9:27 pm

  3. saya sangat-sangat cemburu.. wah, bertemu juga dengan beliau yang sangat diraikan..

    fadz

    April 9, 2009 at 7:56 am

  4. Di blog saya, ada memperkatakan CSRO. Salam sastera.

    RahmatHarounHashim

    April 10, 2009 at 12:16 pm

  5. Owh, dekat langkawi klinik Dr. Rahmat Haroun ni. Senang lah saya datang melawat. Setakat ni saya baru je menghadam 3 buah novel beliau. Yang terbaru Fitrah Kimiawi. Namaku Melaju masih belum dibaca lagi

    ahmad albab

    April 10, 2009 at 1:05 pm

  6. Firdaus, Fadz,
    Mungkin kita boleh aturkan pertemuan dengan beliau di Langkawi. Boleh shopping barang-barang duty-free sekali! Hahaha

    Nisah Haji Haron

    April 10, 2009 at 1:57 pm

  7. Salam.

    Saya kirim beli buku ini dari Pesta Buku KL melalui rakan sekerja baru-baru ini, tetapi ia tidak ada di gerai DBP. Mengapa ya?

    Bunnybaby

    April 21, 2009 at 2:49 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: