Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Jerayawara Utusan Sukma (dan aktiviti di antaranya)

with one comment


Satu ungkapan yang dapat saya simpulkan daripada program jerayawara Utusan Sukma – Sepagi Bersastera yang baru sahaja berlangsung pada 22, 23 & 25 Jun 2009: Sastera Itu Masih Relevan!

Walaupun saya harus mengulang ceramah yang sama untuk tiga tempat yang berbeza, kesannya sangat tidak sama. Respons daripada khalayak tentulah berbeza kerana setiap seorang daripada mereka ialah individu yang berbeza.

Antara misi kami ialah memperkenalkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan kepada para pelajar dan menyatakan bahawa selain daripada karya-karya pop dan picisan, ada banyak lagi karya-karya yang terbaik nukilan para sasterawan dan penulis tersohor tanah air. Sekalung tahniah kepada petugas Utusan Publication yang sanggup turun ke luar daerah memperkenalkan buku-buku sastera khususnya buku-buku HSKU kepada para pelajar. Mereka sungguh teruja dengan kehadiran buku-buku yang sedemikian!

Singgahan pertama : SMK Dato’ Undang Musa Al-Haj (DUMA), Kuala Klawang, Jelebu.
Perjalanan awal pagi (seawal 6.30 pagi) secara konvoi dari rumah Ketua Satu PEN (Puan Mahaya Mohd Yassin) merupakan sesuatu yang indah dan luar biasa. Maklumlah, untuk ke Kuala Klawang, kami perlu melalui kawasan berbukit-bukau. Saya benarkan dingin awal pagi menerjah masuk melalui jendela kereta. Sengaja saya tidak menggunakan pendingin hawa. Dingin semulajadi itu lebih menyegarkan, terutama sekali di kawasan Bukit Tangga yang menjadi mukadimah kepada perjalanan ke Kuala Klawang.

Para pelajar dari sekolah luar (yang diundang oleh pihak SMK DUMA) tiba setelah kami bersedia dengan pameran dan jualan buku PEN dan Utusan Publications. Mengikut jadual, saya menjadi penceramah pertama dengan diikuti oleh Puan Mahaya dan akhirnya, SN A. Samad Said yang menjadi kemuncak acara.

Fokus saya ialah penulisan prosa dan saya membaca judul “Menulis itu Mudah”. Puan Mahaya menjurus kepada penghayatan puisi dan Pak Samad bebas untuk memilih tajuk ceramahnya sendiri. Di SMK DUMA, Pak Samad bercakap tentang sahabat-sahabat penulisnya yang seangkatan selain memperlihatkan kematangannya dari aspek penulisan sejak mula sehinggalah sekarang.

Jualan buku di SMK DUMA, luar biasa! Para pelajar yang datang sangat lapar dengan buku. Petugas bahagian jualan buku Utusan pulang dengan senyuman lebar. Kami juga pulang sesegera mungkin kerana harus mengumpul tenaga untuk keesokan harinya – SMK Bandar Baru Serting menunggu!

Singgahan kedua : SMK Bandar Baru Serting, (BBS) Bandar Seri Jempol.

Lokasi sekolah ini ialah yang paling jauh dalam jerayawara ini. Kami bertolak pada pukul 6.00 pagi dari rumah Ketua Satu PEN dan sampai di sekolah itu lebih kurang pukul 7.15 pagi. Seperti biasa, tugas kami yang awal ialah memasang semula pameran PEN dan menyusun buku-buku untuk pameran dan jualan.

Di SMK BBS, para pelajar dari sekolah tamu kebanyakannya datang dari jauh juga. Antara yang dari felda-felda seperti Palong. Mereka sangat teruja menerima kami sebagai tetamu, apatah lagi melihat SN A. Samad Said dari dekat dan secara langsung. Saya dan Puan Mahaya mengekalkan tajuk yang sama (seperti yang telah dipersetujui dengan pihak penganjur, Utusan Publications). Pak Samad memilih untuk menceritakan tentang bahan bacaannya yang menjadi asas kepada proses penulisannya.

Melunaskan solat Zohor sebelum pulang kerana sudah pasti Asar nanti baru sampai ke rumah masing-masing. Pun, kami bersyukur kerana keesokannya jerayawara ini berhenti rehat. Hari Khamis barulah lokasi yang terakhir – SMK Dato’ Klana Putra, Lenggeng.

Tetapi, bagi saya tiada rehatnya. Pagi hari Rabu, saya menyempurnakan undangan SMK Bukit Kepayang. Teruja melihat cahaya yang bersinar-sinar di dalam mata anak-anak tingkatan satu sekolah itu. Mereka tidaklah malu-malu seperti pelajar menengah atas. Suka menjawab soalan dan sangat suka membaca buku. Khemah Membaca di SMK Bukit Kepayang menjadikan saya terus bersemangat untuk esok hari.

Namun, sebelah malamnya, saya tidak sampai hati untuk menolak permintaan ke Perkampungan Penulis Muda Negeri Sembilan. Walaupun jauh ke Petasih (Jelebu) saya redahi juga. Penganjur mahukan seorang tokoh tempatan. Saya lebih kasihan anak-anak yang sangat bercita-cita untuk menjadi penulis. Undangan daripada pihak Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan itu saya sambut walaupun pada pukul 6.30 petang bertolak dan hampir tersesat kerana petang itu gerimis serta cuaca mendung mempercepatkan suasana gelap. Jalan ke Sekolah Kebangsaan Petasih (Berasrama) itu gelap setelah melalui pekan Kuala Klawang. Saya terlepas simpangnya. Barangkali ada hikmah – sempat solat di Masjid Kg. Kerangai sebelum bertanya dengan jemaah yang ada, bagaimana hendak mencari simpang itu.

Alhamdulillah, setelah bermohon dengan Tuhan. Jalan yang saya cari itu dipermudahkan. 70 orang anak-anak tingkatan 4 – 5 sudah sedia menunggu. Sesungguhnya, saya sudah agak letih. 2 hari berceramah dan ke luar daerah, sebelah pagi di Seremban 2 menyebabkan saya kekurangan tenaga. Tetapi, sekali lagi, minat dan kesungguhan mereka membakar semangat saya. Cadangnya, mahu duduk sahaja sambil bercerita dengan santai. Tak jadi, saya bangun juga berjalan-jalan kerana mereka sungguh-sungguh ingin tahu. Apatah lagi, saya mahu 5 orang yang terpilih mewakili NS ke Labuan Ogos nanti cukup maklumat dan tidak ketinggalan daripada aspek sastera dan maklumat penulisan.

Singgahan ketiga: SMK Dato’ Klana Putra (DKP), Lenggeng

Lokasi ketiga dan terakhir ini tidaklah terlalu jauh. Walaupun hanya 30Km dari tempat kami biasa bermula, kumpulan kami tetap bertolak pada pukul 6.30 pagi. Sebagai urus setia, PEN mahu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Biar awal, banyak perkara yang dapat diselesaikan andai ada masalah. Jika tiada ada apa-apa yang berlaku, sebagai penceramah, saya lebih suka awal kerana dapat bertenang dan selesa sebelum berbicara.

Khalayak kali ini mengejutkan kami. Jumlahnya lebih besar daripada yang di DUMA dan BBS. Penuh satu dewan sehingga ke pintu belakang! Saya (yang gemar berjalan, dan tidak statik di pentas) perlu bergerak sehingga ke belakang dewan, kiri dewan, kanan dewan dan kemudian kembali semula ke bahagian hadapan. Sambutannya juga luar dugaan. Apabila ditanya, ramai pula yang menjawab soalan saya. Apabila dicabar, ramai yang menyahut cabaran.

Cabaran 1 : melakonkan sketsa daripada novel saya Tawarikh Cinta. Babak yang dipilih ialah ketiga Putera Jauhari Firus berserta Zulfakar dan Huzaifah menyelamatkan Nadim di pinggir pantai. Pelakon lelaki diperlukan. Di ketiga-tiga tempat, mereka menyahut cabaran saya.

Cabaran 2 : melagukan nazam “Kelebihan Ilmu” yang saya cipta khusus untuk novel Tawarikh Cinta. Alhamdulillah, ramai pelajar perempuan yang menyahutnya, walaupun saya mengajar lagunya sekali dua sewaktu ceramah berlangsung. Nazam lagu yang agak mudah. Anak-anak muda ini gemar sekali menyanyi. Tentulah lekas lekat di fikiran mereka. Semoga nazam dapat dilestarikan. Semoga mereka tahu, inilah nazam (bukannya Nazam Lebaran itu ialah nazam!)

Macam-macam dibekalkan oleh Pengetua SMK DKP. Dia sungguh-sungguh gembira. Kami sungguh-sungguh bahagia. Perjuangan sastera itu ada pelbagai. Bukan wang ringgit yang kami harapkan. Kami telah membuktikan bahawa sastera itu masih bernafas dan bernyawa. Anak-anak ini bahagia dan teruja mempelajari subjek yang dekat dengan diri sebagai manusia. Naluri manusia suka akan yang indah-indah dan yang berseni.

Mengapa masih ada yang mahu meminggirkan sastera, meminggirkan bahasa? Jika ada yang mahu berbuat demikian, itulah jenayah terbesar dalam tamadun manusia yang mereka lakukan!

Syukur Tuhan, Kau izinkan kami terus berjuang. Perjalanannya masih jauh. Tetapi, setapak pun kami tak akan berhenti.

Rakaman terima kasih kepada warga PEN, Kumpulan Utusan (sebagai penaja jerayawara ini) dan kerjasama erat daripada Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Baca juga catatan oleh :

.
.

Written by annyss

Jun 28, 2009 pada 7:30 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera, PEN

Satu Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Benar, iniah cara untuk kita bersaing dengan ledakan dunia teknologi. Bila mereka adakan sesuatu yang berbetuk hiburan yang melekakan remaja, maka kita juga adakan sesuatu yang memberi manfaat kepada remaja.

    Sangat berterima kasih dengan Kumpulan Utusan yang menjadikan sastera semakin dekat dan mengembalikan sastera dalam jiwa generasi muda.

    Kagum kegigihan Kak Nisah. Saya berazam untuk memanfaatkan sastera dan bahasa Melayu sebagaimana yang Kak Nisah buat sekarang ini. Semoga Kak Nisah terus sihat dan bersemangat untuk memanfaatkan ilmu yang ada buat generasi muda.

    bayan

    Jun 28, 2009 at 10:44 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: