Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

CATATAN TENTANG PENGIKTIRAFAN KEPADA PENULIS (MUDA)

with 2 comments

Nisah Haji Haron
http://www.annyss.blogspot.com
E-mel : nisah.haron@gmail.com

Kertas Kerja ini telah dibentangkan sewaktu
PERHIMPUNAN PENULIS MUDA NASIONAL 2009
PUTERI RESORT, AYER KEROH, MELAKA
22 – 24 MEI 2009

** Oleh sebab sifatnya sebagai sebuah kertas kerja, entri ini panjang. Namun, inilah satu bentuk dokumentasi yang mahu saya kongsi supaya semua orang mendapat manfaatnya.**


ANUGERAH atau pengiktirafan kepada penulis menjadi penanda aras kepada hayat kepengarangan – sama ada penulis itu memenangi sesebuah sayembara mahupun diberikan anugerah tertentu, ternyata ada pihak yang :

  • mengiktiraf kehadiran penulis tersebut; dan
  • mengenalpasti kualiti karya yang dihasilkan.

Di dalam kertas kerja ini, penulis didefinisikan sebagai penulis sastera Melayu dan dengan yang demikian tidak merangkumi penulis picisan, pop ataupun calon penulis yang berhasrat untuk menjadi penulis.

Kertas ini juga akan membincangkan sama ada pengiktirafan yang diberikan kepada penulis harus dibahagikan kepada dua, iaitu :

  • penulis mapan / kawakan
  • penulis muda

Perbincangan seterusnya akan memperlihatkan bagaimana pembahagian ini akan mewujudkan substandard dalam sastera Melayu dan panggilan ‘penulis’ itu tidak wajar dibahagikan kepada dikotomi muda/mapan atau baharu/kawakan ataupun apa-apa istilah yang menunjukkan kepada sebarang bentuk pemecahan kategori.

Pengiktirafan yang dimaksudkan di sini ialah penanugerahan dalam kesusasteraan tempatan dan juga antarabangsa sama ada berbentuk pemberian, pertandingan, peluang ataupun rangsangan.

Kertas ini juga membincangkan persoalan sama ada usia pengkaryaan ataupun usia penulis itu yang harus dinilai apabila memberi pengiktirafan yang dimaksudkan.

Polemik penulis muda vs. penulis mapan

Semua penulis bermula dari bawah, usia bukanlah pokok kepada permulaan itu. Ternyata ada penulis yang bertuah lalu menyedari bahawa bakat penulisannya itu dikesani lebih awal. Di Barat, penulis Paulo Coelho yang terkenal dengan novel The Alchemist mula menulis pada usia 37 tahun berbanding Christopher Paolini menulis Eragon pada usia 15 tahun . Di Malaysia, novelis fantasi Ahmad Patria Abdullah menghasilkan siri Saga Artakusiad yang pertama, Permata Aurorius (DBP, 1987) pada usia 17 tahun.

Di dalam penulisan kreatif persoalan dahulu-kemudian ini tidak harus dipertikaikan kerana jika diibaratkan seperti pertandingan lumba lari, penulis diberi pilihan untuk bermula di garis permulaannya sendiri. Tiada siapa yang menetapkan usia tertentu sebagai tahap permulaan wajib kepada setiap pengarang.

Persoalan siapa yang sampai dahulu ke garis penamat juga tidak harus timbul kerana masing-masing mencari keselesaan sendiri apabila bermula. Lantas siapa yang sampai dahulu tidak semestinya yang terbaik dan tidak semestinya siapa yang mula dahulu, mesti sampai dahulu ataupun siapa yang usianya lebih tinggi harus diberi keutamaan untuk sampai dahulu ke garis penamat ini.

Walau bagaimanapun, terdapat kecenderungan dalam memberi pengiktirafan kepada penulis yang telah bermula lebih awal. Pada suatu sisi, hal ini wajar kerana secara logiknya, penulis yang lebih lama menulis tentulah menghasilkan karya yang lebih banyak dan tentunya mampu untuk meningkatkan kualiti pengkaryaannya di dalam proses tersebut.

Namun, faktor ini mungkin berubah sekiranya penulis tersebut berhenti pada tempoh-tempoh tertentu atas sebab-sebab seperti mahu berjeda untuk mencari inspirasi baharu, ataupun kekangan tugas-tugas hakiki ataupun atas sebab-sebab yang tidak pernah dinyatakan.

Apabila seorang penulis itu terhenti menulis, ini tidak bermakna penulis-penulis lain turut sama berhenti. Dengan yang demikian, penulis lain akan meneruskan ‘pertandingan lumba lari’ ini dan kemungkinan besar akan sampai ke garis penamat mengatasi penulis yang memilih untuk berjeda seketika.

Anehnya, senario sastera Melayu di Malaysia masih lagi melihat pada usia yang mana seseorang penulis itu bermula. Apabila penulis A bermula 10 tahun lebih awal daripada penulis B, pada ketika musim penganugerahan, penulis B tidak dapat tidak haruslah memberi laluan kepada penulis A kerana dia telah bermula 10 tahun lebih awal tanpa mengambil kira sebarang faktor termasuklah berjeda, kualiti karya ataupun keprolifikan kepengarangannya.

Alasan yang biasa didengar ialah penulis tersebut lebih muda pada usia dan muda juga pada usia kepengarangannya. Persoalannya, mengapakah hal ini berlaku? Adakah kerana ungkapan ‘penulis muda’ yang mengekori kelompok penulis yang dikatakan mula menulis sekitar tahun 80-an ini masih tidak dibenarkan keluar daripada ikatan tersebut? Ataukah penulis yang lebih mapan mahu menjaga ‘lingkaran’nya – lantas selagi belum selesai semua penulis yang lebih kawakan ini menerima pengiktirafan dalam semua peringkat, selagi itulah penulis muda harus menunggu gilirannya dengan penuh sabar.

Bentuk-bentuk pengiktirafan

Secara umumnya, pengiktirafan boleh dibahagikan kepada pelbagai bentuk :

  • Anugerah-anugerah penulisan
  • Sayembara penulisan
  • Rangsangan kepada penulis
  • Kritikan karya
  • Peluang mempertingkatkan karya
  • Indeks kualiti karya

Pengiktirafan ini sesungguhnya tidak harus dibezakan sama ada kepada penulis muda ataupun yang mapan, kerana yang dasar penilaian haruslah kepada karya itu sendiri.

• Anugerah-anugerah penulisan
Bentuk pengiktirafan yang paling utama kepada penulis ialah anugerah penulisan. Bagi penulis yang baru hendak melangkah ke dalam dunia penulisan kreatif, anugerah penulisan lebih bertujuan untuk memberikan galakan serta memberikan keyakinan kepada penulis.

Pada sekitar tahun 1980-an, tradisi pengiktirafan kepada penulis muda secara serius dimulakan secara konsisten oleh majalah Dewan Siswa dengan kerjasama Bank Rakyat pada tahun 1987. Program ini dinamakan Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat. Program yang pada peringkat awalnya bersifat galakan kepada penulis muda kemudiannya berkesinambungan menjadi program Minggu Remaja (seterusnya Minggu Penulis Remaja).

Memenangi HSSBR merupakan suatu prestij dan sangat bermakna kepada mana-mana penulis muda pada ketika itu. Boleh dikatakan di sinilah bermulanya satu gelombang kelompok penulis muda yang diinstitusikan. Siapa yang dapat menafikan nama-nama besar yang lahir daripada program ini seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Ahmad Patria Abdullah, Rahimidin Zahari dan Shamsudin Othman (sekadar menyebut beberapa nama).

Kesan pembentukan penulis muda secara berkelompok memberi kesan yang besar sehingga hari ini apabila sebahagian besar daripada produk-produk Minggu Remaja atau Minggu Penulis Remaja (selepas ini dirujuk sebagai MPR) merupakan penulis-penulis yang ‘menjadi’ hasil asuhan program MPR.

Setelah 20 tahun, MPR masih lagi dapat meneruskan kesimbungan ini dan walaupun tanpa sebarang pengiktirafan dari aspek penanugerahan. Penilaian HSSBR terhenti pada tahun 1998 dan majlis penyampaian hadiah yang terakhir berlangsung pada tahun 2001 .

Usaha untuk meneruskan HSSBR seolah-olah terhalang apabila Dewan Siswa difrancaiskan kepada Karangkraf bersama-sama beberapa majalah lain . Di sana, masih tiada usaha untuk meneruskan tradisi penganugerahan hadiah sastera kepada penulis remaja.

Kelahiran Gen pada tahun 2001 yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Tunas Cipta mengubat ‘kehilangan’ Dewan Siswa daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai majalah yang dikuasai sepenuhnya oleh DBP.

Tunas Cipta wujud sebagai majalah berautonomi (tidak menumpang di dalam majalah lain) selama lebih kurang 5 tahun (2001 – Disember 2006). Kemudian Tunas Cipta menjadi sisipan di dalam majalah Dewan Sastera (Januari 2007 – September 2008). Mulai bulan Oktober 2008 Tunas Cipta diwujudkan kembali secara autonomi sehingga kini.

dalam majalah Tunas Cipta dijalankan, iaitu pada tahun 2005. Tempoh penilaiannya pula karya-karya yang tersiar di dalam majalah itu mulai tahun 2001 sehingga 2004.

Itulah satu-satunya penganugerahan yang diberikan kepada penulis muda melalui majalah tersebut. Sehingga kini, tiada sebarang bentuk pengiktirafan kepada penulis muda melalui kedua-dua majalah ini.

Pada tahun 2008, majalah Dewan Siswa mengambil inisiatif untuk mengadakan Sayembara Menulis Cerpen Sekolah Rendah dan Menengah. Seperti namanya, sayembara ini tidak memberi ruang kepada mereka yang meninggalkan alam persekolahan. Meneliti kepada syarat-syarat pertandingan, had usia remaja diletakkan pada tahap 17 tahun bagi tujuan penyertaan sayembara ini.

Setakat ini, tiada sebarang pengumuman sama ada sayembara ini akan diteruskan pada tahun 2009 di dalam mana-mana majalah terbitan DBP.

Dengan yang demikian, persaingan dalam penulisan kreatif menjadi lebih sengit kerana penulis baru dan lama bersaing di atas platform yang sama. Namun demikian, pada sisi yang lain pula persaingan ini menjadi sesuatu yang sihat kerana tiada substandard dan tiada dikotomi antara penulis muda dengan mapan dalam aspek penganugerahan.

Realitinya, adakah ini yang berlaku ataupun penulis muda terus terpinggir kerana fokus penganugerahan terus tertumpu kepada penulis-penulis mapan.

Pada tahun 1997, GAPENA dalam Sayembara Menulis Cerpen ESSO-GAPENA ke-10 pernah menyediakan Hadiah Khas dalam dua kategori. Satu daripadanya ialah Hadiah Khas Pengarang Termuda yang dimenangi oleh Raihani Mohd Saaid melalui cerpennya “Sidang Tetamu Pulau”. Pengarangnya berusia 18 tahun ketika memenangi sayembara tersebut.

Anehnya, pada tahun tersebut 3 pemenang Hadiah Utama merupakan penulis muda, iaitu Nisah Haron, Uthaya Sankar SB dan Mawar Shafei. Namun masih ada satu lagi kategori Pengarang Termuda. Boleh disimpulkan bahawa hadiah Pengarang Termuda bersifat galakan. Persoalan timbul apabila wujud Hadiah Penghargaan kepada 7 orang pemenang lain. Adakah kedudukan kategori Pengarang Termuda ini lebih rendah ataupun setara dengan pemenang Hadiah Penghargaan? Boleh kita membaca antara baris bahawa penerima kategori Pengarang Termuda ini diberikan kerana Raihani terlalu muda (masih bersekolah) untuk dimenangkan walaupun karyanya baik.

Stigma penulis muda ini seolah-olah enggan meninggalkan pengarangnya. Ramai penulis muda yang terperangkap di dalam ruang masa, sehinggakan pengiktirafan kepada kualiti kepengarangannya ternafi. Secara kasar, apakah nama-nama seperti S.M Zakir, Zaen Kasturi, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari harus menunggu giliran dengan sabar, walaupun gigih menulis kerana masih ramai lagi pengarang yang lebih terdahulu mengarang wajar dianugerah, misalnya Anugerah S.E.A. Write. Dalam hal ini, Faisal Tehrani yang secara relatif lebih muda daripada pengarang-pengarang yang disebutkan ini juga sudah wajar diangkat walaupun dia kini berusia 35 tahun.

Menerima sebarang bentuk penganugerahan bukanlah noktah kepada perjuangan dalam penulisan kreatif. Sebagai suatu bentuk pengiktirafan, anugerah adalah suatu penanda aras yang memberi tanggungjawab lebih besar kepada pengarang; ertinya pengarang tersebut harus menunjukkan peningkatan dalam pengkaryaan atau setidak-tidaknya mengekalkan kualiti yang ada. Hal keprolifikan sudah tidak perlu dinyatakan lagi.

Oleh hal yang demikian, pengiktirafan Anugerah Sastera Negara pula wajar diberikan kepada pengarang ketika usianya masih lagi mampu berkarya dan bukannya pada usia yang terlalu senja sehingga menghalang kerja-kerja mengarang sebaik-baik sahaja menerima anugerah tersebut. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, menerima anugerah bukanlah noktahnya, sebaliknya suatu bentuk pengukuhan kepada proses pengkaryaan.

• Sayembara Penulisan

Satu-satunya sayembara penulisan yang berlangsung secara tekal ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) yang telah berlangsung lebih 20 tahun. Sayembara ini bukan sekadar menjadi penanda aras tetapi aspirasi kepada penulis untuk meletakkan nama masing-masing di dalam senarai pemenang.

Sayembara ini tidak membezakan sama ada penerimanya penulis muda atau mapan. Ini dibuktikan daripada senarai penerima yang bervariasi tanpa mengira had umur. Sayang sekali, aspek penulis muda-penulis mapan masih lagi membeli nilai berita.

Menurut Azman Ismail di dalam rencana berjudul “HSKU 2006 Idealisme Penulis Muda Terus Mendapat Tempat” , beliau menyebut :

Penulis-penulis senior hanya ‘menguasai’ hadiah penghargaan bagi kategori ini yang masing-masing menawarkan hadiah RM800 setiap satu.

Pada perenggan lain, beliau menyebut lagi :

Empat daripada tujuh hadiah penghargaan kategori itu yang masing-masing menawarkan RM800 turut dimenangi oleh penulis-penulis muda.

Sekali lagi, ketakjuban kepada usia pengarang (bukannya usia kepengarangan) menjadi sesuatu yang sangat ditekankan, seolah-olah menjadi sesuatu yang luar biasa apabila penulis muda mampu melakukannya.

Selain daripada HSKU, tiada medan uji yang konsisten untuk para penulis mencari pengiktirafan. Hadiah Sako juga diadakan secara tidak konsisten. Kali terakhir diadakan pada tahun 2008 dan keputusannya masih lagi belum diumumkan.

Walau bagaimanapun, Dewan Bahasa dan Pustaka ada menganjurkan sayembara walaupun tidak secara tekal. Paling mutakhir dan menawarkan hadiah yang besar ialah Sayembara Menulis Novel Sempena 50 Tahun DBP (turut diadakan kategori cerpen, puisi dan drama) dan Sayembara Menulis Novel Sempena 50 Tahun Merdeka. Selepas daripada ini, pengarang haruslah menunggu sekiranya ada sebarang pengumuman tentang sayembara anjuran pihak ini.

Dua sayembara yang sedang berlangsung ialah Sayembara Menulis Novel Sejarah Johor ke-3 dan Sayembara Menulis Novel Fiksyen Sains dan Teknologi. Namun, kedua-dua sayembara ini bersifat tematik.

• Rangsangan Kepada Penulis
Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan institusi dan penerbit yang sifatnya bermusim dalam kesungguhan menerbitkan karya sastera. Akhir-akhir ini musim itu datang kembali. Namun, institusi ini masih tidak dapat mengatasi pihak yang menguruskan pemasarannya – Syarikat Dawama. Ini menyebabkan ramai penulis muda beralih kiblat. Institusi yang mendambakan perkembangan sastera Melayu, khususnya di tangan penulis muda, tidak dapat memberikan kepuasan kepada pengarang dari beberapa aspek :

  • Promosi
  • Pemasaran
  • Kadar capaian (accessibility) kepada buku DBP yang terhad kepada pengedarnya sahaja dan tidak meluas
  • Kewujudan (availability) buku-buku DBP yang tidak disedari oleh khalayak lantaran pembaca tidak tahu akan wujudnya sebahagian buku-buku DBP di pasaran.

Tanpa keempat-empat perkara di atas, karya yang baik kehilangan khalayak. Promosi yang dilakukan oleh pihak DBP hanya di dalam majalahnya sahaja. Majalah itu pula tidak dapat diperoleh masyarakat dengan mudah. Mereka harus mencari pengedar tetap di setiap negeri ataupun melanggan dengan kaedah langganan yang aneh (harga majalah kerap berubah pada pertengahan tahun, baki wang tidak dipulangkan).

Oleh hal yang demikian, DBP kehilangan manuskrip novel yang baik dan kini menjadi penerbit ulung dalam menerbitkan karya-karya berbentuk kumpulan cerpen, kumpulan puisi dan kumpulan drama. Inilah niche DBP. Inilah kekuatannya kerana tiada penerbit lain yang sanggup menerbitkan karya-karya yang berat. Sekali lagi, pengedarnya tidak percaya bahawa karya selain daripada novel boleh terjual dengan baik, sedangkan kumpulan pemasaran yang baik mampu menjual apa sahaja hatta seketul ais kepada orang Eskimo.

Sebagai penerbit, DBP memberi sokongan kepada penulis muda. Namun, dari aspek penerbitan, ramai penulis muda yang mengeluh khususnya penerbitan karya-karya penulis MPR. Suatu masa dahulu, lebih kurang dua bulan selepas MPR, peserta akan bertungkus-lumus menyiapkan karya dan menghantarnya kepada para pembimbing. Tidak lama selepas itu, antologi karya MPR yang menjadi kebanggaan (selain antologi HSSBR) pun diterbitkan. Senario yang bertentangan berlaku pada hari ini sehingga mendesak mantan peserta MPR yang sedia ada menerbitkan antologi mereka sendiri. Hasilnya lahirlah Antologi 9!, Antologi 12! dan Antologi Kacak Jelita yang dicetak dengan edisi terhad kerana kos kewangan yang terbatas. Apatah lagi setiap pengarang yang menyumbang di dalam antologi ini tidak dibayar sebarang royalti malah harus mengeluarkan belanja bagi membiayai kos penerbitan ini. Percayalah, mereka lebih gembira menyaksikan antologi ini terhasil dan wujud di hadapan mata. Kepuasan ini jauh lebih baik daripada royalti yang memberangsangkan.

Menurut sumber, penulis-penulis yang mengambil bahagian menulis projek novel industri Kepezi – DBP diberikan sejumlah insentif apabila karya tersebut berjaya disiapkan.

Langkah ini merupakan satu cara bagi menarik penulis muda selain daripada memberi peluang rangsangan berbentuk geran penulisan. Bagi membolehkan penulis melakukan kajian mendalam sebelum menghasilkan sesebuah karya, adalah munasabah jika pihak institusi seperti DBP menyediakan dana kepada penulis bagi melicinkan proses kajian, rujukan ataupun jika perlu, melakukan kerja-kerja lapangan sebelum memulakan proses penulisan.

Promosi karya yang tidak konsisten juga menjadikan ramai pengarang terpaksa mempromosi karya di blog peribadi ataupun dengan ihsan sahabat-sahabat blogger. Ini memandangkan ruangan resensi buku sama ada di media elektronik ataupun media cetak sukar sekali memberikan peluang kepada penulis, tidak kira penulis muda ataupun sebaliknya.

berbanding Berita Harian yang menyediakan 3 hari untuk ruangan sastera (Khamis hingga Sabtu). Hanya Berita Harian yang menyediakan ruangan resensi yang khusus pada hari Jumaat. Dalam ruang satu halaman bersaiz tabloid itulah semua buku yang ada di Malaysia ini mencari peluang untuk dibincangkan. Bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya ruangan ini suatu hari ditiadakan?

• Kritikan karya
Menurut Maman S. Mahayana di dalam bukunya 9 Jawaban Sastera Indonesia, terdapat 5 pihak yang akan berurusan di dalam proses pengkaryaan, penerbitan dan memperkatakan karya, iaitu:

  • Pengarang
  • Penerbit
  • Pembaca
  • Pengkritik; dan
  • Karya itu sendiri

Peranan pengkritik amat penting dalam memberi merit kepada sesebuah karya sastera.
Selain daripada tanggungjawab sebagai tokoh akademik, pengkritik sastera sering diundang bagi membicarakan karya. Terdapat pelbagai kaedah untuk mencari pengkritik yang sesuai bagi membicarakan sesebuah karya. Satu daripadanya ialah pihak penganjur mendapatkan pengkritik tersebut dan dalam kes-kes tertentu terdapat pihak penulis yang mencari pengkritiknya sendiri.

Di dalam seminar-seminar yang bersifat kebangsaan dan antarabangsa, topik-topik kertas kerja yang dibentangkan merupakan atas pilihan pembentang berdasarkan tema yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Di dalam komuniti sastera yang tidak terlalu besar, dapat dilihat sejauh manakah para pengkritik memilih teks apabila karya yang diperkatakan jarang sekali memperkatakan tentang karya penulis muda.

Jika ada pun seminar yang mengangkat mengenai penulis muda secara khusus, rata-rata program tersebut merupakan anjuran pihak penulis muda sendiri seperti PENA ataupun Alumini MPR. Baru-baru ini berlangsung Seminar Kesusasteraan Remaja di USM anjuran bersama universiti tersebut dan pihak DBP (khususnya Bahagian PURNAMA). Namun, seminar tersebut bukanlah satu wacana yang memperkatakan karya-karya penulis muda secara khusus. Hanya Dr. Mawar Shafei yang merungkai teks cerpen-cerpen pilihan dari Dewan Siswa (itu pun kerana beliau adalah pengulas tetap di dalam majalah tersebut). Selebihnya, masih lagi memperkatakan dikotomi klise sastera remaja dan karya pop tanpa membawa contoh karya-karya sastera remaja kontemporari.

Hal ini harus dilihat dari 2 sisi yang bertentangan – bagi penulis muda itu sendiri, mereka mesti segera ‘membesar’ dalam aspek kepengarangan. Selagi penulis-penulis ini leka dibuai stigma ‘saya masih lagi penulis muda’ dan terikat pula dengan tema-tema penulisan yang tidak menawarkan sebarang pembaharuan serta lambat dalam mempertingkat mutu karya secara berkelompok, sukar bagi mereka mencuri perhatian para pengkritik.

Menulis cerpen secara eceran juga sukar mendapat perhatian pengkritik berbanding menulis novel sastera, melainkan penulisan cerpen itu dibuat secara tekal dan nama pengarangnya muncul hampir di mana-mana media sastera serta setiap kali menawarkan tema dan persoalan yang avant-garde.

Oleh hal yang demikian, penulis muda disarankan supaya tidak terlalu selesa berada di dalam lingkungan ini dan segera berusaha untuk menghasilkan karya-karya yang ‘besar’. Pengarang itu tidak ada makna tanpa karyanya. Pengkritik sastera hanya akan dapat mengesan karya yang ada kelainan jika mahu mereka memilih sesebuah karya tanpa disogok oleh beberapa pihak.

Pada sisi yang lain pula, persoalan juga timbul apakah yang dibaca oleh para pengkritik? Adakah karya penulis-penulis muda mendapat perhatian mereka? Lebih jauh lagi, adakah mereka memilih untuk melihat sendiri perkembangan penulis muda sebagai kajian ataukah tanggapan bahawa mereka cuma membaca karya-karya yang diminta itu ternyata benar. Di dalam erti kata lain, terdapat tanggapan daripada penulis muda yang mengatakan pengkritik tidak membaca karya kreatif secara tekal sebaliknya membaca karya yang hanya dapat diaplikasikan teori-teori tertentu.

Pengabaian ini akan menyebabkan karya-karya yang wajar mendapat perhatian kerana ditulis oleh penulis muda akhirnya tidak mendapat pengiktirafan dari aspek kritikan sastera. Sebagai contoh, nama Sri Rahayu Yusop melonjak beberapa kali sewaktu HSKU 2000, 2002, 2006 dan 2007 (kecuali pada tahun 2006, pada tahun yang lain beliau memenangi tempat pertama) tetapi senyap dan tidak pernah disentuh oleh mana-mana pengkritik. Sedangkan karyanya memperlihatkan kematangan dan kelainan yang wajar diambil perhatian. Pernahkah ada pengkritik yang mencuba untuk melihat peningkatan kualiti pengkaryaan penulis muda ini?

Sesungguhnya dunia sastera amat-amat kehilangan pengkritik yang benar-benar mengikuti perkembangan sastera tanah air seperti Almarhum Dr. Othman Puteh. Pengkritik yang membaca bukan semata-mata kerana hendak melengkapkan kajian persendirian, untuk kenaikan pangkat dan yang seumpama dengannya. Pengetahuan almarhum tentang sastera Melayu, sama ada perkembangan penulis muda, penulis mapan, karya terbaharu, penulis dari Semenanjung, penulis Sabah dan Sarawak; semuanya berada di hujung jarinya. Lantas, almarhum pernah menjadi ensiklopedia sastera yang bergerak. Sehingga hari ini, dunia sastera masih belum menemui penggantinya.

• Indeks kualiti karya
Ekoran daripada kurangnya jumlah pengkritik di Malaysia, apatah lagi pengkritik yang baik, peta kesusasteraan Melayu tanah air juga tidak memiliki satu bentuk indeks bagi menentukan kualiti karya.

Peranan indeks ini ialah satu bentuk penanda aras bagi tahap kualiti sesebuah karya. Sebagai contoh, di Barat, apabila sesebuah karya itu diulas di media tertentu misalnya The New York Times, ini sudah menunjukkan satu aras yang ditelah dicapai oleh penulis tersebut.
Di Malaysia, apakah kita boleh mengharapkan kepada Dewan Sastera (atau Dewan Siswa?) yang harus memberi laluan kepada karya-karya terbitan DBP sebelum mengangkat karya penerbit lain.

Lantas, pembaca yang prihatin harus beralih kepada blogger seperti yang pernah terkenal pada suatu ketika – www.jiwarasa.blogspot.com. Ramai pembaca yang membeli buku-buku yang telah diulas oleh blogger ini kerana beliau pandai menarik perhatian pembaca kerana pilihan bukunya, ulasannya pula telus dan jujur. Kini blogger ini tidak dapat menumpukan perhatian kepada aktiviti menulis blog secara kerap kerana terikat dengan tugas-tugas hakiki.

Bilangan blogger yang menulis tentang buku juga bertambah sejak itu. Tetapi, masih belum ada yang setanding jiwarasa yang memilih buku-buku berkualiti (tentunya karya pop tidak akan disentuh oleh blogger ini). Blogger-blogger yang lain masih lagi cenderung memperkatakan karya pop dan ringan ataupun meluahkan emosi semata-mata setelah membaca sesuatu karya. Maklumat tersebut tidak membantu pembaca entri tersebut untuk membuat keputusan sama ada harus mendapatkan karya tersebut ataupun sebaliknya.

Di satu laman lain yang dinamakan www.goodreads.com terdapat satu grup yang menamakan kumpulan mereka Goodreads Malaysia. Kumpulan ini juga terdiri daripada sekumpulan peminat buku dan juga pengkritik serius yang wajar diberikan perhatian terhadap kritikan mereka. Mereka memilih hanya buku yang terbaik dan melalui proses saringan dan undian tersendiri sebelum memilih 4 buah buku yang terdiri daripada fiksyen tempatan, fiksyen antarabangsa, bukan fiksyen tempatan dan bukan fiksyen antarabangsa pada setiap bulan untuk dibincangkan sesama mereka di dalam kumpulan ini.

Selain daripada itu, tiada bentuk indeks kualiti karya yang boleh ditemukan setakat ini. Ada pihak yang mencadangkan supaya www.ujanailmu.com.my turut dipilih sebagai penanda aras kerana pihak kedai buku online ini agak cerewet dalam memilih buku yang akan dijual di laman mayanya. Namun, setiap entiti mempunyai kriteria tersendiri yang tidak piawai dalam memberikan indeks yang dimaksudkan.

Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) juga sepatutnya boleh menjadi satu bentuk indeks. Namun, kaedah pemilihan dan penilaian karya juga kedengaran kontroversi di sana-sini dan semakin boleh dipertikaikan. Akhirnya, ada penulis yang menyifatkan memenangi HSPM bukan lagi menunjukkan kualiti karyanya, tetapi sebaliknya seolah-olah memenangi ‘cabutan bertuah’, menurut penulis tersebut. Beliau menganggap ini sebagai ‘rezeki terpijak’.

Lantas, bentuk indeks yang lebih sesuai wajarlah difikirkan bersama-sama.

• Peluang mempertingkat karya
Satu lagi aspek yang tidak kurang penting kepada mana-mana penulis ialah peluang untuk meluaskan pengalaman dalam mempertingkat mutu pengkaryaan. Walaupun proses peningkatan kualiti pengkaryaan merupakan tanggungjawab masing-masing penulis, hakikatnya, sokongan daripada pihak yang mampu memberikan peluang tersebut akan menjadikan peningkatan itu lebih bermakna.

Pengalaman seseorang penulis boleh ditingkatkan dengan beberapa kaedah selain daripada pembacaan. Penulis yang berpeluang untuk mengembara sama ada di dalam negeri ataupun luar negara atas sebab-sebab khusus mahupun sekadar untuk meluaskan pengetahuan pengalaman wajar didanai.

Peluang untuk ke acara-acara antarabangsa seperti Frankfurt Bookfair atau Bologna Bookfair (khusus untuk buku kanak-kanak) bukanlah suatu acara untuk penerbit-penerbit buku semata-mata. Menyertai acara tahunan antarabangsa yang berprestij ini wajar dibuka kepada para penulis bagi membuka mata dan melihat perkembangan buku luar negara dan bagaimana tamadun mereka memperkasa industri perbukuan.

Buku yang baik bukan sekadar terletak pada kualiti cetakan, warna dan desain kulit buku. Penghasilan buku yang baik dengan muatan yang berkualiti adalah gemblengan pengarang dan penerbit serta kebijaksanaan pihak pemasarannya.

Lantas peluang ini harus dimanfaatkan juga oleh penulis dan sekali lagi ditegaskan supaya tidak memberi penekanan kepada penulis mapan sahaja. Penglibatan penulis muda dengan idea-idea segar lagi kreatif harus dipadankan dengan peluang sebegini.

Demikian juga peluang untuk menyertai bengkel-bengkel antarabangsa seperti Iowa Writing Programme. Kali terakhir peserta sastera Melayu menyertainya ialah pada tahun 2007, iaitu Malim Ghozali Pk. Khabarnya, beliau mencari dana sendiri dan bergerak atas inisiatif sendiri. Lalu kemudiannya dibantu oleh pihak DBP. Itu pun setelah hampir 10 tahun DBP terputus hubungan dengan pihak Iowa dan kekosongan itu telah diisi oleh penulis sastera Inggeris yang pergi dengan dana dan usaha sendiri kerana mereka tidak memiliki institusi seperti DBP.

Lantas, siapakah yang bakal dikirimkan ke Iowa Writing Programme selama 3 bulan pada tahun 2009? Apakah peserta berkenaan harus melakukan seperti mana yang dilakukan oleh Malim Ghozali Pk, tanpa sebarang dana, kecuali pada saat akhir untuk sampai ke sana. Ataupun penulis muda harus redha bahawa DBP tetap menyediakan peluang untuk keluar dari Malaysia bagi menyertai bengkel-bengkel bersifat serantau seperti MASTERA yang harus bergilir mengikut genre.

Setakat ini, peluang untuk memperbaiki mutu karya secara keseluruhannya masih lagi atas inisiatif penulis itu sendiri. Satu daripadanya ialah dengan menyertai bengkel-bengkel penulisan kreatif tempatan, berguru dengan penulis-penulis yang lebih mapan kerana bengkel-bengkel penulisan kreatif lanjutan hanya dijalankan oleh penulis-penulis mapan yang sanggup mengorbankan masa. Terkini, sasterawan Azmah Nordin dilihat memberi bimbingan secara online melalui blognya – www.azmahnordin.blogspot.com.

Bentuk peluang yang lain ialah peluang untuk karya penulis muda diterjemah. Menerusi program Siri Sasterawan Malaysia anjuran Institut Terjemahan Negara, beberapa karya penulis muda diterjemah iaitu Bedar Sukma Bisu karya Faisal Tehrani yang diterjemahkan kepada The Prau with the Silent Soul dan Air Mata Ibu (Soo Cham) yang diterjemahkan kepada A Mother’s Tears. Selebihnya merupakan sebuah antologi cerpen yang dinamakan Sea of Rainbows. Antara karya penulis muda yang terpilih adalah seperti berikut :

  • Serenade of the Seventh Princess (Amaruszati Noor Rahim)
  • Knower of Souls (Daniel Jebon Janaun)
  • Miss Siti Mustika (Faisal Tehrani)
  • Message of Incense from the Land of a Thousand Pura (Mawar Shafei)
  • Playing with Rainbows (Saroja Theavy)
  • A Sword-fighter’s Love (S.M. Zakir)
  • Nayagi, Mistress of Destiny (Uthaya Sankar SB)
  • Death of a Poet (Zanazanzaly)

Harapan seterusnya ialah supaya projek penterjemahan ini dapat diteruskan dengan kualiti penerbitan buku yang bersifat antarabangsa. Bukan itu sahaja, buku-buku ini juga haruslah mudah didapati di pasaran dan harga yang munasabah. Kualiti penerbitan buku-buku ITNM beberapa tahun sebelum ini tidak terlalu memujuk pembeli untuk mendapatkan buku-bukunya lantaran kualiti kertas yang tebal dan kos yang agak mahal.

Pihak ITNM juga turut bekerjasama dengan Utusan Publications & Distributors dalam menganjurkan pertandingan terjemahan sebahagian karya yang memenangi HSKU. Ini merupakan kategori baharu dalam HSKU tahun 2009.

Peluang untuk mendapatkan karya-karya penulis muda diterjemah merupakan satu daripada jalan yang dirintis bagi mengantarabangsakan karya-karya mereka yang berkualti.

Kesimpulan
Anugerah, peluang dan pengiktirafan yang diberikan kepada penulis haruslah ada piawai tertentu dan tidak bersifat substandard ataupun wujud sebarang bentuk penafian hanya atas faktor usia. Apakah analogi Nadim yang menyelamatkan Singapura itu harus berulang kembali?

Penulis muda pula pada sisi yang lain haruslah memperkasa kualiti pengkaryaan termasuk, menguasai bidang masing-masing, cepat ‘membesar’ dengan karya, kukuh berjati diri, berani meneroka idea-idea baharu, saling sokong-menyokong dalam kumpulan, berfikir secara kreatif dan tidak berhenti daripada terus mencuba serta tidak lelah dengan serangan-serangan yang mahu menafikan kehadiran mereka.

Kekerapan menyalahkan sesuatu pihak semata-mata tidak akan menatijahkan hasil yang positif. Oleh itu, penulis itu sendiri haruslah proaktif bagi memantapkan dirinya serta terus menghasilkan karya yang berkualiti tanpa mengira apa sahaja bentuk serangan yang tiba!

BIBLIOGRAFI

Buku
Maman S. Mahayana 2005. 9 Jawaban Sastra Indonesia. Jakarta. Bening Publishing
_________, 1999. Sayembara X Cerpen Hadiah Esso – Gapena. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Haji Salleh (ed.). 2009. Sea of Rainbows. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan Negara Malaysia

Akhbar
Azman Ismail. 21 Jun 2007. “HSKU 2006 Idealisme Penulis Muda Terus Mendapat Tempat” Utusan Malaysia
___________. 17 Jun 2007 “Penulis Muda Kuasai HSKU” Mingguan Malaysia
Nazmi Yaakub. 21 Mei 2009. “Cabaran Sastera Remaja”. Berita Harian

Internet
http://www.paulocoelho.com.br/engl
http://en.wikipedia.org/wiki/Christopher_Paolini
www.jiwarasa.blogspot.com
www.goodreads.com
www.ujanailmu.com.my
http://azmahnordin.blogspot.com

Hak cipta terpelihara
Nisah Haji Haron 2009

Sumber foto daripada Zalila Isa
yang telah dipamer di Facebook. (Terima kasih)

Written by annyss

Julai 1, 2009 pada 7:53 am

Dikirim dalam kertas kerja

2 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Salam Kak Nisah,

    Agaknya ungkapan 'muda jauhari' itu bermaksud 'kalau engkau masih muda,jauhlah lagi hari engkau nak merasa pengiktirafan segala bagai tu…'

    Ya,bila difikirkan semuala,pengiktirafan kepada hadiah cerpen esso-gapena ke-10 itu memang 'semacam'…

    rai

    Julai 2, 2009 at 8:40 pm

  2. Amazing blog! Do you have any tips and hints for aspiring writers?
    I’m planning to start my own website soon but I’m a little lost on everything.
    Would you advise starting with a free platform like WordPress
    or go for a paid option? There are so many choices out there that I’m completely confused ..
    Any suggestions? Thanks!

    sims 4 forum

    Julai 16, 2014 at 3:52 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: