Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

"Kita Bangsa Yang Selesa"

with 13 comments

Saya terima undangan untuk membaca puisi bertemakan Palestin kerana saya percaya perjuangan sebagai bangsa yang peduli kepada saudara-saudara kita tidak harus bermusim sifatnya. Pada bila-bila masa sahaja, kita harus saling mengingatkan diri kita dan sesama kita perihal perjuangan untuk menuntut hak.

Buat kali pertama juga pihak gabungan NGO Dakwah di Negeri Sembilan memperakukan karyawan Negeri Sembilan sebagai mengisi slot deklamasi puisi. Hanya 2 orang dipilih. Saya telah menulis sebuah puisi panjang, walaupun sudah agak lama tidak menulis puisi yang bertema khusus begini.

Saya judulkan “Kita Bangsa Yang Selesa”.

KITA BANGSA YANG SELESA

I

Kita bangsa yang selesa
berselindung di sebalik agama
membiarkan tersiksa saudara
sesekali tersentak
       – kita menukar jenama
sedangkan dalam ruang selesa
kita berganjak tiada
       – bimbang tertumpah air muka.

Usai musim memulau jenama
kita kembali berahi kepadanya
antara fardhu ain dengan kifayah
kita pilih bermain aksara
telefon bimbit kejap dalam genggaman
kerana yang menyanyi itu juga seagama.

Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar
       Sex!
       Smoke!
       School!
       Sport!
       Screen & Song!

Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina

Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamulail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta
       Lebih kenal artis daripada ulama
       Lebih hafal lirik daripada doa

Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan
di situ bahtera karam
lidah kalam tenggelam dalam
sorai ketawa
jenaka alpa.

Justeru kita bangsa yang selesa
gemar berselindung di sebalik agama.

II

Kita bangsa yang selesa
masih berselindung di sebalik agama
di sini
bangga terhimpun di laman berkolam mini
batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
sedangkan batu yang serupa
nilainya lebih berharga
di sana
menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.

Pernahkah kita menafsir iktibar
daripada derita sebuah bangsa
bala yang tumpah ke atas Palestina
peritnya melimpah ke pelusuk atma
pun
benarkah kita benar-benar percaya.

Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
simpati melaut mencecah pantai hati
ataukah kita tak terpandang
       raungan ibu
       hiba ayah
       titis jernih anak-anak bermata bundar
lalu segera mengalihkan berita derita
rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
       tidak cukup undi percaya; dan
       kita pun sama berduka.

Sedangkan di bumimu, Palestina
apakah masih ada harga air mata
setelah setiap saat ia mengalir
bersama darah pejuang
bergaul debu petualang

III

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan berselindung di sebalik agama
iktibar daripadamu, Palestina
adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa
bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
pernah bertukar milik
       – Portugis, Belanda, Inggeris,
       – Jepun dan komunis
kini Zionis!

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan mudah percaya dengan apa yang ada
kami gali kebenaran dari tanahmu
kami hayati perjuangan syuhadamu
kami tidak rela kiblat yang pertama itu
menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.

Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayubi
biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
kita rebut semula Baitul Muqaddas
kerana setiap yang hak itu punya batas
kita bukan mahu dendam berbalas
kita mahu menjadi bangsa yang peduli
Berjuang!
       Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
       dengan pena
       dengan doa
       dengan percaya
bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung

Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana
Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.

Inna lillah
Wa inna ilaihi
Raji’un.

Nisah Haji Haron
Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai 2009

Hak Cipta Terpelihara.

Kredit foto : Zalila Isa

Jika ada pembaca yang berminat untuk menyalin puisi ini, mohon izin daripada saya terlebih dahulu. Jika mahu letak di blog sendiri, mohon izin dan link blog ini dan saya menegaskan nama saya sebagai pengarang puisi ini. Terima kasih.

Written by annyss

Ogos 5, 2009 pada 5:00 am

Dikirim dalam puisi

13 Respons

Subscribe to comments with RSS.

  1. Saya dan Niswah berpandangan mendengar puisi ini dipersembahkan. Khabarnya juga, puisi ini ditulis semata-mata kerana majlis ini. Tahniah Kak Nisah kerana puisi yang baik ini dan dipersembahkan dengan baik juga.

    Sangat terkesan.

    bayan

    Ogos 5, 2009 at 8:26 am

  2. salam kak nisah…mohon izin utk meletakkan puisi akak yg buat saya terpukul ni di blog saya. buat makluman akak, link blog akak ni sudah lama berada di blos sy..

    kucc_aprilsnow

    Ogos 5, 2009 at 4:15 pm

  3. Zalila,
    Alhamdulillah, sekadar meluahkan apa yang selama ini terbuku di hati.

    kucc_aprilsnow,
    Ya, silakan. Harap link pada entri supaya pengunjung blog sdr dapat membuat rujukan silang dan sampai terus pada entri ini. Terima kasih.

    Nisah Haji Haron

    Ogos 5, 2009 at 4:33 pm

  4. Tahniah. Perkembangan terbaharu yang positif. Teruskan kreativiti….Kak ton suka….

    mariahsj

    Ogos 6, 2009 at 12:42 am

  5. Subhanallah.. indah aturan bicara itu.

    Bagai rugi rasanya tak berpeluang mendengar sendiri empunya karya mendeklamasikan..

    Tahniah ukht.. puisi yang terkesan di jiwa 'seorang aku' ini.. Alhamdulillah

    Moga ada ruang lain yang membenarkan saya menjadi audien pada bacaanmu itu kak.. Insya`allah

    Amin ya rabbal `alamin

    Mujahidah Fie Sabilillah

    Ogos 6, 2009 at 2:00 pm

  6. Nis,
    "bahawa kita bersaudara
    setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
    gegarnya terasa di anjung semenanjung"

    Sungguh saya berasa teramat pilu menghayatinya.

    Tahniah dan syabas untuk puisi yang amat berkesan dan penuh roh perjuangan.

    Anda bukan sekadar arif prosa, malah bijak menyusun bait-bait untuk taakulan jiwa.

    rozais al-anamy

    Ogos 6, 2009 at 2:34 pm

  7. Kak Ton, terima kasih. Semuanya atas dokongan dan dorongan sahabat-sahabat dan guru-guru seperti Kak Ton juga.

    Mujahidah, terima kasih. Tidak ada apa yang rugi. Saya bacakan seperti apa yang tertulis. Semoga Allah aturkan pertemuan untuk kita kelak.

    Zais, terima kasih. Adakalanya kita perlukan genre yang lain untuk berekpresi.

    Nisah Haji Haron

    Ogos 6, 2009 at 2:59 pm

  8. sungguh terkesan!

    tahniah, anda terbaik…

    mohon izin untuk meletakkan puisi indah penuh bermakna ini di blog sy untuk hayatan sahabat2 blog sy pula..

    @N@

    Ogos 15, 2009 at 7:44 pm

  9. @N@, Terima kasih. Silakan buat pautan. Semoga ada manfaatnya buat semua.

    Nisah Haji Haron

    Ogos 15, 2009 at 8:33 pm

  10. Assalamu'alaikum Pn Nisah,

    Sebuah puisi yang penuh makna! Terima kasih.

    Izinkan saya pautkan puisi ini di facebook. Moga besar manfaatnya kepada mereka yang membaca dan menghayati..

    Wan Aziz.

    [Ab.ngah]

    Ogos 18, 2009 at 7:41 am

  11. [Ab.ngah],
    Ya, silakan.

    Nisah Haji Haron

    Ogos 18, 2009 at 7:44 am

  12. Assalamualaikum Pn. Nisah.

    Saya ingin meminta izin untuk membacakan Puisi ini dalam Program Palestin di Ireland.

    Kami akan menegaskan kredit kepada penulis asal dalam pembacaan tersebut iaitu Kak Nisah.

    Secara peribadi, saya sangat terkesan dengan puisi ini dan saya sendiri mendengar pembacaan tersebut pada malam itu.

    Terima kasih dan mohon kebenaran.

    Ferdaus Tahar

    April 6, 2011 at 4:21 pm

    • Alaikumussalam Sdr Ferdaus,

      Terima kasih kerana memilih puisi ini. Semoga ada manfaatnya, insya-ALlah.

      Nisah Haron

      April 6, 2011 at 8:25 pm


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: