Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

10092009 – 20 Ramadhan 1430H

with one comment

drivingOleh sebab ramai benar yang memilih untuk mengabadikan tarikh 090909 semalam, saya memilih tarikh sehari selepasnya untuk mencatat sesuatu. Gambar di sisi ialah putera bongsu yang tidak ada kena mengena secara khusus dengan entri ini.

Benar, tidak semua yang ditulis itu harus berkait dengan sesuatu secara tersurat. Namun, apa yang tersirat itu biarlah diselongkar oleh sesiapa yang berminat.

Sesuatu tarikh atau masa atau peristiwa menjadi istimewa apabila ia memberi makna kepada diri kita. Pada saya, tarikh semalam tiada erti yang signifikan. Lantas, saya tiada alasan untuk mengabadikannya.

Tarikh hari ini? Pada saya ada erti yang tersendiri. Selain hari ini ialah 20 Ramadhan – bermulanya fasa ketiga dalam bulan penuh barokah ini – pada tarikh ini juga saya mendapat seorang anak saudara pada tahun lepas. Kini (pada hari ini) sudah 2 bulan pula dia meninggalkan kami semua kerana dijemput pulang ke pangkuan-Nya. Dia hanya dipinjamkan kepada kami sekeluarga selama 10 bulan.

Dia hampir seusia dengan putera bongsu saya (yang lahir kira-kira 40 hari kemudian). Jika umurnya panjang, pasti dia akan menjadi hero-hero di teratak kami yang sudah sedia gamat dengan puteri-puteri yang lain. Dia pulang dengan tergesa-gesa pada hari lahirnya yang kesepuluh bulan itu.

Kepulangannya harus menjadi peringatan kepada setiap insan bahawa tarikh kepulangan kita bukannya dapat ditentukan seperti tiket-tiket untuk pulang berhari raya. Tiketnya sudah lama kita tempah cuma, kita sendiri yang tidak dimaklumkan tarikhnya. Oleh itu, kita boleh saja dijemput pulang pada bila-bila masa.

Saya teringat kisah Rabiatul Adawiyah. Pada setiap kali bersolat, beliau membayangkan bahawa itu ialah solat terakhirnya.

Selamat beribadah!

Written by Nisah Haron

September 10, 2009 at 8:55 am

Dikirim dalam Peribadi

Aduhai – Fatimah Busu

with 3 comments

Judul : Aduhai
Pengarang : Fatimah Busu
Penerbit : NP Business Office Solution
Genre : Kumpulan cerpen
Mukasurat : 356 halaman
Cetakan Pertama : 2009
ISBN : 9789834468507

Ada banyak sebab anda perlu membeli buku ini :

  • Ini ialah kumpulan cerpen Fatimah Busu yang terkini.
  • Buku ini tiada di pasaran terbuka – khabarnya hanya dicetak sebanyak 300 naskhah.
  • Ada 7 buah cerpen yang tidak ‘berani’ disiarkan oleh mana-mana editor.
  • Fatimah Busu antara penulis wanita yang berminat mengangkat tema politik dalam karyanya, akhir-akhir ini.
  • Tidak ramai penulis yang berani mengkritik selantang ini di dalam karya.
  • Harganya RM35 tetapi sangat berbaloi kerana belum tentu Fatimah Busu akan mencetak ulang.
  • Kepada yang pernah membaca cerpennya “Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan” ada sambungannya dalam buku ini.
  • Cerpen “Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II” (Dewan Sastera) merupakan antara cerpen terpanjang yang pernah diterbitkan oleh Dewan Sastera – lebih kurang panjang cerpen Seha (Shahnon Ahmad).
  • Kepada yang tidak kenal siapa itu Fatimah Busu, boleh rujuk buku teks KOMSAS Tingkatan 3 kerana dialah pengarang cerpen “Anak Bumi Tercinta”.
  • Fatimah Busu juga terkenal dengan novelnya “Ombak Bukan Biru”, kalau tak pernah baca novel ini anda tidak boleh menggelarkan diri sebagai pembaca tegar.
  • Fatimah Busu pernah dianugerahkan S.E.A. Write Award (diadakan pada setiap tahun di Thailand) tetapi menolak kerana tidak mahu menerima hadiah daripada tangan negara yang membunuh umat Islam sewenang-wenangnya.
  • Beliau orang Kelantan, oleh itu orang Kelantan wajib baca buku ini. Kalau tidak, orang Johor, orang Negeri Sembilan, orang Selangor, orang Perak dan negeri-negeri lain akan habiskan stok yang 300 naskhah itu. Nanti orang Kelantan kena pinjam dari orang negeri lain. 🙂

Senarai lengkap koleksi cerpen adalah seperti :

1. Apabila Air Mata Menjadi Darah (Berita Minggu)
2. Melankoli Atas Rumput (Dewan Sastera)
3. Wajah-wajah Ramadhan 1428 (Siasah)
4. 10 Budak Hitam (Berita Minggu)
5. 10 Puteri Tak Dilindungi Bulan (Berita Minggu)
6. Karung Masalah
7. Putih Putih, Nadzirah, Siti Dewi, Tampung
8. Kalaulah Hatiku Seperti Hati Medalin
9. Aduhai Si Luncai (Dewan Sastera)
10. Aduhai Pak Pandir (Siasah)
11. Aduhai Pak Kadok (Siasah)
12. Aduhai Pak Belalang
13. Malang Si Lebai Malang
14. Tanah Segara Bukit Itu (Siasah)
15. Alahai Manisnya Aduh Pahitnya
16. Gurindam Jiwa 50 Tahun Merdeka
17. Anak-anak Dari Kampung Pasir Pekan II (Dewan Sastera)

Dapatkan buku ini dari Ujana Ilmu.

Buku-buku Fatimah Busu yang lain ada di sini.

Written by Nisah Haron

September 4, 2009 at 8:21 am

Dikirim dalam Ujana Ilmu

Siapa patut jadi suami pengarang?

with 3 comments

Seorang calon penulis pernah bertanya kepada saya : lelaki bagaimanakah yang harus menjadi pilihannya jika dia mahu terus menjadi penulis selepas berumah tangga kelak. Saya tidak segera menjawab kerana soal jodoh dan pertemuan ini seseungguhnya kerja Allah. Namun, sebagai manusia kita boleh dan patut berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Saya katakan kepadanya – kalau mahu menjadi penulis, usah kahwin dengan penulis. Dia terkedu. Gagal mencari logiknya. Bukankah orang yang sama bidang seharusnya lebih memahami. Dia menduga saya kembali.

Saya teringat kata-kata Puan Selina SF Lee, isteri kepada penyair Dr. Lim Swee Tin. Walaupun sama-sama menulis, dia sering disalahertikan. Ada suara (sumbang) yang menyatakan yang sajak-sajak Selina itu ditulis oleh Lim Swee Tin. Sebagai penulis dan penyair, pastinya dia kecewa dituduh begitu. Lalu dalam suatu majlis pengakuan penyair yang pernah dianjurkan oleh PENA lama dahulu, katanya pepatah Cina ada menyebut – di dalam suatu lembah, tak boleh ada dua harimau.

“Lantas, kalau penulis bukan calon terbaik untuk saya, siapa yang boleh saya nikahi dalam memberi jaminan bahawa saya akan dapat terus menulis?” lebih dalam dia menduga saya.

Saya menggeleng. Tidak ada sebarang jaminan dalam kehidupan ini. Apatah lagi dalam perkahwinan kerana Allah SWT telah mengatur segala-galanya. Dia yang Maha Mengetahui. Namun, kita boleh teruskan usaha.

“Carilah pasangan yang boleh menghormatimu sebagai pengarang,” kata saya.

Calon itu mestilah boleh memberi ruang menulis :

  • ruang masa
  • ruang tempat
  • ruang membaca

Dia tidak mengganggu sewaktu pengarang sangat perlukan konsentrasi. Biasanya takkan sampai sehari suntuk. Dapat konsentrasi selama sejam lebih pun (maksimum 2 jam) pun sudah cukup bagus, kalau kita tahu bagaimana untuk mengoptimumkan masa yang diberi.

Pasangan juga tidak cuba ‘menguasai’ laptop/komputer pengarang, ketika pengarang itu sangat perlukan alat penulisannya pada ketika itu. Sebaik-baiknya pengrang tidak berkongsi laptop dengan sesiapa pun. Pengarang tidak akan ‘menghalau’ orang lain yang menggunakan laptopnya itu dengan jelas, seperti berkata, “Saya nak menulis ni, tolonglah…” Pengarang tidak mungkin berkata begitu. Kalau boleh, ketika cetusan untuk menulis itu datang, laptopnya sudah bersedia untuk diketuk. Apabila ada orang sedang menggunakan laptopnya, ibarat salur darah tersumbat, jantung terus mengepam darah dan nanti salur darah pecah – dan akibatnya, boleh difikirkan sendiri. Oleh itu, kepada pasangan pengarang, cuba untuk menjauhi aktiviti menguasai alat penulisan isteri.

Calon suami pengarang haruslah tidak terlalu mengkritik jika pengarang membeli buku dalam jumlah yang ‘membeliakkan mata’ – kerana itu ialah pelaburan yang pengarang harus lakukan:

  • bahan bacaan berkualiti menjadi asas pemikiran yang baik;
  • pemikiran yang baik lagi kritis boleh melahirkan pengarang yang kritis

Pasangan pengarang itu haruslah mampu memberi kata-kata perangsang kepada pengarang seikhlas mungkin, bukan dibuat-buat. Kalau tak mampu memuji dengan ikhlas, tak kata apa-apa pun adakalanya lebih baik daripada berkata yang bukan-bukan yang boleh membunuh semangat pengarang.

  • kata-kata suami itu umpama azimat. Isteri boleh ditawan oleh kata-kata, dia juga boleh dibunuh dengan kata-kata, dia nanti boleh membenci hanya kerana kata-kata.

Saya doakan mereka yang mencari pasangan akan bertemu pasangan yang mampu memberikan segala bentuk sokongan untuk menulis. Tidak semestinya, pasangan penulis itu mesti membaca setiap buku ataupun karya pasangannya. Sokongan moral itu adakalanya bermakna tolong bawa anak-anak keluar bermain supaya isterinya dapat menumpukan masa lebih kurang sejam. Paling kejam jika pasangannya memperkecilkan kebolehan pengarang apatah lagi apabila pengarang itu baru bermula. Mana ada orang yang apabila lahir terus berlari. Kalau betul ada yang begitu, pastinya bukan anak manusia, anak zirafah barangkali!

Pun, kriteria ini tidak semestinya sesuai untuk semua orang. Bukankah setiap orang itu unik dan mempunyai kehendak yang berbeza.
.
.

Written by Nisah Haron

September 3, 2009 at 9:35 pm

Dikirim dalam Proses Kreatif

Dapatkan Majalah Dewan Sastera September 2009

with 4 comments


Jika berminat untuk mendapatkan maklumat tentang hal-hal sastera, bacalah Dewan Sastera. Untuk bulan September, majalah ini memfokuskan tentang penulis muda. Saya telah diberi penghormatan bagi menghiasi kulit dalamnya. Oleh itu, ada beberapa karya, artikel dan puisi saya disiarkan pada bulan ini.

Berikut beberapa keratan yang dipetik dari Dewan Sastera :

Cerpen saya, “Aset Istiqamah” yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Berunsur Islam ke – 12 telah diterbitkan pada bulan ini.


Sebuah sajak khas, kenang-kenangan terhadap seorang sahabat seperjuangan yang lembut bicaranya, tenang peribadinya dan paling tidak gemar mencari kontroversi serta berlaku jujur di dalam persahabatan telah saya abadikan di dalam sajak berjudul “Kembalikan Hizairi, Sahabat Kami Itu”.

Sedikit catatan tentang peralihan saya daripada menjadi peguam kepada menjadi pengarang sepenuh masa. Turut dinukilkan proses kreatif “Lentera Mustika”.

“Lentera Mustika” telah diperkenalkan dan diulas secara ringkas oleh Shasha.

Faisal Tehrani turut mengambil peluang memberikan kritikan mengikut teori feminisme. Jangan bimbang jika anda tidak tahu apa itu tautologi. Seorang sarjana sastera harus mengambil satu teori dan cuba menyumbatkan karya pilihannya ke dalam teori tersebut. Kritikannya menyorot sudut lain tentang novel ini.

Saya juga mengulas karya terbaharu Dr. Rahmat Haroun Hashim, “Panggil Aku Melaju“. Harapan saya, lebih ramai yang akan mencari novel ini. Sangat baik untuk mereka yang suka berfikir dan mahu merenung tentang asal-usul Melayu.

Jika ada sesiapa yang mungkin berminat untuk mendapatkan majalah Dewan Sastera edisi September 2009 tetapi majalah ini TIDAK dijual di tempat anda, ataupun anda memang malas sangat-sangat hendak ke kedai buku, tidak ada masalah.

Sila e-melkan kepada saya : nisah.haron@gmail.com dengan tajuk “Mahu Membeli Dewan Sastera September 2009“.

i) nama penuh
ii) alamat penuh
iii) nombor telefon
iv) maklumat pembayaran

Harga majalah RM6.00 + kos pos RM4.00 (Pos Ekspres) = RM10.00

Boleh bayar ke mana-mana akaun berikut :

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : Maybank
Cawangan : Seremban
No. Akaun Simpanan: 164016002847

Nama : Ujana Ilmu Enterprise
Bank : AMBank
Cawangan : Seremban
No Akaun Semasa : 009-201-101171-6

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : CIMB
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05140008925522

Nama : Mohd Shukri Nasir
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad
Cawangan : Seremban
No Akaun Simpanan : 05-012-02-036500-2

Tolong e-mel maklumat segera selepas pembayaran dibuat. Saya tidak akan tahu secara automatik jika tidak dimaklumkan. Boleh bayar dulu, kemudian e-mel supaya anda tidak menghantar e-mel 2 kali.

(Oh ya, tolong jaga bahasa di dalam e-mel ya!)

Sahabat-sahabat yang ada nombor telefon saya, boleh pesan melalui SMS. Namun, kaedahnya sama seperti mereka yang memesan secara e-mel.

Naskhah yang ada pada saya amat terhad. Jadi, saya terpaksa mendahulukan sesiapa yang telah membuat pembayaran terlebih dahulu.

Saya fikir arahan di atas agak mudah difahami. Jika ada perkara yang saya tertinggal dan perlukan penjelasan, boleh e-mel ataupun tinggalkan di ruang komen.

Terima kasih.
.
.
.

Written by Nisah Haron

September 1, 2009 at 5:00 am

Dikirim dalam Nisah dalam Media

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke – 52

leave a comment »

Saya ucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke – 52 kepada semua rakyat Malaysia. Hargailah kemerdekaan ini dan usah terus terbelenggu dalam apa juga bentuk penjajahan!

Written by Nisah Haron

Ogos 30, 2009 at 6:09 am

Dikirim dalam Uncategorized

Lentera Mustika – Komen Naimisa

with 3 comments

Terima kasih kepada sdr naimisa yang mengulas novel ini di blognya. Lentera Mustika masih tidak dijual secara online di MPH. Oleh itu, dapatkan dari www.ujanailmu.com.my.

“Membaca buku ini sebetulnya memberi kesan tersendiri, banyak sisi ilmu yang dipermudahkan. Setidak-tidaknya saya ingat satu dua pantun yang ditulis di dalamnya.

“Sisi perundangan yang ditekankan dalam novel ini mengajak pembaca memahami aspek harta intelek untuk karya khususnya karya tradisional. Jarang-jarang penulis mengangkat persoalan ini di mana-mana. Sehingga sedikit persoalan yang dibangkitkan ini, menggerakkan pula minda saya mendapatkan sebuah lagi buku yang menghurai dengan panjang lebar tentang hak cipta.”


Ulasan lanjut boleh dibaca di sini.

Written by Nisah Haron

Ogos 26, 2009 at 6:29 am

Dikirim dalam Uncategorized

Lentera Mustika – Komen Dunia-Novel

with 3 comments


Ulasan dipetik dari blog Dunia Novel:

“Sejujurnya, aku tak pernah sekali pun membaca novel Nisah Haron walaupun aku pernah ‘jumpa’ novel-novel dia yang terdahulu dan aku pernah dengar namanya. Tetapi masa aku nampak Lentera Mustika dan hanya membaca komen Dato’ A. Samad Said di muka depan dan blurb di belakang, aku terus tak fikir panjang, ambil dan terus bayar. Gerak hati kuat mengatakan yang Lentera Mustika tidak akan menghampakan aku.

` Dalam Lentera Mustika ada cinta, ada ilmu…memang lain dari yang lain…kiranya tak rugilah aku membeli dan membaca Lentera Mustika..rasa bahagia sangat baca watak Ainur Mustika ni…dia ni seorang yang gigih memperjuangkan puisi warisan.

Keseluruhannya aku suka cerita ni CUMA aku tak berapa suka…

Baca ulasan sepenuhnya di sini.

** Pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan Ainur Mustika selepas berkahwin dan memiliki seorang anak angkat/tiri sekaligus, boleh membaca Mencari Locus Standi. Novel ini sudah semakin sukar diperolehi di pasaran, sila dapatkan dari kedai buku online Ujana Ilmu.

Klik pada pautan ini untuk pembelian terus : http://www.ujanailmu.com.my/pd_mencari.cfm

Membeli secara online di Ujana Ilmu, anda tidak semestinya memiliki kad kredit. Ketahui cara-cara pembayaran lebih lanjut di sini.

Written by Nisah Haron

Ogos 20, 2009 at 8:26 am

Dikirim dalam HSKU, Lentera Mustika

DBP janji terbit segera buku – KP

with 10 comments

Pertama sekali, hari ini saya sangat teruja apabila sdr Nazmi dari Berita Harian mengumumkan bahawa ruangan sastera akan ada pada setiap hari mulai hari ini di akhbarnya. Wah, luar biasa sekali komitmen Berita Harian. Nampaknya, jauh ketinggalanlah Utusan Malaysia. Saya sudah tidak ada sebab untuk membaca Utusan kecuali pada hari Ahad kerana saya segmen artikel sastera (yang ikut suka hati, ada ataupun tiada), cerpen dan puisi. Kini alasan lain untuk membaca Mingguan Malaysia ialah untuk mengikuti kolum Datin Fatini Yaacob yang menulis tentang Natrah pada setiap hari Ahad.

Sebelum ini saya melanggan akhbar hanya pada hari yang ada sastera : hari Khamis, Jumaat dan Sabtu wajib baca Berita Harian (itu adalah hari-hari yang ada segmen sastera) dan pada hari Ahad melanggan Mingguan Malaysia.

Akhbar-akhbar alternatif akan dilanggang oleh ayah saya, jadi saya akan tumpang baca. Sudahnya, kami bertukar-tukar akhbar.

Tahniah kepada pihak pengurusan Berita Harian kerana memberi ruang kepada segmen sastera untuk hidup pada setiap hari!

* * * * *

Ketika membaca ruangan sastera di Berita Harian, berita ini menarik perhatian – Jaminan daripada Ketua Pengarah DBP bahawa DBP akan segera terbitkan buku.

Saya tak tahu mana yang lebih basi : isu buku akan terbit segera ataupun komen daripada Ketua Pengarah itu lebih basi. Ataupun, buku-buku yang mahu diterbitkan oleh DBP memang manuskripnya sudah lama basi.

Dulu, kalau bercakap tentang buku-buku DBP, kita barangkali tidak kaitkan dengan Dawama Bhd (sebagai pencetak dan pengedar tunggalnya). Sekarang, apabila saya terlibat dalam dunia buku saya tahu bahawa DBP tidak mengedarkan buku. Tugas DBP hanyalah menerbitkannya. Jadi, sebelum sesiapa mahu menyelar DBP, hadamkan dulu fakta ini.

Dawama sebagai pengedar tunggal buku-buku DBP bertanggungjawab penuh dalam mencetak dan mengedar buku-buku ini supaya sampai kepada khalayaknya. Nah, tanggungjawab yang satu inilah yang dipertikaikan oleh banyak pihak khususnya pengarang. Mana dia buku-buku yang sudah diterbitkan? Kenapa habuk buku-buku DBP ini langsung tidak nampak di mana kedai-kedai buku pun.

Ya, adalah beberapa judul yang ‘tersesat’ di MPH. Saya ada jumpa. Bohong pula kalau saya kata 100% tiada. Tapi, kita boleh lihat buku DBP yang bagaimana yang ada di MPH. Selalunya, buku-buku yang bermaruah sifatnya. Selebihnya, kalau nak beli di Dawama, kena pesan awal-awal. Kalau datang pakai terjah, kenalah tunggu pekerjanya menyelongkar buku-buku di dalam gudangnya. Buku-buku yang dipamerkan di dalam kedai kecil di luar gudang itu juga ada yang tidak mempamerkan buku-buku terbaharu. Kena tanya, sabar menunggu, baru dapat.

Sebagai penjual buku, saya juga kena bersabar, tidak kurang juga sampai hilang sabar kerana pihak Dawama enggan menjual buku-buku kepada saya dengan harga pengedar. Kalau saya dapat 10% diskaun daripada pihak Dawama bagaimana saya boleh jual kepada pelanggan yang turut menuntut diskaun yang sama. Walaupun saya bayar tunai, walaupun saya beli buku lebih daripada 10 naskhah (sebagai contoh), diskaun yang diberikan tetap sama. Kalau hendak diskaun lebih, kena usaha lebih dengan pelbagai cara yang sudahnya, kedua-dua pihak tidak gembira.

Atas alasan yang sama, saya juga tidak dapat bekalkan majalah kepada banyak pihak yang meminta, kerana setiap bulan akan mengalami masalah yang sama. Sedangkan majalah DBP langsung tidak kelihatan merata-rata di tempat saya. Bagaimana buku DBP mahu laku jika majalahnya tidak beredar. Buku-buku DBP hanya dipromosi di dalam majalah DBP sahaja.

Lalu, apa gunanya DBP terbit buku, percepatkan penerbitan buku jika buku-buku itu tidak berjumpa matahari pun. Semuanya tersimpan di dalam gudang. Hujung tahun, dijual dengan harga RM1. Adilkah buku-buku yang tidak pernah dipromosi, dipertonton, diberitahu kepada orang ramai akan kewujudannya ini dilacur sedemikian?

Ini kenyataan Dato’ Termuzi (K.P DBP) yang saya petik dari laman Berita Harian :

“Dalam memartabat dan mengembangkan sastera serta bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, DBP mensasarkan untuk menerbitkan lebih 400 judul buku dalam setahun,”

Ini pantun daripada saya :

Apa guna paku yang banyak,
      Kalau berkarat setiap batang;
Apa guna buku yang banyak,
      Hanya sarat di dalam gudang.

Jika perkara pemasaran dan jualan buku oleh Dawama ini tidak diselesaikan, saya percaya DBP akan terus kehilangan penulis-penulis yang berwibawa. Setakat ini sahaja, ramai penulis yang berkualiti sudah beralih arah.

Penulis-penulis ini bukan setakat kecewa dengan proses penerbitan yang lambat pada suatu ketika (kini sudah ada pembaharuan, sedikit cepat berbanding dulu), ramai yang bertanya juga kepada saya, selepas buku mereka diterbitkan oleh DBP, di mana kawan-kawan mereka mahu membeli untuk mendapatkannya. Dawama mahu jual secara online sahajakah? Bukan semua orang selesa membeli secara online. Kanak-kanak dan remaja lebih sesuai membeli buku di kedai-kedai buku. Ibu bapa mahu membelek-belek buku sebelum membelinya untuk anak-anak.

Jadi, di mana sebenarnya buku-buku DBP ini dijual? Hanya di kedai-kedai yang tersorok? Kedai-kedai lain nampaknya tidak berminat untuk menjual buku-buku DBP. Ya, saya tidak salahkan mereka kerana Dawama enggan memberi diskaun yang berpatutan. Siapa yang mahu rugi?

Apakah kenyataan Ketua Pengarah DBP di dalam hal ini pula?

Nota Hujung:

* Sasterawan Negara pun sudah mula mendapatkan kembali hak cipta daripada pihak DBP kerana sudah hilang kepercayaan atas kebolehan DBP/Dawama menjual dan mempromosi buku-buku mereka.

Fikirkan!

Written by Nisah Haron

Ogos 17, 2009 at 9:31 pm

Dikirim dalam DBP

Lentera Mustika – Komen Welma La’anda

with 2 comments

“Betul kata Faisal Tehrani, Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam ‘wilayahnya’ menerusi buku ini. Ternyata cinta, seni dan undang-undang sangat mesra saling berkait antara satu sama lain di dalam kehidupan.

Saya kira penulis berjaya menyampaikan 3 elemen itu kepada para pembaca. Saya sendiri kurang pasti apakah mesej tunggal sebenar yang penulis mahu sampaikan menerusi Lentera Mustika untuk menjadi bekal-bekalan kepada pembaca : cinta kepada warisan seni melayu?, faham perundangan? atau memaknai hubungan hati antara lelaki dan perempuan?, kerana semua mesej-mesej itu seimbang disampaikan. Apa yang pasti, buat diri saya, ketika saya mengakhiri halaman-halaman terakhir Lentera Mustika, ternyata bukan ketiga-tiga perkara itu menguasai pemikiran saya tetapi lebih condong kepada soal memandang kehidupan dengan lebih baik. Mungkin disebabkan itu saya mengakhiri buku ini dengan air mata walaupun cerita tidak diakhiri dengan kesedihan.”

Baca lanjut ulasan daripada blogger Welma La’anda tentang Lentera Mustika.

** Jika novel Lentera Mustika tidak terdapat di kedai-kedai buku di kawasan anda, sila tinggalkan komen dengan menyatakan daearah anda. Jika mahu lebih mudah, pesan terus dari http://www.ujanailmu.com.my ataupun terus ke laman http://www.ujanailmu.com.my/pd-lentera-mustika.cfm. Mahu ditandatangani oleh pengarangnya juga boleh, asalkan maklum kepada pihak Ujana Ilmu melalui e-mel : webmaster@ujanailmu.com.my.

– Pihak pengurusan Ujana Ilmu

Written by Nisah Haron

Ogos 16, 2009 at 12:37 am

Dikirim dalam Lentera Mustika

Singgahan di Kuantan

leave a comment »


Pada suatu petang Ahad yang tenang, saya singgah sendirian di Bandar Kuantan. Perjalanan menggunakan bas ekspres dari Seremban ke bandar itu tamat di destinasinya dan disambut dengan deraian hujan. Agak lebat juga.

Di Terminal Makmur, saya menahan teksi yang terus membawa saya ke hotel yang telah ditempah lebih awal. Saya pernah lalu ke Kuantan sebelum ini tetapi tidak pernah singgah, apatah lagi menginap.

Sengaja saya pilih sebuah hotel yang letaknya di pinggir Sungai Pahang. Apabila bersendirian, saya dapat menikmati keadaan ini dengan cara yang tersendiri. Sebelum ini, saya pernah bermalam di Pekan, Pahang. Atau lebih tepat lagi, di kediaman sahabat pengarang, Amaruszati yang kini lebih dikenali sebagai usahawan kek di Pahang. Oleh sebab saya tidak memandu, saya tidak berkesempatan untuk ke mana-mana selain di bandar ini.

Urusan saya bermula pada hari Isnin, jadi petang Ahad itu, setelah hujan reda, saya berjalan-jalan. Perjalanan saya itu membawa saya sehingga ke Berjaya Megamall Kuantan. Apa lagi yang mungkin saya cari, kalau bukan sebuah kedai buku. Saya tidak bertanya kepada sesiapa, jadi apa yang saya terpandang, itulah yang saya jumpa.

Setelah berpusing-pusing sekeliling kompleks beli belah itu, saya terjumpa Popular Bookstore. Ada banyak buku yang dijual sebagai kedai buku rangkaian. Sayang sekali, Lentera Mustika masih tiada di situ. Saya beranggapan, novel saya itu masih belum sampai ke Kuantan. Setakat ini di Seremban sudah ada.

Oleh sebab berjalan kaki, saya sempat merakam beberapa gambar di sekitar bandar ini. Sungguh tertarik dengan seni bina Masjid Negeri yang menjadi mercu tanda terbaharu Kuantan. Terasa seperti melihat sebuah masjid di negara Turki. Ada persamaan pada seni binanya. Banyak juga gambar yang saya ambil untuk masjid ini. Walau bagaimanapun, ini antara sudut yang agak baik.


Esoknya, saya menunggu wakil daripada pihak Radio Malaysia Pahang FM di lobi hotel. Namun, suasana di luar hotel lebih memanggil. Saya membiarkan semilir pagi bermain-main dengan wajah saya di pinggir Sungai Pahang. Air sedang pasang. Banyak juga bot yang sedang memulakan laluan sejak awal pagi. Cuaca sedikit mendung dan pagi masih basah.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, Puan Wan Azizah, DJ Radio Malaysia Pahang FM menjemput saya untuk dibawa ke studio rakaman. Kompleks penyiarannya besar dan agam – dan seperti biasa sejuknya amat luar biasa.

Rakaman berjalan lancar.

Saya dibawa pula ke East Coast Mall untuk makan tengah hari. Kami bersembang-sembang seputar dunia penulisan dan juga buku. Saya tanya, apakah kedai buku yang ada di dalam kompleks ini pula. Nampaknya kompleks ini lebih besar daripada Berjaya Megamall yang saya singgah semalam. Daripada maklumat yang diterima, ada sebuah katanya. Itupun, apabila saya singgah kemudiannya, boleh dikatakan kedai itu tidak sampai 50% berisi buku. Selebihnya adalah kedai alat tulis.

Menurut Kak Wan (panggilan saya kepadanya), tahap pembacaan di negeri ini antara yang terendah. Saya kata, barangkali keadaan negeri Pahang yang besar menyukarkan pengedaran buku. Dia tidak pasti tetapi menurutnya lagi, seorang kenalannya yang memang suka membeli buku, tidak akan membelinya dari Kuantan. Kenalannya itu akan ke Kuala Lumpur kerana buku-buku yang dicarinya itu biasanya tiada di Kuantan.

Saya tidak mungkin membuat kenyataan bahawa orang Pahang tidak membaca ataupun di Kuantan tidak ada kedai buku hanya berdasarkan singgahan selama kurang daripada 24 jam itu. Namun, itulah tanggapan awal yang ada munasabahnya.

Pun, saya berharap tahap pembacaannya lekas bertambah. Kalau di Kuantan ada sebuah gedung KAMDAR (dengan bangunan sendiri) dan penuh diisi pelanggan, mudah-mudahan akan ada kedai yang sebesar itu dan penuh dengan pencinta buku dari seluruh negeri Pahang.

Saya tinggalkan Sungai Pahang dan Bandar Kuantan yang ternyata hebat dari segi koleksi pakaian dan juga tudung – Butik Ariani dengan harga tudung yang beratus-ratus itu boleh mendapat sambutan di Kuantan – dengan hati yang sedikit terkilan. Apakah nilai buku jauh lebih rendah daripada fesyen pakaian yang sifatnya bermusim?

Semoga singgahan saya ke bandar ini pada lain masa akan menawarkan sesuatu yang lebih menjanjikan!
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 14, 2009 at 8:51 pm

Dikirim dalam Peribadi