Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Oktober 2006

Catatan Sesudah Hari Raya

with 4 comments

Usai sudah Hari Raya. Selebihnya, hanyalah saki baki untuk menziarahi rakan taulan (mana-mana yang sempat) ataupun menghadiri majlis rumah terbuka. Namun, peribadi, saya tidak berapa menggemari rumah terbuka. Ya, mungkin itu cara terbaik untuk bertemu dengan ramai orang dalam satu masa. Tetapi semasa rumah terbuka, tuan rumah jarang dapat melayan semua tetamunya yang datang serentak. Paling bagus pun dapat bersalaman sahaja.

Datang bersama keluarga pada hari yang bukan hari rumah terbuka, pada saya lebih santai dan lebih mengeratkan silaturrahim walaupun adakalanya tuan rumah akan merasa rendah diri kerana tiada hidangan istimewa yang dapat dikeluarkan. Namun, percayalah saya sendiri datang menziarahi saudara-mara dan rakan-rakan bukan kerana hendak makan, ia lebih kepada untuk mengambil kesempatan merapatkan kembali mana-mana hubungan yang ‘terputus’ / ‘terhakis’ oleh kesibukan serta komitmen kehidupan masing-masing.

Sambutan Idulfitri di tempat saya adalah seperti rutinnya. Beberapa hari sebelum raya, sempat jugalah bakar beberapa biji kek untuk diagihkan kepada pihak-pihak yang wajib menerimanya dan bakar juga beberapa jenis kuih raya. Tahun ini paling minimum – 5 jenis sahaja. Yang dibeli hanya jenis-jenis kacang, dan yang jenis bergoreng. Pengalaman lepas banyak mengajar bahawa tetamu yang datang akan mencari kuih buatan sendiri juga akhirnya, jadi saya mengambil iktibar tersebut tahun ini 🙂

Raya di Ampangan biasanya ada ketupat & rendang untuk hari raya pertama dan kedua. Raya di Seri Menanti pasti ada lemang. Dalam kesibukan membuat persediaan Hari Raya, sempat juga kami sekeluarga lari ke Seri Menanti, membantu pihak di sana membakar lemang. Pun, sebenarnya, saya mahukan anak-anak saya merasakan suasana persediaan Hari Raya di kampung. Saya mahu mereka punya pengalaman ‘menyibukkan diri’ ketika orang sibuk masukkan beras pulut dalam batang buluh, ketika bapanya sibuk menghidupkan api di langai lemang, pendek kata, merasakan suasana yang tidak mungkin dapat dirasakan di Ampangan ataupun di bandar ataupun jika sudah tiada sesiapa lagi di kampung.

Di Ampangan, mereka sibuk juga ‘membantu’ buat kuih raya, melihat saya menganyam ketupat dan merebusnya. Mujur seni menganyam ketupat ini dapat saya warisi – biarpun hanya tahu menganyam sejenis ketupat (dipanggil ketupat sate kerana ia berbentuk segiempat sama berbanding ketupat bawang). Saya belajar anyam ketupat pun sambil melihat arwah emak dan nenek menganyam. Saya masih teringat kata-kata arwah nenek – kekok hendak mengajar orang buat ketupat, kau tengoklah sendiri lepas tu ikut dan cuba banyak kali.

Ya, memang itu yang saya praktikkan. Seperti juga dalam penulisan. Sukar hendak mengajar orang menulis, tetapi tengoklah sendiri selepas itu, cuba banyak kali. Insya-Allah, kalau ada istiqamah, pasti akan datang pertolongan sama ada dalam bentuk ilham ataupun dikurniakan hari yang terang.

Sebagai orang Melayu, saya hargai tradisi ini. Tradisi ini benar-benar terpilih, bukan tradisi berlebih-lebihan – segalanya yang baru pada Hari Raya. Maaf, itu bukan cara kami di rumah ini. Segalanya serba sederhana. Falsafah saya lebih mudah: baju raya ialah apa-apa baju bersih yang dipakai pada Hari Raya. Jadi tak semestinya baju baru. Anak-anak saya pun tidak saya tekankan sangat dengan fenomena ‘mesti segalanaya baru’ dari hujung rambut sampai hujung kaki.

Paling penting ialah berapa banyak yang sempat kita bermuhasabah sepanjang Ramadhan. Hari Raya bukannya sebulan penuh dengan makan-makan dan pesta-pestaan. Sudahlah sebulan Ramadhan menjadi sebelum pesta makan di mana-mana.

Cukuplah dengan kadar yang ada.

Kepada yang mahu berkunjung ke teratak kami di Ampangan, silakan. Kalau boleh emel atau telefon terlebih dahulu. Kadang-kadang kami sudah keluar beraya ataupun menguruskan Ujana Ilmu. Ya, Ujana Ilmu sudah mula beroperasi pada Hari Raya ketiga. Maklumlah, kami bergerak seiring dengan Pos Malaysia. Selagi Pos Malaysia beroperasi, kami juga begitu.

Mungkin tahun ini saya tiada tarikh tertentu untuk rumah terbuka, tetapi sesiapa sahaja yang hadir, akan saya terima dengan hati yang terbuka…

Written by Nisah Haron

Oktober 27, 2006 at 1:17 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Lebih senduk dari gulai

with 13 comments


Senduknya diimport dari Seberang.
Kuahnya gulai biasa.
Di sini juga ada banyak senduk.
Tetapi senduk dari Seberang itu yang dilihat lebih molek mengacau kuah di sini.

Meniti hari-hari terakhir Ramadhan,
Saya memilih untuk mengacau rendang dengan senduk tradisi,
milik keluarga sendiri. Milik peribadi
Itu lebih hakiki.

Semakin ke penghujung Ramadhan
kian terserlah warna kawan dan lawan
dalam dunia persuratan…

Salam Idulfitri buat semua pengunjung
Maaf Zahir & Batin

ikhlas,
Nisah Haji Haron

Written by Nisah Haron

Oktober 17, 2006 at 9:34 am

Dikirim dalam Uncategorized

Hadiah Nobel Kesusasteraan 2006

with 3 comments

Orhan Pamuk

Orhan Pamuk
Turkey
b. 1952

“The Nobel Prize in Literature 2006 –

who in the quest for the melancholic soul of his native city has discovered new symbols for the clash and interlacing of cultures”

Announcement of the Nobel Prize in Literature by Professor Horace Engdahl, Permanent Secretary of the Swedish Academy, on October 12, 2006.

Links : Bio-bibliography of Orhan Pamuk

Short interview with Pamuk upon the announcement of the Prize.

Sumber : http://www.nobelprize.org

Written by Nisah Haron

Oktober 13, 2006 at 5:42 am

Dikirim dalam Penulisan

Selamatkah wang kita?

with 7 comments

Ramai anggap berisiko guna perbankan Internet

KUALA LUMPUR 12 Okt. – Mudah tetapi berisiko. Itulah pendapat orang ramai mengenai penggunaan perbankan Internet untuk menggantikan cara perbankan konvensional.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kebanyakan orang ramai was-was dan enggan memilih cara perbankan Internet sebagai alternatif kepada perbankan konvensional.

Seorang pelajar kolej, Hasinur Zaemah Rasyiqah Hashim, 23, berkata, dia tidak pernah menggunakan perbankan Internet kerana tidak yakin dengan sistem keselamatannya.

‘‘Saya berasa tidak selamat kerana perbankan Internet tidak dibekalkan sebarang dokumen yang boleh membuktikan transaksi bank dijalankan.

Pelajar sekolah menengah, Daniel Tan, 17, juga memilih untuk tidak menggunakan sistem perbankan Internet kerana tahap keselamatannya boleh dipertikaikan.

‘‘Penjenayah sekarang semuanya canggih-canggih, mereka menggunakan kepakaran teknologi untuk mencuri wang simpanan orang lain.

‘‘Saya takut jika maklumat rahsia saya dicuri dan disalahgunakan,’’ ujar Daniel.

Seperti Daniel, seorang suri rumah, R. Thanam, 33, juga berasa was-was terhadap urusan perbankan secara dalam talian.

‘‘Simpanan saya adalah hasil titik peluh saya. Oleh itu, saya mesti berhati-hati dan pastikan tiada orang yang cuba mengambil kesempatan,’’ katanya.

Hapsah Mahammadon, 60, pula berkata, pelbagai jenayah komersial berlaku sekarang ini dan ia amat membimbangkan.

‘‘Bukan setakat perbankan Internet, malahan saya berasa bimbang untuk menggunakan kad bank dan kad kredit,’’ katanya.

Alhamdulillah, setakat ini, saya pengguna perbankan internet yang sangat berpuas hati. Saya tidak ada masalah setakat ini apabila membayar bil sambil minum kopi ataupun memindahkan sejumlah wang dari satu bank ke bank yang lain tanpa risiko dirompak di tengah-tengah jalan.

Sungguh, risiko itu ada di mana-mana. Mengapa hanya menyalahkan cara ini? Jika tiada perbankan internet, bagaimana orang dari Sabah mahu buat bayaran dengan cepat dan selamat kepada penerima di Seremban?

Merujuk kepada komen di atas, rata-rata yang bercakap itu jelas sekali tidak pernah menggunakan perbankan internet. Belum cuba tetapi sudah buat andaian negatif.

Kebanyakan yang dikatakan ‘terkena’ itu saya anggap masih belum dapat menguasai teknologi. Kalau pakar komputer pun beranggapan demikian, bererti dia belum lagi pakar.

Jika benar urus niaga perbankan internet tidak lagi selamat, marilah kita semua ‘membuang masa’ menunggu giliran berjam-jam di bank hanya untuk memasukkan sekeping cek!

Written by Nisah Haron

Oktober 12, 2006 at 11:59 am

Dikirim dalam Uncategorized

PENULISAN SASTERA ISLAM : MENULIS ITU AMANAH

with 8 comments

OLEH : NISAH HAJI HARON

Terkesan saya setelah membaca wawancara DS dengan Norhisham Mustaffa lewat Dewan Sastera Mei 2004. Sentuhan yang paling bermakna ialah pada komen beliau tentang penulis-penulis baru. Betapa penulis itu wajib menurunkan sesuatu yang bermanfaat ke dalam hasil karya bukan setakat karya yang kosong tanpa makna.


Menjadi penulis adakalanya bukan suatu pilihan. Ada sesetengah penulis hari ini, tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis. Tetapi keadaan serta takdir telah menjurus penulis ke arah ini.

Kemahiran pena ini bukan datang dengan begitu sahaja. Manusia yang dikurniakan ilham oleh Allah SWT mempunyai tugas dan tanggungjawab berat di dalam dunia penulisan. Mereka tidak wajar mengabaikan kurniaan ini dengan meninggalkan terus kebolehan menulis dan mengutamakan tuntutan hidup yang lain.

Fenomena dunia penulisan tempatan memperlihatkan karya-karya hari ini dikuasai oleh penulis fiksyen ringan. Karya begini bukan sahaja bersifat mesra pembaca, malah ia seringkali menampilkan isu-isu yang dangkal.

Longgokan karya begini pula dilambakkan kepada pembaca, terutama sekali kepada pembaca remaja dan kebanyakannya pembaca di bawah umur 40 tahun. Karya-karya jenis ini boleh dianalogikan sebagai pemanis mulut @ dessert. Boleh dikatakan hampir setiap orang sukakan pemanis mulut, kecuali kumpulan tertentu yang mahu menjaga kesihatan dan berat badan.

Pemanis mulut memang disenangi oleh sesiapa sahaja. Tetapi terlalu banyak memakannya boleh memburukan kesihatan tubuh badan.

Karya sastera pula boleh dikatakan sebagai makanan yang berkhasiat, seperti nasi, sayur-sayuran dan sebagainya. Kanak-kanak lebih suka makan gula-gula berbanding makanan berkhasiat. Jadi kawalan dan pemantauan daripada ibu bapa amat penting kerana pengetahuan tentang pemakanan yang sihat lagi seimbang harus dimulakan dari awal.

Dalam hal yang demikian, lambakan fiksyen ringan yang bersifat santai ini kalau terlalu banyak memenuhi ruang pemikiran pembaca boleh menghasilkan kumpulan manusia yang berfikiran cetek akibat sogokan yang tidak terkawal. Ia seperti kanak-kanak yang rosak gigi ataupun mengalami masalah obesiti kerana terlalu banyak makan manisan dan makanan ringan.

Walau bagaimanapun, sebelum penulis-penulis ataupun penerbit-penerbit fiksyen ringan ini diselar atas penghasilan mereka, kita juga perlu lihat di mana pula penulis-penulis karya sastera dalam konteks yang sama.

Penulis sastera yang menjadi umpama makanan yang berkhasiat ini masih lagi aktif menghasilkan karya. Namun mereka seringkali tewas lantaran karya mereka tidak menemui khalayak. Usaha-usaha untuk memasyarakatkan karya-karya sebegini masih lagi perlu dipertingkatkan. Soal pemasaran harus diserahkan kepada mereka yang lebih arif.

Seringkali apabila perdebatan berlaku tentang fiksyen ringan dan sastera , penulis fiksyen ringan serta penerbitnya memperkatakan bahawa mereka hanya mengikut permintaan pembaca. Selagi ada permintaan, mereka akan terus membekalkan bahan bacaan bersifat begini.

Persoalan yang boleh ditimbulkan ialah, jika semua penulis bersatu untuk mengurangkan penghasilan karya bersifat ringan dan meningkatkan penerbitan karya sastera, adakah ini boleh menjadi penyelesai masalah. Dalam hal ini, penulis dan penerbit karya sastera harus bertegas.

Kerajaan juga harus mengambil bahagian di dalam menentukan masa depan pemikiran rakyat supaya tidak terlalu banyak disogokkan dengan ‘gula-gula’ dan ‘manisan’ yang boleh merosakkan pemikiran.

Jika penghasilan karya-karya sastera memenuhi ruang kedai-kedai buku, ini akan menjadikan pembaca diberi pilihan yang lebih baik. Promosi tentang buku-buku berilmu ini juga memainkan peranan yang penting supaya orang ramai diberi makluman tentang buku-buku yang baik.

Penulis pula secara khusus mempunyai tanggungjawab untuk menghasilkan karya yang positif, membina minda dan menegakkan masyarakat melalui karyanya. Jika penulis sendiri mengikut arus yang ditentukan oleh pembaca, maka satu hari nanti penulis tidak akan ada kebebasan untuk menulis. Pembaca akan menjadi penunjuk arah dan hala tuju penulis. Sedangkan penulislah yang bertanggungjawab membentuk masyarakat.

Dalam hal ini, penulis Muslim mempunyai tanggungjawab yang lebih besar. Penulis sebenarnya ada kuasa untuk menyentuh minda dan hati pembaca. Namun dia juga akan dipersoalkan di akhirat atas tindakan penulisannya di dunia ini. Amanah yang dikurniakan oleh Allah SWT ini hendaklah disempurnakan dengan sebaik mungkin. Di sinilah peranan penulis amat terserlah.

Bagi penulis yang mempunyai ilmu-ilmu tertentu, beliau harus menurunkan ilmu tersebut dalam karya kreatif bagi meningkatkan pengetahuan pembaca. Sebagai contoh, di Malaysia penulis-penulis yang berada di dalam disiplin kerja tertentu seperti Aminah Mokhtar, Dr. Rahmat Haroun dan saya sendiri menulis dengan mengeksploitasi pengetahuan disiplin masing-masing.

Aminah Mokhtar (seorang jururawat) dan Dr. Rahmat Haroun seringkali menggarap suasana di hospital sesuai dengan latar kerjayanya. Saya sendiri juga tidak lupa memasukkan unsur-unsur perundangan sebagai latar penceritaan.

Kelebihan-kelebihan ini juga harus digarap oleh penulis-penulis yang mempunyai latar disiplin agama. Perkembangan positif penulis-penulis yang pernah menuntut di Timur Tengah memperlihatkan kecenderungan yang sama. Nazmi Yaakob di dalam karyanya Lambaian Huda memilih untuk berdakwah di dalam novel sulungnya itu. Begitu juga dengan Zaid Akhtar yang memenangi Hadiah Sastera Utusan sebanyak dua kali lewat novel-novelnya Sesegar Nailofar dan Rona Bosphorus. Bancuhan perjuangan Islam agak pekat diutarakan di dalam novel-novel ini.

Islam seringkali disalahertikan. Apatah lagi Barat pula menangguk di air yang keruh dengan memanupulasi fakta yang benar tentang Islam.

Penulis sastera Islam hatta penulis secara umumnya, haruslah bijak mengawal keseimbangan dalam penulisan. Penulis yang baik ialah penulis yang berjaya meletakkan pemikiran dan perasaan dengan harmoni di dalam karya. Tulisan yang terlalu berat ke arah pemikiran akan menjadi sebuah esei manakala karya yang cenderung ke arah perasaan hanya hanya menjadi sebuah catatan emosi tanpa rasional tertentu.

Tidak ramai sebenarnya penulis dewasa ini yang menjurus ke arah novel-novel berunsur Islam. Selalunya bila ada sayembara penulisan cerpen ataupun novel berunsur Islam, barulah ada karya yang akan lahir. Kehadiran karya begini sudah menjadi seperti air laut yang pasang surut. Tiada penghasilan yang konsisten dari penulis yang menjurus di dalam bidang ini. Oleh itu, penulis sastera Islam perlu mengisi kekosongan yang dikhususkan buat mereka.

Sesungguhnya mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Sayangnya, mata pena penulis Islam jarang berasah dan jangan salahkan musuh-musuh Islam jika mereka sebenarnya lebih berani menulis menghina Islam dalam cara yang paling kreatif kerana penulis Islam tidak bangkit menentang dengan cara yang berhikmah.

Penekanan aspek membimbing atau mendidik dengan cara yang berhemah dan menggunakan hikmah ini amat penting di dalam karya-karya Islam. Usah berceramah tentang Islam dalam karya kerana pembaca akan menjadi mual dan meninggalkan langsung karya tersebut. Tiada siapa yang suka ‘diceramahkan’ atau ‘dileteri’ tentang itu ini ataupun kebaikan dan keburukan.

Penulis yang berpendidikan Islam secara formal mempunyai banyak input tentang Islam yang boleh diperluaskan dalam bentuk kreatif. Pembaca lebih senang belajar dalam bentuk cerita. Senang mereka mengutip iktibar dan sempadan yang diperkatakan. Berapa ramai di antara siswazah lulusan agama ini mahu mengisi kekosongan jawatan di jabatan-jabatan agama Islam ataupun menjadi guru-guru agama semata-mata.

Islam itu syumul lagi luwes. Menjadi fardhu kifayah kepada setiap umatnya mengisi setiap peranan yang ada di muka bumi. Jika kita sudah ada golongan yang cukup bagi memenuhi pendidikan Islam, guaman Islam, pentadbiran Islam dan ekonomi Islam, penulis sastera Islam juga wajar diisi oleh siswazah lulusan agama, tidak kira sama ada tempatan mahupun Timur Tengah.

Faisal Tehrani sebagai graduan Siasah Syariah dari universiti tempatan turut memilih untuk memanfaatkan bidang pengetahuannya di dalam karya-karya beliau. Novel 1515 yang memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Utusan baru-baru ini memperlihatkan beliau mengukuhkan kedudukannya sebagai penulis lulusan agama yang berjaya membincangkan kedudukan Hukum Kanun Melaka sebagai undang-undang Islam dengan penuh keyakinan.

Penulis harus menulis apa yang mereka tahu. Menulis tentang sesuatu yang asing perlukan kajian, rujukan dan masa untuk mendalaminya. Penulis yang telah menjurus di dalam sesuatu disiplin tertentu wajar memanfaatkan bidang masing-masing. Ini jauh lebih baik daripada memperkatakan hal-hal yang tetek-bengek dan tiada wawasan di dalam karya.

Berapa lama lagi kita harus meletakkan tanggungjawab itu ke atas bahu Sasterawan Negara Abdullah Hussein ataupun Shahnon Ahmad, misalnya. Penulis perlu ada generasi pelapis. Kumpulan baru ini hendaklah berusaha untuk memantapkan diri agar menjadi penulis pelapis yang lebih baik daripada penulis mapan.

Sastera itu bersifat dinamik. Dokumentasi tentang tamadun manusia terletak di tangan penulisnya sendiri. Jika tiada usaha dan iltizam diambil oleh penulis sastera Islam, maka masyarakat dan anak-anak generasi akan terus diberi sogokan karya yang tidak matang, kosong isi dan nihil pemikiran.

Kita harus berhenti mengenang tentang kecemerlangan dunia Islam pada zaman Bani Umaiyah dan Abassiah. Itu cerita masa lampau. Bagaimana pula dengan kisah hari ini?

Masa depan sastera Islam sesungguhnya terletak di tangan umat Islam sendiri. Tiada siapa yang boleh menjadi pencerita terbaik melainkan mereka yang berada di tempat kejadian dan memiliki ilmu yang cukup untuk memperkatakannya. Seperti seorang wartawan lokasi yang menceritakan tentang kejadian dengan menyampaikannya dalam bentuk paling berkesan kepada penonton, penulis juga harus memanfaatkan situasi yang sama dalam garapan karyanya.

Sumber : Dewan Sastera, Julai 2004

Written by Nisah Haron

Oktober 6, 2006 at 11:29 am

Dikirim dalam Penulisan

Mahu Jadi Bunga Api atau Lilin

with 4 comments


Saya tertarik dengan pandangan seorang penulis Amerika bernama Jodi Picoult dalam majalah Writer’s Digest Nov/Dec 2006 yang baru sampai tengah hari tadi. Judulnya Literary Lust vs. Commercial Cash. Saya turunkan petikannya di bawah ini :

The difference between a commercial writer and a literary writer is, at first sight, painfully clear. Literary writer gets clout. They get reviews in The New York Times. They win National Book Awards. Their stories haunt you, change the way you think about the world, are destined to be part of college curricula. These authors teach at prestigious universities. When they do reading, it’s at a place Carnegie Hall. Their print runs are in the tens of thousands, and they don’t make gobs of money, but that doesn’t matter, because a literary writer is “above” mundane things like that.

By contrast, a commercial writer’s book sell. They’re given marketing and advertising budgets. They don’t get reviewed in The New York Times but have big, splashy full-page ads inside, and they grace the peaks of its best seller list. Commercial books are the ones you trip over when you walk into a bookstore, stacked in enormous displays. They’re the stories you can’t put down at night and can’t remember in detail after you’ve read them. Their print runs are in the hundreds of thousands; their advances are dissected in “PublishersLunch” reports.

Seperti yang pernah saya tulis dahulu, penulis adakalanya terdesak. Mahukan wang segera. Jadi menggadaikan segala yang ada. Termasuklah sastera ke dalam alur pop. Tentu sahaja ujaan wang ringgit itu amat menggoda. Siapa tidak mahu wang untuk meladeni kehidupan di dunia ini.

Ya, untuk kehidupaan jangka pendek memang wang itu amat membantu. Namun, fikirkan apakah kesan jangka panjang terhadap pembaca setelah membaca karya tersebut. Jika kesannya positif, Alhamdulillah. Pengarangnya pun dapat saham di akhirat nanti. Tetapi jika selepas membaca novel popular, mereka mendapati tidak salah untuk menjalinkan hubungan sulit dengan bos sendiri, ataupun memaafkan dirinya kerana bercinta dengan suami orang ataupun mereka berasa sangat selesa dalam melakukan dosa lantas mahu mengikut cara yang digambarkan oleh penulis, saham yang bagaimana mahu dikutip penulisnya?

Maka itu, di dalam Al-Quran sendiri terdapat satu surah khas untuk mereka yang terlibat dalam penulisan iaitu Surah Asy-Syu’araa’ (Perihal Ahli-ahli Syair). Ha, jangan pula nak berdalih, ‘saya bukan penyair, saya penulis novel sahaja’.

Tafsiran bagi surah ini amat luas. Maksud penyair dalam konteks masyarakat Arab Jahiliyyah itu sama sebenarnya dengan konteks lambakan karya-karya popular hari ini yang miskin isi dan adakalanya jauh daripada kebenaran. Apatah lagi konsep amal makruf nahi mungkar yang gagal dihadirkan dalam penceritaannya. Yang batil itu dibesar-besarkan supaya dapat dijadikan pengajaran (kononnya).


Firman Allah SWT dalam Surah Asy-Syu’araa’ ayat 221 – 227 :

“Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah Syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa. Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh Syaitan-syaitan itu) sedangkan kebanyakan beritanya adalah dusta.

Dan ahli-ahli syair itu diturut oleh golongan yang sesat – tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak lakukannya.

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal saleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah sebanyak-banyaknya, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya. Dan (ingatlah) orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali.”

Fikirkan, ayat pertama yang diturunkan dalam bulan Ramadhan ini ialah Surah Al-Alaq. Suruhan pertama ialah membaca. Bukannya sembahyang. Fikirkan betapa Allah SWT menyeru manusia menambah ilmu pengetahuan melalui pembacaan.

Surah kedua ialah Al-Qalam iaitu pena. Fikirkan lagi. Bukankah sesudah diperintahkan supaya membaca, barulah datang perintah menulis. Malah Allah SWT bersumpah “Demi Qalam” dalam ayat awal surah ini.

Memang tidak dinafikan menulis karya popular pulangannya amat lumayan. Tetapi sebagai penulis yang mengakui diri Islam, sejauh manakah wang itu boleh menjamin kesejahteraan ummah jika keberkatan dalam penghasilan penulisan itu juga masih meragukan. Dan berapa lama sebenarnya jangka hayat karya mereka. Membaca karya pop 10 tahun dahulu sahaja sudah terasa ketinggalan zaman.

Bandingan karya bersifat komersial ialah seperti bunga api yang sangat indah pada waktu malam yang meriah. Hiruk-pikuk manusia yang bertepuk tangan melihat penganjur membakar wangnya di udara.

Cantik.
Indah.
Tetapi berapa lama hayat bunga api itu?

Penulis sastera memang tidak mendapat nikmat yang sama. Malah dianaktirikan itu perkara biasa. Tetapi hayat penulisan begini jauh lebih panjang. Jumlah cetakannya memang tidak sejauh mana tetapi karya itu sentiasa hidup dan membentuk peribadi pembacanya dan kekal segar hingga ke anak cucu.

Ya lah, siapa yang akan menggunakan lilin jika bekalan elektrik tidak terputus bukan? Adakah kita akan bakar bunga api jika mahu ke tandas apabila blackout? Hmm… apa salahnya, meriah juga bilik air kita itu.

Lantas mengapa pula kita terus memilih lilin dan bukannya bunga api?

Ayuh, marilah kita mencari kembali paksi kebenaran dalam persuratan. Penulisan ialah khazanah yang akan membentuk tamadun hari ini dan penentu kepada pengekalannya. Mahukah kita terus membina tamadun yang rapuh untuk diwarisi oleh anak-anak generasi.

Mahukah kita terus dikutuk manusia masa hadapan yang terpaksa memikul dosa sejarah?

Written by Nisah Haron

Oktober 2, 2006 at 11:39 pm

Dikirim dalam Penulisan