Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Disember 2008

with 2 comments


Menurut Rachel Simon, pengarang novel Riding a Bus With My Sister,

“The biggest impediment to writing is not friends or teachers or editors, or anything external. Not the other stars in the classroom, nor your eye-rolling wife, nor the denouement that won’t get done, nor even the editor who wouldn’t buy or promote your book. The biggest impediment to writing is you.”

Kenyataan ini boleh sahaja dinafikan ataupun diakui oleh kebanyakan penulis. Namun, hakikatnya kata-kata Simon memang lebih banyak kebenaran daripada yang sebaliknya.
Menulis sebuah prosa, khususnya novel memerlukan kesungguhan yang bukan sedikit.
Meskipun ada penulis yang menyatakan bahawa menulis novel itu lebih bebas kerana banyak hukum-hukum penulisan yang dapat dilonggarkan, misalnya, jumlah watak, panjang bab, panjang novel tidak ada had yang tertentu berbanding cerpen. Secara perbandingan kasar di antara kedua-dua genre ini, cerpen yang relatif pendek itu boleh disiapkan dalam masa yang lebih singkat.

Manakala novel pula, tidak mungkin disiapkan dalam tempoh sehari ataupun beberapa hari. Paling segera, sebuah novel dengan anggaran 150 halaman bertaip langkau dua baris mungkin boleh disiapkan dalam tempoh 2 minggu. Hal ini amat bergantung kepada disiplin, pengalaman, daya kepengarangan yang mantap, kepantasan menaip serta persediaan awal yang kukuh. Tempoh 2 minggu itu khusus untuk proses penulisan semata-mata.

Bagi pengarang yang tidak mungkin menulis sepantas itu tanpa menjejaskan kualiti karya, suatu tempoh yang lebih panjang diperlukan. Tidak mustahil berbulan-bulan ataupun mungkin bertahun-tahun dalam menghasilkan draf pertama sahaja. Oleh hal yang demikian, stamina seseorang pengarang itu amat penting supaya nafas kepengarangannya tidak putus ataupun tercungap-cungap sewaktu berada di bab-bab pertengahan ataupun ketika menghampiri penghujung karya.

Ramai pengarang ataupun calon pengarang yang berjaya mendapat idea serta memulakan novelnya dengan segera. Sayang sekali, daripada jumlah tersebut, tidak ramai pula yang berjaya meneruskan perjalanan penulisannya dan terlalu sedikit yang berjaya meletakkan noktah yang terakhir.

Hakikat inilah yang membezakan pengarang yang dapat melihat hasil karyanya diterbitkan dengan calon pengarang yang masih lagi mempunyai idea menulis tetapi setakat ini tidak memulakan proses penulisan itu sendiri.

– Petikan daripada kertas kerja Nisah Haron dalam Persidangan Kebangsaan Sastera Remaja di USM, Pulau Pinang pada 24 Disember 2008

Written by Nisah Haron

Disember 31, 2008 at 6:20 am

Selamat Tahun Baharu 1430H

with 3 comments

Semoga ada pembaharuan yang kita mampu lakukan sempena Tahun Baharu ini. Biarlah sekecil mana sekalipun, namun jadikan ia perubahan yang paling positif dalam hidup kita.

Baca doa akhir tahun pada waktu akhir Asar (dalam 15 minit) sebelum masuk waktu Maghrib.

Selepas solat Maghrib, boleh baca pula doa awal tahun.


Usah persoalkan bida’ah ataupun tidak amalan ini, kerana semua orang mahu masuk syurga. Saya percaya berdoa dan bermuhasabah sempena tahun baharu ini jauh lebih baik daripada terkinja-kinja tak tentu hala pada malam tahun baharu yang satu lagi.

Semoga azam-azam yang tertunda dapat kita sempurnakan!

Salam Maal Hijrah dari
Nisah Haron Online

Written by Nisah Haron

Disember 28, 2008 at 2:00 pm

Dikirim dalam Tahun Baharu

Pasar Chowrasta – Kedai Buku Terpakai

with 6 comments

Akhirnya, saya menjejakkan kaki juga ke Pasar Chowrasta!

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa pasal perempuan ini begitu teruja untuk ke pasar? Saya ke pasar bukanlah kerana hendak membeli barangan dapur di sini. Bukan juga untuk membeli segala jenis jeruk (khususnya jeruk buah pala) yang terkenal di Pulau Pinang.

Seawal jam 9.00 pagi saya sudah sampai di hadapan Pasar Chowrasta. Kedai yang saya tuju belum pun dibuka lagi. Sementara itu, sempat jugalah saya bersarapan di restoran yang berdekatan.

Jam 10.00 saya mulakan operasi.


Setelah bertanya dengan rakan-rakan blogger yang berhampiran dengan Pulau Mutiara ini, seperti Kak Aliya dan Jiwarasa, saya pun meneroka daerah baru ini. Berbekal maklumat rinci yang mereka berikan, akhirnya, saya dapat menjejaki kedai-kedai buku terpakai di Tingkat 1, Pasar Chowrasta ini. (Lihat gambar di atas, ikut tangga yang ditunjuk oleh anak panah gergasi untuk ke kedai buku terpakai).

Sebelum sampai ke Chowrasta juga, saya telah buat banyak carian maklumat tentang tempat ini. Selain google, saya juga meneliti maklumat dari blog Ulas Buku.

Terima kasih atas semua maklumat tersebut.

Saya menghabiskan masa sekitar sejam lebih di situ. Seperti orang mendulang emas, kita tak tahu apa yang kita akan dapat. Sampah pun ada, emas pun ada. Buku-buku di situ bersusun-susun dan ada yang berikat-ikat. Ada yang agak baru dan ada yang lama. Yang sangat renta juga ada. Kalau tak tahu apa yang mahu dicari, alamat kita akan berlama-lamalah di situ.

Apa yang menarik, buku-buku di sini sudah dikategorikan. Jadi, boleh bertanya. Misalnya, saya tanya, “Buku Sastera ada?” Nah, sebeban buku-buku yang dikategorikan sebagai sastera itu dikeluarkan. Jadi, mudah sedikit kerja-kerja memilih buku.

Sukar untuk saya katakan buku-buku apakah yang ada di sini. Hal ini sangat bergantung kepada buku apa yang dijual ataupun mereka terima. Buku-buku inilah yang akan dijual kembali. Banyak petua yang diberikan oleh blogger Ulas Buku. Boleh baca di situ.

Hendak pulang juga agak mudah. Di hadapan Pasar Chowrasta selalunya ada teksi yang menunggu penumpang. Dengan mudahnya, saya meminta pemandunya menghantar saya ke USM.

Banyakkah ’emas’ yang dapat saya dulang? Ya, boleh tahan juga. Beg sandang saya jadi sendat. Di USM memborong lagi buku-buku Penerbit USM kerana diskaunnya menarik. Mujur diberikan satu beg lain. Tetapi, di dalam beg sandang, sudah ada sebuah beg kain yang dilipat-lipat – satu bentuk persediaan jika saya beg sandang saya ‘beranak-pinak’ kerana saya tak pasti berapa banyak ’emas’ yang mungkin saya bawa pulang.

Oh ya, apa yang berlaku di USM ya?

Written by Nisah Haron

Disember 28, 2008 at 12:16 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera, Buku

Sastera Remaja di USM

leave a comment »


Hari ini sudah bermula Persidangan Kebangsaan Sastera Remaja 2008 di Dewan Budaya, USM Pulau Pinang. Awal pagi esok, saya akan diterbangkan ke sana oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kertas kerja saya berjudul : Motivasi dan Visi Dalam Mencari Locus Standi dan Tawarikh Cinta

Abstraknya seperti berikut :

Pengarang harus digerakkan oleh suatu semangat yang bertindak sebagai kuasa kepada dirinya. Tanpa semangat atau kuasa ini, pengarang sukar untuk menguasai stamina dalam menghasilkan karya kreatif, khususnya novel. Justeru, dalam setiap penghasilan karya pengarang wajib mencari punca semangat yang memberi motivasi serta perspektif yang betul sebagai visi bagi menyudahkan karyanya. Kedua-dua novel Mencari Locus Standi dan Tawarikh Cinta memberikan dua pengalaman yang berbeza dari aspek penghasilannya, sekaligus memberikan motivasi dan visi yang berlainan kepada pengarang dan juga pembaca, khususnya pembaca remaja.

Kali terakhir ke USM ialah pada penghujung tahun 2004. Ketika itu ada acara sastera di sana. Penghujung tahun 2008 saya kembali lagi. Moga-moga ada mutiara yang dapat dikutip di Pulau Mutiara ini.

Written by Nisah Haron

Disember 23, 2008 at 6:04 am

Diskusi Karya Malim Ghozali PK & Buku-buku

with one comment


Setelah dua bulan bercuti, inilah aktiviti sastera yang rasmi saya hadiri di DBP Sabtu lepas. Rasa terpanggil untuk hadir apabila majlis ini diuar-uarkan di blog Ibnu Ahmad Al-Kurauwi. Banyak sekali ilmu yang dapat dikutip sepanjang majlis ini.

Bertemu kembali dengan Pak Budi Darma yang pernah menjadi guru saya sewaktu di Palembang dan juga Helvy Tiana Rosa, teman sasterawan dari tanah seberang. Sempat kami bertukar-tukar buku juga.

Paling menyeronokkan, tentunya apabila dapat membeli-beli belah buku-buku di ruang legar Dewan Kuliah, Aras 4 DBP.

Inilah hasilnya :

Written by Nisah Haron

Disember 22, 2008 at 7:52 am

Dikirim dalam aktiviti sastera, Buku

Laman Web PEN telah dikemaskini

leave a comment »


Baca laporan Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen) 2008 anjuran DBP dan PEN di laman web PEN atau klik pada logo di bawah.

Written by Nisah Haron

Disember 18, 2008 at 7:24 pm

Dikirim dalam Bengkel Penulisan, DBP, PEN

Maklumat di Hujung Jari

with one comment

Ketika memberi kuliah di dalam Bengkel Penulisan Kreatif (Cerpen/Novel) Kanak-kanak & Remaja di Institut Perguruan Perempuan Melayu Melaka, Durian Daun, saya berbicara jujur dan langsung dengan khalayak saya. Mereka ini dari kumpulan guru-guru agama dari Jabatan Agama Islam Johor yang sedang berkursus dalam cuti di sini. Terus terang, mereka tak kenal saya seperti mana saya juga demikian.

Apabila saya berikan alamat blog saya ada seorang yang bangun bertanya tentang kisah sebuah cerpen bernilai RM30 juta dalam entri saya sebelum ini, Katanya, benarkah sebuah cerpen bernilai begitu? (Saya tidak pernah bincang tentang entri ini sebelum saya menjawab pertanyaannya).

Lalu, saya jelaskan sedikit sebanyak latar belakang isu yang menyebabkan saya menulis entri tersebut. Dia juga tidak tahu hujung pangkal mengapa isu itu saya bangkitkan di dalam entri.

Saya tanya, sempat ataupun tidak membaca akhbar utama sehari dua kebelakangan ini? Jawab mereka tidak.

Alasan : Sibuk tiada masa.

Komen saya : Lalu, bagaimana awak boleh tahu tentang entri ini? Sempat buka internetkah sewaktu keluar sebentar tadi?

Jawabnya tidak.

Saya tanya : Di IPPM ada wi-fi?

Jawabnya : akses dari telefon.

Oooo telefon bimbit 3-G. Canggih ya sekarang. Tetapi, mengapa dengan kemudahan begitu (tanpa pun perlu keluar dari dewan kuliah tersebut) anda tidak mengambil peluang membaca akhbar secara online? Sekarang ini mudah sahaja kalau mahu dapat maklumat. Pokok pangkalnya kita sendiri.

Lagipun, berita yang saya komen isunya dalam entri sebelum ini, bukanlah berita kecil yang menjadi penyendal halaman. Berita ini memang masuk di mana-mana akhbar utama (juga akhbar nyamuk).

Alahai, zaman ITlah katakan…
.
.
.

Written by Nisah Haron

Disember 16, 2008 at 5:55 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tiba-tiba Sebuah Cerpen Bernilai RM30 juta!

with 7 comments

Sejauh manakah seorang pengarang boleh menggunakan lesen kreatifnya untuk berkarya?

Inilah soalan yang datang melalui SMS ke telefon bimbit saya beberapa kali. Agak sukar juga untuk menjawab persoalan ini melalui pesanan ringkas. Bimbang akan disalah erti. (Seperti yang berlaku kepada entri Sesudah Eidul Adha yang cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Boleh lihat pautan ini.)

Kali ini, saya sedang bertugas di Bengkel Penulisan Cerpen DBP-PEN 2008. Sewaktu rehat petang semalam, persoalan yang sama juga ditanyakan oleh beberapa peserta. Sudah ada yang bimbang untuk menulis hal-hal yang boleh diambil tindakan sedemikian. Lalu, haruskah pengkarya sekadar meneruskan tradisi lemah – menulis hal-hal yang tetek-bengek, kisah cinta dan rindu separuh mati sehingga tidak mampu mencabar akal sendiri?

Saya melihat isu Teresa Kok menyaman Utusan Melayu dari dua sisi:

a) sejauh manakah kebebasan berkarya; dan
b) sebijak manakah seorang penulis dapat berselindung di sebalik karya

Sebagai pengarang, kita mempunyai lesen kreatif. Saya bersetuju dengan pendapat yang dikirimkan oleh pemilik e-mel – cp@galaxystudio.tv di dalam artikel Memanfaatkan Lesen Penulisan Kreatif. Sebagai pengarang yang tahu akan hak-haknya, tidak ada yang patut dibimbangkan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan Kebebasan Bersuara kepada rakyat Malaysia.

Kebebasan Bersuara ada jaminan. (Kebebasan selepas bersuara, ada jaminan? Itu soal lain). Sebagai pengkarya, kita bebas untuk berkarya di bawah peruntukan perlembagaan ini.

Namun, sebagai pengarang juga, kita harus bijak mengungkapkan watak, latar dan elemen-elemen tertentu yang boleh dianggap ‘menimbulkan persoalan’ kepada pembaca tertentu, dengan tahap kiasan yang wajar. Di sinilah letaknya ketinggian akal budi seseorang pengarang. Ada pengarang yang menulis dengan agak langsung dan berkias di sebalik selapis kain kasa yang cukup jarang. Pembaca boleh ‘lihat’ apa dan siapa di sebalik tabir itu.

Saya juga pernah menulis cerpen bercorak sedemikian melalui cerpen-cerpen saya Resipi Dari Istana (30 Julai 2006 – Berita Minggu) dan Resipi Dari Istana 2 (24 Februari 2008- Berita Minggu).

Pengarang ialah manusia yang sensitif bukan sahaja kepada persekitarannya tetapi juga kepada isu yang berlaku dan bergolak di dalam dirinya. Ada sesuatu yang menjentik perasaan seseorang pengarang dan ini mendorongnya untuk meluahkan sama ada dalam bentuk emosi yang tidak terkawal ataupun dapat diungkapkan dalam karya.

Ketika saya menulis kedua-dua cerpen di atas, konteksnya berbeza dan emosinya juga tidak sama. Paling menarik, apa yang saya ungkapkan dalam karya-karya tersebut ditanggap oleh pembaca melalui tafsiran masing-masing. Boleh dikatakan tidak semua dapat melihat terus apa yang sebenarnya berlaku ‘di sebalik tabir’ yang saya pasang pada karya tersebut.

Pada saya, matlamat penulisan itu sedikit sebanyak sampai juga. Sebuah karya tidak harus bersifat peribadi dan hanya boleh ditafsirkan melalui satu hala. Tidak kurang penting apabila karya berkenaan dapat ditafsirkan kembali pada zaman yang berbeza. Misalnya, Pramoedya Ananta Toer telah mengungkapkan zaman internet ketika menulis Rumah Kaca. Padahal internet belum lagi wujud pada zaman tersebut. Bukanlah Pram itu seperti Nostradamus, tetapi karyanya itu melangkau zaman dan dapat ditafsirkan dengan cara yang berbeza mengikut zaman tertentu.

Cuba baca juga novel Kawin-kawin (Azizi Haji Abdullah). Lihat betapa halusnya satira Azizi dalam mengungkapkan senario politik Malaya-Malaysia. Tidak kurang juga menganggap novel ini mengandungi unsur lucah! Tapi, itu bergantunglah kepada pembaca itu sendiri. Jika hal-hal lucah memang sudah bermain-main dengan liar di dalam kepala, itulah yang akan terpancar melalui pembacaannya. Sebaliknya, apabila membaca secara terbuka, hal ini boleh sahaja ditafsirkan secara terbuka juga.

Pendek kata, sebuah karya boleh sahaja ditafsirkan dengan pelbagai cara dan itulah keistimewaan seni. Jika sudah terkunyah cili padi, pastilah terasa gigitan pedasnya pada lidah dan mulut. Sesiapa yang tidak memasukkan cili di dalam hidangannya, tentulah makanannya kurang perisa, barangkali!

Sebagai pengarang, saya berbangga apabila cerpen Politik Baru YB J tiba-tiba bernilai RM30 juta. Bukan senang sesebuah karya sastera mendapat perhatian yang cukup luas apatah lagi dibahaskan juga di dalam Parlimen!

Penulis wajar menggunakan lesen kreatif dengan sebijak mungkin. Seperti juga mendapat lesen memandu, pandai-pandailah memutar stereng kereta supaya tidak melanggar orang lain dan supaya orang lain tidak dapat menyaman kita kerana memandu dengan cara berbahaya!

.
.

Written by Nisah Haron

Disember 14, 2008 at 5:30 am

Dikirim dalam politik, Proses Kreatif

Sesudah Eidul Adha

with 9 comments


Eidul Adha kali ini basah dengan hujan rahmat dari-Nya.
Tetapi, hati ini lebih basah dengan perasaan sedih atas sebab kurangnya keprihatinan kita semua dalam hal tulisan jawi.

Lihat sahajalah bunting di sebelah. Bagaimanakah ejaan Eidul Adha dalam tulisan jawi?

Lihat juga bagaimana angka 1429H disusun menggunakan huruf Arab.

Saya sudah lama meninggalkan kelas Bahasa Arab sejak di tingkatan 5 lagi. Saya sudah lupa-lupa ingat. Apabila saya pergi ke Jawi Converter, ini ejaan yang saya temui :

عيدالاضحى

Ini juga ejaan yang saya ingat sewaktu saya belajar Bahasa Arab.

Angka 1429H juga ditulis dari kiri ke kanan dalam tulisan Arab, dibaca juga dari kiri ke kanan sama seperti rumi, tidak perlu ditukar dari kanan ke kiri, seperti ini :

١٤٢٩ه

Inilah yang saya tahu. Tapi, entahlah. Barangkali ada sistem ejaan jawi baharu yang saya tidak dapat maklumat? Atau pun cara menulis nombor menggunakan angka-angka tulisan Arab yang saya ketinggalan maklumat.

Oh, pakar jawi dan Bahasa Arab sekalian… Bantu saya.

Tiba-tiba saya rasa tebal muka untuk duduk di Seremban.
.
.

Written by Nisah Haron

Disember 12, 2008 at 7:21 am

Dikirim dalam Uncategorized

Sisa-sisa Embun Pagi

with 8 comments

Awal pagi ini, setelah melunaskan tanggungjawab memberi motivasi pagi kepada para pendengar Pahang FM, saya melepaskan fikiran yang lelah sejak beberapa hari terkurung kerana menyudahkan beberapa tugasan.

Pagi yang tenang saya mulakan dengan mengambil sehelai daun pandan dari laman – bercadang untuk menanak nasi lemak untuk sarapan pagi sekeluarga. Ketika mencapai daun pandan, jari pun tersentuh durinya, iaitu bahagian hujung daun yang agak tajam. Langsung mengingatkan saya pada serangkap pantun lama :

Baik-baik menanam pandan,
     Di dalam pandan ada duri;
Baik-baik membela badan,
     Di dalam badan ada diri.

Tidak cukup dengan itu, taman kecil (yang tidak berapa teratur itu) pagi ini bagi direnjis embun pagi yang masih bersisa. Saya pantas berlari ke dalam semula mengambil kamera dan berikut beberapa imej pagi bersama-sama alam yang sempat dirakamkan.

Gambar : Daun cekur dengan titisan embun

Gambar : Ada sesiapa boleh teka putik buah apakah ini? (Boleh beri jawapan di ruangan komen)

Gambar : Antara tinggalan arwah ibu – orkid golden shower yang menjadi kegemarannya.


Apabila terpandang bunga kenanga (gambar di atas) yang sempat menampung beberapa titis embun, langsung saya teringat pula kepada pantun ini :

Kalau memetik bunga kenanga,
     Jangan diletak di atas peti;
Kalau orang memberi bunga,
     Jangan pula dibalas tahi.

Written by Nisah Haron

Disember 5, 2008 at 4:36 pm

Dikirim dalam pantun, Peribadi