Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Mac 2009

Saya Penulis, Perempuan Bersuami

with 12 comments


Sejak saya meninggalkan profesion guaman, saya dengan tegas menyatakan bahawa saya kini penulis sepenuh masa. Dengan kenyataan itu, tidak bermakna saya kini penganggur kerana tugas sebagai penulis itu saya tangani seperti juga saya memegang jawatan-jawatan lain di dunia ini. Saya ada waktu khusus menulis dan tentunya jadual penulisan saya tidak sama seperti mereka yang harus lapor diri untuk bekerja mulai jam 8.00 pagi – 5.00 petang ataupun mereka yang bekerja mengikut syif.

Namun demikian, ini juga tidak bermakna, saya mempunyai masa yang sungguh luwes (sila lihat Kamus Dewan jika perkataan ini tidak pernah singgah di dalam hidup anda) sehingga saya boleh sahaja diundang ke sana ke mari semudahnya.

Ramai yang tidak sedar, apabila saya menerima undangan, ini bermakna saya harus menganjakkan waktu menulis saya yang amat singkat dalam sehari (lantaran harus juga meladeni tugas sebagai isteri dan ibu; saya juga membantu menguruskan pesanan-pesanan ke Ujana Ilmu). Setakat itulah keluwesan yang saya ada. Akibat kekhilafan ini, mereka yang yang tidak memahami sering berfikir bahawa mengundang kertas kerja daripada saya samalah seperti memesan teh tarik ataupun kopi dari warung. Mereka fikir dengan tutup mata, dan berilah saya beberapa hari pastinya saya akan menyelesaikan ‘pesanan’ mereka itu.

Lantas, sudah semakin ketara pihak yang mengundang saya tanpa surat undangan. Mengundang saya membentangkan kertas kerja yang saya tidak tahu hujung dan pangkalnya – kerana orang yang berkenaan berpapasan dengan saya sewaktu saya keluar dari lif dan dia pula masuk ke dalam lif yang sama. Ada juga pesanan supaya menyediakan kertas kerja ketika berpapasan di kafeteria lantaran waktu makan yang serupa.

Hendak ditegur, mereka ini bukan orang lain juga dalam dunia sastera. Sesungguhnya, dunia sastera ini sungguh kecil. Tetapi, saya percaya tradisi persuratan ini usahlah dinafikan seni menulis suratnya. Berapa ekar hutan yang akan ditebang kerana mahu menulis surat kepada para pembentang?

Terdahulu daripada ini, saya juga pernah berurusan dengan pihak yang mempunyai wibawa menguruskan sastera hanya melalui SMS. Undangan untuk terbang ke seberang laut juga menggunakan teknologi yang sama. Saya balas kembali menggunakan teknologi yang serupa menuntut surat undangan rasmi daripada pihaknya. Sehingga pada hari yang dijanjikan, saya masih lagi tidak menerimanya.

Dengan SMS yang sama juga saya letak jawatan dan tidak mahu lagi terlibat dalam aktiviti sastera yang sebegini.

Adakah saya angkuh setelah bergelar penulis sepenuh masa? Saya fikir bukan begitu maksud saya. Selain saya perlu ada prinsip tertentu yang harus saya kukuh memegangnya. Pihak lain juga perlu menghormati saya sebagai perempuan yang bersuami. Hakikat ini seringkali terabai dalam aktiviti sastera. Yang diundang cuma satu pihak. Seolah-olah pasangannya ternafi.

Ini bukan bermakna pasangan itu harus mendapat tempat yang serupa untuk membolehkan mereka tampil ke majlis sebagai pasangan yang romantis, tetapi tidakkah terfikir di fikiran mereka bahawa tanpa izin suami (seperti di dalam kes saya), tidak mungkin saya menghadiri apa-apa program sekali pun.

Usah terkhilaf lagi, bukan suami saya mengongkong aktiviti saya. Malah, saya sungguh bersyukur kerana dianugerahkan suami yang memahami minat saya dan menjadi penyokong senyap dan setia. Dialah yang bakal menguruskan rumahtangga ketika saya berpergian ataupun terpaksa mengejar deadline tertentu. Tidak mungkin kecekapannya itu harus saya balas dengan tindakan-tindakan seperti yang saya sebutkan di atas.

Pada saya, tanpa sekeping surat undangan itu boleh sahaja saya menebak bahawa pihak yang berkenaan tidak sungguh-sungguh ketika mengundang saya. Saya boleh sahaja menolak pada bila-bila masa.

Setiap kali menerima undangan, pastinya saya akan menerangkan kepada pihak yang mengundang. Undangan melalui telefon ataupun SMS hanyalah untuk memastikan tarikh yang dicadangkan itu bersesuaian dengan tarikh saya. Ini wajar kerana kita pun tidak mahu membazir kertas setelah mengundang menggunakan surat, nanti tarikh yang dipilih tidak sesuai, lalu harus diubah pada surat yang lain pula.

Setelah berbincang melalui telefon ataupun secara SMS, saya akan menunggu surat rasmi daripada pihak penganjur. Tanpa surat tersebut, saya tidak akan mengambil sebarang tindakan – sama ada menyediakan kertas kerja, ataupun menyediakan slaid pembentangan – melainkan ada bentuk-bentuk kesungguhan yang ditunjukkan oleh pihak penganjur. Di dalam surat juga biasanya akan dijelaskan objektif, keperluan dan apa yang diharapkan oleh pihak penganjur kepada saya. Di sini saya akan membuat keputusan tentang apa-apa makalah yang akan saya sediakan.

Keputusan ini saya ambil setelah saya pernah berhempas pulas menyediakan kertas kerja tetapi majlis yang dijadualkan itu dibatalkan. Jadi, saya tidak mahu perkara ini berulang lagi. Undangan haruslah bersurat. Tanpa surat, saya mungkin akan sediakan catatan sahaja ataupun slaid pembentangan (tanpa sebarang kertas kerja). Itu pun setelah saya sudah menyelesaikan perkara-perkara lain yang lebih penting.

Di dalam banyak hal juga, saya banyak kali mahu memberikan kerjasama saya kepada pihak penganjur. Apa yang saya minta hanyalah sekeping surat – hatta dibuat sebagai attachment melalui e-mel dan tidak bertandatangan pun saya terima; kerana mereka seringkali terlupa bahawa saya ini penulis sepenuh masa dan perempuan bersuami juga!

Written by Nisah Haron

Mac 31, 2009 at 6:18 pm

Dikirim dalam Penulisan, Peribadi

Sehelai Pua Kumbu Tanda Persahabatan

with 4 comments


Saya baru pulang dari Kuching, Sarawak Sabtu lepas. Berpergian tidak lama. Percaya ataupun tidak, saya mengambil penerbangan paling awal dan pulang dengan penerbangan paling akhir pada hari yang sama. Sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, disambut seorang sahabat blogger, Maslina.

Alhamdulillah. Akhirnya, saya sampai juga ke bumi Sarawak buat kali pertama. Ini merupakan singgahan kali ketiga ke tanah Borneo, setelah 2 kali ke Sabah.

Walaupun pemergian ini hanya dirancang pada saat-saat akhir, saya tidak sangka banyak yang manis yang Tuhan aturkan untuk saya. Hasrat untuk mengutip ilmu di DBP Cawangan Sarawak tercapai; hajat untuk membeli sedikit ole-oleh dari Kuching juga tercapai.

Setelah selesai urusan rasmi, Maslina membawa saya ke Muzium Kucing yang terletak di dalam bangunan Majlis Bandararaya Kuching Utara. Ada banyak maklumat tentang kucing yang dipamerkan. Saya seronok mendapati banyak perkara baharu tentang kucing dan betapa ramainya penulis-penulis di Barat yang memilih kucing sebagai teman sewaktu mereka menulis!

Sempat juga bersembang di Atmosfera bersama-sama penulis yang menggelarkan diri mereka Angkatan Penulis Indie (A.P.I.) yang sedang menggagahkan diri membina nama menerusi cara yang bukan konvensional. Maslina juga salah seorang ahli. “Cuma ada 2 bunga di dalam API,” kata Yusof Fansuri, yang memperkenalkan saya pada komuniti ini. Menarik juga perkembangan perkumpulan ini. Ternyata mereka berani dan punya visi tersendiri.

Kemudian, saya dibawa ke Pasar Satok. Saya ini bukan penggemar ikan terubuk, apatah lagi yang masin. Tapi, saya pernah dengar tentang keenakan telur terubuk. Di sini, harganya boleh mencecah beratus ringgit sekilo. Untuk menyampaikan hajat sendiri, saya beli sedikit tetapi bukan yang sudah dimasinkan.

Berkejar keluar meninggalkan Satok kerana langit sudah gelap bagai hendak runtuh! Saya dibawa pulang ke terataknya yang terletak di tebing sungai. Ah, menikmati suasana kampung yang tenang lagi mendamaikan. Suatu pengalaman unik. Belum pernah saya berada di dalam rumah seperti rumah air di Brunei, ataupun rumah panggung di tebing Sungai Musi di Palembang dulu.

Sebelum berpisah, sempat dia menghidangkan makan malam dan kemudian, sekeluarga mengiringi saya ke lapangan terbang semula. Paling tidak dilupakan sehelai pua kumbu yang tentunya menjadi kenangan seumur hidup dan sebagai tanda kami pernah bertemu dan bermesra dengan anak-anaknya yang comel.

Terima kasih, Mas. Semoga akan ada pertemuan lain – mungkin sahaja di Seremban, atau angin Santubong bakal menggamit saya kembali ke sana!

Terima kasih juga untuk puisi yang ditulis untuk saya. Semoga tekal menulis, Mas!


Gambar : Pua kumbu hadiah dari Maslina kini yang menjadi alas meja buku di sisi meja kerja saya

Written by Nisah Haron

Mac 23, 2009 at 10:46 pm

Dikirim dalam Peribadi

Menahan Kritikan & Komen

with 4 comments


Seandainya diberi pilihan, saya lebih suka untuk tidak mengkritik karya orang lain. Tetapi, di dalam banyak keadaan, saya tidak ada pilihan tersebut. Secara peribadi pula, saya tidak pandai berselindung dalam berkata-kata. Sikap saya langsung. Terus kepada makna kepada setiap kata.

Dalam memberikan pandangan terhadap karya orang lain, saya bimbang jika ada yang ‘terbunuh’ oleh kritikan saya. Semakin berusia, saya semakin menguasai tatacara untuk mengkritik karya. Saya lebih mengharapkan saya mampu memberi motivasi kepada calon penulis ataupun penulis yang lebih muda supaya dapat tekal menulis.

Hendak membunuh seorang calon penulis, memanglah mudah benar. Dengan satu kritikan sahaja saya sendiri menyaksikan berapa ramai yang menarik diri daripada menjadi penulis. Tragedi ini berlaku dalam sesetengah bengkel penulisan. Di dalam bengkel yang saya kendalikan, sikap saya masih lagi langsung tetapi saya akan cari sekurang-kurangnya 3 kekuatan sesebuah karya sebelum saya berikan 1 kelemahannya. Dengan cara itu, kritikan boleh jadi seimbang.

Sikap ini bukanlah dengan sengaja mahu memberikan ‘janji-janji palsu’ kepada calon penulis ataupun penulis baharu. Namun, sebelum memuji atau memberikan komen yang negatif, seorang pengkritik harus menyediakan fakta dan hujah supaya komen itu kelak dapat dirasionalkan.

Saya percaya ramai penulis baru yang inginkan karyanya dikritik. Ada yang mempunyai daya tahan yang tinggi. Dicincang macam mana pun karya itu, pengarangnya sedikit pun tidak berkutik. Malah, merasa sungguh tercabar untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik. Sikap pengarang begini mampu menjadikan dirinya pengarang yang mampu bertahan dan ‘boleh pergi jauh’ dalam arena penulisan.

Tetapi, ada juga yang tidak memiliki daya tahan sedemikian tinggi. Ataupun dia mungkin datang ke bengkel dengan cawan yang penuh, tidak bersedia untuk dikritik. Apabila sekali karyanya disentuh, langsung dia pun meletakkan pena, terus mengaku kalah.

Inilah yang paling saya bimbangkan. Namun, ini juga realiti dalam penulisan, khususnya penulisan kreatif. Dunia penulisan sememangnya harus diimbangi dengan kritikan. Jika pengkritik tidak berfungsi, maka dunia penulisan pula tidak akan berkembang subur. Tidak ada kemajuan. Peranan pengkritik sekaligus pembimbing ini amat penting dalam menentukan jaya-jatuhnya seorang calon pengarang ataupun pengarang baharu.

Pada akhirnya, semua itu terletak kepada pengarang juga. Jika pengarang itu tidak berjiwa besar, lemah semangat dan tidak tahan dengan sebarang bentuk kritikan, itulah yang akan membezakan pengarang yang harus ‘pergi dahulu’ meninggalkan pesaing-pesaingnya yang lain dengan pengarang yang sedikit tertinggal di belakang.

Pun, harus diingat bahawa dalam ‘perlumbaan’ dalam penulisan ini, harus diingat bahawa matlamatnya pengarang itu ‘sampai’ ke garisan penamat. Soalnya, bukan siapa yang sampai dahulu. Tetapi, yang penting pengarang itu SAMPAI. Semestinya ada yang dahulu dan ada yang kemudian. Yang sudah sampai wajar memberikan semangat kepada yang masih mengejar garis penamat. Yang masih berlari pula jangan mudah putus asa kerana dalam ‘perlumbaan’ ini tiada masa khusus yang ditetapkan. Anda boleh sampai pada bila-bila masa yang selesa. Tapi, janganlah terlalu lewat, kerana mereka yang sudah lama sampai, mungkin tak dapat menunggu dengan lebih lama di hujung garis penamat kerana mereka perlu mengambil bahagian dalam acara yang berikutnya!
.
.

Written by Nisah Haron

Mac 21, 2009 at 12:14 am

Dikirim dalam kritikan

Sasterawan Negara ke-10?

with 6 comments

Angin yang mengkhabarkan berita tentang calon Sasterawan Negara yang terbaharu semakin kencang berpuput. Di dalam satu dua blog, sudah ada yang berani menebak siapakah tokohnya. Dalam tebakan itu, masih lagi pengarang-pengarang lelaki disebut-sebut sebagai calon SN bagi tahun ini.

Adakalanya, saya pelik melihat tatacara pemilihan SN seolah-olah negara kita ini sudah semakin susut wibawa penerima Anugerah Sastera Negara. Berapa banyak karya bermutu lagi yang mesti pengarang-pengarang ini hasilkan supaya hasil karya mereka itu dapat dinilai oleh panel bagi mendapat anugerah ini.

Beberapa tahun kebelakangan, angin juga berpuput bahawa ada kemungkinan seorang pengarang wanita ada peluang tercalon sebagai SN yang ke-10. Nampaknya, masih kesampaian juga hasrat yang dibayangkan.

Apakah untuk dicalonkan seterusnya dinobatkan sebagai SN, harus ada banyak penerbitan dengan DBP sahaja? Jika demikian, pengarang yang enggan berbuat demikian nampaknya tiada peluang yang cerah. Lebih-lebih lagi mereka yang berkarya dengan prolifik tetapi menerbitkan sendiri karya-karya tersebut. Adakah kualiti penerbitan buku turut memberi markah di dalam kriteria pemilihan, dan bukan semata-mata kualiti karya yang dihasilkan?

Banyak yang belum berjawab. Itu belum dicampur lagi bahawa untuk dicalonkan dan seterusnya dipilih, khabarnya, harus ada pelobi. Oh, demikiankah tatacaranya? Ala-ala calon pilihan raya pula!

Saya tidak berapa hendak berkira siapakah calon itu, kerana pada saya pengarang sastera mapan yang sedia adanya semuanya sudah layak untuk diberikan status SN. Cuma mereka ini perlu tunggu giliran sahaja. Apa kata, mulai 2009 ini Anugerah SN diberikan pada setiap tahun.

Sehingga diumumkan, seperti biasa, kita pengarang-pengarang marhaen ini sekadar mampu tertanya-tanya siapakah yang akan diberikan anugerah ini. Paling penting SN harus menjadi ikon kepada bahasa dan sastera, seperti mana yang dapat dilihat daripada senarai SN yang terdahulu.

Masih adakah antara kita yang tidak mengenali siapakah SN-SN kita? Kalau di dalam kelas Minggu Penulis Remaja, ini soalan favourite. Kalau tak boleh susun ikut tahun penerimaan pun, harus tahu siapakah dia 9 orang penerima SN setakat ini. Apabila sudah diumumkan yang ke-10 nanti, terus semat dalam ingatan dan ambil tahu karya-karya besarnya (yang mesti dikaitkan dengan pengarang).
.
.

Written by Nisah Haron

Mac 16, 2009 at 6:59 am

Dikirim dalam Sasterawan Negara

Dialog KP PNM Bersama Penulis

leave a comment »

Dialog Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia Bersama Penulis

Tarikh / Masa
:
12 Mac 2009

8.15 pagi (pendaftaran)

8.45 pagi (ketibaan KP)

11.00 pagi (bersurai)

Tempat
:
Bilik Syarahan Aras 5, PNM
Objektif
:
  1. Penerangan mengenai kepentingan Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) dan peranan Pusat Penyerahan Terbitan Negara,Perpustakaan Negara Malaysia
  2. Menggalakkan penulisan dan penerbitan karya tempatan melalui peruntukan Dana Pembelian Terus Buku-buku Karya Tempatan
  3. Menjana idea dan pandangan dalam memajukan dan mempelbagaikan karya terbitan di dalam industri perbukuan negara
  4. Komitmen dan penglibatan Jabatan dalam membantu perkembangan industri perbukuan negara khususnya kepada golongan penulis tempatan.
Pegawai untuk dihubungi
:
Pn Norazlin bt Naseri (03-26874235) / 019-2181531 – boleh SMS nama penuh, kata Puan Norazlin yang saya hubungi. Katanya lagi sila sahkan kehadirannya. (Nota Nisah)

Ahli Persatuan GAPENA dan Penulis Individu adalah dijemput hadir

Sumber di sini.



Jika berminat untuk hadir, sila datang awal (terutamanya kepada yang bawa kenderaan persendirian), kawasan parkir amat terhad di kawasan bangunan PNM. Anda turut dinasihatkan supaya parkir di kawasan Wisma Sejarah atau Pusrawi (parkir berbayar).

Harap maklum.

.

.

Written by Nisah Haron

Mac 11, 2009 at 9:23 am

Dikirim dalam Pengumuman, perpustakaan

Perang Bahasa

with 6 comments

I

Saya merupakan penonton dari jauh yang tidak berpeluang secara fizikal memperjuangkan bahasa saya daripada terus diperkosa pihak penguasa. Kecanggihan teknologi hari ini tidak memungkinkan mana-mana bangkai gajah ditutup kerana melalui media siber segalanya mudah sekali dibongkar. Saya mengikuti perkembangan ‘Perang Bahasa’ ini dari laman-laman blog yang mengungkapnya dengan agak rinci.

Ya, saya mengungkapnya sebagai Perang Bahasa. Hakikat peperangan, seperti kata pepatah Inggeris : all is fair in love and war. Oleh sebab ini ialah peperangan, tidak akan ada sikap belas kasihan. Jika sesiapa sahaja yang terkena ‘tembakan’, maka tertembaklah dia kerana ini perang. Mengapa kita tidak bersedia menghadapi peperangan secara fizikal jika benar mahu ke medan perang.

Dalam perang, kita harus berpihak – “jika anda tidak mengikuti saya, andalah musuh saya” – begitu mudah falsafahnya.

Pada saya pertempuran di luar istana sudah tamat. Saya kira, pejuang bahasa telah memenangi pertempuran itu. Namun, kita masih lagi di dalam suasana perang, dan kita masih belum memenangi perang ini. Saya percaya akan ada lagi pertempuran yang akan berlaku.

II

Selepas memenangi pertempuran di luar istana ini, lantas apakah tindakan kita sebagai umat Melayu yang sayangkan bahasanya? Mungkin anda terfikir, apakah yang mungkin dapat dilakukan oleh diri saya yang kerdil ini?

Benar, tidak semua mampu melakukan apa yang telah berjaya ditunjukkan oleh para pejuang bahasa yang ditembak, dikasari dan diperlakukan sesuka hati oleh pihak yang satu lagi – hanya kerana mahu memperjuangkan bahasa ibunda. Tetapi, itu tidak bermakna kita yang tidak sampai ke medan perang itu tidak mampu melakukan apa-apa.

Masih lagikah anda mahu mengirim pesanan ringkas (SMS) di telefon bimbit menggunakan bahasa singkatan yang dicipta sesuka hati?

Masih lagikah mahu meninggalkan komen di blog-blog dengan bahasa slanga dan singkatan yang sama seperti menaip pesanan di telefon bimbit?

Masih lagikah mahu menulis e-mel dengan tidak menghormati bahasa – menaip tulisan ringkas seolah-olah anda langsung tidak ada masa untuk menaip setiap perkataan dengan sempurna, atau menaip tanpa menghiraukan tanda baca, huruf besar atau kecil.

Masih lagikah mahu menulis e-mel dengan meninggalkan doa-doa ringkas kepada penerima dan terus sahaja kepada tujuan menulis e-mel kerana kita sudah hilang kesopanan berbahasa dan meninggalkan tradisi dan tatacara persuratan Melayu?

Ya, jangan abaikan perkara-perkara yang mungkin dilihat kecil dalam berbahasa, tetapi tidak ada makna para pejuang bahasa ini turun ke medan perang, bertempur dengan pihak-pihak berwajib demi menyelamatkan maruah bahasa, sedangkan kita sebagai pengguna bahasa terus memijak-mijak bahasa sendiri tanpa ada secebis pun rasa hormat kepada bahasa ibunda.

Sudah berapa kali saya menegur sikap kita sendiri sebagai pengguna bahasa. Tetapi, sebanyak itu juga saya menerima perli dan momokan. Namun, saya tetap berjuang dengan cara saya sendiri.

III

Saya melihat peristiwa Perang Bahasa ini sebagai satu perulangan kepada peristiwa menuntut kemerdekaan. Akhirnya, kita merdeka. Tetapi, sehingga hari ini, kita masih lagi gagal mengisi kemerdekaan itu.

Dari itu, usah kita ulang lagi kesilapan yang serupa. Setelah kita menang dengan Perang Bahasa ini, fikirkan pula bagaimana kita mahu mengisinya? Selepas kita menang Perang Bahasa ini, mari kita pastikan supaya anak-anak Melayu kembali menguasai mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, menguasai kembali mata pelajaran sains dan matematik – kerana kita sendiri yang mendakwa bahawa anak-anak Melayu sendiri tidak mungkin bersaing kerana kekangan bahasa.

Sudahkah kita bersedia untuk itu, selepas kita selesai berdemonstrasi?

Jika belum, marilah kita bersedia dari sekarang. Kalau bukan atas sebab lain, fikirkanlah wajah seorang tua yang gigih berjuang mempertahankan bahasa. Sanggup menahan tembakan dan asap yang memedihkan paru-parunya kerana dia mahu anak cucunya dapat belajar dalam bahasa ibunda – kenangkanlah perjuangannya; kenangkanlah wajahnya; kenangkanlah…
.
.

Written by Nisah Haron

Mac 10, 2009 at 5:00 am

Dikirim dalam bahasa

Menginsuranskan buku?

with 3 comments

Seorang sahabat yang punya perpustakaan peribadi pernah memberitahu saya yang dia sedang menginsuranskan buku-bukunya. Pada mulanya, saya tidak terfikir yang perkara tersebut boleh dilakukan.

(Maklumlah, saya sangat ‘alergik’ kepada perkataan insurans, penjual insurans dan segala yang berkaitan dengan insurans kerana saya ada banyak pengalaman buruk dengan pihak-pihak ini. Oleh itu, sesiapa yang berniat, berhajat untuk menjual insurans kepada saya, TOLONGLAH lupakan sahaja hasrat murni anda kerana saya mungkin akan mencuci muka anda dengan berus pembasuh tandas jika anda masih juga berdegil dan mahu menjual insurans kepada saya. Lagipun, saya mahu kekal bersahabat dengan ramai kawan-kawan (yang saya tahu ramai juga menjadi agen insurans), jadi jangan sampai kita putus sahabat hanya kerana insurans, ya)

Jauh benar pula lencongan di atas!

Baru-baru ini saya bertanya kembali kepada sahabat saya itu sama ada dia berhasil untuk menginsuranskan koleksi buku-bukunya, berapakah jumlah yang diinsuranskan dan berapa premium yang dikenakan.

Katanya, dia tidak jadi berbuat demikian.

Sebab? Apakah nilai bagi sesebuah buku, itu katanya.

Bagi buku yang baru dibeli dan masih ada resit pembelian, harga buku itu ialah nilai kepada buku tersebut. Hanya buku-buku yang ada nilai sedemikian boleh diinsuranskan.

Habis tu, jika buku yang sudah lama dibeli dan saya tak tahu nilainya ataupun buku-buku yang dihadiahkan orang, dibeli dari kedai buku terpakai, bagaimana pula?

Katanya, itulah dia nilai buku kepada pihak-pihak yang mengendali insurans ini. Kononnya, tidak ada pihak yang boleh menjadi penilai buku seperti jurunilai hartanah ataupun emas perak intan berlian yang boleh ditimbang.

Lantas, menjadikan saya tertanya-tanya: tidak ada cara untuk saya menginsuranskan koleksi buku-buku saya? Andai koleksi ini terbakar, banjir, dicuri, dimakan anai-anai dan sebagainya…? Lagipun, rata-rata agen insurans yang terhegeh-hegeh mendampingi dan menelefon saya tidak pernah pun menawarkan sebarang bentuk polisi berkaitan dengan buku-buku ataupun perlindungan terhadap harta yang cukup bernilai kepada saya ini.

Apatah lagi, apabila komisen untuk menjadi agen sudah menurun, agen saya itu tidak lagi sudi datang mengutip daripada saya sepertimana dulu, setiap bulan pasti datang tanpa diundang tetapi saya bersedia dengan kehadirannya kerana tugasnya itu banyak membantu urusan pembayaran insurans pada ketika itu. Selepas itu, saya ditinggalkan begitu sahaja tanpa sebarang nasihat supaya saya pergi bayar sendiri (sebab dia sudah tidak banyak komisen, terus teranglah, saya bukannya hendak marah dia pun).

Ah, saya melencong lagi!

Jadi, jika ada mana-mana agen insurans yang tidak seperti yang saya gambarkan di atas, usah terasa seperti pustakawan yang pernah terasa dulu kerana mereka fikir saya hanya kenal satu dua pustakawan di dunia ini. Tugas anda murni, teruskanlah. Tetapi, jika anda agen insurans tipikal yang hanya mahu mengumpul komisen sebanyak-banyaknya, tak perlu komen apa-apa pun di sini.

Jika anda ada sebarang idea untuk menginsuranskan buku, bolehlah tinggalkan cadangan di ruangan komen. Bagus juga untuk dikongsi dengan para pencinta buku yang lain.
.
.

Written by Nisah Haron

Mac 7, 2009 at 12:21 am

Dikirim dalam Buku