Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for November 2005

Berceramah kepada insan paling istimewa

leave a comment »

Beberapa hari yang lalu, pihak penganjur suatu majlis telah menghubungi saya. Beliau meminta saya mengisi satu slot ceramah. Tarikhnya pada 26 November. Khalayaknya semua wanita. Judul – Ilmu dan Wanita.

Apabila ada tajuk yang dekat di hati dan tarikh pula lapang, biasanya saya mudah untuk bersetuju. Lagipun, majlis diadakan di Hotel Seri Malaysia, Port Dickson. Taklah jauh sangat dari rumah.

Cuma, ketika ditanya siapakan khalayaknya – status pendidikan, kelompok dari mana dan sebagainya, saya dikejutkan bahawa khalayak saya itu nanti semuanya daripada insan yang cacat penglihatan. Itu membuat saya berfikir sejenak. Belum pernah saya diberi peluang untuk bercakap di hadapan mereka yang mempunyai halangan penglihatan.

Pun, saya bersetuju juga. Ini satu peluang yang luar biasa.

Jadi, lupakan saja ceramah menggunakan powerpoint atau apa-apa bentuk bantuan visual. Saya perlu fikirkan sesuatu yang lebih kreatif daripada itu dan masih boleh menarik minat mereka dalam tempoh lebih kurang 45 minit.

Isi ceramah, lebih kurang sudah ada dalam kepala. Cuma perlu ditumpahkan sahaja semasa ceramah. Tetapi saya perlukan bentuk-bentuk selingan, terutamanya dalam bentuk audio bagi membantu menjadikan ceramah itu lebih menarik. Dalam masa yang agak singkat saya tidak dapat hendak mencari lagu yang sesuai. Jadi saya teruskan juga dengan cara saya yang tersendiri.

Saya mulakan ceramah dengan Nazam Ilmu dan Amalan (karya Iladam). Sedikit ilmu dalam melagukan nazam yang sempat dipelajari dalam bengkel-bengkel puisi tradisional saya aplikasikan. Penghujung ceramah saya sudahi dengan Syair Kelebihan Ilmu (Za’ba) yang saya lagukan dengan irama Siti Zubaidah. Temponya pun pantas dan tidak perlu menarik suara.

Alhamdulillah, walaupun mereka ini diuji Allah sedemikian rupa, namun kesabaran dan kekuatan minda mereka tidak banyak berbeza dengan kita yang diberikan kesempurnaan fizikal ini. Mereka kerap bertanyakan soalan dan ada antara soalan itu saya anggap benar-benar mencabar.

Turut berada dalam kumpulan tersebut, ialah Puan Norhashimah Hashim, penulis novel “Lambaian Kinabalu” yang pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2001 (tempat kedua; ketika itu, johannya Trilogi Cinta – Siti Jasmina Ibrahim). Beliau penulis wanita yang cacat penglihatan – satu-satunya, saya kira. Seorang lagi yang saya tahu ialah Mohd Ghazali Tocheh (yang memenangi Tokoh Karya Kanak-kanak & Remaja sewaktu Anugerah Sastera Negeri Sembilan tempoh hari).

Sempat juga bertanyakan projek penulisannya yang terkini. Jangan terkejut, beliau juga sedang mengusahakan sebuah novel untuk menyertai satu daripada sayembara besar tahun ini. Jadi, kita yang sempurna ni, apa lagi? Masih hendak memberi alasan untuk tidak menulis? Sama-sama kita fikirkan.

Sementara menunggu jam 1 tengah hari untuk masa makan, peserta memperkenalkan diri dan menceritakan bagaimana mereka mendapat kecacatan mata. Kisah mereka itu ada yang menyayat hati. Namun kecekalan merekalah yang paling membanggakan. Ada yang bertugas sebagai telefonis di Universiti Malaya, Maybank, Bank Negara, Bursa Malaysia. Tidak kurang yang mahir dengan kraftangan dan juga mahir mengurut serta refleksologi.

Saya harap ada pihak yang boleh membukukan pengalaman mereka ini. Siapa tahu pihak seperti PTS yang gemar menerbitkan buku-buku berbentuk motivasi boleh mengambil pengalaman mereka untuk didokumentasikan. Pengalaman mereka sangat unik. Sayang kalau insan-insan normal ini gagal menghayati dan mengambil tahu apa yang mereka alami. Perlu ada seorang yang jadi champion atau penggeraknya.

Pengalaman yang saya lalui ini amat indah. Peluang berkenalan dan berkongsi ilmu dan pengalaman bersama-sama dengan mereka berjaya mencelikkan beberapa mata hati saya yang selama ini turut mengalami kecacatan.

Terima kasih kepada pihak penganjur yang sudi menjemput saya.

***********

Andai arwah ibu saya masih ada, hari ini ulang tahun perkahwinan ibu bapa saya yang ke-34.

Written by Nisah Haron

November 27, 2005 at 1:34 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Berbengkel di Kompleks Beli Belah

leave a comment »

20 November lalu, seusai Anugerah Sastera NS, PEN tidak berhenti rehat. Sebaliknya, kami terus mengambil momentum yang masih ada dengan meneruskan Bengkel Penulisan Cerpen 2005. Alhamdulillah, 12 peserta yang berjanji untuk hadir selamat tiba. Walaupun ada yang sesat barat dan sesat timur, mencari pintu masuk khas untuk pelawat yang tiba sebelum jam 10 pagi di situ. Saya sebagai wakil penganjur memohon maaf, atas sebarang ketidakselesaan sepanjang bengkel tersebut berlangsung.

Lihat gambar-gambar bengkel di sini.

Seperti mana entri yang lalu, kesemua peserta datang dengan cerpen yang dijanjikan. Sebahagian besarnya dapat membaca karya peserta lain sebelum hadir. Tetapi ada juga tidak sempat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, kesemua karya dapat dibedah dalam masa yang ditetapkan.

Majlis berlangsung dalam suasana ceria, santai dan paling penting, semuanya dapat menerima teguran dengan perasaan terbuka (harapnya). Paling saya gerun ketika menjalankan bengkel begini, ialah peserta yang menjadi mangsa keadaan. Saya paling tidak mahu ada peserta yang ‘terbunuh’ dalam bengkel penulisan begini.

Dalam kita ghairah mahu memperbaiki dan memberi komen terhadap karya orang lain, adakalanya kita benar-benar menyentuh sudut nubari penulisnya yang paling halus. Selepas mendengar komen tersebut, penulis pun mengambil keputusan untuk tidak menulis lagi. Alangkah malangnya!

Saya benar-benar berharap, selepas bengkel tersebut semua penulis merasa teruja, mendapat motivasi dan semakit bersemangat untuk menghasilkan karya.

Terima kasih juga kepada Mawar Shafei yang sempat singgah dan menumpahkan idea serta pendapat terhadap beberapa karya yang sempat disemaknya, walaupun masa yang diberikan kepada beliau agak singkat. Menurut Mawar, kumpulan peserta bengkel kali ini mempunyai kekuatan gaya bahasa berbanding beberapa kumpulan yang pernah dibimbingnya. Itulah kelebihan kumpulan ini.

Tidak ketinggalan, beliau memberikan beberapa pandangan beliau terhadap karya sastera, karya picisan dan ciri-ciri sebuah cerpen yang baik.

Selepas bengkel, beliau turut mencadangkan supaya bengkel begini harus dijalankan berkala dan mungkin tempat bengkel boleh dibuat di luar, misalnya tepi air terjun, taman bunga ataupun mana-mana tempat rekreasi yang sesuai. Asalkan tempat itu tidak mengganggu fokus peserta dan masih dalam keadaan yang santai.

Idea yang baik. Sekurang-kurangnya boleh jimat kos tempat. Buat bengkel bawah pokok pun o.k. juga asalkan tak hujan.

Pendapat pembaca lain, bagaimana?

Written by Nisah Haron

November 25, 2005 at 2:20 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Gambar-gambar sekitar ASNS

leave a comment »

Beberapa gambar sekitar Anugerah Sastera Negeri Sembilan yang sempat saya simpan di fotopages.

Klik pautan di bawah untuk melihat gambar.

http://nisahharon.fotopages.com/?entry=626304

Boleh lihat gambar terkini A Latiff Mohidin, Ramli Isin, Ali Majod, Zakaria Ali, dan lain-lain. Gambar penulis blog ini pun ada juga, sambil-sambil menyibuk dengan tokoh-tokoh yang lain. Masa inilah hendak bergambar dengan mereka. Bukan senang nak himpunkan mereka semua.

Written by Nisah Haron

November 24, 2005 at 5:04 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Keputusan Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005

leave a comment »

Alhamdulillah, lega! Tuhan memakbulkan sekian banyak permintaan saya supaya majlis malam Anugerah Sastera Negeri Sembilan dapat berlangsung dengan lancar. Sekembalinya saya ke rumah, saya tidak lupa melakukan sujud syukur. Ada terlalu banyak sebab untuk saya benar-benar bersyukur!

Tentang memenangi kategori hadiah eceran, saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sembilan atas keprihatinan kepimpinan YAB Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan NS dan YB Dato’ Ismail Lasim (selaku Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Gerakan Membaca) kerana menyokong perkembangan sastera tempatan yang telah dipinggirkan oleh kepimpinan yang lalu. Moga sokongan ini berpanjangan, insya-Allah. Penghargaan pihak kerajaan negeri atas karya-karya kecil saya amat saya syukuri.

Terima kasih juga kepada panel hakim kerana telah menjalankan tugas profesional dalam memilih karya-karya yang layak untuk merangkul paling berprestij di Negeri Sembilan. Panel hakim terdiri daripada Dr. Amida Abd. Hamid (Anis), Dr. Siti Zainon Ismail (UKM), Dr. Misran Rokimin (UKM), Hamzah Hamdani (GAPENA) dan A. Wahab Hamzah (DBP).

Majlis berjalan dengan lancar seperti yang saya katakan. Dari mula hinggalah ke akhirnya.

Namun bukan hadiah yang menjadikan saya benar-benar gembira malam tadi. Ada yang lebih baik daripada itu. PEN telah berjaya menghadirkan A. Latiff Mohidin ke majlis malam tadi. Ibarat sirih pulang ke gagang. Hingga jam 6.00 petang, urus setia mendapat pengesahan bahawa beliau tidak dapat hadir dan hanya diwakili oleh anak beliau. Tetapi selepas majlis bermula, dan ketika saya masih lagi berlegar-legar di luar dewan menunggu satu dua pemenang yang masih belum sempat hadir, saya dikejutkan dengan berita bahawa A. Latiff Mohidin sendiri yang sedang menunggu di lobi hotel. Suami saya yang turut menjadi petugas pada malam itu berkejar ke lobi.

Sah! Beliau hadir secara peribadi. Saya sendiri yang mengiringi beliau ke meja pemenang. Tak terkata rasa syukur dan bangga kerana anak negeri yang paling disanjungi senusantara ini sudi hadir dan kembali ke Negeri Sembilan semula.

Terima kasih kepada pengirim e-mel yang memaklumkan nombor telefon untuk menghubungi anak beliau. Jasa saudara tak kan saya dan pihak PEN lupakan.

Berikut Keputusan penuh Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 :

ANUGERAH UTAMA

ANUGERAH SASTERA NEGERI SEMBILAN
RM10,000.00, Sepersalinan, Sijil dan Cenderamata

* ALLAHYARHAM KAMARUZZAMAN ABDUL KADIR (DHARMAWIJAYA)

HADIAH PENGHARGAAN PENGGIAT SASTERA NEGERI
RM3,000.00, Sijil dan Cenderamata

* HAJI SALIM @ PADZALI HAJI TAIB (AGUS SALIM)

KATEGORI TOKOH
RM2,000.00, Sijil dan Cenderamata

* TOKOH NOVEL – DR. ZAKARIA ALI
* TOKOH CERPEN – MOHD ALI MAJOD
* TOKOH PUISI – A. LATIFF MOHIDIN
* TOKOH ESEI / KRITIKAN SASTERA – DR. RAMLI ISIN
* TOKOH DRAMA – DR. MOHD ANUAR NOR ARAI
* TOKOH KARYA KANAK-KANAK / REMAJA – MOHD GHAZALI TOCHEH

KATEGORI KARYA ECERAN

Cerpen
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Amiza Khusyri Yusof (Salju Jabal Musa)
2. A. Latip Talib (Kebenaran)
3. Ali Majod (Perempuan Itu)
4. Nisah Haji Haron (Persidangan Agung Wanita Klasik)
5. Shazmee Rizal Agus Salim (Rahsia)
6. Siti Jasmina Ibrahim (Khabar Dari Jendela Omak)

Puisi
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Abdullah A.R. (Tanah)
2. Adnan Abd. Manap (Dusun 2)
3. Mahaya Mohd Yassin (Tiada Tertanding)
4. Nor Aziah Abdul Aziz Fadzilah (Kota Janji)
5. Shazmee Rizal Agus Salim (Gelanggang Kehidupan)
6. Zainal Abdul Kadir (Kata Laut)

Drama
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Dr. Anuar Nor Arai (Bisikan Malaya)
2. Siti Jasmina Ibrahim (Si Pemakan Hati)

Esei
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Abdul Latip Talib (Bahasa Menyalurkan Idea)
2. Nisah Haji Haron (Potensi Kedudukan Wanita Dalam Karya Sastera)
3. Nisah Haji Haron (Memahami Hak Cipta Sastera)
4. Zawawi Jahya (Sastera Dalam Rempuhan Globalisasi)

Karya Kanak-kanak
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Bahasa Othman (Siri Ceria Bestari)
2. Radzali A. Ghani (Siri Pengenalan Undang-undang Jenayah)
3. Zaid Mohd Saman (Siri Sahabat)

Karya Remaja
RM500.00, Sijil dan Cenderamata

1. Siti Eisah Abdul Rashid (Atok Siti)
2. Asrul Effendy Kamaruzzaman (Batu-Batu Kecil & Pasir)

Novel
RM1,000.00, Sijil dan Cenderamata

1. Zakaria Ali (Empangan)
2. Nisah Haji Haron (Mencari Locus Standi)

Tahniah kepada semua pemenang. Semoga penghargaan ini menjadi pemangkin untuk kita semua menulis lagi. Kepada yang selama ini ‘meninggalkan’ Negeri Sembilan, pulanglah, seperti kata YAB Menteri Besar pada malam itu.

Ini negeri kita.

Written by Nisah Haron

November 22, 2005 at 7:26 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Notis Pertukaran Tempat Bengkel Cerpen PEN

leave a comment »

Sukacita dimaklumkan bahawa PEN telah menerima penyertaan yang menggalakan untuk Bengkel Penulisan Cerpen Intensif PEN.

Walau bagaimanapun, saya terpaksa menutup penyertaan kerana bengkel yang lebih daripada 15 orang adalah terlalu besar jumlahnya.

Butiran bengkel mengalami perubahan seperti berikut :

Tarikh : 20hb November 2005 (Ahad)

Masa : 8.00 pagi – 5.00 petang

Tempat : Lot F47 (Bilik Bimbingan Al-Quran), Pusat Kaunseling MAINS, Tingkat 2, Terminal One Shopping Centre, Seremban.

Yuran : RM50 (bayar semasa daftar)

**Ambil perhatian terhadap perubahan tempat bengkel. **

Saya harap ia memudahkan peserta yang datang dengan pengangkutan awam terutamanya bas ataupun komuter kerana Terminal One Shopping Centre satu bangunan dengan Perhentian Bas Seremban.

Setakat ini saya telah menerima penyertaan daripada senarai di bawah :

1. Nisah Haron (Pusaka Cendana)
2. Ramlah Rashid (Ujana Kasihnya)
3. Khairul Hafiz Abd. Rahman @ serunai faqir (Raya Atok)
4. Tengku Nor Laila (Indahnya Budi)
5. Zalisa (Rintihan Hati Seorang Mangsa)
6. Faizah Shafawi (Kerana Sahabat)
7. Muhammad Al-Adib (E-mel Untuk Dajjal)
8. Sharifah Salha (Jelebak Jelebu)
9. Abd. Latip Talib (Tsunami)
10. Amiza Khusyri Yusof (Syawal Pak Kassim)
11. Hazrul Hafizi (Putera Kerdil)
12.Khairunnasriah Abdul Salam (Cinta Sungai Golok)

Saya mohon maaf kerana tidak dapat menerima peserta lain. Jika ada permintaan, insya-Allah, PEN akan buka penyertaan untuk bengkel dalam siri yang seterusnya.

Sesiapa yang belum menghantar cerpen, harap e-mel segera kerana saya perlu majukan kepada peserta lain. Sekiranya, benar-benar tak sempat, sila bawa 13 – 15 salinan cerpen kerana saya tidak buat salinan untuk orang lain. Masing-masing diharap cetak dan baca sebelum bengkel dan sila bawa cerpen peserta lain (berserta dengan ulasan/komen anda) untuk sama-sama dibincangkan dalam bengkel tersebut. Saya fikir, itu cara yang praktikal untuk menjimatkan masa membaca. Jadi, siapa yang tak dapat nak e-mel cerpen tu tolonglah datang awal sebab kalau datang lewat, orang lain pun tak sempat nak baca cerpen anda, minta maaf sajalah. 🙂

Apa pun, terima kasih atas komitmen yang telah diberikan oleh semua peserta, kita berjumpa di Terminal One Shopping Centre, Bilik Bimbingan Al-Quran (bukan pergi shopping, ya!).

Saya cuba menghadirkan sama ada Puan Mahaya Mohd Yassin (Setiausaha Satu PEN) ataupun Puan Mawar Shafei (yang telah menyatakan minat) untuk singgah ke bengkel ini. Mudah-mudahan ada kelapangan untuk seorang daripada mereka (ataupun kedua-duanya) memberi idea dan kritikan terhadap karya peserta.

Written by Nisah Haron

November 19, 2005 at 7:00 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Kunjungan Hari Raya

leave a comment »

Alhamdulillah, hari ini dikunjungi teman-teman penulis dan keluarga masing-masing.

Kunjungan dimulai oleh A. Latip Talib, isteri dan anak gadisnya. Hampir serentak, Mawar Shafei dan suami juga tiba. Dapatlah mereka menghadap hidangan sama semeja. Bagi Encik Latip, katanya, ini kali pertama bersua wajah dengan Mawar. Selama ini hanya pernah berkenalan pada nama sahaja. Maklumlah, penulis cepat benar mesranya apabila dah kenal nama. Selebihnya reputasi dalam dunia penulisan akan memesrakan suasana.

Mawar pula datang membawa kek hari lahir untuk anak kedua saya, Suhaila. Tapi tak sempat nak dipotong ketika itu juga.

Pulang, Latip dan Mawar, teman yang menemani saya sepanjang jalan ke Tg. Piai dulu, Puan Rozita Latif pula datang bersama-sama suami dan 3 orang putera puterinya. Mereka pun singgah tak berapa lama kerana banyak lagi rumah yang akan dikunjungi. Anak sulungnya begitu menggemari spaghetti ala Jiboi yang sempat saya sediakan sebelum tengah hari.

Oleh kerana Rozita datang dengan 3 orang anak, sengaja kami ambil kesempatan untuk potong kek dan ambil gambar bersama-sama. Anak-anak itu punyalah seronok apabila ada kek coklat dan ada patung garfield dan macam-macam lagi di atas kek. Terima kasih, Mawar. Seronok benar-benar mereka.

Pun, saya sengaja tidak memperkenalkan sangat pada anak-anak tentang sambutan hari lahir. Selama sejarah dalam keluarga saya mahupun suami, hari lahir hanya diingati dengan cara yang tersendiri. Tiada acara tiup-tiup lilin ataupun menyanyikan lagu hari lahir. Itu bukan cara kami. Jadi, paling tidak pun, saya hanya buat kek sendiri (biasanya moist chocolate cake) dan kami makan bersama-sama. Kalau adapun, ucapan selamat daripada semua yang ada. Hadiah pun kami tidak biasakan juga.

Pulang Rozita, Nazmi pula sesat di Bandar Seremban. Suami saya pergi menjemput mereka di sana. Jalan ke Ampangan ni memang tak semudah disangka. Tiada papan tanda dari Seremban yang bertulis “Ampangan”. Kalau mahu ke Ampangan, mesti cari tanda arah ke Kuala Pilah. Pasti akan lalu Ampangan. Apabila Nazmi cuba cari papan tanda Ampagan, dia pun terlangsung hingga ke penghujung bandar.

Nazmi dan isterinya yang manis, pertama kali saya temui sebagai pasangan suami isteri. Kalau ada pun sebelum ini jumpa Nazmi sahaja ketika menjalankan tugas rasminya, sebagai wartawan Sastera dan Budaya, Berita Harian. Kami sembang-sembang seputar penulisan dan karya-karya kami yang tertangguh atas pelbagai alasan. Saling cabar-mencabar supaya menyudahkan sebuah karya setidak-tidaknya untuk tahun ini. Insya-Allah, cabaran sama-sama disambut.

Sepatutnya, Sharifah Salha dan Amiza Khusyri juga sepatutnya turut hadir. Tetapi oleh sebab sudah ada janji ditempat lain mereka tidak dapat menyertai kunjungan kali ini. Bagi saya, kalau nak datang, cuma telefon awal sikit. Dapatlah saya sediakan apa-apa yang patut. Jika tidak, mungkin saya dan keluarga pula yang keluar beraya ataupun hanya makan biskut raya saja 🙂

Terima kasih pada teman-teman yang berkesempatan dan sudi hadir ke teratak saya.

Written by Nisah Haron

November 13, 2005 at 10:30 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Mencari A. Latiff Mohidin

leave a comment »

Sekian lama beliau saya dan rakan-rakan di PEN cuba menjejaki. Tetapi beliau seakan-akan berselindung di sebalik lelangse kehidupan. Hampir putus harapan saya apabila amanah untuk menjejaki beliau hampir-hampir gagal disempurnakan.

Beliau amat penting dan terlibat dengan Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 pada 18 November 2005 kelak.

Jika ada sesiapa yang mengetahui alamat, nombor telefon atau tahu siapa-siapa yang mungkin tahu tentang A. LATIFF MOHIDIN, saya merayu dan menyusun sepuluh jari memohon supaya tolonglah hubungi saya.

E-mel : nisah.haron@gmail.com

Majlis ini tidak akan sempurna tanpa kehadiran beliau.

****

Sah! Anugerah Sastera Negeri Sembilan akan berlangsung pada 18 November 2005, 8.00 malam di Hotel Royal Adelphi (Hilton) Seremban. Y.A.B. Menteri Besar Negeri Sembilan akan menyampaikan hadiah.

Maklumat lanjut tentang majlis ini telah ditulis oleh Zulkifli Abu dalam Berita Harian 10 November 2005 (Khamis).

Namun keputusan hanya akan diketahui pada malam tersebut.

Baca di sini.

Written by Nisah Haron

November 11, 2005 at 10:40 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Erti Hari Raya dulu & sekarang

leave a comment »

Kenangan malam tujuh likur bermain bunga api bersama adik sambil dilayani datuk masih lekat dalam ingatan penulis muda yang prolifik dalam genre novel dan cerpen, Nisah Haron, hingga hari ini.

“Selalunya emak menyediakan sepasang baju kurung yang dijahitnya sendiri untuk saya dan saya turut belajar menganyam ketupat daripada nenek kerana saya membesar dalam keluarga nukleas,” katanya.

Apabila memasuki alam remaja, Nisah sebagai gadis tidak bebas lagi menziarahi rumah jiran sekampung dan kegiatan berkunjung hanya berlangsung di kalangan rumah sahabat rapat dan sama sekolah.

Setiap tahun, mereka akan saling berkunjung atau menjadikan salah sebuah rumah di kalangan mereka sebagai medan berkumpul dan setelah berumahtangga serta memiliki tiga puteri, pengisian hari raya lebih kepada melayan kerenah anak-anak.

“Silaturahim sesama saudara dan sahabat lebih diutamakan dengan membawa anak kami bersama. Ini penting agar silaturahim tidak putus lantaran dunia yang semakin bersifat individualistik,” katanya.

Nisah yang menetap bersama ayahnya meskipun sudah berkeluarga, kini menjadi wanita utama dalam keluarga dan bertanggungjawab menguruskan persediaan hari raya kerana emak mahupun neneknya sudah berpulang ke rahmatullah.

Sungguhpun demikian, giliran pulang beraya tidak menjadi masalah kepadanya dan suami kerana mereka berdua sama-sama berasal dari Negeri Sembilan selain perjalanan dari rumahnya ke rumah suaminya hanya mengambil masa 40 minit.

“Kami akan berpisah sebelum raya kerana sebagai anak tunggal, suami perlu membantu ibunya mengemas rumah dan membakar lemang. Saya pula tidak boleh meninggalkan rumah kerana saya satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

“Kami sudah saling memahami keadaan ini. Malam hari raya, suami saya akan pulang selepas menyiapkan segala-galanya di kampung. Pagi selepas beraya di rumah, kami sekeluarga pulang ke kampung suami,” katanya.

-sumber : Berita Harian 3 November 2005Link

Written by Nisah Haron

November 4, 2005 at 10:23 am

Dikirim dalam Uncategorized