Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for September 2004

Projek penulisan terkini

leave a comment »

Hari ini ada kuliah DSLP. Tapi hanya ada 3 kelas. Kelas Prosedur Jenayah tak jalan. VCD player pada laptop kelas tak boleh mainkan CD tentang prosedur poligami di mahkamah. Mulanya kami agak excited bila diberitahu tentangnya. Maklumlah, di mahkamah sebenar, poligami ialah kes in camera – ertinya, perbicaraan tertutup. Hanya pihak-pihak yang terlibat sahaja yang boleh berada di dalam mahkamah. Pintu mahkamah akan dikunci. Kami tidak boleh tahu apa yang berlaku. Secara teorinya, kami peguam tahu apa yang sepatutnya berlaku. Tetapi kami teringin untuk melihat apa yang berlaku. Tapi mungkin pada kelas akan datang, CD itu akan ditayangkan.

Kelas Dr. Nora Al-Haq (Undang-undang Keluarga Islam) juga tidak berjalan. Kelas itu diambil alih oleh Ustaz Razali Nawawi selama 2 jam.

Hari ini juga jadual peperiksaan dikeluarkan oleh Harun M. Hashim Law Centre. Peperiksaan mulai 2o November 2004. Setiap hari Sabtu dan Ahad. Maknanya, ada 5 hari peperiksaan. Satu hari satu subjek. Maknanya, jalan Raya tahun ini kena bawa nota kuliah sekali 🙂

Sewaktu rehat, dikunjungi Huda Soid dan Ghafirah Idris. Mereka berdua tunas-tunas muda dalam penulisan. Ada seorang lagi yang patut menemui saya – Siti Hajar Mohd Zaki. Barangkali minggu depan, bolehlah makan tengah hari bersama. Banyak yang boleh kita bincangkan, demi kelangsungan dunia penulisan kita semua. Terutama sekali pada Siti Hajar dan Huda, yang diharap bakal menambahkan lagi bilangan penulis wanita yang berkualiti daripada aliran perundangan. Pembaca harus didedahkan dengan pemahaman konsep perundangan dalam karya kita, dik.

Ada projek terkini yang kami bincangkan. Semoga ia menjadi kenyataan.

Written by Nisah Haron

September 25, 2004 at 10:12 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Keadilan

leave a comment »

Keadilan menangis

Di kaki neraca

Tergadai tanah leluhur

Warisan lebur

Anak-anak generasi tidak berkaki

Janji keamanan terbang bersama merpati.

22 September 2004

Seremban

Written by Nisah Haron

September 22, 2004 at 11:56 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Dejavu Puteri Gunung Ledang

leave a comment »

i

Seminggu dua ini masa benar-benar menghambat. Sejak pulang dari Johor Bharu, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Antara yang besar, 16 Sept lalu, konvoi Kembara Bahasa laluan selatan singgah di Port Dickson. PEN diberi satu slot – bersama karyawan PEN. Saya, Puan Mahaya Mohd Yassin dan Wagiman NS mewakili PEN. Dalam slot yang ringkas itu, Puan Mahaya bercakap tentang penubuhan PEN, keahlian dan hal-hal kebahasaan. Wagiman dengan teater di Negeri Sembilan, sementara saya bercakap tentang penulis, penulisan dan karya-karya penulis Negeri Sembilan. Saya ketengahkan buku-buku (tentunya saya akan menjual buku di mana-mana sahaja ada acara sastera dan bahasa) seperti buku-buku saya – Impian Tsu-Ryi dan Mencari Locus Standi, Ombak Sfera Lotus (Siti Jasmina – juga berketurunan NS dan ahli PEN), Pendatang Malam (Ida Munira – asal Kuala Pilah) dan juga Zakaria Ali (pemenang S.E.A. Write Award dari Rembau).

ii

Sabtu, seperti biasa saya ke kuliah DSLP. Makin banyak pula mid-test yang bakal melanda mulai bulan hadapan. Ada ura-ura peperiksaan akhir semester mahu dipercepatkan kepada sebelum hari Raya. Tak pasti pula usul siapa. Yang pasti keputusan Law Center itu dipertikaikan oleh kami sekelas kerana kami baru ini diberitahu tentangnya. Mereka harus mempertimbangkan bahawa kami bukan belajar percuma di Law Center. Jadi keputusan tentang apa-apa hal yang melibatkan DSLP harus dibawa berbincang dengan kami semua. Jika ada yang gagal tentu mahal harganya. RM350 satu kertas. Bukan semua orang mampu buat begitu. Harapnya, permintaan kami supaya peperiksaan dikembalikan ke tarikh asal iaitu selepas Hari Raya dipertimbangkan.

Petangnya, singgah di rumah seorang teman penulis. Bermain-main dengan anaknya. Berbual-bual tentang kehidupan, persahabatan dan masa depan.

Malamnya, dia menemani saya menonton teater Dejavu arahan Sitti Rohayah Attan di Istana Budaya. Memang telah lama kami impikan untuk menonton di Istana Budaya bersama-sama. Alhamdulillah, sampai juga hajat kami.

Dejavu tulisan Ismail Kassan. Skrip yang baik mudah sahaja untuk dipentaskan dalam pelbagai cara. Persembahan ini buat tangan Persatuan Penulis Wanita Malaysia. Di tangan Siti Rohayah Attan, teater ini menjadi benar-benar hidup. Penonton diberikan pelbagai rasa – sedih, marah dan juga tak kering gusi dengan kerenah pelakon-pelakonnya. Keras sekali sentuhannya tentang golongan pendatang. Sindirannya benar-benar tajam. Siapa lagi kalau bukan Ogy Ahmad Daud yang menjadi primadonanya. Loghat Indonesia yang begitu pekat benar-benar mencuit penonton dari mula hinggalah ke akhir teater.

Di luar, Aminah Mokhtar – juga ahli Persatuan Penulis Wanita Malaysia sibuk menjual buku-buku terbarunya Semakin Dekat 1 (novel bersiri di Utusan Malaysia yang telah dibukukan), Semoga Cepat Sembuh (kumpulan puisinya yang pertama) serta Rindu Yang Kaupinjamkan Itu, May (kumpulan Cerpen Siti Rohayah Attan). Turut dijual novel-novel karya penulis wanita termasuk buku-buku saya dan Samsiah Mohd Nor.

Sambutan untuk teater ini luar biasa sekali. Pada malam itu full house. Tahniah kepada Kak Roy!

iii

Akhirnya saya berpeluang menonton filem Puteri Gunung Ledang. Sebuah epik hebat. Sinematografi yang baik. Skrip juga baik – bahasanya puitis, berirama dan penuh santun. Memang ia kisah cinta. Tapi ia bukti ampuh bahasa cinta yang sebenar tidak memerlukan kata-kata. Perjalanan ceritanya banyak yang simbolik. Perlu difikirkan. Tetapi rata-rata filem ini berjaya mengadunkan emosi dan pemikiran dengan cara yang paling harmoni.

Walaupun ratingnya boleh diberi 4 1/2 bintang daripada 5, masih ada banyak kelemahan yang boleh diperbaiki. Plotnya agak huru-hara. Kurang kemas. Terutama sekali apabila Gusti Puteri (wrestling princess???) dari Majapahit mahu dikaitkan sebagai Puteri Gunung Ledang. Alasan Majapahit menawarkan Gusti Puteri kepada Sultan Mahmud juga tidak berapa kukuh dari segi plot. Perjalanan cerita juga adakalanya agak perlahan.

Tapi keseluruhannya, saya berpuas hati menontonnya. Bila VCDnya keluar nanti, saya akan dapat yang asli kerana gaya bahasanya menarik perhatian saya. Saya mahu hayati lagi. Sesekali seperti terasa pengaruh Lord of the Rings juga ada di sana sini. Di tangan pengarah Cina, sedikit sebanyak babak terbang-terbang sambil bergaduh dan meletup sana sini tetap ada. Tapi itu rencah dan bumbunya – bukan menu utama.

Promosi Puteri Gunung Ledang juga amat baik dan berjaya menarik penonton bukan Melayu juga. Sekurang-kurangnya penonton dihidangkan dengan sebuah magnun opus yang tidak menghina intelektual kita semua!

Written by Nisah Haron

September 21, 2004 at 9:25 pm

Dikirim dalam Uncategorized

KKRM capai sembilan resolusi

leave a comment »

Oleh Hassan Omar

KONGRES Kebudayaan Rumpun Melayu (KKRM) pada 10 dan 12 September lalu, di Johor Bahru, Johor, meluluskan sembilan resolusi berhubung Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).

Resolusi berkenaan menyatakan sokongan kepada usaha mewujudkan permuafakatan Rumpun Melayu dan bertindak sebagai organisasi yang menyatukan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan rumpun Melayu di seluruh negara.

Permuafakatan berkenaan diharapkan dapat mendukung dan mempertahankan hal berkaitan DKK serta pelbagai aspek lain berhubung bangsa Melayu pada masa kini yang berdepan dengan segala macam cabaran.

Bagi menggerakkan permuafakatan berkenaan, Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) bersetuju bergabung tenaga dalam hal memantau, mendokumentasi, menyatakan pendirian, memberi tindak balas segera terhadap pelbagai isu berkaitan warisan kebudayaan Melayu, selain menyatukan pemikiran pelbagai pertubuhan rumpun Melayu.

Tidak ketinggalan KKRM bersetuju memperkasa DKK (1971) iaitu perlu berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini, unsur kebudayaan lain dan yang wajar, boleh diterima sebagai unsur DKK serta Islam menjadi unsur penting dalam pembentukannya.

Resolusi ketiga ialah KKRM mendesak DKK sebagai kerangka tamadun, pembinaan bangsa dan keperibadian warganegara sejajar dengan kebudayaan Melayu-Bumiputera dan anak negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Di samping itu KKRM juga menerima perkara berikut:

  • Tafsiran Islam dalam konteks zaman, sejajar dengan perkembangan tamadun manusia.
  • Dasar kebangsaan mengenai kenegaraan, bahasa, kebudayaan, pendidikan dan ekonomi sebagai dasar utama yang mesti dipertegaskan pelaksanaannya dan tidak boleh dirombak sewenang-wenangnya.
  • Bahasa Melayu sebagai sebagai media pengajaran ilmu pada semua peringkat pendidikan dan pengajian, pentadbiran, pengurusan dan komunikasi.
  • Unsur Kemelayuan-Kebumiputeraan sebagai asas untuk pembinaan tamadun Malaysia dan jati diri bangsa serta negara dalam menghadapi keseragaman globalisasi.

Tidak ketinggalan KKRM mendesak pertubuhan politik Rumpun Melayu membentuk biro kebudayaan, kesenian dan warisan, agar mampu memartabatkan kebudayaan di seluruh negara.

KKRM turut mencadangkan diwujudkan penyelarasan dalam kegiatan kebudayaan antara Kerajaan Johor dengan pemerintah Propinsi Riau, Yayasan Bandar Seni Raja Ali Haji (Bandar Serai) di Pekan Baru, Gapena dan badan kerabat KKRM bagi membina kecemerlangan tamadun Melayu dunia.

KKRM anjuran Kerajaan Johor diselenggarakan YWJ dan Gapena membabitkan pembentangan puluhan kertas kerja berkaitan kebudayaan rumpun Melayu oleh cendekiawan Melayu.

Di antara cendekiawan Melayu yang membentangkan kertas kerja pada majlis terbabit termasuklah Prof Tan Sri Ismail Hussein, Prof Datuk Dr Zainal Kling, Datuk Dr Hassan Ahmad, Prof Datuk Dr Abdullah Hassan dan Prof Datuk Dr Abu Bakar Abdul Hamid.

Lapan puluh lima organisasi berkaitan rumpun kebudayaan Melayu dari Semenanjung, Sabah, Sarawak, Singapura, Indonesia, Brunei Darussalam dan Selatan Thailand menyertai KKRM.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, merasmikan KKRM manakala penutupannya disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

KKRM yang disifatkan kedua terbesar selepas Kongres DKK pertama pada 1971, bermatlamat memperjelas prinsip kesatuan dan kesamarataan rakyat Malaysia berlaku hanya dalam kesatuan budaya bangsa yang berlandaskan prinsip DKK.

Written by Nisah Haron

September 16, 2004 at 6:43 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Berkongres di Johor Bahru

leave a comment »

Ketika ini saya sedang mengikuti Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu di Hotel Puteri Pan Pacific di Johor Bahru. Alhamdulillah, semuanya sedang berjalan lancar. Orang Johor ramah-tamah sekali.

Ramai sekali peserta-peserta daripada pelbagai pertubuhan kebudayaan, penulisan, serantau – hatta ada yang dari Pekanbaru, Riau dan Aceh turut sama berdialog di dalam majlis ini. Pembentangan kertas kerjanya juga merangkumi ruang lingkup yang pelbagai juga.

Agendanya tentang Bahasa Melayu dan Bangsa Melayu secara keseluruhannya. Mereka mengusulkan supaya dengan kepimpinan negara yang baru, kedudukan Bahasa Melayu di negara kita turut mendapat nafas baru jua. Moga-moga begitulah hendaknya. Namun Bajet 2005 yang dibentangkan semalam, masih ada kecenderungan ke arah Bahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu dan sastera Melayu. Kalau ada pun cuma tentang rebate untuk pembelian buku yang dinaikkan daripada RM500 kepada RM700.

Perjuangan terhadap Bahasa Melayu harus diteruskan walau apa sekalipun halangannya. Namun di dalam memperjuangkannya, perlu ada sikap rasional. Ibarat menarik rambut di dalam tepung. Bukan senang nak beri semua orang senang hati. Terutama sekali, kalau dalam banyak perkara, agenda politik lebih mendapat keutamaan dan sikap mementingkan diri sendiri yang masih menebal.

Saya teringat kata-kata Prof. Dr. Zainal Kling sebagai seorang pemakalah sebentar tadi: Ilmuan dan Ulama boleh berkata apa sahaja, memperjuangkan apa sahaja, namun hala tuju sesebuah bangsa itu tetap akan ditentukan oleh orang politik juga. Sejarah telah membuktikan dari dahulu hingga sekarang. Peranan Umara’ dan Ulama’ masih lagi berada di dalam kelompok yang sendiri-sendiri hinggakan wujud pertindanan yang tidak sewajarnya.

Lantas yang rugi, bangsa Melayu itu sendiri.

Saya bangkit berdialog. Kata saya : saya risaukan orang sekarang yang membaca bukan untuk berfikir tetapi suka benar memilih bahan bacaan yang mudah-mudah, yang berlambakan di pasaran sekarang. Bagaimana orang Melayu itu boleh maju jika dalam memilih bahan bacaan masih lagi enggan membaca bahan yang mencabar minda. Begitu juga kalau menonton filem, masih mahu menonton filem yang santai-santai. Memang sukar untuk berubah kalau paradigma individu itu enggan berubah.

Ingatlah firman Tuhan : Bahawa Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang berusaha mengubahnya.

Kongres disambung lagi pada malam ini. Esok ada dua tiga pembentangan yang menarik terutama sekali daripada Prof. Dr. Shamsul Amri Baharuddin dan Bapak Tenas Affendi. Saya jadi tertunggu-tunggu. Petangnya ada acara bebas. Ada peluang untuk melihat-lihat JB. Apa agaknya yang istimewa di JB?

Malam esok majlis penutup oleh YB Dr. Rais Yatim di RTM Johor Bahru.

Isnin pagi saya pulang. Harapan saya untuk pulang bersama pulangan…

Written by Nisah Haron

September 11, 2004 at 7:43 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Seminar Antarabangsa Karya Wanita Asia Tenggara

leave a comment »

Dua hari lalu saya ke seminar di atas. Menarik juga, banyak kertas kerja dibentangkan khusus pada pengkaryaan oleh penulis wanita. Ungku Maimunah dengan Gagasan Persuratan Melayu; Teri Yamada melihat dua penulis besar – Nh Dini (Indonesi) dan Dong Tuo Houng (Vietnam) yang keluar daripada jalur konvensional; Awang Azman Awang Pawi mengiktiraf Siti Zainon Ismail sebagai penulis pasca kolonial yang sangat berbeza daripada penulis seangkatannya. Ibnu Wahyudi mengkaji penulis-penulis wanita mutakhir yang ripuh menjadikan seks sebagai bumbu cerita dan dinyatakan dengan berani oleh penulis-penulis ini.

Ke mana sebenarnya arah tujuan penulis-penulis wanita tempatan. Sesungguhnya saya tidak selesa berbicara tentang istilah ‘penulis wanita’. Saya tidak suka dikotak-kotakkan. Tetapi pengkaji terpaksa mencari sudut-sudut tertentu untuk mengkaji. Oleh itu, mereka memilih sudut kewanitaan penulis itu sendiri.

Di luar seminar, desas-desus yang mengatakan bahawa ada satu lagi sudut menarik tentang penulis wanita ini yang harus diperhatikan. Katanya, penulis wanita yang prolifik adalah mereka yang single – sama ada single mother ataupun wanita yang belum pernah berkahwin. Sudah semacam ada sesuatu yang sinonim tentang keprolifikan wanita dan status di dalam masyarakat dan keluarga.

Kata saya : tentunya mereka sepatutnya prolifik. Mereka sudah tidak ada/belum ada tanggungjawab rasmi dalam keluarga. Kalau mereka ini tidak prolifik, memang tidak patut.

Tapi itu kerja pengkajilah untuk melihatnya dari sudut tersebut. Mungkin bagus juga untuk buat tesis M.A. tentang ini.

Namun saya akan terus menulis. Kalau perkara itu menjadi stigma, saya mahu membuktikan bahawa berkeluarga itu bukanlah penghalang untuk menulis. Amaruszati Noor Rahim telah membuktikan. Samsiah Mohd Nor juga begitu. Saya juga mahu terus disenaraikan sebagai wanita berkeluarga yang tekal dan kekal menulis.

Bercakap tentang wanita lagi : desas-desus mengatakan Penerima S.E.A Write Awards tahun 2004 dari Malaysia ialah seorang penyair wanita.

Memang patut giliran wanita tiba lagi sebagai penerima S.E.A Write Award tahun ini. Sebelum ini hanya Adibah Amin, Siti Zainon Ismail, Khadijah Hashim dan Zaharah Nawawi sahaja penulis wanita yang menerimanya.

Dapatkah anda meneka siapa dia?

******

Hujung minggu ini saya akan ke Johor Bahru dari 10 – 13 September. Ada Kongres Kebudayaan Rumpun Melayu anjuran GAPENA. Saya mewakili PEN dengan Puan Mahaya Mohd Yassin. Moga dapat mengutip banyak makna dalam setiap perjalanan mutakhir ini.

Written by Nisah Haron

September 9, 2004 at 11:00 am

Dikirim dalam Uncategorized

Hujung minggu yang produktif

leave a comment »

Mulai Jumaat hingga Ahad minggu lepas, jadual saya agak ketat. Namun banyak ilmu yang sempat saya kutip.

3 Sept 2004

Dapat jemputan untuk membicarakan buku Mencari Locus Standi (MLS) di Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) di Bandar Seri Putra, Bangi. Majlis tersebut ialah Majlis Pengkisahan Buku. Turut sama dijemput ialah Sdr. Zabidi Mohamad yang menulis buku Tersungkur di Pintu Syurga dan Maunah – The Naked Truth.

Saya menceritakan proses kreatif MLS dan sambutan terhadap novel kecil itu, alhamdulillah, memuaskan. Kesemua naskhah MLS yang saya bawa habis terjual. Ada pula yang tak sempat membeli, terpaksa menempah.

4 Sept 2004

Seperti biasa, pada hari Sabtu, saya mengikuti kelas DSLP di UIA. Sebelah petangnya, sudah berjanji dengan Masliza (Elaira) dan teman-teman dari artakus.net untuk bertemu di Balai Seni Lukis Negara. Rosh, pelukis rasmi, Saga Artakusiad membuka gerai pameran lukisan bersama rakan pelukis. Kami pun tumpang sama. Saya menjual buku-buku Saga Artakusiad (tulisan Ahmad Patria Abdullah) dari Buku 1 – 6 (+ Bunga Arianur). Turut dijual di situ, novel terbaru Ahmad Patria Abdullah, Legenda Numerius, turut dijual.

Seronok bertemu lagi dengan mereka yang memang peminat setia siri ini. Saya sempat membeli beberapa keping poskad yang dilukis Rosh. Memang hidup semua watak lukisannya.

Saya pula sebenarnya mencari tempat untuk bermalam kerana esoknya ada Seminar Merancang Harta Pusaka di UIA juga. Hendak pulang, alang kepalang. Esok perlu datang lagi. Suami pun dah kata, tidur saja di KL nanti letih hendak ulang-alik. Ramai teman yang tinggal berdekatan dengan Gombak pulang ke kampung ataupun ada acara lain.

Akhirnya, Elaira yang menawarkan rumahnya di Kelana Jaya untuk saya bermalam. Terima kasih, Mas. Dapat juga berkenalan dengannya lebih lanjut. Rupa-rupanya dia juga berasal dari Seri Menanti. Kampungnya tidak jauh dari kampung suami saya. Langsung, kami berbual dalam ‘bahasa kami’. Seronoknya bukan main. Apatah lagi, kami mempunyai banyak persamaan dan minat juga. Kalau ingin kenal dengan Elaira, ada link untuknya di ruangan kanan weblog saya ini.

Sempat juga saya ke KLCC dan Mid Valley sebelum ke rumahnya. Di KLCC, saya ke Kinokuniya. MLS ada terjual di sana. Buku-buku itu diletakkan dalam kategori “Sastera” dan sebaris dengan buku-buku Faisal Tehrani, A. Samad Said, dan buku-buku sastera lain. Begitu juga di MPH Mid Valley, buku saya turut terjual di sana. Sementara Elaira dan teman-teman lain menonton Puteri Gunung Ledang, saya habiskan masa membeli belah di MPH.

Letakkanlah aku di kedai buku,

kalau mahu membuat saya menunggu.

aku takkan jemu

hingga kita kembali bertemu.

Uiks! Jadi haiku pulak.

5 Sept 2004

Setelah tidur pada jam 2.30 pagi (seronok berbual dengan Elaira), saya bangun dan terus ke UIA.

Pagi minggu di Kuala Lumpur

Warganya masih enak berdengkur

Jalan raya pun lancar dari Kelana Jaya ke UIA Gombak. Sempat sarapan pagi di Taman Melati sebelum terus ke seminar.

Semasa mendaftarkan diri di seminar, bertemu seorang lagi sahabat lama, Akmar. Kini bertugas di ZAR Perunding Pusaka. Sempat berbual panjang sewaktu makan tengah hari.

****

“Malaikat penjaga Firdaus,

Wajahnya tampan dan indah

Dengan pedang yang bernyala

Dia menuding padaku.”



~Perjalanan Bu Aminah~

Sementara di Kuala Lumpur, saya menonton teater Perjalanan Bu Aminah karya W.S. Rendra di Lambang Sari, Istana Budaya. Pelakon utamanya, Fauziah Nawi, tentunya kerana teater ini persembahan Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani). Kisah Aminah yang mencari adiknya Maria Zaiton di Jayanegara. Banyak konflik hidup yang dipaparkan. Persembahan yang sangat artistik dan penuh teaterikal.

Written by Nisah Haron

September 6, 2004 at 1:45 pm

Dikirim dalam Uncategorized