Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Februari 2005

Cinta Ibu Jari

leave a comment »

Alhamdulillah, puisi saya berjudul Cinta Ibu Jari tersiar dalam majalah NUR Mac 2005 (Karangkraf).

Turut tersiar, cerpen Hany FF berjudul Sinar Di Langit Andalus. Tahniah, Hany!

Written by Nisah Haron

Februari 22, 2005 at 6:17 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Ujana Ilmu di BH – 20 Feb 2005

leave a comment »

Khidmat beli buku di talian
Oleh Shaidah Shafie

PEMINAT buku negara ini kini boleh mendapatkan maklumat berhubung buku yang dikehendaki dan memesannya melalui perkhidmatan yang disediakan oleh Ujana Ilmu Enterprise (Ujana).

Penasihat Ujana, Nisah Haron, berkata Ujana menjual buku melalui internet kerana mahu mempercepatkan penyebaran sumber ilmu dan apa saja bahan bacaan agar sampai kepada pembaca pada kadar segera.

“Saya yakin ada sesetengah peminat buku yang tidak berkesempatan untuk ke kedai buku dan jalan terbaik ialah mencari maklumat berkenaan buku yang dikehendaki melalui internet,” katanya.

Beliau yakin perkhidmatan yang ditawarkan Ujana memudahkan urusan jual beli kerana pelanggan hanya perlu menunggu tiga atau empat hari sebelum pesanan buku tiba di depan pintu.

Di samping itu, perkhidmatan Ujana juga mesra pelanggan kerana pembeli tidak lagi perlu bersesak dalam kedai buku atau beratur di kaunter bayaran dan kemudahan sedemikian dapat memudahkan pelanggan kurang upaya khususnya.

“Dalam dunia serba pantas kini pasti pengguna akan merasa selesa dengan perkhidmatan di talian kerana banyak masa dapat dijimatkan di samping tiada kos pengangkutan yang timbul bagi mendapatkan sesebuah buku yang diingini,” katanya.

Beliau berkata, Ujana memberi tumpuan kepada buku yang diterbitkan sendiri oleh penulisnya dan ada buku di dalam senarai Ujana sukar diperoleh di kedai buku di samping buku yang diterbitkan syarikat lain.

“Maklumat senarai buku jualan Ujana boleh diketahui dengan mengunjungi laman www.ujanailmu.com.my manakala penulis atau penerbit yang memerlukan kerjasama Ujana boleh menghubungi saya di talian 06-7675722,” katanya.

Written by Nisah Haron

Februari 21, 2005 at 10:50 am

Dikirim dalam Uncategorized

Menepati masa

with 2 comments

Masih ingat satu babak dalam Mencari Locus Standi? Betapa E-Jay amat mementingkan ketepatan waktu. Ya, itulah sebahagian daripada diri saya sendiri.

Saya akan hormatkan waktu orang lain. Lebih-lebih lagi apabila waktu saya dihormati oleh orang tersebut. Berganda-gandalah rasa hormat saya pada orang itu. Ramai antara kita yang susah benar hendak menepati waktu. Sampai timbul istilah – Malaysian Time. Ertinya gagal menepati janji.

Masih teringat ketika saya ‘dating’ dengan suami semasa kami baru sahaja berkenalan. Janjinya mudah. Kalau hasrat untuk bertemu ditetapkan pada jam 5.00 petang, misalnya. Siapa sampai dahulu akan tunggu di tempat yang dijanjikan hingga 5.15 sahaja. Selepas daripada waktu itu, pihak yang menunggu bebas untuk membatalkan janji tersebut.

No question asked.

Bagi saya ini memang mudah. Masa itu pun, masing-masing belum ada telefon bimbit lagi. Jadi perjanjian tersebut kami jalankan. Kalau ada ehsan di pihak yang menunggu untuk menunggu lebih lama, itu terpulang tetapi selepas itu, tak boleh merungut. Alhamdulillah, saya tak ingat satu kali pun mana-mana pihak di antara kami yang terpaksa pulang dahulu kerana tidak dapat hadir pada waktu yang ditetapkan.

Adakalanya, saya agak kecewa dengan kehadiran saya ke mahkamah. Kalau mahkamah dijadualkan bersidang pada jam 9.00 pagi, para peguam harus berada di sana selewat-lewatnya 5 minit sebelum itu. Biasanya kami peguam, mahu tidak mahu mesti berada di situ tepat pada masanya. Sekiranya lewat tanpa alasan, kes kami boleh dibuang.

Berbeza halnya jika mahkamah tidak dapat bersidang pada jam 9.00 pagi. Adakalanya mahkamah @ hakim didatangi tetamu dan tidak boleh memulakan sidangnya seperti yang dijadualkan. Ini menyebabkan peguam terpaksa menunggu hinggalah mahkamah ‘bersedia’.

Adakalanya mahkamah hanya dapat ‘bersedia’ satu jam setengah selepas itu.
Tindakan oleh pihak peguam ke atas mahkamah ? Tiada. Tiada siapa yang boleh mengenakan apa-apa tindakan kepada mahkamah kerana lewat memulakan sidangnya.

Peguam hanya boleh menunggu hingga kesnya dipanggil. Ini yang membuatkan saya membawa bahan bacaan setiap kali ke mahkamah. Habis juga satu dua bab novel!

Ringkasnya, mahkamah lambat bersidang tak mengapa. Peguam lambat datang, kes kena tolak.

Menarik bukan?

Written by Nisah Haron

Februari 18, 2005 at 11:49 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Menulis ikut mood

leave a comment »

Ramai penulis yang berjaya mengatakan bahawa menulis itu kerja yang memerlukan disiplin. Tak boleh main tinggal-tinggal ataupun tak boleh tulis ikut mood. Mesti tak siap. Namun fitrahnya, kita memang menulis ikut mood baru ada feel. Kalau tidak nanti, mesti tulisan kita agak ‘kering’ perasaannya.

Baru-baru ini saya sertai satu bengkel penulisan. Memang dapat banyak ilmu baru tentang penulisan. Kata penceramahnya, kita harus tulis ikut mood. Barulah sesuatu yang dihasilkan itu datangnya dari hati. Namun, kita tidak boleh ikutkan mood tadi. Malah, kita harus berfikir secara lateral bagaimana mahu menguasai mood sebelum kita dikuasai mood.

Caranya mudah. Tulis banyak projek. Maknanya, jangan tumpu pada satu bentuk tulisan. Kita boleh saja mulakan apa saja projek penulisan. Kalau dah bosan dengan satu tulisan, berpindah ke tulisan lain. Misalnya, sewaktu mengumpul bahan untuk novel senaraikan dulu apa-apa bahan yang ingin ditulis. Senarai episod, sebagai contoh. Dalam senarai itu pastinya ada pelbagai perasaan dan fakta yang boleh ditulis.

Kalau hari ini kita rasa gembira, tulis dulu plot / bab yang gembira. Lain kali bila kita geram pada seseorang tapi mahu menulis, tulis sahaja mana-mana bab yang sedang sesuai dengan jiwa kita pada ketia itu. Akhir nanti, barulah kumpulkan semua bab dan susun serta edit semula.

Saya kata : Wah! Selama ini apa yang saya buat tidaklah salah. Saya memang tidak punya daya tumpuan yang tinggi. Kata orang kampung saya : a very short attention span. Sekejap nak buat ni, belum siap yang ni dah datang idea untuk buat benda lain. Ada juga orang kata, yang saya ini tak ada fokus semasa buat kerja. Tapi, akhirnya, semua kerja itu boleh siap juga.

Namun, saya juga tertanya-tanya, adakah ini menyalahi sesuatu? Saya tahu memang saya tidak ada disiplin kerja seperti mana penulis lain yang boleh menumpukan satu-satu kerja menulis hingga selesai. Maaf, saya ini Aries. Itu bukan cara saya bekerja. Jadi bila penulis tadi berkata begitu, saya sedikit sebanyak lega.

Tiba-tiba cara dia membimbing itu memberi saya inspirasi untuk menghasilkan beberapa buah buku sekaligus! Semangat sugguh cara dia berikan saya motivasi.

II

Tidak lama lagi, PEN akan anjurkan Perhimpunan Penulis Muda NS. Kami sedang mengumpulkan peserta. Sesiapa yang berminat, sila tampilkan diri. Mana yang rasa-rasa dia orang NS – sama ada bermastautin ataupun asal ataupun keturunan dari NS, boleh dipertimbangkan.

E-mel saya untuk sebarang pertanyaan : annyss@hotmail.com

PEN juga ada banyak program tahun ini, nantikan sahaja siri-siri pengumumannya di akhbar ataupun dari laman saya juga.

III

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan, Tuan Haji Abdul Rahman Sulaiman, pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

Al-Fatihah.

Written by Nisah Haron

Februari 15, 2005 at 10:08 am

Dikirim dalam Penulisan

Koleksi Buku

leave a comment »

Dapat sms ceria daripada teman penulis – Mawar Shafei : The beauty of morning isn’t the sunrise but the thought of God giving us another day to see through life. Wishing u a nice fruitful day n slmt menyambut maal hijrah. May Allah shower us with his unlimited blessings.

Ah, terima kasih Mawar! Sesungguhnya kita seringkali terlupa bersyukur betapa setiap pagi kita masih lagi bernafas untuk meneruskan kehidupan.

Dua tiga hari lepas banyak buat kataloging. Sasaran utama, buku-buku undang-undang. Mula-mula susun ikut abjad. Asalnya, buat manual. Pakai buku indeks fullscap yang dah siap A,B,C pada sisi kanannya. Lepas tu, alihkan dalam Excel. Senang sikit bila buat sorting. Kira-kira punya kira adalah hampir 200 buku koleksi undang-undang saya.

Kebanyakan buku telah mula saya beli sejak zaman jadi pelajar matriks di UKM dulu. Tak sesia saya membina koleksi ini. Banyak faedahnya sekarang bila saya mula mendapat tawaran menulis rencana-rencana undang-undang di akhbar dan majalah-majalah. Bila dah buat katalog ni senang sikit bila kena cari bahan, semuanya dah sekumpul dalam satu bahagian. Kalau nak kena tulis tentang hak cipta, misalnya, dah ada sederet buku rujukan untuk undang-undang hak cipta. Ini turut memudahkan saya bila menulis ruangan siri undang-undang di Dewan Siswa. Juga sesekali untuk Dewan Masyarakat juga.

Alhamdulillah, lega… Dah lama saya bercita-cita untuk buat katalog ni.

Cita-cita seterusnya nak katalogkan buku sastera pula. Tapi yang ini benar-benar mencabar. Rasanya saya ada tak kurang ataupun hampir 500 judul untuk koleksi sastera. Nak membahagikannya juga tidak mudah. Mula-mula nak kena pisahkan antara Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Kemudian fiction dengan non-fiction. Itu belum masuk koleksi buku Indonesia pulak!

Hmm… bab ini kena buat perlahan-lahan. Tapi bila dah tersusun, memang seronok. Ada sesetengah buku tu, saya dah lupa pun yang saya pernah membelinya. Ini tak boleh jadi. Nanti terbeli dua kali! Tapi masih tak rugi kalau ada dua copy. Boleh buat hadiah pada hari jadi kawan-kawan.

Teringat zaman persekolahan dulu, kawan-kawan serangkai : Rozie, Marina, Nora & Haniem. (Rujuk Puisi Akhir Musim Bunga dalam kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi). Kami kongsi duit berempat untuk belikan buku untuk kawan yang seorang lagi. Lepas tu, kongsi sama-sama baca buku itu ikut giliran. Semua orang gembira. Win-win situation.

Saya seronok hidup dikelilingi buku. Terima kasih pada suami saya kerana ‘menghidupkan’ Ujana Ilmu. Pejabat kecil Ujana Ilmu yang beroperasi di rumah kami menyebabkan setiap sudut rumah kami dihiasi buku. Dulu memang banyak bunga di sana-sini, tetapi sejak ada anak-anak kecil, semua bunga itu sudah saya ‘rehatkan’. Sebagai ganti, buku-buku yang diletakkan amat dihargai oleh anak-anak saya. Mula-mula dulu, mereka suka hendak ‘bermain’ dengan buku-buku saya tetapi kini mereka telah mula menghormati apa-apa yang bukan milik mereka.

Bahkan, turut disediakan mempunyai ruang untuk meletakkan buku-buku kecil mereka. Syukurlah, mereka memilih buku berbanding bunga-bunga yang hanya mengumpulkan habuk dan debu.

Written by Nisah Haron

Februari 10, 2005 at 10:59 am

Dikirim dalam Uncategorized

Profail Melayu

leave a comment »

Teguran Pak Lah dalam amanat Presidennya baru-baru ini terlihat seperti ada kekecewaan yang dibendung setelah beberapa lama menjadi Perdana Menteri. Pak Lah melihat masalah yang cuba diperbetulkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Bukan mudah membetulkan sesuatu yang sudah menjadi budaya orang Melayu sendiri. Melayu, mana mungkin dipisahkan dengan sikap politikingnya. Bukan setakat dalam politik negara itu sendiri, malah di pejabat, di sekolah, di universiti, dalam tandas, di kedai kopi, dalam blog dan di mana-mana sekalipun asalkan boleh mengumpat, mengeji dan mengata, adalah orang Melayu di situ.

Sebentar kita menyusur sejarah. Setelah tamat penjajahan hingga kini, orang Melayu masih lagi belum menguasai apa-apa pun. Ekonomi? Jauh sekali. Tindakan orang Melayu – salahkan kerajaan kerana kegagalan DEB. Tindakan pro-aktif orang Melayu? Tiada. Kalau ada pun, tidaklah sebesar mana. Selebihnya hanya menuding jadi menyalahkan orang lain.

Sosial? Orang Melayu yang beragama Islam, masih tidak mampu mengawal pergerakan sosial. Salah siapa? Orang Melayu masih lagi menyalahkan kerajaannya.

Lantas apa yang tinggal untuk orang Melayu? Jawapannya Politik. Itulah yang ada pada orang Melayu dan itulah yang membuatkan orang Melayu mudah benar gila kuasa. Bila sudah ada kuasa, belum tentu mahu membantu bangsa sendiri. Malah mahu ditenyeh-tenyehkan supaya tidak bangkit lagi. Kenyataan ini bukanlah menjurus pada mana-mana parti politik, malah saya melihat semua parti politik itu sama sahaja.

Seperti penulis, manusia-manusia yang terlibat di dalam politik itu juga telah dikotak-kotakkan. Itulah dasar divide and rule yang kita warisi sejak zaman penjajah lagi. Sudah hampir 50 tahun kita merdeka dan bebas daripada belenggu penjajahan secara fizikal, tetapi mentaliti orang Melayu masih lagi terikat kukuh seperti dulu.

Apabila dikotak-kotakkan, maka jadilah orang agama dalam satu kotak, orang sains dalam satu kotak lain, dan seterusnya, orang ekonomi, orang sastera, orang politik, orang korporat dan sebagainya berjuang sendiri-sendiri dalam kotak masing-masing. Kalau nak berdebat pun setakat dalam kotak itu sahaja. Kalau kotak itu tungging balik sekalipun, ahli dalam kotak yang lain tak akan ambil peduli. Bagi ahli kotak lain, itu salah ahli dalam kotaknya yang menyebabkan kotak itu terbalik.

Itu belum lagi dicampur cerita bahawa dalam setiap kotak itu pula ada kotak-kotak yang lebih kecil.

Lantas, wujudlah tokoh-tokoh agama yang tidak memahami sains sepenuhnya, ahli sains yang tidak memahami Islam seluruhnya, orang sastera yang tidak faham ekonomi, semua orang luar sastera yang tidak faham sastera, orang politik yang memisahkan agama dan pentadbiran dan seterusnya, dan seterusnya…

Kata mengatalah yang menjadi modal orang Melayu kerana orang Melayu hanya tinggal kuasa politiknya. Bab-bab yang lain, orang Melayu sudah lama tewas. Ini hakikatnya. Di mana ada tempat yang melemahkan fikiran, adalah orang Melayu. Contohnya, konsert sureheboh di Seremban, atau di mana-mana sekalipun, paling ramai orang Melayu di situ. Sesekali saya terfikir, di mana mereka Maghrib? Kalau di Seremban, mungkin mereka solat di Masjid Negeri yang hanya tak sampai 500 meter dari Padang MPS. (Nisah sedang bersangka baik).

Tapi entahlah, itu urusan diri dengan Tuhan. Kalau tak ada konsert pun, kalau dah tak nak sembahyang, memang tak buat pun. Tak payah tunggu konsert kan?

Itu belum masuk bab bola, remaja Melayu berpeleseran di kompleks membeli belah, remaja Melayu lelaki yang memenuhi institut-institut serenti dan anak-anak gadis bertudung tapi perangainya tidak menggambarkan apa yang dipakainya.

Inikah profail orang Melayu? Usah mengelak dan menuding jari lagi, kononnya kita bukanlah Melayu yang dimaksudkan. Kita lain. Benarkah?

Cuba dalam setiap diri itu ada sikap mahu memperbaiki diri dan keadaan sekeliling. Nanti tak perlu buat gotong royong perdana kerana setiap ahli dalam komuniti menjalan peranannya. Dah mati seorang baru nak ambil tindakan besar-besaran.

Masih ingat saya pada pesanan Puan Lily Leong, guru saya semasa di sekolah rendah. Apabila dia keluar dari kelas untuk ke Pejabat atau ke mana-mana pun, dia tidak pernah pesan pada ketua darjah supaya menjaga kelas. Katanya, setiap orang jaga diri sendiri. Jangan jaga hal orang lain. Memang benar, masing-masing tahu tanggungjawab. Kelas jadi tenang. Sesekali ada seorang dua yang nakal, tidak dilayan oleh pelajar lain.

Lantas perubahan itu datang dari mana? Dari dalam diri. Membudayakan perkara-perkara yang baik dalam diri sendiri. Tidak dapat tidak ia semua bergerak daripada apa yang menjadi santapan rohani kita. Apa yang kita baca boleh mempengaruhi perbuatan kita secara subconscious. Cuba lihat perangai orang yang membaca novel-novel popular @ sastera ringan berbanding kumpulan yang memilih bahan-bahan sastera murni @ separa berat dan sastera berat sebagai muatan dalam dirinya. Peribadi mereka juga banyak berbeza kerana cara mereka berfikir juga jauh berbeza. Saya tidak katakan yang mana lebih baik dan yang mana lebih buruk. Itu terpulang kepada individu untuk menilainya.

Sikap orang Melayu itu perlu dilihat daripada pemikirannya. Lebih baik kita perbaiki diri kita ini. Itu tanggungjawab setiap insan.

Untuk apa kita bercakap tentang orang lain?

Written by Nisah Haron

Februari 8, 2005 at 8:38 am

Dikirim dalam Uncategorized