Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Julai 2005

Beberapa kesalahan umum penulis

leave a comment »

Dapatan daripada menghakimi sebuah sayembara baru-baru ini memungkin saya memetik beberapa kesalahan umum dan seringkali dilakukan oleh penulis. Walaupun rata-rata penulis yang mengambil bahagian ialah penulis muda yang muda pengalaman, tetapi terdapat juga penulis yang sudah ada pengalaman tetapi masih mengungkap persoalan yang agak klise.

Sebagai contoh :

1. Watak yang mati, mesti kerana lukemia / barah otak.
2. Watak yang mati mengejut, mesti kerana kemalangan jalan raya.
3. Jika diminta menulis untuk remaja, pastinya elemen cinta-cintaan yang berlebih-lebihan akan dimasukkan.
4. Banyak perkara lewah yang dimasukkan juga; seperti dialog bertele-tele tanpa sebab yang boleh menggerakkan cerita.
5. Latar masa dan latar tempat yang tidak jelas, tetapi watak itu tetap bercakap juga. Entah di manalah dia berbual agaknya. Nak kata karya itu absurd, tidak juga. Ia cuma karya biasa.

Dari aspek teknik pula :

1. Format penulisan masih ada yang tidak dapat menguasainya. Masih ada yang menghantar karya dengan langkau hanya sebaris (single spacing). Padahal, sangat jelas bahawa manuskrip sebaik-baiknya langkau 2 baris atau pun setidak-tidaknya 1.5. Jika penganjur telah menetapkan supaya ia mesti langkau 2 baris, janganlah cuba hendak lari daripada arahan.

2. Kekemasan karya tetap menarik perhatian panel / editor kerana dalam banyak-banyak karya yang berlambak di atas meja, tentulah keutamaan (pembacaan) diberikan kepada yang paling kemas dan sedap mata memandang. Lepas itu, barulah sama ada karya tersebut sesuai untuk dinilai.

3. Judul dan ayat pertama turut memainkan peranan besar untuk menarik pembaca. Saya rasakan sendiri bahawa ia sangat penting untuk memancing saya membaca.

Sebelum saya membaca semua naskhah, saya asingkan dahulu mengikut kriteria yang dinyatakan di atas, iaitu kekemasan, judul yang menarik dan perenggan pertama / halaman pertama yang menangkap. Kalau ia menepati kriteria saringan saya yang terawal, karya tersebut akan saya baca dahulu.

Bila kita sudah banyak membaca, kita akan dapati karya mana yang baik dan mana yang kurang hanya dengan membaca halaman pertama. Ada sesetengah cerpen yang sampai halaman 4 pun masih tak masuk lagi pokok / isi ceritanya. Konfliknya pun belum kelihatan. Amat meletihkan pembacaan. Kalau tak baca nanti tak adil pula, tetapi ia sangat mendera panel. Begitu juga dengan novel, adakalanya hingga bab 5 – 6 pun tak ada konflik yang diperkenalkan apatah lagi untuk dikembangkan.

Demikian, sedikit sebanyak coretan saya yang sempat saya turunkan. Memang sedang dan sudah mula sibuk dengan kuliah. Tetapi teringatkan teman-teman yang sudi singgah ke mari, saya usahakan catatan ringkas ini.

Semoga ada manfaatnya buat semua… insya-Allah.

Written by Nisah Haron

Julai 25, 2005 at 4:55 pm

Dikirim dalam Penulisan

2006 : 20 Tahun MPR

leave a comment »

Percaya atau tidak, Minggu Penulis Remaja (MPR) akan berusia 20 tahun pada tahun hadapan. Masih terasa seperti semalam, apabila Minggu Remaja (nama asalnya) diperkenalkan sekitar pertengahan 80-an. Ketika itu, sudah ada nama-nama yang telah membina jati diri dalam penulisan seperti Hizairi Othman, Zaen Kasturi, Rahimidin Zahari, Arfah Ahmad, Amaruszati Noor Rahim dan sebagainya.

Sempena 20 tahun MPR, khabarnya pihak DBP akan mengadakan acara besar. Besar mana tu tak tahulah lagi. Apatah lagi, ia serentak dengan perayaan 50 tahun DBP pada tahun hadapan. Insya-Allah akan ada acara khas untuk mantan MPR.

Sehubungan dengan itu, Sabtu lepas, adik-adik MPR telah menganjurkan bicara karya 4 puteri MPR – Kamariah Kamaruddin, Amaruszati Noor Rahim, Maharam Mamat dan Salina Ibrahim. Pada sebelah petangnya pula diadakan mesyuarat tidak rasmi tentang masa depan dan pucuk pimpinan MPR.

MPR sewaktu ada Hizairi dulu, lain hala tujunya. Maklumlah Hizairi sangat komited dengan usaha menaiktaraf MPR dan MPR menjadi satu brand name yang agak besar pada ketika itu. Tetapi setelah kehilangan beliau, Faisal pula tidak berada dalam negara dan AJK lain ada komitmen masing-masing, MPR dilihat seolah-olah terbiar tanpa kemudi.

Banyak suara-suara sumbang yang timbul.

Namun perbincangan kami pada petang Sabtu lepas jelas menunjukkan bahawa MPR bukanlah satu badan persatuan. Kita sudah ada banyak persatuan penulis. Tidak perlu lagi ada sebuah badan yang lebih kurang sama. Jadi diputuskan juga bahawa MPR tidak perlu ada sebarang ketua yang bergelar Presiden, Pengerusi atau sebagainya. Sesiapa sahaja boleh menjadi wakil MPR dan setiap mantan MPR itu sama sahaja tarafnya.

Sebelum ini pun pihak pengurusan DBP sudah selesa berurusan dengan Faisal dan Salina. Mereka sudah pun dianggap wakil yang senang untuk berurusan. Kini kemunculan adik-adik baru seperti Ida Munira and the gang (Ghafirah, Fahd, Nimoiz dll) banyak membantu. Mereka telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja mantan MPR boleh membentuk jawatankuasa sendiri dengan kertas kerja sendiri dan boleh menjayakan apa-apa projek. Jika tak tahu, bertanyalah pada yang tahu.

Masalah yang wujud barangkali, ialah adanya jurang antara setiap batch MPR. Ada sesetengah batch yang tidak ada hubungan dengan batch tahun yang lain. Itu bukan masalah MPR secara amnya, itu masalah individu yang tidak bijak berurusan dengan individu lain. Pendek kata, kurang pandai buat PR lah! Kalau tak segan bertanya, berkenalan dan sebagainya, banyak perkara yang dapat diselesaikan.

Cara mana hendak berhubung, itu tak susah. Teknologi sekarang canggih-canggih belaka. Selain penulis yang ada blog sendiri, MPR juga boleh ada e-group sendiri ataupun berhubungan secara SMS. Akhirnya nanti, kita bukan sekadar berhubungan kerana kita sesama Mantan MPR tetapi kerana kita semuanya teman-teman penulis.

Sebagai mantan MPR juga kita bebas untuk masuk mana-mana persatuan penulis, tidak semestinya jadi mantan MPR sahaja. Tidak semestinya menerbitkan karya dengan DBP sahaja. DBP telah mengeluarkan belanja yang besar untuk menjalankan MPR, setidak-tidaknya kita balaslah jasa mereka itu dengan menulis dan menghasilkan karya yang bermutu.

OK, cukuplah ‘syarahan’ untuk kali ini. Saya nak pergi sekolah!

Written by Nisah Haron

Julai 18, 2005 at 12:12 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Benarkah wanita sudah bersedia?

leave a comment »

Saya baru kembali dari sebuah perhimpunan yang dihadiri oleh wanita sahaja. Seperti biasa, dalam perhimpunan sedemikian, ada banyak desakan yang disenaraikan dan mahu dimajukan kepada pihak Kerajaan. Terus terang, saya tidak gemarkan jenis majlis yang begini. Namun atas ‘arahan’, saya patuhi juga. Pun saya melihat dari sudut yang positif, mungkin ada kenalan baru dan jaringan persahabatan yang dapat saya lebarkan.

Alhamdulillah, saya temui juga wanita-wanita yang hebat. Teman sebilik saya, kecil molek orangnya tetapi seorang peguam yang mengkhusus dalam bidang jenayah. Juga, ketua kumpulan saya, rupa-rupanya adik kepada seorang kenalan penulis dari Selatan Johor. Tidak ketinggalan, Nisah Haron akan sentiasa membawa bukunya untuk dijual (biar pun sekadar beberapa buah!) 🙂

Selain daripada itu, ia sekadar pesta makan-makan, ucapan-ucapan dan pembentangan kertas-kertas kerja yang sekadar mengulang isu-isu lapuk tetapi masih tiada jalan penyelesaian. Bukan kerana tiada jalan penyelesaian tetapi seperti tidak mahu diselesaikan.

Kumpulan saya diminta memberi saranan untuk resolusi tentang masalah sosial. Kami katakan, masa untuk tindakan yang lembut-lembut sudah tamat. Orang Melayu sudah terlalu nazak penyakit sosialnya. Kita perlukan tindakan-tindakan yang lebih drastik.

Saya sendiri menyarankan 3 perkara :

1. Penagih-penagih tegar yang sudah tiada harapan sembuh dan kalau keluar pun daripada universiti serenti akan kembali menyambung sarjana ataupun Ph.D, elok dikirimkan sahaja ke negara-negara yang dilanda perang. Biar mereka buat kerja amal sebelum mereka mati sia-sia.

2. Kursus keibubapaan (parenting skill) perlu diajar mulai Tingkatan 1. Janganlah bila nak kahwin baru nak masuk kursus pra-perkahwinan selama 1 setengah hari. Percayalah, stastistik menunjukkan lebih banyak perkahwinan yang gagal selepas program kursus kahwin dijalankan. Jika benar anak-anak remaja ini sudah ‘gatal’ hendak bercinta, terapkan dalam jiwa mereka, apa niat mereka bercinta. Cinta itu tanggungjawab, apatah lagi sebuah perkahwinan.

3. Konsert-konsert, program-program realiti hiburan (AF, MI dll) semuanya harus dihapuskan. Merekalah yang benar-benar merosakkan orang Melayu.

Itu cadangan peribadi saya. Tetapi sebagai sebuah kumpulan kami tekankan bahawa penyelesaian sebenar ialah sistem pendidikan yang mesti dirombak semula. Institusi kekeluargaan pula mesti diperkasakan semula. Ibu bapa bukan sekadar kilang buat anak. Pendidikan untuk anak bukannya bermula setelah ia dilahirkan, malah sebelum anak itu dibuat! Tetapi berapa ramai yang sedar?

Antara desakan yang dikemukakan oleh satu golongan wanita lagi ialah di bidang akademik, sudah ada sepatutnya wanita yang dinobatkan sebagai naib canselor universiti. Golongan ini menganggap bahawa wanita tidak diberi peluang walaupun mereka sudah ada kelayakan yang cukup.

Saya bukan orang akademik. Namun saya lihat dan setakat yang saya tahu tentang tugas seorang NC. Tugasnya bukan bermula jam 8 pagi dan tamat 5 petang. Selalunya ia lebih daripada itu. NC juga perlu buat PR dengan banyak pihak yang rata-ratanya lelaki, hatta hingga malam hari.

Persoalannya, benarkah wanita seudah bersedia ?

Saya masih tak tahu apa yang diingini oleh kelompok pendesak yang masih bertonggakkan kepada Germain Greere dan Eleanor Rooservelt. Langsung meninggalkan terus dua amanah yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW – Al-Quran dan Sunnah.

Jika kita kembali kepada perkara-perkara yang asas, tiada apa sebenarnya yang mesti diperjuangkan oleh wanita-wanita Islam.

Masihkah wanita tidak menyedarai bahawa kekuatan wanita itu terletak pada kelembutannya…?

Written by Nisah Haron

Julai 11, 2005 at 7:43 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Kembali ke sekolah

leave a comment »

Pagi tadi saya telah kembali ke sekolah. Bukan sekolah rendah ataupun sekolah menengah, tetapi sekolah kehidupan. Kehidupan sebagai seorang pelajar semula. Setelah beberapa tahun meninggalkan daerah perbukitan Bangi yang bertuah dan mengepung ilmu, saya kembali semula ke daerah yang penuh nostalgia, harapan dan impian.

Saya menyambung semula sebuah impian yang terpaksa ditangguhkan sedikit masa dahulu. Impian untuk meneruskan usaha menyelongkar seberapa banyak ilmu yang ada dan termampu oleh diri ini.

Alhamdulillah, saya sampai ke Fakulti Undang-undang UKM, seawal 8.45 pagi tadi. Diberi taklimat oleh pensyarah-pensyarah ceria yang masih mengingati saya. Mereka sangat gembira dengan kehadiran pelajar-pelajar pasca-siswazah (Sarjana & Doktor Falsafah), termasuk juga saya dan beberapa bekas pelajar FUU UKM yang kembali. Sambutannya sederhana tetapi cukup mesra.

Ucapan aluan Dekan FUU, Prof. Madya Kamal Halili dan Timbalan Dekan (Siswazah) Prof. Madya Dr. Sakina benar-benar membuat rasa seperti diraikan. Sedangkan ini bukannya satu kejayaan lagi. Ini permulaan sebuah cabaran – yang sengaja digalas. Begitulah, saya lebih suka belajar bukan kerana desakan tetapi kerana rasa kecintaan terhadap ilmu itu sendiri.

Jika pada peringkat ijazah dahulu, belajar terasa seperti dipaksa kerana hati pada ketika itu berada di tempat lain. Namun takdir dan ketentuan Ilahi telah melorongkan saya ke FUU dengan rencana yang amat halus dari Dia Yang Maha Mengetahui.

Begitu juga kita membuat diploma di universiti yang satu lagi, saya juga tidak merasa sedang menikmati satu proses menimba ilmu. Terasa seperti didesak-desak oleh satu tuntutan halimunan dan suasana seluruh kampus itu seperti tidak menyambut saya datang. Terasa seperti melukut di tepi gantang.

Namun kali ini, suasananya sangat berbeza. Barangkali, kerana wajah-wajah ceria itu ramai di antaranya memang saya kenali malah, ada yang memang kenal mesra. Barangkali kerana FUU tempat saya menumpahkan rasa setia. Tentu sahaja tempoh 6 tahun bergelar mahasiswi dan lawatan-lawatan berkala ke FUU selepas itu mewujudkan rasa sense of belonging.

Ya, kali ini saya bukannya datang ke FUU, tetapi saya kembali… Dr. Sakina mengucapkannya begitu malah dia mengucapkan selamat datang kepada setiap seorang pelajar yang menghadiri taklimat pagi tadi di bilik mesyuarat Fakulti.

Kami dimaklumkan tentang jumlah mata pelajaran (pelajar Indonesia menyebutnya mata kuliah) yang boleh dipilih. Saya memilih Program Sarjana Sepenuh Masa (Kursus Sahaja). Maknanya, saya perlu mengambil 8 subjek (1 wajib – Metodologi Penyelidikan) dan 7 subjek lagi yang perlu dihabiskan dalam satu tahun. Bagi semester ini saya perlu ambil maksimum 4 subjek. Lalu saya pilih :

Undang-undang Keluarga Perbandingan
Undang-undang Jenayah Islam
Undang-undang Teknologi Maklumat; dan
Undang-undang Jualan Barang (Lanjutan) – Advance Law on Sales of Goods

Cadangnya, semester depan (kalau berjaya mendapatkan CGPA 3.00 atau lebih) saya ingin teruskan dengan :

Undang-undang Kanak-kanak (Child Law)
Undang-undang Antarabangsa & Dunia Ketiga
Undang-undang Harta Intelektual
Metodologi Penyelidikan

Ada yang beritahu saya (bukan dari UKM), katanya kalau ambil kursus sarjana yang 100% kuliah ini bererti, saya mengambil sarjana peringkat rendah. Sarjana yang paling baik @ berkualiti ialah yang mengambil tesis sahaja, kemudian diikuti dengan kursus + tesis.

Hmmm… tak tahu pula saya begitu hirakinya. Bagi saya, siapa yang ada Master tu, kira dah ada masterlah tak kiralah cara mana dia dapat master. Bila seseorang itu dapat Master, takkan kita tanya pada dia, “awak dulu buat Master dulu, tesis saja, tesis + kursus atau kursus sahaja?” Biasanya kita akan terus mengiktiraf seseorang itu, bila sahaja dia dianugerahkan dengan Sarjana, bukan?

Entahlah, mungkin ada yang boleh memberitahu saya tentang ini.

Apa pun, pendaftaran di Pusat Pengajian Siswazah juga berjalan lancar, tidaklah terlalu lama menunggu seperti sewaktu mendaftar di DECTAR pada tahun 1993 dulu. Satu jam tak selesai!

Status saya sudah berubah. Saya pelajar.

Written by Nisah Haron

Julai 7, 2005 at 8:25 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Memilih Antah di dalam Beras

leave a comment »

Saya telah diminta oleh *Penganjur* supaya menghakimi satu *Sayembara*. Pada mulanya saya hendak menolak saja. Tak sanggup rasanya. Tapi memikirkan bahawa saya juga akan memperoleh pengalaman, lantas saya cuba. Pun, saya tersilap perkiraaan. Ingatkan hanya kategori cerpen, rupanya ada novel juga.

Aduhai… berasaplah membacanya.

Mula-mula ingat nak baca ikut nombor siri yang telah disediakan. (Nota : Dalam sayembara, panel memang tak tahu siapa penulis setiap manuskrip). Baca yang pertama. Plot melompat-lompat. Mungkin dia salah kategori, banyak subplot dalam cerpennya. Boleh dikembangkan jadi novel.

Patah semangat untuk baca yang seterusnya. Tapi tak adil pada peserta yang lain. Jadi saya harus buat sesuatu.

Mula-mula saya asingkan mengikut yang OK dan kurang OK. Saya baca judul dan perenggan pertama. Kalau perenggan itu boleh membawa saya terus ke penghujung halaman pertama, saya asingkan.

Bagi yang kurang OK, saya masih beri peluang. Saya semak tengah dan penghujung, jika ada walau secubit pun ‘sesuatu’ yang menjanjikan, saya asingkan dalam tempat yang kedua. Akhir sekali, barulah cerpen-cerpen yang klise, lewah, dan biasa ditemui di kalangan penulis yang baru hendak mencari tapak dalam dunia kesusasteraan ini.

Saya tak boleh salahkan mereka. Saya juga bermula seperti mereka. Kalau boleh, saya ingin sahaja pulangkan mana-mana manuskrip yang tidak berjaya itu, dengan nota dan catatan bagaimana karya itu boleh dibaiki. Sayang sekali, itu bukan dalam bidang tugas panel untuk berbuat demikian.

Namun, apa yang ingin saya katakan ialah penulis haruslah bijak membina judul yang menarik dan membina ayat pertama, seterusnya perenggan pertama yang memukau. Analoginya seperti kulit buku yang menarik akan menarik pembeli @ pembaca mengambil buku itu dari rak buku. Itu sahaja sudah dilihat sebagai satu kejayaan.

Memilih karya yang baik seperti kata seorang sahabat penulis, ia macam orang pilih antah dalam beras. Kena sabar dan beras itu perlu dibalik-balikkan. Mencari di mana tersoroknya antah yang ingin dicari. Bila jumpa, ada sesuatu kepuasan kerana dapat mengasingkan antah tadi. Mungkin secara analoginya, mencari antah itu tidak boleh disamakan dengan mencari karya yang baik, kerana antah akan dibuang dan karya yang baik diasingkan, bukan untuk dibuang.

Tapi saya percaya, pembaca saya yang bijaksana, dapat memahaminya.

OK, selepas baca cerpen, kena baca novel pula! Doakan saya terus diberi kekuatan…

Written by Nisah Haron

Julai 4, 2005 at 8:35 am

Dikirim dalam Uncategorized

Ketika mereka sedang bersorak ria…

leave a comment »

Ketika catatan ini ditulis, saya percaya saya tidak akan diganggu oleh singgahan Yahoo Messenger, e-mel ataupun panggilan telefon (kecuali mereka yang berada di luar negara ataupun bukan peminat konsert mingguan). Inilah malam minggu yang tenang. Kalau keluar ke bandar, hatta ke KL sekalipun, jalan raya juga barangkali tidak sesibuk malam-malam yang lain.

Saya percaya tumpuan pada malam ini terarah ke Dataran Putrajaya. Tempat berhimpunnya hampir 100% orang-orang Melayu Islam ataupun mungkin juga 100% orang Melayu Islam. Ketika jari saya tertekan no. 4 pada remote control Astro saya, kaca tv menayangkan permulaan konsert yang menjadi kebanggan seluruh rakyat Malaysia – atau lebih tepat hampir seluruh orang Melayu Islam.

Seperti ulat taik mereka terkinja-kinja, lebih bangga lagi apabila kamera diarah kepada mereka. Apa lagi yang mampu saya lakukan selain daripada beristighfar dan sangat-sangat mengutuk fenomena ini. Saya tidak pernah menonton sepenuhnya mana-mana bahagian daripada AF. Insya-Allah, saya belum tergiur dengan godaan-godaan yang tidak berfaedah itu.

Selain daripada hiburan yang benar-benar melalaikan dan membazir masa, wang dan tenaga, saya sampai kini tidak dapat melihat rasional mengapa fenomena ini harus menggemparkan negara. Walaupun dalam AF1 & 2 sebelum ini telah dicatatkan oleh akhbar bahawa sekian juta RM dihabiskan oleh rakyat Malaysia untuk mengundi. Kerancakannya kali ini semacam tidak menimbulkan secebis kesedaran langsung buat mereka.

Mereka mungkin tidak sedar. Tsunami yang menimpa seperti tidak mengajar. Balasan Allah boleh datang bila-bila masa.

Bilakah kerajaan akan haramkan program ini? Ia sangat membunuh bangsa saya sendiri.

Saya teringat kata-kata pujangga : Manusia akan terkejut apabila pertama kali melakukan dosa, selepas itu mereka cuba menipu diri sendiri, kemudian mereka biasa, akhirnya mereka jadi bangga dengan dosa yang dilakukan.

Fenomena ini sudah menjadi satu kebiasaan. Tidak ada apa-apa yang luar biasa dengan tulisan saya ini. Tidak ada yang membezakan jika seseorang itu peminat AF ataupun tidak. Jika anda bukan / tidak tahu langsung tentang AF, anda seolah-olah kolot dan ketinggalan zaman.

Adakalanya semua ini amat menakutkan!

Written by Nisah Haron

Julai 2, 2005 at 9:10 pm

Dikirim dalam Uncategorized