Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Ogos 2006

Sesungguhnya kita belum merdeka!

with 4 comments

Sengaja saya tidak mengirim sebarang ucapan salam merdeka kepada sesiapa pun hari ini. Hatta dari malam tadi, ketika saya menyampaikan Syair Ambang Merdeka di Padang MPS, saya masih tidak yakin bahawa kita sudah merdeka.


Terbaru, saya paling sakit hati apabila Malaysia dengan sengaja mengundang Indonesia pula menjajah kita. Paling teruk, menjajah anak-anak kita. Tidak cukup dengan saluran-saluran kartun dari saluran 60 – 63, kini anak-anak diperkenalkan pula dengan saluran 64.

Pada mulanya saya mengalu-alukan saluran ini kerana promonya mengatakan bahawa :

Astro Ceria – a Bahasa Malaysia language children’s channel featuring exciting programming and interactive shows.


Apatah lagi, anak-anak saya dapat bertutur dalam bahasa Inggeris yang baik (bukan Bahasa Inggeris Syarifah Amani, ya) setelah mengikuti rancangan-rancangan seperti dan Playhouse Disney dan Disney. Dengan kawalan supaya mereka tidak menonton AF kerana kami sekeluarga amat membencinya, jadi mereka tidak kenal dengan watak-watak jelmaan Astro seperti kanak-kanak lain.

Rupa-rupanya pihak Astro tidak boleh membezakan antara Bahasa Melayu, Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia!!!
Kalau tak percaya cuba klik pada logo di atas. Laman webnya juga berbahasa Indonesia!

Aduhai! Tak cukupkah anak-anak yang dibesarkan dengan pengasuh Indonesia, bercakap dalam Bahasa Indonesia. Menyebut huruf bukannya dengan ae, bi, si tetapi a, be, se.

Tidak cukupkah penjajahan dari Barat, hinggakan penjajahan ini harus datang dari Tanah Seberang pula?

Inilah keputusan paling hina yang pernah dibuat oleh Astro demi membodohkan anak-anak yang akan belajar dengan Bahasa Indonesia. Jika mereka tidak mampu mengalih suara ke Bahasa Melayu dengan betul, saluran ini juga tidak perlu wujud.

Wahai pejuang Bahasa Melayu sekalian! Apa tindakan anda?

Kita masih belum merdeka, walaupun kurang setahun lima dasawarsa…

** Pembaca yang berminat boleh ambil terus entri ini dan tampal di blog masing-masing, cuma kreditkan pengambilan dari laman web Nisah Haron Online.

Written by Nisah Haron

Ogos 31, 2006 at 7:23 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Terbit di maya, terbit di kertas

with 7 comments


Akhir-akhir ini saya perhatikan beberapa sahabat bloggers yang banyak menyiarkan karya di laman web sendiri. Tahniah! Itu satu perkembangan yang baik. Kini, untuk membaca sajak ataupun bab-bab novel juga sudah boleh didapati secara maya.

Di sini saya ingin menimbulkan soal etika dalam penerbitan.

Contoh :

Sajak tentang Palestin / Lubnan / kekejaman Israel disiarkan dalam laman web perbadi. Kemudian, sajak itu tentunya boleh diakses oleh sekelian pembaca yang ada akses kepada internet. Ada yang beri respon, ada yang menghayati. Pendek kata, karya itu telah dibaca terlebih dahulu.

Beberapa bulan kemudian, karya yang sama dilihat terpampang di akhbar, majalah ataupun mana-mana media cetak.

Jadi apa masalahnya? Ini bukan isu plagiat, mungkin ada yang berkata. Ini karya sendiri bukannya mengambil karya orang lain.

Ya, saya juga tidak menyentuh hal plagiat. Tetapi ini soal etika.

Bayangkan: mengapa karya kita dibayar setiap kali ia tersiar di majalah? Sebab utama dalam undang-undang hak cipta ialah kerana penulis memberi hak secara eksklusif kepada penerbit berkenaan supaya menyiarkan karya tersebut. Dengan perkataan lain, hak penerbitan kali pertama diberikan kepada penerbit berkenaan.

Malangnya, apabila ia sudah disiarkan di blog ataupun di mana-mana laman maya terlebih dahulu, ini bermakna karya tersebut tidak lagi eksklusif bagi majalah / akhbar tersebut. Malah, jika pihak media cetak (setelah mendapat tahu) berhak untuk tidak membayar karya yang tersiar di media cetak tadi.

Inilah yang ingin saya nasihatkan. Jika mahu hantar sesebuah karya itu diterbitkan di mana-mana media cetak, usah disiarkan dalam blog ataupun yang seumpamanya.

Ingat ya, wang honorariumnya anda ambil, tetapi hak eksklusif itu anda tidak berikan kepada penerbit. Tentu tidak adil, bukan?

Mungkin ada juga yang akan berkata, ‘biarlah saya nak terbit berapa kali pun. ini karya saya’. Benar, itu karya anda. Tetapi saya bercakap dari aspek etika sebagai penulis.

Untuk siaran di blog tak ada masalah jika ia disiarkan selepas tempoh eksklusif itu tamat. Jika karya yang tersiar dalam majalah bulanan: katakan karya anda tersiar dalam bulan September, siarkanlah dalam blog mulai 1 Oktober hingga bila-bila pun.

Jika cerpen atau sajak tersiar dalam akhbar hujung minggu, anda boleh siarkan di blog pada keesokan harinya.

Mudah bukan?

Kalau nak siar sebahagian sahaja, tak ada masalah – untuk jadi teaser kepada membaca. Bukannya untuk disiarkan semua sekali sewaktu tempoh eksklusif itu diberikan kepada penerbit.

Ingat ya, duitnya anda ambil. Biarlah duit yang diambil itu, duit yang berkat. Sebab itu sebuah karya yang sama tidak boleh disiarkan dalam dua tempat.

Written by Nisah Haron

Ogos 29, 2006 at 5:32 pm

Dikirim dalam Penulisan

Bernazam di UTM Skudai

with 6 comments

Saya telah menerima undangan untuk menyampaikan nazam di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai pada 25 Ogos yang lalu. Acaranya dinamakan Malam Puisi Alam – kerjasama antara DBP Wilayah Selatan, Jabatan Alam Sekitar dan UTM. Khabarnya, idea asal datang daripada pihak UTM sendiri.

Secara peribadi, saya jarang menyertai acara baca puisi ataupun deklamasi kerana bagi saya, persembahan demikian agak mendatar. Apatah lagi, apabila deklamasi untuk disampaikan dengan cara ‘terjerit-jerit’ atas nama seni.

Namun, ada sesuatu yang berbeza dengan Malam Puisi Alam. Persembahan ini menggabungkan bukan sahaja penyampaian puisi moden, malah tidak meninggalkan puisi-puisi tradisional. Saya sendiri membuat dua persembahan iaitu Nazam Mencintai Alam dan Gurindam Alam Terbentang.

Kedua-duanya sempat saya tulis sekitar 15 – 20 baris setiap satu dan saya lagukan pada malam itu.

Keunikan nazam dan guridam sebagai manifestasi budaya masyarakat Melayu Islam, terletak pada bentuk puisi dan juga isinya. Apabila disebut gurindam, mungkin ramai yang akan mengaitkannya dengan Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Ya, betul. Itu juga satu daripada gurindam yang amat terkenal. Daripada situ, wujud beberapa variasi gurindam.

Menurut Mohd Ali Bachik (Iladam) dalam bukunya Khazanah Puisi Klasik Melayu (2003), ciri-ciri gurindam terdiri daripada :

  1. anak kalimat (subordinate clause) ataupun (clause of reason)
  2. kalimat utama ataupun kalimat induk (main clause)
  3. kedua-duanya akan membentuk sebuah ayat kompleks yang berangkap . Rangkap gurindam tidak semestinya dua baris, ia boleh terjadi dalam bentuk yang lebih; misalnya gurindam berlapis (3 baris, 4 baris, 5 baris dan seterusnya)
  4. Gurindam berima, iaitu bunyi di hujung kalimat-kalimatnya seragam
  5. Gurindam membawa motif pengajaran atau nasihat yang dalam maksudnya.

Gurindam membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana sesuatu ‘sebab’ dan dari sebab-sebab itulah terjadi ‘akibat’, contoh :

Kalau cakap tidak cermat (sebab)
Tentu kamu tidak selamat (akibat)

Atau dalam lain-lain perkataan, sesuatu ‘jawapan’ pasti akan dihasilkan dengan ‘syarat’ sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi atau berlaku.

Kalau tiada emas di pinggang, (syarat)
Sanak saudara menjadi renggang. (jawab)

Apabila perut terlalu penuh, (syarat)
Keluarlah kelakuan tidak senonoh (jawab)

Pada malam tersebut, saya bawakan gurindam berlapis. Saya memilih untuk melagukan gurindam berlapis (dengan 3 baris) kerana apabila saya mempelajari lagunya, saya dapati ia amat sesuai dengan orang yang mempunyai nada suara sederhana. Saya pun sedar bahawa saya ini bukan Siti Norhaliza. Jadi, saya tahu takat keupayaan dalam menyampaikan gurindam dengan cara berlagu ini.

Persembahan pada Malam Puisi Alam, saya mulakan dengan nazam sebetulnya. Nazam ialah satu genre puisi klasik Melayu yang berasal daripada puisi Arab. Menurut Mohd Ali Bachik lagi,

Pada awal abad kedua puluh, nazam amat popular sebagai nyanyian masyarakat kampung dalam majlis-majlis tertentu. Pada masa ini nazam sudah hampir luput dari alam puisi Melayu, alam tradisi lisan bahkan dari alam budaya Melayu. Pahadal nazam amat mudah difaham, amat sedap didengar apabila dinyanyikan, dan tidak sukar pula untuk mengarangnya.

Ciri-ciri nazam adalah seperti berikut :

  1. serangkap nazam terdiri daripada dua baris berangkap
  2. baris nazam terdiri daripada enam patah perkataan ataupun lebih kurang dua belas suku kata.
  3. nazam dibaca dengan irama lagunya yang tertentu

Nazam bertemakan agama iaitu menceritakan hal-hal syurga, neraka, ajal maut, amal ibadat, Nabi, malaikat dan seruan memuji kebesaran Tuhan. Kadang-kadang ada juga nazam bertemakan nasihat, menuntut ilmu, akhlak dan sebagainya.

Contoh nazam :

Nazam Mukadimah (Risalah Ahmad Mufti)

Allah Allah azza wajal tuhan kami,
Kami minta ampun akan dosa kami.

Kami nama nazam ini mukadimah,
Bagi orang baru belajar ilmu Allah.

Kami harap bagi Allah Tuhan Esa,
Mana salah faham kami ampun dosa.

Ya rabbana kami harap akan rahmat,
Dari dunia sampai kami ke akhirat.

….

Sampai sini nazam kami akhir kata,
Mana salah faham kami ampun dosa.

Nazam juga mestilah dimulakan dengan salam, selawat dan basmalah. Zaman dahulu, nazam menjadi satu cara untuk menghidupkan surau dan madarasah. Kuliah yang disampaikan dalam bentuk ceramah mungkin ada menarik satu pihak sahaja tetapi, apabila disampaikan dalam bentuk nazam (perbandingan sekarang nasyid) kesannya berbeza kepada pihak yang lain.

Lihat sahaja bagaimana anak-anak yang didedahkan dengan nasyid “Raihan” begitu mudah menghafal nama-nama Rasul, mudah selawat dan mengucap. Ungkapan yang amat fasih pada lidahnya. Demikian halnya dengan nazam. Nazam Sifat 20 misalnya, memudahkan seseorang menghafal makna Sifat-Sifat Allah; ataupun Nazam Rukun Islam.

Bentuk-bentuk puisi tradisional yang begini walaupun nampak mudah tetapi memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak, khasnya. Di kampung-kampung, perkara-perkara kecil seperti nazam, pantun, syair, gurindam inilah yang telah menjadi benteng akidah anak-anak satu ketika dahulu. Ia menjadi sebahagian daripada budaya tidak langsung yang membentuk peribadi anak-anak tadi.

Anak-anak pada zaman itu (pada zaman saya dahulu) banyak dididik melalui suasana tidak langsung ini. Kalau bapa saya akan dengan mudahnya marah kalau saya lambat pergi mengaji, nenek saya pula akan berpantun :

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Suruh makan engkau makan,
Suruh mengaji engkau tak mahu.

Kesan pantun itu lebih dalam daripada suruhan yang berbentuk langsung. Saya jadi teringat kepada pantun yang saya pelajari bersama-sama arwah nenek yang disampaikan dalam bentuk yang santai. Dalam baik, saya ‘terpukul’ oleh kata-kata itu dan dengan senang hati saya terus ambil Quran dan mengaji.

Keistimewaan beginilah yang semakin luput dalam zaman hari ini. Namun, saya tidak berputus asa. Selagi ada hayat, saya akan terus memperjuangkannya. Saya juga masih belajar dan akan terus belajar mendalami dan mahu mewarisinya daripada generasi yang lebih lama. Mungkin saya tidak terdaya mempelajarinya sendirian, jadi saya menyeru kepada semua yang masih sayang akan identiti Melayu-Islam, marilah kita buktikan bahawa Islam itu syumul – meliputi segala aspek kehidupan. Ia ada di mana-mana.

Setiap seorang ada peranan masing-masing. Usahlah kita berperanan ‘membunuh’ bangsa sendiri dengan racun-racun budaya asing…

Written by Nisah Haron

Ogos 28, 2006 at 5:23 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Syarahan Raja Ali Haji Ke-15

leave a comment »

Sekadar memanjangkan pesanan…

PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA

No.Pendaftaran:2071(Selangor)

Dengan takzimnya mengundang Tan Sri/ Datuk/ Dato’/Datin/Tuan/Puan ke Syarahan Raja Ali Haji Ke-15 anjuran Persatuan Linguistik Malaysia, dengan tunjangan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, menurut keterangan yang berikut:

Tarikh : 4 September 2006 (Isnin)

Waktu : 9.00 pagi

Tempat : Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Pemidato : Dr. Tatiana Denisova (Institut Kajian Ketimuran, Moskow dan Karyawan Tamu DBP)

Judul : Keunggulan Teks Melayu Klasik sebagai Cermin Tamadun Bangsa

Mudah-mudahan majlis tersebut bermanfaat kepada kita semua dan bererti juga dalam peneguhan tamadun bangsa.

Wassalam.

Prof. Dr. Awang Sariyan
Presiden PLM

Written by Nisah Haron

Ogos 25, 2006 at 8:05 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Nisah Haron dalam Quill-MPH

with 3 comments

Ingin membaca lebih lanjut? Dapatkan Quill (Aug-Oct ’06), majalah terbitan MPH dari rangkaian kedai buku MPH. Harga RM8. Bagi yang ada kartu MRC, boleh dapatkan secara percuma di tempat yang sama. Khabarnya, pihak MPH tidak lagi mengirim Quill kepada ahli MRC seperti dulu. Quill juga sudah lebih tebal, lebih besar (dulu bersaiz A5) dan mempunyai artikel-artikel berbahasa Melayu.

(Komen : MPH Quill saya kira masih memerlukan editor Bahasa Melayu yang baik. Saya mengesani beberapa kesalahan tatabahasa dalam artikel dan wawancara tentang saya.)

**Nisah Haron, sebagai penulis sudah ‘diperagakan’ dalam majalah ini. Ertinya, pembaca dan pelanggan MPH telah dimaklumkan dengan kewujudan seorang penulis Melayu berbahasa Melayu. Namun, persoalannya, adakah buku saya Mencari Locus Standi akan terus dibekalkan ke kedai ini? Secara teorinya, tentu ada permintaan terhadap buku ini terutama sekali bagi mereka yang baru sahaja bersua dengan nama ini.

Written by Nisah Haron

Ogos 22, 2006 at 10:44 am

Dikirim dalam Penulisan

Sembang-sembang Penulis Melayu MPH

with 11 comments


Buat pertama kalinya dalam sejarah kedai buku rangkaian yang besar ini, penulis Melayu mendapat ruang yang eksklusif (walaupun ruang itu agak sempit seperti juga rak-rak buku berbahasa Melayu). Program itu dinamakan Sembang-Sembang dengan Penulis Melayu (in conjunction with SUPPORT MALAYSIAN AUTHORS CAMPAIGN)

Komen pertama saya : Wah, betapa marginalnya penulis Melayu – hingga memerlukan satu kempen. Bukankah kempen itu untuk membangkitkan kesedaran orang ramai. Betapa kini ada satu spesis penulis Melayu yang kian pupus, agaknya. Sebab itu diadakan kempen sebegini.

Saya hadir ke sana semalam setelah beberapa kali dihubungi oleh pihak penerbit (Utusan Publication) , yang memaklumkan bahawa saya telah diundang ke majlis ini dan dengan jelas memaklumkan bahawa acara ini tidak akan dibayar. Jadi, saya pun hadir membawa panji-panji Utusan dan sangat bersedia bahawa apa yang saya perkatakan ini tidak akan dibayar. Ini sekadar promosi untuk buku-buku saya dan promosi kepada penulis juga. Saya faham dan setuju.

Sebaik-baik sahaja sampai, ada ramai penulis PTS yang berada di ruang itu, tidak kurang penulis lain dari Syarikat Al-Ameen, Rumah Penerbitan SuaraSuara, Azizi Ali, Irfan Khairi. Sehingga ke saat itu, saya tidak dapat bayangkan bagaimanakah acara itu akan berlangsung. Adakah kesemua penulis itu akan diberi peluang bercakap – sekadar 2 – 3 minit seorang? Ataukah kami akan terus bersembang sesama sendiri?

Setelah merisik-risik atur cara untuk hari itu, rupa-rupanya ada forum yang telah dikenal pasti penulisnya. Forum itu berjudul Kualiti lwn. kuantiti dalam penerbitan (bahasa Melayu). Malangnya, nama saya tidak tersenarai sebagai ahli panel forum.

Lantas saya datang itu untuk apa? Untuk termenung seperti penonton lain di bawah?


Saya tidak pernah diberitahu oleh penerbit bahawa saya akan hadir sekadar memeriahkan suasana. Jika saya tahu itu, pastinya saya akan hadir ke dua buah walimah terlebih dahulu kerana kedua-duanya orang sangat penting dalam dunia sastera. Oleh sebab undangan ke MPH ini, saya terpaksa membuat keputusan. Kedua-dua walimah itu tidak dapat saya penuhi.

Sekarang pihak penganjur ‘berani’ hendak beritahu saya bahawa saya datang bukan sebagai panel???

Memang perasaan saya sedang bergelora ketika itu. Satu soalan bodoh daripada pihak penganjur itu akan menyebabkan sebuah buku setebal tidak kurang 3 inci singgah ke atas kepalanya dengan satu hentakan yang boleh menyebabkan tiba-tiba dia jadi pandai ataupun terus pandir!

Saya bertegas dengan penganjur. Sebenarnya, saya datang ini untuk apa. Malah saya berperang sendirian kerana wakil bahagian promosi dari Utusan juga tidak ada. Saya juga sudah berpesan kepada wakil Utusan itu ketika menghubungi saya, bahawa novel saya Mencari Locus Standi mesti ada pada hari itu. Kalau tidak, sia-sia sahaja promosi ini. Dia berjanji akan memastikan perkara itu.

Saya nyatakan perkara yang sama kepada penganjur semalam. Lintang pukang mereka mencari novel itu. Habis sebuah kedai digeledah kerana dalam sistem mereka, buku itu ada. Setelah bertegas bahawa saya telah diundang untuk bercakap dan bukannya menjadi pendengar (ingat ya, saya datang dari Seremban dan menempuh segala kesesakan jalan raya, semata-mata untuk acara ini), mereka pun menerima bahawa saya yang akan jadi panel.

Sehingga saat itu juga, penganjur masih membayangkan dan menunggu seorang lagi penulis yang telah dimaklumkan akan menjadi panel. Sehingga saat itu juga, saya tahu penulis itu tidak akan hadir kerana gilirannya bukan pada 20 Ogos. Itu juga saya jelaskan kepada penganjur yang masih terkial-kial hendak memahaminya.

Ketika powerpoint dimainkan, nama saya diperkenalkan (nasib baik nama saya ada) sebagai “Anisah Haron dengan nama pena Nisah Haron” – amboi, prihatinnya mereka itu! Pandai-pandai menukar nama penulis sesedap rasa. Tidakkah mereka tahu penulis itu sangat sensitif dengan bagaimana namanya dieja.

Berbalik kepada cerita novel saya – akhirnya, dalam sebesar-besar MPH – termasuk di tempat simpan stok bukunya, Mencari Locus Standi cuma ada 2 BUAH. Satu fakta yang sangat menarik! Adakah pihak Utusan tidak menjalankan promosi ataupun janjinya kepada saya telah dilupakan semudahnya.

Sedangkan penulis lain yang akhirnya, tidak bercakap pada hari itu, setiap seorang ada sekitar 5 – 6 naskhah setiap judul dipamerkan di belakang meja forum (lihat gambar di atas). Buku saya ‘tenggelam’ kerana cuma ada 2 naskhah.

Andainya buku saya tiada di meja pada saat forum bermula. Selepas ini, amukan saya akan lebih dahsyat lagi.

Sesudah forum, bukanlah sesuatu yang memeranjatkan apabila 2 novel itu ‘SOLD OUT’. Wajar bukan?

Apakah pihak penganjur masih lagi tidak percaya bahawa buku sastera boleh dijual jika pandai mempromosinya ataupun pihak penerbit saya sendiri tidak percaya akan hal ini?

Namun, saya seperti selalunya akan membawa satu beg kecil yang mengandungi buku-buku saya, apabila saya diundang berceramah. Tetapi, saya cuba bawa Impian Tsu-Ryi dan Farris Putera Yang Hilang kerana bukan tanggungjawab saya membawa novel terbitan Utusan. Itu wajar menjadi tanggungjawab penerbit.

Saya bawa pun tak banyak setiap judul : tidak sampai 10 naskhah kerana – meminjam kata-kata SN Pak Samad (yang turut hadir semalam) :

“Saya hanya bawa 10 naskhah jika pergi ke setiap negeri kerana saya bayangkan setiap negeri itu hanya ada 10 orang yang pandai. Kelompok pembaca itu memang sedikit.”

Sudahnya forum itu berlangsung juga seperti dalam gambar di atas. Raja Ahmad Aminullah (Menyarung Jiwa) di tengah-tengah sebagai moderator. Panel yang seorang lagi ialah Najwa Aiman. Ya, dia lelaki. Dia percaya bahawa setelah menggunakan nama Najwa Aiman barulah bukunya terjual dengan larisnya, berbanding dia menggunakan nama ‘jantan’ sewaktu karya-karya yang terawal.

Saya tetap dengan pendirian bahawa penulisan itu mestilah ada kualiti. Bukti mudah Sasterawan Negara pun ‘jantan’ juga (meminjam kata ‘jantan’ dari Najwa Aiman) tetapi karya mereka dibawa hingga hari ini walaupun sesetengah pengarang itu sudah lama tiada. Faktor nama mungkin memainkan peranan tetapi bergantung kepada jenis karya. Fakta itu mungkin sahaja terpakai kepada genre novel popular kerana pembaca membeli bukan kerana isi tetapi nama indah pengarangnya, lukisan indah di hadapannya ataupun apa-apa sahaja bentuk luaran yang sangat memujuk.

Razali Endun bangkit bertanya, sama ada novel popular yang berlambakan pada hari ini menjadi kayu ukur kepada definisi novel Melayu. Jawapan saya: tugas itu terletak kepada pengkaji dan bukannya penulis. Namun, bagi saya sebuah karya sastera termasuklah novel sebagai satu genre perlu mempunyai nilai-nilai estetika dalam muatan karya itu. ‘Susastera’ itu sendiri bermakna keindahan dalam seni penulisan. Seni itu tentulah terletak pada estetikanya.

Estetika itu sendiri ada dua makna: Estetika bentuk dan estetika makna.

Dengan wujudnya estetika itulah karya itu menjadi berseni dan kekal sepanjang zaman. Mana-mana karya yang tidak berjaya menepati ciri-ciri estetika tadi tidak menjadi karya sastera ataupun novel sastera – sebaliknya, sekadar menjadi fiksyen popular ataupun novel popular. Jangka hayatnya bergantung kepada jumlah jualan dan kehendak semasa.

Seperti analogi yang kerap saya gunakan ialah bandingan antara karya popular dengan karya sastera ialah karya popular keindahannya dan keseronokannya seperti melihat bunga api dengan sebatang lilin pada malam yang gelap.

Bunga api jauh lebih menyeronokkan (secara relatif) berbanding sebatang lilin. Namun, lilin itu mempunyai jangka hayat yang lebih jauh berbanding bunga api setiap kali ia dibakar. Ringkasnya, ya, hari ini penulis itu mungkin sahaja jadi jutawan hari ini. Paling penting, selama mana jangka hayat karya itu sendiri.

Jadi, hanya pembaca yang pandai akan bijak memilih.

**Baca juga komen daripada pembaca bukan Melayu tentang majlis ini – Ted Mahsun – di lamannya.

Written by Nisah Haron

Ogos 21, 2006 at 8:46 am

Dikirim dalam Penulisan

Nisah Haron di MPH Mid-Valley

with one comment

Nisah Haron dijangka hadir dalam satu sesi bersama-sama penulis di :

MPH Mid-Valley, Kuala Lumpur
20 Ogos 2006
2.30 petang

Jumpa di sana!

Impian Tsu-Ryi, Mencari Locus Standi dan Farris Putera Yang Hilang akan saya bawa bersama-sama untuk dijual.

Harap maklum.

Written by Nisah Haron

Ogos 20, 2006 at 10:00 am

Dikirim dalam Penulisan

Antara Gabra, Gubra & Celupar

with 13 comments

Sharifah Amani mohon maaf

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 (FFM19), Sharifah Amani memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perbuatannya memperlekehkan bahasa Melayu semasa berucap selepas menerima anugerah itu, kelmarin.

Menurut beliau, ungkapan maaf itu ditujukan terutamanya kepada Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan penganjur FFM19 yang jelas tersinggung dengan sikapnya itu.

Menurutnya, dia sama sekali tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa atau bersikap kurang ajar.

Terlajak perahu boleh undur, terlajak kata buruk padahnya. Bukan semua perkara boleh selesai dengan maaf sahaja.

Itulah padahnya kalau tidak berfikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Saya masih ingat mata pelajaran sivik / tatarakyat yang diajar sewaktu saya masih di sekolah (rendah & menengah): fikir dulu sebelum berkata-kata. (Inikah kesannya apabila subjek itu tidak lagi diajar di sekolah?)

Benar, pepatah Inggeris ada mengatakan, apa yang tersasul di bibir, bukan salah fikiran. Ertinya, kita mungkin tersasul dalam mengatakan sesuatu yang bukan diniatkan demikian.

Ramai yang masih tidak boleh membezakan bila kita perlu berkata-kata dengan kapasiti peribadi, berkata-kata dengan kapasiti profesional ataupun berkata-kata dengan kapasiti tertentu yang diperlukan pada masa itu.

Masih ingat kepada Sarimah Ibrahim menggunakan kata-kata “kepala hotak kau” dalam satu majlis formal, apabila dijemput mengumumkan pemenang. Pasangannya (kalau tak silap, Jamal Jamaludin) juga terkejut dengan frasa yang digunakan. Sarimah juga boleh menyatakan bahawa dia tidak sengaja, tetapi setiap kata-kata yang lahir dari mulut itu merupakan sebahagian daripada cerminan diri setiap invidivu.

Cuba lihat anak-anak yang menggunakan kata-kata kesat di merata-rata tempat, selidiki sahsiah dan peribadi serta latar belakang mereka. Semua ini ada kaitannya dengan persekitaran dia dibesarkan.

Kembali kepada kata-kata gadis berusia 20 tahun ini :

‘Saya harap perkara ini selesai. Saya masih muda dan baru berumur 20 tahun.’

Sikapnya mengingatkan saya kepada Rob Fisher, Pengerusi Syarikat-syarikat subsidiari ExxonMobil Malaysia. Dalam hampir setiap majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil, ‘mat salleh’ ini memang menggandakan usaha untuk membaca teks ucapannya dalam Bahasa Melayu. Dengan pelat dan tidak terasa bodoh, dia tetap membacanya, siap berpantun-pantun lagi – kerana saya percaya, dia cuba untuk menghormati majlis.

Ya, barangkali dia mempunyai 15 minit untuk berucap dan bukannya 20 saat seperti gadis tadi. Namun, persoalannya ialah bagaimana dalam tempoh yang begitu singkat, kita tidak hilang kawalan terhadap diri.

Bukankah gadis ini kini Aktres Terbaik, setidak-tidaknya berlakonlah untuk menghormati majlis yang dibuat untuk meraikan pemenang seperti mereka.

Saya tidak langsung anti pada Bahasa Inggeris. Tetapi saya percaya bahawa ada bahasa yang sesuai mengikut majlis-majlis tertentu.

Written by Nisah Haron

Ogos 16, 2006 at 7:44 am

Dikirim dalam Uncategorized

Kuliah Sastera Bandingan MASTERA KE-10

leave a comment »

Tajuk: Yang Abadi dan Abdi dalam Sastera Nusantara

Penceramah: Prof. Madya Dr Shaharuddin Maaruf (National University of Singapore)

Tarikh: 18 Ogos 2006
Tempat: Auditorium Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM
(Jab. Pengajian Media Uni. Malaya)

Atur cara
8.30-10.30: Kuliah 1
10.30-11.00: Rehat dan kudapan
11.00-12.00: Kuliah 2
12.00-3.00: Rehat dan makan dan solat jumaat
3.00-4.00: Kuliah 3
Makan minum disediakan.
Penyertaan percuma.
Sila datang dengan kawan-kawan dan pelajar saudara semua.
Untuk maklumat lanjut sila hubungi mohamad saleeh rahamad: 019-351 4940

Written by Nisah Haron

Ogos 15, 2006 at 6:19 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Kebangkitan Anak-anak Sasterawan Negara

with 3 comments

Helmy Samad, menjadi penulis pada usia 40-an. Lahir dengan karya yang agak kuat. Tetapi hanya yang membaca Dewan Sastera barangkali pernah terserempak dengan karyanya. Kini dia semakin kukuh menunjangi Wira Bukit Sdn. Bhd – syarikat yang ditubuhkan bagi memelihara karya-karya bapanya SN A. Samad Said.

Haslina Usman, mungkin tidak pernah kita dengar namanya dalam dunia sastera. Namun, kini dialah tunjang di sebalik kemunculan semula karya-karya bapanya, SN Usman Awang. Produk pertamanya, Tulang2 Berserakan yang telah berjaya diterbitkan oleh UA Enterprises Sdn Bhd.

Asrul Sani Shahnon juga bukan siapa-siapa dalam dunia sastera, tetapi kini dia gigih memasarkan buku-buku bapanya. Dia memulakannya dengan Perjalananku Sejauh Ini – Sebuah Autobiografi Shahnon Ahmad.

Ahmad Patria Abdullah menjadi penulis mengikuti jejak bapanya, SN Abdullah Hussain. Teguh dalam pendirian penulisannya.

Apakah kelebihan mereka ini? Merekalah sebahagian anak-anak Sasterawan Negara yang percaya dengan karya bapa mereka sendiri. Apatah lagi apabila pihak lain (baca : Penerbit Utama karya-karya mereka) putus harapan dengan karya penulis-penulis besar. Ketika penerbit-penerbit besar itu berkata, “Buku-buku Sasterawan Negara tak laku,” anak-anak mereka bangkit dan percaya bahawa buku-buku ini tetap ada pasarannya.

Mereka juga bangkit membuktikan bahawa, sang Penerbit Utama itu tidak buat kerja-kerja promosi dan pemasaran. Orang yang bekerja dalam syarikat Penerbit Utama itu sendiri tidak percaya bahawa karya-karya SN boleh laku dengan baik jika dipakej dengan betul.

Kini mereka bangkit!

Ujana Ilmu akan teguh berdiri di belakang mereka.

Written by Nisah Haron

Ogos 14, 2006 at 7:01 pm

Dikirim dalam Penulisan