Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Ogos 2004

Benarkah kita sudah merdeka?

with one comment

Selamat Hari Ulangtahun 31 Ogos 1957.

Saya ingin sekali mengucapkan Salam Hari Kemerdekaan. Tetapi saya tidak suka bercakap sesuatu yang tidak saya maksudkan. Persoalannya, apakah kita benar-benar sudah merdeka? Mungkin secara fizikalnya penjajahan selama 446 tahun itu diisytiharkan tamat pada tarikh 31 Ogos 1957. Namun hakikatnya, kita masih lagi terjajah dalam pelbagai cara.

Benarkah kita sudah merdeka?

Saya percaya kita (termasuk saya dan anda) belum pun tahu erti kemerdekaan sebenar. Sambutan merdeka malam tadi dan malam tahun-tahun sebelumnya sama sahaja. Ya, memang meriah. Saban tahun bulan Ogos dijadikan bulan kemerdekaan. Masa inilah bendera-bendera akan dikibarkan di mana-mana. Hampir setiap kereta akan memasang bendera. Hatta ada yang meletakkan bendera di punggung motorsikal (berdekatan juga dengan punggung penunggangnya). Saya lihat sendiri di lebuh raya sewaktu pulang dari Kuala Lumpur semalam.

Malam tadi saya menonton juga sambutan kemerdekaan yang bersifat “copy & paste” saban tahun. Countdown merdeka. Nyanyian lagu-lagu patriotik berulang-ulang kali. Konsert Merdeka. Itu sahajalah yang kita ada tentang merdeka.

Kenapa tidak malam-malam begini ada pihak yang mengadakan rancangan membaca Yaasin sempena kemerdekaan. Muhasabah diri dan peringatan pada apa yang telah berlaku 47 tahun yang lalu. Usah hendak disalahkan sesiapa sahaja kalau tidak berjaya menghayati erti kemerdekaan itu. Saya kira penghayatan itu agak jauh sebenarnya. Kalau ada yang tidak ingat tahun ini ulangtahun kemerdekaan kali yang ke berapa pun, tidak boleh disalahkan dirinya 100%.

Sambutan kemerdekaan itu hanya setahun sekali. Untuk menghayati kemerdekaan, penghayatan itu harus tumbuh subur dalam diri. Kalau kita boleh menghayati lagu dengan menghafal lagu dan sentiasa menyanyikannya bila-bila masa kita suka, begitu juga tentang kemerdekaan. Sambutan kemerdekaan itu harus dijalankan pada setiap masa. Apatah lagi generasi baru yang tidak akan dapat merasai erti kemerdekaan, kerana mereka langsung tidak melaluinya.

Apakah patriotisme itu hanya boleh dihayati dengan lagu-lagu?

Merdekakah kita, apabila kita semakin banyak meniru hasil cipta Barat daripada menghasilkan sesuatu milik sendiri. Dari satu sudut, kita terlalu banyak meniru reality games. Orang Melayu yang paling banyak terdorong ke arah ini. Terlalu banyak air mata yang ditumpahkan untuk melayan emosi. Terlalu banyak wang juga dihabiskan dengan menghantar SMS yang mengkayakan satu pihak. Orang Melayu juga yang rugi. Sehingga hari ini, saya masih gagal mencari faedah daripada mana-mana rancangan realiti seperti Akademi Fantasia, Malaysian Idol, Who Will Win dan sebagainya.

Bukankah ini juga satu bentuk penjajahan baru?

Kita pernah ditipu sebelum merdeka. Kita masih lagi tertipu selepas hampir 1/2 abad merdeka. Jadi, bila lagi kita mahu merdekakan minda sendiri?

Ayuh! Bangunlah. Usahlah selesa dengan sejarah masa lampau. Ya, Islam pernah gemilang pada suatu masa. Kemudian hancur dan bertempiaran ke seluruh sudut dunia. Kegemilangan sejarah silam itulah yang sering dibangga-banggakan oleh orang Islam sehingga terlupa untuk mencipta sejarah hari ini.

Bagaimanakah kita mesti katakan kita sudah merdeka, kalau Bahasa Melayu turut terjajah sehingga hari ini. Ya, kita masih berbangga dengan Hamzah Fansuri dan Ar-Raniri tetapi bila pula kita mahu mencipta sejarah dalam Bahasa Melayu hari ini.

Tiada yang besar untuk dibanggakan dalam tempoh kemerdekaan 47 tahun ini. Ya, dalam tempoh sebulan ini, semua orang akan katakan yang dia berbangga menjadi anak Malaysia. Hakikatnya, kebanggaan itu hanya kerana Malaysia sudah maju dalam erti kata yang fizikal. Bangunannya besar dan mencapai langit. Kenderaannya semakin pantas. Bandar semakin macet. Namun fikiran penghuninya, masih lagi seperti di zaman sebelum merdeka.

Kita sebenarnya masih belum merdeka!

Written by Nisah Haron

Ogos 31, 2004 at 11:19 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Mencari ruang menulis

with one comment

Saya agak sensitif bila didatangi ilham untuk menulis. Jiwa mudah rasa tersentuh. Bilik kerja saya tidak boleh ada orang, hatta orang itu datang untuk beri salam saja. Alamat kerja saya akan terhenti. Janganlah ada cita-cita untuk menonton proses kreatif saya. Memang saya tidak boleh menulis bila diperhatikan. Kalau saya masuk ke bilik kerja dan ada orang lain di situ, saya tidak akan berbuat apa-apa. Malah saya sendiri akan keluar dari situ.

Hendak ke perpustakaan negeri, adakalanya lebih riuh dari pasar. Bukan pengguna yang bising, tetapi kakitangan perpustakaan sendiri. Akhirnya, saya give up menulis di perpustakaan. Menulis di rumah sudah semakin mencabar. Anak-anak yang semakin besar semakin menuntut perhatian.

Hari ini rasa macam satu hari membazir kerana proses penulisan yang terganggu.

Kecewa… lalu saya tidur. Moga malam ini bertambah segar dalam mencari ruang untuk menulis!

Written by Nisah Haron

Ogos 27, 2004 at 7:02 pm

Dikirim dalam Penulisan

Al-Fatihah untuk mereka yang mendahului kita

leave a comment »

Noor Jaya
(Sasterawan)
5 Ogos 2004
T. Alias Taib
(Sasterawan)
17 Ogos 2004
Fathiah Khairuddin
(Teman sekolah, di SMKA Sheikh Hj Mohd Said)
13 Ogos 2004
Zakaria Peral
(bapa kepada Nor Raba’ah Zakaria)
23 Ogos 2004
* Nor Raba’ah ialah teman sekelas sewaktu di SMKA Sheikh Hj Mohd Said
Al-fatihah.

Written by Nisah Haron

Ogos 25, 2004 at 8:38 pm

Dikirim dalam Uncategorized

with 2 comments

9 Ogos 2004

Entri sebelum ini ialah yang terakhir tentang Palembang. Tetapi itu tidak bermakna ia yang terakhir tentang lawatan saya ke Indonesia. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya dan Asmiaty tidak pulang ke Kuala Lumpur seperti mana yang dijadualkan pada 8 Ogos 2004.

Pertama, kerana Asmiaty telah meminta Pak Maman S. Mahayana supaya mendapatkan untuknya beberapa buku sastera Indonesia. Apabila idea itu diutarakan kepada saya, saya pun cepat-cepat bersetuju. Alasan yang kedua, kerana saya tidak ada kes mahkamah, janji temu ataupun apa-apa hal pada hari Isnin itu di Seremban. Ketiga, kebetulan saya ada seorang kenalan di Jakarta Selatan yang ingin saya singgah di rumahnya.

Atas alasan-alasan itu, kami memaklumkan permintaan kami untuk menukar tiket dan waktu pulang pada En. Zulkeply (DBP) selaku urus setia. Sebelum bergerak, saya telah menghubungi teman saya yang bernama Iqbal Manaf itu. Bapanya yang menjawab panggilan dan amat berbesar hati menerima kedatangan kami. Kebetulan, bapanya orang Padang dan barangkali Iqbal yang pernah datang ke rumah saya dan berkenalan dengan bapa saya (yang berketurunan Minang) kedengaran amat excited bila saya katakan saya hendak ke rumahnya.

Pemandu Pusat Bahasa menghantar kami ke tempat tersebut. Kami disambut oleh ibu Dewi Rukmini (isteri Iqbal) dan anak-anaknya. Sejenak berehat dan berbual-bual dengan bapak Manaf (bapa Iqbal). Beliau fasih berbahasa Inggeris, Belanda, Minangkabau, Arab dan Bahasa Indonesia tentunya. Pernah bertugas di Pusat Bahasa sebelum bersara. Banyak buku yang dikeluarkan daripada almari simpanannya. Apatah lagi Asmiaty pensyarah Sastera di UMS, seronok kami melihat beliau dengan buku-buku yang dikongsi bersama-sama kami. Hatta, kami dapat melihat Kamus Bahasa Melayu tulisan asal R.O. Windstead. Kebanyakan buku itu sudah tidak dicetak lagi. Kami pun mengambil kesempatan memfotokopi beberapa judul.

Usai solat Maghrib, ibu Dewi dan anak gadisnya, Azzahratul Azizah membawa kami ke Pondok Indah Mal – sebuah kompleks membeli belah. Rumah mereka memang tidak jauh daripada kawasan Pondok Indah. Pondok Indah merupakan kawasan elit – penyanyi dangdut Inul juga tinggal di sini. Masyarakatnya berbeza dengan masyarakat yang tinggal di kawasan Senen – tempat hotel kami dulu. Dapat lihat semacam high society di sini.

Di Pondok Indah Mal, tentu sahaja yang dicari ialah kedai buku. Gramedia – rangkaian buku yang terbesar di Indonesia menyediakan banyak pilihan kepada kami. Sedar tak sedar, kami beli dua beg buku setiap seorang. Hinggakan kata anak gadis Ibu Dewi, “Orang Malaysia ni kok beli buku sampai mau diborongnya sebuah toko, ya bu?”

Kami ketawa bila Ibu Dewi menyampaikannya pada kami. Tetapi memang iya, buku-buku di sini jauh lebih murah daripada di Malaysia. Baik buku-buku baru, mahupun buku-buku klasik. Lagipun buku-buku Indonesia tidak boleh didapati di Malaysia semudahnya.

Sebelum pulang ke rumah, kami dibawa singgah ke warung menjual Sate Padang. Itu pesan bapak Manaf sebelum kami keluar. Memang benar, sate ini berbeza dari Sate Kajang. Kalau Sate Kajang dicecah dengan sambal kacang, Sate Padang dicelup di dalam kuah kari tetapi pekat kerana bercampur tepung sagu. Sate Padang hanya sate daging dan organ-organnya. Tidak ada sate ayam. Saya memilih sate daging kerana tekak masih belum selesa dengan sate lidah, perut dan sebagainya. Yang lain-lain tu, rasanya saya masih lagi belum cukup adventurous untuk mencuba!

Esoknya kami dibawa ke Pusat Bahasa. Kami rasa bertuah kerana teman-teman kami semuanya tidak berkesempatan ke sini. Bertemu kembali dengan teman-teman dari Pusat Bahasa yang juga ke Palembang tempoh hari. Seperti yang dijanjikan, kami berjumpa dengan Pak Maman S. Mahayana. Beliau dengan bermurah hati membawa kami ke pejabat penerbitan Horison. Horison ialah majalah sastera Indonesia yang setaraf dengan Dewan Sastera. Sisipan Lembaran MASTERA dimasukkan di dalam Horison seperti mana juga Dewan Sastera. Kami dihadiahkan beberapa naskhah back issue dan kami beli beberapa naskhah majalah yang terkini.

Di sini, kami berpisah dengan Ibu Dewi kerana selepas ini, pemandu Pusat Bahasa akan membawa kami ke mana-mana sehinggalah ke lapangan terbang.

Destinasi seterusnya, kami ke Taman Ismail Marzuki. Tempat ini juga dikenali sebagai Dewan Kesenian Jakarta. Di sini tempat berhimpunnya para seniman dari segenap bidang seperti seni teater, puisi, seni lukis, arca dan banyak lagi. Kami juga dibawa ke Pusat Dokumentasi Sastera HB Yassin yang terletak di sebelahnya. Alangkah lengkapnya dokumentasi mereka. Bagi sesiapa yang mahu mengkaji tentang sastera Indonesia dari yang paling klasik hingga yang terkini, di sinilah tempatnya. Saya tidak tahu sama ada tempat ini setaraf atau tidak dengan Pusat Dokumentasi Melayu di DBP kerana saya sendiri belum pernah ke sana. (Percubaan beberapa kali – tempat itu tutup dan masih belum beroperasi). Malaysia juga perlukan tempat sebegini. Jika tidak generasi depan akan kehilangan khazanah kesusasteraan Melayu yang tidak ternilai ini.

Selepas itu kami dibawa ke Balai Pustaka. Di sini kami memborong buku lagi. Balai Pustaka ialah tempat penerbitan buku-buku sastera klasik Indonesia seperti Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Layar Terkembang, Salah Asuhan, Atheis dan banyak lagi yang tersebut di sini. Sekali lagi dua beg kami borong setiap seorang.

Makan tengah hari. Sekali lagi di Restoran Nasi Padang. Di sini kami berpisah dengan Pak Maman yang mahu pulang ke Depok. Beliau bertugas di Universitas Indonesia. Sebelum dihantar pulang ke lapangan terbang, kami sempat ke Pasar Senen mencari sedikit ole-ole untuk dibawa pulang. Kali ini saya hanya membeli baju batik untuk Abah, Adik dan kain pelekat serta kain batik. Sebenarnya, untuk diri sendiri, saya tidak beli satu apa pun, kecuali buku-buku sahaja.

Sampai di bandara (lapangan terbang), kami sangat terharu dengan jasa baik pihak Pusat Bahasa yang melayan kami sebagai tetamu di bumi Jakarta. Kapal terbang kami terlewat 10 minit daripada jadual tetapi itu tidak jauh bezanya. Sebelum berlepas pada jam 6.30 petang WIB, sempat saya telefon Bapak Manaf dan memaklumkan kepada beliau yang kami akan terbang pulang. Terima kasih setinggi-tingginya buat beliau sekeluarga.

Ketika di KLIA, kami tiba pada jam 9.40 malam waktu tempatan. Asmiaty terpaksa menguruskan tiketnya ke Kota Kinabalu yang berlepas kira-kira jam 11.00 malam nanti. Kami berpisah di situ. Tiba-tiba kami rasa sangat akrab. Ada kemesraan yang sempat didakap.

Sehingga hari ini, kami sering berhubung melalui sms dan bertanyakan, “bila lagi kita hendak ke Jakarta?”

Sekian coretan perjalanan saya selama hampir 10 hari di tanah seberang. Semoga ada sesuatu yang bermanfaat dapat dikongsi bersama. Insya Allah, selepas ini saya akan kembali kepada catatan yang lain pula.

Kepada yang sering menyokong tulisan ini, terima kasih seluas lautan…

Written by Nisah Haron

Ogos 24, 2004 at 2:58 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Selamat Tinggal Bumi Sriwijaya

leave a comment »

Rasanya, dah banyak sangat entri tentang Palembang. Dan tak lama juga saya tak update weblog ini. Maaflah, tetapi saya ke Ipoh untuk beberapa hari kerana wakil PEN (Persatuan Penulis Negeri Sembilan) ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Kebangsaan. Bukanlah saya yang jadi deklamator. Hanya jadi wakil badan kerabat GAPENA, iaitu PEN.

Intan Marhayu juara tahun ini. Wakil Negeri Selangor. Tahniah! Beliau memang seasoned participant.

Rasanya ini entri terakhir tentang Palembang yang boleh saya muatkan di sini. Harap tidak jemu membacanya.

3 – 4 Ogos 2004

Sepanjang dua hari penuh kami berbincang dan berbengkel tentang penulisan esei yang baik. Kumpulan saya terdiri daripada Prof. Madya Hj. Awang Hashim (Brunei), Maman S. Mahayana (Indonesia) dan Dato’ Baha Zain (Malaysia) selaku pembimbing.

Peserta : Saya dan Mohamad Shahidan (Malaysia), Hasta Indriana dan Saidul Tombang (Indonesia), dan Dayang Norhayati (Brunei).

Berbeza sekali pendekatan menulis esei daripada ketiga-tiga negara. Malaysia memperlihatkan esei dalam bentuk akademik lagi ilmiah. Indonesia cenderung ke arah penulisan esei di akhbar- akhbar ataupun koran, kata orang sana. Brunei pula masih berada di antara kedua-duanya.

Dalam masa dua hari itu juga, esei kami dibedah, dikritik dan diperkatakan. Kami juga harus memperbaikinya dan menghantar esei yang telah bersih kepada Urus Setia Mastera. Siap tak siap, kami siapkan juga kerana esoknya, kami akan dibawa berjalan-jalan ke kota Palembang. Kalau tak siap, tak boleh jalan-jalan. 🙂

5 Ogos 2004

Seperti mana yang dijanjikan oleh pihak Urus Setia Mastera, kami dibawa berwisata di sekitar Palembang. Baru kami dari Malaysia, kami teringin sekali hendak ke Bukit Siguntang Mahameru seperti mana yang digambarkan oleh Tun Sri Lanang di dalam Sejarah Melayu. Adakah sawah padi di kawasan itu? Barangkali mungkin tidaklah berbuah emas dan berdaun perak. Tapi kami menggambarkan sesuatu yang hebat di sana.

Perjalanan keluar dari Sekayu ke Palembang memakan masa 2 jam lebih. Kami berhenti di Pangkalanbalai untuk sesiapa yang mahu ke bilik selesa ataupun melurus-luruskan kaki. Kami diiringi outrider, ambulans dan kenderan-kenderaan pengiring. Memang macam menteri rasanya. Bagus juga, kalau tidak, kami tersangkut dalam kesesakan jalan raya di kota Palembang.

Sebelum ke mana-mana, kami dibawa ke pejabat kebudayaan dan pelancongan Sumatera Selatan (Dinas Kebudayaan dan Pariwisata). Kami diberi taklimat ringkas tentang sejarah Palembang dan Sumatera Selatan. Satu yang sempat saya petik ialah asal usul nama Palembang. Dahulu, kawasan ini kaya dengan emas. Orang yang mendulang emas di sungai akan menggunakan dulang yang dipanggil limbang orang orang sini. Tempat mendulangnya dipanggil pelimbang. Jadi dalam perbualan, kalau ditanya hendak ke mana, jawabnya hendak ke pelimbang. Bila datang Belanda, sebutannya beralih sedikit menjadi Palembang.

Destinasi pertama ialah kedai Pengrajin Songket. Palembang terkenal dengan songket palembangnya. Bunganya berbeza tentunya, dari songket Kelantan ataupun Terengganu. Saya tidak membelinya, kerana tidak ada keperluan untuk memiliki kain songket. Kalau ada anak nak kahwin pun, anak masih kecil lagi. Jadi saya hanya beli sehelai baju batik untuk suami. Coraknya cantik dan bersifat agak ekslusif, sesuai untuk majlis rasmi. Harganya juga lebih murah berbanding di Malaysia.

Seterusnya, kami dibawa ke Rumah Limas. Palembang terkenal dengan rumah limas seperti mana di Padang, Sumatera Barat – terkenal dengan Rumah Gadang (rumah beratap lentik Minangkabau). Tetapi rumah limas berbeza. Rumah yang kami lawati ini milik peribadi seorang yang amat kaya di Palembang. Dia telah meninggal dunia. Dia tidak mahu pihak kerajaan mengambil alih penjagaan rumah tersebut. Jadi dia telah lantik orang-orangnya yang telah diamanahkan. Rumahnya cantik dan terjaga. Luas sekali. Tengah rumah dan anjung rumah bertingkat-tingkat. Tengah rumah lebih tinggi dari anjung rumah. Tingkat-tingkat ini menunjukkan status di dalam masyarakat. Mereka yang berstatus tinggi akan diletakkan di tempat yang lebih tinggi dan seterusnya.

Rumah ini besar. Panjangnya dari depan rumah ke belakang lebih kurang 120 meter.

Lewat rumah limas, kami dibawa makan tengah hari di Restoran Sri Melayu. Hidangannya enak sekali. Mengingatkan saya pada Restoran Nelayan Tasik Titiwangsa. Ada sedikit sebanyak persamaan.

Lepas makan, kami diajak memanjat Bukit Siguntang Mahameru. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Apa yang boleh saya katakan tentang tempat ini? Tidak ada orang berhuma di sini. Hanyalah bukit rendah seperti sebuah taman rekreasi. Ada makam satu dua di sana-sini. Kata pegawai pelancongannya, ada keraguan tentang authenticity makam-makan tersebut. Sama ada ia ada kaitan dengan Sejarah Melayu atau tidak.

Penting sekali, di sinilah salah satu mercu tanda Kerajaan Sriwijaya satu masa dahulu. Di puncak bukit ini, sepatutnya pengunjung boleh melihat pemandangan seluruh kota Palembang. Malangnya, kawasan ini tidak berapa terjaga kerana pokok-pokok besar melindungi pemandangan kami.

Sedikit sebanyak saya kecewa. Tidak ada apa yang boleh saya ceritakan pada teman-teman sekembalinya ke Malaysia. Atau mungkin kita sudah terlalu dikhayalkan dengan kisah-kisah Wan Empuk Wan Malini dan keturunan Raja-raja Melayu yang kononnya berasal dari sini.

Seterusnya, kami dibawa ke Muzium. Tapi tak banyak iktibar yang dapat saya petik di sini. Barangkali, ia lebih sebuah muzium batu bersurat (prasasti).

Petangnya, kami dibawa membeli belah di Ramayana. Pusat jualan barangan berharga murah. Saya ni tak mudah tergoda dengan pakaian atau tudung-tudung. Lagipun, fesyen mereka bukan selera saya. Jadi saya tak banyak membeli. Hanya untuk anak-anak sepasang seorang busana muslim.

Selepas menunggu teman-teman, kami terus dibawa makan malam di Balai Bahasa Palembang. Usai solat dan makan, kami dibawa melalui Jambatan Ampera – mercu tanda Palembang. Sepatutnya, ia indah dihiasi lampu-lampu tetapi entah mengapa, malam itu lampunya tidak menyala. Jadi kami pun lalu di Ampera yang gelap katup. Di bawahnya, Sg. Musi tetap mengalir tenang. Tepi sungai tetap dihiasi lampu-lampu dari penempatan dan bot-bot kecil. Itu saja yang boleh diceritakan. Kami sepatutnya berhenti untuk mengambil gambar. Tetapi apa yang boleh diambil dalam suasana gelap begitu.

6 Ogos 2004

Sebelah pagi, mereka yang masih belum menyiapkan esei hendaklah mencetaknya. Saya dah siap awal jadi tak perlu mengadap laptop di situ. Lebih banyak berbual-bual dan bertukar-tukar fikiran dengan teman-teman peserta.

Sebelum ini, saya telah dibisikkan oleh Urus Setia Mastera Indonesia supaya memberi ucapan mewakili peserta Malaysia. Saya tak tahu kenapa saya dipilih tetapi selepas berbincang dengan kumpulan Malaysia, mereka menerima tidak berhalangan mengizinkan saya.

Malam itu, malam terakhir kami di Sekayu. Majlis Penutup Bengkel Mastera diadakan di rumah Bupati. Seperti yang dijanjikan, saya diminta memberikan ucapan selepas laporan daripada Urus Setia Mastera dari Pusat Bahasa Jakarta. Barangkali, jarang ada peserta wanita yang mewakili kumpulan perutusan dari sesebuah negara. Ketika saya dijemput, juruacara mengumumkan, “Kini dijemput wakil perutusan dari negara Malaysia, bapak Nisah Haron.” Kemudian, ada suara-suara yang membetulkan. Barulah MC mohon maaf dan menjemput saya. Itu perkara kecil.

Sebenarnya, saya risau bila dipilih. Takut ada hajat orang yang tak sampai. Senarai ucapan terima kasih sahaja sudah sehalaman panjang. Memang perlu diucapkan kerana banyak pihak yang memberi kerjasama yang bukan sedikit sepanjang kami di sini. Sempat juga saya sampaikan novel-novel Hadiah Sastera Utusan Exxon Mobil 2003 (pemenang tahun ini) kepada Mastera Brunei dan Mastera Indonesia.

Paling menarik, persembahan taridra daripada kumpulan kesenian tempatan yang mementaskan “Tragedi Sungai Keruh”. Teknik permainan lampu dan aspek-aspek teaterikalnya amat menarik perhatian.

7 Ogos 2004

Selesai Mastera 2004. Kami berangkat meninggalkan tanah Sriwijaya. Ketika pesawat Garuda berlepas meninggalkan Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II, air mata saya menitis tanpa disedari. Banyak kenangan manis yang terungkap di daerah ini. Seperti di dalam ucapan saya ketika majlis penutup malam sebelumnya, “Sastera itu unversal kerana ia merentasi zaman dan sempadan.”

Sampai di Jakarta semula, 40 minit kemudian. Bermalam di Aston Atrium Hotel, Jakarta. Mengambil semula buku-buku yang telah kami pesan di Toko Gunung Agung seminggu yang lalu.

8 Ogos 2004

Meneruskan usaha membeli buku di Komunitas Utan Kayu (tetapi tutup kerana hari Ahad cuti). Langsung mengikut Dato’ Baha, Asmiaty dan Mohamad Shahidan ke Sarinah. Ada yang beli buku, ada yang beli batik. Ketika itulah saya jumpa sebuah kafe siber dan membuat entri di weblog ini pada masa itu.

Petangnya, teman-teman dari Malaysia semuanya pulang pada jam 6.30 petang. Tetapi saya dan Asmiaty tertinggal di Jakarta.

Ingin tahu kenapa? Tunggu entri yang seterusnya selepas ini…

Written by Nisah Haron

Ogos 22, 2004 at 10:25 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Seminar Pengajaran Sastera di Sekayu

leave a comment »

2 Ogos 2004

Sambungan catatan saya…

Acara secara rasmi bermula pada hari ini. Seminar Pengajaran Sastera dimulakan dengan pembentangan kertas kerja oleh wakil-wakil perutusan dari setiap negara. Malaysia diwakili oleh Dato’ Baha Zain, Brunei (Prof. Madya Dr. Hj Awang Hashim) dan Indonesia oleh Prof. Dr. Budi Dharma. Masing-masing memperkatakan tentang pengalaman pengajaran sastera di negara masing-masing.

Majlis itu diadakan di sebuah dewan yang tidak berapa jauh dari Hotel Ranggonang. Tapi kami begitu dimanjakan. Disediakan juga bas untuk kami ke sana, walaupun kalau berjalan belum tentu berpeluh. Majlis ini turut dihadiri oleh guru, pelajar dan peminat sastera setempat.

Pada sebelah paginya seminar ini dimulakan sementara menunggu majlis perasmian pada jam 11.00 pagi WIB. MASTERA dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan dan Pariwisata Indonesia dengan sekian ramai VIP dari pelbagai jabatan. Yang menarik perhatian saya, ialah tarian selamat datang yang dipersembahkan oleh sekumpulan penari. Tarian yang lemah gemalai itu dimulakan dengan membawa tepak sirih sebagai tanda sambutan kepada tetamu. Setelah dipersembahkan, tetamu akan menyentuh tepak itu sebagai syarat menerima dan kemudian, penari tersebut mengambilnya semula dan terus keluar. Indah sekali tariannya.

Sambil itu, saya juga leka berbual dengan seorang kenalan. Leonard, kalau tak silap, namanya. Dia dari sebuah maktab perguruan di sekitar Palembang. Kami bercakap soal Bahasa Inggeris dalam matapelajaran Sains dan Matematik yang sedang dipraktikkan di Malaysia. Ahli-ahli bahasa masih lagi cuba menentang hal ini tetapi kata saya, bagaimana mahu menahan curahan air terjun dengan tapak tangan sahaja.

Hal yang sama rupanya sedang berlaku di Indonesia kerana pemerintah di sana mahu mencontohi Malaysia di dalam hal ini. Namun adakah hal ini akan menyelesaikan masalah bahasa dalam pendidikan dan ilmu? Hanya masa yang dapat menentukan. Apa yang dapat saya lihat, Malaysia seolah-olah menunggu Indonesia dalam hal-hal kebahasaan ini, supaya dapat mengambil tindakan. Seperti mana yang kita maklum, sejarah sastera Indonesia lebih matang daripada Malaysia sendiri. Dalam banyak hal juga, kita masih lagi meletakkan Indonesia di tempat yang lebih atas daripada kita. Tetapi apabila Indonesia sendiri cuba mencontohi kita, saya kira hal ini tidak akan ada titik penyelesaiannya kerana masing-masing saling mengharap agar pihak yang satu lagi terlebih dahulu bertindak.

Akhirnya Bahasa Melayu juga yang rugi…

Sebelah petangnya, saya ingin bersendirian. Banyak perkara yang bermain di fikiran. Lalu saya melepaskan lelah fikir di tebing Sg. Musi di belakang Hotel Ranggonang. Dengan berjalan kaki saja, saya menyusur tebing sungai dengan kamera digital di dalam saku. Niat di hati untuk mengambil gambar-gambar pemandangan yang indah di sepanjang sungai ini.

Saya belum pernah ke Sarawak. Jadi sukar untuk saya katakan sama ada sungai ini lebih luas daripada Sg. Sarawak. Tapi saya lihat ia lebih luas dari Sg. Pahang. Barangkali ia lebih luas daripada Sg. Sawarak sendiri kerana ia ternyata lebih panjang. Saya berada di bahagian tengah kerana muaranya terletak di Palembang sendiri. Masih ada sampan kotak (kolek?) yang membawa muatan dari kampung seberang untuk didagangkan di pekan Sekayu. Ada wanita-wanita yang mencuci pakaian, anak-anak yang mandi di tepian. Ada yang sedang menjaring rezeki untuk petang ini untuk makan malam.

Sekali pandang, kehidupan mereka mudah. Hidup hanyalah untuk masa ini. Esok lusa, Tuhanlah penentu rezeki. Tetapi mereka tetap meneruskan kehidupan. Sg. Musi menjadi nadinya.

Petang itu juga, apabila ditanyakan pada salah seorang pegawai di pejabat pemerintah Kabupaten ini, bolehkah kita ke kota Palembang kalau menghilir Sg. Musi. Dengan spontan dia menjawab, “Boleh. Tiga hari nanti sampai!” Saya dan teman-teman tertawa mendengarnya.

Written by Nisah Haron

Ogos 16, 2004 at 1:26 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Musi Banyuasin

leave a comment »

Sambungan catatan perjalanan di Palembang…

1 Ogos 2004

Flight ke Palembang dengan pesawat Garuda kira-kira jam 10.20 pagi (WIB). Berlaku sedikit kekeliruan pada tiket teman kami, Asmiaty Amat. Namanya tidak disenaraikan atas sebab-sebab teknikal. Menangis depan kaunter tu, baru dapat dia terbang. Malas saya nak panjangkan tentang hal ini. Sekali lagi kerenah birokrasi pihak di sana.

Mendarat di Bandara Sultan Mahmud Badaruddin II, Palembang. Disambut oleh panitia MASTERA dari Balai Bahasa Palembang. Balai Bahasa ini kedudukannya seperti DBP Wilayah di Malaysia. Pusat Bahasa sebagai badan induk dan Balai Bahasa diletakkan disetiap daerah. Bagi Sumatera Selatan, Balai Bahasanya di Palembang.

Sampai di sini baru kami tahu yang kami sebenarnya belum sampai sepenuhnya ke tempat tujuan. Kami akan menaiki bas ke sebuah pekan bernama Sekayu yang terletak di Kabupaten (daerah) Musi Banyuasin, kira-kira 2 jam lebih perjalanan. Terkejut juga. Ingatkan dekat saja di sekitar Palembang.

Kami menaiki bas dan bagasi kami diuruskan oleh pihak panitia. Basnya cantik, ada air-cond dan selesa. Saya memilih tempat duduk paling hadapan. Cuma belakang pemandu. (Kalau depan sekali, nanti saya pula jadi pemandunya). Saya mahu dapatkan pemandangan yang luas. Maklumlah pertama kali sampai di tempat orang, semuanya hendak dilihat.

Ternyata perjalanan ke Sekayu memang jauh. Lalu pula kawasan perkampungan dengan jalan yang sederhana baik. Tetapi yang paling terkesan ialah kami menyusur tebing Sg Musi yang menjadi nadi kehidupan penduduk sekitar kawasan ini. Sg. Musi sememangnya sungai utama di Palembang. Hatta, bandar Palembang sendiri dipisahkan oleh Sg. Musi dan dihubungi oleh Jambatan Ampera yang terkenal di bandar ini. Adakalanya perjalanan agak mendebarkan apabila jalan yang dilalui agak sempit dan benar-benar tekis dan kalau silap gaya boleh masuk sungai.

Sudahnya, saya tidak tidur kerana terlalu excited. (Sekali-sekala risau juga…). Rumah-rumah di kawasan sepanjang perjalanan ini terdiri daripada rumah panggung, iaitu rumah yang bertiang tinggi. Di sesetengah tempat, terutama yang berdekatan dengan sungai, hal ini dapat dimengertikan. Jika air naik, rumah mereka masih selamat. Tetapi bagi tempat yang agak jauh dari sungai, rumah mereka masih lagi dua tingkat dan di bahagian bawahnya ada kedai runcit. Rata-rata penduduk di sini berdagang. Hampir setiap rumah ada kedai sendiri.

Jika tidak lalu di kawasan kampung, kami lalu ladang getah (karet, kata orang Indonesia), kelapa sawit dan sawah padi. Melalui sawah padi, pemandangannya indah sekali. Waktu ini padi dalam proses hendak menguning. Saujana mata memandang…

Sepanjang perjalanan itu kami hanya melewati beberapa pekan kecil. Saya terus membayangkan bagaimanakah nanti rupanya pekan Sekayu yang bakal menerima kami sebagai tetamunya. Adakah ia kawasan kampung, resort, tepi sungai atau bagaimana? Banyak yang berlegar-legar di fikiran tetapi saya cuba terus bersangka baik dan memberikan harapan pada diri.

Kemudiannya kami lalu di kawasan pekan yang tidak saya pasti namanya. Sedang saya membaca sebuah hotel yang dinamakan Hotel Ranggonang, bas kami berhenti. Rupanya kami telah sampai. Agak mengejutkan. Sebuah hotel sederhana yang saya kira bertaraf 3 bintang di tengah-tengah kawasan pekan kecil. Pemandangan sekeliling menarik perhatian kerana ia lain daripada tempat sendiri. Masih ada beca berkeliaran di sana-sini. Van mini yang seperti sebuah jeepney kalau di Manila. (Di sini dipanggil angkutan desa ataupun angkutan kota).

Pekannya tidak sibuk kerana tidak ramai yang berkereta. Ramai yang masih selesa menggunakan beca atau berbasikal/motorsikal sahaja.

Kami telah sampai di pekan Sekayu yang menjadi pekan terbesar di Kabupaten Musi Banyuasin ini. Semakin kami menghampiri pekan ini, kelihatan sepanduk-sepanduk bertulis PON XVI. Kemudian baru saya tahu, ia ringkasan untuk Pekan Olahraga Negeri di mana Sumatera Selatan menjadi tuan rumah. PON seperti SUKMA di tempat kita.

Di hadapan hotel ada sebuah Wartel (warung telefon) dan sebuah restoran Nasi Padang. Kata orang di sini, rata-rata perniagaan dipegang oleh orang Minang yang merantau ke daerah ini.

Menyebut tentang Minang, ada yang membuatkan saya rasa dekat di daerah ini. Bapa saya sendiri keturunan Minang, boleh bercakap dialek Minangkabau. Hanya saya yang tahu sepatah dua kerana bapa saya tidak ada orang yang boleh diajak berbual dalam bahasa ini.

Tetapi saya masih terasa dekat di sini…

Written by Nisah Haron

Ogos 13, 2004 at 5:39 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Setelah Pulang dari Palembang – Jakarta

with one comment

Alhamdulillah, saya selamat pulang ke tanah air seperti yang dijadualkan. Rentetan peristiwa perjalanan ke Palembang mulai 31 Julai 2004 seperti berikut :

Pembimbing : Dato’ Baha Zain (Baharuddin Zainal) & A. Rahim Abdullah



Peserta : Nisah Haron, Asmiaty Amat (UMS), Awang Azman Awang Pawi (Unimas) & Mohamad bin Shahidan (DBP)



Urus setia : Zulkeply Mohamad (DBP KL)

31 Julai 2004

Jam 8 pagi sampai ke KLIA. Bertemu dengan Dato’ Baha Zain (pembimbing dari Malaysia) dan Abdul Razak (peserta Thailand yang ditaja oleh DBP KL). Tak lama lepas itu, jumpa pula Asmiaty Amat yang baru sampai dengan penerbangan dalam negeri dari Kota Kinabalu. Tak lama lepas itu, kelihatan Mohamad Shahidan dan Zulkeply Mohamad.

Berbaris panjang untuk daftar masuk dengan penerbangan MAS. Baru teringat, ramai yang suka ambil flight pagi. Flight kami jam 9.10 pagi.

Zulkeply sedang uruskan Dato’ Baha yang terbang dengan Business Class. Dato’ semacam tak setuju kerana tidak mahu terpisah-pisah. Tapi itu sudah arahan DBP. Kami terus beratur di Economy Class yang tiga kali lipat dan terus bersambung-sambung panjangnya. Risau juga sama ada kami sempat boarding dalam masa yang ditetapkan.

Sedang kami beratur, Zul datang menghampiri kami. “Dato’ Baha tak lepas,” katanya, “Pasport tak cukup 6 bulan.” Ah, kacau! Seorang pembimbing dari Malaysia tak dapat bersama kami. Tapi dia akan usahakan supaya dapat pergi dengan penerbangan yang lain. Dia harus pulang. Kami teruskan beratur yang tak sudah-sudah.

Akhirnya panggilan untuk penerbangan kami sudah hampir. Satu kaunter khas dibuka supaya kami tidak ketinggalan kapal terbang. Semua yang mengambil flight ke Jakarta check in di kaunter itu. Ketika itu pula, Abdul Razak (wakil Thai) pula tertahan. Kes yang sama. Pasport tak cukup 6 bulan hidupnya. Dia juga harus pulang menguruskan.

Saya semakin risau. Apa lagi yang bakal terjadi. Seorang demi seorang gugur sebelum berjuang. Saya pendamkan saja perasaan itu. Alhamdulillah, untuk peserta yang lain dan seorang lagi pembimbing kami, Encik Abdul Rahim Abdullah lepas semuanya.

Sampai di Bandara Soekarno-Hatta, Jakarta 1 jam 20 minit kemudian. Waktu Indonesia Barat (WIB) ketika itu jam 9.20. Maknanya di Malaysia 10.20 pagi. Kita cuma beza 1 jam dengan WIB. Itulah pertama kali saya menjejakkan kaki di Bumi Betawi. Untuk ke Palembang, flight kami esok paginya. Jadi, kami harus bermalam di Jakarta terlebih dahulu. Seronok juga. Dapat berjalan-jalan sementara menunggu penerbangan sambungan esok.

Kami disambut oleh pegawai-pegawai dari Pusat Bahasa, Jakarta (seperti Dewan Bahasa dan Puskata di Malaysia). Ada dua buah kenderaan disediakan untuk kami.

Lapangan terbang disebut Bandara oleh orang Indonesia – iaitu singkatan kepada Bandar Udara. Hotel kami di Aston Atrium, kira-kira 30 km dari Bandara. Maklumlah, pertama kali sampai. Habis cermin kereta dua-dua sekali hendak dilihat. Letih kepala, sekejap kiri sekejap kanan. Kepadatan bandarnya memang menakjubkan.

Sempat juga kami lalui kawasan penempatan di bawah jambatan. Rumah-rumah yang diperbuat daripada kotak-kotak cardboard bercerancangan di bawah jambatan. Itu belum lagi dicampur dengan pengemis yang menagih simpati dari sebuah kereta ke sebuah kenderaan lain yang sedang macet. Keadaan lalu lintasnya memang sesak. Jadi senang sekali kenderaan terhenti di mana-mana. Ketika ini, selain pengemis tadi, ada juga yang mengambil kesempatan menjual barang-barang mainan, akhbar dan sebagainya. Rasanya, senario ini pernah kita lihat di dalam filem-filem Indonesia yang kerap ditayangkan sedikit masa dahulu.

Sebelum sampai ke hotel, kami dibawa makan di restoran Nasi Padang. Dihidangkannya sebanyak-banyak lauk di hadapan kita. Saya tanya pada Zul yang pernah datang ke Jakarta beberapa kali. Bagaimana nak habis semuanya? Katanya, makan mana yang mahu saja. Kita hanya akan bayar apa yang dimakan. Yang tidak diusik, tidak akan dikira. Perut pun belum berapa lapar kerana dalam flight tadi sudah dihidangkan nasi lemak dengan sambal udang.

Akhirnya, kami sampai ke tempat tujuan. Untuk mendaftar di Aston Atrium Hotel, ada cerita lain. Perkhidmatan mereka tidak selayaknya untuk sebuah hotel bertaraf 4 bintang. Lambatnya bukan main. Tapi saya berpendapat, kalau disogok dengan segenggam rupiah, barangkali dapat meningkatkan kelajuan kakitangannya bertugas. Pendapat saya disokong oleh beberapa teman. Maaflah, kalau ada teman dari Jakarta, Palembang, Jogja atau Bandung yang membaca tulisan ini tetapi, itulah kenyataannya.

Hampir 2 jam barulah kami dapat merasai nikmat hotel. Bau asap rokok yang ditinggalkan oleh penghuni sebelumnya masih menguasai bilik itu. Mujur kami hanya datang untuk meletakkan barang dan selepas ini bakal keluar semula untuk menukar wang dan bersiar-siar sekitar kawasan Senin ini.

RM1 = Rp 2,400. Jadi kalau mahukan Sejuta Rupiah, bayar lebih kurang RM420. Sejuta bunyinya besar tapi tidaklah sebesar mana di kota metropolitan ini. Di sini handphone murah. Tapi oleh kerana saya tidak ada keperluan untuk membeli handphone, saya terus saja ke toko buku. Saya kalau dah jumpa kedai buku, makan pun lupa.

Saya memborong banyak buku di Toko Gunung Agung yang terletak di Plaza Atrium bersebelahan dengan hotel ini. Tetapi saya hanya pesan dulu sebab tak larat nak bawa semuanya ke Palembang. Setelah berbincang dengan jurujual, saya dan Asmiaty membuat pesanan buku-buku yang dikehendaki dengan membayar wang muka. Nanti, sekembalinya dari Palembang, kami akan singgah ke Jakarta lagi. Jadi masa itu baru diambil.

Baiklah, sampai sini dulu coretan saya. Selepas ini, saya ceritakan pengalaman perjalanan ke Palembang dan lebih tepat lagi ke Kabupaten Musi Banyuasin, tempat bengkel MASTERA diadakan selama seminggu.

Written by Nisah Haron

Ogos 12, 2004 at 7:40 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Catatan Dari Palembang-Jakarta

leave a comment »

Sempat mencuri-curi masa untuk menulis catatan pendek ini dari sebuah cyber cafe di Sarinah, Jakarta.

Saya akan pulang esok ke Malaysia. Flight jam 6.30 (waktu Malaysia: 7.30) malam. Banyak pengalaman yang sempat dikutip di Palembang. Kini di Jakarta bakal mengutip buku-buku pula.

Di Palembang, aktiviti MASTERA diadakan di pekan kecil bernama Sekayu, Kabupaten Musi Banyuasin, Palembang. Nantilah, bila sudah sampai di Malaysia, akan saya tulis satu entri khas untuk itu.

Paling menarik, teman-teman di Indonesia membincangkan tentang lalu lintas buku di Malaysia-Indonesia. Betapa sukarnya untuk mendapatkan buku-buku Indonesia di Malaysia dan begitu juga dengan mereka. Sedangkan kita mudah sahaja mengimport buku-buku dari Barat. Mengapa kita boleh mengimport kobis Sumatera tetapi bila sampai hal-hal buku, jiran sebelah pintu pun kita tidak berupaya saling tukar menukar ilmu kesusasteraannya.

Sayang sekali…

Written by Nisah Haron

Ogos 8, 2004 at 12:10 pm

Dikirim dalam Uncategorized