Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Julai 2006

Resipi Dari Istana

leave a comment »

Cerpen yang pernah fragmennya saya tulis di blog ini dan lebih dikenali dengan nama “Chef Chimiiko” tersiar dalam Berita Minggu hari ini.

Baca Resipi Dari Istana di sini.

Entri ini juga lambat ditulis kerana pagi ini sibuk dengan mesyuarat penyelarasan PEN-PENA tentang Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006. Petangnya berkejar ke Jelebu untuk majlis penutup Bengkel Novel PEN dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Jelebu. PEN menyokong aktiviti begini.

Malam ini perlu berkemas pula. Pagi esok jam 8 terbang hendak terbang ke Kota Kinabalu.

Written by Nisah Haron

Julai 30, 2006 at 10:29 pm

Ke Tenom dan lain-lain

with one comment

Saya punya jadual yang agak padat mulai hari ini sehinggalah minggu depan, jadi andainya saya punya kesempatan, saya akan tetap mengemaskini laman ini di tempat-tempat yang saya lawati nanti.

29 Julai : Khemah Sastera Koleh Mara Banting

  • Tempat : Kompleks Integrasi Warisan Arca (KIWA) Salak Tinggi, Sepang.
  • Judul ceramah : Kepentingan Sastera Dalam Kehidupan
  • Masa : 2.30 petang

30 Julai : Mesyuarat Penyelarasan PEN-PENA sempena Seminar Persuratan & Peradaban Nasional 2006

  • Tempat : Pusat Sumber, Institut Perguruan Raja Melewar, Sikamat, Seremban
  • Masa : 10.00 pagi

30 Julai : Majlis penutup Bengkel Novel PEN di Jelebu

  • Tempat : Hotel Sri Klawang, Jelebu
  • Masa : 4.00 petang

31 Julai : awal pagi terbang ke Kota Kinabalu

1 Ogos : berada di Kota Kinabalu dan bertolak ke Tenom

2 Ogos : Ceramah KOMSAS – Nilai Ekonomi dalam Bahasa & Sastera di Era Globalisasi

  • Tempat : SMK Tenom
  • Masa : 8.30 – 10.30 pagi

3 Ogos : pagi – terbang dari KK ke KLIA

4 – 6 Ogos : Seminar Persuratan & Peradaban Nasional di Port Dickson

8 Ogos : Ceramah “Buku Kegemaran Saya” anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam NS

  • Tempat : SM Teknik Tuanku Jaafar, Ampangan
  • Masa : 9.00 pagi


10 Ogos : Raptai Konvo & ambil jubah (pagi – tengah hari)

12 Ogos : Istiadat Konvokesyen UKM – ambil skrol Sarjana Undang-undang. (kena pergi, masa konvo DSLP di UIA tak sempat nak pergi sebab tarikh bertindan dengan acara lain)

19 Ogos : Ceramah International Court of Justice

  • Tempat : Mahkamah Moot, Kolej Universiti Islam Malaysia, Bandar Baru Nilai
  • Masa : 8.30 malam

20 Ogos : Bersama Nisah Haron di MPH Mid-Valley Megamall

  • Masa : 2.00 – 5.00 petang

Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk menghadapi semua ini dan dalam masa yang sama perlu meladeni komitmen yang lain juga.

Sementara itu, saya tinggalkan anda dengan gurindam 3 baris yang saya tulis dan disampaikan sewaktu ceramah petang ini di KIWA – Kepentingan Sastera Dalam Kehidupan :

Puisi pantun syair seloka

Budaya Melayu khazanah kita

Pertahankan ia jangan dilupa.

Seburuk-buruk berhujan batu

Hujan emas bukan milikmu

Jangan dilupa budaya Melayu.

Biarlah mencapai awan nan tinggi

Kaki kukuh mengakar ke bumi

Itulah tanda berjati diri.

Kalau tak kita siapa lagi

Memartabatkan budaya sendiri

Agar ia kekal abadi.

Bagaimana hendak melagukan gurindam ini, itu kenalah bertemu secara live.

Written by Nisah Haron

Julai 29, 2006 at 10:40 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Realiti dalam Karya, Realiti dalam Kehidupan

with 4 comments


Polemik berpanjangan antara penulis sastera tinggi dan sastera picisan ialah persoalan memasukkan realiti dalam karya. Apabila melihat lambakan buku sastera picisan di pasaran, penulisnya mati-mati mempertahankan bahawa segala yang realiti itu wajar diabadikan dalam karya mereka. Sebab itulah ada banyak kisah yang ditulis berulang-ulang tentang lelaki dan perempuan bukan muhrim berjalan berpegangan tangan, tentang skandal seks datuk dan tan sri, tentang suami/isteri yang curang dan segala perlakuan negatif yang ada dalam kehidupan itu kalau boleh semua sekali mahu disumbat-sumbat dalam novel mereka biar novel itu tebal.

Jadi apa yang hebat sangat dengan karya yang meruntun emosi pembaca ini? Mengapa makcik-makcik adik kakak menghabiskan sekitar RM20 hanya untuk menangis? Kata seorang penulis, menangis itu baik kerana pembaca itu dalam mengeluarkan tekanan dalam diri. Mengapa harus seseorang itu menangis selepas membaca novel sekian-sekian? Bukankah air mata itu sewajarnya untuk Tuhan. Menangis kerana mohon ampun, kerana sedar diri ini banyak dosa, menangis kerana diri kita kerdil di hadapan Tuhan – bukankah itu lebih afdal, berbanding menangis kerana pasangan yang berkorban atas nama cinta biasa?

Itulah kepelikan manusia, barangkali.

Apabila bercakap tentang novel, antara asal usul makna novel – ialah sesuatu yang baru, sesuatu yang belum pernah dilakukan orang lain. Cuba cari makna novel dalam kamus bahasa inggeris. Selain memaknakannya sebagai sebuah buku cerita, novel disebut sebagai something novel, something new. Jadi apabila karya itu mengulang formula yang sama, ia bukan lagi sesuatu yang novel, jelasnya ia bukan novel dalam ertikata ini. Ia sekadar buku cerita biasa. Tiada yang istimewa lagi.

Sebagai penulis ataupun calon penulis, anda ada pilihan. Mahu memasukkan segala kebobrokan dalam karya ataupun mengabadikan sesuatu yang indah dan mendorong manusia membuat kebaikan supaya ganjarannya bukan sahaja dapat dikutip di dunia, tetapi di akhirat juga. Sudah saya katakan beberapa kali, menulis itu amanah. Memegang status penulis itu sangat tinggi tanggungjawabnya terhadap agama dan bangsa. Menulis itu pekerjaan mulia (hatta menulis blog sekalipun).

Ingatlah bahawa setiap sesuatu yang ditulis itu ada pembacanya. Kalau penulis itu berjaya mempengaruhi pembaca untuk berbuat kebaikan, pahalanya, Allah sahaja yang tahu.

Tetapi, kata penulis picisan ini lagi, untuk memasukkan pengajaran, saya perlu masukkan yang buruk-buruk itu supaya nanti pada akhir cerita, watak-watak itu akan sedar akan kesilapannya. Ataupun, katanya, saya memasukkan kisah yang tidak dipaparkan secara terbuka seperti kisah skandal, kisah penyanyi ataupun ratu cantik di belakang tabir. Ini semua untuk pengetahuan pembaca, katanya lagi.

Aduhai… inikah lesen yang mewajarkan penulisnya menggambarkan dengan begitu grafik seorang anak lelaki merogol ibunya sendiri, ataupun menceritakan bagaimana kehidupan mat rempit dan bohsia sebelum mereka insaf, ataupun bagaimana tan sri-tan sri menyimpan perempuan di merata tempat sebelum mereka akhirnya sedar diri.

Alahai, ada banyak lagi kisah yang boleh digarap dalam karya. Alasan demikian, nampak sangata bahawa pengarang itu tidak kreatif. Itu sahaja yang dia nampak, buat baik dibalas baik, buat jahat akhirnya dibalas jahat dan langsung insaf. Hidup bukannya semudah itu.

Ada banyak lagi kisah yang baik-baik boleh diabadikan. Mengapa yang bobrok itu juga mesti diangkat langsung diabadikan. Dunia ini sudah penuh dengan kebobrokan. Mestikah dalam karya juga, hal yang sama diangkat dan diagung-agungkan.

Aduhai, masih jauh lagi perjuangan dengan al-qalam ini…

Written by Nisah Haron

Julai 27, 2006 at 6:49 am

Dikirim dalam Penulisan

Jiwa Kacau II : Masuk Barisan

with 7 comments


Usai menyediakan kata pengantar untuk projek buku Jiwa Kacau II : Masuk Barisan. Adakalanya sakit perut ketawa membawa entri-entri yang sinis tapi penuh dengan kecindan. Tidak kurang juga yang emosi dan turut merakam sejarah penting dalam negara.

Itulah blook – blog book, blog yang telah dijadikan dalam bentuk buku. Walau bagaimana canggih pun membaca atas talian, memegang sebuah buku dan menikmatinya itu lebih mendamaikan. Menatap skrin komputer boleh menyebabkan mata cepat letih. Tetapi 2 – 3 jam membaca buku nikmatnya masih sama.

Sewaktu terbitan Gangguan Tekstual lagi, saya sudah membayangkan bahawa satu hari nanti Nisah Haron Online ini juga akan saya terbitkan dalam bentuk buku juga. (Jangan tanya bila). Tetapi sesekali tertanya-tanya juga : ada ke orang nak baca catatan online saya ini jika dijadikan buku?

Written by Nisah Haron

Julai 26, 2006 at 10:44 am

Dikirim dalam Uncategorized

Hani Mohsin meninggal dunia

leave a comment »

Saya bukanlah peminat Hani Mohsin tetapi terkejut juga dengan berita yang diterima. Apabila Tuhan menghendaki, Dia akan memanggil kita kembali. Usia itu hanya angka.

Hani Mohsin meninggal dunia

25-07-2006 11:39:19 AM


PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara Roda Impian Hani Mohsin Hanafi meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung pada pukul 9.30 pagi tadi.

Mohsin, 43, ketika itu berada di terminal Low Cost Carrier di KLIA, Sepang untuk penerbangan ke Alor Setar, Kedah bersama-sama anaknya Hani Karmila, 9 tahun.

Mohsin mengadu sakit dada dan kemudiannya rebah. Hani Karmila kemudiannya menelefon ibunya Datin Seri Tiara Jacquelina.

Tiara dan suaminya Datuk Seri Effendi Norwawi kemudian bergegas ke terminal tersebut.

Jenazah Mohsin akan dibawa ke hospital untuk dibedah siasat.

Pasted from <http://www.mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_a3a8fc9a-c0a85062-80f25200-9f727a46>

Written by Nisah Haron

Julai 25, 2006 at 12:20 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Pesta Buku Selangor

with one comment

Esok, 26 Julai 2006, saya telah diundang dalam satu slot forum Pesta Buku Selangor di Kompleks PKNS jam 3 petang.

Judulnya : Menulis, hobi atau ganjaran?

Sebaris dalam panel itu ialah penulis Alaf21 (entah siapa namanya), terdengar juga nama Puan Ainon disebut sekali.

Penduduk sekitar Shah Alam dan kawasan-kawasan sewaktu dengannya dipersilakan hadir. Saya akan bawa buku untuk dijual juga.

Written by Nisah Haron

Julai 25, 2006 at 9:20 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Sekitar HSKU 2005 di Hotel Renaissance

leave a comment »

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan – ExxonMobil 2005 berlangsung di Hotel Renaissance Kuala Lumpur malam tadi. Seperti biasa, apabila sudah beberapa kali diundang ke majlis sastera, ramailah sahabat penulis yang akan ditemui. Adakalanya terasa seperti reunion sekolah. Tak betah duduk setempat. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Semuanya sahabat, semuanya rakan seperjuangan.

Semeja dengan saya malam tadi ialah Siti Jasmina dan ibunya, Cikgu Amir Hmzah (pemenang pertama Novel Remaja) dan isteri (juga seorang guru), Shukri Mat Ali (pemenang kajian sastera) dan Faisal serta ibu dan adik perempuannya.

Sempat bertegur sapa dengan Pak Samad dan Kak Rashidah (isterinya).

Bertemu juga dengan Zakir, Rahimidin, Ariff dan Lutfi. Di surau bertemu Siti Salbiah Raduan (Tiras R) dan anak gadisnya. Pak Nazel Hashim Mohamad hadir dengan anak lelakinya, Khairusy Syakirin. Sempat menyapa Encik A. Ghani Abdullah, Cikgu Mohd Hashim Osman dan Ghazali Lateh. Tidak ketinggalan Amaruszati Noor Rahim, Siti Hajar Mohd Zaki, Ummu Hani, Fahd Razy, Nazim Subari, Hilmi Rindu, Dr. Kemala, Wadi Leta S.A. Dari jauh terpandang Salina Ibrahim semeja dengan Zaharah Nawawi.

Betul tak kata saya tadi, seperti reunion. Itu belum dicampur lagi dengan kenalan-kenalan yang lain. Para wartawan, pegawai-pegawai dari DBP dan mereka yang seringkali ada dalam mana-mana majlis sastera.

Begitulah sedikit sebanyak kemanisan dalam perjuangan menulis. Menulis itu kerja bersendirian, laluannya sepi dan dunianya harus sunyi. Pahitnya memang sepanjang tahun, tetapi sekali-sekala pertemuan dan pengiktirafan begini membakar semangat dan menghidupkan bara nyala rasa.

Dari kiri : Pak Nora, Syed Hamid Albar, Wakil ExxonMobil, Cikgu Amer Hmzah, Faisal Tehrani, Amaruszati, Tiras R., Nisah, Siti Jasmina, Zaharah Nawawi, Salina Ibrahim, Lutfi Ishak & Siti Hajar Mohd Zaki

Written by Nisah Haron

Julai 20, 2006 at 8:38 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Bukan Kerana Bintang

leave a comment »

Alhamdulillah, bagi pihak warga penulis saya dengan rasa rendah diri menerima anugerah pingat daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada tarikh yang belum ditentukan lagi.

1,441 dianugerah pingat, bintang dan darjah kebesaran Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Ketua Unit Sukan Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Abu Bakar Atan menerima ANS bersama Pengawal Klasik FM, Chuari Selamat; Pengarang Berita Bernama, Mohd Kamel Othman; Timbalan Ketua Penyuntingnya, Khairdzir Mohd Yunus; Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PPNS), Mahaya Mohd Yasin dan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Kumpulan Golden Hope Bhd, Mohd Ashraf Abdullah.

Ketua Dua PPNS, Zolkipli Abu dan Setiausaha PPNS, Nisah Haron menerima PMC: Presiden Persatuan Wartawan Cina Negeri Sembilan, Chong Fook Yan dan wartawan Nanyang Siang Pau, Leaw Mi Mi menerima PJK, manakala wartawan Tamil Nesan, K Mariappan menerima PPT.

Sumber : Berita Harian, 19 Julai 2006.

Terus terang, saya belum pun terima pingatnya lagi. Pada hari keputeraan Yang Dipertuan Besar NS (hari ini, 19 Julai) biasanya yang mendapat gelaran Dato’-Dato’ sahaja yang diundang ke istana. Setakat dapat pingat kecil-kecil seperti ini, memang bukan hari ini. Mungkin 2 – 3 bulan lagi.

Apa pun, ini sekadar makluman. Saya masih lagi Nisah Haron yang sama, jika tidak lebih baik. Saya akan terus menulis dengan segala kudrat yang ada, semuanya kerana Allah, kerana bangsa, kerana agama dan bukannya kerana bintang…

Written by Nisah Haron

Julai 19, 2006 at 3:06 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Pesanan Set HSKU 2005

leave a comment »

Buku-buku Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005 sudah sedia dijual di www.ujanailmu.com.my. Pembelian satu set akan mendapat tawaran istimewa.

NOVEL REMAJA : HADIAH PERTAMA
Kembara Amira (Amer Hmzah L. Kadir)
Harga : RM19.90

Pencarian emas oleh John O’Hara dan penerokaan khazanah sejarah di Desa Karpus bagaikan sebuah pementasan yang menemukan leluhur Tau. Pencarian yang mengheret Malique mengidentifikasi sejarah diri. Sejarah yang terlipat kemas dalam kalangan masyarakat rimba.

Di tapak yang sama, Amira menghabiskan cuti persekolahan, menyertai ibunya Profesor Zaidah dalam ekskavasi menjejak kewujudan tamaddun manusia. Pertemuan Malique dan Amira merungkai konflik keluarga, sejarah tragis keluarga Tau.

NOVEL REMAJA : HADIAH KEDUA
6:20 (Siti Jasmina Ibrahim)

Harga : RM14.00

Sekumpulan anak muda berpakat dalam senyap memperjuangkan satu gagasan. Mutlak. Ruang Sepi di Kelab WX2 menjadi stesen pertemuan, mengatur agenda. Licik dan bertenaga. Ahlinya adalah yang terpilih, terlatih, malah intelek belaka.

Sifat ingin tahu Sukma telah membuka satu per satu rahsia di sebalik gagasan itu. Sukma mencantumkan setiap ruang dan waktu sebagai alamat pemecah kebuntuan. Kehadiran tetamu misteri setiap jam 6:20 membawa penemuan demi penemuan. Tanpa disedari keluarganya terangkul dalam misteri itu.

NOVEL REMAJA : HADIAH KETIGA
Beraraklah Awan Pilu (Abd. Latip Talib)
Harga : RM15.00

Pertemuan dan perpisahan sudah disuratkan. Bukankah jodoh, ajal maut di tangan Tuhan? Begitu Syafik diasuh ibunya, wali keramat yang bersungguh-sungguh sabar dan redha agar dia berjiwa besar, mengharung terjahan ribut di bawah langit mendung, awan pilu.

Bahawa dia titis dari hulu yang cemar menjadi kenistaan yang menghujankan kepiluan. Dengan amanat yang tersemat, Syafik menjejak bapa yang hilang senyap, membawa bersamanya maruah mereka.

Bukankah jodoh di tangan Tuhan?

Sungguh harga diri bukan dagangan, dapat dijual beli. Bertemu di rantauan, dalam kemewahan yang melimpah, Syafiq tidak terkilau oleh pangkat dan mata benda. Dengan jiwa besar, ribut yang kasar menjadi lunak. Dia pulang ke desa, mendepani orang keliling bangkit, lebih perkasa, mencuci bersih tohmah nista.

KUMPULAN CERPEN & PUISI (DEWASA), KAJIAN & RENCANA SASTERA
Kalaulah Kita Menjadi Kayu
Harga : RM18.00

Cerpen

Pasir di Bawah Belati (S.M. Zakir)
Hikayat Naga Gunung Cimayu (Ghazali Lateh)
Cerita-cerita Akhir (Ummi Hani Abu Hassan)
Memaknakan Cinta (Salina Ibrahim)
Retorik (Ramli Abdul Halim)
Alkisah Ular… Ular & Ular (Zainal Rashid Ahmad)
Psiko (Nazel Hashim Mohamad)
Orang Berjasa (Mohd. Affandi Hassan)
Kidung Akarku (Tiras R)
Osmosis (Amaruszati Noor Rahim)

Puisi

Kalau Kita Menjadi Kayu (Abdul Rahim Idris)
Al-Andalus Menangis (Fahd Razy)
Puisi Buat Umaira di Narathiwat (Wadi Leta S.A.)
Jika Ingin Mencari (Nazim Mohd. Subari)
Sahabatku: Si Nadim Tak Bernama (Zainal Rashid Ahmad)
Di Gerai Masa(Nazim Mohd. Subari)
Senja Terakhir di Multazam (Nora)
Akar (Hilmi Rindu)
Nafiri (Kemala)
Catatan Kecil buat Jiran yang Berpindah Jauh (Hilmi Rindu)

Kajian Dan Rencana Sastera

Rubiah dan Estetika Sastera Melayu (Shukri Matt Ali)
Tunggu Teduh Dulu: Citra Dakwah Islamiah Kontemporari (Nisah Haron)
Bina Bangsa Melalui Sastera(Prof. Madya Dr. Noriah Taslim)
Sasterawan-Tentera: Posisi Baru Perjuangan Penulis Islam(Faisal Tehrani)


Kumpulan Cerpen Remaja
Pelangi, Kami ingin ke Sana

Menghimpunkan 10 buah cerpen remaja yang meraih Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2005

Harga : RM12.00

Pelangi, Kami Ingin ke Sana (Ariff Mohamad)
Ratu Kosmetik (Faisal Tehrani)
Mergastua dan Kotak Batu (Zaharah Nawawi)
Dia Berikan Tangannya (Rahmat Purnama Mulya)
Cikgu Apek (Siti Hajar Mohd. Zaki)
Anak Gelandangan (Mohd. Hashim Osman)
Kampung Hati Ayah (Ummi Hani Abu Hassan)
Gadis Bunga di Tasik Dal (Zaharah Nawawi)
E-mel Seorang Lelaki (Muhammad Lutfi Ishak)
Rabiatul Adawiyah (A. Ghani Abdullah)

Peluang untuk menjadi antara yang terawal di Malaysia untuk mendapatkan karya terbaru yang memenangi Hadiah Sastera Utusan 2005 dan akan dilancarkan pada 19 Julai 2006. Jangan lepaskan peluang terbaik ini. Jadilah antara orang pertama membaca buku yang akan dilancarkan ini.

Tawaran khas sempena pelancaran. Kami menawarkan rebet tunai sebanyak RM5 dengan pembelian pakej 5 buah buku seperti di atas. Pesanan handaklah menggunakan sistem cart ujanailmu.com.my. Pembayaran akan disertakan bersama resit. Tawaran ini sah apabila kami menerima tempahan dan pembayaran sebelum 31 Julai 2006.

(Kalau beli asing-asing, ataupun satu-satu, tidak dapat menikmati tawaran ini)

Written by Nisah Haron

Julai 19, 2006 at 10:11 am

Dikirim dalam Uncategorized

Shahnon Ahmad seguru dengan saya!

leave a comment »

Panas! Panas!

Autobiografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad ini sudah ada di Ujana Ilmu.

Saya sedang menikmati buku ini. Paling tidak sangka ialah penglibatan Cikgu Shahnon dalam Seni Silat Cekak Ustaz Hanafi Malaysia. Ah, rupanya saya dan SN ini seguru dalam persilatan. Ada satu bab khas tentang Silat Cekak Ustaz Hanafi dalam autobiografi ini.

Ya, seperti kata Faisal Tehrani, abaikan sahaja kesilapan ejaan yang kelihatan di sana-sini. Lagipun kebanyakan SN ini orang lama, masih lagi tertakluk dengan sistem ejaan lama. Yang penting ialah ceritanya, bukannya tatabahasanya.

Sekiranya beliau mendapat editor yang baik, tentu sahaja naskhah ini dapat ditangani dengan lebih kemas. Namun, terlalu banyak yang dapat dikutip dengan membaca autobiografi ini. Terutama sekali kepada para penulis muda.

Baca! Jangan tak baca.

Sekalipun, anda belum sekali pun membaca karya Shahnon Ahmad, buku ini masih lagi wajah dimiliki. (Seperti mana saya amat menyukai buku On Writing tulisan Stephen King, walaupun saya tidak menggemari karya kreatifnya.)

Peribadi, saya suka membaca buku yang memaparkan proses kreatif seorang penulis. Ada banyak yang dapat dikutip melalui Perjalananku Sejauh Ini : Sebuah Autobiografi – Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

Written by Nisah Haron

Julai 15, 2006 at 9:45 pm

Dikirim dalam Penulisan