Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Februari 2008

Umbara Sastera

with 2 comments

PEN akan mengadakan majlis yang diberi nama UMBARA SASTERA berdasarkan ketetapan yang berikut :

Tarikh : 1 Mac 2008 (Sabtu)
Masa : 10 pagi – 12 tengah hari
Tempat : Perpustakaan Awam Seremban Kediaman Ketua Satu PEN
No. 59, Lorong Cenderawasih 2, Taman Paroi Jaya, Seremban

Tetamu :
Puan Mahaya Mohd Yassin
Puan Nisah Haji Haron
Encik Amiza Khusyri Yusuf
Puan Syarifah Salha Syed Ahmad

Konsep :
Umbara ertinya kembara atau jelajah. Umbara Sastera berhasrat untuk membawa mereka yang mengambil bahagian mengembara minda dengan pelbagai cara. Menggunakan konsep ala-ala bicarawara, peserta boleh membaca naskhah, memperkatakan hal-hal seputar sastera dan persuratan Melayu, menggugah peserta dengan idea yang boleh dibincangkan, atau mempersembahkan (mendeklamasi) puisi moden, puisi tradisional, ataupun apa yang difikirkan sesuai dengan konsep yang dicadangkan.

Maklumat lanjut di laman web PEN : www.penulisn9.blogspot.com

Written by Nisah Haron

Februari 27, 2008 at 3:49 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera, PEN, Pengumuman

Gapura Purnama

with 3 comments

Bulan Mac, sudah masuk enam siri novel saya, Gapura Purnama disiarkan dalam majalah bulanan WANITA.

Ya, saya faham. Tidak semua orang gemar mengikuti novel bersiri. Ramai yang lebih selesa membeli sebuah buku yang sudah lengkap untuk membaca novel. Tidak kurang juga kawan-kawan yang saya memberi komen, “Aku tak baca majalah WANITA”.

Itu saya tak boleh paksa.

Siri 6 – Mac 2008

Namun, saya membuat pembaharuan dalam penulisan saya sendiri melalui novel bersiri Gapura Purnama. Seperti yang pernah saya tulis dalam entri terdahulu, novel ini kisah wanita korporat sebagai pemain dalam industri buku. Saya seronok melalui proses penulisan novel ini kerana ada banyak hal tentang buku dan dunia perbukuan yang ingin saya perkatakan. Semua itu dapat saya salur melalui watak utamanya – Teja Widuri.

Imej-imej di bawah ialah laman judul dan ilustrasi bagi setiap keluaran.

Siri 1 – Oktober 2007

Siri 2 – November 2007


Siri 3 – Disember 2007

Siri 4 – Januari 2008

Siri 5 – Februari 2008

Selepas novel ini selesai nanti, siapa agak-agaknya yang mungkin menerbitkan novel ini sebagai sebuah buku?

Written by Nisah Haron

Februari 26, 2008 at 4:12 am

Resipi Dari Istana 2

with 4 comments


Cerpen saya “Resipi Dari Istana 2” tersiar dalam Berita Minggu hari ini.

Petikan Resipi Dari Istana 2:

CHEF Mariam terkedu apabila menerima surat undangan dari istana. Air mukanya yang tenang terkocak seperti permukaan muara sungai yang dilontar dengan sebiji kelapa laut. Kerut di wajahnya sukar kembali kepada keadaan asal kerana sebiji kelapa laut yang terapung akan teroleng-oleh sehinggalah ombak-ombak kecil menghantarnya ke tebing.

Tangannya pantas mendail nombor Chef Chimiko. “Kau dapat tak surat yang sama?”

Suara di hujung talian menafikan.

“Kaufikir aku harus pergi, Chimi?”

“Mengapa tidak? Kita tak harus terburu-buru dalam soal ini. Banyak perkara yang belum pasti. Jadi, elok juga kau dipanggil untuk mesyuarat di istana. Mungkin ada banyak telahan yang boleh dirungkai.”

Baca selanjutnya dalam Berita Minggu 24 Februari 2008.

Written by Nisah Haron

Februari 24, 2008 at 10:13 am

KOMSAS – Siapa Yang Betul?

with 9 comments

Baru-baru ini ribut-ribut tentang KOMSAS.

Kali ini, barulah PPK hendak bersuara.

Pemilihan teks sastera belum muktamad

PUSAT Perkembangan Kurikulum (PPK) ingin memaklumkan bahawa pemilihan teks komponen sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas) belum muktamad dan masih dalam proses pemilihan.

PPK juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak 861 bahan, karya, teks, buku diterima daripada penerbit dalam pelbagai genre novel, antologi cerpen (678); koleksi prosa tradisional (76); antologi sajak (17); koleksi puisi tradisional (40) dan teks drama (21), sepanjang tempoh tawaran.

Baca lanjut di sini.

Written by Nisah Haron

Februari 19, 2008 at 7:21 am

Dikirim dalam KOMSAS

Khusus untuk Semua Warga Penulis

with 12 comments


Bakal terbit semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, insya-Allah. Atau mungkin lebih awal?

Written by Nisah Haron

Februari 17, 2008 at 7:50 am

Dikirim dalam Buku, hak cipta, Pengumuman, Pesta Buku

Bagaimana bermulanya ‘Esdyzuar’…

with 5 comments


Novel ini sudah berada di pasaran. Lebih mudah, dapatkan secara online dari www.ujanailmu.com.my

juga di Rangkaian MPH & Kinokuniya

Dipetik dari bab “Bagaimana Mulanya” – Puisi Untuk Esdyzuar (Al-Ameen Serve, 2007)

Puisi Untuk Esdyzuar mempunyai sejarah yang panjang dan tersendiri.

Novel ini asalnya sebuah cerpen yang ditulis pada sekitar tahun 1992 dengan judul Istimewa Dari Cenma Detara. Ketika itu saya belum pun bergelar siswi undang-undang kerana masih menuntut di peringkat matrikulasi. Sokongan rakan-rakan pada ketika itu mewajarkan hasrat menulis sebuah cerpen bertemakan undang-undang. Sedangkan pada tahun-tahun awal penulisan, saya cenderung menulis cerpen berlatar fantasi seperti Annyss Sophilea, Atlantis Duniaku Duniamu dan banyak lagi.

Saya kira itu satu cabaran yang harus saya sambut. Saya juga masih belum bersedia untuk keluar dari keakraban ‘alam’ fantasi. Hasilnya, cerpen Istimewa Dari Cenma Detara lahir. Mengisahkan seorang peguam dari dunia Cosmo @ Bumi yang diminta membela sahabatnya yang terperangkap di sebuah dunia bawah tanah iaitu Cenma Detara. Sayangnya, cerpen tersebut tidak tersiar tetapi terpilih untuk dipertandingkan dalam Hadiah Sastera Siswa Bank-Rakyat 1992.

Pada tahun 1993, saya menjadi mahasiswi undang-undang di UKM setelah dua tahun menyudahkan matrikulasi. Pada tahun tersebut, ada pertandingan pementasan drama undang-undang. Fakulti Undang-undang UKM mahu mengambil bahagian. Saingannya ialah semua universiti tempatan yang mempunyai fakulti undang-undang – UIA, UM dan ITM (pada ketika itu).

Persatuan Mahasiswa Fakulti Undang-undang (Perundang) UKM mencari skrip. Saya fikir saya ada idea untuk sebuah cerita. Saya tawarkan Istimewa Dari Cenma Detara untuk dipindahkan ke genre drama pula. Dengan kerjasama rakan sekuliah – Ahmad Syuhaimi Adnan, kami mengolah cerita asal itu sehingga menjadi skrip. Usah ditanya berapa peratus sumbangan kami dalam skrip tersebut secara berasingan. Tulisan kami begitu sebati sehingga sukar untuk dipisahkan.

Hendak dijadikan cerita, drama ini menang besar pada malam 10 September 1993. Istimewa Dari Cenma Detara memenangi Drama Terbaik, Skrip Terbaik dan juga Pengarah Terbaik. Duit hadiah kami bahagi sama rata antara semua pelakon dan penulis. Suatu kenangan manis!

Beberapa tahun kemudian, saya berhasrat untuk menjadikan naskhah ini sebagai novel pula. Usaha saya tidak lancar. Banyak yang tidak kena pada proses ‘menovelkan’ cerpen/drama tersebut. Manuskrip itu terbiar sepi di pojok meja tulis saya.

Saya terus rehatkan manuskrip itu.

Sepuluh tahun selepas pementasan drama Istimewa Dari Cenma Detara – penghujung 2003, saya memberanikan diri berjumpa Editor Tunas Cipta (DBP), Encik Zaharuddin. Saya memang tak ada apa-apa kecuali sebuah janji. Saya mahu realisasikan semula novel tersebut. Rangkanya sudah lama ada, tetapi ada yang tidak menjadi dengan proses penulisannya lama dulu.

Ketika itu majalah Tunas Cipta masih baru ‘bertunas’. Belum ada ruangan novel bersiri. Editor sangat mengalu-alukan. Dia minta dua bab pertama untuk disiarkan pada edisi Januari 2004.

Sekali lagi, itu satu cabaran. Saya berhasrat untuk memulakan kembali novel itu. Saya tinggalkan cerpen dan drama itu. Saya bermula dengan kertas yang baru, azam yang baru dan penceritaan yang baru.

Tahun baru 2004 – novel ini juga harus menjadi sesuatu yang baru untuk pembaca. Judulnya pun baru – Puisi Untuk Esdyzuar.

Dua bab pertama yang diminta saya lunaskan. Editor tidak ada masalah, langsung memberi saya ruang untuk meneruskan novel ini dengan pesan: mesti lebih dari 12 siri. Ertinya, mesti beri komitmen untuk terus menulis sehingga selesai. Ini menjadi satu bentuk kontrak walaupun tiada perjanjian, sekadar sekeping surat daripada Bahagian Majalah DBP.

Selepas beberapa siri, ramai juga yang bertanya, bagaimana kaedah menulis novel bersiri? Apakah mesti ada sebuah manuskrip lengkap kemudian manuskrip itu dipecah-pecahkan kepada siri tertentu.

Saya jawab, ada banyak kaedah sebenarnya. Bergantung kepada rumah penerbitan masing-masing. Pengalaman saya setakat ini, pihak editor menerima sahaja walaupun dihantar satu siri pada setiap bulan. Asalkan siri itu dihantar 2 atau 3 bulan lebih awal daripada bulan ia sepatutnya diterbitkan.

Tidak dapat saya nafikan bahawa menulis novel bersiri, khususnya Puisi Untuk Esdyzuar memberikan semacam debaran kepada saya. Saya tidak tahu apa yang akan berlaku kepada cerita tersebut sehinggalah saya siapkan siri tertentu. Editor saya juga tidak tahu, apatah lagi pembaca. Sebagai pengarang, saya cuma tahu penghujung cerita. Bagaimana watak-watak itu mencari jalan untuk sampai ke sana? Terpulanglah kepada mereka.

Meskipun ini satu cabaran tetapi cara penulisan begini amat sesuai bagi saya yang sibuk dengan beberapa komitmen lain. Sewaktu menulis novel bersiri Puisi Untuk Esdyzuar, saya masih lagi menyandang gelaran peguam. Saya punya masa yang amat terhad untuk menulis. Satu bab atau siri sebulan merupakan satu pencapaian yang baik. Ini memberi saya jeda masa yang berpatutan. Ini juga menawarkan saya ruang untuk terus menulis.

Naskhah Puisi Untuk Esdyzuar yang berada di dalam tangan anda kini merupakan novel yang sudah dikemaskini sebagai edisi buku. Ada sedikit perbezaan tentunya, berbanding edisi novel bersiri. Perubahan yang lebih ketara daripada cerpen asalnya.

Suntikan ilmu undang-undang yang saya masukkan dalam novel ini, dosnya agak kecil. Saya bukannya mahu memberi kuliah undang-undang antarabangsa ataupun Conflict of Laws di sini. Namun, saya mengharapkan novel ini memberi sedikit sebanyak pencerahan tentang undang-undang itu sendiri.

Ada banyak yang bermain-main di fikiran saya sejak cetusan pertama cerpen Istimewa Dari Cenma Detara sehinggalah penulisan semula novel Puisi Untuk Esdyzuar. Selain keinginan untuk mempermudahkan undang-undang kepada pembaca, saya juga selalu berfikir tentang kaum Ya’juj dan Ma’juj yang dikatakan dipateri oleh Raja Zulkarnain. Kisah yang saya baca dari Al-Quran itu turut memberi inspirasi.

Usah samakan kaum Cenma Detara dengan Ya’juj dan Ma’juj. Apa yang saya tulis ini mungkin sahaja sebaliknya. Ini sebuah karya kreatif. Apa-apa sahaja boleh berlayar di minda saya tetapi ada kisah dan iktibar yang saya mahu anda fikirkan.

Ini juga persoalan jati diri bangsa dan survival bangsa yang tertindas. Apabila tertekan, segala yang tidak munasabah boleh menjadi tidak mustahil lagi.

Selamat membaca, dan sesekali cuba berfikir!

Dapatkan dari www.ujanailmu.com.my

Written by Nisah Haron

Februari 17, 2008 at 6:05 am

Bagaimana Mendapatkan ISBN & CIP – Satu kuliah ringkas

with 6 comments

ISBN ialah singkatan kepada International Standard Book Numbers.

CIP ialah cataloging-in-publication.

Kepada yang mahu terbit buku sendiri, anda perlu dapatkan kedua-dua perkara di atas bagi membolehkan buku anda layak ‘dipanggil’ buku. Tujuannya ialah supaya buku anda dapat dikesan dengan mudah. Apatah lagi, jika buku itu masuk ke kedai buku, pekedai akan mengesan buku anda menggunakan nombor ISBN.

ISBN unik.

Jika sudah dapat nombor ISBN untuk buku A, tidak boleh lagi digunakan untuk buku B. Untuk buku B, harus mohon ISBN yang baharu.

Di Malaysia, untuk mendapatkan ISBN dan CIP, anda boleh mohon dari Pusat Bibliografi Negara di Perpustakaan Negara Malaysia yang beralamat di :

Pusat Bibliografi Negara
Perpustakaan Negara Malaysia,
Tingkat 18, Menara TH Selborn,
153, Jalan Tun Razak,
50572 Kuala Lumpur.

** Nota : perhatikan alamat tersebut, bukan di Perpustakaan Negara yang mempunyai khidmat pinjaman buku, ya. Bangunannya di Menara TH Selborn.

Cara-cara untuk mendapatkan ISBN boleh juga dibaca di laman permohonan ISBN di Perpustakaan Negara Malaysia.

Bagi yang pertama kali mahu mendapatkan ISBN & CIP, haruslah berdaftar terlebih dahulu. Tak semestinya anda perlu memiliki syarikat penerbitan sendiri (tapi kalau ada lebih baik kerana anda akan dilihat memiliki kredibiliti atau minat jangka panjang dalam bidang penerbitan).

Untuk mendaftar, lengkapkan borang pendaftaran ISBN. (Jika pautan ini tidak berhasil, sila ke laman http://www.pnm.my dan klik pada butang “Perkhidmatan”, kemudian pilih “Penerbit”. Nanti akan ada senarai borang yang boleh dimuatturun.

Muat turun juga borang ISBN. (bezakan dengan borang pendaftaran ISBN.) Borang ni harus dilengkapkan setiap kali mahu mendapatkan ISBN bagi setiap buku. Borang pendaftaran ISBN hanya perlu daftar sekali sahaja, kerana PNM akan berikan identiti penerbit.

Apa itu CIP? Boleh baca di laman PNM. Juga dipanggil Pengkatalogan Dalam Penerbitan (PDP).

Muat turun juga borang CIP.

Lengkapkan kesemua borang yang disediakan dalam bentuk .pdf ini. (Apabila disediakan dalam bentuk .pdf tentunya anda perlu cetak dan isi secara manual. Setakat ini, PNM boleh menyediakan perkhidmatan mendapatkan ISBN dan CIP secara online.

Borang yang lengkap hendaklah mengandungi :

  1. Borang Pendaftaran ISBN (untuk yang pertama kali memohon ISBN)
  2. Borang ISBN (boleh mohon lebih dari satu buku dengan menggunakan satu borang sahaja)
  3. Borang CIP
  4. Kulit depan buku
  5. Halaman judul (title page)
  6. Halaman kredit (credit page/impression page) – halaman ini biasanya kita letak notis hak cipta, tahun terbitan, dan CIP juga akan dimasukkan di dalam laman ini.
  7. Kandungan buku (table of contents) bagi buku yang ada senarai kandungan.
  8. Perkara-perkara lain yang dirasakan wajar untuk disertakan bersama-sama permohonan. (baca borang berkenaan, arahan ada di dalamnya)

Borang yang lengkap, boleh dihantar secara pos ataupun faks. Bagi yang mahu terus ke sana untuk hantar secara by-hand, lebih baik. Kalau ada kemusykilan, boleh tanya terus kepada pegawai yang berkenaan.

ISBN boleh diberikan dalam tempoh sehari. CIP dalam masa 3 hari.

Selepas dapat ISBN dan CIP, anda masih ada tugas. Setelah buku siap dicetak, 5 naskhah mestilah diserahkan kepada Pusat Bibliografi Negara dalam tempoh 1 bulan dari tarikh buku terbit. Ini mengikut Seksyen 4 (1) Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan pihak penerbit boleh didenda tidak melebihi RM3,000 (Seksyen 4(3) Akta yang sama).

Itu dulu ‘kuliah’ untuk kali ini. Harap entri ini dapat memberi sedikit maklumat kepada mereka yang sering bertanya kepada saya tentang ISBN & CIP. Jika ada soalan, boleh majukan di kotak komen. Sekiranya ada pihak pegawai PNM ataupun mereka yang mempunyai pengalaman yang lebih untuk dikongsi dengan topik ini, anda akan dialu-alukan di sini.

Saya menulis entri ini berdasarkan pengalaman berurusan dengan Pusat Bibliografi Negara ketika menerbitkan Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus tidak lama dahulu.

Written by Nisah Haron

Februari 11, 2008 at 5:58 am

Dikirim dalam ISBN

Seguni Buku

with 10 comments

Semalam ‘seguni’ buku sampai dari Amazon. (Memang sampai dalam guni pun. Sekotak buku yang dimasukkan ke dalam duni US Mail.)

Lima buah buku yang telah lama saya idamkan sampai ke tangan saya. Hati meriah tidak terkata. Nikmat yang hanya dapat dirasakan oleh pencinta buku.

Buku “At Home With Books” – How Booklovers Live with and Care for Their Libraries memberi banyak inspirasi kepada saya untuk menyusun perpustakaan sendiri ataupun cara mana untuk menghias rumah tanpa bunga tetapi penuh dengan buku. Buku jenis dengan coffee-table dengan jenis kertas art paper dan warna-warni ini sungguh mengujakan.

Buku “The Hours” pula saya mesti-baca, setelah menonton DVDnya baru-baru ini. Hanya yang kenal dan faham karya Virginia Woolf boleh menghayati novel ini dengan baik. Kepada yang tak kenal pula, boleh mencuba setelah menonton ataupun membaca karyanya Micheal Cunningham ini.

“A Room of One’s Own” karya Virginia Woolf, pernah saya baca sedikit. Jadi mahu lebih menghayatinya kali ini. Woolf menceritakan bahawa seorang penulis wanita itu boleh jadi lebih hebat daripada lelaki jika dia disediakan wang, kemudahan, dan diberi ruang untuk menulis (privasi). Katanya, Shakespeare dianggap hebat pada zaman itu kerana dia lelaki. Itu tesis buku tersebut. Kalau Shakespeare itu perempuan, belum tentu orang akan baca karyanya. Sebab itu, katanya lagi, George Eliott (penulis Silas Marner) nama pena lelaki bagi seorang penulis wanita, katanya.

“A Passion for Books” pula kisah-kisah pencinta buku tentang cinta mereka terhadap buku. Buku ini mengingatkan saya kepada “Ex-Libris” tulisan Anne Fadiman. Kata Fadiman, dia dibesarkan dalam keluarga editor. Sewaktu mereka makan malam di sebuah restoran, ketika diberikan menu, setiap ahli keluarganya secara automatik mengeluarkan pen merah dan mengedit menu tersebut.

“The Quotable Book Lover” saya beli bagi melengkapkan koleksi mutiara kata tentang buku, sastera, penulisan dan yang seumpamanya.

Ah, saya tidur bermimpikan buku lagi, malam tadi!

Written by Nisah Haron

Februari 5, 2008 at 9:40 am

Dikirim dalam Buku, Peribadi

Ahmad Zafran – Mantan Peserta MPR ’93 Pulang ke Rahmatullah

with 8 comments

Gambar : kiri sekali – Ahmad Zafran (Panah Arjuna) sewaktu Minggu Penulis Remaja 1993

Saya kenal Almarhum lama dulu – sewaktu sama-sama menjadi peserta MPR 1993. Kami juga sama-sama menang Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat 1992. Ketika itu, saya menerima hadiah untuk “Annyss Sophilea” dan Almarhum pula memenangi hadiah untuk cerpen “Cintaku Hanya Untuk-Nya”


Selepas itu, saya terputus hubungan dengannya dan hanya bertemu kembali setelah almarhum menghasilkan novel “Tegar” bersama-sama PTS.

Kami bertemu semula sewaktu “Sembang-sembang Penulis Melayu” di MPH Mid-Valley tahun 2006. Dia menegur saya dan menghadiahkan saya senaskhah novel “Tegar”nya itu.

Lalu, apabila almarhum kembali aktif menulis dengan PTS, khasnya, kami bertemu kembali di perhimpunan Alumni MPR pada Ogos tahun lalu.

SMS daripada Ridzuan (mantan MPR dan pensyarah ASWARA) petang tadi amat mengejutkan. Kemudian bertalu-talu datang dari teman-teman seangkatan.

Ya, dari Allah kita datang dan kepadan-Nya kita kembali.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Gambar : Belakang sekali (berdiri dari kiri) Azizul Ikhwan (Ode), Hafiz Noramli, Hafezin, Ahmad Zafran (Panaharjuna), Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin.

Tengah dari kiri : Firdhaus Hassan, Zulfazlan Jumrah MF Kencana, Amir Mukhriz (terlindung) Azree

Depan dari kiri : Ghafirah Idris, Raihani Mohd Saaid, Nisah Hj Haron, Hani Salwah, AinunL Muaiyannah, Atriza Omar

– Boleh juga baca mengenai berita almarhum di blog Zaid Akhtar, Puan Ainon Mohd (PTS) dan Jonos

Written by Nisah Haron

Februari 3, 2008 at 4:38 pm

Dikirim dalam Al-Fatihah, MPR