Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Februari 2006

Dialog Sasterawan Negeri Sembilan 1

leave a comment »

Susulan daripada Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005 (ASNS 2005), Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN) dengan kerjasama Maktab Perguruan Raja Melewar akan menganjurkan Dialog Sasterawan Negeri 1 pada ketetapan yang berikut :

  • Tarikh : 4 Mac 2006 (Sabtu)
  • Masa : 8.30 pagi
  • Tempat : Balai Ilmu, Maktab Perguruan Raja Melewar, Jalan Sikamat, Seremban.
  • Panel :
  • Dr. Ramli Isin (Tokoh Esei/Kritikan Sastera ASNS 2005)
  • Dr. Anuar Nor Arai (Tokoh Drama ASNS 2005)
  • Pengerusi – Mohd Zulkifli Mohd Nor (Johan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan Peringkat NS)

Dialog ini diadakan sempena Mesyuarat Agung PEN ke 29. Tahun ini ialah tahun pemilihan ahli jawatankuasa yang baru. Jadi kepada semua ahli PEN khasnya, dijemput hadir ke majlis ini. Selain daripada mendapat ilmu dan bertukar-tukar fikiran dengan tokoh-tokoh, inilah masa untuk menggunakan ‘kuasa’ menentukan kepimpinan PEN untuk 2 tahun yang akan datang.

Buku Karisma PEN: Biografi Penulis Negeri Sembilan yang telah dilancarkan semasa ASNS 2005 oleh YAB Menteri Besar, juga akan dijual dalam majlis ini. Penulis yang namanya tersenarai dalam Karisma PEN akan menerima naskhah percuma pada hari tersebut.

Kepada penulis yang namanya tidak tersenarai untuk edisi ini, masih boleh membeli buku Karisma PEN dengan harga istimewa RM15 sahaja. Jika masih juga tidak berkesempatan, buku ini masih boleh dibeli dari Ujana Ilmu.

Peminat sastera, pencinta ilmu, penikmat buku dipersilakan hadir ke majlis ini.

Sebarang pertanyaan, sila hubungi 06-6778 359 (Setiausaha 1 PEN)

Written by Nisah Haron

Februari 26, 2006 at 10:49 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Cabaran Bekerja & Anak-anak

leave a comment »

Kepada pembaca yang tidak sempat mengakses tulisan tentang keibubapaan yang tersiar dalam Berita Harian 14 Februari yang lalu, saya turunkan tulisan tersebut di sini.
Keibubapaan: Cabaran ibu bekerja

Oleh Fadzlena Jafar

Nisah Haron buktikan tanggungjawab sebagai peguam, penulis dan ibu kepada tiga anak

DALAM dunia penulisan, nama Nisah Haron (gambar) cukup dikenali. Karya hebatnya seperti Mencari Locus Standi, Farris Putera yang Hilang dan Puisi untuk Esdyzuar serta beberapa cerpen yang sering tersiar di majalah dan akhbar berjaya menempatkan penulis berbakat ini sebaris dengan penulis sezamannya.

Malah, karya beliau sering kali mengungguli pertandingan sastera yang diadakan. Tetapi apa yang menarik mengenai wanita yang berusia 33 tahun itu, beliau juga seorang peguam cara yang mengendalikan pelbagai kes membabitkan perundangan syarie dan sivil. Tidak hairanlah, beliau banyak menghasilkan artikel perundangan yang membincangkan pelbagai isu semasa.

Kini, khabarnya Nisah sedang melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Undang-undang di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan kepelbagaian bidang yang diceburinya, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana ibu muda itu membahagikan masa antara penulisan, pelajaran, kerjaya guamannya dengan rumah tangga.Apa tah pula, ketiga-tiga cahaya matanya baru berusia antara tiga tahun hingga enam tahun, kumpulan umur yang memerlukan perhatian lebih daripada ibu bapanya.

Pada pandangan mata kasar, Nisah bagaikan tidak mempunyai masalah kerana sehingga hari ini beliau masih tidak menggaji pembantu rumah.

“Bukan tiada masalah, tetapi saya perlu mengambil kira keperluan bapa yang tinggal bersama saya sejak pemergian ibu pada 1999. Memang saya sudah menetapkan, apabila berkahwinpun saya akan tinggal bersama ibu bapa kerana keluarga saya kecil, hanya dua beradik saja.

“Jadi, saya bimbang bapa berasa tidak selesa jika ada orang lain di dalam rumah. Lagipun, selepas kelahiran anak sulung saya, Maisara pada November 2000 saya mengambil keputusan untuk menjaga sendiri anak. Walau susah sekali pun, saya ingin anak membesar di bawah jagaan saya,” katanya.

Ketika itu Nisah masih berkhidmat di sebuah firma guaman di Seremban. Tetapi selepas berbincang dengan suaminya, Mohd Shukri Nasir dan mengambil kira pelbagai aspek, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan firma guaman sendiri bagi membolehkan beliau menjaga sendiri Maisara yang masih kecil.

Pada 2001, Nisah Haron & Co memulakan operasi. Dengan menjadikan rumah sebagai pejabatnya, Nisah bukan saja dapat menyiapkan kerja sambil memberi tumpuan kepada rumah tangga, bahkan berpeluang bergiat aktif dalam pelbagai kegiatan luar khususnya membabitkan dunia kesusasteraan.

Tidak cukup dengan itu, Nisah dan suami membuka satu lagi bidang perniagaan iaitu Ujana Ilmu yang menjual pelbagai buku ilmiah secara talian. Namun, bagi memastikan setiap bidang yang diceburi berjaya, mereka mengambil keputusan untuk memberikan tumpuan secara individu.

“Saya menguruskan firma guaman, manakala suami pula perniagaan buku. Kedua-dua bidang itu kami uruskan dari rumah. Bagi saya apabila ada firma sendiri di rumah pula, saya bebas memilih waktu untuk bekerja. Kadang-kadang, pukul 12 tengah malam pun saya akan buka pejabat.

“Malah, pernah juga beberapa kali pelanggan datang berbincang mengenai kes mereka pada waktu malam, jadi waktu saya sangat fleksibel. Tetapi, kini apabila saya menyambung kembali pelajaran saya mengurangkan pelanggan, mungkin antara empat hingga lima kes sebulan,” katanya yang mengakui beruntung mempunyai suami yang sangat memahami.

Beliau juga bersyukur bukan saja suaminya banyak membantu mengurangkan beban pejabat, bahkan turut mengambil inisiatif untuk belajar cara menguruskan anak khususnya kanak-kanak kecil yang memerlukan perhatian teliti.

Bagaimanapun, sejak dulu lagi Nisah berkata, beliau dan suami akan berkompromi menjaga anak dan mereka akan memastikan salah seorang berada bersama si kecil. Umpamanya, sekiranya beliau mempunyai tugasan di luar, suami akan berada di rumah dan begitu juga sebaliknya.

Ketiga-tiga anaknya yang dilahirkan dengan jarak kira-kira setahun setengah memberi kelebihan kepada Nisah kerana seperti katanya, mereka membesar bersama. Justeru, setiap kerja dapat dilakukan sekali gus dan penatnya hanya dirasakan pada waktu itu saja.

“Cabaran utama sebagai ibu ialah bagaimana hendak kawal emosi terutama apabila kita penat, anak pula buat hal. Maklum saya terbabit dalam pelbagai bidang pada satu masa Ada kalanya perasaan marah itu tidak dapat dikawal juga, tetapi saya cuba sedaya upaya untuk mengawal emosi.

“Jadi, saya mengambil pendekatan mudah – menyiapkan kerja apabila anak sudah tidur, sama ada tidurkan mereka lebih awal atau bangun awal pagi. Lagipun apabila mempunyai syarikat sendiri, masa berpihak kepada kita. Kita boleh bekerja pada bila-bila masa tanpa mengabaikan anak,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan ibu yang melarang anak mereka daripada menonton televisyen terutama program kartun, Nisah pula memberi galakan selepas melihat perkembangan bahasa si kecil yang semakin meningkat terutama Maisara yang kini mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik.

Malah, sejak kecil lagi beliau sudah menghadiahkan buku untuk si kecil bagi memupuk minat untuk membaca meskipun pada usia yang terlalu muda itu mereka masih belum boleh membaca dengan fasih. Baginya, dengan cara itu si kecil akan lebih terdedah kepada alam pembelajaran meskipun ketika ini minat mereka lebih sekadar melihat gambar dalam buku berkenaan.

Mengenai masa depan si kecil, Nisah berkata, beliau akan memberi peluang kepada mereka untuk menentukan haluan sendiri sama ada mewarisi perniagaan suaminya ataupun firma guamannya. Malah, jika si kecil menunjukkan minat terhadap bidang yang tidak berkaitan sekalipun beliau akan tetap menggalakkan.

Written by Nisah Haron

Februari 23, 2006 at 11:10 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Ayahanda Saleh Daud Pulang Kepada-Nya

leave a comment »

Penulis veteran Saleh Daud atau nama penanya Zulastri pulang ke rahmatullah pada 17 Februari 2006 di kediamannya di Kelana Jaya. Beliau meninggal dunia dalam usia 71 tahun (dilahirkan di Cincin, Jasin, Melaka pada 24 Dis 1934). Beliau banyak menulis cerpen dan sajak. Juga pernah menjadi Bendahari GAPENA dalam tahun-tahun 1990-an.

Sumbangannya yang paling besar ialah dalam sastera kanak-kanak. Tugas beliau sebagai editor Majalah Dewan Pelajar satu masa dahulu, merupakan tahun-tahun gemilang majalah itu. Beliau turut dikenali sebagai Pakcik Esdi. Lulusan SITC ini pernah menjadi guru untuk beberapa tahun sebelum bertugas dengan DBP. Beliau bersara pada tahun 1989.

Peribadi, saya tidak banyak berhubung secara langsung dengan arwah. Cuma sekali dua ketika menerima Hadiah Sayembara Cerpen Esso-GAPENA ke-10. Cerpen Persidangan Agung Wanita Klasik menemukan kami lantaran arwah merupakan bendahari GAPENA. Di kalangan penulis-penulis muda, beliau membahasakan diri sebagai ayahanda.

Kelebihan sebagai editor itu diwarisi oleh anak lelakinya Armin Salleh – Editor Pelita Bahasa (yang kini saya tidak pasti dia di majalah mana, sejak penstrukturan semula DBP).

Al-Fatihah.

Written by Nisah Haron

Februari 19, 2006 at 9:23 am

Dikirim dalam Uncategorized

Melunas Amanah

leave a comment »


Program Penghayatan Sastera & Budaya, PLKN peringkat Negeri Sembilan secara rasminya selesai malam tadi. Baru saja saya marah-marah sebelum ini tentang beberapa perkara yang saya tidak berpuas hati dalam tulisan saya sebelum ini, alih-alih, saya pula yang dilantik sebagai Penyelaras Negeri.

Sebagai penyelaras negeri, saya dikehendaki memantau ketujuh-tujuh Kem Latihan Khidmat Negara di Negeri Sembilan iaitu :

  • Kem Seri Perkasa, Mantin
  • Kem Rachado Bay, Tanjung Tuan, Port Dickson
  • Kem Ulu Pari Aqua Village, Rembau
  • Kem PDS Resort, Port Dickson
  • Kem Titian Bintangor, Rembau
  • Kem Karisma, Kuala Pilah
  • Kem Rekreasi De Bana, Jempol

Maka berangkatlah saya ke semua kem tersebut kecuali PDS Resort dan Seri Perkasa kerana pada ketika itu saya baru sahaja dilantik sebagai Penyelaras. Pelantikan itu juga agak mengejut. Saya fikir, kalau ia pun saya akan dilantik, biarlah selepas selesai satu sesi. Sesi kedua akan bermula pada 19 Mac nanti. Tetapi, disebabkan penyelaras Negeri Selangor menarik diri secara mengejut, Penyelaras NS yang lama dipindahkan ke Selangor, lalu sayalah yang terlantik di NS.

Alhamdulillah, seperti biasa saya menerimanya sebagai satu cabaran. Bukan mudah untuk pergi ke setiap kem pada malam terakhir bagi menyaksikan persembahan para pelatih. Apatah lagi bagi kem yang ‘corok’ (teramat jauh ke dalam). Saya melihat inilah peluang untuk saya memperbaiki keadaan yang ada. Kalau dulu, saya cuma boleh merungut, kini saya ada ruang dan peluang untuk memperbetulkan mana yang kurang.

Malam tadi, saya pulang dari Kem De Bana, Jempol jam 1.30 pagi. Mujuk Sdr A. Ghaffar Ibrahim (AGI) yang menjadi tokoh sastera jemputan ke kem tersebut, turut sama konvoi apabila pulang. Jalan masuk ke kem tersebut memang gelap dan kedudukan kem tersebut jauh, kena tempoh simpang ke Felda Pasoh, Felda Lui Barat dan jalan itu pula boleh tembus ke Temerloh.

Dua malam lepas, saya ke Kem Titian Bintangor, Rembau bersama-sama Kak Mahaya sebagai tokoh undangan. Dengan Kak Mahaya kami sekereta. Sungguhpun jauh jalan ke kem ini, tetapi menempuh ladang penternakan rusa (jabatan haiwan), ladang burung unta serta banyak monyet, kera bermain-main dengan rusa. [Ah… indahnya suasana rimba…]

Pernah sekali suami saya hantar ke kem Ulu Pari Aqua Village kerana saya baru saja pulang dari Konvensyen Bahasa & Pendidikan di Johor Bahru, kata Along, “Mama’s school is in the jungle.” Lalu adik-adiknya pun menyampuk langsung menyanyi, “In the jungle, the mighty jungle the lion sleeps tonight…” yang dipetik dari filem animasi Walt Disney, The Lion King.

Betapa bertuahnya para pelatih yang sempat mengikuti kem Khidmat Negara ini. Saya melihat lebih banyak yang positif berbanding negatif. Mungkin selama 6 malam, tidak mungkin menjadikan mereka pencinta seni dan sastera, tetapi sekurang-kurangnya pengisian Program Penghayatan Sastera dan Budaya ini memberi mereka pendedahan dan penghayatan dalam pelbagai aspek dalam sastera. Mereka tidak akan memikirkan program sastera ini dilakukan hanya untuk lulus periksa semata-mata.

Written by Nisah Haron

Februari 16, 2006 at 10:48 am

Dikirim dalam Uncategorized

Cabaran Bekerja Dari Rumah

leave a comment »

Berita Harian, 14 Februari 2006 menyiarkan gambar kami sekeluarga. Fokusnya tentang cabaran bekerja dari rumah. Kepada yang tidak sempat membacanya, boleh klik pautan ini. Saya kira ia boleh dibaca dalam tempoh satu minggu dari sekarang.

Tujuan saya bukanlah untuk berbangga dengan pencapaian yang sedikit ini. Ia diharap dapat memberi rangsangan kepada wanita lain yang turut mengalami situasi serupa. Bukannya banyak benar pun pencapaian saya. Sekadar memanfaatkan masa yang amat sedikit sambil melayan keghairahan untuk melakukan banyak perkara.

Apapun, alhamdulillah, Tuhan telah mengabulkan banyak permintaan saya walaupun sesetengahnya Dia menolak dengan penuh hikmah. Saya perlu banyak bersyukur di samping cabaran-cabaran yang disusun untuk mendewasakan diri.

Written by Nisah Haron

Februari 14, 2006 at 2:03 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Konvensyen Bahasa & Pendidikan JB

leave a comment »

4 Feb 2006, Hotel M Suite, Danga Bay – Saya telah diundang oleh DBP Wilayah Selatan untuk mempengerusikan forum besar berjudul Bahasa Kebangsaan sebagai Medium Pembinaan Sebuah Negara Bangsa Malaysia yang Berilmu Tinggi : Cabaran dan Usaha Mengatasi. Membaca judulnya sahaja boleh senak perut. Apatah lagi, apabila saya diberitahu bahawa antara panelnya ialah Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan Mantan Ketua Pengarah DBP, Dato’ A. Aziz Deraman. Mula-mula dapat panggilan telefon, sesekali rasa macam nak pitam!

Belum pernah lagi saya diberi tugas yang demikian besar. Seperti biasa saya terima segalanya sebagai satu cabaran. Alhamdulillah, turut sama dalam forum tersebut ialah Sdr. Suhail Ahmad (Presiden Persatuan Pelajar Islam) yang masih muda belia. Sekurang-kurangnya tidaklah saya seorang sahaja mewakili generasi muda di atas pentas.

Pun, Prof. Nik, Dato’ Aziz dan Suhail merupakan panel yang tidak banyak karenah. Saya juga diminta mengendalikan forum tersebut dalam suasana yang agak santai serta memberi banyak peluang kepada peserta konvensyen mengambil bahagian dalam sesi soal jawab. Apatah lagi, pada sebelah paginya, peserta telah dibentangkan dengan isu-isu besar dan berat dalam Bahasa Melayu oleh Prof. Dr. Awang Sariyan dan Hjh Noresah (Ketua Jabatan Bahasa, DBP). Dalam sesi kedua, Dr. Ir. Zaini Ujang (UTM) dan Dr. Ahmad Murad Merican (UiTM) turut memberikan pandangan yang bernas dalam kertas kerja masing-masing.

Tujuan konvensyen ini ialah antara lain mendesak supaya kerajaan mengembalikan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Desakan ini timbul ekoran kesan dan tamparan kepada bangsa Melayu sendiri apabila kedua-dua mata pelajaran tersebut diajar dalam Bahasa Inggeris. Betapa sekian ramai anak-anak Melayu kian keciciran dalam subjek-subjek tersebut. Itu belum lagi dicampur dengan guru-guru yang tidak terlatih dalam Bahasa Inggeris terpaksa mengajar anak-anak didik mereka.

Turut disentuh dalam konvensyen ini ialah kematian akhbar Utusan Melayu Mingguan yang diterbitkan buat kali terakhir pada 29 Januari 2006. Itulah nasib tulisan jawi apabila tidak mendapat sokongan daripada pengguna Melayu yang beragama Islam. Berapa peratus daripada orang Melayu sebenarnya boleh membaca tulisan jawi setelah ia dikeluarkan daripada kurikulum sewaktu Khir Johari menjadi Menteri Pelajaran?

Dalam hal akhbar berbahasa Melayu pula, ramai yang bimbang akan nasib akhbar-akhbar ini. Jika kita tidak hati-hati, Bahasa Melayu juga akan menjadi seperti Bahasa Latin yang telah pupus. (Hanya kami, pelajar Undang-undang masih aktif menggunakan frasa-frasa Latin yang sukar diganti/terjemah maknanya ke dalam bahasa lain, seperti prima facie, doli incapax, ignorantia legis non excusat).

Namun, kita juga harus kritikal terhadap tulisan-tulisan ataupun artikel-artikel dalam akhbar berbahasa Melayu. Ada pihak yang merasakan membaca akhbar Melayu ini tidak puas. Nipis dan isinya lebih banyak mengutarakan hal-hal politik dan apa yang dilakukan oleh tokoh-tokoh politik. Sedikit sebanyak saya juga menyetujui pandangan ini. Berbanding dengan akhbar Inggeris yang lebih tebal halaman dan juga isi, akhbar Melayu tidak banyak isu yang mengutarakan hal-hal bersifat ilmiah / pengetahuan. Lebih banyak juga tentang artis dan hiburan. Malah ada sisipan khas untuk hiburan pada setiap minggu.

Barangkali, ini ekoran daripada sistem mata pelajaran media dan komunikasi – lebih banyak menghasilkan wartawan dan pelapor berbanding jurnalis yang kritis dan menulis hal-hal tertentu secara mendalam. Ya, kita sangat kekurang penulis demikian dalam akhbar berbahasa Melayu. Mungkin juga golongan yang kritis ini wujud, namun tiada wadah dan ruang yang disediakan dalam akhbar-akhbar ini.

Bukan saya hendak mengangkat akhbar berbahasa Inggeris, tetapi cuba baca akhbar The Star, sebagai contoh. Akhbar tersebut tebal (pada setiap hari, dan tebalnya bukan kerana ada sisipan prospektus saham) begitu juga dengan rencana-rencananya. Seimbang laporan tentang tokoh-tokoh politik dengan tulisan-tulisan yang berbentuk separa ilmiah serta boleh menggugah minda pembaca.

Namun, konvensyen sehari itu dapat membuka minda generasi muda (kehadirannya 90% pelajar IPTA & IPTS). Saya melihat adanya sinar dan harapan dalam anak mata setiap pelajar di hadapan saya dalam konvensyen tersebut. Mereka ini ialah golongan yang menyedari kepentingan Bahasa Melayu sebagai akar kepada jati diri. Mereka juga golongan pengguna Bahasa Inggeris dalam pengajian masing-masing. Semoga mereka dapat menyeimbangkan kedua-duanya dengan cara yang paling bijaksana.

Written by Nisah Haron

Februari 11, 2006 at 4:41 am

Dikirim dalam aktiviti sastera