Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for April 2008

Bergurindam di Kota Kinabalu

with 3 comments

Atas undangan pihak DBP Cawangan Sabah (dengan kerjasama DBP Kuala Lumpur) saya menyempurnakan satu permintaan untuk program penghayatan KOMSAS di Kompleks Asia City, Kota Kinabalu, Sabah semalam.

Pada mulanya saya agak keberatan kerana bagaimana mungkin saya terbang ke tempat yang agak jauh apabila si kecil saya ini harus mengikut saya walau ke mana-mana sekalipun. Asalnya, saya dijadualkan terbang pada hari Ahad, hadir untuk majlis tersebut pada hari Isnin dan terbang pulang pada hari Selasa. Oleh sebab, pihak penganjur keliru dalam menentukan bagaimanakah cara untuk membiayai penerbangan saya dan juga si kecil saya (yang saya difahamkan, hanya tambah 10% daripada harga tiket kerana bawa baby bawah umur 2 tahun), jadi jadualnya pun ditukar kepada pergi dengan penerbangan jam 9.00 pagi dan pulang pada jam 7.30 malam hari yang sama.

Dengan itu, saya memilih untuk meninggalkan si kecil saya dengan bapanya! (Maaf, sayang. Adakalanya ibumu ini diperlukan juga oleh jagat kesusasteraan.)

Perjalanan ke KK agak baik cuma penerbangan sedikit terlewat kerana ada tiga orang penumpang yang telah mendaftar masuk bagasi tetapi sehingga dipanggil masih lagi tidak jumpa kapal terbangnya. Oleh itu, pihak penerbangan terpaksa mengeluarkan semula bagasi mereka dan kami pun terus terbang tanpa mereka. Sungguh menyusahkan orang lain, apatah lagi saya yang agak lapar kerana berkejar ke KLIA tanpa sempat bersarapan terlebih dahulu.

Dalam penerbangan, saya sempat menelaah tulisan tentang teater fitrah kupasan SN Nordin Hassan yang ditulis dalam majalah Pentas keluaran Mac/April 2007. Saya pernah baca wawancara dan juga rencana tersebut lama dahulu, namun saya fikir saya harus membuat persediaan kerana pihak penganjur meminta saya menyampaikan topik – Penghayatan Puisi dan Drama KOMSAS.

Pesawat MAS penerbangan MH 0080 yang mahu meneruskan penerbangan ke Narita itu sampai di KKIA dan saya dijemput oleh Puan Rasyidah dan Encik Jaafar Ungki (kedua-duanya pegawai DBP Cawangan Sabah).

Walaupun saya memilih untuk tidak menyentuh tentang konsep teater fitrah ini kepada pelajar-pelajar dalam penyampaian saya, namun saya telah menduga pasti ada soalan tentang drama Jangan Bunuh Rama-rama. Persediaan saya tidaklah sia-sia kerana memang ada satu soalan daripada seorang pelajar yang bertanya – bagaimanakah cara untuk memahami drama anti-realisme seperti Jangan Bunuh Rama-rama.

Saya tak pastilah sama ada soalan itu disogokkan oleh guru pengiringnya ataupun itu merupakan pengalaman beliau sendiri membaca naskhah drama tersebut. Pun, saya hargai soalan tersebut.

Sebelum acara saya bermula pada kira-kira jam 2.30 petang, terlebih dahulu ada pertandingan bercerita dalam bahasa/dialek Kadazandusun. Wah, bersemangat sekali adik-adik sekolah rendah ini menyampaikan cerita dengan gaya masing-masing. Busana masing-masing juga tidak kurang hebatnya. Sayang sekali, saya tidak faham bahasa itu. Saya percaya, ceritanya pasti menarik!

Sementara menunggu giliran acara saya, sempat juga melihat-lihat Pesta Buku Sabah 2008 yang turut diadakan di tempat yang sama. Tidak berapa besar pestanya, tetapi cukup untuk memenuhi ruang legar Kompleks Asia City itu. Khabarnya, kompleks ini masih baharu hatta para penganjur pun ramai yang pertama kali menjejaki tempat itu seperti saya!


Pada peringkat permulaan, saya tarik perhatian mereka dengan menyampaikan contoh-contoh syair, gurindam dan seloka. Ada pula yang meminta tunjur cara menyampaikan nazam. Mujur juga ada sebuah nazam spare dalam beg tangan. Dapatlah juga saya lagukan pada ketika itu. (Yang penting saya tegaskan bahawa rentak nazam bukanlah seperti Lagu Nazam Lebaran).

Bagi puisi moden, dalam jangka waktu yang agak terhad itu saya sempat berkongsi bahawa puisi itu boleh dibaca, dideklamasi dan juga boleh dimestamukan. (Mestamu = Melodi Sajak Tanpa Alat Muzik)

Jelas mereka tertarik mendengar pelbagai rentak syair dan pertama kali mendengar mestamu, gurindam dan seloka. Apabila minta mereka naik ke pentas untuk sama-sama bersyair, berpuisi, ramai juga yang berani dan menyahut cabaran saya. Bahagia sekali apabila penonton mengambil bahagian tanpa banyak karenah. Malah ada juga guru yang mengusik, mahu turut sama mengambil bahagian. 🙂

Untuk drama pula saya perkenalkan aktiviti-aktiviti penghayatan seperti improvisasi, menulis monolog sebagai tambahan kepada teks asal, ‘balang kaca’ dan ‘kerusi panas’.

Usai majlis, pelajar dan guru nampak seronok. Saya pun terasa puas kerana jumlah peserta yang sederhana itu membuatkan tumpuan yang lebih dapat diberikan. (Kumpulan yang terlalu besar biasanya sukar mencuri tumpuan mereka. )

****

Kalau sudah sampai ke KK, saya mesti carai kopi Tenom! Saya mohon kepada Encik Nadin (DBP Sabah) dan Puan Rasyidah supaya dapat mengusahakan permintaan saya itu. Tanpa berlengah-lengah lagi, Encik Nadin memandu terus ke Pasar Besar Kota Kinabalu. Sampai di situ, kedai yang menjual kopi Tenom yang siap dikisar secara live sudah tutup (kerana sudah jam 5 petang). Saya sedikit kecewa. Mujur juga dapat dipujuk apabila ada sebuah kedai lain yang menjual kopi secara loose walaupun tidak dikisar di situ. Ah, bekalan Kopi Tenom untuk tahun ini sudah cukup! Lagipun, saya bukanlah peminum kopi hari-hari.

Sampai di KKIA sudah lewat senja. Sempat melihat matahari terbenam di Laut China Selatan dari lapangan terbang. Satu fenomena yang tidak kurang menarik, apatah lagi sebuah pesawat melintasi di hadapan matahari itu. Cuma kamera saya tidak cukup canggih untuk menangkap gambar itu dengan cepat. Ketika punat ditekan, pesawat itu sudah melintasi matahari terbenam itu.

Pagi ini saya masih terasa seperti tidak percaya bahawa saya telah ke KK semalam pagi dan pulang malam tadi. Pagi ini walaupun masih ada saki-baki kantuk dan letih letak, entri ini perlu disudahkan sebelum ‘semangatnya’ berterbangan…

***

Entri tentang KK & Tenom sebelum ini :

Pertama Kali Kaki Memijak Bumi Borneo

Catatan Dari Kota Kinabalu

Perjalanan Melintasi Gunung-Ganang 1

Perjalanan Melintasi Gunung-Ganang 2

Flora Yang Melambai-lambai

Written by Nisah Haron

April 29, 2008 at 7:50 am

Dikirim dalam puisi tradisional

Hadiah Hari Lahir 2008

with 3 comments

Entri terima kasih untuk semua ucapan hari lahir saya pada tahun ini agak lewat dikemaskini. Selepas Pesta Buku yang lalu, banyak perkara berlaku yang menyebabkan saya agak hilang tumpuan untuk menulis apatah lagi untuk mengemaskini blog ini.

Pun, saya menghargai setiap kunjungan dan komen yang ditinggalkan sama ada pada setiap hujung entri ataupun pada CBox yang disediakan di bahagian bawah blog ini.

Antara sebab yang mungkin menyebabkan saya lewat mengemaskini – mungkin kerana saya ‘mabuk buku’ – banyak sekali buku-buku dari Pesta Buku yang lalu yang mendapat perhatian saya. Seperti biasa, saya ni ‘tamak’ ketika membaca. Maka bersusun-susunlah buku yang telah saya mulakan pembacaannya di kamar tidur – hinggakan tinggi lagi buku daripada bantal.

Untuk hari lahir yang lalu, selain menerima ucapan selamat melalui SMS, emel dan juga pesanan-pesanan yang ditinggalkan di blog ini, saya harus merakamkan penghargaan kepada mereka yang menghadiahkan saya buku-buku berikut:

Bahagia sekali apabila menerima buku-buku tersebut sebagai hadiah hari lahir. Apatah lagi buku-buku tersebut belum lagi berada di dalam koleksi saya sebelum ini.

  • Brida (Paulo Coelho)
  • Pengembaraan Ibnu Batuttah
  • 68 Soneta Pohon Ginkgo (saya hadiahkan buku ini kepada diri sendiri – apatah lagi buku ini ada bertandatangan Pak Samad)
  • Dua buku kecil di bahagian hadapan itu ialah buku nota yang dibuat sendiri (handmade) oleh Emila Yusof berserta dengan kad yang dihiasi lukisannya sendiri.
(Terima kasih Emila, kerana sudi menghantar hadiah ini melalui Pos Laju! Saya sungguh-sungguh tak sangka akan menerima bingkisan itu.)

Pada hari lahir yang lalu juga, saya tidak berapa ‘rajin’ hendak membancuh kek sendiri. Jadi, saya berunding dengan anak-anak – mama tak ada mood untuk buat kek kali ini. Sebagai gantinya, saya sekeluarga makan-makan di luar. Belikan masing-masing sticker gambar kartun yang sedang menjadi kegilaan mereka. (Maklumlah anak-anak perempuan, tentunya gila sticker).

Itu sahaja sudah membuatkan mereka berpuas hati. Si kecil pun sama-sama seronok . Malah itu yang lebih penting. Berkongsi masa yang berkualiti bersama-sama mereka. Sesuatu yang boleh dikenang, insya-Allah.

Selebihnya, masa untuk bermuhasabah setelah hidup lebih tiga dekad, saya harus memikirkan kembali sejauh manakah pencapaian diri dan sejauh mana lagi yang harus digapai. Di mana kita bermula dalam hidup ini tidak menjadi soal, yang penting ialah di perhentian mana kita sampai akhirnya.

Terima kasih semua.

Written by Nisah Haron

April 27, 2008 at 11:51 am

Dikirim dalam hari lahir, Peribadi

Kerja Rumah untuk Guru

leave a comment »

Beberapa hari yang lalu, saya diundang oleh Persidangan Kebangsaan Pengetua-Pengetua Se-Malaysia (PKPSM) Cawangan Negeri Sembilan ke Hotel Crystal Crown, Johor Bahru untuk menyampaikan bimbingan kepada pengetua-pengetua seluruh Negeri Sembilan dari aspek penulisan kreatif, khususnya cerpen.

Apabila dihubungi oleh Cikgu Norizan – yang pernah mengajar saya subjek Rampaian Sains sewaktu di SMKA SHAMS sekitar tahun 1990 – kini beliau Pengetua, SM Sains Tuanku Jaafar, Gentam, Kuala Pilah – saya amat terkejut mendengar permintaannya itu.

Saya sudah biasa memberi ceramah ataupun bimbingan kepada pelajar sekolah, peserta MPR, staf KEMAS tetapi belum pernah lagi berceramah di hadapan sekian ramai pengetua! (Pengetua, ya, bukannya guru biasa).

Untuk mengamankan perasaan, saya pun membayangkan sewaktu di dalam mahkamah dahulu. Ketika di mahkamah, saya akan hadapi lawan saya dengan sikap profesional yang sama – tak kiralah peguam di pihak lawan itu jauh lebih senior ataupun jauh lebih junior daripada saya sendiri.

Dengan pendirian yang sedemikian, saya bawa diri seadanya dan cuba sedaya upaya memberikan satu kuliah ataupun lebih sesuai dinamakan ‘crash-course‘ tentang penulisan cerpen (saya harus jadikan mereka semua boleh menulis berdasarkan bimbingan tidak lebih daripada 4 jam!).

Mujurlah mereka semua boleh dikatakan bersifat terbuka dan positif – mahu mempertingkatkan diri dalam penulisan kreatif. Kisah dan pengalaman mereka sebagai pengetua amat banyak sekali dan tentunya menarik jika boleh disampaikan dengan cara yang terbimbing.

Alhamdulillah, pada penghujung acara, mereka nampaknya lebih yakin untuk menulis – terutama sekali pengetua yang bukan berasal daripada bidang bahasa, seperti aliran matematik, sains, perdagangan dan sebagainya. Saya percaya, mereka punya kisah yang luar biasa dan mereka cuma perlu menyampaikannya dengan cara yang baik.

Tiga orang guru yang pernah mengajar di sekolah saya kini pengetua di tempat masing-masing – iaitu Puan Norizan Abdul Latif (Pengetua, SM Sains Tuanku Jaafar), Puan Noriyah Hashim (Pengetua, SM Senawang) dan Puan Siti Hawa (Pengetua, SM Puteri, Seremban).

Memang seronok dan sesekali nostalgik bertemu dengan mereka semula. Andainya diri saya hari ini dianggap berjaya, semuanya itu daripada Allah dan berkat tunjuk ajar guru-guru saya yang hebat ini. Sesungguhnya, saya yang lebih berterima kasih kepada mereka kerana apa yang saya kongsi bersama-sama mereka dalam tempoh tidak sampai 4 jam itu, merupakan apa yang telah diajar oleh guru-guru saya sebelum ini juga.

Sekadar untuk suka-suka, setelah tamat 2 jam pertama, saya beri ‘kerja rumah’ kepada semua pengetua – dengan nada kecindan. Mereka juga tergelak, apabila seorang bekas anak murid memberikan kerja rumah kepada guru-guru!

Guru-guru saya : Puan Norizan (kiri sekali berbaju ungu muda) dan Puan Noriyah (sebelah saya berbaju merah)

Written by Nisah Haron

April 24, 2008 at 7:29 am

Insan-insan di belakang tabir

with 8 comments


Ada banyak cerita pasca Pesta Buku yang lalu. Kebanyakannya masih di dalam bentuk draf dan belum sempat untuk saya muatnaik atas sebab beberapa hal.

Sementara itu, saya ingin kongsi gambar istimewa ini – saya namakan, “Insan-insan di belakang tabir”. Dari kiri : Kak Lina (puteri SN Usman Awang), Abg. Helmy (putera Pak Samad), Shukri (orang kuat http://www.ujanailmu.com.my) dan Emila (ilustrator dan designer karya-karya Pak Samad dengan Wira Bukit).

Mereka semua jarang berada di barisan hadapan, namun tanpa mereka semua hasil karya pengarang mungkin tidak dapat diketengahkan dengan sewajarnya.

Written by Nisah Haron

April 17, 2008 at 6:36 am

Bengkel Hak Cipta [Percuma!]

with 3 comments

~ Ini entri hebahan. Untuk entri terkini, sila skrol ke bawah. ~

Terkini 2 : Penyertaan masih dibuka! Sila e-mel nama kepada saya nisah.haron@gmail.com atau terus kepada Puan Dahlina Daut (DBP) – dahlinadaut@gmail.com


Terkini
: Kepada peserta yang berminat harap dapat datang sekitar 9.30 pagi untuk urusan pendaftaran. Sarapan juga disediakan oleh pihak penganjur. 🙂

Bengkel Hak Cipta sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur.

Tarikh : 12 April 2008 (Sabtu)
Masa : 10 pagi – 2 petang
Tempat : Bilik Johor/Kedah, PWTC, Kuala Lumpur

Penceramah : Nisah Haji Haron
Penganjur : Dewan Bahasa dan Pustaka & PEKOMIK

Penyertaan PERCUMA.

Sila e-mel pada saya untuk menyertai bengkel ini : nisah.haron@gmail.com

Written by Nisah Haron

April 12, 2008 at 8:11 pm

Dikirim dalam hak cipta, Pengumuman

Pelancaran Buku "Karya Kita Hak Kita"

with 3 comments

~ Ini entri hebahan. Untuk entri terkini, sila skrol ke bawah. ~

Kepada semua pengunjung blog dan mereka yang menerima maklumat ini, saya dengan segala sukacitanya mengundang anda semua ke majlis pelancaran buku “Karya Kita Hak Kita” seperti di dalam butiran yang berikut :

Tarikh : 11 April 2008 (Jumaat)
Masa : 4 petang
Tempat : Pentas Prima, Dewan Tun Razak 2, PWTC, Kuala Lumpur
(Dewan Tun Razak 2 terletak di seberang sungai dan anda dinasihatkan datang dari Jalan Ipoh dan parkir di sekitar belakang Pusrawi ataupun perkarangan pintu belakang PWTC.)

Buku ini dan 3 buah buku lain (termasuk buku Faisal Tehrani – Karya Nan Indah) akan dilancarkan oleh Yang Berbahagia Dato’ A. Samad Said.

Jumpa di sana!

Written by Nisah Haron

April 11, 2008 at 7:44 am

Dikirim dalam Buku, hak cipta, Pengumuman

Koleksi KLIBF ’08

with 5 comments


Semalam sempat singgah di Pesta Buku untuk membeli belah, bukan untuk buat appearance di Gerai Al-Ameen. Sengaja kosongkan hari untuk bersantai menikmati buku. Pun, sangkaan sangat meleset kerana masih ada rombongan sekolah yang memenuhi ruangan TR3. Boleh tahan sesaknya.

Yang paling aman, tentunya di sekitar gerai Wira Bukit (TR2), boleh santai-santai dan minum-minum. Lagipun semalam hari lahir Pak Samad. Sempat jugalah mengujar ucap selamat kepada beliau sambil bersembang pendek dengan Dr. Siti Zainon Ismail yang sudah lama tidak bertemu. Tidak ketinggalan, mendapatkan tandatangan Pak Samad untuk buku terbaharunya 68 Soneta Pohon Gingko.

Sesiapa yang Pesta Buku mesti singgah di gerai Wira Bukit di TR2 kerana latar dindingnya menarik sekali dan sangat sesuai dijadikan latar belakang untuk bergambar. Lihat sahaja sesiapa yang bergambar dengan Pak Samad di gerainya, memang sesuai untuk difremkan!


Pembelian setakat semalam :

1. Falsafah Dunia (Ninian Smart) – ITNM
2. Dunia Sophie (Josten Gaarder) – ITNM
3. 68 Soneta Pohon Gingko (A. Samad Said) – Wira Bukit
4. Buat Duit Dengan Terbit Buku Sendiri (Nazrul Samsudin) – MNS
5. Memahami Penerbitan Buku (Hamedi Mohd Adnan) – Medium
6. Memahami Penyuntingan Naskhah (Hamedi Mohd Adnan) – Medium
7. Kenang-kenangan Abdullah Munsyi (Zahari A. Rashid) – IBS Books
8. Mencari Jalan Pulang (Kassim Ahmad) – ZI Books
9. Saga Horizon (Fadli Al-Akiti) – Alaf21

Nampak sedikit sahaja jumlahnya. Oh, ini koleksi peribadi. Buku-buku lain biasanya akan dipesan melalui Ujana Ilmu dan saya masih dapat menikmatinya dan kalau buku-buku itu cukup baik, langsung saya jadikan koleksi peribadi.

Ini sahajalah yang sempat saya borong buat masa ini. Mungkin hari Jumaat ataupun Sabtu ini, ketika saya di Pesta Buku untuk 2 acara (pelancaran buku KKHK & Bengkel Hak Cipta), entah-entah bertemu lagi dengan permata yang tersembunyi di celah-celah gerai di sini.

Written by Nisah Haron

April 10, 2008 at 10:53 am

Dikirim dalam Buku, Peribadi, Pesta Buku

Pagi di Forum Hak Cipta, petang di PWTC

leave a comment »

Ketika di Forum Hak Cipta…


Selepas forum…


Tandatangan buku KKHK untuk Tuan Haji Hamzah Hamdani (orang yang paling banyak bertanya)…


Lari ke PWTC di Gerai Al-Ameen…
Zamri Mohamad singgah mendapatkan autograf


Suasana gerai Al-Ameen yang meriah…

Gambar di atas ihsan dari Flickr Firdaus (Ibnu Ariff)


Melepas lelah di hujung acara…

Written by Nisah Haron

April 6, 2008 at 11:02 am

Saya di Gerai Al-Ameen Serve

leave a comment »


Insya-Allah, saya akan bersama-sama dengan pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5 April 2008 mulai jam 2 petang.

Saya akan berada di Gerai Al-Ameen Serve Holdings – Lot 3147 – 3149 Dewan Tun Razak 3 (depan Gerai Dawama)

Semoga kita bertemu di sana!

Written by Nisah Haron

April 5, 2008 at 3:10 pm

Dikirim dalam Buku, hak cipta, Pengumuman

Singgahan Awal di PBAKL ’08

with one comment

Awal pagi bertolak dari Seremban kerana ada beberapa urusan Ujana Ilmu yang mesti diselesaikan. Sasaran utama : mesti sampai di Pesta Buku Antarabangsa KL sebelum jam 10.00 pagi.

Alhamdulillah, Allah telah mempermudahkan banyak urusan untuk sampai ke sana. Sejurus sampai, (saya letak kereta di belakang Pusrawi, Jalan Ipoh dan masuk ikut pintu belakang PWTC) terus mencari gerai Wira Bukit Sdn Bhd. Antologi-antologi buku 9! dan 12! sudah kami letakkan di gerai itu. Gerai tersebut di Dewan Tun Razak 2 (seberang sungai, masuk ikut Jalan Ipoh lebih sesuai).

Di Gerai Wira Bukit bersama-sama Dato’ A. Samad Said

Alamat gerai Wira Bukit : Lot 2088 & 2089, Dewan Tun Razak 2 (TR2)

Boleh dapatkan buku saya “Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus” di gerai ini juga.

***

Kemudian singgah ke Gerai Al-Ameen Serve – Lot 3147 – 3149 di Dewan Tun Razak 3 (TR3), berhadapan dengan gerai Dawama Bhd.

Buku saya “Karya Kita Hak Kita” sudah mula dijual di gerai tersebut. Khabarnya laku dengan baik setakat pagi ini. Alhamdulillah. Ketika di gerai Al-Ameen, bertemu dengan Sdr Jeniri Amir (pensyarah komunikasi Unimas) dan sahabatnya Encik Openg Onn (dari Radio 24). Mereka membeli buku Panduan Hak Cipta saya itu – langsung sempat menurunkan autograf.

Turut dijual di gerai ini – novel saya, Puisi Untuk Esdyzuar.

***

Buat laluan pantas untuk meninjau kedudukan semua gerai dan mengenal pasti buku-buku yang patut dibeli apabila datang kembali ke sini semula.

Banyak kali diganggu ‘lalat-lalat’ dari syarikat yang sibuk mahu menjual produk untuk kanak-kanak dan syarikat yang mahu menjual program berbahasa. Nyaris kena baling dengan kasut mereka ini, kerana saya cukup anti dengan produk mereka.

Di gerai MPH Distributor, berbaris panjang mereka yang mahu mendapatkan tandatangan Dr. Sheikh Muzafar dengan bukunya “Reaching For the Stars”. Mana-mana gerai yang ramai orang, tentu sahaja saya mengelak.

Di sekitar gerai Alaf 21, sempat bersalaman dengan Kak Lily Haslina Nasir dan Kak Shaidah Shafie (kedua-duanya mantan MPR).

Saya bergerak pantas kerana masa amat cemburu!

***

Sebelum pulang, singgah ke gerai PTS untuk mengambil buku-buku yang telah dipesan. Di sana, saya bertemu dengan Asma Nadia (adik kepada Helvy Tiana Rosa) yang bertamu di gerai tersebut. Asma dijadualkan berada di Universiti Malaya esok tetapi Tuhan jodohkan pertemuan kami di Pesta Buku. Sempat juga dia menghadiahkan sebuah buku untuk saya dan bergambar kenang-kenangan.

Written by Nisah Haron

April 4, 2008 at 1:54 pm

Dikirim dalam Pesta Buku