Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Jun 2006

Cari Punca Kenapa Jadi Keruh

leave a comment »

Saya amat tertarik dengan kenyataan yang dibuat Menteri Besar Negeri Sembilan dalam akhbar Utusan Malaysia 29 Jun 2006. Saya membaca versi online.

Dalam kekecohan dan tekanan antara kem Mahathir & kem PM semasa, beliau mengulas dengan tenang, tidak turut emosi seperti sesetengah menteri.

Saya turunkan petikan itu di sini :

Cari punca kenapa jadi keruh

SEREMBAN 28 Jun – “Untuk mendapat air jernih di hilir kita kena cari punca utama kenapa ia menjadi keruh di bahagian hulu dan kalau dah bertemu kawasan keruh itu kita tak boleh terus pakat-pakat kacau, nanti bertambah keruhlah dia.

“Kalau ada kerbau seekor kita kena tangkap dan bawa keluarlah ia, jangan kita bubuh lagi beberapa ekor kerbau, haru nanti,” kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika diminta pendapat mengenai kemelut yang melanda UMNO sekarang.

Menurutnya, sekiranya ada masalah ia perlu dilakukan secara bersemuka dan berbincang bersama-sama demi kepentingan UMNO dan orang Melayu.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini, jelas beliau, sekiranya isu itu dibincangkan secara terbuka ia merugikan orang Melayu dan UMNO serta tidak akan ada pihak yang akan menang.

Katanya, perkara itu perlu diselesaikan sebaik mungkin, umpama menarik rambut daripada dalam tepung, rambut tidak boleh putus dan tepung pula tidak boleh berselerak dan berterabur.

“Prinsip saya adalah jelas dan tetap iaitu pemimpin lama perlu dihormati manakala pemimpin sekarang pula perlu ditaati.

“Pepatah orang-orang tua Negeri Sembilan menyebut ‘sakit berpunca mati bersebab’, kita tidak akan sakit dan mati dengan tiba-tiba, mesti ada sebab dan puncanya, maka kita kenalah pakat-pakat cari puncanya dan selesaikannya dengan baik,” katanya.

Saya percaya bahawa dalam kes Chef Chimiko, ia banyak melibatkan maruah. Sebagai orang Islam, kita wajib memelihara maruah orang lain. Maruah Chef Senandika, maruah peserta bengkel masakan, juga mesti dijaga.

Jadi, di sini saya tidak langsung berniat untuk memalukan sesiapa. Sebab itu saya menulis secara analogi begini. Kalau ada pihak yang mahu tahu apakah sumber cerita dan berita ini, perlu rajin bertanya pada orang lain dan carilah di tempat lain.

Seperti kata Perbilangan Adat :

Tak ada keruh yang tak jernih,
Tak ada kusut yang tak selesai.
(kusut yang tak boleh selesai, kata datuk adat,
hanyalah kusut sarang tempua)

Kalau situasi sudah bertambah keruh, usahlah kita masuk ke dalam air itu kalau sekadar mahu menambah kekeruhannya. Apakah peranan terbaik yang wajib kita mainkan?

Fikir-fikirkan…

Written by Nisah Haron

Jun 30, 2006 at 7:41 am

Dikirim dalam Uncategorized

Tragedi Dunia Sastera

leave a comment »

Semalam dan beberapa hari sebelumnya, ada satu kisah yang sampai ke telinga saya. Hendak dikatakan cerita lucu, sedih, luka dan sebagainya, semacam ada pelbagai perasaan yang berbaur. Hendak ditulis kisah yang sebenarnya, akan melibatkan sensitiviti dan banyak pihak yang berkepentingan. Jadi, biarlah kisah ini saya tulis secara analogi. Bagi yang faham, tentu akan terkena batang hidung sendiri. Bagi tidak faham, ada pilihan: sama ada buat-buat faham ataupun bertanya kepada sesiapa yang faham. Cuma, tidak boleh bertanya kepada saya.

Selebihnya, terpulanglah kepada tafsiran pembaca untuk mengkategorikan cerita ini di bawah 18SX, 18PA ataupun U.

Ini kisah tukang masak istana. Chef bertaraf diva. Dia memang kegemaran raja kerana bukan sahaja masakannya enak, malah bahan-bahan dalam makanan dan penyediaan makanannya juga sangat berkhasiat. Namanya Chef Chimiko.


Oleh sebab raja ini bukannya kekal selama-lamanya, adalah juga raja yang gemarkan makanan-makanan segera seperti burger, mi segera dan yang seumpama dengannya. Pendek kata, di dapur istana itu ada pelbagai resepi yang dihidangkan untuk memenuhi pelbagai selera di istana itu.

Chef yang menjadi pakar penyediaan makanan segera ini namanya Chef Senandika – kononnya dia gemar bermonolog ketika masak. Maklumlah, untuk buat makanan segera bukannya susah sangat, buka plastik dan terus campak atas kuali ataupun buka karung mi segera dan terus rendam dalam air mendidih. Tak sampai 5 minit pun boleh siap.

Secara tidak langsung, wujudlah dua aliran masakan di istana ini. Masing-masing menyedari hakikat bahawa selera penghuni istana ini tidak sama. Terutama sekali anak-anak raja yang gemarkan makanan segera kerana ia enak. Mereka tak pernah fikirkan pun soal khasiat.

Chef Senandika selalunya tidak cukup tangan kalau sampai permintaan daripada anak-anak raja yang ramai itu. Jadi, dia pun buka franchise untuk mudahkan kerja dia. Tapi dalam masa yang sama, dia turut menghasilkan resepi-resepi baru dari jenis makanan segera ini. Bagi dia, hal itu tidaklah susah sangat kerana bahannya tetap sama, yang penting bagaimana formula makanan itu dimanipulasikan.

Chef Chimiko pula selalunya mengambil masa yang lebih dalam penyediaan makanan dan hidangannya. Dia sentiasa memastikan setiap makanannya seimbang dan mesti ada khasiat kepada penghuni istana itu. Tidak dinafikan makanannya enak lagi berzat tetapi tarikan untuk makan makanannya itu tidaklah seperti makanan yang disediakan Chef Senandika.

Namun, Chef Chimiko tetap meneruskan penyediaannya seperti biasa. Lagipun, dia sudah ada peminatnya sendiri. Mereka yang gemarkan masakan tradisi, masakan rasmi istana, dan makan eksotik akan membuat permintaan kepada Chef Chimiko.

Apabila diadakan pertandingan masakan antara istana pun selalunya resepi terbaru Chef Chimiko akan mendapat tempat pertama. Ramai pula yang mahu membeli hidangannya. Jadi, dengan penuh istiqamah, dia tetap meneruskan tugas-tugas menyediakan resepi baru untuk bukan sahaja penghuni istana tetapi untuk orang ramai juga.

Pada suatu hari, ada raja baru yang mengambil giliran di istana itu. Seperti biasa, apabila ada bengkel masakan ataupun ceramah tentang khasiat makanan dan pemakanan, Chef Chimiko pastinya akan dihantar. Apatah lagi, dia punya PhD dalam pemakanan berkhasiat. Jadi, tahulah dia apa yang hendak diperkatakan kepada orang ramai ataupun istana lain.

Chef Senandika tak kisah pun apabila tidak dijemput kerana dia lebih bahagia dibayar dengan gaji yang tinggi untuk menampung permintaan yang banyak. Lagipun kutipan daripada syarikat franchisenya pun tak habis dimakan.

Hendak dijadikan cerita, sudah diputuskan bahawa Chef Chimiko akan mewakili istana berserta dengan seorang lagi chef yang sealiran dengannya. Itu memang sudah lama diputuskan. Dia sudah bersedia dengan segala barang-barang keperluannya untuk ke istana seberang. Selalunya, Chef Chimiko akan menunggu surat rasmi daripada pihak istana yang akan menghantarnya ke sana.

Kali ini, surat itu agak lambat, jadi dia pun tertanya-tanya. Jadi untuk mengesahkan perkara, Chef Chimiko pun menelefon pihak pengurusan istana.

Panggilannya dijawab seorang pegawai wanita dengan suara lemak merdu, “Maaflah, Chef. Ada berita kurang baik.”

Dalam hati Chef Chimiko sudah berdetak, mungkin dia tidak akan dihantar kali ini. Namun, dia bersedia kerana dia pun agak sibuk akhir-akhir ini.

“Em…mmm… kami baru nak telefon Chef, sebenarnya… Sebenarnya…”

“Alah, cakap sajalah. Kenapa hendak ada sebenar, sebenar pula?”

“Sebenarnya, pihak istana telah gantikan tempat Chef. Ini memang arahan dari langit.”

“Hah, tak mengapalah, tapi biarlah confirm perkara ini awal-awal sikit, saya sedang susun diari saya ni. Sebab itu saya telefon. Kalau tak jadi, saya akan masukkan program lain.”

“Ya lah Chef,” kata pegawai itu lagi, “Memang nama Chef digantikan dengan orang lain. Saya pun tak tahu mengapa.”

“Saya pun tak tanya mengapa. Cuma saya ingin tahu, siapa yang sepatutnya gantikan saya?”

“Emm… mmm… kami minta maaf Chef…”

“Tak perlulah minta maaf, saya cuma nak tahu saja.”

“Sebenarnya, arahan dari langit kata tempat Chef digantikan dengan Chef… Chef… Senandika.”

Dus! Seperti mahu putus jantungnya. Rasanya macam nak pitam. Tetapi sebelum pitam, dia mohon pengesahan sekali lagi, betulkah apa yang didengarnya.

“Chef Senandika?” Dia bertanya setenang mungkin.

“Ya.”

Apakah Chef Senandika akan bercakap tentang franchise makanan segeranya ataupun bolehkah dia berbicara tentang khasiat pemakanan di hadapan beberapa tokoh chef dari istana seberang? Itu antara yang bermain-main di fikiran Chef Chimiko.

Ini bukan persoalan dengki, fikirnya. Tetapi kalau mahu dihantar bagi mewakili istana ini, biarlah orang yang sesuai, tidak memalukan seluruh istana dan penghuninya. Dengan langkah yang longlai, dia memaklumkan hal yang sama kepada chef yang sealiran dengannya. Chef lain melenting mendengar keputusan itu.

Mereka mahu hantar memorandum kepada pihak istana supaya Chef Senandika – pakar makanan segera yang banyak MSG @ ajinomoto itu tidak dihantar. Ini soal maruah istana.

Wajarkah tindakan mereka ini?

Written by Nisah Haron

Jun 29, 2006 at 8:30 am

Dikirim dalam Penulisan

Kekuatan Seorang Penulis

leave a comment »


Ketika menerima undangan ke Hotel UiTM, Dungun untuk Bengkel Penulisan Kreatif anjuran sebuah institusi pengajian tinggi awam, saya memandu sendirian ke sana. Ya, perjalanan 7 jam itu sesuatu yang agak ‘mendera’ bagi saya dan sang kancil yang comel. Kasihan kancil saya, dipaksa meredah sebuah perjalanan yang tidak pernah direntas sebelum ini. Bersama-sama kancil ini saya telah sampai ke Tg. Piai, Johor Bahru dan Tg. Malim. Banyak jasanya kepada Ujana Ilmu, khasnya.

Memandangkan perjalanan dari Seremban ke Dungun itu jauh dan meletihkan, saya pun singgah bermalam di Pekan – rumah seorang sahabat penulis, Amaruszati Noor Rahim.

Bagi yang tidak pernah mendengar nama penulis ini (di planet mana anda hidup?), beliau merupakan novelis Bila Sena Kembali Berbunga, dan Bila Sena Kembali Berbunga 2. Dia banyak memberi semangat kepada saya untuk menulis sewaktu anak-anak saya masih kecil dan tercari-cari ruang waktu sebenar untuk menulis.

Zati (panggilan mesra saya kepadanya) telah membuktikan kepada saya bahawa mempunyai anak-anak kecil bukanlah penyudah kepada dunia penulisan kreatif. Dengan anak-anaknya seramai 5 orang itu, dia terus aktif menulis sama ada novel, skrip drama radio, cerpen, puisi dan segala-gala yang mungkin. Dia telah membuktikan bahawa dengan hasil titik peluhnya menulis, dia dapat menyumbang kepada ekonomi keluarga. Dia juga teguh dalam prinsip penulisannya bahawa menulis itu satu bentuk dakwah kepada pembaca. Dalam karyanya memang tiada unsur-unsur negatif, watak-watak bukan muhrim berpegangan tangan ataupun apa-apa yang tidak sepatutnya ada dalam novel.

Kami sependapat bahawa menulis itu, ada ganjaran di akhirat kelak. Kalau penulis ‘menggalakkan’ atau ‘merangsang’ pembaca supaya membuat maksiat dalam karyanya, sedikit sebanyak penulis itu juga mendapat ‘saham’ apabila pembaca membuat sesuatu yang tidak baik setelah membaca karya tersebut.

Selain menjadi penulis, beliau juga isteri mithali yang mampu menguruskan suami dan anak-anak. Kalau ada yang mengatakan bahawa saya ini ‘superwoman’, Zatilah pencetusnya. Dia bukanlah penulis, wanita, ataupun ibu yang mudah menyerah kepada keadaan.

Ya, dia bukan isteri seorang datin, atau orang berada yang boleh duduk senang lenang menulis sambil ada orang gaji yang menguruskan rumah tangga. Dia harus melakukan semuanya. Namun, saya mengambil iktibar daripada cara dia mengurus masanya:

Pagi – selepas suami dan kesemua anak ke sekolah, itulah masa untuk dia menulis sehingga sekitar jam 11. Kemudian dia akan menyediakan makanan sebelum anak-anaknya pulang makan tengah hari. Katanya, sebelah petang biasanya anak-anak sudah pulang, dan dia tidak akan dapat menulis lagi, kecualilah anak-anaknya ada aktiviti petang dan pergi mengaji.

Malam, memang masanya dengan keluarga. Melihat kerja rumah anak-anak dan sebagainya.

Jadi, kalau seorang penulis lelaki yang belum berkahwin banyak menghasilkan karya – saya tidak hairan. Andainya lelaki itu sudah berkahwin, juga saya tidak hairan kerana apabila dia menulis, isterinya akan menguruskan rumah, buatkan kopi dan sebagainya. Begitu juga dengan seorang penulis wanita yang belum berkahwin, sudah berkahwin tetapi belum ada anak – prolifik menulis. Tidak ada sesuatu yang sangat luar biasa tentang itu.

Namun, apabila seorang isteri yang aktif menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu tanpa henti dan masih ada masa untuk berkarya kreatif. Memang saya tabik kepada mereka ini. Mungkin, bagi yang belum berumahtangga akan mengatakan ‘apalah sangat menjadi suri rumah sepenuh masa, kerjanya cuma duduk di rumah’. Ooops, satu generalisasi yang sangat silap. Menjadi suri rumah kerjanya lebih berat daripada bekerja di pejabat. Saya sudah lalui kedua-duanya. Saya tahu.

Pun begitu, paling penting ialah restu seorang suami dan mempunyai suami yang sangat memahami keinginan isterinya untuk menulis. Suami itu tidak semestinya seorang penulis. Tetapi dia mestilah suami yang memberi ruang kepada isterinya untuk bersendirian, sesekali menghantarkan kopi buat isterinya yang sedang berkarya. Itulah sesuatu yang sangat dihargai oleh si isteri, sekalipun dia tidak membaca karya isterinya. Itu sudah cukup memberikan dirinya suatu kekuatan yang sukar untuk digambarkan.

Suami yang memahami akan terus memberikan dorongan senyap, kerana dia memahami bahawa ‘kegilaan’ isterinya menulis merupakan satu sumbangan kepada bangsa, masyarakat dan satu bentuk dakwah yang akan sama-sama dikutip hasilnya ‘di sana’ nanti.

Terima kasih, Zati. Singgahan ke teratak istimewamu memberi aku kekuatan baru…

Written by Nisah Haron

Jun 26, 2006 at 10:59 am

Dikirim dalam Penulisan

Di Pinggir Pantai Dungun

leave a comment »

Saya menulis dari Hotel UiTM Dungun. Alangkah bertuahnya menjadi pelajar di UiTM Dungun ini, kampusnya berhadapan dengan pantai. Setiap hari boleh melihat matahari terbit dari laut. Barangkali, fakulti sasteranya patut diletakkan di sini supaya banyak inspirasi untuk menulis!

Pun, insprasi bukannya datang dari laut sahaja. Menulis, di mana-mana pun boleh.

Saya akan pulang pada hari ini. Tetapi semalam, hari paling banyak advencer saya kira.

Hari saya dimulakan pada jam 5.oo pagi. Usai solat subuh pada 5.33, saya terus ke kereta dan memulakan perjalanan ke Kuala Terengganu. Dungun masih basah bukan sahaja dek embun tetapi ada gerimis di subuh hari.

Inilah pertama kali saya memandu ke pantai timur. Subuh yang gelap, perlahan-lahan meninggalkan saya. Fajar semakin membawa cahaya di sebelah kanan. Pantai juga kekal setia di sebelah kanan sepanjang perjalanan saya ke Kuala Terengganu. Pagi itu, saya tidak dapat melakukan aktiviti kegemaran setiap kali ke Pantai Timur – melihat matahari terbit dari laut. Bukan kerana saya memandu, tetapi juga hari mendung.

Lebih kurang di Marang, hari semakin cerah dan saya sampai di pinggir pantai Kuala Terengganu sekitar 7.00 pagi. Bandar itu masih belum bangkit sepenuhnya. Saya menuju Bukit Kecil kerana mahu ke Terengganu FM. Alhamdulillah, selepas sedikit ‘sesat-barat’ jumpa juga stesen radio itu.

Saya ke udara secara langsung dari konti Terengganu FM untuk rancangan Motivasi Pagi (yang selalunya hanya melalui panggilan telefon sahaja).

DJnya (Farah Fauzi) terkejut dengan kehadiran saya. Program tetap dijalankan mengikut jadual. Kemudian, dalam perjalanan keluar saya bertemu dengan DJ Rohani. (Kami semua memang tidka pernah bertemu muka – hanya mendengar suara masing-masing). Dia sudah dimaklumkan oleh pihak atasan bahawa saya akan hadir, tetapi saya tidak memaklumkan pada mereka jam berapa saya kan sampai. (Saya juga tidak pasti, sama ada saya boleh sampai ke konti seawal itu).

Selebihnya, saya memandu di bandar Kuala Terengganu yang tenang. Tidak sesukar memandu di Kota Bharu. Memang susah hendak sesat di Kuala Terengganu. Saya cuma ‘sesat’ dalam Pasar Payang. Tetapi Nisah Haron kalau tersesat dalam kedai kain baju, mesti dapat jalan keluar. Tetapi kalau tersesat di Pesta Buku memang tak akan cari jalan keluar!

Ada apa di Kuala Terengganu? Cadangnya hendak ke Perkampungan Hadhari – bukan kerana hendak sangat ke program ini. Niat saya lebih kepada hendak ke Muzium Terengganu. Hendak membeli buku-buku terbitan Muzium itu. Tetapi mungkin Tuhan tak izinkan. Saya pun tak jumpa di mana Losong (Muzium terletak di sini) dan mengikut khabar yang saya terima, Perkampungan Hadhari itu lebih kurang macam Jom Heboh dan tak lebih macam pasar malam juga. Orang K.Terengganu sendiri kata malas nak pergi sebab orang dijangka ramai dan sesak. Jadi orang K.Terengganu pun taklah berapa kisah walaupun Mawi dijangka ada di sana. Kereta pun tak boleh hendak diparkir dekat-dekat.

Sudahnya, saya pulang terus ke Dungun kerana saya masih lagi ada acara dengan penganjur pagi ini. Saya sampai sekitar 4.00 petang. Pengalaman memandu dari K.Terengganu – Marang – Rantau Abang – Dungun memang menyeronokkan dan merehatkan. Kalau makan kenyang-kenyang memang boleh mengantuk ketika memandu. Mujur saya tidak makan di K.Terengganu.

Apa yang saya buat di Dungun? Itu mungkin dalam entri akan datang. Petang akan berlangsung lagi saya advencer baru – memandu turun dari Dungun ke pangkuan keluarga.

Written by Nisah Haron

Jun 23, 2006 at 10:04 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Ke Pantai Timur lagi…

leave a comment »


Untuk beberapa hari, saya telah diundang ke Pantai Timur untuk sesi bersama penulis anjuran sebuah institusi pengajian tinggi awam. Saya hanya akan kembali pada hujung minggu nanti. Sekiranya tiada ruang dan masa untuk menulis dan untuk online saya tinggalkan para pembaca saya yang budiman dengan beberapa catatan kreatif saya yang terdahulu. Semoga ada manfaatnya.

Insya-Allah, saya kembali secepat mungkin dan menulis tentang perjalanan saya kali ini. Tidak sabar rasanya untuk berjumpa sang suria pagi – fenomena kegemaran saya setiap kali diundang ke Pantai Timur.

Doakan perjalanan saya selamat, seluruhnya…

Written by Nisah Haron

Jun 21, 2006 at 12:44 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Entri Pilihan dari Terengganu FM

leave a comment »

Biasanya sebelum ke udara dalam rancangan Motivasi Pagi, Terengganu FM, saya akan membuat catatan tentang apa yang akan saya perkatakan. Ia bukanlah semacam sebuah skrip ringkas kerana saya selalunya tidak tahu siapakah juruhebah bertugas dan reaksi bagaimanakah yang akan diberikan. Jadi, selalunya, saya akan sembang-sembang dahulu sekitar 30 saat untuk mendapatkan mood masing-masing. Kemudian barulah saya mulakan topik saya.

Saya tidak mahu bercakap tentang topik motivasi yang seringkali diucapkan oleh para motivator yang sudah acapkali disebut-sebut. Saya mahukan ‘celoteh’ saya pagi-pagi ini ada cerita, ada humor, paling penting mesti ada elemen ceria kerana saya mahu memberi kesan kepada pagi hari Isnin dan Khamis setiap pendengar Terengganu FM. Namun, celoteh; celoteh juga, pada saya ia mesti ada isinya. Permulaan celoteh saya mesti mukadimahnya serangkap pantun – sama ada saya petik dari Kurik Kundi Merah Saga ataupun saya cipta spontan pagi itu.

Ini catatan saya tentang budi bahasa. Pernah ke udara di Terengganu FM pada 2 Februari 2006 :

Salam hormat kepada para pendengar Terengganu.FM yang budiman. Selamat pagi. Salam ceria. Salam Maal Hijrah 1427. Tidak dilupakan juga Selamat Tahun Baru Cina kepada sahabat handai kita yang merayakannya.

Januari 2006 yang lalu kita berasa amat bertuah. Kita telah diberi kesempatan waktu untuk merasai nikmat tahun baru ini. Jadi kita mempunyai banyak sebab untuk bersyukur. Setidak-tidaknya, setiap seorang daripada kita semua dapat menyambut Tahun Baru mengikut agama dan kepercayaan masing-masing.


Mungkin ada saudara pendengar yang sedar ataupun ada yang terlepas pandang: Dalam bulan Januari lepas, kita sebagai rakyat Malaysia yang berbilang kaum merayakan 3 jenis tahun baru iaitu, Tahun Baru 2006, Tahun Baru Cina dan Tahun Baru Hijrah.


Saudara pendengar sekalian,


Baiklah, saya ingin memulakan sesi sembang-sembang motivasi pagi kita ini dengan serangkap pantun :


Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.


Saya teringat pada kempen budi bahasa yang telah dilancarkan oleh kerajaan. Sedikit sebanyak saya terasa kesannya di mana-mana. Kalau dulu, saya merasa gemuruh jika perlu berurusan dengan mana-mana kaunter. Saya telah membayangkan pasti ada kesilapan pada pihak saya dan saya akan ditegur atau dimarahi dengan cara yang tidak menyenangkan.


Tetapi alhamdulillah, kesan daripada kempen ini, saya melihat ada perubahan dalam hubungan sesama manusia ini. Saya gembira jika kita selesa menggunakan perkataan ‘sila’, ‘tolong’ dan ‘terima kasih’. Bahasa Melayu amat kaya dengan kosa kata yang mencerminkan kesantunan berbahasa.


Andai tersesat jalan, kita masih lagi ada ruang untuk menegur orang tempatan yang tidak dikenali dengan bertanya, “Assalamualaikum, tumpang tanya…?” Perhatikan penggunaan perkataan ‘tumpang’. Kamus Dewan mendefinisikan rangkaikata ‘tumpang tanya’ ini sebagai meminta izin. Dalam bahasa Melayu juga perkataan tumpang ini ertinya digunakan oleh orang yang singgah.


Sikap merendah diri dalam berbahasa ini menjadikan orang Melayu sebagai bangsa yang unik. Tidak hairanlah, jika orang-orang tua kita kaya dengan kias ibarat. Orang Melayu juga jarang bercakap secara terang, terutama sekali dalam hal-hal yang akan menyinggung perasaan orang lain. Tentang ini, orang Melayu amat berhati-hati.


Pernah guru sastera saya bercerita tentang bagaimana kesusasteraan Melayu ini bermula. Kononnya, ada sebuah kisah. Seorang musafir yang telah lama mengembara akhirnya singgah di sebuah kampung. Oleh sebab merasa sangat dahaga, dia terpaksa berhenti dan meminta segeluk air. Tuan rumahnya seorang wanita. Wanita itu pula bermurah hati dan kebetulan masih ada bagi nasi dan lauk, langsung dia mengajak si musafir makan. Sama ada terlalu lapar ataupun masakan wanita itu terlalu sedap, nasi yang dimakan habis licin dan tidak seulas pun yang tertinggal. Si musafir ingin meminta nasi tambah, tetapi dia segan.


Jadi dia pun mengangkat pinggannya yang bersih licin itu dan ditunjukkan kepada wanita itu sambil berkata, “Cantik pinggan ini, berapa harganya?”

Wanita itu, setelah melihat keadaan pinggan si musafir, mengangkat pula periuk nasi yang juga telah licin kerana nasinya telah habis dihidangkan kepada si musafir, pun berkata, “Harga pinggan itu, samalah dengan harga periuk nasi ini.” Dia juga menayangkan periuknya yang telah kosong itu kepada si musafir.


Kedua-duanya tersenyum dan sama-sama faham bahawa si musafir tidak dapat menambah makanannya dan si wanita juga tidak dapat berbuat demikian, kerana nasi memang sudah habis. Tetapi si musafir tidak pula berkata, “Sedapnya, tambah lagi boleh?” dan si wanita itu pula tidak berkata, “Maaflah, nasi dah habis.” Sebaliknya, mereka menggunakan kata-kata yang amat berkias tetapi dalam maksudnya.


Dengan cara itu, masing-masing faham dan tidak tersinggung dengan perbuatan mana-mana pihak.


Saudara pendengar yang budiman,


Dalam kepesatan pembangunan pada hari ini, kita seringkali lupa tentang seni berbahasa dengan penuh santun begini. Hari ini, semuanya hendak cepat. Berbahasa juga hendak cepat. Menulisnya juga demikian. Kesan daripada sistem pesanan ringkas atau SMS, bahasa kita pun jadi singkat. Ketika menaip sms, maklumlah, kita perlu menaip satu-satu dan adakalanya perlu kepada kependekan perkataan tertentu. Tetapi, biarlah ia habis setakat di SMS sahaja. Hendaknya, tidaklah dijadikan amalan dalam berbahasa.


Dalam gurindam Melayu juga ada disebut :


Kalau tak kita siapa lagi

Mempertahankan budaya sendiri

Agar ia kekal abadi.


Sebagai penutup, saya akhiri dengan mutiara kata daripada Khalifah Abdul Malik bin Marwan :


Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.


Hingga kita bertemu lagi di udara, salam hormat, salam ceria dan semoga apa yang kita lakukan pada hari ini mendapat restu dan keberkataan Allah Taala.


Sekian, assalamualaikum w.b.t.

Written by Nisah Haron

Jun 20, 2006 at 11:00 am

Dikirim dalam Uncategorized

KES ABU NAIM KASSAN lwn SYARIKAT DELTA

leave a comment »

Ini satu kes pertarungan hak cipta. Ini seorang penulis yang berani mempertahankan haknya. Ini bukan soal duit sedikit ataupun duit banyak. Ini bukan soal kalah jadi abu menang jadi arang.

Ini persoalan maruah penulis!

Penulis telah sempat menemuramah Abu Naim Kassan seorang penulis sastera dan juga banyak menulis buku-buku rujukan sekolah. Dalam kes ini, Abu Naim telah mengambil keputusan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap Syarikat Delta. Ia berpunca daripada royalti yang tidak dibayar oleh syarikat ini setelah empat tahun menunggu. Padahal sebelum ini, syarikat tersebut telah melunaskan bayarannya.

Oleh kerana tempoh menunggu yang agak panjang, Abu Naim telah menulis surat kepada Syarikat Delta supaya menjelaskan bayaran yang tertunggak. Beliau juga meletakkan syarat bahawa sekiranya jumlah yang dituntut tidak dijelaskan maka Abu Naim berhasrat untuk menarik kembali hak cipta yang telah diserahkan kepada syarikat tersebut.

Akibat daripada gesaan tersebut, syarikat itu hanya membayar RM500 berbanding jumlah yang dibayangkan oleh Abu Naim, iaitu lebih kurang RM10,000 setahun (bergantung kepada jumlah jualan).

Abu Naim agak beruntung di dalam kes ini kerana beliau mempunyai perjanjian bertulis dengan pihak Syarikat Delta. Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan tertentu di dalam perjanjian tersebut, Abu Naim telah mengarahkan peguamnya, Encik Firdaus Masood supaya meneruskan tindakan tuntutan ini di mahkamah.

Pada 1 April 2002, peguam telah memfailkan saman terhadap syarikat ini. Terdapat 2 buah perjanjian di dalam kes ini. Mengikut perjanjian pertama, jumlah yang terhutang ialah RM9,000 manakala perjanjian kedua RM8,000.

Pihak syarikat melalui peguamnya sendiri cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Setelah sesi perbincangan yang diuruskan oleh peguam masing-masing, jumlah RM17,000 ini akhirnya dipersetujui di luar mahkamah.

Pada 7 Ogos 2004, pihak-pihak telah merekodkan jumlah tersebut di dalam mahkamah. Ia terus menjadi suatu perintah ke atas pihak syarikat dan mesti diselesaikan dalam tempoh yang telah dipersetujui. Jumlah RM17,000 itu juga tidak termasuk faedah yang terkumpul apabila tempoh masa berjalan.

Setahun berlalu, janji hanya tinggal janji. Pihak syarikat tidak mengotakan langsung, jumlah yang telah dipersetujui dan diperakui, sedangkan jumlah hutang telah meningkat kepada RM22,000 akibat faedah yang terkumpul.

Ini memaksa Abu Naim meneruskan tindakannya. Beliau mengarahkan peguamnya sekali lagi supaya mendapatkan kembali jumlah tuntutan yang menjadi hak beliau.

Kes lanjutan ini difailkan di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 12 Januari 2004. Perintah penyitaan dan jualan telah dikeluarkan oleh Majistret serta merta dan Syarikat Delta akan disita jika masih lagi gagal melunaskan hutang-hutangnya.

Pada ketika ini, barulah pihak syarikat menyedari bahawa mereka tidak boleh melarikan diri lagi daripada undang-undang.

Menurut Abu Naim, syarikat itu kemudiannya mengeluarkan beberapa siri cek bertarikh hadapan (post-dated cheque) yang dilunaskan setiap bulan. Kini kesemua jumlah tersebut telah pun dijelaskan. Bayaran terakhir kepada Abu Naim telah dibuat pada November 2004.

Ketika ditanya apakah benar stigma yang menyatakan bahawa sukar untuk mempertahankan hak cipta di mahkamah lantaran kos guaman yang tinggi dan prosedur mahkamah yang menyulitkan, Abu Naim menafikan kedua-dua kenyataan ini.

Kata beliau lagi, kebanyakan penulis membuat andaian bahawa kos mendapatkan perkhidmatan peguam itu mahal padahal, mereka belum pun membuat sebarang pertanyaan kepada peguam tersebut.

Beliau turut menasihati mana-mana penulis lain yang berada di dalam kes yang sama supaya tidak takut dengan peguam dan cuma meningkatan kesedaran tentang undang-undang hak cipta dan memahami sedikit sebanyak prosedur mahkamah. Semua ini boleh diperolehi dengan bertanya lebih lanjut kepada mereka yang arif.

“Penulis-penulis baru terutamanya, seringkali gopoh dan ghairah ketika hendak menerbitkan karya. Ada juga yang tidak tanda tangan perjanjian langsung. Itu sangat merbahaya dan boleh menyebabkan hak cipta penulis itu tidak dapat dipertahankan,” tambah Abu Naim lagi.

Kes beliau selesai akhirnya setelah berjuang selama dua tahun. Meskipun mengambil masa yang agak panjang namun perjuangannya benar-benar membuahkan hasil.

**Tulisan ini pernah disiarkan dalam Dewan Sastera Mac 2005

Satu lagi kes yang tidak kurang penting ialah bagaimana novelis Hartini – Aziz Afkar mempertahankan hak ciptanya daripada diambil pergi oleh penerbit telemovie Hartini oleh Erma Fatima dan syarikat perfilemannya. Namun, saya hanya akan menulis sesuatu tentang ini setelah melengkapkan fakta kes dan khabarnya, keputusan kes ini sudah ada.

Written by Nisah Haron

Jun 20, 2006 at 1:09 am

Dikirim dalam Uncategorized

Testimonial Pelanggan Ujana Ilmu

leave a comment »

** Tujuan entri ini ditulis bukanlah untuk membangga diri ataupun mahu masuk bakul, masuk lif dan sebagainya. Dedikasi entri ini ialah untuk semua pelanggan Ujana Ilmu yang telah banyak menyokong sama ada dari jauh ataupun dari dekat.

Terima kasih seluas lautan…

*******

Tahniah kerana memberi wajah baru kepada laman ujanailmu. Warna oren nampak lebih segar dan ceria. Warna dan susun aturnya menaikkan selera peminat buku untuk klik di buku dan terus membeli.

Saya baru dua kali berurusan dengan ujanailmu, tetapi sangat berpuashati dengan layanan terhadap pembeli dan terhadap buku yang mahu dibeli. Saya suka bila tengok, buku yang dipesan, dibalut dua tiga kali untuk memastikan ianya tidak rosak di perjalanan. Peminat buku memang pantang kalau buku dilayan sambil lewa. Buku perlu dihormati!

Mutu layanan setanding dengan laman web buku antarabangsa lain yang pernah saya cuba.

Moga ujanailmu terus maju jaya..

Kami juga manusia biasa. Pernah juga menerima beberapa komen ataupun aduan daripada pelanggan. Aduh! Ketika itu, memang kecewa yang teramat sangat… Tetapi kami masih mahu berlaku profesional. Pelanggan yang memberi komen, kami terima dengan lapang dada. Jika perlu, pelanggan tersebut kami telefon semula, mohon maaf. Setidak-tidaknya kami hantar e-mel kepadanya.

saya teruja dengan komen jiwarasa, “buku yang dipesan, dibalut dua tiga kali untuk memastikan ianya tidak rosak di perjalanan”

sebelum ini, saya agak ragu-ragu dengan pembelian melalui internet kerana takutkan buku yang saya pesan rosak. kalau pembeli di sarawak (itupun kalau ada penghantaran ke sarawak), bolehkah mendapat buku yang tiada kerosakan juga? dan bolehkah saya membuat permintaan untuk buku-buku sastera lama yang tiada di laman ujana ilmu?


Kami sudah menghantar bukan setakat Sabah, Sarawak dan Singapura. Alhamdulillah, Ujana Ilmu sudah sampai ke Perancis, Ireland, UK, Australia, Indonesia, Brunei, German, Jepun, dan Amerika Syarikat. Setakat ini, pelanggan antarabangsa menerima buku-buku mereka dalam tempoh 10 hari. Pelanggan tempatan sekitar 4 – 5 hari. Ada juga yang bayar hari ini, esok sampai. Ia bergantung kepada jenis-jenis pesanan.

Sila baca komen pelanggan pada bahagian “Testimonial” yang baru diwujudkan pada bahagian kanan atas laman tersebut. Boleh juga klik pada perkataan Testimonial ini.

Nasihat kami : ikut sistem pembelian sehingga tamat. Selagi tidak tekan butang check out, anda tidak akan tahu berapa kos sebenar pembelian kerana kos penghantaran berbeza mengikut tempat.

Bagi pembelian biasa di Semenanjung Malaysia – kos penghantaran ialah RM3.00 sahaja bagi satu kilogram pertama. (Murah bukan?).

Tips pembelian untuk menjimatkan kos penghantaran, pesan buku lebih dari satu. Selagi beratnya tidak sampai 1Kg dan penghantaran dalam Semenanjung Malaysia, kosnya masih RM3.00. Anda akan tahu sama ada sudah terlajak 1kg jika menggunakan sistem hingga tamat (sampai ke check out)

saya sangat berpuas hati dengan ujana,moga boleh jadi macam amazon!


Written by Nisah Haron

Jun 18, 2006 at 9:15 am

Dikirim dalam Uncategorized

Annyss Sophilea – satu retrospeksi

leave a comment »


Sewaktu menulis cerpen Annyss Sophilea, saya tidak pernah terfikir tentang banyak perkara :

  • bahawa Annyss Sophilea akan menang Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat 1992 (HSSBR’92)
  • bahawa Annyss Sophilea akan terpilih sebagai judul antologi HSSBR’92
  • bahawa Annyss Sophilea akan terpilih sebagai satu daripada cerpen untuk dikaji pelajar Tingkatan 4 (Antologi Anak Laut)

Insprasi untuk menulis cerpen itu datang daripada getaran yang kuat tentang persahabatan. Sebagai remaja, aspek persahabatan memberi pengaruh yang sangat besar. Itu sahaja mesejnya. Ketika menulisnya, saya menulis dari hati. Pun, saya cuba mengikuti ciri-ciri penulisan cerpen yang betul kerana pada waktu itu saya sudah khatam buku Persediaan Menulis Cerpen tulisan Allahyarham Othman Puteh.

Latar belakang pembacaan saya pada waktu itu : memang ada novel-novel fantasi yang saya selami sewaktu saya remaja. Antara yang paling menarik perhatian saya ialah novel karangan David Eddings – The Pawn of Prophecy, Queen of Sorcery, Magicians’ Gambit, Castle of Wizardry dan The Enchanter’s End Game. Siri itu seterusnya dikenali sebagai The Belgariad Series, kemudiannya disambung pada tahun-tahun berikutnya dan dinamakan sebagai The Mallorean Series.

Namun, saya tidak pernah bercadang untuk menulis seperti Eddings. Saya lebih terkesan dengan karya-karya Ahmad Patria Abdullah yang boleh dikatakan pelopor novel-novel fantasi moden di Malaysia. Pada ketika itu juga, tidak ramai pengikut mazhab penulisan begini. Ramai juga yang rasa pelik apabila membaca karya fantasi dalam Bahasa Melayu. Membaca karya-karya beliau tidak menjadikan saya mahu menulis karya fantasi pada ketika itu. Saya juga memulakan karya dengan menulis kisah-kisah remaja @ pelajar sekolah @ kekeluargaan dan sebagainya – segalanya yang klise!


Annyss Sophilea juga bukan karya saya yang pertama. Seperti mana yang diketahui ramai, cerpen saya yang pertama ialah Di Sebalik Wajahmu, Aries (Dewan Siswa, September 1990). Ini diikuti oleh Atlantis Duniaku Duniamu (Dewan Siswa, Mac 1991) dan Penawar Astrid (Dewan Siswa, September 1991). Annyss Sophilea tersiar pada September 1992 dalam majalah Dewan Siswa juga.


Dewan Siswa pada ketika itu majalah yang sangat berprestij di kalangan pelajar sekolah menengah. Persaingan untuk mendapatkan ruang dalam “Cerpen Daripada Siswa” sangat sengit. Kualiti karya yang dihasilkan penulis remaja pada ketika itu ada yang setanding dengan penulis mapan. Pemilihan dilakukan oleh sifu cerpen dan novel remaja Malaysia – Allahyarham Dr. Othman Puteh. Daripada pemilihan dan di tangan Allahyarham, maka lahirlah ramai penulis muda yang kini sudah pun agak ‘dewasa’ dalam penulisan. Kebanyakannya terpilih untuk Minggu Penulis Remaja anjuran DBP.

Oleh sebab pemilihan penulis bagi menyertai Minggu Penulis Remaja berdasarkan merit dan bukannya melalui permohonan, kualiti penulis pada ketika itu amat membanggakan. Perbezaan agak jelas apabila DBP mengubah cara pemilihan dan sesiapa sahaja yang berminat boleh memohon (tertakluk kepada kelulusan pemilihan). Bukan saya katakan kategori mereka yang memohon ini tidak baik, tidak kurang juga yang kini agak menyerlah, namun sebagai satu kumpulan, ada kesan yang berbeza.

Jadi tidak hairan juga, ramai penulis remaja yang karyanya diterbitkan oleh DBP pada tahun-tahun 90-an. Dengan yang demikian, nama-nama seperti Hizairi Othman, Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, Siti Hajar Mohd Zaki, Dima Mazlina Abu Bakar, Saroja Theavy, (termasuk juga Mawar Shafei – tetapi Dr. Mawar bukan produk Minggu penulis remaja, walaupun dia rapat dengan kumpulan MPR dan sering dikaitkan) dan beberapa angkatan penulis muda, karya mereka terpilih untuk dikaji oleh para pelajar sekolah menengah sebagai Komponen Sastera (KOMSAS) dalam Pengajaran Bahasa Melayu.

Tanyalah kepada semua penulis yang saya sebutkan, mereka akan menjawab bahawa mereka tidak menyangka karya tersebut akan dibincangkan dalam kelas-kelas di sekolah. Namun, panel pemilih melihat ada sudut sastera remaja, nilai-nilai murni dan banyak yang positif dapat dikutip daripada karya tersebut. Itu pandangan pengkaji.

Penulis tidak akan nampak perkara-perkara tersebut. Tugas penulis hanyalah menyampaikan maksud, tidak lebih daripada itu. Selebihnya terpulanglah kepada tafsiran pembaca.

Dengan itu, ada banyak tafsiran pembaca tentang Annyss Sophilea. Ada yang kata cerpen itu mengarut kerana pembaca itu tidak dapat menerima karya-karya fantasi berbahasa Melayu. Ada juga yang mengatakan cerpen tersebut satu percubaan menulis karya sains fiksyen yang gagal. Memanglah, Annyss Sophilea bukan karya fiksyen sains. Ada perbezaan yang jauh antara karya sains fiksyen dan karya fantasi. [Hanya jauhari yang mengenal manikam].

Tidak kurang juga yang menuduh, mengapa gadis dari masa depan mesti memakai nama yang tergeliat lidah hendak menyebut. Jawapan saya, Annyss Sophilea bukanlah seorang gadis dari masa hadapan, dia dari masa yang sama cuma dari tempat yang berbeza. Dia cuma kaum dan bangsa lain yang wujud dalam imaginasi penulis dan pembaca. Kalau namanya Limah, Bedah ataupun Tijah – dia sudah mewakili bangsa Melayu dan tidak lagi bernuansa fantasi.

Mengapa saya mesti mengeja Annyss Sophilea sedemikian rupa? Kalau saya eja Anis Sofilia mungkin tak ada pembaca yang akan melihat judul itu dua kali. Malah ejaan Anis Sofilia itu mungkin sedikit asing pada hujung tahun 80-an hingga awal 90-an. Tetapi kini nama itu sudah jadi sangat biasa. [Tak tahulah kalau sudah ada orang yang menamakan anaknya dengan ejaan Annyss Sophilea. Setahu saya ada seorang sahabat yang menamakan anaknya Anis Sufea mengambil sempena cerpen saya, katanya.]

Secara peribadi, Annyss Sophilea bukanlah cerpen terbaik daripada saya, namun saya ada rasa dekat dengan cerpen ini berbanding cerpen-cerpen lain. Ketika itu, saya masih lagi belajar memperbaiki cerpen saya.

Sesungguhnya, menjadi penulis merupakan satu terapi kepada diri. Untuk menghasilkan karya yang baik, penulis harus memperbaiki dirinya terlebih dahulu. Itu nanti akan terpancar dalam karyanya. Penulis tidak akan mampu berselindung di dalam karyanya. Untuk lebih kenal hati budi seorang penulis, bacalah karyanya, kerana apa yang anda lihat secara fizikal dan apa yang anda nampak apabila bertemu seorang penulis, bukanlah dirinya yang sebenar. Penulis biasanya tidak dapat tidak akan mewujudkan dirinya (secara cameo) dalam karyanya.

Persoalannya, di sebalik watak yang mana, dia berselindung?

**********

p/s : cerpen-cerpen yang disebut di atas boleh dibaca dalam kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi. Begitu juga dengan pembaca yang tertanya-tanya, apa sebenarnya terjadi kepada watak Akmal dalam Annyss Sophilea, jawapannya ada dalam cerpen Annyss Sophilea, Puteriku – turut terkandungn dalam kumpulan cerpen ini. Buku ini ada dijual di www.ujanailmu.com.my.

Written by Nisah Haron

Jun 15, 2006 at 8:10 am

Dikirim dalam Penulisan

Suara Ulama di Malaysia

leave a comment »

Ada suatu perbezaan dalam saya temui apabila membaca laporan akhbar tentang Muzakarah Ulama’ 2006 kali ini. Biasanya Ulama’ di Malaysia disebut-sebut sebagai tidak berfungsi dengan baik. Seringkali juga dimomokkan sebagai “Ular mak”.

Tetapi penegasan mereka kali ini saya harapkan biarlah berkekalan. Mereka bertegas terhadap fahaman Islam liberal yang semakin menular. Pandangan kumpulan yang mahu melihat Islam dari sudut yang lebih luas. Kumpulan ini juga sibuk memperjuangkan wanita atas nama Islam tetapi sehelai hijab pun tidak singgah di kepala. Kumpulan yang kononnya faham makna Islam dan berani menafsir ayat-ayat Al-Quran sesedap rasa tanpa mengetahui sistem nasakh dan mansukh.

Jelasnya, Ulama’ perlu kembali bertegas, punya suara. Sekali Ulama’ berdehem, lintang pukang mereka yang berani-berani lalat ini bertempiaran. Yang berpegang tangan dengan bukan muhrim, segera lucut. Yang tudung terlondeh akan mula membetulkan hijab.

Laporan Utusan Malaysia bahawa amalan kongsi raya mahu dikaji semula adalah wajar. Islam kukuh atas dasar tauhid dan akidah bukanlah satu permainan. Apabila akar-akar tauhid itu mula diserang dan tidak lagi boleh menunjang peribadi, maka musuh-musuh Islam yang tidak pernah alpa akan segera datang dengan pelbagai suntikan. Ada yang datang dengan label liberalisme, IFC dan bermacam-macam lagi.

Promosi tentang Islam juga amat berkurangan hatta di saluran media kerajaan sekalipun. Tiada iklan, makluman tentang, misalnya Nuzul Quran, Israk & Mi’raj, Nisfu Sya’ban dalam bentuk yang ceria untuk difahami anak-anak ataupun informatif untuk golongan yang jahil pengetahuan tentangnya.

Masih ramai di luar sana yang tidak tahu bila Nuzul Quran, mengapa ia dinamakan Nuzul Quran dan mengapa kita perlu baca Yaasin 3 kali pada malam Nisfu Sya’ban dan disunatkan berpuasa.

Hakikatnya, apabila Ulama’ tegas bersuara, semua ini boleh ditekankan. Kalau Ulama’ leka berpolitik sahaja. Banyaklah akibat langsung, paling terkesan kepada umat Islam sendiri.

Fenomena World Cup yang semakin digilai ini, apa komen Ulama’. Bangga tak apabila semakin ramai suami yang ‘tahajjud’ pada dinihari, meninggalkan isteri sunyi di ranjang?

Kita kena kembali ke pada firman Allah dalam surah Al-‘Asr supaya orang Islam berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Selebihnya, katakan kepada IFC: Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Pertahankan dan perbaiki Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan. Perbaiki sistem mahkamah syariah. Sesungguhnya Perkara 121(1A) belum cukup ampuh apabila datang kes seperti Moorthy dan Nyonya Tahir.

Syabas, kiranya Muzakarah Ulama’ ini sudah ada hala tuju. Golongan agama terutamanya yang sedang belajar dan baru pulang dari Timur Tengah. Inilah tanggungjawab kalian (tanggungjawab semua orang Islam, sebenarnya) kerana kalian sangat terlatih. Tetapi ilmu agama sahaja tidak mencukupi untuk mentarbiah umat hari ini. Perlu ada ilmu yang bersepadu.
Bagi saya seseorang yang dipanggil orang ‘alim itu bukan sahaja kelebihan ilmu agama, tetapi juga kelebihan mendalami pelbagai cabang ilmu. Untuk menjadi orang ‘alim iaitu berilmu tentulah banyak membaca. Pembacaannya pula bacaan yang berkualiti dan membaca hampir semua perkara.

Orang ‘alim ialah pakar rujuk. Jika Ulama’ hanya tahu bidang agama semata-mata, mereka akan ketinggalan dalam banyak perkara juga. Dalam berdakwah perlu ada ilmu dah hikmah serta pengetahuan asas terhadap pihak yang mahu didakwahkan.

Ini sekadar cuit-cuit dan bukanlah mahu mengajar itik berenang. Saya percaya selebihnya, anda yang bakal bergelar Ulama’ ini tentulah lebih arif.

Wallahua’lam.

Written by Nisah Haron

Jun 14, 2006 at 7:56 am

Dikirim dalam Uncategorized