Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Ogos 2008

Adakah Pustakawan Membaca?

with 7 comments

Baru-baru ini Ujana Ilmu didatangi seorang wakil daripada sebuah perpustakaan terkemuka di Amerika Syarikat yang berpangkalan di kedutaan negara tersebut. Wakil itu memang sudah saya kenali sejak lama dahulu, tetapi kami telah terputus hubungan. Apabila dia menghubungi kami semula, banyaklah hal-hal seputar dunia buku yang dapat kami bicarakan dalam pertemuan singkat tersebut.

Selain mendapatkan buku-buku edaran Ujana Ilmu yang agak sukar diperoleh daripada kedai-kedai buku biasa, beliau tertarik untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang jenis-jenis buku sastera yang wajar diabadikan di perpustakaan negara tersebut. Dia turut bertanyakan tentang novel-novel popular yang berlambak-lambak di kedai-kedai buku. Katanya, dia tidak berminat untuk mendapatkan buku-buku tersebut tetapi dia cuma mahukan kepastian: sama ada tindakannya melabel buku-buku tersebut sebagai buku non-sastera sebagai satu tindakan yang betul.

Saya mengeyakan perbuatannya. Benar, buku-buku tersebut bukan buku sastera. Saya jelaskan bahawa buku-buku Faisal Tehrani, misalnya, adalah buku yang wajib ada di perpustakaan negara itu kerana Faisal merupakan penulis yang punya masa depan cerah dan tidak mustahil bakal menerima setidak-tidaknya Anugerah S.E.A. Write dalam jangka waktu terdekat, kalau pun bukan Anugerah Sastera Negara. Turut saya cadangkan beberapa nama lain yang karyanya wajar diambil kira.

Perkara lain yang turut dibualkan ialah pengalaman beliau ketika hendak membuat pembelian di salah sebuah perpustakaan negeri. Dia yang datang dari jauh (dan ada banyak tunai) mahu membeli buku-buku pilihannya secara tunai dan pergi.

Tetapi, perpustakaan tersebut enggan menjual buku yang dipilih dengan alasan, pegawai yang bertugas tidak ada. Dia diminta datang kembali 2 hari selepas itu. Sesiapa sahaja pastilah kecewa mendengar alasan demikian. Adakah patut dia menerima jawapan seperti itu?

Dia mengadu kepada saya, katanya, “Pada kerongsang pegawai perempuan itu tertulis perkataan Baca. Tetapi sikapnya seperti langsung tidak menggalakkan orang lain membaca. Hendak beli buku pun susah sekali!”

Oleh sebab di Ujana Ilmu kami mengedar buku yang dicarinya itu, dia membeli terus daripada kami. Bukan setakat itu, dia memilih edisi kulit keras.

Ya, saya sudah terbiasa dengan sikap ‘pustakawan’ yang begitu. Dia hanya tahu tugasnya sebagai pentadbir perpustakaan. Langsung tidak ada sikap menggalakkan orang membaca. Adakalanya bermasam muka jika kita bertanyakan tentang buku, seperti di mana lokasi dan sebagainya. Ini sangat berbeza dengan sikap pustakawan di Barat yang benar-benar menghargai ilmu dan buku. Mereka sanggup bersusah payah mencarikan buku untuk sesiapa sahaja yang memerlukan khidmatnya.

Pembelian daripada perpustakaan terkemuka Amerika Syarikat ini juga satu bukti bahawa mereka amat mencintai ilmu dan mahu melestarikannya. Ada juga satu dua buku saya yang diterbitkan sendiri dibeli oleh pihaknya. Saya lepaskan. Biarlah buku itu tersimpan di perpustakaan tersebut, walaupun hanya satu naskhah. Sekurang-kurangnya buku tersebut akan disimpan dengan baik dan terjaga.

Cuma, perpustakaan negara kita sendiri pula haruslah membina sikap yang serupa terhadap manuskrip dan buku-buku milik kita. Jangan sampai ada yang tergadai dan kita pula yang harus membayar untuk melihat dokumen yang pernah menjadi milik kita sendiri, seperti apa yang berlaku di Leiden dan sebagainya.

Saya pernah terlibat dengan proses membantu perpustakaan negeri membuat pembelian manuskrip dan buku-buku lama Za’ba serta buku-buku yang sukar dijumpai. Buku-buku tersebut dijual oleh collector. Apabila mereka bertanya kepada saya, saya kata, beli! Tapi, pastikan manuskrip tersebut disimpan dengan baik, terjaga (tidak dimakan gegat, dsb), dan boleh diakses oleh sesiapa yang perlu menggunakannya. Tak guna juga kalau membeli tetapi disimpan sampai orang tak tahu pun perpustakaan memiliki koleksi tersebut.

Entah apa jadinya dengan pembelian tersebut. Moga-moga mereka meluluskan pembelian tersebut. Saya tahu perpustakaan ada bajet khusus untuk membuat pembelian begini. Kalau tidak pun, bajet itu tentu sahaja akan dihabiskan dengan jamuan, dan paling menjengkelkan, wang itu dihabiskan untuk pertandingan yang tidak bersifat ilmiah seperti pertandingan karaoke yang pernah berlaku dalam satu majlis ala-ala karnival membaca!
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 30, 2008 at 5:00 am

Dikirim dalam perpustakaan, Ujana Ilmu

Setelah Menonton Teater "Sultan Alaudin"

with 4 comments

Sudah lama tidak menonton teater. Kali terakhir, barangkali di Jabatan Kebudayaan, Kesenian & Warisan Negeri Sembilan – teater muzikal Bertangga Naik, Berjinjang Turun arahan Allahyarham Wagiman NS.

Selain itu, agak sukar untuk mendapatkan masa yang sesuai. Selalunya teater dimainkan pada waktu malam. Waktu demikian juga agak sukar bagi saya yang sudah berkeluarga dan punya anak-anak yang masih belum boleh dibawa menonton teater.

Dahulu, sewaktu di UKM, boleh juga ‘tumpang sekaki’ kalau ada kawan-kawan yang mengajak pergi menonton teater. Kali pertama, saya menonton Kunang-kunang Gunung Ledang – sebuah dramatari Azanin Ahmad di Auditorium DBKL. Ketika itu, masih dalam tahun pertama matrikulasi. Tidak lama selepas itu, menonton pula Paduka Oedipus di Kompleks Belia Negara (berhampiran ASWARA sekarang).

Selebihnya, saya hanya dapat ‘mendengar’ tentang teater itu dan ini, tanpa ada sebarang kesempatan untuk pergi menikmatinya. Lantai T. Pinkie pun saya tonton di televisyen sahaja.

Kesempatan menonton teater 2 Jam Sebelum Sultan Alaudin Syahid Diracun (selepas ini dirujuk sebagai ‘teater Sultan Alaudin’) mengubat sedikit sebanyak rasa ‘rindu’ untuk menonton teater. Ia bukan sekadar mahu menonton buah tangan Faisal Tehrani, tetapi paling penting mahu melihat kewibawaan Dr. Abu Hassan sebagai pengarah.

Ternyata teater Sultan Alaudin tidaklah mengecewakan, walaupun satu jam pertama hampir-hampir membuatkan saya hilang tumpuan. Monolog yang agak panjang kerana mahu establish premis watak masing-masing. Apabila sudah masuk hari keempat, pelakon seperti sudah tidak berada dalam penghayatan watak sepenuhnya. Tetapi, mereka kembali menguasai watak apabila sudah masuk ke pertengahan cerita dan semakin memuncak. Klimaksnya mengujakan!

Naskhah ini menggunakan pendekatan yang berbeza daripada teater tipikal. Walau bagaimanapun, kritikan terhadap senario politik negara agak ‘berleluasa’ dalam persembahan ini dan boleh memualkan juga. Sebagai penonton, cukuplah sekali dua hal tersebut diangkat dengan cara yang berkesan. Apabila terlalu banyak singgungan terhadap senario politik itu diselitkan, terasa sangat pengarang ataupun pengarah undermining the audience.

Ooops! Cukuplah setakat itu komen tersebut kerana malam ini adalah malam terakhir pementasan. Tentu sahaja saya tidak mahu mengecewakan penonton yang mengambil peluang terakhir untuk menonton. Naskhah ini berat untuk dipentaskan, jadi kepada sesiapa yang mengharapkan sebuah persembahan yang sekadar menghiburkan, mungkin ini bukan untuk anda. Pementasan ini sarat dengan mesej dan mengajak kita berfikir sedalam yang mungkin.

Belilah tiket berharga RM30 ataupun RM50 kerana dengan tiket RM10 anda akan diletakkan di belakang sekali. Tentu tidak puas menonton dari jarak tersebut. Bawa juga baju tebal, khabarnya, kalau alat pendingin hawa dihidupkan kesemuanya, bilik itu boleh beku.


Datang awal jika mahu membeli beberapa buku Faisal Tehrani yang turut dijual di luar dewan. (Gambar : Azree & SM Zakir sedang memilih buku sebelum teater bermula)

.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 29, 2008 at 7:57 am

Dikirim dalam Faisal Tehrani

Segalanya Online

with 4 comments

I

Saya telah mendapatkan rebat minyak yang dijanjikan daripada Pos Malaysia, tanpa perlu pergi ke pejabat pos. Saya tak perlu isi borang yang diambil di kaunter. Saya juga tidak perlu bersesak-sesak di sana.

Segalanya selesai dengan cara online. Dua hari selepas itu, wang saya telah pun dipindahkan ke akaun yang saya berikan. Tahu-tahu sahaja, duit dalam akaun telah pun bertambah apabila disemak.

II

Saya membuat segala urusan membayar bil, ansuran kereta, dan segala bentuk pemindahan wang tanpa perlu meninggalkan kamar kerja. Saya tak perlu keluar duit lebih untuk minyak kereta, bersesak-sesak di jalan raya – yang boleh mengambil masa saya.

Segalanya online. Di hujung jari. Sangat menjimatkan masa.

Saya juga lebih selesa jika bayaran untuk tugas-tugas saya juga dikreditkan terus ke dalam akaun. Dengan cara itu, saya tidak perlu ke bank untuk masukkan cek dan kemudian harus menunggu.

Bukankah, sekarang ini zaman segalanya online.

III

Saya beli buku yang dikehendaki juga melalui laman web yang disediakan. Pesan, bayar dan tunggu kedatangannya.

Pergi ke kedai buku hanyalah untuk browsing dan kalau ada masa lebih. Di laman web juga boleh browsing. Tetapi, ke kedai buku hanya untuk browsing untuk melihat-lihat kandungan buku dan cara setting buku. Kalau sudah kenal pasti apa buku yang dikehendaki, saya tak perlu membelinya dari kedai secara fizikal. Apabila dikehendaki, saya tetap boleh memesannya secara online dan transaksi selesai dalam beberapa minit (dan dapat mengelakkan diri daripada ‘terbeli’ buku-buku lain, jika saya berada di dalam kedai buku).

IV

Apabila datang pertanyaan di Ujana Ilmu seperti ini :

Saya ingin membeli buku berjudul XYZ. Di kedai mana saya boleh dapati buku tersebut.

Jawapan kami pula :

Assalamualaikum Sdr A,

Buku itu mungkin ada di kedai buku yang besar, tetapi kami tidak pasti yang
mana, tetapi jika sdr mahu membeli terus dengan kami, sila ikut arahan
seperti berikut.

Caranya amat mudah.
1. pergi laman buku yang dikehendaki.
2. click "Beli Buku Ini"
3. sila ikut arahan skrin
4. jika nak tambah buku dalam cart - "continue shopping"
5. jika dah habis pilih buku - "checkout"
6. isi semua details termasuk negeri.
7. pilih cara pembayaran -kad credit, wang pos, bank/online transfer
8. confirm.

sdr akan menerima e-mel lanjut berkenaan cara membuat pembayaran
berdasarkan cara pembayaran yang sdr pilih.

selamat mencuba.

salam ikhlas
shukri
ujanailmu.com.my

Lalu dibalas oleh Encik A :

Saya ingin terus beli buku tersebut dengan bayaran cash dan mengambil bukunya dimana-mana sahaja buku ini dijual.

Jadi, kami pun hanya boleh mengucapkan “selamat berjaya” kepada Encik A kerana masih lagi ingin bersusah payah mendapatkan buku yang dicarikan. Kalau mahu beli secara tunai daripada kami juga boleh tetapi tentu sahaja tidak berbaloi kerana harus datang (duit minyak lagi, walaupun sudah turun 15 sen), mencari tempat kami dan halangan-halangan lain. Sebab itu, kami cadangkan supaya beli secara online sahaja.

Satu perkara lain yang menjadikan pelanggan keliru tentang pembelian online ialah, sebagai kedai buku maya, kami menyimpan stok untuk kami sahaja. Bagaimanalah kami tahu apa yang disimpan di kedai orang lain.

Adakalanya, kami dapat e-mel bertanyakan sama ada buku yang dicarinya ada ataupun tidak di kedai-kedai di pekan Arau, ataupun Alor Star. Macam mana pula kami dapat mengakses stok kedai lain sejauh itu?

Kalau ada yang mahu beli dari kami, kami boleh sahkan stok dan pesan terus. Nantikan sahaja kehadiran buku yang dipesan.

Segalanya online!
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 24, 2008 at 10:03 am

Dikirim dalam Ujana Ilmu

HSPM 06/07 – Peluang Memfail Karya

with one comment

Khabarnya, DBP akan mengadakan majlis untuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004/2005 pada penghujung tahun ini. Serentak dengan itu (dan saya kira boleh menjimatkan belanja juga), penyampaian HSPM 2006/2007 juga akan dijalankan dalam majlis yang sama.

Penyertaan dan kiriman karya kepada Urus Setia HSPM 06/07 sudah pun dibuka oleh pihak DBP dan borang serta syarat boleh didapati dari laman web DBP.

Kerja menghimpunkan semula karya-karya kreatif dan non-kreatif yang sudah terbit, apatah lagi untuk tempoh satu ke dua tahun ini agak rumit bagi sesiapa yang jarang memfailkan karya. Mungkin pada peringkat awal dalam usia pengkaryaan, ini tidak jadi hal. Maklumlah, apabila baru mendapat tempat di beberapa media, karya pun masih sedikit dan keseronokan memang lebih. Mudah sahaja membeli folder untuk menyimpan karya, menyusun, membuat indeks dan sebagainya.

Secara peribadi, saya akan membeli sekurang-kurangnya 2 naskhah majalah untuk tujuan dokumentasi karya sendiri. Satu daripada majalah itu akan ‘dikorbankan’. Saya akan koyak halaman asal karya saya tersiar untuk difailkan. Majalah yang satu lagi akan saya simpan tanpa mengusik karya tersebut. Dengan cara itu, karya tersebut boleh dibaca secara berasingan ataupun dibaca di dalam majalah yang menyiarkannya.

Untuk akhbar, saya jarang beli lebih dari satu kerana keratannya boleh dibuat sehari selepas hari terbitan. Akhbar di rumah saya pun, selepas itu akan dijual sebagai ‘surat khabar lama’ ataupun menjadi alas apa-apa yang patut.

Pun, harus diakui bahawa tugas ini perlu ada disiplin. Apatah lagi, kalau dalam tempoh tertentu ada banyak karya yang tersiar di media. Adakalanya, terlupa hendak gunting walaupun majalah sudah dibeli lebih awal.

Oleh itu, apabila datang peluang seperti HSPM yang meminta karya eceran dihimpunkan, inilah cara untuk mendokumentasikan kembali karya-karya itu dalam sistem fail yang tersusun. Selain daripada itu, saya juga dapat mengemaskini blog yang telah saya buat khusus untuk merekodkan hasil karya saya – sila rujuk senaraikaryanisah.blogspot.com.

Namun, laman tersebut juga tidak sempat saya kemaskini untuk senarai tulisan artikel. Yang terkini lebih kepada karya-karya kreatif seperti novel/buku, cerpen dan puisi.

Tujuan dokumentasi online ini juga untuk membantu mana-mana penyelidik/pelajar IPT yang selalu bertanya apakah judul karya-karya saya dan sebagainya. Kepada yang berkata karya saya tidak dapat ditemui, ertinya mereka belum sempurna dalam erti kata pencarian dan penyelidikan masing-masing.

Kalau setakat mahu kaji cerpen-cerpen saya, saya sudah sediakan tempat rujukannya. Carilah di mana-mana perpustakaan yang berwibawa. Saya sudah nyatakan tahun terbit, di mana terbit dan terbit dalam majalah/akhbar mana. (Takkanlah masih dengan bangga mahu berkata sudah jumpa hanya 4 buah cerpen. Saya tahu saya sudah menulis berkali-kali ganda lebih banyak dari jumlah tersebut).

Buku-buku saya juga boleh di kedai-kedai buku tertentu. Kalau susah sangat, saya sudah sediakan perkhidmatan jualan buku secara online di www.ujanailmu.com.my. Kepada sesiapa yang meng’google’ “karya nisah” ataupun “nisah haron” pasti akan bertemu dengan laman blog ini ataupun blog yang menyenaraikan karya saya, ataupun akan terhantar ke Ujana Ilmu. Kesemua itu tempat untuk mencari maklumat tentang karya saya – kalau malas sangat hendak ke perpustakaan untuk buat kajian sendiri.

Kemudahan bagaimana lagi yang harus saya sediakan?

Kembali kepada hal HSPM 06/07, kepada sesiapa yang rasa-rasa ada karya yang diterbitkan sekitar tahun 2006-2007, silalah kemukakan kepada Urus Setia HSPM. Ini bukan soal menang ataupun kalah. Tetapi, dokumentasi karya anda supaya senang dicari dan direkodkan.

Tarikh tutup HSPM 06/07 ialah pada 30 Ogos 2008.
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 20, 2008 at 7:28 am

Dikirim dalam Uncategorized

Penerima S.E.A. Write Awards ke-30

leave a comment »

Dr. Hatta Azad Khan telah diumumkan sebagai Penerima S.E.A. Write Award ke-30 dalam Utusan Malaysia hari ini.

.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 18, 2008 at 5:57 am

Dikirim dalam Pengumuman

Penulis Negeri Sembilan menang anugerah di Johor

leave a comment »

Seorang penulis Negeri Sembilan menggondol anugerah di Johor pada malam ini. Untuk mengetahui siapakah penulis bertuah itu, sila lawati Laman Rasmi PEN
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 15, 2008 at 9:03 pm

Dikirim dalam PEN, Pengumuman

Tawarikh Cinta – Sastera Sejarah Yang Baharu?

with 2 comments

“Novel Tawarikh Cinta ini seperti yang diuar-uarkan oleh pengarang dalam “Nazam Permulaan” adalah untuk mengajak pembacanya tidak mengira usia untuk berfikir di sebalik pencarian ala-ala detektif dan cerita pengembaraan untuk mencari sebuah kitab yang diberi nama Kitab Gemala Sakti.

Sebagai seorang pengarang yang sudah mapan, 20 tahun dalam dunia karang-mengarang, Nisah Haron tidak membiarkan sahjaa unsur fantasi menerawang untuk membentuk ceritanya ini, tetapi beliau secara bijak telah mengeksploitasi cerita daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu untuk menjadi fiksyen-fantasi novelnya supaya menjadi lebih menarik dan bermakna.

Di sinilah perbincangan ini akan melihat sejauh mana pengarangnya telah mengaplikasikan bentuk sastera sejarah untuk membentuk satu novel sastera sejarah yang baharu.

Apakah sastera sejarah? Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umumnya, sastera sejarah seringkali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah.

Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnay sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh watktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya.

Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama, karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Sri Lanang menjurai asal keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.

Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syair Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga.

Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh pengarah sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan ataupun jurai keuturunannya.

Ketiga-tiga unsur ini dilihat dalam novel Tawarikh Cinta untuk mensahihkan novel ini mengandung ciri-ciri sebuah karya sastera sejarah.”

Petikan daripada Kertas Kerja berjudul Tawarikh Cinta : Sebuah Sastera Sejarah Yang Baharu? yang dibentangkan oleh Encik Saifullizan Yahaya (DBP) pada 9 Ogos 2008 di Institut Perguruan Raja Melewar, Seremban sempena Bicara Karya Sastera Negeri Sembilan 2008.

Novel Tawarikh Cinta boleh didapati dari http://www.ujanailmu.com.my/pd-tawarikh-cinta.cfm

ataupun beli Pakej HSKU 2008 dari laman Ujana Ilmu.

Written by Nisah Haron

Ogos 11, 2008 at 7:56 am

Pesanan seorang editor

with 2 comments

Awal pagi ini, saya terima SMS daripada seorang editor juga sahabat, Kak Rozninah Abd. Azib – Editor Dewan Sastera yang sedang menunggu dan membuat persediaan ke bilik pembedahan.

Katanya :

“Oleh sebab kematian itu tak tahu bila masanya dan ia pasti terjadi, dalam situasi saya ini, sewajarnya saya mengingati tentang hal itu. Andainya hari ini hari terakhir buat saya, dengan rendah hati saya memohon maaf dan seikhlas hati saya memaafkan kalian. Terima kasih kerana kalian banyak berjasa dan berbuat baik kepada saya. Sampaikan salam dan mohon maaf saya kepada teman yang lain. Doakan semoga saya berkesempatan bersama kalian lagi, insya-Allah. Saya dalam persiapan ke bilik pembedahan.”

Memang sukar untuk saya hadapi banyak perkara di Bahagian Majalah DBP yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Bermula dengan Puan Norraya (isteri pelawak terkenal Sabri Yunus), ketua kerani di Bahagian Majalah dan kemudian menerima kejutan pula dengan pemergian Kak Rohaya (Penolong Editor Dewan Sastera).

Dalam tempoh yang lebih kurang sama, Kak Zaiton Abu Samah (Kak Ton) pula diberitakan menghidap kanser dan kini Kak Rozninah (Kak E-na) pula mengambil giliran. Namun, bagi kedua-dua editor Kak Ton dan Kak E-na, komplikasi penyakit masing-masing agak awal dan masih dapat diatasi insya-Allah.

Entri ini khusus buat mereka kerana kedua-duanya begitu istimewa dalam sejarah penulisan saya sehingga kini. Kak Ton merupakan editor yang menangani karya-karya saya sewaktu di Dewan Siswa dan Kak E-na pula banyak membantu sewaktu di Dewan Sastera. Perkenalan rapat dengan mereka bukanlah bermakna mereka ini ‘kroni’ yang memudahkan karya saya diterbitkan di majalah masing-masing.

Banyak kali saya ingatkan mereka supaya menilai karya-karya saya terlebih dahulu sebelum disiarkan. Manalah tahu, adakalanya karya saya itu mungkin saya tidak mencapai kualiti yang diharapkan pada ketika yang tertentu. Dan ya, sebanyak itu juga mereka telah menilai karya saya itu seperti mana yang dilakukan terhadap karya-karya orang lain. Ertinya, bukanlah kerana karya itu tertera nama “Nisah Haron”, lalu ia dengan mudah sahaja diterbitkan.

Adakalanya, saya juga perlu menunggu berbulan-bulan sebelum karya saya tersiar, khususnya di Dewan Sastera kerana persaingan sengit dan kemungkinan karya tersiar hanya (cerpen) biasanya sekali dalam setahun.

Daripada mereka juga saya banyak belajar tentang hal-hal penerbitan dan juga belajar melihat kelemahan dalam berkarya. Bertemu mereka juga membuatkan saya sentiasa mahu menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang telah saya tulis selama ini.

Demikianlah kedudukan editor yang baik pada saya. Letaknya lebih tinggi daripada seorang penulis sendiri. Editor seperti ini sentiasa saya perlukan untuk menyunting karya-karya saya supaya menjadi lebih molek untuk tatapan pembaca.

Seorang penulis boleh mengungkapkan apa yang tercetus dan terfikir tetapi seorang editor dapat menjadikan karya itu lebih mudah dihadam pembaca – ibarat seorang jurusolek yang mencantikkan wajah yang sedia ada dan bukan mengubahnya.

Sahabat penulis dan pembaca sekalian,
Doakanlah kesihatan dan segala kemudahan untuk kedua-dua editor saya yang baik ini. Semoga Allah terus memberi mereka kekuatan untuk menghadapi segala bentuk dugaan. Saya tahu mereka orang-orang yang kuat lagi terpilih untuk menghadapi semua ini dengan tabah. Semoga Allah memberikan kemudahan.
Amin.
.
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 8, 2008 at 7:20 am

Dikirim dalam Uncategorized

Sejarah Penulisan

with 9 comments

2008 – genap 20 tahun. Langkah pertama saya dalam bidang penulisan ini bermula 20 tahun yang lalu. Tahun 1988 – ketika itu masih lagi menuntut dalam tingkatan 3 di SMKA SHMS (kini SHAMS). Adakalanya seperti tidak percaya, masa berlalu begitu pantas.

Di bumi SHAMS, hampir tiada siapa yang mendorong saya menulis. Semua itu datang daripada kesedaran diri sendiri dan juga faktor keadaan hidup pada ketika itu. Tidak mungkin sejarah penulisan saya dimulakan tanpa menyatakan betapa faktor banyak membacalah yang menjadi pemangkinnya.

Sejak dari sekolah rendah lagi, guru-guru telah mendedahkan saya dengan pelbagai bahan bacaan (kebanyakannya dalam Bahasa Inggeris). Saya pun ghairah meratah semua buku yang dihidangkan. Segala buku Enid Blyton sudah saya jamah – walaupun pada usia yang masih rebung, saya tidak faham keseluruhan buku itu (patah demi patah) tetapi yang penting saya seronok membaca ceritanya.

Di SHAMS, novel-novel remaja DBP memenuhi masa senggang saya setiap hari. Saya tidak tinggal di asrama jadi, setiap hari saya pulang dengan sebuah novel di dalam beg sekolah. Paling susah hati jika tiba hari Jumaat kerana saya hanya boleh bawa pulang sebuah novel sedangkan cuti hujung minggu bermula mulai petang Jumaat hinggalah hari Ahad. Mana cukup dengan hanya bekalan sebuah novel yang pastinya sudah habis pada petang Jumaat itu juga. Bagi mengubati keadaan ini, kalau ada novle yang tebal sedikit, novel itulah yang akan saya sambar dahulu.

Terdetik pada suatu ketika, setelah membaca sekian banyak buku, mengapa tidak saya sendiri yang menulis cerita seperti pengarang-pengarang ini. Dengan cetusan demikian, saya terus mencapai mesin taip lama milik ibu saya dan mencari helaian kertas kosong untuk saya taip sesuatu.

Selesai tiga halaman saya menulis, kisah pelajar sekolah yang mencari ibu kandungnya. Ya, sangat klise tema itu. Apatah lagi, saya mahu ibu kandung yang dicarinya itu nanti ialah guru yang menjadi kesayangannya di sekolah. Ya, saya tahu. Sungguh klise!

Tetapi pengarang mana yang tidak memulakan karya pertamanya dengan idea-idea klise. Kita semua insan yang biasanya bermula dengan meniru apa yang ada di sekeliling. Sebagai bayi juga kita meniru perbuatan insan yang ada di sekitar hidup kita.

Tentulah karya itu tidak akan tersiar di mana-mana (tidak mungkin ada yang dapat melihat karya itu lagi, selagi saya hidup!). Namun, permulaan yang klise itu ialah sejarah penulisan saya dalam dunia kepengarangan ini. Selepas daripada itu, saya terus menulis dan mendapat tempat dalam majalah sekolah sahaja. Impian untuk melihat cerpen-cerpen saya tersiar di dalam majalah berprestij pada ketika itu – Dewan Siswa masih lagi belum kesampaian.

Sepanjang tingkatan empat saya masih lagi menukangi karya, berbincang-bincang dengan kawan-kawan yang sekadar boleh mendorong, adakalanya ‘pening’ melayan saya yang sibuk mahu menulis. Pun, masih belum ada cerpen yang dihantar dapat disiarkan.

Saya fikir ada kira-kira sepuluh buah cerpen yang kalau hari ini dilihat, cukup wajarlah mengapa editor pada ketika itu enggan menyiarkan karya saya. Daripada kegagalan itulah, timbul kesedaran bahawa saya harus mencari kelainan dalam karya bagi mendapatkan perhatian editor. Lantas, landasan yang saya pilih ialah dengan menghasilkan karya berbentuk fantasi.

Dengan itu, lahirlah Di Sebalik Wajahmu, Aries sebagai karya saya yang membuat tembusan pertama di media.


20 tahun kemudian – apabila saya menoleh kembali, liku-liku perjalanan pengkaryaan saya begitu berwarna-warni. Saya pernah bercita-cita menjadi penulis. Namun, cita-cita itu agak membimbangkan ahli keluarga. Jadi saya menulis senyap-senyap hinggalah karya saya Atlantis Duniaku Duniamu memenangi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat 1991. Pengiktirafan itu sedikit sebanyak membuka mata keluarga bahawa saya ada kelebihan lain yang tidak wajar disekat.

Ketika di peringkat pengajian tinggi juga, saya masih lagi membawa dua dunia ini dengan pandangan serong daripada mereka yang tidak berada di dalam diri saya. Mana mungkin seorang bakal pengamal undang-undang menulis karya-karya fantasi. Sungguh ironi!

Saya buktikan yang mereka silap. Saya buktikan bahawa ilmu di dunia ini tidak harus dikotak-kotakkan. Saya boleh membawa kedua-duanya dan alhamdulillah, kedua-duanya tidak pernah ‘bergaduh’ dalam diri saya.

Novel Puisi Untuk Esdyzuar juga menjadi bukti harmoni undang-undang dan fantasi dalam karya saya.

Ah, ini baru dua puluh tahun perjalanan. Apakah akan ada perjalanan yang lebih panjang selepas ini? Bagaimana pula wajah perjalanan saya 20 tahun lagi, jika Allah memberi izin untuk saya meneruskan perjalanan ini?
.
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 6, 2008 at 7:34 am

Dikirim dalam Penulisan, Peribadi

Sekitar Diskusi Karya Mantan MPR

with 5 comments

Dari kiri : Prof. Madya Dr. Faridah Jalil, Dr. Rahmah Ahmad H. Othman, Encik Saleeh Rahamad & Khairul Nizam (Pengerusi)

Saya kagum dengan usaha adik-adik (junior) mantan peserta MPR yang bertungkus-lumus bagi menjayakan diskusi kali ini. Tahniah kepada Nasriah dan kawan-kawan. Walaupun mereka bekerja keras sesama mereka, kami yang senior ini tetap tidak dilupakan. Banyak kali juga mereka merujuk dan bertanya itu dan ini. Alhamdulillah, moga-moga tradisi begini dapat diteruskan.

Pagi itu, majlis dimulakan dengan ucapan daripada Salina Ibrahim selaku wakil kepada mantan MPR dan diikuti oleh ucapan daripada Ketua Bahagian Sastera, Puan Hajah Zalila Sharif. Seterusnya, ada pertunjukan slaid mantan-mantan MPR. Banyak kenangan lama yang terusik kala itu.

Untuk sesi pertama, seperti yang dijadualkan pembentangan dimulakan dengan Dr. Faridah Jalil dari Fakulti Undang-undang UKM. Nama beliau saya cadangkan kepada pihak pengajur kerana minat dan kecenderungan untuk mengkaji hal-hal sastera & undang-undang. Minat membaca yang amat sebati dalam dirinya memungkinkan beliau menyudahkan pembacaan novel saya dan sekaligus melihat novel Puisi Untuk Esdyzuar dari kaca mata seorang pendidik undang-undang.

Malah, sebagai senior di Fakulti Undang-undang (Batch Pertama), beliau juga mengenali saya sejak saya berada di peringkat matrikulasi lagi. Beliau juga mengikuti perkembangan pengkaryaan saya. Saya juga melihat minat membaca tumbuh meliar dalam diri keluarganya juga.

Berikut petikan daripada kertas kerja beliau :

“Pertikaian yang berlaku dalam beberapa keadaan memerlukan penyelesaian di luar kerangka undang-undang atau pelanggaran kepada amalan perundangan. Proses undang-undang hanya bersifat mengaburi mata. Sidang mahkamah diadili oleh hakim (Arlandis) yang forumnya untuk mendapatkan natijah yang tertentu. Penyelesaian secara diplomatik dan perundingan adakalanya lebih berbaloi dan bermakna, terutamanya apabila ia membabitkan sentimen kebangsaan,

Diperlihatkan juga agen undang-undang diguna untuk tujuan tertentu, Zareth misalnya, Pendakwa Negara berperanan untuk membebaskan Esdyzuar tetapi mempunyai agenda tersendiri dalam menjayakan misi menakluk Cenma Detara.

Proses undang-undang untuk membuktikan kebenaran juga terlindung apabila tanggapan bahawa seorang itu adalah bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya lebih utuh berbanding prinsip seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Esdyzuar terpaksa hidup dibayangi dengan anggapan bersalah ketika di Cenma Detara, tapi tiada beza jika dia berada di Cosmo.”



Turut hadir, wakil daripada penerbit – Al-Ameen Serve Holdings, Puan Semiah dan Sdr Jonos (gambar di atas) serta tidak ketinggalan jualan buku oleh Ujana Ilmu dan “kedai buku Ummu Hani” yang memeriahkan suasana.

Kehadiran juga amat memuaskan. Selain daripada mantan-mantan yang hadir, majlis turut menerima ramai peminat sastera khususnya di kalangan mahasiswa/i universiti. Kemungkinan panel pembentang ‘mengarahkan’ pelajar untuk hadir. Pun, kehadiran mereka amat menghangatkan suasana.

Pelancaran Antologi Kacak Jelita pula disempurnakan oleh Kak Anis atau Dr. Amida Abdulhamid yang diundang khusus untuk tujuan ini – lihat gambar di atas: Kak Anis dibantu oleh Ummu Hani (kiri) dan Nasriah Abdul Salam.

Terima kasih kepada semua yang hadir dan tahniah kepada penganjur. Semoga akan ada acara susulan selepas ini.

Written by Nisah Haron

Ogos 4, 2008 at 7:10 am