Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Julai 2008

SN S. Othman Kelantan Pulang Ke rahmatullah

with 6 comments


Allahyarham S. Othman Kelantan, Sasterawan Negara ke-9 pulang ke rahmatullah malam tadi. Ketika entri ini ditulis, saya baru sahaja menerima SMS daripada pihak yang terlebih dahulu mendapat maklumat tersebut.

Semalam, saya dan beberapa kenalan dari Bahagian Majalah DBP (entah kenapa, kami beriya-iya sangat merancang untuk pergi menziarahi arwah sehari sebelum itu) telah ke Hospital Serdang. Meskipun sampai di hospital bukan pada waktu melawat, Hospital Serdang tetap membenarkan pengunjung berjumpa dengan pesakit (hanya 2 orang sekali masuk) dengan meninggalkan dokumen pengenalan diri.

Lalu, sekitar jam 11.30 saya mendapat giliran untuk naik ke wad. Arwah nampak uzur, tetapi masih lagi dapat mengesani sesiapa sahaja yang datang singgah. Isteri arwah, Dian, setia bersama-sama suaminya membantu segala keperluan. Difahamkan arwah mengalami sakit jantung, paru-paru berair dan juga tekanan darah rendah.

Namun, saya tidak menyangka bahawa itu merupakan pertemuan terakhir saya dengan arwah. Terima kasih kepada suami saya yang sudi menghantar kami semua sehingga ke Serdang, walaupun dia sebenarnya ada urusan lain di Kuala Lumpur.

Al-Fatihah

Imej gambar : Flickr – Ibnu Ariff

.
.

Written by Nisah Haron

Julai 31, 2008 at 1:45 am

Dikirim dalam Al-Fatihah

Apa yang mereka baca?

with 9 comments


Saya sudah beberapa kali didatangi para pelajar IPT yang mahu menemuramah tentang hal saya dan penulisan saya. Entri tentang ini juga bukan kali pertama ditulis. Pun, setiap kali para pelajar ini datang, sebanyak itu juga mereka mengecewakan saya.

Kali ini, panggilan telefon dibuat dari tempat mereka belajar, saya fikir. Taliannya pula tenggelam timbul. Entah berapa ribu kali pula saya harus ‘berhelo-helo’ kerana suara saya tidak dapat didengar; sedangkan suaranya saya dapat dengar jelas sekali termasuklah rungutannya yang mengatakan ‘eh, tak dengarlah’ – entah berapa kali diulangnya.

Amat menjengkelkan! Kalau sudah tahu mahu buat panggilan sepenting ini, pastikanlah talian anda itu jelas ataupun berdirilah di tempat yang taliannya tidak semput, bateri telefon pun cukup hayatnya. Mendengarkan hal-hal yang remeh-temeh ini sahaja sudah membuat saya mahu batalkan sebarang pertemuan dengan pelajar ini. Saya bukannya terlalu kemaruk untuk diwawancara!

Pelajar itu menelefon kembali beberapa jam kemudian dan memaklumkan hasrat yang sama. Kali ini taliannya lebih baik. Dia mahu tahu bila saya lapang untuk ditemuramah. Sebelum bersetuju saya bertanya apakah tujuan pertemuan itu nanti. Katanya, dia mahu menulis tugasan tentang cerpen-cerpen saya.

Saya tanya, sudah berapa banyak cerpen saya yang dia kaji.

Dengan bangganya dia berkata empat buah!

Saya tanya lagi, takkan empat sahaja. Saya juga ada 2 buah kumpulan cerpen – satu dewasa dan satu remaja.

Jawapan mudahnya – “tak jumpa cari, puan.”

Memang saya boleh naik angin.

Saya tahu bahawa kumpulan cerpen Impian Tsu-Ryi dan Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus tidak mungkin dijumpai bersepah-sepah di mana-mana kedai buku. Tetapi, sudah alang-alang dapat bercakap dengan saya, tak ada sepatah pun pertanyaan daripada pelajar ini tentang bagaimana mahu mendapatkan buku-buku tersebut.

Sebagai pengkaji, merekalah yang sepatutnya berusaha untuk mendapatkan buku-buku tersebut. Tak kiralah, beli, pinjam, minta, curi dan sebagainya. Saya cukup kecewa apabila mereka mudah benar mengalah, seolah-olah – apabila tak dapat cari kumpulan cerpen saya itu, tak mengapalah; cukuplah sekadar 4 buah cerpen sahaja kita bincang-bincang dan sembang-sembang semasa pertemuan nanti.

Hai, 4 buah cerpen nak cerita apa, dik? Apatah lagi, salah satu daripada 4 buah cerpen itu ialah cerpen Annyss Sophilea. Kalau saya tanya tentang cerpen itu pun, paling bagus jawapan yang diberikan ialah jawapan-jawapan yang dihafal sewaktu membaca buku rujukan SPM. Itupun kalau masih ingat lagi.

Saya fikir, jika temuramah ini dapat diaturkan, pastinya soalan pertama daripada saya ialah berikan nama-nama Sasterawan Negara mengikut susunan daripada penerima pertama sehinggalah yang terkini. Jika gagal berikan jawapan, saya percaya temuramah itu tidak perlu diteruskan, apatah lagi, mereka ini datang dari latar belakang sastera dan pengkhususannya juga sastera di universiti.

Oleh sebab mereka ini pelajar universiti, saya tidak salahkan pensyarah mereka, kerana di universiti, kita sepatutnya banyak menggunakan inisiatif sendiri untuk mempertingkat diri. Jika hal-hal asas begini juga gagal mereka kuasai, apakah nasib dan masa depan sastera Melayu sejurus selepas mereka ‘kononnya’ bergelar Graduan!

Written by Nisah Haron

Julai 29, 2008 at 6:29 am

Dikirim dalam wawancara

Komen Terhadap "Puisi Untuk Esdyzuar"

with 5 comments


Saya tak pasti dari segi rating buku-buku saya. Tetapi, saya fikir, antara buku yang mungkin tidak berapa mendapat sambutan di pasaran ialah Puisi Untuk Esdyzuar. Oh, barangkali saya silap kerana membuat telahan ini tanpa bukti empirikal.

Pun, saya tidak berapa terkilan kerana buku yang mempunyai elemen fantasi agak sukar mencari pembaca. Tidak ramai pula pembaca yang percaya bahawa buku fantasi wajar ditulis dalam Bahasa Melayu, lantaran fiksyen fantasi sudah lama sinonim dengan Bahasa Inggeris.

Jadi, saya tidak menerima banyak komen terhadap buku ini. Tak pasti, sama ada buku ini baik ataupun tidak kerana mungkin tak ramai yang berani untuk mengambilnya daripada rak. Ada yang membayangkan ini sebuah buku puisi kerana judulnya. Ada yang ‘takut’ dengan ilustrasi kulit hadapannya dan ada pelbagai alasan lain. Mungkin ada yang ‘kenal’ dengan Annyss Sophilea dan orang ini memang tidak gemar fantasi sejak dari KOMSAS lagi.

Entahlah, alasan itu mungkin sahaja pelbagai. Selebihnya, saya pulangkan kepada pembaca sama ada berani ataupun tidak untuk cuba membaca buku ini.

Komen yang berharga daripada seorang pembaca dan pencinta buku “Bunnybaby” tentang Puisi Untuk Esdyzuar yang disiarkan di goodreads.com saya petik seperti di bawah:

Bunnybaby
Bunnybaby rated it: 4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars4 of 5 stars
07/19/08

Read in July, 2008

Written by Nisah Haron

Julai 22, 2008 at 5:00 am

Dikirim dalam KOMSAS, Puisi Untuk Esdyzuar

Umbara Sastera 2

with 5 comments

Dari kiri : Amiza Khusyri, Rabiatul, Kak Halela, Atiqah, Nisah, Sharifah Salha, Nursyakirin & Fahd Razy.

Setelah sekian lama merancang, alhamdulillah, Umbara Sastera 2 dapat berlangsung dalam keadaan serba sederhana tetapi penuh makna. Lebih satu jam, peserta dan khalayak dapat mendengar dan berkongsi pandangan dengan panel yang didatangkan khas untuk program ini.

Terima kasih sekalung budi kepada Raihani Mohd Saaid, Adibah Abdullah, Amiza Khusyri, Salina Ibrahim dan Fahd Razy. Kecuali, Amiza Khusyri, yang lain semuanya datang dari luar Negeri Sembilan, sanggup pula meredah hujan pagi yang penuh rahmat di Bandar Senawang.

Puan Mahaya (Ketua Satu PEN) merasmikan Umbara Sastera 2

Fahd Razy berkongsi kisah penulisannya yang bermula sejak dari Tingkatan 2 dan beliau sebenarnya bermula dengan menulis cerpen. Fahd kini lebih menonjol sebagai penyair muda kerana didikan sewaktu Minggu Penulis Remaja banyak membentuk dirinya sebagai penyair. Kredit diberikan kepada Shamsudin Othman yang merupakan guru di sekolahnya dan juga mentornya. Tidak kurang menarik, Fahd percaya bahawa antara rakan-rakan sekuliahnya yang bakal menjadi doktor, dia mahu menjadi seseorang yang lebih daripada itu – dia mahu jadi doktor yang juga boleh menulis.

Fahd Razy (sedang doa tolak bala, atau senaman anak harimau? sambil diperhatikan oleh Amiza Khusyri


Salina Ibrahim
bercerita bahawa sebagai anak perempuan tunggal daripada 4 orang adik beradik, beliau banyak berterima kasih kepada sekolah menengah tempat dia belajar (Sekolah Raja Perempuan Taayah) yang sedikit sebanyak membentuk budaya membaca. Daripada pembacaan dan disiplin kerjaya yang dimiliki hari ini beliau dapat menjadi penulis yang prolifik, khususnya novel dan cerpen. Salina juga sempat berkongsi proses kreatif sebuah cerpennya yang berjudul Memaknakan Cinta.

Raihani Mohd Saaid (gambar di atas) berkongsi 2 perkara : pengalaman sebagai anak seorang penulis dan juga pengalaman melatih bakal guru Bahasa Melayu dan guru Sastera. Sebagai puteri sulung kepada penyair Zurinah Hassan, ramai yang prejudis terhadap karya beliau. Tidak kurang juga tohmahan bahawa karya Raihani ialah karya Zurinah Hassan sebenarnya. Tohmahan inilah yang harus ditangkis oleh penulis-penulis lain yang juga berada dalam situasi seperti Raihani – Hizairi (Othman Puteh); Shazmee Rizal Agus Salim (Mahaya Mohd Yassin), S.M. Zakir (S. Othman Kelantan) – sekadar menyebut beberapa nama. Menurut Raihani, daripada ibunya sibuk menulis untuknya, lebih baiklah Zurinah Hassan menulis karya-karya sendiri dan terus mengekalkan namanya sendiri di persada puisi tanah air.

Raihani juga menyatakan kebimbangannya terhadap bakal-bakal guru yang kurang maklumat dan kurang membaca karya-karya sastera hinggakan banyak perkara asas dalam penulisan juga tidak dapat dijawab dengan baik. Contoh soalan popular Raihani : Di antara berikut, yang manakah pengarang wanita?

a) Arena Wati b) Ria Asmira c) Kemala d) Nora

Ini juga soalan favourite sewaktu MPR!

Adibah Abdullah (gambar di atas) – pelajar perubatan tahun 2 di University of Manchester kini sedang bercuti musim panas (seperti juga Fahd Razy) sanggup datang dari Kuala Krai, Kelantan untuk menyertai Umbara Sastera. Penggemar karya-karya Abdullah Hussain, Faisal Tehrani dan Stephen King ini bercerita bahawa dia mendapatkan desakan idea untuk menulis daripada satu-satu emosi. Untuk itu, dia harus duduk 5 – 6 jam untuk menyelesaikan cerpennya. Jika dia beralih, emosi itu juga akan terganggu dan dia tidak boleh menyiapkan cerpennya kerana emosi yang sudah diganggu.

Amiza Khusyri Yusof seperti biasa dengan rasa rendah diri bercerita tentang pengalamannya berada di Mesir sebagai pemangkin kepada penulisannya yang bermula di KUSZA. Beliau juga antara ‘orang kuat’ Adabuna – perkumpulan penulis muda seperti Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) – nama-nama seperti Nazmi Yaakub dan Zaid Akhtar juga pernah menjadi ‘orang kuat’ dalam Adabuna.

Seperti GKLN, Adabuna juga menggunakan pendekatan menawan media ataupun “Jom Gempur Media” seperti seruan Fahd Razy dan rakan-rakannya di dalam GKLN. Apabila nama sudah kukuh, barulah mereka pun memilih media dan karya terbaik untuk diterbitkan serta menulis dengan penuh kesedaran.

Majlis berlangsung dengan lancar. Banyak soalan yang mahu dikemukakan tetapi masa begitu terhad. Paling menarik, guru-guru penulis-penulis ini turut hadir meraikan anak-anak didik mereka, seperti Puan Azizah (guru kepada Fahd Razy dan Adibah Abdullah sewaktu mereka di Kolej Mara Banting); Puan Aida Rahayu (guru kepada Amiza Khusyri sewaktu di SMA Dato’ Klana Petra, Seremban). Tentunya, sebagai guru mereka berbangga dengan kejayaan anak-anak didik mereka.

Oh ya, harus saya nyatakan di sini, bahawa selain daripada penyertaan Fahd Razy dari Dublin dan Adibah Abdullah dari Manchester, PEN turut berbangga menerima kunjungan daripada Puan Halela dari Okinawa (yang kebetulan berada di Malaysia dan Singapura sekitar 2 bulan kebelakangan ini).

Laporan tentang Bengkel Asas Penulisan Cerpen boleh dibaca di Laman Rasmi PEN (sedikit masa lagi).

Written by Nisah Haron

Julai 21, 2008 at 7:15 am

AAC lawan TTD

with 14 comments

Rumah saya betul-betul bersebelahan dengan surau di kawasan kejiranan kami. Abah saya, sebagai warga emas yang telah bersara menjadi muazzin tidak rasmi di surau itu. Malah Abah antara orang kuat surau dalam mengimarahkan tempat itu.

Hampir setiap malam ada ceramah agama yang bertukar-tukar topik. Pada sebelah pagi hari Jumaat, Sabtu dan Ahad pula ada kuliah subuh. Biasanya, pihak surau akan menguatkan pembesar suara supaya kuliah subuh itu turut dapat dinikmati mereka yang tidak dapat ke surau. Pendek kata, memang jarang sekali dapat tidur semula selepas Subuh pada hari Sabtu atau Ahad. Pun, banyak faedahnya.

Suatu hari, Abah bertanya kepada saya sama ada Ujana Ilmu ada menjual novel Ayat-ayat Cinta. Saya kata, “Ada. Kenapa?”

Abah menjawab, ada seorang ustaz yang memberi kuliah itu menyarankan supaya novel itu baca. Novel itu sangat bagus, malah ada seorang anak gadis yang calar moralnya juga memakai tudung @ insaf, selepas membaca novel tersebut. Lalu, jemaah yang mendengar testimoni ustaz itu pun lekas-lekas mahu mencari Ayat-ayat Cinta.

Secara tidak langsung, Abah kini jadi semacam ‘agen’ penjual buku-buku Habiburrahman Al-Syirazy di surau itu.

Saya tidak mahu komen banyak tentang AAC kepada abah. Jadi, saya biarkan dia membaca dulu. Kebetulan saya ada AAC versi Indonesia. Abah pun mengambil novel itu dari perpustakaan saya, lalu dia menekuni.

Usai membaca beberapa hari kemudian, saya bertanya apa komennya.

“Bagus, novelnya.”

“Kalau Abah boleh terima Ayat-ayat Cinta, ada satu novel lagi yang jauh lebih baik.”

“Novel siapa?”

“Cuba baca Tunggu Teduh Dulu. Novel Faisal,” kata saya sambil menghulurkan senaskhah TTD milik saya yang telah saya miliki beberapa tahun dulu.

“Tebalnya!”

“Jangan risau tentang tebalnya tu. Ceritanya pantas dan mudah menghabiskannya.”

Dipendekkan cerita, Abah terima cabaran saya dalam membuat perbandingan novel mana yang lebih baik: AAC ataupun TTD.

Saya lihat Abah menguliti TTD siang malam. Lepas baca Quran sebelah pagi, tengah hari, selepas pulang dari solat Asar di surau dan juga lepas selepas baca Quran setelah makan malam. Saya fikir tak sampai seminggu, Abah telah menyelesaikan TTD.

Katanya, dia puas membacanya. Dan paling seronok, katanya, benarlah TTD jauh lebih baik dari AAC.

Hah! Bukankah saya sudah katakan dulu. Sayangnya, TTD mempunyai edaran yang terhad. Hanya dijual secara online dan ketika itu hanya Ujana Ilmu yang menjualnya.

Alhamdulillah, kini TTD sudah pun bertukar penerbit. Dengan penerbitan Al-Ameen, TTD akan masuk ke kedai-kedai buku utama. TTD akan menemui pembacanya yang agak skeptikal tentang pembelian buku secara online. (Malah, ada pembaca yang ingin membaca TTD tetapi langsung tak berani hendak mencuba pembelian online – lalu menunggulah dia selama 4 tahun. Sedangkan orang lain sudah lama menikmati novel ini.)

Seperti biasa, TTD versi baru juga dijual secara online di Ujana Ilmu. Dapatkan dengan segera.

Komen saya terhadap TTD versi baru : tiada perubahan kepada susun atur teks. Bukunya secara fizikal lebih nipis tetapi jumlah halaman tetap sama. Harga jauh lebih murah. Tetapi novel terasa berat – disebabkan faktor kertas.

Kulit hadapannya diharapkan dapat menarik perhatian pembaca yang tidak pernah kenal Faisal Tehrani. Bagi yang pernah membaca TTD sebelum ini, kulitnya terasa sedikit mengganggu. Tetapi kita baca isinya, bukan kulitnya.

Oleh itu, kepada yang belum memiliki TTD versi baru. Silalah dapatkan dari www.ujanailmu.com.my hari ini!
.
.

Written by Nisah Haron

Julai 17, 2008 at 7:35 am

Dikirim dalam Faisal Tehrani

Pak Tenas dan ungkapan yang tertinggal

with 5 comments


Sebagai orang Melayu, saya amat mengagumi Tenas Effendy ataupun lebih mesra dengan panggilan Pak Tenas. Dia pengkaji ungkapan-ungkapan Melayu yang tidak pernah jemu. Jika ditanya sudah berapa lama beliau mengkaji, katanya, “Baru 40 tahun lebih.”

Kalau ditanya lagi, sudah berapa ribu ungkapan Melayu yang ditemui?

“Baru, empat ratus ribu. Ada banyak lagi yang belum diungkap.”

Saya sudah lama mengakrabi himpunan tulisan Pak Tenas. Antaranya, Ungkapan Tradisional Melayu Riau, Pemimpin Dalam Ungkapan Melayu dan yang menjadi kegemaran ialah Tunjuk Ajar Melayu.

Menurut Pak Tenas, banyak ungkapan Melayu yang hanya diambil sekerat-sekerat sehingga menghilangkan makna asal.

Sebagai contoh :

Kalau kail panjang sejengkal
Janganlah laut hendak diduga
Kalau kecil kurang berbekal
Jangan disebut hendak berjaya.

ataupun,

Di mana bumi dipijak
Di sana langit dijunjung

Di mana kaki tegak
Di sana adat disanjung

Ada satu lagi yang ingin saya kongsi dengan pembaca, iaitu tentang ungkapan yang tidak lengkap ataupun hanya diambil sekerat-sekerat oleh kita hari ini – “Yang secupak takkan jadi segantang”.

Ungkapan ini lazimnya dipakai oelh orang-orang yang bergelimang di bidang usaha ataupun perniagaan, atau di dalam perbincangan menyangkut rezeki. Maknanya dikaitkan dengan rezeki yang sudah terhad, sehingga tidak boleh berlebih.

Pemahaman makna ungkapan seperti ini dapat menimbulkan kesan, bahwa berusaha tidaklah perlu sangat, kerana sesuatu sudah ada sukatannya. Akibatnya, banyaklah orang yang menganggap orang Melayu tidak mengutamakan bekerja keras, kurang tekun membanting tulang, yang akhirnya menimbulkan kesan seakan-akan orang Melayu “pemalas” dan “berserah kepada nasib” tanpa mementingkan usaha. Kalau ada rezeki ia akan dapat, bila tidak cukuplah apa yang ada saja.

Tetapi bila disemak ungkapan ini secara menyeluruh, maka anggapan itu ternyata keliru. Sikap “berserah diri” itu boleh diambil apabila segala daya upaya sudah dijalankan. Hal ini dapat disemak dari ungkapan selengkapnya yang berbunyi :

Adat hidup ornag beriman
Daya upaya ia jalankan
Ke laut ke darat tiada segan
Ke hulu ke hilir tiada enggan

Ilmu ditimba sepanjang masa
Bekal hidup di atas dunia
Bekal mati pada ujungnya
Bekal tak sudah berkira-kira
Bekal terwujud sehabis daya

Rezeki dicari sebilang hari
Penat letih tiada peduli
Jauh dekat sama dihampiri
Mencapai maruah dan tuah diri
Mencapai niat berbuah budi
Mencapai maksud sebulat hati

Apabila ikhtiar sudah cukup
Yang usaha sudah habis
Yang mujur tak dapat diraih
Yang malang tak dapat ditolak
Yang nasib sudah bertentu
Yang takdir sudah tersurat
Yang suratan sudah berlaku
Yang daya sampai hadnya
Yang upaya sampai batasnya
Yang ikhtiar sampai pucuknya

Maka yang sepompat takkan jadi se kal
Maka yang se kal takkan jadi se cupak
Maka yang se cupak takkan jadi se gantang
Maka yang sejengkal takkan jadi sehasti
Maka yang sehasta takkan jadi sedepa.

Yang sukatan sudah dipepas
Yang timbangan sudah bertentu
Yang rezeki sudah berbagi
Di situ iman diperteguhkan
Di situ dada dilapangkan
Di situ akal dipanjangkan
Di situ hati dipukalkan
Di situ diri direnungkan
Di situ berserah kepada Tuhan.

Ah, terlalu banyak sekali yang harus kita gali kembali. Anak-anak muda hari ini juga sudah tidak lagi akrab dengan alam, sedangkan orang Melayu memang cukup akrab dengan alam. Sebab itu apabila kita banyak menempuh experience – kita namakan sebagai pengalaman. Kata dasar alam itu, mempunyai makna yang sangat dalam.

Langsung saya teringat kata-kata adik saya. Katanya, seorang daripada kawan sekuliahnya memang tidak pernah masuk kampung. Kawannya itu tidak pernah melihat ayam hidup secara live. Yang dia tahu cuma ayam yang dibeli dari pasar raya sahaja.

Bayangkan, itu belum lagi tempurung bermata tiga. Pernah lihat? Anak yang tak pernah tengok kelapa, apatah lagi tempurung kerana santan yang digunakan hari ini ialah santan di dalam kotak!

Pak Tenas juga sempat menyentuh tentang pakaian cara Melayu dan falsafah kepada pemakaian Melayu. Saya pernah tulis tentang falsafah memakai kain batik dalam entri terdahulu. Kalau memakai kain batik, kepala kain mahu dipusingkan ke arah mana? Sama ada anak dara, isteri orang, ataupun janda. Jadi mudah untuk mengenalpasti status seseorang itu hanya dengan memerhati cara pemakaian kain batiknya sahaja. Tak perlulah nak tanya – “ini cik ke

Kali ini ditambah lagi, untuk yang memakai samping juga. Bagi orang bujang, kain sampingnya di atas lutut, sudah berkahwin menutup lutut, datuk-datuk pula sepelempap di bawah lutut, alim ulama’ pula 2 pelempap di bawah lutut.

Indah sekali falsafah Melayu hanya pada pemakaiannya sahaja. Inilah yang semakin hilang dalam budaya hari ini. Bukan sahaja kepada makna pemakaian, tetapi secara pakaian fizikal ini juga sudah semakin terhakis.
.
.

Written by Nisah Haron

Julai 14, 2008 at 8:16 am

Dikirim dalam Uncategorized

CSRO – edisi terbaharu

with 4 comments

Apabila saya membuat keputusan untuk menerbitkan sendiri kumpulan cerpen Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus (CSRO) pada tahun 2006, saya tidak berapa optimis yang buku ini akan melalui proses cetak ulang. Tetapi, siapa sangka buku ini sudah masuk cetakan keempat sejak mula diterbitkan.

CSRO juga telah memenangi Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2007 bagi kategori Kumpulan Cerpen.

Untuk itu, bagi mendokumentasikan hal tersebut, saya telah meletakkan pengiktirafan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sembilan pada kulit hadapan CSRO.

Inilah kelebihan buku terbit sendiri dan menggunakan kaedah print-on-demand. Penulis boleh mengawal berapakah jumlah yang mahu diterbitkan pada setiap cetakan. Tidak kurang dengan itu, penulis juga boleh menentukan kehendak visual buku.

Pada setiap cetakan juga boleh dibuat sebarang perubahan yang bersesuaian sekiranya penulis tidak berpuas hati dengan edisi ataupun cetakan terawal.

Bagi yang telah memiliki buku ini, tidak ada sebarang perubahan pada isi buku – kecuali beberapa kesalahan ejaan yang sempat saya temui dan perbetulkan dalam cetakan yang berikutnya. Dalam tiga edisi cetakan terawal juga saya meletakkan kata-kata “dengan kata pengantar oleh sasterawan negara a. samad said“, bagi edisi kali ini, saya percaya CSRO sudah boleh berdiri sendiri tanpa endorsement tersebut.

Namun demikian, kata pengantar oleh Pak Samad tetap dikekalkan dalam CSRO berserta imej tulisan tangan beliau sebagai bukti kukuh kepada pembaca.

Ada satu perkara yang membezakan kumpulan cerpen CSRO dengan buku-buku kumpulan cerpen yang pernah diterbitkan pengarang lain ialah kehadiran “Nota Nisah” pada setiap penghujung cerpen. “Nota Nisah” ialah catatan ringkas pengarang terhadap hal yang menjadi inspirasi, cetusan ataupun sedikit proses kreatif – bagaimana cerpen tersebut dihasilkan.

Buku ini boleh dibeli hanya di http://www.ujanailmu.com.my secara berasingan ataupun boleh membeli Pakej Sasterawan yang mengandungi CSRO, Kekasih Sam Po Bo (Faisal Tehrani) & Rindu Ibu (A. Samad Said) dengan harga yang lebih menjimatkan.

Pautan pada catatan terdahulu :

CSRO di tangan Dr. Anwar Ridhwan
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus – Rem
Pakej Buku di Ujana Ilmu
Tulisan Tangan Pak Samad
Siapa Sangkuriang?
Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus

Written by Nisah Haron

Julai 11, 2008 at 3:29 am

Dikirim dalam cinta sangkuriang

Sastera di Berita Harian – perubahan hari

with one comment

Pagi Ahad lepas, seperti biasa, apabila akhbar sampai ke rumah, ruangan pertama yang akan dibuka ialah sastera. Menjenguk Mingguan Malaysia, baca cerpen dan puisi. Kemudian, capai pula Berita Harian yang sudah ‘kecut’ saiznya. Selak punya selak, habis. Tapi, tiada ruangan cerpen dan puisi.

Hampa bertebaran.

Saya memang tidak membeli akhbar setiap hari, walaupun tetap membacanya setiap hari. Paling tidak, akan membaca versi online setiap akhbar. Kalau ada masa, akhbar haluan kiri pun pasti singgah. Sekadar mahu mengimbangkan pembacaan.

Petang itu, sempat mengirim pesanan ringkas kepada Nazmi Yaakob, bertanyakan ruangan susastera di Berita Minggu – apakah sudah bertukar hari ataupun sudah ditiadakan. Tidak sampai 30 saat, Nazmi membalas :

“sudah ditukar ke hari Sabtu. “

Apabila disemak semula versi online, saya yang terlepas pandang mengenai pengumuman pertukaran hari bagi ruangan sastera. Berikut ialah petikannya:

“HALAMAN Sastera Berita Harian akan turut mengalami perubahan ekoran keputusan syarikat untuk berubah daripada akhbar broadsheet kepada kompak mulai 6 Julai ini dan halamannya akan menemui pembaca pada setiap Khamis, Jumaat dan Sabtu. “

Terdapat beberapa kolum baharu seperti Mewah Bahasa bersama Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Nor Hisham Osman, E-mel dan Anda dan Warna Kehidupan.

“Halaman Sastera dan Seni yang sebelum ini menemui pembaca Sabtu dibawa ke Jumaat dan jumlah halamannya dikekalkan manakala Susastera yang ditukarkan kepada Kreatif akan diterbitkan pada setiap Sabtu. “

Baca lebih lanjut di sini.

Kini hari-hari ‘wajib’ membaca akhbar sudah berubah. Setiap Isnin, Khamis & Ahad baca Utusan/Mingguan Malaysia. Setiap Khamis, Jumaat & Sabtu baca Berita Harian.

Ah, hari minggu jadi kurang meriah kerana ada satu sahaja cerpen. Kalau dulu ada dua. Tapi, tak mengapa. Kini hari Sabtu juga akan bertambah meriah!
.
.

Written by Nisah Haron

Julai 8, 2008 at 6:41 am

Dikirim dalam Pengumuman

Selera yang Meragam

with 7 comments

Memiliki 4 orang cahaya mata, jika dilihat dari jauh, kelihatan sungguh membahagiakan. Ramai yang berkata betapa bertuahnya saya memiliki 4 orang puteri sebagai penyeri hidup kami suami isteri. Itu merupakan komen-komen biasa yang didengar. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menambah betapa kami juga bertuah kerana dengan 4 orang puteri, ertinya tugas kami di dapur juga bertambah ringan.

Tetapi mereka terlupa bahawa sebelum anak-anak itu boleh menjadi ‘pembantu’ tugas-tugas di rumah ataupun di dapur, mereka perlu dibesarkan terlebih dahulu.

Apabila ada 4 orang anak (itu belum dicampur dengan ahli keluarga yang lain) ertinya ada sekurang-kurangnya 4 macam selera. Yang seorang makan ini tapi tak makan itu, yang seorang lagi pula hendak makan masak cara lain dan seleranya tidak serasi dengan masakan cara ini. Oh, macam-macam kehendaknya!

Adakalanya, mereka terfikir bahawa meminta lauk dari dapur itu seperti memesan makanan di restoran. Minta sahaja, tentu boleh dapat!

Jalan paling selamat ialah goreng telur. Itupun belum tentu cukup selamat. Adakalanya, yang seorang ini mahukan telur dadar, seorang lagi telur masak hancur. Kalau buat telur mata kerbau, seorang dua sahaja yang akan makan.

Sebagai anak negeri (Sembilan), mereka makan pedas (yang tidak keterlaluan). Saya pernah fikir jalan selamat juga (supaya tak perlu masak berjenis-jenis lauk) ialah dengan masak udang cili api. Dua daripada mereka gemar makan udang. Seorang hanya makan kuahnya campur kicap. Si kecil pula makan kuah (kesan-kesannya sahaja) campur udang.

Malam tadi, saya masak ikan tenggiri ala-ala szechuan sytle. Lebihkan kuahnya kerana anak-anak gemar hirup kuah dengan nasi – mereka panggil kuah itu sup. Rasanya yang masam-masam manis campur hirisan cili padi itu memberi gabungan rasa yang pelbagai. Pun, ada anak yang seorang ini tak makan ikan. Dia minta saya buatkan nasi goreng cina bubuh telur masak hancur.

Kalau hendak diikutkan hati, badan memang sudah letih. Tetapi, memikirkan jika tak dibuat, memang dia takkan makan – hatta sanggup makan biskut – saya buatkan juga. Lagipun, bukan susah benar. Nasinya sudah ada. Tumis bawang dan masukkan telur sebiji lepas itu gaulkan nasi. Dia tidak mahu sebarang sayur. Hidangan paling simple yang diminta.

Hasilnya, anak-anak makan banyak malam itu, termasuklah si kecil yang memang selalunya makan banyak. Selera si kecil itu seperti orang dewasa – tak gemar makan yang lembik-lembik seperti bubur. Dia makan nasi dan gemar minum air kosong.

Memang renyah menguruskan 4 jenis selera. Tetapi, saya fikir saya tidak wajar merungut – walaupun dalam masa yang sama, saya perlu menulis dan melayan selera sendiri.

Mungkinkah beberapa tahun dari sekarang, mereka sudah boleh ke dapur sendiri, masak sendiri ataupun masak untuk sekeluarga, sementara saya pun berangan-angan untuk terus menulis tanpa ‘gangguan’ begini?
.
.

Written by Nisah Haron

Julai 7, 2008 at 7:39 am

Dikirim dalam Peribadi, santai

Membaca itu suatu Festival?

with 3 comments

Atas permintaan pihak Perpustakaan Negara Malaysia dan juga Utusan Publications, saya hadirkan diri bagi memeriahkan suasana Festival Membaca 2008. Pada mulanya bimbang juga kerana waktu yang diperuntukkan agak panjang iaitu mulai jam 10 pagi hingga 6 petang (2 Julai 2008).

Alhamdulillah, bertemankan Sri Rahayu Mohd Yusop (Pemenang tempat pertama Novel Remaja HSKU – Warisnya Kalbu), tidak terasa masa begitu cepat berlalu. Turut sama sewaktu sesi autograf bersama-sama penulis ialah Sdr Abdul Latip Talib dan Sdr Kusyi Hirdan (kedua-duanya mewakili PTS).

Saya agak skeptikal pada mulanya tentang majlis begini. Apatah lagi, ini bukannya Pesta Buku. Saya fikir, agak susah untuk mendapatkan audiens/khalayak (walaupun ‘audiens paksa’) untuk hadir ke majlis ini. Tetapi jangkaan saya itu agak jauh tersasar kerana 2 Julai merupakan hari pertama dan juga hari perasmian Festival Membaca oleh DYMM Raja Permaisuri Agong.

Saya duduk bersebelahan dengan Sri Rahayu sewaktu sesi tandatangan ini dan banyak juga yang sempat kami bualkan. Inilah kali pertama kami dapat duduk bersama-sama dalam tempoh yang panjang – sebelum ini hanya sempat bertegur sapa dalam majlis-majlis sastera ataupun sewaktu majlis penyampaian HSKU.

Pada awal majlis, dalam kepala kami rupa-rupanya sama – kebetulan kami berdua pernah membaca buku autobiografi The Other Side of Me (Sydney Sheldon). Kata Ayu, “Entah-entah, tak ada orang pun yang nak autograf kita. Macam Sydney Sheldon sewaktu pertama kali buat appearance. Sydney Sheldon tengok je penulis kat sebelah tu dengan peminatnya yang beratur panjang. Sedangkan tak ada orang pun yang minta autograf di meja dia.”

Kami sama-sama ketawa, membayangkan begitulah agaknya nasib kami hari itu!

Namun, kehadiran pengunjung dan ‘peminat’ tidaklah mengecewakan. Pada waktu-waktu tertentu sibuk juga melayan pengunjung. Apatah lagi, buku-buku “Tawarikh Cinta” dan “Warisnya Kalbu” masih belum masuk kedai buku secara rasmi. Oleh itu, masih ada tarikan kepada pengunjung.

Tidak kurang juga pengunjung-pengunjung kecil yang saya panggil “the autograph seeker‘ – adik-adik pelajar yang suka hendak mengumpul tandatangan pengarang. Kami layan sahaja kerenah mereka. Yang penting mereka seronok berada di Festival Membaca.

Sokongan daripada pihak UPND sendiri tidak kurang kali ini. Pengurus Pemasaran, Encik Khoo dan juga Pengarah Eksekutif UPND, Cik Roselina Johari turut berada di sekitar kawasan kami. Oleh sebab majlis ini bertindan dengan Persidangan Buku Kanak-Kanak dan Remaja, mungkin kerana itu kehadiran pengunjung agak ramai. Turut hadir, Sdr Rozlan, editor Tintarona yang sempat mengambil gambar saya.

Terima kasih pihak Utusan Publications! Harap-harap buku-buku HSKU 2007 akan segera masuk ke kedai, ya. Sudah ramai yang bertanya.

Gambar ihsan : Rozlan Mohd Noor

***

Sewaktu berhenti rehat untuk solat dan merarau, saya singgah juga di gerai-gerai lain. PNM sendiri menunjukkan contoh perpustakaan keluarga untuk rumah kampung dan rumah teres. Saya lebih tertarik dengan susun atur di rumah kampung (lihat gambar Teratak Damai di atas).

Dengan susunan yang dicadangkan, saya percaya walau apa sekalipun bentuk rumah kita, seni menghias dengan buku ini boleh sahaja disesuaikan dengan apa jenis rumah sekalipun. Pokok pangkalnya, kalau tuan rumahnya memang pencinta buku, akan terselah pada motif hiasan dalaman rumah tersebut.
.
.

Written by Nisah Haron

Julai 4, 2008 at 7:54 am