Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Mac 2006

Dosa-dosa Penerbit

leave a comment »

Hari ini saya ke Pesta Buku lagi. Hasratnya untuk bersendirian tanpa diganggu sesiapa. Tetapi singgah di beberapa booth, ramai pula kenalan dan sahabat kebetulan berada di situ. Jadi, wajarlah kalau singgah dan sembang-sembang sebentar.

Perbualan di Gerai A : Mengapa penulis seangkatan dengan Nisah tidak mahu terbit dengan kami. Lebih selesa menerbit dengan penerbit lain.

Jawapan : Yakinkan kami bahawa penerbit anda boleh terbitkan buku dalam tempoh 6 bulan. Promosi hebat dan buku-buku terbitan anda boleh diperolehi di mana-mana sahaja. Insya-Allah, saya berani katakan kami semua akan sepakat menghantar manuskrip ke sini. Setakat ini, manuskrip kami pernah lapuk menunggu.

Perbualan di Gerai B : Kami harap puan juga akan menulis untuk kami.

Jawapan : Insya-Allah, memang telah ada hasrat. Saya suka dengan wajah dan nuansa penerbitan yang baru di penerbitan ini. Yakinkan saya bahawa penerbitan buku-buku di sini boleh diulang cetak dengan segera. Tidak lama lagi saya datang dengan manuskrip dan bawa kawan-kawan sekali.

Perbualan di Gerai C : Bila manuskrip puan yang seterusnya akan dihantar kepada kami?

Jawapan : Sebaik sahaja saya dapat royalti pertama.

*************

Jawapan-jawapan di atas telah saya disesuaikan untuk tujuan penerbitan di blog. Yang penting, begitulah lebih kurang isinya yang saya maksudkan.

Sewaktu di gerai Dawama, sempat berbual-bual dengan Faisal dan Salina. Seperti biasa, apabila penulis bertemu, perkara pertama yang dikemaskini tentunya tentang penulisan terkini. Itulah yang meneguhkan dan memberi semangat untuk terus menulis. Sejenis dorongan senyap antara kalangan penulis agar masing-masing terus tekal.

Kak Norizan Muslim, editor Tunas Cipta juga sempat menyertai kami dan mempromosi majalah. Terima kasih kerana sudi ambil gambar kami. Sempat juga bertegur sapa dengan Nazmi dan nampak kelibat Saharil.

Gambar : Nisah, Encik Nasir (Dawama), Faisal & Salina.

********************

Kepada sesiapa yang belum berkesempatan ke Pesta Buku PWTC dan bercadang untuk ke sana, pameran dan jualan kali ini diadakan di dewan sebelah sungai yang jauh ke bawah. Kalau nak solat, dari tempat pameran itu tanyakan kepada mana-mana petugas (Muslim) di mana surau ataupun di mana pentas untuk aktiviti pesta buku di tingkat 1. Di situ ada surau yang biasanya digunakan oleh petugas dan tidak ramai orang. Ada tandas dan tempat wudu’. Tak perlu ke surau PWTC yang jauh tu. Harap maklumat ini berguna.

Written by Nisah Haron

Mac 28, 2006 at 10:22 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera

Ada Apa Dengan Buku?

leave a comment »

Saya telah dijemput untuk memberikan ceramah tentang buku di SMK Sg Pusu pagi semalam. Majlis anjuran sekolah tersebut dengan kerjasama bukuonline.

Pada mulanya saya agak terkedu apabila dihubungi oleh pihak penganjur. Apa yang harus saya perkatakan tentang buku. Bagi saya, buku itu sudah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Jiwa rasa kosong apabila tidak membaca. Saya akan merungut dan kecewa jika menunggu seseorang yang lambat dan malang sekalilah orang itu, jika pada ketika itu saya tiada buku di tangan. Kalau ada buku, biasanya memang kurang sikit marahnya, kerana saya akan leka dengan buku itu.

Kalau masuk kedai buku, dua tiga jam tak cukup. Masuk kedai baju atau kedai kasut, 5 minit dah keluar.

Lalu, ada apa dengan buku?

Saya cuma boleh katakan saya sangat menggilai buku. Bertemu jodoh pun dengan orang yang suka membaca. Lantas, saya ceritakan pengalaman saya yang mula boleh membaca seawal usia 4 tahun.

Berikut antara catatan saya dalam kertas edaran yang saya sediakan :

“Membaca sudah menjadi kegilaan saya sejak dari kecil. Saya boleh membaca seawal usia 4 tahun. Saya diajar oleh nenek sebelah emak yang tinggal bersama-sama dengan kami. Selain daripada membaca, saya juga gemar menonton televisyen. Namun, untuk mengetahui apakah rancangan yang bakal ke udara, saya perlu membaca akhbar. Sedikit sebanyak, itu telah mendorong saya supaya cepat pandai membaca.


“Selepas daripada itu, saya ini bukanlah anak gadis yang bebas keluar untuk mengukur bandar dan pekan. Masa lapang selepas sekolah saya habiskan di rumah sahaja. Jadi, saya pun menyelongkar almari buku kepunyaan ibu saya. Di sana saya temui buku-buku beliau yang masih lagi tersimpan dengan baik.


“Antaranya, buku-buku karangan Shakespeare, Charles Dickens, Harriet Beecher Stowe, Mark Twain dan beberapa buku cerita klasik Inggeris yang lain. Tidak kurang juga buku-buku melayu seperti Hikayat Hang Tuah, Misa Melayu, Sejarah Melayu dan Suboh tulisan Atan Long.


“Dalam almari yang sama juga tersimpan buku-buku syair milik nenek saya seperti Syair Selendang Delima Seri Banian, Syair Dandan Setia dan satu dua buku syair yang hanya tinggal sekerat kerana telah ‘dinikmati’ oleh sang lipas dan kaum kerabatnya. Sayang sekali! Mana-mana buku yang dapat saya selamatkan, saya bawa keluar dan saya letakkan di tempat yang lebih selamat.


“Keluarga saya bukanlah keluarga berada yang mampu untuk membeli banyak buku. Malah, saya hanya sesekali mendapat hadiah buku. Namun, saya diajar supaya menghargai buku. Oleh sebab saya jarang keluar untuk berhibur bersama-sama teman-teman sekolah, wang saku saya juga dapat saya gunakan untuk membeli buku.


“Biasanya, selepas waktu sekolah, saya akan dijemput pulang oleh datuk saya. (Kedua-dua ibu dan bapa saya bekerja). Sekitar dua minggu sekali, saya akan mengajaknya ke kedai buku di bandar. Tanpa banyak soal, datuk pasti akan membawa saya ke kedai pilihan. Datuk mungkin tidak banyak wang untuk membelanja saya, tetapi dia langsung tidak pernah menolak jika saya mengajak. Dengan setia dia akan menunggu sehingga saya selesai membeli buku. Dia tidak akan bertanya buku apa yang saya beli, namun dia hanya tersenyum kerana dia tahu saya gembira. Datuk, walaupun hanya lulus darjah dua, gemar membaca, biarpun merangkak-rangkak. Dialah yang gemar membeli akhbar setiap kali beliau ke pasar.


“Barangkali suasana itulah yang saya warisi. Saya jatuh cinta kepada buku. Pada awal usia, saya merasa terhalang kalau mahu membeli buku, lantaran keadaan kewangan keluarga pada ketika itu. Namun, saya tidak pernah dihalang jika mahu meminjam buku dari perpustakaan.


“Ketika dalam darjah empat, saya sudah mula menghadam buku-buku Enid Blyton. Ini ekoran saya dihadiahkan dengan buku jenis itu, ketika mendapat hadiah tempat pertama dalam kelas sewaktu Hari Penyampaian Hadiah. Sewaktu di sekolah rendah, setiap tahun saya akan mendapat 2 hadiah: hadiah pelajar terbaik dalam darjah dan juga mata pelajaran terbaik.


“Itu merupakan koleksi pertama ‘perpustakaan kecil’ saya di rumah. Sejak itu juga saya mula mengumpul buku.

“Saya tidak kisah kalau tidak ada baju baru, tetapi saya jadi gelisah jika tiada buku baru untuk dibaca. Tidak kiralah sama ada buku itu buku baru dibeli ataupun buku yang baru dipinjam.

“Sewaktu di sekolah menengah saya mula mengenali nama-nama seperti Othman Puteh, Nazel Hashim Mohamad, Shahidan Mohd Noh, Ariffin Ngah dan ramai lagi penulis novel remaja yang mula mengisi perpustakaan sekolah saya. Setiap hari saya akan baca sebuah novel. Sedaya upaya saya akan habiskan pembacaan saya. Tentu sahaja untuk membaca novel, saya perlu sudahkan kerja-kerja rumah yang dibekalkan oleh guru. Untuk itu, jika ada masa terluang dalam kelas, saya akan cuba menghabiskan kerja rumah supaya saya ada masa untuk membaca setelah sampai di rumah.

“Untuk mengingati apa yang telah saya baca, saya ada buku catatan. Pada zaman saya tiada anugerah NILAM. Jadi, saya hanya mencatat sendiri nama buku dan pengarangnya sekali. Catatan itu membolehkan saya mengingati banyak nama buku serta pengarangnya sampai hari ini.

“Bacaan saya juga tidak terhad kepada novel Bahasa Melayu sahaja. Saya masih tidak meninggalkan novel berbahasa Inggeris. Siri Hardy Boys dan Nancy Drew juga tidak ketinggalan mewarnai zaman remaja saya.

“Antara kawan-kawan saya, ada 5 orang yang gemar membaca. Pada setiap kali ulang tahun hari lahir masing-masing, kami mesti menghadiahkan sebuah buku. Buku tersebut setelah diterima oleh sahabat yang menyambut hari lahir, akan bertukar tangan untuk sama-sama mengambil giliran membaca.

“Jika kami bercadang untuk membeli buku pada bulan tersebut, kami pastikan supaya kami tidak akan membeli buku yang sama. Nanti boleh sahaja ditukar-tukar setelah tuan punya buku selesai membaca. Demikianlah rutinnya, sehinggalah kami semua meninggalkan alam persekolahan.”

Saya akhiri ceramah ringkas itu dengan kata-kata ‘kitalah apa yang kita baca’ (we are what we read).

Written by Nisah Haron

Mac 24, 2006 at 1:56 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Siapa boleh saman Polis?

leave a comment »

Beberapa hari yang lalu, saya pergi bayar ‘zakat’ di kaunter trafik PDRM. Maklumlah, orang yang bercakap cepat, berjalan cepat, pandu kereta pun tak berapa perlahan. Lagipun, di lebuh raya susah juga nak kawal kereta daripada melebihi 110km/j. Tahu-tahu, speedometer sudah menunjukkan 120 atau 130 tanpa disedari. Jadi berjela-jelalah saman yang datang.

Mengenangkan musim tawaran harga murah untuk bayar saman sudah hampir tamat, saya pun meluangkan masa, membuat lawatan rasmi ke IPD Seremban yang baru – terletak di Seremban 2. Biasanya, kalau ke Seremban 2, mungkin akan melawat Jaya Jusco ataupun Kompleks Mahkamah Seremban.

Peribadi, saya sukakan reka bentuk Kompleks Mahkamah ini, seperti gambar di atas. Ada kombinasi minangkabau sebagai identiti Negeri Sembilan dan elemen moden.

IPD Seremban pula terletak di sebelah kompleks ini sahaja. Proses membayar saman berlangsung dengan lancar. Saya bayangkan kaunter bayarannya akan dipenuhi pembayar-pembayar saman. Ternyata sangkaan saya meleset. Layanan yang diterima juga mesra – maklumlah, nak terima duit orang, kan? 🙂

Namun, sewaktu menunggu resit, saya terpandang latar belakang dinding di dalam kaunter tersebut. Saya jadi tertanya-tanya sendirian. Saya, yang agak sensitif dengan penggunaan Bahasa Melayu yang betul, terus bertanyakan sama ada ejaan di belakang anggota itu sengaja dieja demikian ataupun ada kesilapan tatabahasa.


Saya kira ejaan sebenar sepatutnya Polis Trafik ataupuan Traffic Cops. Saya katakan pada anggota tersebut, usahlah jadi sekerat ikan sekerat belut. Bahasa Melayu pun tak sempurna, bahasa Inggeris pun tak semenggah. Ini kesalahan tatabahasa yang jelas. Melainkan perkataan Trafik Cops itu merupakan nama khas.

Tetapi memandangkan kedudukan papan tanda tersebut, ia menjelaskan nama unit ataupun nama kaunter berkenaan. Ia wajar sahaja dieja sebagai Polis Trafik.

Nah, siapa pula yang akan menyaman polis jika mereka tidak menyemak penggunaan ejaan dan tatabahasa yang betul.

Kata anggota tersebut, dia pun tidak tahu apa-apa sekadar menerima arahan daripada pihak pengurusan. Kalau saya ingin membuat aduan, dia minta saya ke sana. Ya lah, saya pun tak kata itu salah dia. Tetapi sebagai orang Melayu, sedikit sebanyak perlulah ada kesedaran berbahasa dengan baik.

Mungkin ada baiknya Dewan Bahasa dan Pustaka ataupu Munsyi Dewan diberi kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana kesalahan ejaan. Mungkin, bagi kesalahan pertama, hantar surat amaran dan berikan ejaan ataupun penggunaan tatabahasa yang betul kepada pihak yang berkenaan. Jika masih berlaku pengabaian, maka denda boleh dikenakan. Denda itu hendaklah bertambah sehinggalah pembetulan tersebut dilakukan.

Hmm…. Bahasa Melayu semakin dipandang sepi. Salah sedikit, masih ramai yang ambil ringan. Saya sendiri pun masih belajar dan sentiasa membetulkan diri dengan ejaan dan tatabahasa yang betul. Mengapa agensi kerajaan juga masih lagi tidak prihatin atau sengaja hendak cari glamor.

Infotainmen?

Rakan Cop?

Written by Nisah Haron

Mac 20, 2006 at 4:41 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Selepas Menyedut Udara Segar Sri Menanti

leave a comment »

10 Mac (Jumaat). Petang itu, Dr. Zakaria sekeluarga merupakan orang paling awal tiba di Sri Menanti Resort. Khabarnya, dia datang ke Negeri Sembilan pada hari Khamis lagi. Malah dia mengambil kesempatan untuk pulang ke kampungnya di Rembau. Dari Rembau, mereka bertolak ke Sri Menanti. (Gambar : Dr. Zakaria & isteri)

Memang sengaja saya senggangkan masa ketibaan pada peserta, iaitu mulai jam 2.oo petang hingga 7.00 malam. Mereka punya pilihan untuk tiba dalam jangka waktu yang mereka selesa. Maklumlah, mereka yang datang bukan sahaja dari Negeri Sembilan. Malah ada yang tiba dari Johor Bahru kerana mahu memanfaatkan Bengkel Penulisan Novel PEN 2006 bersama-sama Dr. Zakaria Ali. (gambar : Dr. Zakaria mengendalikan bengkel)
Sayang juga dan sesekali saya, secara peribadi, merasa terkilan kerana kurangnya penyertaan dari kalangan warga NS sendiri. Sesekali bertanya apakah tarikh yang saya pilih ini langsung tidak sesuai ataupun penulis NS sendiri semuanya sudah mantap dan tidak memerlukan sebarang dorongan lagi. Ah… barangkali tebakan saya itu tidak tepat.

Syukurlah kehadiran beberapa nama seperti Rozita Latiff, Masliza Alias, Dr. Ani Omar dan Hjh Juriyati meredakan kerengsaan batin saya dan membuktikan bahawa NS masih belum ketandusan penulis yang berwibawa. Saya telah melihat potensi dalam diri mereka, apatah lagi kesungguhan dalam anak mata mereka yang membayangkan semangat dan nyala rasa yang menyala-nyala. Insya-Allah, mereka akan berjaya jika kekuatan dalam diri itu dapat terus terbakar.

Serunai Faqir (gambar), Maizura Mohd Ederis dan WB Rendra pula bukanlah nama baru dalam dunia penulisan. Nama-nama mereka telah mula meniti daripada satu wadah ke satu wadah dalam akhbar perdana dan majalah tempatan. Namun, mereka masih lagi sudi hadir menyertai dan sudi pula mendaftar sebagai ahli-ahli PEN yang terbaru. Alhamdulillah.

Tidak ketinggalan calon-calon baru yang masih membina khalayak seperti Che Aida Dollah, Tg. Norlaila dan Zalina Ibrahim yang bakal memberi cabaran kepada penulis mapan dalam jangka masa terdekat.

Memanglah, para skeptis mengatakan bengkel itu tidak pernah melahirkan penulis. Ramai yang percaya bahawa penulis itu lahir dengan sendiri. Secara peribadi saya juga percaya demikian. Tidak ada mana-mana bengkel penulisan yang boleh mengakui bahawa si Penulis A lahir kerana menyertai bengkel yang Bengkel Z anjurkan. Malah seorang penulis yang benar-benar sedar diri akan akan menyertai seberapa banyak bengkel bagi mengutip ilmunya dan dalam masa yang sama sentiasa mempraktikkan apa yang telah dipelajarinya dalam bengkel-bengkel tersebut.

Mulai daripada sebelah malam selepas ketibaan semua peserta, Dr. Zakaria memulakan langkah pengenalannya tentang penulisan melalui 2 ceramah utamanya. Dalam Ceramah I, beliau bercakap tentang apa yang perlu ditulis. Walaupun telah mula menulis untuk beberapa tempoh, saya masih lagi dapat mengutip banyak perkara yang baru dalam ceramah beliau yang padat itu.

Dia menyambung lagi pada keesokan harinya dengan Ceramah II. Kali ini ceramahnya berpaksikan tentang Penulis. Usai rehat, kami mulakan sesi membedah karya. Setiap seorang haruslah menghantar 2 bab daripada novel yang sudah siap, sedang siap ataupun bakal disiapkan kepada urus setia. Ketika ini, kritikan dibuat berdasarkan kedua-dua ceramah. Peserta dilihat dapat mempraktikkan sedikit sebanyak apa yang telah dipelajari.

(gambar : peserta menikmati suasana desa sambil mempelajari sesuatu daripada projek ternakan udang harimau ini)

Melihatkan peserta merasa agak tepu seharian bermuzakarah, saya terpaksa segera memikirkan suatu aktiviti luar yang boleh dimanfaatkan oelh peserta. Sambil meminta pendapat daripada Masliza dan suami saya (yang kedua-duanya berasal dari Sri Menanti), kami ketua rombongan penulis ke kolam ternakan udang harimau di Kg. Jumbang, lebih kurang 5km dari tempat kami berbengkel.

Saya tak pastilah peserta lain, tetapi saya merasa sangat teruja melihat udang-udang yang baru diasingkan daripada kolam asalnya kerana pengusaha baharu sahaja selesai ‘mengutip’ hasilnya. Suatu kebetulan yang menyeronokkan. Jika tidak, kami akan datang dan melopong tengok kolam sahaja. 🙂

Sewaktu dalam perjalanan pulang ke resort, kami singgah sebentar ke rumah Engku Fuad yang unik. Rumah itu ‘separuh siap’ – penuh dengan ukiran seni bina, hasil usaha tuan punya mengumpul mana-mana ukiran kayu terbuang daripada rumah-rumah sekitar kampung itu dan dipakukan kepada rangka rumah ‘separuh siap’ itu.

(Gambar : Rendra bergaya dengan ukiran sebuah katil yang sedang disiapkan. Dr. Zakaria dan Engku Fuad ceria memerhatikan)

Pada sebelah malamnya, kami menyudahkan bengkel yang masih berbaki. Fikiran merasa segar walaupun tubuh telah mula merasa letih. Namun, demi ilmu dan peluang yang hanya datang sekali, masing-masing terus bersengkang mata.

Anehnya, walaupun letih dan esoknya kami akan bermula seawal 8.30 pagi, peserta masih tidak bergerak daripada kerusi setelah minum malam. Cadangnya, saya sekadar menemankan perbualan rancak antara Dr. Zakaria, Masliza, Serunai Faqir dan Rendra. Rupa-rupanya, meja sebelah juga tidak kurang rancaknya. Peserta lain juga memanfaatkan masa ini untuk merapatkan persahabatan dan perkenalan. Tak sangka, kami berbual hampir lajak jam 1.30 pagi!

Esoknya, kami mulakan sesi terakhir. Saya mengambil kesempatan menerangkan sekitar undang-undang hak cipta. Banyak juga persoalan yang ditimbulkan. Saya hanya memfokus tentang hak-hak seorang penulis berbanding hak penerbit dan hak editor. Ini disebabkan, ketika itu saya mendapat khabar yang belum berapa pasti tentang kehadiran Puan Nor Azah Aziz, Editor Kanan, Utusan Publications & Distributors ke tempat kami.

(Gambar : Dr. Zakaria dan Puan Nor Azah Aziz)

Alhamdulillah, seperti yang dijanjikan (walaupun tidak termasuk dalam atur cara), slot bersama-sama dengan editor ini dapat diteruskan. Saya kira, lebih banyak perkara baru tentang penerbitan yang dapat dibawa pulang oleh peserta (Dalam hati, saya merintih sendirian – hai… ruginya penulis NS yang tidak dapat hadir… Tak mengapa, mungkin rezeki mereka di tempat lain, insya-Allah).

Majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Satu PEN yang baharu – Puan Hajah Mahaya Mohd Yassin. Maka, langsailah aktiviti PEN yang pertama selepas perlantikan jawatankuasa baru pada 4 Mac yang lalu.

Terima kasih saya yang tidak terhingga kepada semua yang telah menjayakan aktiviti ini. Salah dan silap, saya bagi pihak PEN mohon ampun dan maaf. Kalau ada makan yang tak sedap, kurang garam, terlebih sedap, dsb. juga di luar kemampuan saya.

Tulisan tentang bengkel ini juga ditulis oleh sdr Serunai Faqir.
Tidak lama lagi, saya percaya akan ditambah oleh Masliza Alias.

Written by Nisah Haron

Mac 14, 2006 at 10:15 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Pesta Buku 2006

leave a comment »


Sambutan Jubli Perak anjuran Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Kementerian Pelajaran Malaysia dengan kerjasasama Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), IKATAN Penerbit Buku Bumiputera Nasional (IKATAN), Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA).

Tarikh : 24 Mac – 2 April 2006

Tempat : Dewan Tun Razak 1 & 2, Pusat Dagangan Dunia Putera Kuala Lumpur (PWTC)

Masa : 10.00 pagi – 9.00 malam


Untuk keterangan lanjut sila hubungi Urus Setia Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Kementerian Pelajaran Malaysia di talian 03-8884 7014/15/19 atau melayari laman web PBAKL: www.klibf.com


Written by Nisah Haron

Mac 13, 2006 at 9:50 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Bengkel Novel Bersama-sama Dr. Zakaria Ali

leave a comment »

Mulai 10 – 12 Mac 2006, PEN akan menganjurkan Bengkel Penulisan Novel di Sri Menanti Resort, Sri Menanti, Negeri Sembilan. Saya akan berada di sana sepanjang tempoh tersebut. Bengkel ini tidak diwar-warkan di sini kerana ia bersifat tertutup. Peserta juga terhad kepada 10 orang dan dijemput melalui undangan sahaja.

Pembimbing bengkel ini ialah Dr. Zakaria Ali – Pemenang S.E.A. Write Award 2003, Tokoh Novelis Anugerah Sastera Negeri Sembilan 2005, juga profesor madya di USM, Pulau Pinang. Sebagai anak kelahiran Negeri Sembilan, beliau telah sudi kembali menyemai bakti bagi membimbing tunas-tunas baru di sini.

Insya-Allah, laporan tentang bengkel ini akan saya tulis sekembalinya saya nanti.

Written by Nisah Haron

Mac 10, 2006 at 9:23 am

Dikirim dalam aktiviti sastera

Muslimah Malaysia = Apartheid

with one comment

Saya terbaca catatan Marina Mahathir – yang terkenal dengan pandangan liberalnya – tentang keadaan wanita Muslim di Malaysia. Boleh baca di sini. Kali ini puteri mantan PM ini telah menyamakan status wanita Muslim di Malaysia seperti orang kulit hitam di Afrika Selatan yang pernah berada di bawah rejim Apartheid.

“In our country, there is an insidious growing form of apartheid among Malaysian women, that between Muslim and non-Muslim women. We are unique in that we actively legally discriminate against women who are arguably the majority in this country, Muslim women. Non-Muslim Malaysian women have benefited from more progressive laws over the years while the opposite has happened for Muslim women.”

“I, along with a lot of my friends, are just so angry about the situation. We’re so angry about the family law which was passed through parliament.”

“As non-Muslim women catch up with women in the rest of the world, Muslim women here are only going backwards.”

“Only in Malaysia are Muslim women regressing; in every other Muslim country in the world, women have been gaining rights, not losing them.”

“Today is International Womens Day. Unfortunately only about 40 percent of the women in this country can celebrate. The rest can only look at their non-Muslim sisters in despair and envy,” Mahathir concluded in her column.

Persoalannya, apa lagi yang wanita-wanita ini mahu. Sebagai Muslimah, saya melihat sudah tidak ada apa-apa lagi yang wajar diperjuangkan. Wanita Islam sudah mendapat emansipasi ini sejak kedatangan Rasulullah. Sejajar dengan itu, doktrin bahawa Islam membawa kebebasan untuk wanita telah disokong dalam Adat Perpatih. Wanita dalam Adat Perpatih amat dimartabatkan, tetapi bukan diagung-agungkan.

Jadi kebebasan yang bagaimana lagi? Mahu tanggal tudung dan bebas memakai skirt pendek dengan blaus yang boleh mendedahkan lurah. Duduk terpaksa senget-senget sebab nak tutup itu dan ini. Bukankah senang apabila bertudung, dan berpakaian sempurna. Semuanya tertutup.

Mempertikaikan tentang kesaksian wanita? 2 orang saksi wanita itu sama dengan 1 orang saksi lelaki. Rasionalnya: wanita tidak diberikan tanggungjawab menjadi saksi. Bukan senang jadi saksi. Saksi yang tidak adil akan mendapat balasan di akhirat. Islam tidak mahu memberikan tanggungjawab demikian kepada wanita. Dalam erti kata lain, wanita itu tidak perlu jadi saksi melainkan dalam kes-kes yang melibatkan ilmu tentang wanita dan kewanitaan.

Wanita tidak diwajarkan menjadi hakim. Diskriminasikah itu? Alangkah bertuahnya wanita Islam. Tidak perlu bersusah payah mendengar pertelingkahan sepanjang hari, menyendiri dan tidak boleh bercampur bebas dalam masyarakat kerana hakim itu kedudukannya demikian. Namun sebagai wanita biasa, wanita itu bebas sahaja ke mana-mana dengan muhrimnya.

Wanita mesti bersama muhrim? Adakah itu bebas? Bukankah muhrim itu boleh bertindak sebagai pengawal peribadinya? Kalau semua wanita keluar dengan muhrimnya, dia tidak mudah diganggu, atau diserang, diragut beg tangan dsb.

Tahukah wanita Muslim sekalian bahawa wanita itu hanya wajib menjadi isteri. Tanggungjawab masak dan jaga anak itu bukan tanggungjawab hakiki seorang isteri. Terkejut? Memang benar. Tanggungjawab utama seorang isteri hanyalah melayan suaminya. Isteri itu ratu dalam rumah tangga. Isteri bukan orang gaji ataupun pembantu rumah ataupun pengasuh.

Namun, atas dasar ihsan dan kerjasama dan untuk berjimat cermat seperti yang digalakkan oleh Islam, isteri boleh membantu suaminya. Apabila dia ikhlas membantu suami dan keluarganya, ada ganjaran yang disediakan Allah SWT. Tetapi mereka yang tidak memahami akan mengatakan memasak, membasuh, menjaga anak dan segala yang berkaitan dengan rumah ialah tanggungjawab isteri. Selepas itu, apabila isteri sudah terlalu letih, dia tidak dapat menjalankan tanggungjawab hakikinya iaitu menjadi isteri. Suami pun kecewa. Isteri tidak melayan hajatnya. Lantas pasang cawangan baru.

Salah isterikah? Bukan salah suami yang tidak memahami keadaan sebenar dalam rumah tangga.

Adakah undang-undang berpoligami hari ini memudahkan suami menambah cawangan? Saya sudah menulis tentang ini dalam entri berjudul Poligami Lagi dan Mari Berpoligami.

Kebebasan bagaimana lagi yang Muslimah Malaysia perlukan? Takut harta diambil suami? Bukankah harta itu daki dunia. Adakah sebagai insan kita masih lagi bergantung kepada harta dunia? Ke manakah perginya rasa bergantung kepada Allah? Bukankah apabila Allah mengambil sesuatu daripada kita, dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Sudah terhakiskah rasa percaya terhadap qada’ dan qadar kepada-Nya?

Saya teringat pada kisah seorang wanita Islam yang berkahwin dengan seorang lelaki bukan Islam. Sebagai isteri, saya tidak nampak dia ‘memimpin’ suaminya ke arah jalan yang sebenar. Malah saya melihat si isteri yang lebih ‘barat’ daripada orang barat. Anak-anaknya sedaya upaya dihantar ke luar negara kerana bimbang malaysia akan jadi seperti pemerintahan rejim Taliban. Anak-anak gadisnya akan ‘dipaksa’ bertudung mengikut sistem pelajaran di Malaysia yang dikatakan jumud.

Kasihan wanita ini. Sayang sekali, saya tidak dapat membantunya. Saya percaya, dia memandang saya yang bertudung ini sebagai wanita yang tidak terbuka fikiran. Tidak mengapalah, semua orang bebas menyuarakan pendapat, saya kira.

Namun saya percaya. Islam ialah pelindung. Suami Islam yang benar-benar memahami ajaran adalah dua kali pelindung kepada isteri. Isteri pula ada banyak hak dalam Islam. Pandai-pandailah menggunakannya asalkan jangan disalah gunakan.

Wallahu’alam.

Written by Nisah Haron

Mac 9, 2006 at 9:31 am

Dikirim dalam Uncategorized

Terima kasih kepada pengunjung

leave a comment »

Alhamdulillah, weblog saya yang lahir sejak Mei 2004 kini telah lebih 50000 dilihat oleh pengunjung. Terima kasih yang tidak terhingga daripada saya.

Cadangnya, saya mahu melihat sendiri ketika nombor-nombor itu bertukar ke angka besar ini. Satu penanda aras kepada perkembangan penulisan blog saya.

Pengunjung amat penting kepada penulis blog yang bersifat terbuka. (Ada blogger yang tidak membuka ruang komen dan hanya berhasrat untuk berkomunikasi secara sehala – itu pilihan masing-masing). Namun, saya lebih suka kepada komen-komen pembaca, tak kiralah positif ataupun negatif. Mana yang sempat, saya beri respon.

Sayang sekali, budaya mendokumentasikan fikiran dan perasaan kita masih belum cukup ampuh kesedarannya. Kita seringkali beri komen secara lisan sebagai respon kepada setiap satu yang berlaku ataupun tentang apa yang dibaca. Cubalah, sesekali dokumentasikan respon tersebut. Dalam hal membaca blog, tulislah respon/komen tersebut pada ruang yang disediakan.

Tiada hadiah yang lebih berharga bagi penulis-penulis blog, selain daripada komen-komen yang jujur dan ikhlas serta respon yang dibuat dengan cara yang berhikmah. Dengan itu, saya tahu andalah yang sering berkunjung ke teratak kecil saya ini. Terima kasih atas kunjungan ini.

Kepada para ‘pembaca senyap’ anda tidak juga saya lupakan. Anda tidak kurang pentingnya. Anda juga yang memberi semangat kepada saya untuk terus menulis di sini. Tanpa sokongan pembaca, saya mungkin telah lama mematikan hasrat untuk mendokumentasikan pemikiran dan perasaan di laman ini.

Kepada semua blogger yang meletakkan pautan ke laman saya, juga terima kasih.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Namun, sesekali tinggalkanlah jejak supaya saya tahu anda pernah ke sini…

Written by Nisah Haron

Mac 8, 2006 at 6:21 am

Dikirim dalam Uncategorized

Lentera Mustika

leave a comment »

Novel bersiri Lentera Mustika – Siri 1 tersiar dalam majalah Aniqah Mac 2006. Dapatkan majalah ini di pasaran.

Maklumat lanjut layari MMP Communications Sdn Bhd.

Lentera Mustika merupakan suatu daripada spin-off novel Mencari Locus Standi. Watak Ibu Mustika dalam novel tersebut saya kembangkan. Pembaca akan dapat meny
elami perasaan wanita ini dalam mencari kasih sayang, kebenaran, pengorbanan dan cita-cita sebagai muslimah sejati.

Insya-Allah, saya akan adakan versi web tidak lama lagi. Namun begitu, ia mungkin mengambil masa dua tiga bulan dari sekarang kerana sebagai penulis yang memberi hak penerbitan kepada MMP Communications, saya perlu menghormati hak penerbitan tersebut. Biarpun saya penulisnya, saya tidak boleh sewenang-wenangnya menerbitkan hatta dalam bentuk laman web peribadi sebuah karya yang sedang diterbitkan.

Written by Nisah Haron

Mac 5, 2006 at 12:35 pm

Dikirim dalam Penulisan

Mahaya Mohd Yassin Ketua Satu PEN

leave a comment »

Mesyuarat Agung PEN ke – 29 telah memecah tradisi persatuan ini. Buat pertama kalinya seorang wanita telah dipilih sebulat suara oleh ahli-ahli mesyuarat bagi mengepalai penulis-penulis Negeri Sembilan.

Mahaya Mohd Yassin bukanlah nama baru dalam persada persuratan melayu tanah air. Malah beliau telah lama berkecimpung sebagai Setiausaha Satu PEN. Perlantikan beliau merupakan satu bentuk kesinambungan bagi menentukan hala tuju PEN terarah. Keistimewaan PEN ialah persatuan ini sentiasa menggabungkan tenaga baru dan lama dalam jawatankuasanya. Jarang sekali berlaku perebutan kuasa antara penulis muda dan penulis mapan. Sejak Ketua I PEN yang lalu, Tuan Haji Agus Salim Hj Taib mengalami kemalangan, tugas beliau banyak diambil alih oleh Puan Mahaya. Jadi tidak hairanlah, jika Puan Mahaya merupakan calon yang paling layak menerima mandat ini.

Berikut senarai nama ahli jawatankuasa yang terpilih menerusi Mesyuarat Agung PEN ke – 29 :

Ketua Satu : MAHAYA MOHD YASSIN
Ketua Dua : HJ ZULKIFLI ABU
Setiausaha 1 : NISAH HAJI HARON
Setiausaha 2 : SITI SALBIAH ZAHARI
Bendahari : ANUAR MOHD ZAIN

AJK : Mohd Zulkifli Mohd Noor
Kalsom Azid
Dr. Mahdi Abdul Wahab
Dr. Ani Omar
Zaharul Arifin
Razali Ghani
Siti Jasmina Ibrahim

Written by Nisah Haron

Mac 4, 2006 at 6:15 pm

Dikirim dalam aktiviti sastera