Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Ogos 2009

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke – 52

leave a comment »

Saya ucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan ke – 52 kepada semua rakyat Malaysia. Hargailah kemerdekaan ini dan usah terus terbelenggu dalam apa juga bentuk penjajahan!

Written by Nisah Haron

Ogos 30, 2009 at 6:09 am

Dikirim dalam Uncategorized

Lentera Mustika – Komen Naimisa

with 3 comments

Terima kasih kepada sdr naimisa yang mengulas novel ini di blognya. Lentera Mustika masih tidak dijual secara online di MPH. Oleh itu, dapatkan dari www.ujanailmu.com.my.

“Membaca buku ini sebetulnya memberi kesan tersendiri, banyak sisi ilmu yang dipermudahkan. Setidak-tidaknya saya ingat satu dua pantun yang ditulis di dalamnya.

“Sisi perundangan yang ditekankan dalam novel ini mengajak pembaca memahami aspek harta intelek untuk karya khususnya karya tradisional. Jarang-jarang penulis mengangkat persoalan ini di mana-mana. Sehingga sedikit persoalan yang dibangkitkan ini, menggerakkan pula minda saya mendapatkan sebuah lagi buku yang menghurai dengan panjang lebar tentang hak cipta.”


Ulasan lanjut boleh dibaca di sini.

Written by Nisah Haron

Ogos 26, 2009 at 6:29 am

Dikirim dalam Uncategorized

Lentera Mustika – Komen Dunia-Novel

with 3 comments


Ulasan dipetik dari blog Dunia Novel:

“Sejujurnya, aku tak pernah sekali pun membaca novel Nisah Haron walaupun aku pernah ‘jumpa’ novel-novel dia yang terdahulu dan aku pernah dengar namanya. Tetapi masa aku nampak Lentera Mustika dan hanya membaca komen Dato’ A. Samad Said di muka depan dan blurb di belakang, aku terus tak fikir panjang, ambil dan terus bayar. Gerak hati kuat mengatakan yang Lentera Mustika tidak akan menghampakan aku.

` Dalam Lentera Mustika ada cinta, ada ilmu…memang lain dari yang lain…kiranya tak rugilah aku membeli dan membaca Lentera Mustika..rasa bahagia sangat baca watak Ainur Mustika ni…dia ni seorang yang gigih memperjuangkan puisi warisan.

Keseluruhannya aku suka cerita ni CUMA aku tak berapa suka…

Baca ulasan sepenuhnya di sini.

** Pembaca yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang kehidupan Ainur Mustika selepas berkahwin dan memiliki seorang anak angkat/tiri sekaligus, boleh membaca Mencari Locus Standi. Novel ini sudah semakin sukar diperolehi di pasaran, sila dapatkan dari kedai buku online Ujana Ilmu.

Klik pada pautan ini untuk pembelian terus : http://www.ujanailmu.com.my/pd_mencari.cfm

Membeli secara online di Ujana Ilmu, anda tidak semestinya memiliki kad kredit. Ketahui cara-cara pembayaran lebih lanjut di sini.

Written by Nisah Haron

Ogos 20, 2009 at 8:26 am

Dikirim dalam HSKU, Lentera Mustika

DBP janji terbit segera buku – KP

with 10 comments

Pertama sekali, hari ini saya sangat teruja apabila sdr Nazmi dari Berita Harian mengumumkan bahawa ruangan sastera akan ada pada setiap hari mulai hari ini di akhbarnya. Wah, luar biasa sekali komitmen Berita Harian. Nampaknya, jauh ketinggalanlah Utusan Malaysia. Saya sudah tidak ada sebab untuk membaca Utusan kecuali pada hari Ahad kerana saya segmen artikel sastera (yang ikut suka hati, ada ataupun tiada), cerpen dan puisi. Kini alasan lain untuk membaca Mingguan Malaysia ialah untuk mengikuti kolum Datin Fatini Yaacob yang menulis tentang Natrah pada setiap hari Ahad.

Sebelum ini saya melanggan akhbar hanya pada hari yang ada sastera : hari Khamis, Jumaat dan Sabtu wajib baca Berita Harian (itu adalah hari-hari yang ada segmen sastera) dan pada hari Ahad melanggan Mingguan Malaysia.

Akhbar-akhbar alternatif akan dilanggang oleh ayah saya, jadi saya akan tumpang baca. Sudahnya, kami bertukar-tukar akhbar.

Tahniah kepada pihak pengurusan Berita Harian kerana memberi ruang kepada segmen sastera untuk hidup pada setiap hari!

* * * * *

Ketika membaca ruangan sastera di Berita Harian, berita ini menarik perhatian – Jaminan daripada Ketua Pengarah DBP bahawa DBP akan segera terbitkan buku.

Saya tak tahu mana yang lebih basi : isu buku akan terbit segera ataupun komen daripada Ketua Pengarah itu lebih basi. Ataupun, buku-buku yang mahu diterbitkan oleh DBP memang manuskripnya sudah lama basi.

Dulu, kalau bercakap tentang buku-buku DBP, kita barangkali tidak kaitkan dengan Dawama Bhd (sebagai pencetak dan pengedar tunggalnya). Sekarang, apabila saya terlibat dalam dunia buku saya tahu bahawa DBP tidak mengedarkan buku. Tugas DBP hanyalah menerbitkannya. Jadi, sebelum sesiapa mahu menyelar DBP, hadamkan dulu fakta ini.

Dawama sebagai pengedar tunggal buku-buku DBP bertanggungjawab penuh dalam mencetak dan mengedar buku-buku ini supaya sampai kepada khalayaknya. Nah, tanggungjawab yang satu inilah yang dipertikaikan oleh banyak pihak khususnya pengarang. Mana dia buku-buku yang sudah diterbitkan? Kenapa habuk buku-buku DBP ini langsung tidak nampak di mana kedai-kedai buku pun.

Ya, adalah beberapa judul yang ‘tersesat’ di MPH. Saya ada jumpa. Bohong pula kalau saya kata 100% tiada. Tapi, kita boleh lihat buku DBP yang bagaimana yang ada di MPH. Selalunya, buku-buku yang bermaruah sifatnya. Selebihnya, kalau nak beli di Dawama, kena pesan awal-awal. Kalau datang pakai terjah, kenalah tunggu pekerjanya menyelongkar buku-buku di dalam gudangnya. Buku-buku yang dipamerkan di dalam kedai kecil di luar gudang itu juga ada yang tidak mempamerkan buku-buku terbaharu. Kena tanya, sabar menunggu, baru dapat.

Sebagai penjual buku, saya juga kena bersabar, tidak kurang juga sampai hilang sabar kerana pihak Dawama enggan menjual buku-buku kepada saya dengan harga pengedar. Kalau saya dapat 10% diskaun daripada pihak Dawama bagaimana saya boleh jual kepada pelanggan yang turut menuntut diskaun yang sama. Walaupun saya bayar tunai, walaupun saya beli buku lebih daripada 10 naskhah (sebagai contoh), diskaun yang diberikan tetap sama. Kalau hendak diskaun lebih, kena usaha lebih dengan pelbagai cara yang sudahnya, kedua-dua pihak tidak gembira.

Atas alasan yang sama, saya juga tidak dapat bekalkan majalah kepada banyak pihak yang meminta, kerana setiap bulan akan mengalami masalah yang sama. Sedangkan majalah DBP langsung tidak kelihatan merata-rata di tempat saya. Bagaimana buku DBP mahu laku jika majalahnya tidak beredar. Buku-buku DBP hanya dipromosi di dalam majalah DBP sahaja.

Lalu, apa gunanya DBP terbit buku, percepatkan penerbitan buku jika buku-buku itu tidak berjumpa matahari pun. Semuanya tersimpan di dalam gudang. Hujung tahun, dijual dengan harga RM1. Adilkah buku-buku yang tidak pernah dipromosi, dipertonton, diberitahu kepada orang ramai akan kewujudannya ini dilacur sedemikian?

Ini kenyataan Dato’ Termuzi (K.P DBP) yang saya petik dari laman Berita Harian :

“Dalam memartabat dan mengembangkan sastera serta bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, DBP mensasarkan untuk menerbitkan lebih 400 judul buku dalam setahun,”

Ini pantun daripada saya :

Apa guna paku yang banyak,
      Kalau berkarat setiap batang;
Apa guna buku yang banyak,
      Hanya sarat di dalam gudang.

Jika perkara pemasaran dan jualan buku oleh Dawama ini tidak diselesaikan, saya percaya DBP akan terus kehilangan penulis-penulis yang berwibawa. Setakat ini sahaja, ramai penulis yang berkualiti sudah beralih arah.

Penulis-penulis ini bukan setakat kecewa dengan proses penerbitan yang lambat pada suatu ketika (kini sudah ada pembaharuan, sedikit cepat berbanding dulu), ramai yang bertanya juga kepada saya, selepas buku mereka diterbitkan oleh DBP, di mana kawan-kawan mereka mahu membeli untuk mendapatkannya. Dawama mahu jual secara online sahajakah? Bukan semua orang selesa membeli secara online. Kanak-kanak dan remaja lebih sesuai membeli buku di kedai-kedai buku. Ibu bapa mahu membelek-belek buku sebelum membelinya untuk anak-anak.

Jadi, di mana sebenarnya buku-buku DBP ini dijual? Hanya di kedai-kedai yang tersorok? Kedai-kedai lain nampaknya tidak berminat untuk menjual buku-buku DBP. Ya, saya tidak salahkan mereka kerana Dawama enggan memberi diskaun yang berpatutan. Siapa yang mahu rugi?

Apakah kenyataan Ketua Pengarah DBP di dalam hal ini pula?

Nota Hujung:

* Sasterawan Negara pun sudah mula mendapatkan kembali hak cipta daripada pihak DBP kerana sudah hilang kepercayaan atas kebolehan DBP/Dawama menjual dan mempromosi buku-buku mereka.

Fikirkan!

Written by Nisah Haron

Ogos 17, 2009 at 9:31 pm

Dikirim dalam DBP

Lentera Mustika – Komen Welma La’anda

with 2 comments

“Betul kata Faisal Tehrani, Tidak ada yang dapat mencabar Nisah Haron dalam ‘wilayahnya’ menerusi buku ini. Ternyata cinta, seni dan undang-undang sangat mesra saling berkait antara satu sama lain di dalam kehidupan.

Saya kira penulis berjaya menyampaikan 3 elemen itu kepada para pembaca. Saya sendiri kurang pasti apakah mesej tunggal sebenar yang penulis mahu sampaikan menerusi Lentera Mustika untuk menjadi bekal-bekalan kepada pembaca : cinta kepada warisan seni melayu?, faham perundangan? atau memaknai hubungan hati antara lelaki dan perempuan?, kerana semua mesej-mesej itu seimbang disampaikan. Apa yang pasti, buat diri saya, ketika saya mengakhiri halaman-halaman terakhir Lentera Mustika, ternyata bukan ketiga-tiga perkara itu menguasai pemikiran saya tetapi lebih condong kepada soal memandang kehidupan dengan lebih baik. Mungkin disebabkan itu saya mengakhiri buku ini dengan air mata walaupun cerita tidak diakhiri dengan kesedihan.”

Baca lanjut ulasan daripada blogger Welma La’anda tentang Lentera Mustika.

** Jika novel Lentera Mustika tidak terdapat di kedai-kedai buku di kawasan anda, sila tinggalkan komen dengan menyatakan daearah anda. Jika mahu lebih mudah, pesan terus dari http://www.ujanailmu.com.my ataupun terus ke laman http://www.ujanailmu.com.my/pd-lentera-mustika.cfm. Mahu ditandatangani oleh pengarangnya juga boleh, asalkan maklum kepada pihak Ujana Ilmu melalui e-mel : webmaster@ujanailmu.com.my.

– Pihak pengurusan Ujana Ilmu

Written by Nisah Haron

Ogos 16, 2009 at 12:37 am

Dikirim dalam Lentera Mustika

Singgahan di Kuantan

leave a comment »


Pada suatu petang Ahad yang tenang, saya singgah sendirian di Bandar Kuantan. Perjalanan menggunakan bas ekspres dari Seremban ke bandar itu tamat di destinasinya dan disambut dengan deraian hujan. Agak lebat juga.

Di Terminal Makmur, saya menahan teksi yang terus membawa saya ke hotel yang telah ditempah lebih awal. Saya pernah lalu ke Kuantan sebelum ini tetapi tidak pernah singgah, apatah lagi menginap.

Sengaja saya pilih sebuah hotel yang letaknya di pinggir Sungai Pahang. Apabila bersendirian, saya dapat menikmati keadaan ini dengan cara yang tersendiri. Sebelum ini, saya pernah bermalam di Pekan, Pahang. Atau lebih tepat lagi, di kediaman sahabat pengarang, Amaruszati yang kini lebih dikenali sebagai usahawan kek di Pahang. Oleh sebab saya tidak memandu, saya tidak berkesempatan untuk ke mana-mana selain di bandar ini.

Urusan saya bermula pada hari Isnin, jadi petang Ahad itu, setelah hujan reda, saya berjalan-jalan. Perjalanan saya itu membawa saya sehingga ke Berjaya Megamall Kuantan. Apa lagi yang mungkin saya cari, kalau bukan sebuah kedai buku. Saya tidak bertanya kepada sesiapa, jadi apa yang saya terpandang, itulah yang saya jumpa.

Setelah berpusing-pusing sekeliling kompleks beli belah itu, saya terjumpa Popular Bookstore. Ada banyak buku yang dijual sebagai kedai buku rangkaian. Sayang sekali, Lentera Mustika masih tiada di situ. Saya beranggapan, novel saya itu masih belum sampai ke Kuantan. Setakat ini di Seremban sudah ada.

Oleh sebab berjalan kaki, saya sempat merakam beberapa gambar di sekitar bandar ini. Sungguh tertarik dengan seni bina Masjid Negeri yang menjadi mercu tanda terbaharu Kuantan. Terasa seperti melihat sebuah masjid di negara Turki. Ada persamaan pada seni binanya. Banyak juga gambar yang saya ambil untuk masjid ini. Walau bagaimanapun, ini antara sudut yang agak baik.


Esoknya, saya menunggu wakil daripada pihak Radio Malaysia Pahang FM di lobi hotel. Namun, suasana di luar hotel lebih memanggil. Saya membiarkan semilir pagi bermain-main dengan wajah saya di pinggir Sungai Pahang. Air sedang pasang. Banyak juga bot yang sedang memulakan laluan sejak awal pagi. Cuaca sedikit mendung dan pagi masih basah.

Tepat pada waktu yang dijanjikan, Puan Wan Azizah, DJ Radio Malaysia Pahang FM menjemput saya untuk dibawa ke studio rakaman. Kompleks penyiarannya besar dan agam – dan seperti biasa sejuknya amat luar biasa.

Rakaman berjalan lancar.

Saya dibawa pula ke East Coast Mall untuk makan tengah hari. Kami bersembang-sembang seputar dunia penulisan dan juga buku. Saya tanya, apakah kedai buku yang ada di dalam kompleks ini pula. Nampaknya kompleks ini lebih besar daripada Berjaya Megamall yang saya singgah semalam. Daripada maklumat yang diterima, ada sebuah katanya. Itupun, apabila saya singgah kemudiannya, boleh dikatakan kedai itu tidak sampai 50% berisi buku. Selebihnya adalah kedai alat tulis.

Menurut Kak Wan (panggilan saya kepadanya), tahap pembacaan di negeri ini antara yang terendah. Saya kata, barangkali keadaan negeri Pahang yang besar menyukarkan pengedaran buku. Dia tidak pasti tetapi menurutnya lagi, seorang kenalannya yang memang suka membeli buku, tidak akan membelinya dari Kuantan. Kenalannya itu akan ke Kuala Lumpur kerana buku-buku yang dicarinya itu biasanya tiada di Kuantan.

Saya tidak mungkin membuat kenyataan bahawa orang Pahang tidak membaca ataupun di Kuantan tidak ada kedai buku hanya berdasarkan singgahan selama kurang daripada 24 jam itu. Namun, itulah tanggapan awal yang ada munasabahnya.

Pun, saya berharap tahap pembacaannya lekas bertambah. Kalau di Kuantan ada sebuah gedung KAMDAR (dengan bangunan sendiri) dan penuh diisi pelanggan, mudah-mudahan akan ada kedai yang sebesar itu dan penuh dengan pencinta buku dari seluruh negeri Pahang.

Saya tinggalkan Sungai Pahang dan Bandar Kuantan yang ternyata hebat dari segi koleksi pakaian dan juga tudung – Butik Ariani dengan harga tudung yang beratus-ratus itu boleh mendapat sambutan di Kuantan – dengan hati yang sedikit terkilan. Apakah nilai buku jauh lebih rendah daripada fesyen pakaian yang sifatnya bermusim?

Semoga singgahan saya ke bandar ini pada lain masa akan menawarkan sesuatu yang lebih menjanjikan!
.
.

Written by Nisah Haron

Ogos 14, 2009 at 8:51 pm

Dikirim dalam Peribadi

Sasterawan Negara ke-10

leave a comment »


Anwar Ridhwan diumumkan sebagai
Sasterawan Negara ke-10 di dalam
Utusan Malaysia hari ini.
Ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada
Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Majlis penyampaiannya dijadualkan pada 20 Oktober 2009.

sumber berita : Utusan Online

sumber foto : Facebook Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

Written by Nisah Haron

Ogos 11, 2009 at 3:06 pm

Dikirim dalam Pengumuman, Sasterawan Negara

Penyair Indonesia WS Rendra Meninggal Dunia

leave a comment »


Jakarta – Setelah sempat sakit-sakitan, akhirnya penyair WS Rendra (75 tahun) meninggal dunia. Budayawan tersebut meninggal setelah sempat keluar dari RS yang merawatnya. Rendra meninggal pada Kamis (6/8/2009) pukul 22.10 WIB di RS Kelapa Mitra, Jakarta.

Sumber : Detik News

W.S. Rendra – penyair yang terkenal dengan puisi -puisi bersifat rakyat. Antara yang paling terkesan di jiwa saya ialah Nyanyian Angsa yang memberi inspirasi kepada banyak karya lain seperti teater Perjalanan Bu Aminah (teater Stefani) dan juga novel Salam Maria (Fatimah Busu).

Willibrordus Surendra Broto Rendra lahir di Solo, Jawa Tengah, 7 November 1935.

Written by Nisah Haron

Ogos 7, 2009 at 6:38 am

Dikirim dalam Pengumuman

Lentera Mustika – Mencari Locus Standi

with one comment


Ada pembaca yang mungkin pertama kali berkenalan dengan karya saya – Lentera Mustika. Itu saya akui kerana dalam banyak-banyak karya saya sebelum ini, Lentera Mustika lebih mudah didapati berbanding karya saya yang lain. Oleh hal yang demikian, saya syorkan untuk mendapatkan karya-karya saya yang lain, sila pesan melalui Ujana Ilmu.

Setelah membaca Lentera Mustika, jika ada yang mahu membaca karya saya yang lain, saya cadangkan bacalah Mencari Locus Standi (MLS). Seperti yang saya sebutkan dalam nota pengarang di dalam Lentera Mustika, MLS sudah saya tulis terlebih dahulu dan kemudian baru saya fikirkan sebuah ‘prekuel’nya – Lentera Mustika.

Namun, saya berpendapat novel ini setiap satunya boleh berdiri dengan sendiri tanpa sokongan novel yang satu lagi. Walau bagaimanapun, novel ini sengaja diceritakan melalui sudut pandangan dua watak yang berbeza. Lentera Mustika dari sudut pandangan Ainur Mustika sementara MLS pula dari sudut E-Jay @ Eliza Jasmin.

Bagi yang telah membaca MLS, barangkali boleh sahaja ditebak penghujung kisah Lentera Mustika. Akan tetapi, apa sahaja kesudahan Lentera Mustika bukan menjadi mesej yang ingin saya sampaikan.

Kedua-duanya ada bauran elemen perundangan yang menjadi citra kepengarangan saya. Ini memang niat saya dari awal, mahu menyampaikan hal-hal tentang undang-undang keluarga (khususnya), undang-undang perwarisan, undang-undang hak cipta dan beberapa aspek perundangan yang lain, walaupun tidak disampaikan dalam bentuk yang besar. Tidak ada gunanya saya tulis dalam bentuk ‘kuliah’ undang-undang. Yang penting, pembaca dapat memahami dan seterusnya boleh merujuk kepada sumber-sumber tambahan, jika mahu.

Novel ini boleh didapati secara sepasang dari Ujana Ilmu. Kalau mahu tandatangan saya, harus minta kerana saya tidak akan ‘menconteng’ sebarangan ke atas buku orang lain tanpa izin tuannya. Saya tahu ada pembaca yang tidak mahu satu garis, bahkan satu titik pun tertulis di atas buku kesayangannya.

* Lentera Mustika (PTS Litera Utama, 2009)
Harga : RM18

* Mencari Locus Standi (Utusan Publications & Distributors, 2004)
Harga : RM17

Ujana Ilmu juga ada di Facebook.
Search “Ujana Ilmu” dan kenalkan diri anda sebagai pelanggan Ujana Ilmu.

Written by Nisah Haron

Ogos 6, 2009 at 9:24 pm

Dikirim dalam Lentera Mustika

"Kita Bangsa Yang Selesa"

with 13 comments

Saya terima undangan untuk membaca puisi bertemakan Palestin kerana saya percaya perjuangan sebagai bangsa yang peduli kepada saudara-saudara kita tidak harus bermusim sifatnya. Pada bila-bila masa sahaja, kita harus saling mengingatkan diri kita dan sesama kita perihal perjuangan untuk menuntut hak.

Buat kali pertama juga pihak gabungan NGO Dakwah di Negeri Sembilan memperakukan karyawan Negeri Sembilan sebagai mengisi slot deklamasi puisi. Hanya 2 orang dipilih. Saya telah menulis sebuah puisi panjang, walaupun sudah agak lama tidak menulis puisi yang bertema khusus begini.

Saya judulkan “Kita Bangsa Yang Selesa”.

KITA BANGSA YANG SELESA

I

Kita bangsa yang selesa
berselindung di sebalik agama
membiarkan tersiksa saudara
sesekali tersentak
       – kita menukar jenama
sedangkan dalam ruang selesa
kita berganjak tiada
       – bimbang tertumpah air muka.

Usai musim memulau jenama
kita kembali berahi kepadanya
antara fardhu ain dengan kifayah
kita pilih bermain aksara
telefon bimbit kejap dalam genggaman
kerana yang menyanyi itu juga seagama.

Mengapa masih malu memulau hedonisme
Masih lagi menjadi hamba hawa nafsu
Terus alpa membenarkan eksperimen 5-S janaan mereka
Berjaya mengabui inti perjuangan sebenar
       Sex!
       Smoke!
       School!
       Sport!
       Screen & Song!

Siapakah mangsa sebenar keadaan ini
Mereka yang berada di bumi Palestina
Ataukah kita yang lebih hina

Anak siapa mengandung sebelum akad
Anak siapa bibirnya berpuntung asap
Anak siapa ke sekolah tapi fikiran melayah
Anak siapa qiamulail bersama Manchester, Liverpool dan Chelsea
Anak siapa berbondong-bondong berpesta
       Lebih kenal artis daripada ulama
       Lebih hafal lirik daripada doa

Dengan ilmu sedalam lantai tempayan
Kita mencari munasabah melabuhkan sauh persoalan
di situ bahtera karam
lidah kalam tenggelam dalam
sorai ketawa
jenaka alpa.

Justeru kita bangsa yang selesa
gemar berselindung di sebalik agama.

II

Kita bangsa yang selesa
masih berselindung di sebalik agama
di sini
bangga terhimpun di laman berkolam mini
batu-batu tersusun indah memaknakan erti seni
sedangkan batu yang serupa
nilainya lebih berharga
di sana
menjadi peluru menghentam angkuh bangsa.

Pernahkah kita menafsir iktibar
daripada derita sebuah bangsa
bala yang tumpah ke atas Palestina
peritnya melimpah ke pelusuk atma
pun
benarkah kita benar-benar percaya.

Sesekali peti hitam itu menayangkan sengsara
simpati melaut mencecah pantai hati
ataukah kita tak terpandang
       raungan ibu
       hiba ayah
       titis jernih anak-anak bermata bundar
lalu segera mengalihkan berita derita
rela menonton sebaris calon penyanyi hiba
       tidak cukup undi percaya; dan
       kita pun sama berduka.

Sedangkan di bumimu, Palestina
apakah masih ada harga air mata
setelah setiap saat ia mengalir
bersama darah pejuang
bergaul debu petualang

III

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan berselindung di sebalik agama
iktibar daripadamu, Palestina
adalah untuk kami dakap kejap pada jiwa
bumi bertuah ini lebih empat ratus tahun
pernah bertukar milik
       – Portugis, Belanda, Inggeris,
       – Jepun dan komunis
kini Zionis!

Kami enggan menjadi bangsa yang selesa
enggan mudah percaya dengan apa yang ada
kami gali kebenaran dari tanahmu
kami hayati perjuangan syuhadamu
kami tidak rela kiblat yang pertama itu
menjadi harta bangsa penjarah darah saudaraku.

Ayuh,
Pinjamlah semangat Salahuddin Al-Ayubi
biar mengalir ke seluruh pembuluh tubuh ini
kita rebut semula Baitul Muqaddas
kerana setiap yang hak itu punya batas
kita bukan mahu dendam berbalas
kita mahu menjadi bangsa yang peduli
Berjuang!
       Walau bukan dengan ketul-ketul kerikil
       dengan pena
       dengan doa
       dengan percaya
bahawa kita bersaudara
setiap kali bedilan singgah di laman rumahmu
gegarnya terasa di anjung semenanjung

Justeru
Kita bukan bangsa yang selesa
Tidak pernah berselindung di sebalik agama
Dengan agama jiwa nurani teguh
Dengan agama iman ini terpasak utuh.
Dengan agama kita gagalkan eksperimen durjana
Kita bina agama dan bangsa bermaruah
Membiarkan Ad-Din mengalir ke setiap pembuluh darah
Merapatkan peribadi dengan Rasulullah
Setiap satunya kembali kepada Allah.

Inna lillah
Wa inna ilaihi
Raji’un.

Nisah Haji Haron
Ampangan – USM – Ampangan
1 – 5 Sya’ban 1430 H
23 – 27 Julai 2009

Hak Cipta Terpelihara.

Kredit foto : Zalila Isa

Jika ada pembaca yang berminat untuk menyalin puisi ini, mohon izin daripada saya terlebih dahulu. Jika mahu letak di blog sendiri, mohon izin dan link blog ini dan saya menegaskan nama saya sebagai pengarang puisi ini. Terima kasih.

Written by Nisah Haron

Ogos 5, 2009 at 5:00 am

Dikirim dalam puisi