Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Ogos 2005

Apabila Nisah Dilabel Pengkhianat

with one comment

Mungkin ada yang sempat membaca tulisan saya tersiar dalam Dewan Sastera Ogos 2005 baru-baru ini. Tulisan saya tentang Dilema Penulis Fiksyen Inggeris Tempatan. Mungkin juga tak ramai yang baca tulisan saya itu kerana berapa kerat sebenarnya pembaca Dewan Sastera. Lantaran edarannya yang agak terhad (tak semua kedai mamak jual Dewan Sastera, kan?)

Jika ada kesempatan, saya akan masukkan tulisan saya itu dalam entri saya di blog ini. Seperti yang kita semua sedia maklum, apabila sesebuah tulisan itu sedang terbit di majalah / wadah tertentu, kita tidak boleh menyiarkannya di tempat lain, hatta dalam blog peribadi pun. Itu bermakna kita telah melanggar hak eksklusif yang kita berikan kepada wadah berkenaan untuk menerbitkan tulisan kita – walaupun hak ciptanya milik kita 100%.

Apa yang boleh dibuat ialah menyiarkan selepas tempoh hak cipta selesai. Kalau majalah itu bulanan, siarkan selepas tempoh sebulan tamat, kalau mingguan, selepas habis seminggu. Tapi kalau akhbar harian, sehari sahaja.

Oleh sebab rencana yang saya tulis itu, saya telah dilabel sebagai mengkhianati semangat Ogos (bahawa semangat kebangsaan itu hanya perlu dinikmati pada bulan lapan sahaja) dan juga mengkhianati suara padu penulis muda di Tg Piai bahawa bahasa Melayu hendaklah dipertahankan dan tidak memberi ruang kepada bahasa Inggeris terutamanya.

Ketika saya diminta menulis rencana tersebut, saya terima dengan hati yang terbuka dan rasa berterima kasih kerana diberi kepercayaan untuk memperkatakan tentang masalah yang dihadapi oleh penulis bahasa Inggeris tempatan, khasnya dalam genre fiksyen. Lalu apa yang saya catatkan hanyalah laporan. Tentu sekali, saya harus melakukan kerja rumah, kajian dan kerja lapangan dalam tempoh masa yang agak terbatas. Itu perkara biasa dalam dunia penerbitan majalah. Kalau diberi tugasan supaya menulis tentang sesuatu isu, tempoh masanya lebih kurang seminggu sahaja.

Apa yang saya tulis cuma tanggapan mereka terhadap sastera Melayu dan cabaran dan dilema penulis sastera Inggeris tempatan. Itu sahaja.

Namun, apabila karya itu tersiar, Faisal (Tehrani) amat tidak bersetuju dengan tulisan saya. Pun saya biarkan sahaja. Itu pandangan dia. Setiap orang berhak membuat tafsiran terhadap sebarang tulisan yang telah tersiar. Sebaik-baik sahaja tulisan tersiar, ia sudah jadi milik pembaca sepenuhnya.

Reaksi Faisal boleh dibaca menerusi pautan berikut :
http://groups.yahoo.com/group/sastera_malaysia/message/21177

Apa pun, kepada sesiapa yang hendak memberi respon terhadap kedua-dua tulisan ini (saya dan Faisal) harap baca kedua-duanya sekali. Usah menyampuk kalau tak baca lagi. Ini kerana tulisan ini berkaitan.

Secara peribadi saya bukannya bertelingkah dengan Faisal. Dia masih lagi sahabat saya. Saya anggap dia Faisal Tehrani (penulis) yang memberi reaksi, bukannya Faisal atas kapasiti peribadinya. Oleh itu, kami cuma mempunyai pandangan yang berbeza.

Kepada yang telah membaca kedua-dua tulisan tersebut, silakan beri komen di sini.

Boleh juga baca komen daripada teman-teman penulis fiksyen Inggeris tempatan melalui laman web Sharon Bakar ataupun pergi terus ke pautan :

Recognising Local Writers

Is There Market For Malaysian Fiction

Write in English? Don’t be so disloyal

Saya melihat adanya kepentingan penulisan dalam Bahasa Inggeris. Dan setiap kali saya menulis dalam bahasa Inggeris itu bukanlah bermakna saya telah mengkhianati bangsa saya sendiri. Tolonglah, perbincangan ini sudah sangat lapuk dan kita masih lagi memperkatakannya. Bukankah sudah sampai masanya, kedua-dua bahasa ini bergerak seiring dan jambatan yang terbakar antara penulis sastera Melayu dan sastera Inggeris ini disatukan semula. Sudah terlalu banyak prejudis terbina sejak jambatan ii terbakar.

Saya melihat tindakan pihak Kumpulan Utusan mengadakan kategori baru (novel Inggeris) dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan sebagai satu petanda yang positif. (Walaupun desakan itu dilihat seperti keputusan penaja dan bukannya keputusan penganjur.) Penulis sastera Inggeris tempatan hendaklah digalakkan menulis tentang masyarakat setempat dengan memberi local colour dalam karya mereka. Dengan cara ini, barulah masyarakat luar dapat menghayati maksud dan makna yang selama ini hanya diterjemahkan. Betapa banyak yang hilang sewaktu kita membuat terjemahan.

Dalam era penterjemahan tempatan yang sangat tenat, saya melihat peluang menulis dalam Bahasa Inggeris dalam meningkatkan warna dan nuansa tempatan ini penting sekali. Nak tunggu ada sayembara novel bahasa Arab, Peranchis, dan bahasa-bahasa lain mungkin entah bila. Hatta penterjemahan dalam bahasa-bahasa lain selain Inggeris pun, seperti tidak wujud. Saya sangat skeptikal dengan dunia penterjemahan di Malaysia.

Namun, apabila saya memanjangkan berita tentang wujudnya Hadiah Sastera Kumpulan Utusan kategori novel Inggeris, sekali lagi saya dilabelkan pengkhianat. Sayalah dalang dan tali baru yang bakal menghancurkan Bahasa Melayu. Aduhai, singkatnya fikiran. Walhal, bukankah sebelum ini saya amat memartabatkan Bahasa Melayu? Saya tahu kedudukan saya dan pada waktu dan ketika yang mana saya harus memilih bahasa yang paling sesuai. Bukankah itu suatu keistimewaan bagi mereka yang mahir dalam lebih daripada satu bahasa?

Pada hari merdeka ini, kita harus sedar betapa kita tidak mampu mengubah sejarah, tetapi kita masih mampu mengubah masa depan. Jati diri bangsa Melayu masih ada walaupun lebih 400 tahun terjajah. Datanglah seribu bahasa pun menerjah ruang tanah pusaka ini, namun bahasa Melayu masih belum mati.

Saya menganggap Bahasa Melayu ini seperti ikan di air masin, apabila tercampak di darat, ia tidak masin walaupun seumur hayatnya terendam dalam laut.

Hanya dengan menulis sesuatu di luar kesusasteraan Melayu, nasionalisme saya dipertikaikan? Lantas sudah hilanglah rupanya kebebasan untuk bersuara, walau dalam rencana sastera sekalipun. Nasionalisme dan patriotisme saya bukanlah pada bendera yang berkibaran di halaman rumah hanya pada bulan Ogos. Bukan juga pada laungan merdeka. Bukan pula tergugat apabila saya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik. Semangat itu diamnya di hati, perasaan dan seluruh jiwa saya.

Perlukan saya buktikan patriotisme saya dalam segala tindakan? Saya tetap tahu langit mana yang harus dijunjung, ketika saya memilih bumi mana yang mahu dipijak.

Written by Nisah Haron

Ogos 31, 2005 at 2:45 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Membakar Lilin Dinihari

leave a comment »

Jam 2.30 pagi.

Mata masih enggan picing. Rehat sebentar daripada tugasan yang sedang membusung.

Mana nak lelap, assignment belum siap lagi 🙂 – Orang lain sedang enak dibuai mimpi. Adakalanya, terfikir juga. Di mana seronoknya tidur? Orang yang jaga akan berkata, seronoknya orang lain tidur. Tetapi apabila kita sendiri tidur, kita pun tidak pasti di saat dan ketika mana, kita menikmati nikmat tidur tersebut.

Assignment masih belum dapat kesudahannya. Bukan, ini bukan assignment atau tugasan menulis esei yang biasa saya tulis untuk majalah. Ini tugasan berat. Ada markah disediakan. Sendiri juga cari susah, buat tajuk yang agak kekurangan bahan tempatan.

Saya tulis tentang Hak Orang Asli : Perbandingan antara Malaysia dan Australia. Begitulah tajuknya lebih kurang. Sekurang-kurangnya dalam mahkamah di Malaysia, hak orang asli masih tidak dipandang sepi. Ada yang dapat pampasan berjuta-juta RM. Namun, pada mereka bukanlah pulangan RM yang mereka harapkan. Sesuatu yang telah dimusnahkan bukanlah mudah diganti dengan wang ringgit begitu sahaja.

Ada banyak perkara yang kita perolehi dengan percuma di dunia ini, tetapi jika diambil orang, wang ringgit tidak boleh menggantikannya. Itulah anugerah-Nya.

Saya kurang sihat seminggu dua ini. Tetapi malam ini (pagi ini) saya gagahkan juga menyiapkan tugasan penting ini. Esok ada satu dua temu janji yang mesti ditunaikan. Rakaman rancangan Kurik Kundi Merah Saga di Negeri.FM juga sudah tertangguh, esok juga mesti dilunaskan.

Rabu nanti, Kem Seri Perkasa, Mantin menunggu kehadiran Program Penghayatan Sastera dan Budaya bagi Tahap II. Tahap I telah selesai minggu lepas. Kali ini saya diamanahkan sebagai Ketua Fasilitator. Besar juga tanggungjawab yang diberikan. Mujurlah pelatih di Kem Seri Perkasa jauh lebih baik daripada kem sebelumnya. Mereka agak bersedia dalam memberikan kerjasama.

Itu dulu coretan untuk dinihari.
Tugasan mesti beres.
Kopi makin dingin.

Written by Nisah Haron

Ogos 23, 2005 at 2:30 am

Dikirim dalam Uncategorized

Menulis Sebagai Kerjaya Tetap

leave a comment »

Saya terima soalan berikut di “comment box”. Saya kira, jawapannya perlu lebih dari sekadar membalas semula komen tersebut.

Soalan : Saya merupakan salah seorang peminat penulisan. Saya masih lagi menulis sehingga kini. Masalahnya sekarang mengapa penulisan tidak boleh dijadikan satu pekerjaan sepenuh masa. Untuk pengetahuan saudari sehingga kini saya masih tercari-cari idea bagaimana hendak menceburkan diri secara sepenuh masa di dalam bidang penulisan kreatif.Lebih-lebih lagi kini masyarakat di Malaysia lebih menekankan kepentingan sains dan teknologi. Jadi tidak ada alternatif lainkah untuk meningkatkan prestasi pekerjaan di bidang sastera di Malaysia. – Katerina.

Komen saya :

Untuk menjadi penulis sepenuh masa, pertama sekali, tidak boleh menulis hanya satu genre. Saya menulis dalam konteks sastera tulen, bukannya sekadar menulis sastera popular. Maksud saya, menulis sebagai penulis yang layak bergelar sasterawan.

Apabila menulis banyak genre, misalnya novel, cerpen, puisi, esei dan drama, penulis tersebut tidak akan terputus idea dan ruang untuk menulis. Sebagai contoh, apabila sedang menulis novel, andaikata tersangkut atau tersangkak di mana-mana, boleh sahaja teruskan menulis cerpen ataupun puisi. Begitu juga, sementara menunggu karya-karya tersiar, boleh sahaja menulis genre yang lain.

Peribadi, saya juga berbuat demikian, walaupun saya ini belum boleh dikategorikan sebagai penulis sepenuh masa. Saya menulis esei (undang-undang / sastera), novel bersiri (Tunas Cipta), cerpen dan puisi (sekali sekala). Kesemua itu berlaku hampir serentak.

Untuk menjadi penulis sepenuh masa, membaca bahan yang berkualiti itu wajib. Apabila pembacaan seseorang penulis itu luas, dia tidak akan terputus idea untuk menulis. Saya selalu memberi analogi mudah kepada penulis baru ataupun calon penulis: jika kita mahu buat jus oren, tentu saja kita akan memilih buah-buah oren yang segar, tidak rosak/busuk. Buah yang sudah rosak akan menjejaskan rasa jus oren tersebut.

Demikian juga halnya dengan penulisan, jika kita membaca bacaan yang tidak berkualiti, kita sebagai penulis turut terkesan akibat daripada pembacaan tersebut. Ini disebabkan penulis tidak akan boleh menulis sesuatu yang tidak diketahuinya. Apa yang kita baca dan alami sahaja yang boleh ditumpahkan semula ke dalam penulisan kita.

Penulisan juga berkait rapat dengan peribadi kita sendiri. Jika kita berperibadi mulia, kita akan cetuskan nilai-nilai murni dalam diri ke dalam karya (tanpa kita sedari). Saya juga pernah berbincang-bincang dengan teman-teman penulis sedikit masa dahulu: jika kita mahu menghasilkan karya yang baik, perbaikilah diri sendiri terlebih dahulu.

Hati yang jujur ikhlas, akan menghasilkan karya yang begitu juga. Sebab itu ada istilah write from the heart. Tulislah dari hati. Ya, dari hati yang ikhlas. Semua itu akan terpancar pada karya.

Tiada siapa yang dapat menidakkan kepentingan sains dan teknologi juga ICT dewasa ini. Namun sastera ibarat sebuah jiwa dan sains ialah fizikalnya. Sastera akan melahirkan ahli sains yang mempunyai nilai kemanusiaan. Sastera itu satu unsur yang tidak boleh dipisahkan dan ia tidak berdiri dengan sendiri. Ia satu unsur yang boleh masuk sama ada ke dalam sains, teknologi, ICT, agama, dan pelbagai ruang lagi.

Saya yakin, dalam keghairahan manusia mencari-cari titik tertinggi dalam sains dan teknologi, ada kelompangan dalam jiwa manusia. Selain daripada tarbiah agama, sastera juga memainkan peranan membentuk peribadi dan jiwa yang dahagakan ‘sesuatu’.

Penulislah yang memegang amanah untuk mengisi kelompangan dengan nilai-nilai yang murni, bersih dan penuh hikmah. Bukankah kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap satu yang kita lakukan di muka bumi ini? Jika kita menulis karya yang merangsang nafsu, mengkhayalkan pembaca hingga lalai menunaikan perintah-Nya dan menggalakkan pembaca melakukan maksiat (hatta berpegang-pegang tangan sekalipun) sedikit sebanyak penulis itu dapat ‘saham’nya sekali.

Sebab itu, saya sering katakan : Menulis itu Amanah.

Written by Nisah Haron

Ogos 18, 2005 at 12:20 am

Dikirim dalam Penulisan

Memujuk Pada Yang Tiada Cinta

leave a comment »

Kali ini saya bertugas sebagai Fasilitator Sastera dan Budaya untuk PLKN Kem Tanjung Tuan, Port Dickson. Berbeza pula jenis pesertanya. Kalau kali pertama dahulu, pesertanya terdiri daripada pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi; kemudian PLKN kali kedua, pesertanya berperibadi agak sederhana, kali ini ia terdiri daripada mereka yang keciciran.

Benar-benar keciciran daripada aspek pendidikan, moral, sosial dan juga ekonomi. Ada yang terpaksa berhenti sekolah lantaran desakan hidup. Ada juga yang sudah berusia lebih 18 tahun tetapi tidak boleh membaca, apatah lagi menulis. Pendek kata, tiada 3M.

Cabaran para fasilitator lebih berat. Sudahlah tidak mahir membaca (walaupun hanya sebahagian) bagaimana pula mereka ini mahu menghayati puisi dan sastera. Namun, tempoh 6 malam bukanlah masa yang sesuai untuk melahirkan seorang penyair. Cukuplah sekadar, mereka mengenali apa itu sastera dan budaya. Sekurang-kurangnya mereka didedahkan dalam bentuk yang ringan tentang penghayatan sebuah puisi.

Kumpulan saya dapat mentafsirkan puisi pilihan mereka dan menterjemahkannya ke dalam bentuk sebuah pantomim.

Adakalanya, mereka yang dianggap ‘keciciran’ dalam bidang pelajaran ini lebih kreatif dan berjaya menangani masalah hidup dengan lebih praktikal.

Secara keseluruhan, saya tidak mengalami masalah dengan kumpulan saya walaupun mempunyai pelajar yang bermasalah untuk memahami apatah lagi sukar berkomunikasi. Namun, saya letakkan mereka pada tempat yang mereka selesa. Akhirnya, saya dapati mereka seronok dan bersungguh-sungguh untuk menjayakan persembahan pada malam terakhir nanti.

Pada malam pertama, kami telah perkenalkan mereka dengan bentuk-bentuk puisi: tradisional dan moden. Saya perkenalkan gurindam dan bagaimana untuk melagukan gurindam. Sempat juga saya karang serangkap dua gurindam khusus untuk majlis ini. Biar mereka dapat mengaitkan puisi dengan program mereka.

Biarpun, Program Penghayatan Sastera dan Budaya ini tidak akan melahirkan penyair ataupun penulis, tetapi saya positif, selepas 6 malam, mereka akan melihat sastera dan budaya itu dari perspektif yang berbeza.

Selesai bertugas sebagai Fasilitator di Tanjung Tuan, saya akan bertugas sebagai Ketua Fasilitator di Kem Sri Perkasa, Mantin. Kem Sri Perkasa belum pernah mengadakan Penghayatan Sastera dan Budaya. Ini kali pertama Kem tersebut dipilih. Saya juga pertama kali akan ke sana.

Written by Nisah Haron

Ogos 11, 2005 at 2:46 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Farris Dalam Kuntum

leave a comment »

Masih ingat majalah Kuntum? Ia majalah kegemaran saya sejak darjah 4 hinggalah Tingkatan 1. (Selepas itu, baru saya beralih ke Dewan Siswa). Saya pun dah lama tak baca majalah Kuntum, apatah lagi, tiada adik yang boleh memanfaatkannya.

Dua bulan lepas berjumpa dengan Datin Amelia, editor Kuntum sewaktu Wacana Novel Remaja Utusan di Hotel Istana. Beliau sempat mendapatkan novel “Farris Putera Yang Hilang”. Beliau sendiri yang akan membaca novel tersebut dan jika sesuai akan diulas dalam majalah Kuntum. Alhamdulillah, ulasan tersebut tersiar dalam Majalah Kuntum (Ogos 2005).

Kepada yang tidak sempat mengetahui apakah cerita Farris, sila dapatkan majalah Kuntum. Bagi saya, ulasannya baik dan memadai untuk memancing pembaca. Saya ingin sekali mendengar komen pembaca. Lebih-lebih lagi kanak-kanak yang membaca novel tersebut. Ini percubaan saya yang pertama menulis novel kanak-kanak. Setakat ini, saya menerima komen-komen yang positif.

Kata Maharam Mamat, yang membicarakan karya ini sewaktu di Seremban tempoh hari : Ia memuatkan falsafah besar yang disampaikan dalam bentuk yang mudah. Dalam nafas yang sama, beliau juga agak ‘terkejut’ kerana karya ini sesekali dipandang terlalu tinggi untuk kanak-kanak.

Falsafah? Hmm… entahlah. Itu komen pengkritik. Saya hanyalah penulis. Yang saya masukkan ialah fragmen-fragmen episod yang disusun mengikut sebuah plot. Dalam bahasa yang lebih mudah ialah, saya menulis cerita. Sama ada cerita tersebut ada pengajaran, falsafah ataupun pengertian, saya kira itu terpulang kepada pembaca membuat tafsiran. Seperti biasa, dalam kebanyakan karya saya, saya tidak akan melambakkan semua jawapan di dalam karya. Saya sentiasa mengajak pembaca mengambil bahagian dan sama-sama menafsirkan pengertian cerita.

Tinggi atau tidaknya falsafah tersebut, terpulanglah kepada pembaca. Bagi saya, sebuah karya itu harus ada cabaran ketika membacanya. Saya tidak pernah memandang rendah kepada kanak-kanak. Kanak-kanak hari ini bukan lagi kanak-kanak zaman saya, tentunya. Kalau sesetengah daripada mereka sudah boleh membaca Harry Potter, kenapa tidak ada karya dalam Bahasa Melayu yang setanding dengannya.

Saya tidak mengatakan Farris setanding Harry Potter. Tebal nipisnya sahaja sudah boleh membezakan kedua-duanya. Namun, jika ada peluang, saya harap ada pembaca yang sudi membeli, membaca dan menilainya. Saya juga percaya, novel ini bukan sahaja sesuai untuk kanak-kanak, tetapi untuk remaja, ibu bapa, guru dan sesiapa sahaja yang suka berfikir…

Written by Nisah Haron

Ogos 7, 2005 at 10:23 am

Dikirim dalam Uncategorized

Hiburan dan pemantauan

leave a comment »

Minggu lepas benar-benar sibuk. Selain berulang-alik dari Seremban ke UKM, minggu lepas juga penuh dengan acara sastera di Seremban.

26 Julai : Diskusi Karya – anjuran bersama DBP, PEN, PSPN & PPANS
Karya-karya yang dibincangkan ialah Farris Putera Yang Hilang (Nisah Haron), Rindu Pala Muda (Siti Zainon Ismail), Rindu Ibu (A. Samad Said), Gema Serunai Hati 8 (Penulis PEN).

Sebelah petangnya : Bersama-sama Penulis PEN – A. Latip Talib & Siti Eisyah Rashid, Moderator (Nisah).

27 Julai : Motivasi tentang membaca, petang bersama-sama dengan AJK PEN – acara pengayaan bahasa.

28 Julai : Bersama Ainon Mohd (PTS Publication), petang – “Ingin Menjadi Penulis” – Nisah Haron.

Janganlah jemu kalau nampak nama saya banyak kali, sebenarnya baru dapat jawatan baru. Pada masa tersebut saya terpaksa jadi bidan. Ya, bidan terjun! 🙂

* * *

Hari ini saya bertemu dengan seorang pensyarah senior yang amat saya segani. Bersembang-sembang dengan beliau tentang beberapa hal. Timbul juga soal Akademi Fantasi dan Mawi . Beliau tanyakan pandangan saya. Seperti entri saya sebelum ini, saya nyatakan pendirian saya yang tidak bersetuju dengan sikap penonton hari ini.

Komen beliau: dia juga demikian, tetapi sebagai ibu bapa dia tetap mempunyai tangungjawab untuk duduk bersama-sama dengan anak-anaknya. Pada masa ini dia akan menasihati anak-anaknya supaya tidak sama-sama terpesong walaupun dalam keseronokan tersebut. Kata beliau lagi, setiap situasi itu perlu dilihat dengan cara yang positif.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mempositifkan situasi ini supaya anak-anak kita bukan sekadar mendapat hiburan tetapi ada ilmu yang boleh diperoleh dalam masa yang sama.

Saya akui pandangannya itu agak liberal bagi saya. Pun, saya menghormatinya, kerana setiap orang ada pandangan yang tersendiri.

Lagipun, berapa ramai ibu bapa yang duduk bersama-sama anak dan menasihati anak dengan cara yang penuh berhikmah tentang buruk dan baik sesuai perkara itu.

Written by Nisah Haron

Ogos 3, 2005 at 6:39 pm

Dikirim dalam Uncategorized