Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for November 2007

MPR

with 3 comments

Mulai Ahad lepas, saya dan ‘si kecil’ sibuk di DBP, sama-sama menjadi fasilitator untuk Minggu Penulis Remaja 2007 (MPR). Memang mencabar menjadi fasilitator, penceramah dan juga meladeni anak kecil yang cukup kerap menyusu. Apatah lagi, si kecil enggan didukung orang lain selain saya.

Untuk itu, aktiviti ini amat meletihkan. Pun, saya gagahkan juga demi mahu melihat adanya generasi pelapis yang bakal menjadi sasterawan kelak. Saya gagahkan juga membawa buku-buku untuk dijual dan dikongsi dengan mereka kerana saya tahu sukarnya untuk mendapatkan buku-buku yang baik (hatta di kedai koperasi DBP juga). Walaupun getir dan memang menyukarkan, saya lalui juga.

Mujur juga sewaktu berceramah tentang hak cipta dan etika penerbitan, kebetulan suami saya singgah di Kuala Lumpur (pada masa lain, dia harus berada di rumah untuk memantau 3 orang anak kami yang lain), dan dapatlah dia membawa si kecil ‘pusing-pusing’ Kuala Lumpur sementara saya habiskan sesi ceramah. Terima kasih, Sayang !

Masih ada 2 hari berbaki.

Sabtu nanti baru boleh melepas rindu pada anak-anak lain di rumah.

Saya tidak mengharapkan pengorbanan kecil ini ada balasannya untuk diri saya. Tetapi, saya benar-benar berharap adik-adik MPR kali ini tidak akan mensia-siakan pengorbanan semua fasi dan penceramah yang meninggalkan keluarga demi MPR dan kelangsungan dunia sastera Melayu!

Written by Nisah Haron

November 29, 2007 at 3:59 pm

Dikirim dalam MPR

Haji Ismail Adnan Pulang ke Rahmatulllah

with one comment

Tuan Haji Ismail Adnan pulang ke rahmatullah pada Jumaat, 23 November 2007.
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh Allahyarham.
Amin

Allahyarham Tuan Haji Ismail Adnan (depan tengah) bersama-sama keluarga yang ketika itu masih muda. Gambar dipetik dari laman blog beliau

Barangkali ramai pembaca blog ini tidak mengenali Tuan Haji Ismail Adnan. Saya juga bukanlah sering berhubung dengan Allahyarham yang bernikah dengan orang Seremban ini. Saya mengenali Allahyarham ketika menyertai PEN. Tetapi setiap kali ke Johor apabila menerima undangan dari Yayasan Warisan Johor, pastinya kami bertemu kerana Allahyarham pernah bertugas di salah satu bahagian YWJ iaitu Bahagian Latihan dan Latihan (IKLAS) sebagai penolong pengarah.

Allahyarham juga pernah aktif dalam PEN dan hendak dijadikan cerita, anakanda beliau – Khadijatul Ismalasari merupakan junior saya sewaktu di SMKA SHAMS, Seremban. Kali terakhir bertemu Khadijatul ketika IKLAS/YWJ bekerjasama dengan PEN untuk Majlis Memperingati Dato’ Onn sekitar April 2006 di Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban. Saya fikir, itu juga kali terakhir saya bertemu dengan Allahyarham. Selepas daripada itu, saya sudah tidak kerap ke Johor lagi.

Justeru, menerima SMS lewat malam tadi daripada anakanda beliau agak mengejutkan apatah lagi Allahyarham masih lagi mengemaskini blognya sehari sebelum meninggal dunia.

Al-Fatihah

Written by Nisah Haron

November 24, 2007 at 6:00 am

Dikirim dalam Al-Fatihah

Laman PEN – kemaskini

leave a comment »

Beberapa gambar & makluman buku-buku karyawan Negeri Sembilan yang telah dilancarkan YAB Menteri Besar NS di laman PEN.

Sila ke sana.

Written by Nisah Haron

November 22, 2007 at 4:35 pm

Dikirim dalam PEN

Sekitar ASNS 2007

with 4 comments

Bersama-sama Siti Jasmina Ibrahim sebelum majlis bermula

Beberapa kali mahu menulis entri tentang ASNS terpaksa ditangguhkan. Mungkin ada yang sudah membaca berita ini dari laman teman-teman yang lain. Namun, untuk tujuan rekod, saya tuliskan juga satu entri sekitar malam penyampaian Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007 (ASNS)

Bagi mahu mengetahui keputusan penuh, sila terus ke laman PEN.

Pada ASNS kali ini, saya tidak banyak terlibat secara langsung. Apatah lagi si kecil saya kurang memberi ‘kerjasama’ pada malam tersebut. Lenguh-lenguh tangan, bahu dan pinggang apabila dia memilih tidak mahu berenggang.

Alhamdulillah, paling menyeronokkan dalam menghadiri majlis begini, bukanlah pada anugerah yang diterima. Pada saya, itu bonus. Bertemu sahabat-sahabat penulis dan mereka yang tidak disangka-sangka berjumpa, itu lebih bermakna.

Menteri Besar pula tidak putus-putus memberikan sokongan. Pada mulanya beliau tidak dapat hadir pada malam tersebut tetapi petang sebelum majlis berlangsung, urus setia mendapat makluman bahawa Menteri Besar telah tolak tepi acara lain dan akan hadir. Semangat kami yang pada awalnya kuncup kerana MB tidak dapat hadir, kembali ceria dan segar-bugar mendapat semangat baru. Bukan senang hendak dapat MB yang menyokong aktiviti-aktiviti sastera begini.

Turut dilancarkan beberapa buah buku, termasuklah dua buah antologi karyawan muda. Maklumatnya turut boleh dibaca di laman web PEN.

Sayang sekali, tokoh Anugerah Sastera Negeri – Latiff Mohidin tidak dapat hadir atas sebab-sebab kesihatan. Jika tidak, majlis tersebut tentu akan jadi tambah meriah.

Alhamdulillah juga, saya mendapat penghargaan bagi beberapa kategori. Boleh lihat di laman biodata saya untuk maklumat yang lebih terperinci.

Walau bagaimanapun, rakaman terima kasih dari saya mewakili PEN atas segala kerjasama yang telah diberikan bagi menjayakan majlis ini.

Dari kiri : Elaira, Nisah, Haniem (guru TKC dan sahabat lama sejak di SMKA SHAMS), Auni (Tokoh Nilam NS) dengan si kecil saya, & Puan Wong (guru TKC)

Jika berkesempatan nanti, saya akan upload gambar-gambar lain di fotopages, insya-Allah.

Written by Nisah Haron

November 16, 2007 at 6:00 pm

Dikirim dalam PEN

Travelog Mini – Hari Raya di Rumah-rumah SN

with 8 comments

Semalam cuti umum. Saya dan beberapa sahabat penulis mengambil kesempatan menziarahi dua orang tokoh besar dalam kesusasteraan Melayu. Perancangan ini sudah lama dibuat, dan jika tidak diteruskan entah bila lagi, kami akan berkesempatan untuk menziarahi mereka.
  1. Rumah SN Arena Wati
Beliau tinggal di kawasan Kepong, Kuala Lumpur. Mencari rumah itu, kami harus menggunakan bantuan seorang pegawai DBP yang tinggal di sekitar Bandar Manjalara. Jika tidak, harus kami sesat barat mencari rumah Pak Arena. Andainya selepas ini, saya disuruh kembali ke rumah tersebut, pasti akan sesat barat sekali lagi, kalau pun boleh sampai.
Pak Arena sendiri yang menyambut rombongan kecil kami. Membuka mangga pada pintu bergril dan turut disambut isteri beliau. Dalam kesibukan tinggal berdua, isterinya masih sempat menghidangkan nasi lemak berlaukkan sambal udang untuk hidangan kami. Katanya, mengapa tak beritahu hendak datang. (Ketua rombongan menelefon Pak Arena sejurus kami sampai di pintu pagar rumahnya.) 🙂 Alasannya, kami tak mahu menyusahkan mereka beriya-iya menyediakan hidangan.

Leka sungguh mendengar Pak Arena berkisah dari satu ceritera kepada yang lain seolah-olah saya sedang membaca novel-novel beliau. Tetang kisah satu tempat bernama Jempang dalam novelnya “Sudara” yang dikaji seorang arkeologis berdasarkan novel itu sendiri, dan banyak lagi.

Saya yang membawa bersama-sama senaskhah Memoir Arena Wati – Enda Gulingku, sempat meminta Pak Arena mengautograf karya besarnya itu.

“Ini milik NISAH HARON”, tulisnya di atas halaman judul buku tersebut.

Gambar di atas, saya dan si kecil bergambar berlatarbelakangkan perpustakaan Pak Arena. Itulah dia penulis mestilah mempunyai sekian banyak pembacaan di belakangnya, sebelum mahu menjadi penulis besar. Mengingatkan saya kepada kata-kata seorang calon novelis (yang kononnya mahu menulis novel besar), “Saya tak baca, novel-novel ni.” Hahaha, tak baca novel orang lain, tapi mahu menulis novel.

Pertemuan hampir 2 jam itu memberi banyak makna dalam penulisan kami semua. Semangat yang ditunjukkan oleh Pak Arena benar-benar membakar kami semua. Katanya, “Saya sedang menulis novel baharu. Baru bab satu, malam tadi saya kerjakan, sampai sekarang (jam 2. 00 petang) belum tidur lagi!”

Ah, Pak Arena dalam usia yang demikian, masih lagi gigih. Mengapa kita yang jauh lebih muda ini mudah sekali putus harap dan mudah kecewa dalam menulis.

Rumah Pak Arena kami tinggalkan bersama-sama pesanan azimat yang dibekalkan. Destinasi seterusnya ialah rumah SN Abdullah Hussain.

2. Rumah SN Abdullah Hussain

Gambar: Pak Lah berpesan kepada si kecil saya “Bila besar nanti, menulis macam ibu!”

Dari Kepong, bertolak ke Petaling Jaya setelah usai solat Zohor di Masjid Sri Segambut. Ingat-ingat lupa kedudukan rumah Pak Lah. Tetapi berjaya juga kami jejaki.

Ada sinar gembira di matanya tatkala rombongan kecil kami singgah di laman rumahnya. Tak sangka pula, Pak Lah yang biasanya menerima tetamu di kamar peribadinya, sanggup keluar melayan kami di laman.

Terlopong si kecil saya, bertemu Sasterawan Negara itu (yang ketiga ditemui selepas Pak Arena & Pak Samad – terdahulu daripada ini). Ini juga kali pertama saya berpeluang bertemu Pak Lah setelah diberitakan sedikit uzur tidak lama dahulu.

Pak Lah masih utuh ingatannya terhadap banyak perkara. Pak Lah turut menyuarakan kebimbangan apabila buku-buku yang baik tidak sampai pada khalayak. Antara yang paling menyentuh ialah apabila ‘orang kedai buku’, katanya, meletakkan novel Imam tulisan beliau di rak buku-buku agama, bukannya di rak buku sastera/fiksyen.

Kami juga mesra dilayani isteri beliau dan kami sempat berbual tentang anak sulungnya, yang juga penulis besar masa kini – Ahmad Patria Abdullah. Datin Seroja menceritakan bagaimana beliau amat mementingkan disiplin anak-anak sewaktu mereka kecil, apatah lagi Pak Lah sibuk dengan aktiviti penulisan. Jadi, anak-anak dilatih gemar membaca sejak awal. Datin juga mengesahkan kisah yang pernah diceritakan sendiri oleh Abang Pat – iaitu dia pernah membaca naskhah Lord of the Rings dalam usia 11 tahun yang dipinjam dari Perpustakaan British Council.

3. Rumah Allahyarham Dr. Othman Puteh

Kunjungan ke rumah Puan Timah Baba (balu allahyarham) di Bandar Baru Bangi, kami sempurnakan juga. Walaupun ini bukanlah kami pertama saya ke rumah beliau, singgahan kami turut mengundang syahdu di hati beliau. Pastinya rombongan kecil kami yang amat akrab dengan Allahyarham Dr. Othman dan Hizairi itu mengundang pelbagai cerita lama. Bimbang juga kami pada awalnya, jika kehadiran kami hanya akan menggamit perasaan sedih yang tak mungkin hilang begitu sahaja.

Pun, Puan Timah berasa sungguh dihargai dengan kehadiran kami. Menghargai ingatan kami terhadapnya serta ingatan kepada mereka yang hilang juga telah tiada.

Sempat bersolat maghrib sebelum bertolak pulang dari rumahnya. Si kecil saya pula sudah mula meragam keletihan melayani tokoh-tokoh yang besar dalam jagat kesusasteraan. Kami pulang dengan rasa amat bersyukur, kerana Allah telah mengizinkan perjalanan dan pertemuan kami dengan insan-insan penting ini.

Written by Nisah Haron

November 9, 2007 at 7:17 am

Dikirim dalam Sasterawan Negara

Terbit Sendiri, ISBN, dll

with one comment


Seminggu dua ini sedikit sibuk mengerjakan dua buah buku yang harus terbit sempena Majlis Anugerah Ilmuan dan Sastera Negeri Sembilan 2007.

14 November tu bukannya jauh lagi. Malah tak sampai seminggu dari sekarang. Ada 3 buah buku yang bakal terbit sempena acara sastera yang paling besar di Negeri Sembilan ini.

Buku-buku tersebut ialah Biografi Agus Salim – Dia Penggerak Sastera yang Setia. Buku ini khusus tentang mantan Ketua Satu yang juga suami kepada Puan Mahaya Mohd Yassin. Buku ini diuruskan oleh Tuan Haji Zulkifli Abu (Ketua Dua, PEN).

Saya diminta menguruskan penerbitan Antologi Cerpen Karyawan Muda Darul Khusus dan juga Antologi Puisi Karyawan Muda Darul Khusus. Setelah mendapat bahan yang secukupnya, pihak editorial bersetuju menamakan :

  • Sebelum Bintang Berguguran (antologi cerpen)
  • Epal Merah (antologi puisi)

Kerja-kerja penerbitan bukan sekadar mengumpul ataupun sekadar copy & paste. Kerja-kerja layout juga bukan sedikit dan memerlukan penelitian jitu. Amat meletihkan tetapi kedua-dua antologi ini mesti terbit pada tarikh yang telah dijadualkan. Maruah karyawan muda Negeri Sembilan juga sedang dipertaruhkan di sini.

Urusan penerbitan juga termasuk mencari pencetak yang berwibawa serta mendapatkan ISBN (international standard book numbers) – seperti gambar barcode di atas, dan juga CIP (catalgue-in-publication) yang bakal melengkapkan penerbitan sesebuah buku. Dengan ISBN, buku tersebut mendapat tempat di perpustakaan dan mempunyai sistem rujukan yang unik.

Ramai juga yang bertanya kepada saya tentang penerbitan sendiri dan juga bagaimana mendapatkan ISBN. Insya-Allah, jika ada kesempatan, saya akan susulkan sebuah entri khusus tentang ini. Ingatkanlah saya, kalau-kalau terlupa.

Semasa Majlis Anugerah Sastera Negeri Sembilan juga, bakal dilancarkan tidak kurang 20 buah karya baru hasil tulisan karyawan negeri ini tidak kira yang mapan ataupun baharu – termasuklah buku Sdr. A. Latip Talib, Puan Mahaya, Ida Munira, Dr. Rosli Saludin, Dr. Rahman Kaeh, saya dan ramai lagi yang sempat dikenalpasti karyanya untuk dilancarkan. Jika ada pengarang baru ataupun lama dari Negeri Sembilan yang mempunyai karya terbitan 2007/2008, boleh dikemukakan satu buku untuk kami masukkan dalam senarai dan insya-Allah turut dilancarkan.

Mudah-mudahan novel terbaharu saya Puisi Untuk Esdyzuar sempat siap untuk turut sama dilancarkan pada malam tersebut.

Written by Nisah Haron

November 6, 2007 at 7:17 pm

Dikirim dalam ISBN

Komen Bernas Jiwa Rasa

with 11 comments

Dalam dunia blog berbahasa Melayu, khususnya blog tentang dunia buku, kita tidak boleh langsung mengenepikan blogger Jiwa Rasa (JR). Walaupun JR tidak menulis setiap hari di blognya – Dari Jiwa Rasa – namun, setiap entrinya padat, bernas dan boleh membuat kita tertarik untuk mendapatkan buku yang telah JR nilai.

Saya berpendapat JR wajar mendapat pojok khusus yang memperkatakan tentang buku di media cetak. Kita amat kurang sekali pembaca kritis seperti JR yang sanggup pula menulis sesuatu tentang buku yang dibacanya. Komen JR bukanlah sekadar ‘buku ini best dibaca’, atau ‘saya amat tertarik dengan perwatakan heronya’ ataupun ‘heroinnya digambarkan jelita’; malah JR selalunya pergi lebih jauh lagi.

Entri JR yang terkini, tidak dapat tidak menarik perhatian saya. Ya, saya pernah membaca Tuhan Manusia dan bukan entri tentang buku itu yang mahu saya katakan.

Saya petik ayat berikut :

Kita juga tidak kurang penulis fiksyen dari golongan agama. Malangnya untuk mencari mereka yang sungguh-sungguh berdakwah dan memanfaatkan ilmu dalam bidang penulisan, bagaikan mencari jarum dalam di tengah padang rumput. Kalau adapun, akan mencari jalan mudah menulis cerita cinta yang dikatakan novel Islami. Kononnya sevuah novel sudah jadi Islami bila sering sebut assalamulaikum dan bila watak di dalamnya suka ber`’ana anta. Geli geleman tenggorok tua saya bila baca cerita cinta enta-enti, akhawah akhawat ini. Zaman saya membaca cerita begitu sudah berlalu. Umur sudah tua. Banyak lagi buku bagus yang tak akan sempat saya baca.

Betapa benar!!!

Kata JR lagi :

Saya tak berselindung dengan mengatakan saya kecewa dengan sesetengah lulusan agama yang tidak berlaku adil dengan ilmu yang mereka perolehi. Mereka segan berdakwah dan kedekut ilmu untuk dikongsi, menyimpan ilmu untuk diri sendiri, mungkin mahu dibuat bekal masuk syurga seorang diri.

Ini juga sebahagian daripada kebimbangan saya terhadap beberapa lulusan luar negara (khususnya bakal graduan dari Timur Tengah) apabila saya membaca karya-karya mereka. Kepada yang baru menulis karya sulung, ya, mungkin saya harus memberi ruang kepada mereka untuk mula bertapak.

Tetapi, kalau terlalu lama leka dan menulis hal-hal agama secara luaran (superficial), sampai bila pula pembaca berkualiti seperti JR (dan mereka yang seangkatan) harus menunggu. Sedikit sebanyak saya berasa tercabar dengan tulisan JR meskipun sekadar kena tempiasnya. Ya, saya bukan lulusan agama per se, pun itu tidak mewajarkan saya untuk mengenepikan hal-hal keagamaan dalam karya.

Saya tak fikir bahawa semua penulis lulusan agama ini harus menjadi seperti Faisal Tehrani. Tetapi saya mahu golongan ini (kebanyakannya masih menuntut), segera ‘membesar’ dalam penulisan. (Jika benar, mahu jadi penulislah). Cukuplah penulis pop menulis karya berbumbukan cinta melankolik dan resah gelisah. Kita yang terdidik dalam bidang lebih berilmu ini haruslah melahirkan sesuatu yang lebih ‘serius’ daripada itu. Mahu menulis perlulah banyak membaca buku berkualiti. Kalau asyik mengulang baca karya mudah, dan tak perlu fikir banyak, hasil tulisan juga akan jadi demikian.

Malah, saya juga tercari-cari agamawan muda yang boleh berdebat dalam karyanya langsung boleh (jika mahu) diketengahkan apabila orang bukan Islam mencerca agama ini. Ooops, jangan mudah terpesona dengan watak “Fahri” dalam Ayat-ayat Cinta. Saya tidak ada masalah dengan pengarangnya, tetapi saya tak fikir novel Ayat-ayat Cinta sudah cukup Islamik (dalam erti kata, ada wacana di dalamnya). Faisal pernah bertanya pendapat saya tentang novel ini, tanpa menangguh sebarang nafas, saya katakan novel ini berunsur pop kalau pun tidak dinamakan novel pop.

Nanti dulu, usah cepat melatah. Saya tak kata novel pop Islami itu tidak baik. Namun, entri ini bukan mahu memperkatakan tentang novel ini.

Ayuh, adinda-adinda di Timur Tengah dan mereka yang terdidik dalam disiplin agama sepenuhnya! Jika benar mahu berjuang, mahu berdakwah dengan mata pena. Pertajamkanlah mata pena kalian. Apabila membaca, usah dihad-hadkan. Baca juga buku-buku yang baik dalam apa bahasa sekalipun yang kita semua fahami. Saya tahu ramai lulusan agama (bukan semua) yang bermasalah sama ada untuk bertutur, membaca apatah lagi untuk memahami Bahasa Inggeris.

Nah, inilah cabarannya. Sudahlah agamawan kita hanya bercakap hal-hal agama yang kecil-kecil, bila pula nak satukan agama dengan cabang-cabang ilmu yang lain? Sudahnya, mereka yang berada dalam kelompok ‘agama’ ini ketinggalan dalam memperkatakan urusan ekonomi, sains, undang-undang, perubatan dan bidang lain yang tidak kurang penting (menjadi fardhu kifayah pula). Takkan mahu terus diam apabila dikatakan agamawan hanya minat bermain politik. Itupun sekadar main-main ‘tepi-tepi’ sahaja.

Takkan nak biarkan Karen Armstrong terus berbicara tentang Islam. Di mana agamawan kita? Masihkah mahu mempertahankan bahawa ‘syurga aku’ lebih baik daripada ‘syurga engkau’? Ataupun leka mengkafir sesama Islam, sedangkan orang di luar bertepuk tangan keseronokan.

Ya, saya sangat setuju bahawa sekadar ada kalimah ‘Bismillahirrahmanirrahim’ ataupun setiap wataknya tidak lupa memberi salam kala bertemu dan berpisah, masih belum menjadikan karya itu Islami sifatnya.

Dalam karya Islami juga ada yang pop dan juga ada yang berwacana. Sekali lagi, ini bukan soal siapa betul ataupun siapa salah. Persoalannya ialah, siapakah antara kita yang berani berfikir?

Terima kasih JR! Teruskan menulis komen-komen terhadap buku yang dibaca. Dunia buku tidak meriah jika tidak ada kelompok pembaca kritis seperti JR. Tidak lupa juga pembaca/penulis Khairusy Syakirin yang sedang membina muatan blognya.

** Nota tambahan : Mesti Baca juga tulisan SN Shahnon Ahmad “Novel Pop Novel Serius” dalam pojok bulan beliau Pabila Hujan Turun (Dewan Sastera November 2007)

Written by Nisah Haron

November 2, 2007 at 2:34 pm

Dikirim dalam Jiwa Rasa