Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Disember 2006

Pakej Buku di Ujana Ilmu

with 10 comments

~ PAKEJ SASTERAWAN KEMBALI DI UJANA ILMU ~

Ujana Ilmu menawarkan PAKEJ SASTERAWAN.
Dapatkan 3 buah buku dengan harga RM50 sahaja!

Koleksi cerpen terbaik Faisal yang belum pernah dibukukan. Mengandungi 30 buah cerpen, termasuk cerpennya, Cahaya Pada Jiwa, Ratu Kosmetik, Cik Siti Mustika, dan Ingin Jadi Nasrallah. Karya-karya Faisal rata-rata bersifat sederhana tetapi kaya dengan estetika makna. Inilah buah tangan terbaharu Faisal selepas novel terkininya, Surat-surat Perempuan Johor.

Harga : RM28.00

Nisah seringkali membikin kontroversi dalam karyanya. Ramai yang merasa tercabar apabila membaca cerpen-cerpennya. Kini Nisah menghimpunkan semua cerpennya yang berada dalam kategori dewasa untuk dihakimi sendiri peminatnya. Cerpen-cerpen disusun secara kronologis bagi memudahkan pembaca menghadami dan melihat sendiri jalur perkembangan penulis wanita ini.

Kumpulan cerpen ini merupakan himpunan yang kedua selepas “Impian Tsu-Ryi”.

RM22.00

SN A. Samad Said seringkali dikaitkan dengan karya-karyanya yang besar apatah lagi puisi-puisi beliau amat mengujakan. Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa SN ini boleh menulis puisi untuk kanak-kanak. Kumpulan Puisi Rindu Ibu ini merupakan buktinya. Ia bukan sahaja mudah dihadam oleh kanak-kanak tetapi amat sesuai dinikmati semua lapisan pembaca. Ada yang bersifat nostalgik dan mengembalikan kita kepada kenangan lampau. Dalam masa yang sama, ia menghubungkan kita dengan generasi hadapan.

Rindu Ibu – Edisi Santai ini amat mudah untuk dibawa ke mana-mana.

RM10.00

Pakej Sasterawan
Kandungan : 1. Kekasih Sam Po Bo – Faisal Tehrani
2. Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus – Nisah Haji Haron
3. Rindu Ibu (Edisi Santai) – SN A. Samad Said
Harga Pakej : RM50

Tawaran istimewa untuk para pelanggan Ujana Ilmu.
Pakej Sasterawan yang menjimatkan.
Dapatkan 3 buah buku pilihan Ujana Ilmu dengan harga istimewa.

1. Kumpulan Cerpen “Kekasih Sam Po Bo” (Harga biasa : RM28)
2. Kumpulan Cerpen “Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus” (Harga Biasa : RM22)
3. Kumpulan Puisi “Rindu Ibu” (Harga biasa : RM10)

Jumlah : RM60 (Harga biasa)

Dengan pakej ini pelanggan menikmati potongan sehingga RM10!

Rebutlah peluang ini.

Hanya di Ujana Ilmu.

Klik pautan ini : Pakej Sasterawan

* Harga pakej tidak termasuk kos penghantaran.

Written by Nisah Haron

Disember 29, 2006 at 4:00 pm

Dikirim dalam Pengumuman

Mengikut Selera Ramai

with 8 comments

Saya tertarik dengan satu daripada entri Puan Ainon di Unika PTSnya. Beliau ada menulis tentang “Tema Cinta 1.0 yang Sudah Basi“. Betapa saya sangat setuju.

Demikian juga dengan The Naked Climatologist yang menulis dengan sarkastik tentang isu novel-novel cinta murahan tetapi mempunyai nama watak yang canggih dan kulit buku yang amat memujuk lagi menawan.

Tema yang disebut Puan Ainon itu jugalah yang dinamakan sebagai tema-tema klise. Yang sudah ditulis orang sejak dahulu kala. Ada seorang hamba Allah yang memberi respon – kalau tulis tentang cinta itu tak boleh, cinta ini tak boleh, sudahnya nak tulis tentang apa? Cinta lesbian? Cinta gay?

Hmm… nampaknya pembaca tersebut tidak mendapat pencerahan ilmu. Tak mengapa. Tak salah bertanya.

Hakikatnya, semua tema yang ada dalam dunia ini sudah ditulis. Jadi tidak akan wujud tema baru sampai bila-bila pun. Apatah lagi tema cinta yang klise seperti yang dinamakan sebagai Cinta 1.0. Salahkah menulis tentang cinta? Tentu sahaja tidak. Malah cinta dan kasih sayanglah yang akan melahirkan generasi yang kukuh.

Hal ini berbeza dalam penulisan. Yang menjadikan penulisan bertemakan Cinta 1.0 ini gagal ialah kerana pembinaan watak yang sangat lemah. Ini sudah banyak kali terbukti dalam banyak novel yang bersifat demikian. Kemudian, yang kononnya hendak menulis novel cinta pula membaca novel-novel 1.0 ini dan akhirnya dengan penuh stereotaip, menghasilkan produk yang serupa.

Tidak ada sebarang pembaharuan.

Perwatakan yang kukuh akan menghasilkan karya yang berkesan. Sesebuah cerita yang baik boleh menjadi evergreen kerana watak – perwatakan yang mantap.

Kata kuncinya – watak yang bersifat memorable.

Saya selalu beri ‘pop kuiz’ dalam ceramah-ceramah sastera / penulisan di mana-mana. Soalan utama yang diberikan ialah berikan judul novel dan nama pengarangnya. Bahagian ini juga selalunya mereka gagal. Itu belum tanya lagi tentang watak yang paling diingati dan mengapa.

Apa sebab mereka tak boleh ingat judul dan nama pengarang? Satu mungkin dia mempunyai kapasiti memori yang sangat rendah. Tapi takkan semuanya begitu. Yang kedua, dalam kes banyak membaca novel-novel cinta yang ghairah dan penuh emosi ialah tidak ada watak yang wajar diingati (no character worth remembering). Penulisnya tidak memberikan alasan mengapa watak ini ialah watak evergreen yang boleh dijadikan panduan, role model yang langsung boleh dikaitkan dengan judul dan akhirnya pengarang.

Pembaca yang baik, pasti mengingati salah satu judul ataupun pengarang kepada buku-buku yang baik.

Jadi, kepada penulis / bakal penulis yang mahu kononnya mahu mengikut selera ramai – trend and kemahuan pembaca semasa, ya, tidak mustahil anda boleh buat duit dengan cara begini. Tetapi, sebagai penulis, jangkahayat jadi pendek.

Tenggelamnya Kapal Van Der Vick tulisan Hamka juga sebuah kisah cinta, tetapi lihat bagaimana pembinaan watak dan jalan cerita yang sangat memorable. Siapa yang tidak terkesan selepas membacanya? Dan buku ini tidak bersifat sezaman walaupun penulisnya memilih satu zaman yang khusus bagi menyampaikan wacananya. Kisahnya sangat relevan dan boleh diaplikasi dari zaman dahulu hinggalah zaman hadapan.

Adakah Hamka kaya raya dengan karya-karyanya?

Contoh lain : 1515 (Faisal Tehrani) – watak : Nyemah Mulya
(Dalam satu wawancara di Negeri.fm, ada seorang hamba Allah yang bertanya di manakah makam Nyemah Mulya di Melaka)

Sebab itu dari dahulu saya telah menulis tentang ‘mahu jadi pengarang bunga api ataupun pengarang lilin‘.

Tapi ramai yang ‘marah-marah’ apabila saya menulis entri itu dulu.

Written by Nisah Haron

Disember 28, 2006 at 8:10 am

Dikirim dalam Penulisan

Ulasan Bengkel Novel Popular

with one comment

Ada beberapa komen dan e-mel yang meminta saya melaporkan tentang Bengkel Novel Popular tempoh hari. Bagi saya tiada suatu pun yang mengujakan. Sesungguhnya, ia sekadar satu program bicara karya banyak judul buku berbanding bicara karya satu buku ataupun 3 buku dalam satu-satu majlis.

Tiada dapatan akademik ataupun bersifat ilmiah kerana setiap panel diberi sebuah buku untuk dikupas. Jadi, panel tidak mungkin membuat sebarang perbandingan. Yang perlu dicari ialah sama ada novel yang diperkatakan itu mempunyai nilai komersialisme ataupun intelektualisme.

Untuk yang masih ingin tahu, baca tulisan Sdr Razali Endun dalam Mingguan Malaysia hari ini yang berjudul “Bengkel Novel Popular Hambar“.

Written by Nisah Haron

Disember 24, 2006 at 9:28 am

Dikirim dalam Uncategorized

Memotivasikan Diri

leave a comment »

Bukan mudah untuk memotivasikan diri.

Tapi setiap hari Isnin dan Khamis, suka tak suka, ceria atau tak ceria, saya mesti mulakan hari dengan penuh rasa ‘termotivasi’. Untuk mereka yang di Terengganu, saya selalunya ke udara pada hari-hari tersebut jam 7.45 pagi untuk segmen motivasi pagi.

Adakalanya, kalau berkesempatan, saya sudah menyediakan teks skripnya pada sebelah malam. Tetapi, selalunya taklah selalu berkesempatan. Jadi, paginya selepas subuh, saya akan pandang kiri, pandang kanan. Tengok sikit mana-mana buku motivasi yang ada untuk mencari ilham.

Bukan setakat itu sahaja, setiap motivasi saya mesti ada pantun yang ada kena-mengena dengan topik yang akan diperkatakan. Sesekali terasa seperti mendera diri sendiri, tetapi ini juga untuk kebaikan semua pendengar dan saya juga. Jadi, sambil memikirkan pantun dan topik untuk pagi itu, saya mesti bersedia untuk menjadikan diri terlebih dahulu ceria.

Sampai hari ini, saya sendiri pun tak pasti apakah respon daripada pendengar Terengganu.FM. Maklumlah 5 minit sahaja setiap kali. Mungkin ramai juga yang terlepas slot tersebut. Kalau yang mendengar pun mungkin dalam kereta dalam perjalanan ke tempat kerja. Itu belum lagi dicampur dengan saingan daripada stesen radio lain.

Mulai Januari 2007, Pahang.FM pula menawarkan slot yang serupa kepada saya. Cuma saya perlu ke udara sekali sahaja seminggu iaitu setiap Jumaat jam 6.50 pagi!

Aduhai, saya harus memastikan diri lebih bermotivasi lebih awal daripada biasa.

Itu baru tentang memotivasikan orang lain supaya lebih bermotivasi. Bagaimana kalau dalam menulis? Siapa yang mahu memotivasikan diri kita atau memberikan semangat supaya inspirasi untuk menulis tidak patah di tengah hari?

Bukan mudah untuk memotivasikan diri sendiri…

Written by Nisah Haron

Disember 23, 2006 at 2:35 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Laman-laman baru (& baru dijumpai)

with 6 comments

(Gambar ini tiada kena mengena dengan entri. Tetapi saya tetap hendak letak di blog. Gambar diambil sewaktu sesi minum petang – makan pengat psang lagi – selepas Bengkel Novel Popular yang juga bertindan dengan MPR. Dalam gambar, saya dikelilingi 3 kuntum bunga: bunga mawar, lili & melur (Mawar Shafie, Lily Haslina Nasir & Siti Jasmina Ibrahim.)

Sebaik-baik sahaja selesai Minggu Penulis Remaja 2006 baru-baru ini, adik-adik peserta telah mengambil inisiatif mewujudkan satu blog khusus yang dipanggil MPR2006. Saya percaya perkara ini disebabkan beberapa orang peserta memang sudah ada blog sendiri dan ada juga yang teruja untuk memiliki blog sendiri setelah melihat beberapa mentor dan peserta sudah memilikinya.

Blog ini ada bagus dan ada juga kesan kurang baik. Blog boleh menjadi ruang ekspresi penulisnya. Juga memaklumkan sesuatu kepada pembaca. Blog yang baik tentulah yang memberi maklumat jika tidak ilmu, kepada pengunjung. Satu sifat penulis blog dan pembaca blog – ialah blog bersifat addictive. Kalau niat hendak menulis ketika komputer dihidupkan. Tulis sahajalah. Usah belayar. Nanti tak sedar 3 jam berlalu tanpa sebarang tulisan.

Saya juga berharap adik-adik dapat mengimbangkan supaya tidak sekadar prolifik di blog tetapi prolifik di media cetak juga.

Turut dikesan ialah blog penyair terkemuka negara – Zurinah Hassan! Beliau bukan sahaja tekun menyudahkan Ph.D (khabarnya sudah pun selesai, hanya menunggu masa untuk dipanggil Dr. Zurinah), tetapi masih sempat menulis sesuatu di blognya.

Mungkin ada banyak lagi blog di luar sana yang tidak sempat dikesan. Namun, bukan semua blog itu bermanfaat dibaca. Ada yang bersifat agak peribadi dan jarang-jarang pula dikemaskini. Lantas, tidak memberi sebab kepada pengunjung untuk hadir semula.

*******

Di rumah saya jarang mendengar radio, kalau mendengar pun sambil memandu. Itu pun bukannya sepanjang masa. Tetapi baru-baru ini saya dapati KlasikNasional sudah boleh buat live streaming. Jadi bolehlah juga mendengar beberapa lagu nostalgia lagi klasik sewaktu menghidupkan laptop.

Pautannya sudah saya wujudkan pada sidebar blog saya.

Written by Nisah Haron

Disember 22, 2006 at 8:42 am

Dikirim dalam Uncategorized

KEPENTINGAN SASTERA DALAM KEHIDUPAN

with 5 comments

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Sebuah karya sastera yang mewakili bangsa dan negaranya akan memberikan beberapa perkara, antaranya :

  • jati diri
  • patriotisme
  • rasa syukur

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :


Pertama anak manusia
Anak yang tahu asal jadinya
Yang tahu membalas guna
Kecil cencilak padi
Besarnya cencilak padang
Kecilnya duduk mengaji
Besarnya tegak sembahyang
Mengaji syarak dengan adat
Mengaji salah dengan silih
Mengaji aib dengan malu
Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat
Yang setia memegang amanah
Duduk tahu akan dirinya
Tegak tahu akan maruahnya
Cakapnya berhingga-hingga
Baiknya berpada-pada
Sifatnya berpatut-patut
Patut bergaul sama sebaya
Patut duduk dalam majlis.

Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan.

Contoh :
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun.
….
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara’
….

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
…..
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.

….

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.

Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:


Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Sejarah telah pun merakamkan bahawa tokoh-tokoh sarjana di dalam dunia sains Islam seperti

· Al-Harth ibn Kaladah (Ahli perubatan Islam terawal dan juga seorang pemuzik berkebolehan)

· Al-Kindi (Bapa Falsafah Islam dan sasterawan)

· Al-Razi (tokoh perubatan dan pemuzik)

· Al-Farabi (tokoh falsafah dan pemuzik)

· Ibn Yunus (pakar astronomi dan sasterawan yang kreatif serta penyair paling prolifik)

· Ibn Maskawaih (doktor yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu-ilmu klasik)

· Ibn Sina (tokoh multi-disiplin yang memulakan pengajiannya di bidang bahasa dan sastera)

· Ibn Haitham (Sarjana sains dan falsafah yang juga menulis tentang sastera)

dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh multi-disiplin yang menjadi sastera sebagai sebahagian daripada pengisian jiwa dan rohani mereka.

Hal yang sama turut berulang pada zaman permulaan di Andalus. Nama-nama seperti Abu Al-Sult ibn Abdul Aziz, Ibn Al-Sayid Al-Batalyausi, Ibn Bajjah dan Ibn Khaldun tidak boleh dicicirkan daripada senarai sasterawan Islam yang turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain.

Islam berada di puncak ketamadunannya apabila ramai di kalangan sarjana ini mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. Rekod-rekod yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman ini tidak mengkategorikan setiap ilmu yang ada lantas menghalang golongan tertentu daripada melintasi disiplin ilmu yang lain. Sarjana dunia Islam ini dapat dilihat sebagai mereka yang amat mencintai ilmu dan mempelajari setiap ilmu serta benar-benar mempraktikkan kata-kata ‘tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad’.

Kesimpulannya, sastera itu ialah sebahagian daripada kehidupan. Usah dinafikan kepentingannya.

* Kertas ini pernah dibentangkan di Kolej MARA Banting di hadapan pelajar yang bakal ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

Written by Nisah Haron

Disember 21, 2006 at 1:04 pm

Dikirim dalam Penulisan

Ucapan Penutup Wakil Mentor MPR 2006

with 11 comments

Setelah hampir seminggu kita berkampung di Bagan Pinang, Port Dickson dan kemudian ke DBPKL, kita sudah pun sampai ke penghujung acara dan penghujung pertemuan. Namun, bagi kami, barisan mentor, ini bukannya suatu perpisahan. Kami amat yakin bahawa kita akan berjumpa lagi.

Bagi penulis, mereka akan kembali bertemu apabila mereka terus berkarya. Walaupun tidak bertemu secara bertentang mata, kita akan bersua di akhbar, majalah ataupun mana-mana media dan tentunya dalam majlis-majlis sastera.

Mulai daripada hari pertama kita berkenalan, adik-adik telah diterapkan dengan permainan mudah seperti ‘melukis daun’, ‘menulis umur sendiri & ‘melukis orang berlari’. Permainan itu nampaknya seperti tiada apa-apa, tetapi di situ sahaja kami dapat melihat kreativiti peserta, usaha dalam mencari kelainan dan bagaimana membina satu plot cerita yang mudah.

Kami juga dapat mengenalpasti tahap bacaan para peserta apabila diuji tentang nama-nama karya dan nama-nama pengarang mapan, seperti Sasterawan Negara. Ramai juga yang gagal menjawab.

Kami berharap, permainan-permainan tersebut dapat dijadikan iktibar untuk terus meningkatkan pembacaan, pengetahuan dan meninggikan kadar kepedulian terhadap dunia sastera kita.

Hari ini umat Islam telah diserang dengan liberalisme. Semuanya sama rata. Agama itu sesuatu yang bersifat peribadi dan personal. Kalau seseorang itu tidak sembahyang, orang lain seolah-olah tidak ada hak untuk menegur lagi.

Begitu juga dengan kebejatan yang berlaku kepada masyarakat seni – termasuk masyarakat sastera. Buktinya: hari ini DBP telah menganjurkan Bengkel Kajian Novel Popular. Respons daripada para penulis novel popular ialah – mereka juga penulis dan semua penulis itu sama – tanpa mengira mereka itu penulis pop ataupun penulis sastera.

Sedangkan kita tahu nilai sebenar sesebuah hasil seni.

Tidak mungkin kita samakan sehelai kain songket tenunan asli dengan kain jenis poliester yang lebih mudah dikilangi dan harganya juga murah.

Isunya, bukanlah penulis sastera ini hebat dan berada dalam kelasnya yang tersendiri tetapi tanggungjawab sebagai penulis dengan bakat yang dikurniakan itu dipegang sehingga sampai di Padang Mahsyar kelak.

(Barisan mentor – dari kiri : Raihani Mohd Said, Nisah Haron, Shamsudin Othman, Zaid Akhtar, Lutfi Ishak)

Para mentor amat berharap agar kami telah dapat membangkitkan kesedaran ini di kalangan peserta dan dalam masa yang sama adik-adik semua berusaha membina nama dalam penulisan dengan membina pemikiran yang tinggi dan sesuai untuk mencabar minda pembaca.

Hadirin yang dihormati,

Pada kesempatan ini, saya ingin menyampaikan salam takzim “Assalamualaikum” daripada seorang mantan MPR – Sdr Faisal Tehrani – yang sedang mengharumkan persada kesusasteraan kita di Jerman. Beliau amat berharap kesemua 22 orang peserta MPR bakal menjadi penulis-penulis besar dalam tempoh waktu terdekat.

Para mentor juga telah ditugaskan memantau anak-anak buah masing-masing supaya tiada yang ketinggalan dalam arena penulisan. Harapan kami semua, adik-adik teruslah berhubung dan memajukan karya kepada mentor masing-masing untuk kami panjangkan kepada pihak yang berkenaan.

Sampai masanya nanti, kami sangat-sangat percaya, adik-adik akan dapat berdikari dan membina keyakinan diri untuk menghantar karya ke media cetak tanpa melalui kami lagi. Pada ketika itu, kita akan menjadi setara dan setanding. Insya-Allah, kita akan bersaing secara sihat dan berlumba-lumba untuk menulis dan terus menulis!

Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ada beberapa berita baik kepada Peserta MPR 2006 :

a) Petang tadi saya sempat bersembang-sembang dengan Editor Dewan Sastera. 2 orang daripada peserta MPR 2006 akan disiarkan karyanya dalam ruangan ‘Tunas Cipta’ Dewan Sastera Februari 2007. Ini saya sempat lihat sendiri. Tahniah! Siapakah mereka? Sama-samalah kita dapatkan Dewan Sastera Februari 2007 dan lihat sendiri.

b) Malam ini juga akan diumumkan peserta terbaik MPR 2006 – hadiah akan diberikan kepada peserta paling aktif sepanjang MPR. Turut diberikan Hadiah Galakan Khas Mentor yang akan diberikan kepada peserta yang menunjukkan peningkatan dan perkembangan yang baik sepanjang MPR.

Kami, barisan mantan MPR juga berharap agar Antologi Kissaten Teduhan Esok akan dapat direalisasikan penerbitannya oleh DBP. Saya percaya jika sdr Hizairi Othman dapat bersama-sama dengan kita – beliau tentu akan bergembira kerana beliaulah yang menjadi pencetusnya!

Selepas majlis ini, adik-adik semua sah menjadi mantan MPR 2006 dan kelab alumni MPR masih wujud dan berfungsi secara fleksibel. Jika ada sesiapa yang mahu mengadakan acara, seperti diskusi karya, wacana intelektual atau sebarang pertemuan yang boleh memanfaatkan semua mantan, teruslah berurusan dengan pihak PURNAMA, DBP.

Satu sebab Alumni MPR tidak mempunyai jawatankuasa – kami mahu mengurangkan birokrasi dalam pengursuan. Sesiapa yang punya idea dan kesempatan teruskan, kami abang-abang dan kakak-kakak pastinya akan datang menghadiri majlis tersebut. Ini pernah diusahakan oleh gabungan MPR 2000 ke atas seperti Ghafirah Idris, Ida Munira, Fahd Razy, Nasriah Salam dan mereka yang seangkatan pada tahun 2005 yang lalu.

Akhir kata, saya mewakili para mentor memohon maaf atas sekali ketelanjuran dan tingkah laku ataupun sekiranya ada kata-kata yang menyinggung perasaan sesiapa. Tahniah kepada semua mantan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada Dewan Bahasa & Pustaka atas kepercayaan yang diberikan kepada kami berlima dan sesungguhnya, inilah sumbangan kecil kami kepada DBP yang telah banyak berjasa kepada kami dalam melahirkan penulis sastera.

Buat jambatan kayu diraut,
Dari Jasin menolak titi;
Jadilah tuan seperti laut,
Air masin ikan tak mati.

Dalam peti sebelah kantung,
Di situ mutiara saya tinggalkan;
Dalam hati sebelah jantung,
Di situ peserta kami tinggalkan.

* Pantun ciptaan : Mentor Raihani Mohd Saaid (MPR 1997)

Bersama-sama mentee saya : Dari kiri – Wanie, Feda, Nisah, Nabiha, Nissa’ Yusof & Azree

Written by Nisah Haron

Disember 17, 2006 at 9:20 pm

Dikirim dalam Penulisan

Minggu Penulis Remaja Edisi ke-20

with 9 comments

Esok saya akan bertolak ke Port Dickson. Berkampung sehingga Khamis untuk Minggu Penulis Remaja (MPR) 2006. Pagi Khamis akan bertolak ke DBP KL untuk acara MPR yang seterusnya. Saya memang mempunyai sesuatu yang sentimental tentang MPR. Kenangan saya itu sudah lama. Saya produk MPR 1993.

Bezanya, esok saya tidak lagi pergi sebagai peserta, tetapi telah diamanahkan sebagai Pembimbing. Tanggungjawab dan amanah ini sangat berat. Doakan saya diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapinya.

Sesungguhnya, bengkel ataupun yang seumpamanya tidak melahirkan penulis/penyair. Pokok pangkalnya ialah individu itu sendiri. Ramai yang mengalah dan memberi laluan kepada kawan-kawan sealiran. Itu pilihan masing-masing. Tiada siapa yang boleh memaksa ataupun menghalang.

Khabarnya, kumpulan kali ini tidak berapa besar – tidak sampai 25 orang pun. Bagus, saya suka jumlah itu. Sederhana. Lebih mudah peserta mengambil bahagian dan berinteraksi.

DBP tanggung segala belanja makan minum supaya anda menjadi penulis. Bukan untuk berkelah di Port Dickson.

Oh, kalau ada bakal peserta yang terbaca entri ini – dalam kelas saya jangan tidur ya. Alamat ada yang makan pemadam papan putih kalau tak pun makan kasut nanti!

Written by Nisah Haron

Disember 9, 2006 at 7:28 pm

Dikirim dalam Penulisan

Karya Sastera & Lapis-lapis Makna

with 5 comments


Semalam hujan lebat dan saya tidak berhasrat untuk meneruskan apa yang telah direncana. Jadi, saya baca semula catatan-catatan lalu dalam entri ini. Khususnya, tentang pendirian saya dan karya-karya sastera.

Saya tahu apa yang saya tulis dan saya juga tahu risikonya. Saya juga tahu bahawa selepas catatan itu diterbitkan di blog, ertinya, saya akan menerima balasan-balasan tertentu. Baik yang positif ataupun negatif. Ramai yang optimis dengan saya tetapi tidak kurang juga yang pesimis.

Saya fikir saya telah menulis dengan gaya bahasa yang mudah, laras bahasa yang bersifat tabloid (meminjam istilah Rem) dan bagi saya agak santai. Saya tidak menggunakan laras Bahasa Melayu tinggi kerana saya bukannya menulis cerpen ala-ala zaman saya menulis “Cinta Sangkuriang Rindu Oedipus” ataupun “Persidangan Agung Wanita Klasik”.

Sedikit sebanyak saya tahu siapa khalayak saya, jadi dalam banyak hal saya telah permudahkan gaya penulisan di blog.

Namun, setelah menulis beberapa entri tentang karya sastera dan karya popular, ramai yang membuat telahan yang tidak masuk akal. Sebagai contoh :

  • Saya masukkan pasir dalam periuk nasi orang kerana kritikan terhadap karya pop
  • Bahawa gaya penulisan popular itu sangat bersalahan dengan gaya penulisan sebenar
  • Semua orang mesti menjadi penulis sastera (bukannya penulis pop)
  • Saya amat dengki dengan penulis karya pop kerana mereka dapat royalti ribu-ribu sedangkan saya tidak

dan ada banyak lagi yang dapat saya kutip daripada beberapa komen dan e-mel peribadi yang dikirimkan kepada saya.

Kata orang, kalau nak berhujah, biarlah di dalam konteks yang betul. Dalam berhujah lihat dulu apa topik yang diperkatakan. Bukannya main melenting penuh emosi dan membalas sesedap rasa. Usah bersilat di luar gelanggang dan mengharapkan perhatian.

Isu yang selama ini saya tulis ialah tentang PENGIKTIRAFAN KARYA POPULAR SEBAGAI KARYA SASTERA OLEH INSTITUSI BERWAJIB (baca : DBP). Yang diperdebatkan selama ini ialah mengapa DBP perlu mengusahakan supaya karya pop dipanggil karya sastera.

Jadi, tak timbul sebenarnya saya ni nak tutup periuk nasi orang lain (baca: penulis karya pop) dalam hujahan saya. Alahai, besar manalah pengaruh blog saya ini? Sampai satu Malaysia boleh pakat-pakat tak beli novel pop lagi. Ketawa besar saya!

Aduhai, dengar sini penulis-penulis karya pop, sahabat-sahabat penulis, rasuh dan sekalian yang ada. Isu yang kita bincangkan bukanlah mengapa anda diharamkan menulis karya pop. Kalau selepas ini akan tumbuh berpuluh-puluh penerbit karya pop untuk bacaan santai remaja, makcik-makcik yang anak-anaknya semua dah lepas dan mereka yang gemarkan karya-karya ringan seperti ini, saya peduli apa? Takkanlah saya nak pergi bakar pula syarikat-syarikat penerbitan dan kilang-kilangnya sekali.

Saya tidak memikirkan keuntungan individu penulis itu dalam mengaut keuntungan materinya. Kalau dia tak untung sekalipun setelah menulis beberapa novel popular, itupun tak jadi hal bagi saya.

Soalnya, ke manakah arah tuju industri buku hari ini jika yang bukan hak diberikan hak. Inikah keadilan?

Masih tak faham? Baiklah saya permudahkan dengan satu analogi supaya anak-anak yang berumur 10 tahun pun boleh faham.

Katakan, saya buka kedai jual nasi dan makanan berat. Tidak jauh dari kedai saya ada kedai yang menjual makanan ringan. Kedai makanan ringan tentu sahaja menjual makanan yang manis-manis seperti gula-gula, coklat dan sebagainya. Kedua-duanya diperlukan oleh pelanggan. Tentunya jenis pelanggan yang datang tentulah berbeza. Dengan wujudnya kedai makanan ringan, tentulah tumpuan pelanggan jauh lebih ramai di sana, terutamanya kanak-kanak dan remaja. Yang makan nasi dan makanan berat ialah orang dewasa. Kanak-kanak – kalau diberi pilihan, lebih gemarkan manisan daripada nasi. (Tanyakan kepada mereka yang ada anak kecil.)

Jadi untuk meningkatkan kesedaran pelanggan yang gemar makan gula-gula, coklat dan segala manisan, kerajaan mengadakan kempen kurangkan gula dalam makanan. Kerajaan tak pula perintahkan supaya kedai makanan ringan itu diharamkan. Itu sahaja. Kalau orang masih terus-terusan nak bunuh diri dengan menenggelamkan diri dengan gula-gula, kerajaan boleh buat apa. Saya sebagai peniaga nasi dan makanan berat ini pun tak boleh nak buat apa pun. Duit pelanggan, suka hatilah dia nak beli apa.

Namun, jika dibiarkan perkara ini, ke mana hala tuju bangsa saya? Mereka akan terus leka dengan manis-manisan. Bangsa lain sibuk memajukan diri dengan makanan yang sihat (sama ada untuk perut ataupun minda), bangsa saya masih hanyut kelekaan dengan segala yang indah-indah, melodramatik dan penuh emosi.

Jadi, apabila usaha untuk menyamatarafkan kedai makanan ringan dengan makanan berat – dan mahu menamakan bahawa makanan ringan itu ialah makanan yang SANGAT BERKHASIAT. Bukankah ini satu ketidakadilan! Dengan pilihan perkataan yang lebih kasar – ini suatu pembohongan kepada pelanggan. Yang mengiktiraf itu pula ialah badan kerajaan.

Rasionalnya? Semua makanan itu sama. Hello! Cubalah makan gula-gula dari pagi sampai malam. Kalau tak gigi rongak, gula pun penuh dalam darah. Kalau tak kena obesiti, pasti kena kencing manis.

Jadi, apakah gula mesti terus diharamkan? Bukan begitu. Gula itu perlu tetapi dalam dos yang bersesuaian.

Demikian analoginya. Kalau tak faham juga, saya fikir anda memang tidak faham karya sastera. Mungkin membaca karya pop juga anda mungkin keliru.

Karya sastera tetap karya sastera. Bukan kerana karya sastera mempunyai hiraki yang lebih tinggi daripada karya pop. Masalahnya, kedua-duanya selari dan tidak boleh disatukan. Mereka yang boleh menikmati opera manakan sama dengan mereka yang menggilai muzik pop. Kumpulan-kumpulan seperti New Kids on the Block, Backstreet Boys, Boys II Men, Boyzone dan mereka yang seumpama dengannya bersifat sementara. Di mana mereka sekarang? Lagu-lagunya hanya kekal untuk beberapa tempoh, selepas itu siapa yang masih lagi menyanyikan lagu mereka terasa seperti ketinggalan zaman. Ini kerana benda-benda pop bersifat semasa dan mereka sekadar penanda zaman itu sahaja.

Tidak kurang juga yang memprotes kenapa saya ‘bising-bising’ dalam hal ini. Sedangkan novel popular juga ada kecenderungan kepada sastera dan ada yang bernilai sastera.

Ha, yang ini betul. Memang ada novel popular yang bernilai sastera. Ingat ya, ia mempunyai unsur ataupun elemen sastera. Itu masih belum menjadikan novel popular itu novel sastera.

Kemudian satu lagi rungutan daripada penulis pop : “kalau yang saya tulis ini bukan novel sastera, novel saya ini nak dipanggil apa?”

Jawapannya : Novel pop.

Selagi sesebuah naskhah itu bersifat soap opera (macam Samarinda di TV3 ataupun drama-drama bersiri di TV), tidak menghantar pemikiran, watak-wataknya hebat kerana kecantikan fizikal (dan itulah yang menjadi konflik cerita), rendah ataupun langsung tiada percubaan untuk memberi daya taakulan kepada pembaca, santai dan ringan serta memenuhi dambaan pembaca – selagi itulah karya tersebut bernilai pop. Membacanya memang seronok kerana pembaca boleh melayan perasaan.

Salahkah membacanya? Tak salah. Itu pilihan pembaca. Ingat, itu duit dia. Dia mahukan kelegaan dalam jangka pendek.

Tetapi cuba fikir depan sikit daripada batang hidung sendiri, ke mana hala tuju karya-karya pop dalam pembangunan bangsa (Melayu, khasnya). Saya tidak menafikan bahawa karya pop menyumbang kepada industri buku negara. Sekali lagi, itu bukan isu yang saya bincangkan.

Soalnya, selepas karya pop disamakan dengan karya sastera. Apa akan jadi dengan dunia kesusasteraan tanah air? Samakah karya Ahadiat Akashah (sebagai contoh) dengan karya Keris Mas ataupun A. Samad Said?

Jika sama, I rest my case. Tahun depan, usulkan supaya Ahadiat Akashah (ataupun sesiapa yang seangkatan, semazhab, sealiran) dicalonkan sebagai penerima S.E.A. Write Award, ataupun lebih hebat lagi Anugerah Sastera Negara. Ingat ya, undiannya melalui SMS dan berdasarkan karya paling banyak terjual di pasaran.

Begitukah hala tuju penulisan sastera tanah air kita…

Written by Nisah Haron

Disember 7, 2006 at 6:12 pm

Dikirim dalam Penulisan