Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for April 2006

Kurik Kundi Merah Saga

with 2 comments


Apa salahnya pantun di atas? Bunting atau kain panji-panji ini dicetak oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia. Bolehkah kita maafkan kerana ia bukan dicetak oleh DBP?

Apa yang salah pada pantun yang sangat molek ini?

SATU

Frasa yang betul ialah Yang kurik itu KUNDI – bukannya kendi. Tak percaya, sila rujuk Kamus Dewan.

Kundi Mn sj biji saga yang digunakan untuk menimbang emas (beratnya 1/24 mas), kenderi

Kendi I sj bekas air yang bermuncung (bercerat) dan bertangkai (dibuat drpd tembikar atau tin)

Kendi II; burung ~ 1. sj burung gajah, burung pisau raut, numenius phaeopus variegaus; 2. sj burung, burung raut, Nemenius arquata ocientalis.

Kurik bintik-bintik, rintik-rintik.

Jadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian, yang kurik itu kundi kerana ia merupakan sejenis biji saga. Buah ini mengikut orang yang pernah melihatnya memang kurik. Buah saga pula seperti mana yang kita tahu memang merah warnanya.

Frasa yang kurik itu kundi, yang merah itu saga ini sangat berkait dan menepati ciri-ciri pantun yang baik. Kundi dan saga merupakan buah yang sejenis. Sebab itu budi dan bahasa juga dikaitkan dalam bait pantun ini bagi menunjukkan betapa kedua-duanya sukar untuk dipisahkan.

Kendi pula sangat jauh untuk dikaitkan dengan buah saga tadi.

DUA

Pantun bukan begitu cara menulisnya. Pantun tidak boleh ditulis dengan centre justification. Pantun empat kerat mesti ditulis seperti berikut:

Baris pertama mesti dimulakan rapat ke kiri dan diakhiri dengan koma.
Baris berikutnya mesti indent 5 kali atau tab sekali dan diakhiri dengan koma bertitik (semi colon).
Baris ketiga sama seperti baris pertama, rapat ke kiri dan diakhiri dengan koma.
Manakala baris akhir sama seperti baris kedua tadi tetapi diakhiri dengan koma.

TIGA

Bagaimana dengan frasa yang molek itu budi. Mungkin ini satu bentuk variasi pantun, walaupun biasanya yang disebut ialah yang baik itu budi. Budi biasanya orang kaitkan dengan budi yang baik, bukannya budi yang molek. Tetapi ini tidaklah mencacatkan makna pantun. Namun, kalau ada yang mahu berkongsi pendapat silakan.

Bukanlah tujuan saya menulis ini untuk mengajar itik berenang, tetapi sekadar berkongsi ilmu yang sedikit dan memanjang apa yang telah saya pelajari.

Written by Nisah Haron

April 28, 2006 at 7:29 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Ura-ura Tentang Tunas Cipta

leave a comment »

Saya, Faisal dan beberapa kawan-kawan yang lain telah mendengar tentang ura-ura ‘penutupan’ Tunas Cipta ini daripada sumber yang berbeza. Tetapi sumber-sumber ini memberitahu berita yang hampir sama – iaitu TC akan diberhentikan. Ertinya selepas satu tempoh yang dikenal pastinya (khabar angin mengatakan : edisi terakhirnya Disember 2006), majalah ini akan menjadi satu sejarah.

Salam,
Dato Johan Jaafar yang selalu tak bagi can kepada panel pembangkang dalam debat perdana tu dah jadi ketua lembaga pengelola DBP.
Adakah dia akan mati dan hapuskan Tunas Cipta ini?
Adakah…adakah? Dan kalau nak dimatikan sudikah adik-adik ini mempertahankan majalah yang susah nak dapat di Jasin, Segamat, Peringgit, Sungai Mengkibol, Pangkalan Chepa, Batu Feringgi, Arau dan Batu Belah ini?


Seperti yang dicuit oleh Faisal dalam komen beliau yang lalu, berapa ramaikah antara kita yang mahu mempertahankan majalah ini? Kalau ada bagaimana kita boleh mempertahankannya? Mahu berdebat dengan Johan Jaafar? Selagi dia pengerusi dalam apa-apa forum dan ruangan pun, orang lain tentunya tidak akan dapat bercakap.

Jadi, kita semua dan adik-adik saya yang pernah membesar dengan TC akan melihat sahaja majalah ini berkubur sebelum waktunya.

Bukan itu sahaja. Majalah-majalah yang difrancaiskan ke Karangkraf/Media Network (yang pangkalnya ada Dewan juga akan kembali ke DBP. Ada yang benar-benar kembali dan ada yang tercicir di tengah jalan.

Sekadar sesuatu yang boleh dimuhasabahkan sempena 20 tahun Minggu Penulis Remaja (MPR) tahun ini. Apakah MPR bakal mencatat perkembangan yang positif ataukah satu majalah untuk penulis muda bakal berkubur…

Written by Nisah Haron

April 28, 2006 at 5:08 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Tapak Untuk Penulis Muda

leave a comment »


Tahniah kepada para penulis yang karyanya tersiar dalam Tunas Cipta (Mei 2006). Antaranya:
Khairunnasriah Abd. Salam (Elegi Puteri Sa’dong) – Cerpen
Zanazanzaly (Rekayasa) – Cerpen
Salman Sulaiman (Menunggu Bulan dan Matahari) – Drama
Syarifah Salha Syed Ahmad (Duniaku) – Sajak
Faizah Mohd Shafawi (Bersayap Mimpi Dalam Hati) – Sajak

Saya turut berbangga dengan kejayaan adik-adik dan teman seangkatan saya ini.

Tidak ketinggalan ruangan tetap :

Faisal Tehrani (Eng Bahlut)
Nisah Haron (Mewariskan Harta Intelektual)

Bicara karya kali ini ialah : Sdr Khairul Nizam Abd. Raub.

Dapatkan naskhah anda hari ini!

* * * * * * * * * * * * * * * *

Terasa sayu apabila saya melihat Tunas Cipta. Terimbau segala kenangan sewaktu kelahiran edisi pertama hinggalah yang terkini. Ada banyak perubahan yang saya lihat. Satu pada isi majalah dan kedua, tentang perubahan terhadap penulis muda itu sendiri.

Suka tidak suka Tunas Cipta telah menjadi satu-satu majalah yang memberi ruang kepada penulis muda membina keyakinan dan tapak untuk berdiri teguh dalam dunia penulisan. Belum ada majalah lain yang memberikan ruang yang sebegitu banyak kepada penulis muda untuk berkarya.

Karya-karya sendiri membesar dengan majalah Dewan Siswa. Majalah itu hanya menyediakan dua buah cerpen sebulan. Satu khas dari penulis remaja dan yang satu lagi terbuka. Peluang untuk cerpen itu terbit memang amat sukar. Pada usia remaja, apabila ada karya yang tersiar, tidak dapat tidak itu merupakan sesuatu yang amat membanggakan. Kepuasannya pula, paling sukar untuk digambarkan.

Kini dengan adanya Tunas Cipta, saya melihat peluang yang diberikan kepada penulis muda lebih luas. Terpulanglah kepada penulis itu sendiri untuk memanfaatkannya. Kalau Dewan Siswa mengehadkan usia (cerpen daripada siswa) 20 tahun ke bawah, Tunas Cipta pula bagi penulis 35 tahun ke bawah.

Terimbau juga sejarah Tunas Cipta. Nama asalnya GEN – sedikit ranggi tetapi bersesuaian dengan remaja. Tetapi entah bagaimana boleh bertukar atau tertukar menjadi satu nama yang sangat klise – Tunas Cipta. Tak mengapalah, lama-lama semua penulis boleh sahaja terima dengan nama baru (yang bunyinya macam tak ‘glamour’). Yang penting, karya yang tersiar di majalah itu mendapat pengiktirafan yang sewajarnya.

Penulis yang telah mendapat tempat dan tapak dalam Tunas Cipta kemudiannya menulis pula di wadah-wadah lain. Ada yang telah pun menjadi ‘graduan’ Tunas Cipta dan beralih ke Dewan Sastera, Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan lain-lain. Penulis hari ini melihat adanya kepentingan Tunas Cipta sebagai tapak tempat mereka bermula.

Sesekali saya bimbang seandainya Tunas Cipta tidak ada, barangkali agak sukar untuk penulis baru @ muda untuk lebih cepat meningkatkan diri dalam bidang penulisan. Mungkin edaran untuk majalah Tunas Cipta tidaklah setinggi majalah remaja yang lain tetapi saya percaya melebihi 5,000 naskhah setiap bulan. Itu sudah cukup baik bagi majalah yang berteraskan sastera 100%.

Majalah ini wajar mendapat sokongan. Setakat hari ini, saya masih ada koleksi lengkap Tunas Cipta, hatta sewaktu ia masih bergelar GEN.

Semoga kepentingan majalah muda ini tidak dipandang sepi oleh pihak pengurusan DBP.

Written by Nisah Haron

April 24, 2006 at 1:28 pm

Dikirim dalam Penulisan

Buku Terbaru Pak Samad

leave a comment »

Sasterawan Negara A. Samad Said amat teliti bukan sahaja dalam proses kreatifnya tetapi juga dalam penerbitan buku-bukunya. Kini setelah memiliki rumah penerbitan sendiri, iaitu Wira Bukit Sdn. Bhd. Pak Samad nampaknya lebih selesa menerbitkan buku-buku beliau sendiri. Khabarnya, semakin banyak buku Pak Samad yang telah beliau tarikh hak penerbitan daripada DBP.

Terkini, Pak Samad telah menerbitkan set edisi mewah buku-buku :

Memiliki set buku-buku Pak Samad terbitan Wira Bukit ini memang terasa puas. Kualiti kertas yang digunakan setaraf dengan buku-buku klasik antarabangsa. Kertas acid free memang menjadi pilihan Pak Samad. Kulit keras dengan jaketnya sekali membuatkan penikmat buku merasa khayal apabila memegang buku tersebut.

Sebelum ini juga Pak Samad telah menerbitkan semula novel beliau Adik Datang dan juga kumpulan puisi Dirgahayu Mahathir.

Pembaca di Malaysia akan terkejut dengan harga buku yang ditawarkan. Tetapi bagi mereka yang tahu menghargai edisi kulit tebal, tentu tidak akan segan-segan membayar harganya. Biasanya edisi kulit tebal diterbitkan dalam cetakan terhad. Edisi kulit tebal juga tahan lebih lama dan boleh kekal sepanjang zaman.


Akan datang Lantai T. Pinkie akan dipentaskan semula pada 28 Apri – 10 Mei (kalau tak silap saya) di Istana Budaya. Buku itu juga nampak lebih menarik daripada yang diterbitkan oleh DBP. Kulit depannya gambar Nasha Aziz yang memegang watak T. Pinkie.

Terkini, Ujana Ilmu sudah menghimpunkan koleksi buku-buku Pak Samad edisi terbitan Wira Bukit.

Written by Nisah Haron

April 23, 2006 at 8:16 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Membaca Dalam Nadi & Salur Darah

leave a comment »

Hari ini saya dijemput oleh SMK King George V, Seremban untuk menyampaikan ceramah tentang buku dan proses kreatif novel saya Mencari Locus Standi. Dalam ceramah sekitar sejam itu saya bawa mereka melihat novel itu daripada perspektif saya sebagai pembaca, kemudian saya kongsi proses kreatif novel tersebut bersama-sama mereka.

Sebelum sesi itu dimulakan, saya minta sekitar 5 – 6 orang membacakan fragmen novel tersebut mengikut giliran dan saya sendiri menyudahkannya.

Saya juga membayangkan jumlah sekitar 40 – 50 orang itu semacam ‘terpaksa’ datang kerana sekolah mewajibkan mereka hadir untuk Program Khemah Membaca peringkat sekolah. Tidak dinafikan ada beberapa pelajar yang benar-benar berminat dan ada yang seperti ada keinginan untuk menjadi penulis.

Teringat saya kepada kata-kata Jaafar Rahim sewaktu Seminar Pencinta Buku 20 April yang lalu. Kata beliau, membaca tidak perlukan sebarang kempen. Kempen hanya akan menghabiskan wang. Tetapi kalau orang itu tidak mahu membaca, dia tidak akan membaca juga! Saya menyetujui pandangan tersebut.

Nikmat membaca hanya boleh dirasai oleh orang yang membaca dengan segala urat nadi dan salur darahnya. Nikmat membaca itu melalui di dalam dirinya. Kesedaran itu juga harus tumbuh dari dalam. Andai dipaksa, sikap membaca itu tidak akan kekal. Apabila pelajar tersebut meninggalkan sekolah, itulah kali terakhir dia membaca. Sayang, bukan?

Kerajaan (dalam menjalankan ‘kempen’ membaca) nampak tidak cukup bersungguh-sungguh dalam hal ini. Bulan Julai telah dijadikan bulan membaca tetapi hanya bulan itu sahajakah kita perlu banyak membaca, sedangkan membaca itu tidak bermusim. Membaca itu boleh di mana-mana sahaja.

Projek NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) yang dijadikan kayu ukur kepada jumlah dan tahap pembacaan pelajar saya lihat ada buruk dan baiknya. Ya, pada satu sisi pembaca digalakkan membaca dan kemudian memasukkan maklumat tentang buku dan sinopsis tentang buku tersebut dalam sebuah buku khas yang disediakan. Rata-rata saya melihat pelajar hanya menyalin blurb buku yang dipilih. Belum tentu dia membaca buku tersebut. (Saya percaya guru yang memeriksa buku tersebut juga tidak tahu apa yang dibaca oleh pelajarnya).

Hakikatnya masih ramai rakyat Malaysia yang tidak membaca bahan berilmu. Remaja hari ini bakal menjadi pemimpin hari esok. Bayangkan pemimpin masa depan yang tidak membaca. Mungkin tidak perlu melihat terlalu jauh. Bagaimana dengan pemimpin hari ini?

Written by Nisah Haron

April 22, 2006 at 10:24 pm

Dikirim dalam Penulisan

Hari Lahir Istimewa Untuk Pencinta Buku

leave a comment »


Seperti dalam entri terdahulu, saya pernah katakan bahawa bagi seorang pencinta buku tiada yang lebih istimewa daripada menyambut hari yang istimewa dengan buku-bukunya. Semalam, Seminar Pencinta Buku 2006 jatuh pada hari lahir saya. Ada kejutan kecil buat saya. Itulah kek coklat yang telah disediakan untuk saya. (Terima kasih, Zamri & kawan-kawan!)

Semalam berhimpunnya pencinta-pencinta buku (yang mendapat khabar berita tentang Seminar ini). Alhamdulillah, penyertaannya agak menggalakkan walaupun saya mengharapkan lebih ramai lagi yang hadir. Tetapi saya melihatnya sebagai satu permulaan yang sangat baik. Tahniah buat Bukuonline dan pengasasnya Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim (Kirin).

Kirin juga bukan orang lain dalam dunia sastera, ilmu dan buku. Beliau juga anakanda kepada penulis terkenal Nazel Hashim Mohamad. Saya membesar dengan novel-novel beliau sewaktu usia awal remaja.

Saya mempengerusikan sesi jam 2.30 petang yang membariskan panel Puan Ainon Mohd (Buku & Wanita), Dr. Abu Hassan Hasbullah (Dunia Buku & Tradisi Kesarjanaan) dan Khairusy Syakirin Has-Yun Hashim (Tentang Bukuonline).

:: Senarai penuh pembentang dan pembentangan di sini ::

Paling mengejutkan ialah pendedahan kajian Dr. Abu Hassan yang menyatakan bahawa para sarjana kita di Malaysia adalah kumpulan yang paling sedikit membaca berbanding sarjana luar negara. Kita kalah dengan sarjana Brunei, malah.
:: Kertas kerja penuh beliau boleh dibaca di sini ::

Aduhai, jika benarlah demikian, betapa sarjana tempatan sangat ketinggalan dalam hal ini. Namun, saya tidak berapa terkejut dengan angka yang dipaparkan. Pengalaman saya menjual buku di sekolah-sekolah dan reaksi sesetengah guru turut menggambarkan situasi yang serupa. Malah ada sesetengah daripada guru-guru ini yang mengakui tidak mempunyai masa untuk membaca.

Kasihan anak-anak muridnya! Mereka nantilah yang akan membesar dan menjadi sarjana. Sarjana inilah nanti yang telah dibesarkan tanpa tradisi membaca sebagai cara hidup.

Saya juga manusia yang sangat sibuk. Tetapi saya sering mengadakan masa untuk membaca. Adakalanya, ketika memandu juga saya mencuri-curi membaca sewaktu kesesakan jalan raya. Ketika jalan jam, semua kenderaan sedang berhenti juga saya pernah dihon oleh pemandu lori – semacam menyindir saya yang sedang membaca. Padahal, daripada saya melopong atau lebih teruk lagi menyumpah-nyumpah kerana jalan jam, bukanlah lebih baik saya manfaatkan dengan cara yang lebih baik. (Nak hon-hon kita pulak)

Hari ini semakin banyak kekanan untuk anak-anak kita membaca. Cuba kita senaraikan faktor-faktornya dan selepas itu cuba menyelesaikannya :

  • Tiada perpustakaan di rumah
  • Bila nak beli buku, ibu akan berkata “buku di rumah banyak lagi.” – padahal anak itu sudah habis membacanya dan memerlukan buku lagi.
  • Tiada orang yang tolong bacanya buku cerita untuknya (untuk anak-anak yang belum pandai membaca).
  • Buku untuk anak-anak dikatakan mahal. Boardbooks boleh sampai harga RM30 – RM50 – terutamanya big book. Tetapi ramai yang tidak sedar bahawa itulah pelaburan paling berharga untuk anak-anak. (Saya bukan suruh mereka beli buku demikian setiap minggu ataupun setiap bulan – pandai-pandailah buat belanjawan keluarga)
  • Perpustakaan negeri tidak memperbaharui koleksi buku kanak-kanak. Tidak pandai buat pemilihan buku. Bergantung kepada mana-mana pembekal buku yang rajin buat PR dengan mereka. Padahal, pustakawan yang baik seharusnya merayau mencari buku yang baik untuk menambah koleksi buku-bukunya.
  • Banyak lagi faktor yang boleh disenaraikan, marilah kita tambah bersama-sama, tapi ingat mesti ada penyelesaiannya.

Tradisi membaca itu perlu datang dari rumah. Ibu merupakan orang nombor satu yang mempengaruhi pembacaan. Ibu / wanita merupakan orang yang tidak lokek berkongsi apa yang dia tahu dengan anak-anaknya. (Bapa kalau baca suratkhabar, dia akan faham seorang, jarang mahu berkongsi atau mengulas apa yang dia baca). Ibu yang membaca akan menceritakan apakah keseronokan ataupun kekurangan isi bahan yang dibacanya.

Arwah ibu dan nenek saya juga demikian. Komen-komennya itu yang menimbulkan rasa ingin tahu dan menggugah supaya saya juga membaca apa yang telah dibaca. Lantas, membaca menjadi satu tradisi dalam keluarga kami yang sederhana. Beli buku pun bukan selalu, ketika itu, tetapi sekurang-kurangnya kami membaca dengan kapasiti pembelian yang sederhana itu.

Kini anak-anak saya lebih ‘dimewahkan’ dengan buku. Saya mewujudkan persekitaran yang penuh dengan buku. Mereka juga tahu yang ini buku siapa. Mereka tidak ganggu buku-buku saya atau suami ataupun datuknya. Masing-masing menghormati buku orang lain. Kalau mahu lihat atau baca, boleh pinjam tetapi nanti pulangkan semula. Setakat ini, nampaknya mereka boleh menerima hakikat tersebut.

Saya masih ada satu lagi impian kecil – membelikan mereka rak buku khas supaya mereka juga pandai menyusun buku mengikut milik masing-masing.

Itulah sahaja yang boleh saya tinggalkan untuk anak-anak saya. Pelaburan kecil yang diharapkan dapat membantu mereka menjadi insan yang berguna.


Nota hujung :

1. Saya masih belum sempat membeli hadiah untuk diri sendiri tetapi semalam sewaktu menjadi pengerusi panel, saya dihadiahkan dengan 5 buah buku. Satu daripadanya sangat menarik perhatian. Judulnya Terbakar Cinta Tuhan – Kajian Eksklusif Spiritualitas Islam Awal (Micheal A. Sells – Profesor Perbandingan Agama Haverford College). Buku ini saya karya terjemahan. Akan saya iktiraf sebagai hadiah hari lahir untuk diri sendiri.

2. Sesiapa yang membeli buku saya semalam dan meminta tandatangan saya juga bertuah kerana saya meletakkan tarikh hari lahir saya ke dalam buku tersebut 🙂

3. Nisah tak sudah-sudah cerita pasal hari lahir, macamlah orang lain tak sambut hari lahir.

Cukup sampai di sini dahulu. Terima kasih kepada semua SMS dan sebarang ucapan tanda ingatan.

Written by Nisah Haron

April 21, 2006 at 10:11 am

Dikirim dalam Uncategorized

Jawi di Seremban?

leave a comment »


Papan tanda nama jalan seperti dalam gambar di atas sudah kelihatan di sekitar Seremban sehinggalah ke Senawang. Alhamdulillah, saya melihatnya dari sudut yang positif. Tulisan jawi kembali mendapat tempat di Seremban (walaupun akhbar Jawi sudah berkubur).

Sempat juga saya hantar catatan mengenai perkembangan positif ini ke Berita Harian melalui Surat Pembaca dan tersiar (berserta gambarnya) pada 13 April yang lalu di bawah judul Memartabatkan tulisan Jawi di papan tanda.

Mudah-mudahan tulisan jawi terus diberikan tempat yang sewajarnya seperti di bangunan-bangunan – perpustakaan, stesen kereta api, stesen bas. Jadi tulisan jawi itu tidaklah setakat di kawasan ‘agama Islam’ di Seremban seperti kawasan lingkungan Masjid Negeri, Majlis Agama Islam, Bangunan Baitul Mal, dan bangunan mahkamah syariah Seremban sahaja.

Tulisan jawi juga sebahagian daripada bahasa Melayu. Ia harus bergerak seiring. Biarlah Utusan Melayu Mingguan mati tidak bertalkin. Harus ada usaha untuk mewujudkan semula akhbar jawi yang lain dengan cara yang berbeza.

Mengapa kita harus melihat pada pintu yang telah tertutup itu juga, sedangkan ada pintu lain yang dibuka untuk kita.

Written by Nisah Haron

April 19, 2006 at 6:08 am

Dikirim dalam Uncategorized

Dateline atau deadline?

leave a comment »

Saya telah beberapa kali menegaskan tentang perkataan deadline dan juga dateline. Perkataan ini saya maksudkan sebagai tarikh akhir sesuatu tulisan itu mesti disiapkan atau dikirimkan kepada editor ataupun pihak yang berkenaan.

Ramai yang mengatakan begini :

Wartawan itu perlu menyiapkan tugasan kerana dateline petang ini.

Saya kata :

Wartawan itu perlu menyiapkan tugasan kerana deadline petang ini.

Kali ini saya bukan hendak melihat struktur ayat dalam bahasa Melayu yang digunakan. Saya juga tidak mempertikaikan penggunaan ayat yang agak rancu kerana bercampur aduk bahasa Melayu dan bahasa Inggerisnya.

Persoalannya ialah, penggunaan perkataan deadline/dateline yang mana satukah yang betul. Selama ini saya memang menggunakan perkataan deadline. Saya percaya dateline digunakan untuk International Date-line iaitu Garisan Tarikh Antarabangsa.

Deadline ialah tarikh akhir.

Tetapi ramai pula yang tak percaya kata saya. Malam tadi pun, sewaktu menghadiri Anugerah Kewartawanan Negeri Sembilan, saya suarakan kepada dua tokoh bahasa (Melayu dan Inggeris), kedua-duanya pun memberikan jawapan dateline bermaksud tarikh akhir.

Saya tidak puas hati kerana saya percaya saya betul. Apabila saya perlu membuktikan sesuatu saya perlu mencari jawapannya kalau boleh masa itu juga. Jadi sebaik-baik sahaja sampai di rumah, saya kejar KAMUS INGGERIS-MELAYU DEWAN. Entri mengenai kedua-duanya seperti yang berikut :

Dateline n 1. International Date-line, Garisan Tarikh Antarabangsa; 2. (journ) ruang tarikh.

Deadline n /tarikh, tempoh/ akhir, batas waktu: to meet the ~, menepati tarikh akhir.

Tidak cukup satu kamus, saya rujuk lagi Reader’s Digest WORD POWER DICTIONARY. Lihat entri-entri berikut :

Date – dateline

* the date and place of the writing of a newspaper item
The dateline (n) of the report was New Year’s Day in Hong Kong

* an imaginary line running from north to south, 180 degrees from Greenwich
To the east of the date line or International Date Line the date is one day earlier than it is to the west.

Dead – deadline

* to finish something by a fixed time
Newspaper reporters often have to meet a deadline.

Menurut wikipedia, maksud deadline juga jelas. Sila rujuk wikipedia.

Bagi dateline pula, wikipedia memberi contoh :

A typical newspaper dateline might read

BEIRUT, Lebanon, June 2 – The outlook was uncertain today as …

Jadi, “Beirut, Lebanon” itulah yang dinamakan dateline, bukannya deadline.

Marilah kita berbahasa sebaik-baiknya, kalau mahu gunakan bahasa Inggeris, gunakanlah dengan betul. Begitu juga kalau mahu berbahasa Melayu. Usah jadi sekerat ikan, sekerat belut. Bahasa Inggeris huru-hara, bahasa Melayu pun tunggang-langgang.

Betulkan deadline ataupun dateline – Jangan jadi deadwood cukup!

Apa lagi yang perlu saya buktikan?

I rest my case.

————————–
*Maaf jika entri ini terpaksa menggunakan bahasa yang agak rancu bagi menyampaikan maksud.

Written by Nisah Haron

April 18, 2006 at 11:00 am

Dikirim dalam Uncategorized

Penulis Era Teknologi Maklumat

leave a comment »

Ketika pertama kali saya menulis tentang penulis dan blog (tersiar dalam akhbar MM 30 Jan 2005) saya percaya saya telah menambah lagi bilangan penulis media cetak yang berhasrat memiliki blog sendiri. Antara yang saya masih ingat menyahut ‘seruan’ saya itu ialah Anjan Ahzana. Tidak kurang juga yang memperbaiki tulisan dalam blog masing-masing apabila menyedari kekuatan blog.

Sehingga kini weblog @ blog ini telah menjadi medium alternatif kepada pembaca yang inginkan kelainan dalam pemikiran dan pembacaan.

Namun, tidak kurang juga blog yang telah ‘mati’ ataupun tidak dikemaskini dalam tempoh yang agak lama. Ada juga yang telah berpindah blog tetapi tidak memaklumkan kepada orang ramai. (Tindakan saya, sesiapa yang sudah lama benar tidak kemas kini blog akan saya keluarkan daripada senarai pautan dari laman ini).

Kini semakin ramai penulis media cetak yang telah memiliki blog. Ramai – seperti yang telah saya senaraikan di sebelah:

Terkini dunia blog semakin disenangi penulis seperti :

Ainon Mohd
Faisal Tehrani
Lutfi Ishak
Serunai Faqir
(yang telah berpindah ke blogspot)

Kalau mahukan yang pembacaan yang benar-benar alternatif, boleh juga baca blog seperti

Kassim Ahmad
Screenshot

Kalau rajin (dan memang tak ada kerja lain), ada banyak lagi laman web dan blog yang boleh dilawati. Lantaran lambakan weblog yang wujud setiap hari, pembaca blog juga perlu berhati-hati memilih supaya tidak ‘khayal’ membaca blog hingga melupakan tugas-tugas hakiki.
Zaid Akhtar telah menambah satu lagi website apabila diminta membimbing penulis di Zaid Akhtar Online (kerjasama dengan ukhwah.com).

Bagi saya, blog hanyalah satu alat untuk menyampaikan matlamat. Jika ada niat yang baik, insya-Allah ia boleh disalurkan sewajarnya melalui medium penulisan sebegini. Seperti juga sebilah pisau, ada pelbagai kegunaan. Terpulanglah kepada tangan yang memegang pisau itu. Demikianlah analoginya dengan blog dan kata-kata, terpulanglah kepada penulis yang menentukan diksi dan menggunakan blog sebagai alat penyampai ilmu, maklumat dan dakwah.

Written by Nisah Haron

April 18, 2006 at 9:44 am

Dikirim dalam Penulisan

Jaga Tepi Kain atau Selak Kain?

leave a comment »

Seorang teman menghubungi saya baru-baru ini. Kami pun bukannya jarang berbual di talian. Biasanya setakat berurusan melalui SMS. Kali ini dia benar-benar mahu bercakap dengan saya.

Sesekali berdebar juga. Pendapat bagaimana yang dia inginkan daripada saya.

Setelah dia bercerita, kisahnya ialah tekanan kerana masih lagi belum berumah tangga pada usia yang sudah menghampiri angka 30. Seperti biasa, orang yang paling sibuk ialah orang luar. Ahli keluarganya sikit pun tak bising. Tetapi makcik-makcik, sepupu-sepupu yang tak sudah-sudah menyibukkan diri bertanya soalan cepu emas untuk dia.

Memang sakit hati apabila disoal begitu, apatah lagi oleh orang lebih tua. Apabila menjawab (gaya bahasa pun memang kreatif dan boleh menyebabkan orang tua itu sakit jantung) nanti kata kita ni kurang ajar pula. Tetapi hakikatnya, sebagai orang tua pula ada jenis orang yang suka sangat tanya bila anak dara seorang ni hendak kahwin. Macamlah dia yang nak tanggung kos perkahwinan kita.

Namun, segelintir orang Melayu yang sangat ‘prihatin’ ini memang gemar ambil tahu hal-hal peribadi orang lain.

  • Kalau belum kahwin – bila nak kahwin?
  • Sudah bertunang – bila nak langsung?
  • Sudah kahwin – bila nak dapat anak?
  • Lepas dapat anak pertama – ‘bila budak ni nak beradik’?
  • Apabila anak dah berderet macam susun paku – uuuuiiii, ramainya anak kau.

Begitu juga dengan kenduri-kendara – soalan lazim orang golongan penyibuk ini ialah :

  • kalau tak nampak pelamin – tak bersanding ke pengantin ni?
  • berapa dulang hantaran?
  • berapa ribu hantaran?
  • bakal suaminya ni kerja apa?

Mujur juga tak banyak soalan demikian singgah ke telinga saya. Kalau sampai juga, minta maaf sajalah, kurang ajar ataupun tidak, pastinya saya akan menjawab balik. Andai tak sedap telinga mendengar… tadi siapa suruh tanya?

Biasanya orang yang paling sibuk bertanya inilah, orang yang tidak akan memberikan walau sekuman pun sumbangan kewangan, tenaga ataupun pendapat yang positif bagi menjayakan hari bahagia kita dan juga alam perkahwinan. Makin meruntuhkan itu mungkin ada.

Teman saya itu risau, andainya dia menjawab (dengan nada yang agak kasar kerana sakit hati dengan soalan-soalan tadi) apakah nanti, sekiranya teman saya melangsungkan perkahwinan mereka tidak akan datang?

Jawapan saya mudah. Andainya mereka tidak datang pun, walimah itu pasti berlangsung. Paling penting ialah perkahwinan itu mendapat restu ayah bonda. Apatah lagi, apabila bakal suami / isteri itu menepati ciri-ciri muslim/muslimah sejati.

Yang lain, pedulikan apa yang orang hendak kata. Apabila mendengar cakap orang yang mementingkan material, memang akan susutlah material kita juga. Asalkan kita sendiri berpuas hati dengan apa yang kita usahakan, tak perlulah mendengar kata-kata orang yang tidak memberi faedah langsung kepada kita.

Saya juga teringat kisah pensyarah saya yang berkahwin pada sekitar awal tahun 1980-an. Berbuih orang sekeliling berkata apabila dia memilih untuk tidak bersanding (tahun 80-an, masih belum ramai orang kahwin tak bersanding). Dia juga menjalankan walimah hanya dengan RM500. Hantarannya cuma RM2,000. Bakal suami hantar 3 dulang utama (cincin, wang hantaran dan senaskhah al-Quran sebagai mas kahwin). Sekadar iringan, buah-buahan & kek.

Katanya, “Saya tak mahu kasut naik atas dulang, baju pun saya boleh beli sendiri. Nanti lepas kahwin kami boleh pergi shopping bersama-sama.” Almari dan katil pengantin juga dia tidak sediakan, “Apa fasal sibuk nak tengok di mana kami tidur? Saya tahu beli perabot sendiri lepas kahwin nanti.”

Hakikatnya ialah dia berhasrat untuk tidak memulakan perkahwinan dengan hutang. Satu langkah yang amat benar. Andai hantaran perkahwinan sampai RM10,000. Berapa peratus daripada duit itu akan dapat dimanfaatkan oleh pengantin perempuan ?

Written by Nisah Haron

April 14, 2006 at 12:45 am

Dikirim dalam Uncategorized