Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for Mei 2007

Keputusan Kes Lina Joy

with 6 comments

MURTAD TANPA PENGIKTIRAFAN 2-1

Terkini – Kes Lina Joy sudah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Lina Joy kalah 2:1. Hakim-hakim Muslim (Ahmad Fairuz & Alaudin) memutuskan untuk menolak permohonan Lina Joy. Sementara Richard membenarkan.

Pun, ini tidak bermakna ada mana-mana kuasa yang boleh memaksa Lina Joy kembali kepada agama. Bagi saya, dia tetap murtad. Cuma tiada pengiktirafan daripada undang-undang. Keputusan ini akan terus menutup ruang bagi mana-mana orang Islam yang mahu murtad secara sah. Dan ini tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu murtad secara tertutup.

Masih ingat Perjanjian Hudaibiyah? Lebih kurang samalah analoginya.

Kalau pihak dari khemah musyrik datang ke khemah Muslim, mereka hendaklah dikembalikan. Tetapi, jika ada dari pihak khemah Muslim yang lari ke khemah musyrik, mereka hendaklah dibiarkan sahaja di khemah Musyrik. Nabi Muhammad SAW bersetuju dengan syarat tersebut. Ramai sahabat yang mempertikaikan persetujuan tersebut.

Rasionalnya mudah. Jika sudah orang Islam itu sudah murtad, dia tetap murtad. Tak perlulah diambil kembali.

Samalah juga dalam kes Lina Joy ini.

Secara undang-undang, dia gagal untuk menggugurkan status agamanya dari kad pengenalan.
Secara undang-undang, orang murtad lain juga tidak boleh menggugurkan agamanya dari kad pengenalan.
Secara undang-undang, ini menutup mana-mana pintu untuk sesiapa yang bercita-cita untuk murtad secara terbuka.

Selebihnya, ini tidak menghalang mana-mana pihak yang mahu murtad secara tertutup.

————————————-

Kes kontroversi tentang wanita yang mahu agamanya yang tertulis “Islam” dikeluarkan daripada kad pengenalannya – Lina Joy akan diputuskan esok – 30 May 2007.

Untuk maklumat lanjut, klik di sini.

The Federal Court will deliver its decision on the Lina Joy case on Wednesday May 30, according to a reliable source.

The Web Reporter has learnt that the solicitors involved have also been officially informed.

In July last year, the Federal Court comprising Chief Justice Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim and Justices Richard Malanjum and Alauddin Mohd Sheriff heard submissions from the parties on the following questions which leave was earlier granted last April by Ahmad Fairuz and Justices Richard Malanjum and S. Augustine Paul:

whether she needed to prove apostasy on her part before the word “Islam’’ could be deleted from her IC;

whether National Registration Department had correctly construed its powers to impose the requirement on Lina when it was not expressly provided for under National Registration Regulations; and

whether the Syariah Court is the sole authority to decide on the issue of conversion out of Islam.

Written by Nisah Haron

Mei 30, 2007 at 12:38 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Menunggu Sesuatu Yang Baharu

with 9 comments

Sekian lama dinantikan…
Belum ada detik kepastian

Namun,
kehadirannya mampu merobah
aliran sungai kehidupan
garisan pantai
dan
buih-buih gelombang.


** Saya menunggu sesuatu. Insya-Allah, sekitar awal Jun akan saya umumkan, jika tidak pada minggu ini. Sama-samalah kita sabar menanti…

Written by Nisah Haron

Mei 28, 2007 at 8:31 am

Dikirim dalam Uncategorized

Buku-buku Terbaharu di Ujana Ilmu

with one comment

Tahun 2007 merupakan tahun yang agak prolifik bagi penulis Faisal Tehrani. Saingan terdekatnya ialah SN A. Samad Said yang turut gigih menerbitkan semula buku-bukunya melalui Wira Bukit Sdn Bhd.

Ujana Ilmu juga secara tidak langsung harus bekerja keras memastikan buku-buku yang baik ini sampai kepada khalayak yang sangat mendambakan hasil karya kedua-dua penulis besar tanah air ini.

Setakat ini, karya-karya terbaharu Faisal di Ujana Ilmu adalah :

Bakal terbit :

  • Bedar Sukma Bisu (DBP)
  • Manikam Kalbu (DBP)
  • Siri Ketiga Detektif Indigo (Utusan)

Insya-Allah, Ujana Ilmu akan berusaha menghimpunkan karya-karya penulis seperti Faisal, Pak Samad dan mereka yang mengisi gigih mengisi ruangan sastera dengan serius dan amat menjanjikan ini.

Di Ujana Ilmu juga, kami menghimpunkan koleksi SN A. Samad Said. Yang terkini, beliau telah menerbitkan semula Cinta Fansuri, Keledang dan Dari Salina ke Langit Petang.

Tidak kurang menarik ialah Rindu Ibu (Versi Santai) yang dijual dengan harga RM10 sahaja!

Usaha terkini kami juga ialah menghadirkan koleksi buku-buku sasterawan nusantara – HAMKA yang kami himpunkan dalam Koleksi Prof. Dr. Hamka :

  1. Di Bawah Lindungan Kaabah – Prof Dr. Hamka
  2. Di Dalam Lembah Kehidupan – Prof Dr. Hamka
  3. Falsafah Hidup – Prof Dr. Hamka
  4. Falsafah Ketuhanan – Prof Dr. Hamka
  5. Hak Asasi Manusia Dalam Islam & Deklarasi PBB – Prof Dr. Hamka
  6. Hamka Pujangga Islam – Kebanggaan Rumpun Melayu – H. Rusydi Hamka
  7. Islam & Adat Minangkabau – Prof Dr. Hamka
  8. Kesepaduan Iman & Amal Salih – Prof Dr. Hamka
  9. Lembaga Budi – Perhiasan Insan Cemerlang – Prof. Dr. Hamka
  10. Merantau Ke Deli – Prof Dr. Hamka
  11. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck – Prof Dr. Hamka

Inilah antara usaha kecil kami dalam membawakan bahan bacaan terbaik untuk pelanggan kami dan semua pencinta buku.

Usaha juga sedang giat dijalankan bagi menghadirkan buku-buku lain yang bermanfaat dan munasabah untuk dijual di Ujana Ilmu.

Walau bagaimanapun, setiap buku yang bakal dijual di Ujana Ilmu harus melalui proses penelitian bagi mewajarkan kami menjual buku-buku tersebut. Tidak semua buku boleh lulus proses ini. Seboleh-bolehnya, Ujana Ilmu mahu menjual buku-buku yang berkualiti, ditambah lagi buku-buku tersebut memang agak sukar diperoleh dari kedai-kedai buku biasa.

Matlamat kami ialah untuk memudahkan pembaca mendapatkan bahan bacaannya. Selesa dan santai dari mana-mana sahaja internet boleh dicapai.

Kami sedar bahawa tahap keyakinan pembeli secara online masih boleh dipertingkat, tetapi kami juga berharap testimonial daripada pelanggan dapat meyakinkan bakal pelanggan kami.

Jika ada sebarang cadangan, kami amat mengalu-alukannya. Sila e-mel terus ke webmaster@ujanailmu.com.my

Written by Nisah Haron

Mei 24, 2007 at 10:31 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Esok saja…

with 7 comments


Berapa kali kita bertangguh untuk melakukan sesuatu sehinggalah ke suatu masa yang kita sendiri tidak pasti? Untuk menyedapkan hati, kita pun bertangguhlah… kalau pagi, tangguh ke petang. Kalau malam tangguh ke esok hari.

Kata pepatah Inggeris, Procrastination is the thief of all time.

Penyakit bertangguh ini suatu wabak yang boleh membunuh seorang penulis juga. Hanya semangat dan dorongan dari dalam diri yang boleh menghapuskan wabak bertangguh ini.

Tulisan ini saya tidak tujukan kepada sesiapa, sekadar peringatan buat diri sendiri bahawa dalam banyak hal, ada seribu satu perkara yang tidak wajar ditangguh-tangguhkan. Esok-esok ataupun beberapa saat dari sekarang, kita tidak tahu apa yang yang boleh berlaku kepada kita.

Oleh sebab itu, dalam Islam juga, kita dituntut supaya merebut 5 perkara sebelum datang 5 perkara.

Saya juga selalu mendapat rungutan dan luahan rasa para penulis ataupun calon penulis yang berkata, “Saya memang hendak menulis, tetapi tiada masa.” Ataupun, mereka bercadang untuk menulis pada waktu hujung minggu, ataupun pada waktu cuti semester (biasanya pelajar) dan pada pelbagai waktu akan datang yang dijanjikan kepada dirinya sendiri.

Janji itu harus ditepati, walaupun janji itu untuk diri sendiri.

Dari itu, kalau sudah berjanji pada diri sendiri supaya menulis hari ini, lunaskanlah! Adakalanya memang terlalu sukar dan kita pun dengan segera menyalahkan banyak perkara lain yang tiada kaitan dengan penulisan itu seperti hujan (blame it on the rain), dakwat printer habis, tak ada laptop, belum ada nama pena, cerpen belum ada tajuk, belum dapat nama watak yang sesuai dan seribu satu alasan untuk tidak menulis.

Kononnya, kita sedang berfikir untuk menulis. “Tetapi nantilah, esok-esok manuskrip itu akan siap juga,” kita pun berkata untuk menyedapkan hati sendiri.

Ayuh! Kalau sudah bersumpah setia dengan diri untuk menjadi penulis, apa perlu dorongan dan motivasi dari luar. Janji pada diri sendiri itu lebih penting. Malah, wajib dilaksanakan.

Jika benar mahu menulis, kenapa masih melayari dan melompat dari satu blog ke satu blog. Teruskan sahaja menulis!

Benarkan mahu mencari inspirasi menulis? Ah, itukan alasan juga namanya.

Menulis!

Written by Nisah Haron

Mei 22, 2007 at 12:21 am

Dikirim dalam Uncategorized

Harta Sepencarian

with 3 comments

Saya perhatikan ramai juga yang kurang jelas dengan maksud ‘harta sepencarian’ bagi pasangan yang telah berkahwin. Pengalaman di mahkamah tidak lama dahulu menunjukkan kekeliruan pasangan ketika menuntut hak sewaktu berlakunya perceraian.

Oleh itu, saya turunkan tulisan saya tentang isu ini yang pernah disiarkan dalam Dewan Masyarakat (September 2004).

HARTA SEPENCARIAN :

MODEL DARIPADA ADAT PERPATIH NEGERI SEMBILAN

Oleh : NISAH HAJI HARON

KATA perbilangan di dalam Adat Perpatih ada menyebut,

Adat bersendi hukum

Hukum bersendi kitabullah

Syarak mengata, adat memakai.

Pada masyarakat Adat Perpatih juga, hubungan di antara Adat dengan Syarak itu saling melengkapi :

Kuat Adat tak gaduh Hukum,

Kuat Hukum tak gaduh Adat

Ibu Hukum muafakat

Ibu Adat muafakat.

Bertitik tolak daripada perbilangan yang menjadi pegangan pengamal-pengamal Adat Perpatih, kedudukan amalan adat ini tidak terjejas dengan kedatangan Islam ke Tanah Melayu. Ini kerana sebelum kedatangan Islam, masyarakat adat telah mengatur bahawa kaum wanita (para isteri) yang kebiasaannya menjaga atau memelihara anak-anak perlu dibekalkan dengan harta. Begitu juga dengan para isteri yang akan ditinggalkan oleh suami apabila perlaku perceraian.

Hari ini, konsep harta sepencarian merupakan satu elemen perundangan keluarga Islam yang penting. Apabila berlaku kematian ataupun perceraian, isu harta sepencarian di antara pihak suami dan isteri timbul dan harus diselesaikan. Kegagalan pembahagiannya akan memberi kesan kepada isu-isu lain seperti harta pusaka.

Tidak ada nas yang jelas tentang harta sepencarian di dalam hukum syarak. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa harta sepencarian tidak dimasukkan di bawah mana-mana kategori hukum.

Sejarah perundangan Islam menunjukkan bahawa apabila Rasulullah S.A.W. berhadapan dengan persoalan ‘urf atau adat, baginda mengambil sikap yang berbeza-beza di antara satu adat dengan adat yang lain. Apabila sesuatu urf atau adat telah diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat. Ia telah bertukar menjadi suatu perundangan atau peraturan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.

Perkembangan yang sama telah berlaku ke atas harta sepencarian yang telah diamalkan di dalam masyarakat Adat Perpatih.

Harta sepencarian kini juga telah dikanunkan di dalam Undang-undang Keluarga Islam Negeri – Negeri, seperti di dalam Jadual 1 di bawah :

Bil Seksyen Enakmen Negeri

  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 1983
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 1984
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Melaka) 1983
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Kelantan) 1983
  1. Seksyen 49 Undang-undang Keluarga Islam (Kedah) 1984
  1. Seksyen 57 Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 1985
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Johor) 1990
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Perlis) 1992
  1. Seksyen 58 Undang-undang Keluarga Islam (Pulau Pinang) 1985
  1. Seksyen 59 Undang-undang Keluarga Islam (Pahang) 1987
  1. Seksyen 46 Undang-undang Keluarga Islam (Perak) 1984
  1. Seksyen 57 Undang-undang Keluarga Islam (Sarawak) 1991
  1. Seksyen 60 Undang-undang Keluarga Islam (Sabah) 1992


Jadual 1

Perkembangan undang-undang yang berlaku di Malaysia ini telah menempatkan harta sepencarian di dalam bentuk peruntukan bertulis. Selaras dengan peruntukan-peruntukan ini, mahkamah juga turut diberi kuasa bagi memutuskan sebarang pertikaian mengenai harta sepencarian melalui bidangkuasa mahkamah syariah mengikut negeri.

Walau bagaimanapun, sebelum berlakunya pindaan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, beberapa kes berkaitan dengan harta sepencarian telah dibawa ke Mahkamah Tinggi seperti Roberts @ Kamarulzaman lwn Umi Kalthom [1966] 1 MLJ 153 dan kes Boto’ binti Taha lwn Jaafar bin Muhamed [1981] 2 MLJ 98.

Konsep Harta Sepencarian

Harta sepencarian bermaksud apa-apa harta sama ada harta alih ataupun tidak alih yang diperolehi semasa tempoh perkahwinan antara suami dan isteri. Mana-mana harta yang diperolehi sebelum berkahwin ataupun harta pusaka tidak dikira sebagai harta sepencarian.

Tetapi, jika harta pusaka, misalnya dikerjakan bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan dan hasilnya telah meningkatkan nilai harta tersebut, pihak yang satu lagi boleh menuntut bahagiannya sebagai upah apabila berlaku perceraian.

Harta sepencarian juga dikenali dengan nama-nama tersendiri mengikut kebiasaan kawasan setempat seperti yang dinyatakan di dalam Jadual 2 :

Nama Lain Bagi Harta Sepencarian Masyarakat

Harta Carian Laki Bini – Melayu Negeri Sembilan

Harta Pencarian – Melayu Sarawak

Harta Pencurian – Islam Melanau Sarawak

Gono-gina – Jawa

Harecula sihareukat – Aceh

Harta Suarang – Minangkabau

Guna-kaya – Sunda

Druwe Bagro – Bali

Barang-barang perpantangan – Kalimantan

Jadual 2

Mengikut buku Tambo Alam Naning tulisan Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (DBP, 2000), pembahagian harta sepencarian jika pasangan tersebut bercerai hidup disebutkan di dalam Bab XX Fasal 309 :

“Bahawa kemudian daripada itu manakala tumbuhnya cerai-berai suami isteri, maka selepas sah suami mentalak bagi isterinya maka barulah diadatkan menjalankan pulang-memulang segala harta yang telah menjadi hak antara mereka suami isteri, mahupun harta pencarian, harta pembawaan dan harta pendapatan di bawah Adat Nan Diadatkan:

  1. Cari bagi
  2. Dapatan tinggal
  3. Pembawa kembali seperti mana menurut ikatan setia diulang-ulang pada masa istiadat sah hutang berbayar sah piutang berterima antara Adat menanti Adat mendatang dalam Bab Yo Fasal Somondo Monyomondo.

Begitu juga halnya bagi kes pasangan yang bercerai mati, cara pembahagiannya dijelaskan sebagai :

  1. “Putu bolah suarang boagih”
  2. Dapatan tinggal
  3. Pembawa kembali

“Putu bolah suarang beragih” di sini bermaksud harta sepencarian suami dan isteri yang reda-meredai antara mereka berdua. Ia dipulangkan kepada pasangan yang masih hidup, iaitu jika suami meninggal dunia, harta sepencarian diserahkan kepada isteri.

Prinsip pembahagian di dalam Adat Perpatih juga disimpulkan di dalam perbilangannya :

Pembawa kembali

Dapatan tinggal

Carian bahagi

Mati laki tinggal ke bini

Mati bini tinggal ke laki.

Pembahagian Harta Sepencarian

Masalah tentang harta sepencarian hanya timbul setelah berlakunya perceraian, sama ada perceraian akibat kematian ataupun perceraian hidup. Isu siapa yang bertanggungjawab ke atas perceraian tidak timbul.

Harta sepencarian boleh dituntut oleh mana-mana pihak sama ada suami ataupun isteri. Namun perkara yang sering menjadi persoalan ialah bagaimanakah bentuk pembahagian yang paling adil bagi menyelesaikan tuntutan harta sepencarian ini.

Tiada terdapat suatu ketetapan berhubung dengan kadar bahagian harta sepencarian untuk suami isteri. Terdapat dua konsep yang berbeza bagi menentukan kadar bahagian tersebut:

  1. sumbangan isteri terhadap harta sepencarian sepanjang perkahwinan dinilai sebagai upah. Oleh itu, pihak isteri hanya layak menerima bahagian yang setimpal dengan sumbangannya terhadap harta tersebut;
  2. sumbangan isteri terhadap harta tersebut tidak dinilai sebagai upah. Oleh itu, pihak isteri berhak mendapat hanya setengah daripada harta yang diperolehi semasa perkahwinan. Terdapat juga di sesetengah negeri yang menentukan bahawa pihak isteri berhak mendapat satu pertiga daripada harta yang diperolehi semasa perkahwinan.

Amalan mahkamah syariah di Malaysia meletakkan kadar pembahagian antara suami dan isteri sebanyak :

  • satu pertiga : dua pertiga
  • satu perdua : satu perdua
  • satu perempat : tiga perempat; mengikut kes-kes tertentu.

Apabila berlaku perceraian harta yang diperolehi atau harta yang dimajukan ini perlu dibahagikan mengikut :

  1. 2/3 – 1/3 iaitu harta sepencarian itu didapati daripada sumber-sumber yang telah dibuat oleh satu pihak sahaja sama ada dalam bentuk wang atau bentuk harta ataupun bentuk kerja atau sumbangan-sumbangan lain;
  2. pihak berhutang kepada orang yang ketiga untuk membeli atau memperolehi harta itu ataupun bertujuan membangunkan harta itu. Jika sumbangan itu didapati di antara pihak-pihak maka pembahagian harta sepencarian itu hendaklah dibahagi sama banyak iaitu 50% – 50%
  3. jika harta itu diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha oleh satu pihak sahaja dan harta itu adalah berbentuk harta tak alih maka mahkamah boleh memerintahkan supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu boleh dibahagikan antara pihak-pihak atas budibicara hakim syarie.

Pertimbangan takat pula dibuat mengikut :

  1. sumbangan yang telah dibuat
  2. kebajikan keluarga
  3. keperluan anak-anak

Dengan syarat pihak tunggal yang berusaha hendaklah menerima satu kadar yang lebih besar.

Sesungguhnya penyerapan harta sepencarian daripada Adat Perpatih merupakan satu penyelesaian kepada pertikaian harta suami dan isteri yang berpisah. Walau bagaimanapun, belum ada satu peruntukan ataupun garis panduan khas yang diberikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab bagi mempermudahkan pembahagian harta sepencarian. Terutama sekali di dalam menentukan takat sumbangan pihak-pihak.

– Dewan Masyarakat (September 2004) –

Written by Nisah Haron

Mei 18, 2007 at 6:49 am

Dikirim dalam Uncategorized

"Bila Tuhan Berbicara"

with 2 comments


Kepada peminat karya Faisal Tehrani, Bila Tuhan Berbicara buku ini sudah boleh dibeli melalui laman Ujana Ilmu.

Slik klik pada gambar buku di sebelah untuk terus ke laman pembelian.

Ataupun, boleh ke laman utama www.ujanailmu.com.my

Written by Nisah Haron

Mei 16, 2007 at 11:32 am

Dikirim dalam Uncategorized

Selamat Pengantin Baharu

with 3 comments

Hari ini saya sempat menyempurnakan undangan seorang rakan penulis – Amiza Khusyri Yusof – penulis kelahiran Negeri Sembilan yang berpotensi untuk mewarnai dunia sastera tanah air. Alhamdulillah, beliau kini bergelar suami. Semoga beliau terus dikurniakan ketenangan untuk tekal berkarya.

Pastinya walimah ini merupakan hadiah hari ibu yang paling bersejarah untuk bonda Amiza kerana menerima 2 orang menantu sekaligus.

Ada orang kata, penulis lelaki kalau sudah berkahwin mungkin lebih mudah berkarya. Maklumlah, ada orang yang akan buatkan kopi, layan makan minum dan sebagainya. Benarkah?

Written by Nisah Haron

Mei 13, 2007 at 8:10 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Mencari Kedamaian

with 4 comments

Kawasan pertama yang akan menyambut pengunjung Perpustakaan Awam NS

Adakalanya penulis perlu beralih angin ketika menulis. Walaupun bilik khusus untuk menulis itu sudah menjadi tempat yang tidak asing ketika menghasilkan karya, sesekali beralih angin dapat juga memberikan perspektif yang berbeza.

Sejak Perpustakaan Awam Negeri Sembilan beralih tempat dari bangunan SUK Lama (berhadapan Istana Hinggap) ke Bangunan UMNO Seremban, saya sudah beberapa kali ke lokasi baharunya. Terletak tidak jauh dari Terminal Bas Seremban / Terminal One Shopping Centre, lokasi baharu ini agak sesuai untuk mereka yang datang menggunakan pengangkutan awam.

Sesudah ceramah, melayan pelajar membeli buku

Baru-baru ini juga saya pernah diundang menyampaikan ceramah penulisan kreatif anjuran Perpustakaan Awam NS kepada sekumpulan pelajar sekolah menengah di Seremban di Dewan Serbaguna perpustakaan ini. Suasananya juga agak kondusif untuk bengkel-bengkel ataupun ceramah berbentuk demikian.

Selalunya, apabila saya ke mana-mana perpustakaan, saya sering tercari-cari pengguna yang sebangsa dengan saya.

Selalunya, saya bertemu dengan pelajar bukan Melayu lebih ramai memanfaatkan perpustakaan, sama ada untuk mengulangkaji bersama-sama rakan ataupun mencari tempat yang aman, damai, berhawa dingin untuk belajar sendirian.

Sayang sekali, kemudian yang begitu canggih disediakan Kerajaan Negeri jarang dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar kita.

Semalam, saya datang mencari ruang sesuai untuk menulis. Kalau duduk di ruang terbuka, mungkin saya akan berasa ‘terganggu’ dengan pengguna lain yang lalu lalang, ataupun mereka mungkin terganggu apabila saya mula menaip dengan laptop di meja saya. Oleh itu, saya memilih untuk ‘menyorok’ di Koleksi Negeri Sembilan – satu kawasan ataupun ruang khusus yang menyimpan khazanah bahan bacaan mengenai negeri ini. Tidak ada pengguna di situ, jadi saya pun terus tandatangan dan daftar masuk.

Ada seorang dua kakitangan perpustakaan yang saya fikir sedang menyiapkan tugas sambil menggunakan ruang tersebut. Saya tidak kisah berkongsi ruang tersebut asalkan masing-masing menghormati privasi. Pada mulanya, saya tidak berapa terkesan apabila mereka mula berbual dengan nada rendah. Tetapi oleh sebab saya ke situ untuk menyiapkan beberapa tulisan, saya mula rasa terganggu apabila perkara yang dibualkan itu ternyata bualan kosong.

Hendak saya tegur, nanti ada yang berkecil hati. Saya masih bersabar dan cuba menulis serta mengabaikan rasa terganggu tadi. Tetapi selepas itu, masuk seorang lagi dan kemudian ditambah seorang lagi hingga jadi 4 orang semuanya. Mereka terus berbincang di situ. Setahu saya ini bukan bilik karel. Saya pula pengguna yang sah dengan keahlian yang berdaftar.

Tak boleh jadi!

Saya pun mengadu pada seorang pegawai yang memang saya kenali. Saya mohon sekiranya perpustakaan ini mempunyai sebarang bilik yang boleh saya duduk sendirian (saya tahu permintaan itu agak keterlaluan). Perpustakaan Awam NS ini sememangnya canggih, kerana ada disediakan satu bilik khusus untuk pengguna tertentu dan semalam saya diberi peluang menggunakan bilik tersebut. Koleksi di dalamnya terdiri daripada buku-buku yang tidak boleh dipinjam keluar. Itu tidak menjadi hal kepada saya kerana paling penting saya mahukan ketenangan saya tidak diganggu perbualan kosong – apatah lagi oleh kakitangan perpustakaan itu sendiri.

Bagi saya, kalau mahu berbual, boleh sahaja ke kedai kopi ataupun, singgah sahaja di Secret Recipe tidak jauh dari situ.

Alhamdulillah, setelah diberikan bilik khas tersebut, saya dapat menyudahkan banyak tulisan yang tertangguh dalam keadaan seolah-olah, saya memiliki sebuah pejabat di perpustakaan itu!

Written by Nisah Haron

Mei 10, 2007 at 7:40 am

Dikirim dalam Uncategorized

Menulis Karya Fiksyen Sains

with 4 comments

Saya baru pulang dari Minggu Penulis Remaja Timur (MPRT) 2007 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur. Selalunya, saya jarang sekali menolak undangan ke pantai timur, apatah lagi pada musim pertengahan tahun begini. Seperti mana ramai yang mungkin tahu, setiap kali ke pantai timur dan ditempatkan di hotel pesisir pantai, mana mungkin saya lepaskan peluang menunggu matahari terbit dari laut.


Sutra Beach Resort menerima saya, Pak Samad, Shamsudin Othman & Nazmi Yaacob sebagai penceramah untuk bidang masing-masing. Di samping pantai Setiu yang indah, saya terkesan apabila Sutra Beach turut menyediakan sebuah perpustakaan mini. Pengunjung tempat ini juga boleh melayari internet secara percuma di tempat yang disediakan. Suatu kelainan bagi saya untuk singgahan ke pantai timur kali ini.


Peserta MPRT sekitar 20 orang itu rata-rata pelajar tingkatan 4 – 6. Sebahagian kecil pelajar IPT dan seorang bekas pelajar ASK.

Antara yang saya perkenalkan ialah penulisan karya fiksyen sains sebagai alternatif kepada penulisan karya berunsur cinta. Peserta dilihat seolah-olah menulis karya sastera itu bermakna menulis seperti mana karya novel-novel cinta yang sedang berlambak di pasaran. Itulah sastera pada mereka. Jadi tidak hairanlah peserta ini, walaupun pelajar sains totok, tetapi masih lagi ghairah untuk menulis karya bertemakan cinta penuh emosi dan ala-ala siri drama Samarinda.

Saya percaya bahawa penulisan karya fiksyen sains dan juga fantasi boleh menjadi satu alternatif kepada jenis-jenis karya yang dihasilkan. Terima kasih kepada Dewan Sastera yang telah memfokus isu ini.

Percayalah, jualan novel-novel cinta di pasaran sekarang sedang statik, jika tidak tenat. Pembaca sekarang sudah semakin bijak. Dari dahulu lagi saya percaya bahawa fenomena jualan yang tinggi terhadap novel-novel cinta tidak akan bertahan lama. Penerbit yang pernah menerbitkan novel-novel demikian juga ada antaranya yang telah membuka sayap baru – novel sastera. Mereka sedang mencari penulis karya yang menulis selain daripada novel cinta semata-mata.

Pembaca sudah beralih angin! Penerbit-penerbit harus akur.

Written by Nisah Haron

Mei 7, 2007 at 8:28 pm

Dikirim dalam Uncategorized

Fiksyen Sains atau Fantasi?

with 8 comments


Dewan Sastera Mei 2007 memfokus isu penulisan fiksyen sains di Malaysia. Ini suatu topik yang agak jarang diperkatakan, tetapi masih relevan dengan sastera tempatan.

Ramai yang keliru antara mazhab sains fiksyen dan juga fantasi. Bagi saya, kedua-duanya mempunyai ‘bahasa’ penulisan yang berbeza. Sesungguhnya, saya bersetuju dengan penulis fantasi David Eddings, “science fiction and fantasy books shouldn’t be put together on the same shelves!“.

Di Malaysia, sains fiksyen mahupun fantasi, dilihat seperti makhluk asing. Tidak kurang yang mengenepikannya.

Ikuti tulisan saya, “Fiksyen Sains Bagaikan Makhluk Asing“, tulisan SM Zakir “Wujudkah fiksyen sains di Malaysia“. Jangan ketinggalan lukisan pengalaman seorang penulis fiksyen sains dan juga fantasi yang sudah lama membuat ‘comeback‘ dalam pengkaryaannya – Ahmad Patria Abdullah.

Kepada yang merindui hasil tulisan Ahmad Patria, baca Dewan Sastera Mei 2007 kerana cerpen beliau berjudul Pedang Damocles turut dimuatkan di dalam majalah ini.

Realitinya, penulisan sains fiksyen dan juga fantasi memerlukan pemain. Sudah terlalu ramai yang berkarya menggunakan latar realisme. Ayuh, mereka yang terutamanya mempunyai pengetahuan ataupun disiplin sains, silalah tajamkan pena anda kembali. Dunia sastera kita perlu diwarna-warnikan. Dewan Kosmik juga khabarnya ketandusan karya fiksyen sains.

Takkanlah semuanya mahu menulis novel cinta semata-mata?

*Sila klik pada gambar untuk imej yang lebih jelas

Written by Nisah Haron

Mei 3, 2007 at 7:44 am

Dikirim dalam Uncategorized