Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for April 2nd, 2008

Helo Malaysia Bernama TV

with 5 comments


Dari kiri : Sherkawi Jirim, saya dan Prof. Madya Dr. Baharuddin

Ekoran daripada acara Astaka Minda anjuran DBP tempoh hari, saya menerima lagi undangan ke Bernama TV dan juga Radio24 milik Bernama juga.

Saya sudah dilamar agak lama dahulu hatta sebelum acara Astaka Minda lagi, oleh Encik Saiee Driss supaya saya menjadi tetamu di Radio24. Memandangkan rancangan tersebut dijadualkan pada sebelah malam, saya agak keberatan. Mula terfikir bagaimana hendak menguruskan si kecil dan dalam masa yang sama menyempurnakan permintaan seorang sahabat penulis.

Apabila bertemu dengan Encik Saiee Driss di DBP tempoh hari, beliau ada menjelaskan bahawa saya boleh membuat rakaman pada waktu yang sesuai dengan saya.

Apabila rencana sastera tentang program Astaka Minda disiarkan di Utusan Malaysia Isnin lalu dengan judul “Blogger, Penulis-penulis yang gagal?”, saya sekali lagi dihubungi oleh pihak Bernama TV pula. Saya agak terkejut kerana mereka mahu saya ke udara secara langsung dalam rancangan Helo Malaysia di Astro Saluran 502 jam 10.30 malam (Selasa, 1 April).

Persoalan pertama yang singgah di fikiran saya ialah adakah mereka ini pernah membaca blog saya. Blog saya bukanlah blog politik. Saya ini pejuang bahasa dan sastera. Isu yang saya ketengahkan di blog mungkin tidaklah seperti yang mereka harapkan. Malah, ketika saya membentangkan isu “Kepentingan Blog kepada Penulis” juga, ada yang kecewa kerana bersusah payah datang ke DBP mengharapkan sesuatu yang lebih daripada itu.

Maaflah, saya tidak boleh membuat semua orang gembira!

Dengan alasan mahu mencari pengalaman untuk ke udara secara langsung selama hampir sejam (tolak iklan, cuma 35 minit sahaja), saya pun menerima undangan itu. Saya bukanlah mewakili semua blogger tetapi saya mewakili blogger yang berpendirian seperti saya.

Khabarnya, Helo Malaysia ada siaran ulangannya pada jam 6.30 ini (Rabu) dan 10.30 pagi (Rabu). Tak pastilah sama ada pembaca blog ini sempat untuk menonton rancangan ini selepas membaca entri ini. Barangkali sudah terlepas.

Pun, saya seronok berbincang dalam rancangan ini. Apatah lagi perantaranya (hos) ialah Sherkawi Jirim – tokoh yang saya kenali sejak kecil dengan program “Halaman Pertanian” sewaktu RTM mula bersiaran hanya pada jam 5.00 petang. Panelis yang seorang lagi ialah Prof. Madya Dr. Baharuddin Aziz, dari UiTM.

Beliau memberikan maklumat dari aspek teknikal blog dan internet serta kajian yang telah dijalankan tentang kesan blog dalam pilihanraya 2008. Mudah bercerita dengan orang yang tahu apa itu blog dan kepentingannya.

Saya masih bercakap dari aspek bahasa, menyentuh sedikit sebanyak mengapa blog dapat mengubah kuasa undi, sentuh juga tentang orang yang suka menggunakan kata-kata kesat, caci-maki di blog hanya untuk menegakkan hujah yang lemah, tentang berbahasa sebaik-baiknya di blog (tidak kira sama ada mahu berbahasa Melayu ataupun Inggeris).

Turut saya singgung tentang kredibiliti blog bergantung kepada pemilik blog yang berautoriti dalam mengangkat sebarang isu. Ini turut berkait tentang blogger yang bersifat ‘anonymous’ – tidak mahu dikenali tetapi mahu diiktiraf serta mahu orang lain menerima idea-ideanya.

Selebihnya tentang aspek kematangan pembaca ini sendiri memilih dan menimbang setiap blog yang menjadi pilihan supaya tidak terlalu taksub hingga hilang pertimbangan. Jangan lupa bahawa tindakan undang-undang ke atas perlanggaran hak cipta, fitnah, hasutan dan sebagainya boleh dikenakan ke atas pemilik blog. Elok juga kes Raja Petra berlaku. Boleh dijadikan iktibar kepada bloggers yang lain supaya berhati-hati terhadap sebarang entri yang mahu diterbitkan di blog ini.

Kalau mahu dengar tentang isu blog juga di Radio24, sila layari laman webnya dan rakaman saya itu dijangka ke udara pada hari Khamis (esok) jam 8.00 malam – 93.9FM.

Written by Nisah Haron

April 2, 2008 at 3:07 am

Dikirim dalam Blog, Nisah dalam Media