Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for September 10th, 2008

Buku DBP mula ‘bermaruah’ persembahannya

with 13 comments

Akhir-akhir ini saya ke DBP – khususnya di Dawama Ulu Klang untuk dapatkan buku-buku terbaharu. Saya amat tertarik dengan bentuk persembahan dua buku ini.

Takkan Hilang (Never Vanish) – Kumpulan puisi AGI (A. Ghaffar Ibrahim) dan juga Kasih Bonda – Kampung Paya Kami, sebuah kumpulan puisi Siti Zainon Ismail.

Pada saya inilah antara penerbitan buku-buku yang bermaruah sifatnya. Mengapa saya berkata demikian?

Saya akan mengulas bentuk visual buku ini dan bukannya kandungan buku tersebut secara sepenuhnya. Ini hanya dinikmati oleh pencinta buku yang gemarkan persembahan buku dalam bentuk yang sangat bermaruah ini.

Mungkin pengikut setia blog ini juga pernah membaca bagaimana saya teruja dengan edisi mewah Kumpulan Puisi A. Latiff Mohidin yang diterbitkan oleh Galeri Petronas dalam entri terdahulu.

  • Takkan Hilang (Never Vanish) – Kumpulan Puisi AGI – Harga : RM39

Buku ini dihadirkan dengan kulit tebal. Jenis kertas pula kertas jenis berkilat dan licin, setahu saya namanya art paper. Ini diwajarkan penggunaannya kerana ada antara puisi Pak Agi adalah puisi visual. Sesetengah daripada puisi tersebut pula dikembarkan dengan lukisan berwarna. Lantas, penggunaan art paper lebih sesuai.

Satu lagi keistimewaan buku ini ialah kandungannya terbahagi dua : satu dalam Bahasa Melayu dan satu lagi dalam Bahasa Inggeris (terjemahan oleh Harry Aveling).

Untuk membaca mana-mana bahagian, pembaca perlulah terbalikkan sahaja buku ini dan anda akan dapat membaca versi yang satu lagi – terbalikkan atau pusingkan dari atas ke bawah – flip over.

Penerbitan buku begini bukanlah luar biasa, tetapi ini suatu kelainan yang boleh menarik khalayak mendapatkan buku tersebut. Selain daripada desain buku (saya percaya dilakukan Sinaganaga), mutu buku ini juga meningkat dengan gaya persembahan yang bersemangat.

Bagi yang mengenali Pak Agi, puisi-puisinya cukup ‘bersemangat’ – apatah lagi kalau dideklamasikan. Oleh itu, persembahan buku yang begini membuatkan pembaca (yang mungkin sebelum ini tidak tertarik membeli buku puisi), akan menjadi tertarik untuk membelinya sebagai koleksi.

Tak mengapalah, kalau hari ini buku ini dibeli sebagai koleksi, lambat laun akan dibaca juga, insya-Allah. Ada kalangan calon pengarang yang pernah bertanya kepada saya cara untuk menulis ayat-ayat yang indah bunga-bunga bahasanya.

Jawapan saya : bacalah buku puisi – khususnya puisi yang sifatnya puitis seperti puisi Pak Samad ataupun Siti Zainon Ismail.

  • Kasih Bonda – Kampung Paya Kami. Harga : RM30

Sebuah lagi buku yang boleh dikumpul oleh peminat penyair wanita tersohor – Siti Zainon Ismail. Sebagai pelukis, setiap halaman puisi ada catatan (contengan) pengarangnya sekali yang menghidupkan puisi-puisi tersebut.

Sebelum ini, saya memang menggemari pojok Dr. Siti dalam Dewan Sastera yang pastinya ada lakaran pada setiap puisinya. Sudah tergerak di hati untuk menggunting setiap satu puisi dan lakaran itu untuk saya simpan dalam sebuah buku skrap khusus. Kini, dengan adanya buku ini, kerja untuk membuat buku skrap itu nampaknya boleh dikurangkan. Pastinya koleksi ini menjadi antara himpunan buku-buku puisi kegemaran saya

Kertasnya dari jenis acid free – saya harap saya betul dengan istilah ini – sama seperti kertas yang digunakan untuk kumpulan puisi Pak Samad terbitan Utusan Publications (edisi kulit keras) yang berwarna keperangan. Saiz buku lebih kurang saiz kertas A4 dengan kulit keras. Terasa serasi memegangnya. Kalau mahu deklamasi mana-mana puisi dalam buku ini dengan membaca bukunya sekali pun terasa selesa dan memudahkan dengan ketebalan 106 halaman.

Secara keseluruhan, Dr. Siti mengabadikan kehidupan di kampungnya sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja. Pada saya, ini sesuatu yang sangat berharga – sesuatu yang tidak akan dilalui oleh remaja hari ini. Dengan bantuan visual – lakaran – pembaca dapat lebih menghayati setiap bait puisinya.

[Ada sebuah lagi buku puisi yang diterbitkan dengan kualiti yang sama seperti kedua-dua buku ini iaitu Postponing The Truth and Other Poems” (2008) terbitan DBP. Tetapi, kumpulan puisi Dato’ Baha Zain itu belum sempat saya dapatkan. Mungkin akan saya sentuh dalam entri akan datang ataupun setelah saya mendapatkan koleksi tersebut.]

Bagi kedua-dua buku ini, pada saya harganya masih rendah kerana harganya itu lebih kepada kos penerbitan buku tersebut. Belum lagi dicampurkan harga kepengarangannya. Mungkin kepada ‘penggemar’ buku-buku murah tidak akan bersetuju dengan saya kerana persoalannya, mengapa buku seharusnya mahal. Siapa yang hendak beli kalau buku mahal?

Pada saya, selain daripada buku yang bermaruah, harga buku juga harus ada maruah. Ini memang bukan buku murah. Tidak semua orang boleh menghayati puisi. Apatah lagi membeli sebuah buku puisi. Ini kumpulan puisi penyair terkemuka yang telah dinobatkan pelbagai anugerah. Mereka buku sekadar penyair jalanan.

Saya tidak berapa setuju apabila buku puisi diterbitkan dengan harga sekitar RM10 – sekadar memuatkan teks puisi tanpa ada sebarang nilai tambah yang boleh menaikkan persembahan buku itu.

Buku perlu mempunyai harga yang berpatutan kerana hanya jauhari yang mengenal manikam!

Written by Nisah Haron

September 10, 2008 at 6:03 am

Dikirim dalam ulasan buku