Nisah Haji Haron

Lakaran Tinta Terkini

Archive for the ‘politik’ Category

Tiba-tiba Sebuah Cerpen Bernilai RM30 juta!

with 7 comments

Sejauh manakah seorang pengarang boleh menggunakan lesen kreatifnya untuk berkarya?

Inilah soalan yang datang melalui SMS ke telefon bimbit saya beberapa kali. Agak sukar juga untuk menjawab persoalan ini melalui pesanan ringkas. Bimbang akan disalah erti. (Seperti yang berlaku kepada entri Sesudah Eidul Adha yang cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu. Boleh lihat pautan ini.)

Kali ini, saya sedang bertugas di Bengkel Penulisan Cerpen DBP-PEN 2008. Sewaktu rehat petang semalam, persoalan yang sama juga ditanyakan oleh beberapa peserta. Sudah ada yang bimbang untuk menulis hal-hal yang boleh diambil tindakan sedemikian. Lalu, haruskah pengkarya sekadar meneruskan tradisi lemah – menulis hal-hal yang tetek-bengek, kisah cinta dan rindu separuh mati sehingga tidak mampu mencabar akal sendiri?

Saya melihat isu Teresa Kok menyaman Utusan Melayu dari dua sisi:

a) sejauh manakah kebebasan berkarya; dan
b) sebijak manakah seorang penulis dapat berselindung di sebalik karya

Sebagai pengarang, kita mempunyai lesen kreatif. Saya bersetuju dengan pendapat yang dikirimkan oleh pemilik e-mel – cp@galaxystudio.tv di dalam artikel Memanfaatkan Lesen Penulisan Kreatif. Sebagai pengarang yang tahu akan hak-haknya, tidak ada yang patut dibimbangkan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan telah memberikan Kebebasan Bersuara kepada rakyat Malaysia.

Kebebasan Bersuara ada jaminan. (Kebebasan selepas bersuara, ada jaminan? Itu soal lain). Sebagai pengkarya, kita bebas untuk berkarya di bawah peruntukan perlembagaan ini.

Namun, sebagai pengarang juga, kita harus bijak mengungkapkan watak, latar dan elemen-elemen tertentu yang boleh dianggap ‘menimbulkan persoalan’ kepada pembaca tertentu, dengan tahap kiasan yang wajar. Di sinilah letaknya ketinggian akal budi seseorang pengarang. Ada pengarang yang menulis dengan agak langsung dan berkias di sebalik selapis kain kasa yang cukup jarang. Pembaca boleh ‘lihat’ apa dan siapa di sebalik tabir itu.

Saya juga pernah menulis cerpen bercorak sedemikian melalui cerpen-cerpen saya Resipi Dari Istana (30 Julai 2006 – Berita Minggu) dan Resipi Dari Istana 2 (24 Februari 2008- Berita Minggu).

Pengarang ialah manusia yang sensitif bukan sahaja kepada persekitarannya tetapi juga kepada isu yang berlaku dan bergolak di dalam dirinya. Ada sesuatu yang menjentik perasaan seseorang pengarang dan ini mendorongnya untuk meluahkan sama ada dalam bentuk emosi yang tidak terkawal ataupun dapat diungkapkan dalam karya.

Ketika saya menulis kedua-dua cerpen di atas, konteksnya berbeza dan emosinya juga tidak sama. Paling menarik, apa yang saya ungkapkan dalam karya-karya tersebut ditanggap oleh pembaca melalui tafsiran masing-masing. Boleh dikatakan tidak semua dapat melihat terus apa yang sebenarnya berlaku ‘di sebalik tabir’ yang saya pasang pada karya tersebut.

Pada saya, matlamat penulisan itu sedikit sebanyak sampai juga. Sebuah karya tidak harus bersifat peribadi dan hanya boleh ditafsirkan melalui satu hala. Tidak kurang penting apabila karya berkenaan dapat ditafsirkan kembali pada zaman yang berbeza. Misalnya, Pramoedya Ananta Toer telah mengungkapkan zaman internet ketika menulis Rumah Kaca. Padahal internet belum lagi wujud pada zaman tersebut. Bukanlah Pram itu seperti Nostradamus, tetapi karyanya itu melangkau zaman dan dapat ditafsirkan dengan cara yang berbeza mengikut zaman tertentu.

Cuba baca juga novel Kawin-kawin (Azizi Haji Abdullah). Lihat betapa halusnya satira Azizi dalam mengungkapkan senario politik Malaya-Malaysia. Tidak kurang juga menganggap novel ini mengandungi unsur lucah! Tapi, itu bergantunglah kepada pembaca itu sendiri. Jika hal-hal lucah memang sudah bermain-main dengan liar di dalam kepala, itulah yang akan terpancar melalui pembacaannya. Sebaliknya, apabila membaca secara terbuka, hal ini boleh sahaja ditafsirkan secara terbuka juga.

Pendek kata, sebuah karya boleh sahaja ditafsirkan dengan pelbagai cara dan itulah keistimewaan seni. Jika sudah terkunyah cili padi, pastilah terasa gigitan pedasnya pada lidah dan mulut. Sesiapa yang tidak memasukkan cili di dalam hidangannya, tentulah makanannya kurang perisa, barangkali!

Sebagai pengarang, saya berbangga apabila cerpen Politik Baru YB J tiba-tiba bernilai RM30 juta. Bukan senang sesebuah karya sastera mendapat perhatian yang cukup luas apatah lagi dibahaskan juga di dalam Parlimen!

Penulis wajar menggunakan lesen kreatif dengan sebijak mungkin. Seperti juga mendapat lesen memandu, pandai-pandailah memutar stereng kereta supaya tidak melanggar orang lain dan supaya orang lain tidak dapat menyaman kita kerana memandu dengan cara berbahaya!

.
.

Written by Nisah Haron

Disember 14, 2008 at 5:30 am

Dikirim dalam politik, Proses Kreatif

What About My Religious Rights?

with 5 comments

Ini laporan yang dipetik dari laman The Star Online :

Let Teresa have her religious rights, says Christian leaders

PETALING JAYA: Christian leaders are appealing to the authorities to allow Selangor senior executive councillor Teresa Kok to practise her religious rights as a Catholic while in detention.

Bishop Dr Paul Tan Chee Ing said Kok should be allowed to pray with other Christians and attend Sunday mass as it was obligatory for all Catholics.

β€œShe should also be allowed to see a priest to minister to her spiritual needs,” he said.

The Christian Federation of Malaysia chairman also hoped that Kok and the other Internal Security Act (ISA) detainee – Malaysia Today news portal editor Raja Petra Kamaruddin – be tried as soon as possible.

Council of Churches Malaysia general-secretary Reverend Dr Herman Shastri said messages had been sent to numerous churches to pray for those detained under ISA.

Lalu, apakah hak saya sebagai orang Islam juga mahu dinafikan perempuan ini apabila dia cuba menghalang orang Islam daripada melaungkan azan? Bagaimana dengan hak saya mahu membaca tulisan jawi ataupun melihat tulisan warisan bangsa dan agama saya terpampang di jalan-jalan raya turut mahu dinafikan?


Selepas ini, apa pula? Adakah hak saya untuk membaca Al-Quran juga akan dinafikan?

Written by Nisah Haron

September 14, 2008 at 3:03 pm

Dikirim dalam politik

Songkok oh Songkok

leave a comment »

Mula-mula bahasa kebangsaan diperlekehkan. Bahasa Melayu sudah jadi bahasa kedua dalam negara. Ahli politik tidak memandang isu ini sebagai perkara penting. Kononnya, ada apa dengan bahasa.

Bahasa menunjukkan bangsa.

Nampak sangat bangsa kita sudah jadi caca marba, sebab penggunaan bahasa pun caca marba juga!

***

Kini pakaian kebangsaan pun sudah berani ada yang hendak pertikai. Lihat di sini.

Memakai songkok tidak akan menjadikan seseorang itu lebih ‘Melayu’ daripada Melayu. Mengapakah orang politik ini masih lagi mahu mempolitikkan segala benda yang mereka boleh politikkan? Sukar benarkah untuk menghormati majlis?

Written by Nisah Haron

Jun 10, 2008 at 8:54 am

Dikirim dalam bahasa, politik

Malasnya nak mengundi!

with 9 comments

Saya memang tak boleh mengubah dunia. Saya memang tak boleh mengubah banyak perkara. Saya tak fikir bahawa undi saya pun dapat mengubah apa-apa.

Apatah lagi, calon-calon di kawasan saya sama ada yang pro pemerintah semasa ataupun pembangkang kedua-duanya memualkan. Tak senereh, kata orang Negeri Sembilan. Saya terasa seperti sangat membuang masa untuk pergi mengundi pagi ini. Kalau ada calon bebas, barangkali saya akan undi dia juga.

Malang sekali, calon-calon kali ini tiada ketokohan sebagai wakil rakyat. Benarkah dia boleh mewakili rakyat di kawasan ini? Saya malas nak undi tunggul kayu – kalaulah dikatakan ‘letak tunggul kayu pun boleh menang’. Tapi, alternatif yang diberikan langsung tidak meyakinkan.

Ah! Malasnya nak keluar mengundi!

****

Saya memang mual dengan orang-orang politik. Apatah lagi politik di Malaysia yang sangat tidak matang. Bergaduh mengalahkan budak 5 – 6 tahun. Dia kata dia, dia kata dia. Anak-anak saya bergaduh pun lebih standard dan lebih matang daripada ahli-ahli politik yang berbalas-balas kata.

Bosan!

Pun, saya teringat sewaktu saya menyertai pilihan raya kampus lama dulu. Ya, Nisah Haron pernah jadi ahli MPP walaupun peringkat kolej. Itupun kerana nak tolong kawan. Saya memang jadi tuan puteri. Dia uruskan borang saya. Dia aturkan itu dan ini. Saya diminta bertanding untuk parti pro pemerintah. Di UKM namanya Tindakan Siswa Bersatu (TSB).

Saya setuju dengan beberapa syarat. Saya kata, kalau saya menang, satu tak mahu diberikan jawatan-jawatan feminis seperti Biro Hal Ehwal Siswi atau yang seumpama dengannya. Kalau beri juga setelah saya memang, masa itu juga saya letak jawatan!

Nak dijadikan cerita, tahun itu (1995) daripada 11 jawatan, 5 dimenangi TSB dan 5 dimenangi pihak satu lagi. 10 calon teratas sudah pun diumumkan. Ketika itu, nama saya belum dipanggil. Pun, saya tak yakin saya boleh menang. Apatah lagi, saya bukannya dikenali ramai sewaktu di kolej. Saya lebih gemar bersendirian daripada jadi orang bodoh berpolitik.

Namun, kerana mahukan pengalaman menyertai pilihan raya, saya bersetuju. Lagipun, mereka ketiadaan calon yang punya CGPA yang melayakkan mereka untuk bertanding. Biasalahkan, yang cakap banyak memang ramai, tapi apabila bab-bab CGPA ramai juga yang sangkut!

Paling menarik, calon yang mempunyai undi ke-11 tertinggi ialah saya. Pada waktu itu, saya sedang membaca novel David Eddings. Punyalah tak kisah kalau saya memang ataupun tidak. Kalau tak menang pun, saya ada banyak kerja lain yang boleh saya buat pada ketika itu. Kalau memang memang bertambah kerja.

Oleh sebab saya jadi tiebreaker, saya mendapat ‘kuasa’ lebih berbanding kawan-kawan saya yang 5 orang lagi. Saya pun katakan kepada bakal YDP : janji tetap janji. Saya lebih ada suara. Saya tak mahu jadi Bendahari – leceh uruskan duit. Jadi, dia tawarkan saya jawatan Setiausaha JAKSA.

Saya setuju sebab sebagai Setiausaha saya ada kuasa untuk memanggil mesyuarat ikut masa saya. Kalau pada waktu hendak menyuarat, saya mesti lapang dan orang lain kena ikut waktu saya. Lagipun, jika ada sebarang pengundian dalam mesyuarat, undi itu mesti solid sebab 6 lawan 5. Tak boleh pecah undi. Hahaha, ramai juga yang berbulu tapi pada ketika itu saya memang nak kenakan semula orang yang mahu saya jadi calon itu.

Sebagai wakil pelajar, ya saya tetap ambil tahu masalah pelajar. Kebanyakannya bukannya masalah luar biasa pun. Kalau setakat air tak ada, bukan masalah JAKSA. Itu masalah Kolej. Pihak pengurusan kolej yang sepatutnya uruskan. JAKSA sekadar tukang beritahu masalah pelajar. Hendak memperjuangkan hak pelajar pun, hak apa lagi yang telah dinafikan. Tugas pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh dan berfikir. Kalau itu pun tak boleh nak buat, memang pelajar telah buang duit rakyat yang tanggung biasiswa mereka. Jadi, usahlah sibuk nak berpolitik kalau ilmu sedalam buku lali kaki itik.

Lagipun, saya percaya mereka yang bertanding ataupun menang pilihan raya kampus belum tentu telah menempa jalan untuk karier politik tanah air. Sebagai orang yang banyak cakap saja, mungkinlah. Tapi isinya entah apa-apa.

Perasan tak, selalunya yang menang MPP di kampus ialah mereka yang ada rupa. Kalau tampan dan lawa memang ada peluang menang. Apa tidaknya, kita yang tak peduli siapa calon ni (sebab ada banyak lagi kerja yang hendak dibuat) memang akan main pangkah saja waktu mengundi. Kalau dah tak tahu siapa yang hendak diundi, tengoklah gambar yang disediakan di atas kertas undi. Agak-agak handsome, atau lawa, bolehlah tu! Sudahnya dalam MPP bukannya mereka yang boleh buat kerja sangat, harap lawa saja.

Lagipun MPP bukannya ada apa-apa pun, setakat menambah aktiviti pelajar. Itupun saya hairan mengapa ramai pelajar yang sangat taksub akan hal-hal politik yang sangat memualkan ini.

Ah! Saya masih malas hendak pergi mengundi.

Written by Nisah Haron

Mac 8, 2008 at 10:56 am

Dikirim dalam kampus, Pilihanraya, politik